“Akira, kau perasan tak dengan Doktor Zaiman tadi.”
“Kenapa dengan dia?”
“Masa briefing tadi dia asyik pandang kau aje.”
“Perasan,” jawab aku perlahan.
Memang aku perasan perangai pelik doktor praktikal itu hari ini. Dan aku tahu sebabnya. Dia masih berusaha untuk mendapatkan alamat rumah aku. Hingga ke petang semalam dia masih berusaha mengajak aku menonton wayang. Huh! Penat melayan cinta lokasi macam ni. Bukan tak berminat, tapi aku dah serik. Gara-gara bercinta dengan rakan sekerjalah aku tercampak di hospital swasta ini. Mujur masih boleh bekerja. Bertahun aku merawat hati. Tak mungkin semudah ABC lagi untuk aku jatuh hati pada manusia yang bergelar lelaki.
Dah pukul sepuluh, patutlah perut aku pedih. Aku tak sempat sarapan dari pagi tadi. Tangan kanan masih melekap di atas perut pesakit. Memeriksa kontraksi yang sudah semakin kerap. Sempat lagi aku sedekahkan senyum pada wanita India yang sedang berkerut-kerut menahan kesakitan. Reaksi normal yang sering dilihat di dalam wad ibu-ibu mengandung ini.
“Puan tunggu sekejap ya. Saya panggil doktor.” Aku tinggalkan sebentar pesakit itu. Mencari Dr. Zaiman. Aku ke biliknya. Dia tiada di situ. Ke pantri, juga tak ada. Ke mana dia pergi ni?
“Rani, kau nampak Doktor Zaiman?” Aku tanya Rani yang berada di kaunter.
“Dia di bilik belakang. Ada pesakit yang nak kena hantar ke bilik pembedahan.Kenapa?” Rani tanya aku semula.
“Patient bilik tiga ni, contraction dah makin kerap.” Aku berhenti sekejap di kaunter. Pedih di perut semakin terasa. Laparnya! Sabar Akira, selesaikan kerja dulu.
Aku pergi ke bilik yang paling belakang. Memang benar kata Rani. Dia ada di situ. Aku dapatkan dia dengan segera.
“Doktor, patient di bilik tiga…”
Awak panggil Doktor Rozy, biar dia handle. Saya nak hantar patient ni ke OT.”
Tanpa memandang, dia mengikut pembantu-pembantu jururawat menolak katil pesakit keluar dari wad itu menuju ke bilik pembedahan. Huh, sombongnya! Aku dapatkan semula ibu muda berbangsa India tadi. Lega hati kerana Rani ada di situ bersama Dr. Rozy.
“Akira, awak hantar pesakit ni ke bilik bersalin ya,” arah Dr. Rozy.
Aku bantu wanita itu duduk di atas kerusi roda. Fail pesakit, lampin dan pakaian bayi semuanya sudah sedia. Aku hantar pesakit itu ke bilik bersalin. Selesai proses serah-menyerah, aku kembali ke dalam wad. Tapi terus mencari pantri. Perut dah pedih sangat. Tanpa menoleh kiri kanan, aku bancuh Milo kemudian ambil bungkusan nasi lemak yang aku beli pagi tadi.
“Kusss semangat! Bila masa doktor masuk?” Aku urut dada. Terkejut melihat Dr. Zaiman yang sedang duduk di meja makan berbentuk bulat itu. Laju betul degup jantung aku. Wajahnya biasa saja. Hati kering punya orang! Ikutkan hati aku nak keluar saja dari situ. Tapi terpaksa juga ikut kata perut yang dah merengek-rengek minta diisi.
“Dah pukul sebelas baru nak sarapan? Baik makan tengahari terus.”
Aku diam. Suap nasi lemak laju-laju ke dalam mulut. Dr. Zaiman pandang aku. masih dengan wajah yang serius. Lantak dialah. Apa-apahal selamatkan perut aku dulu. Kalau dah kena gastrik nanti satu kerja pun tak boleh buat.
“Saya masih nak alamat awak Cik Akira.”
Aku buat-buat tak dengar. Kalaulah mulut ni boleh disumbat banyak-banyak, memang aku telan sekali dengan bekas makanan ni. Semak mata aku pandang Dr. Zaiman ni lah!
“Kalau awak tak bagi, nanti saya ikut awak sampai ke rumah.”
“Eh, ingat saya takut ke dengan ugutan tu? Negara ni ada undang-undang tau. Buatlah macam tu kalau doktor berani. Memang ke balai polis jawabnya nanti.”
Dr. Zaiman ketawa. Dia bersandar dan memeluk tubuh. Aku dah selesai makan. Tinggal nak menghabis Milo yang ada lagi separuh di dalam mug. Aku bangun, buang bekas makanan yang sudah kosong dan basuh tangan. Semasa berpusing nak ambil mug di atas meja. Sekali lagi aku terkejut.
“Doktor ni ada saka ke? Tadikan duduk sana. Alih-alih dah ada kat sini. Bila masa doktor bangun?”
Dr. Zaiman gelak lagi. Aku habiskan baki air sambil berdiri. Tak masuk berlama-lamaan dengan dia di situ.
“Kalau saya ada saka memang dah lama saya tahu kat mana awak tinggal. Akira, Sabtu ni kita keluar tengok wayang ya.”
Masih belum puas memujuk lagi rupanya doktor yang tinggi macam galah ni. Aku bawa mug yang telah kosong ke sinki. Dia bangun dan duduk pula di atas kabinet, memerhatikan aku membasuh mug.
“Tak sudi ke berkawan dengan saya?” tanya Dr. Zaiman.
“Kalau Doktor Zaiman ni bukan doktor, mungkin kita boleh keluar dating macam orang lain kot.”
“Apa masalahnya kalau saya ni doktor? Doktor pun manusia juga kan?”
“Memanglah. Tapi saya tak berminat nak berkawan dengan doktor ni.”
“Tapi kenapa?”
Aku tak jawab pertanyaannya. Aku keluar dari pantri selepas mengeringkan tangan. Dia ekori aku. Langkah aku lajukan. Tiba-tiba telefon di dalam poket seluar bergegar. Buntang mata aku melihat nama Nora tertera di skrin. Serta-merta jantung kembali kencang. Dr. Zaiman nyaris lagi melanggar aku kerana aku berhenti melangkah secara tiba-tiba. Aku tekan butang hijau dan menekap telefon di telingan dengan pantas.
“Kak Ira! Mak akak pengsan.” Suara Nora kedengaran cemas.
“Ya Allah! Asyura ada situ tak?”
“Tak ada kak. Nora dah telefon dia tapi tak jawab.”
“Ok, akak balik sekarang. Nora telefon Asyura sampai dapat ya.”
Tangan dah menggigil. Otak tak mampu berfikir secara rasional ketika ini. Apa yang aku tahu, aku nak balik tengok mak. Dengan pantas aku berlari ke kaunter dan mengambil beg tangan.
“Rani, tolong beritahu Sister aku ada hal kecemasan. Mak aku pengsan kat rumah.”
“Kau nak balik dengan apa?” Sempat lagi Rani menyoal aku.
“Dengan teksi,” jawab aku sambil berlari menuju ke pintu keluar.
“Akira!”
Aku toleh ke belakang. Dr. Zaiman sudah tidak memakai kot putihnya lagi.
“Saya hantar awak balik.”
Aku pandang dia sekejap. Kemudian aku mengangguk. Tak guna aku nak jual mahal dengan dia pada saat-saat genting begini. Kalau dia ikhlas, dia akan menolong aku tanpa balasan. Di dalam kereta, aku tak henti-henti cuba hubungi Asyura. Telefonnya berbunyi tapi tak berjawab.
“Ya Allah Asyura! Angkatlah telefon tu!” Aku dah separuh menjerit. Geram betul dengan adik aku yang seorang tu. Ke manalah dia merayap ni?
“Nak ke arah mana ni?” tanya Dr. Zaiman.
“Belok kiri, jalan terus sampai jumpa lampu isyarat. Kemudian belok kanan.” Aku cuba bertenang. Harap tak ada apa-apa yang berlaku pada mak. Pipi terasa hangat. Ada air yang sedang mengalir. Cepat-cepat aku sapu airmata yang semakin laju mengalir.
“Sabarlah, Insya Allah tak ada apa-apa,” pujuk Dr. Zaiman. Aku diam. Laju juga dia ni bawa kereta. Bagus! Cepat sikit sampai.
“Mak awak sakit apa?”
“Semput dan tiga serangkai,” jawab aku pendek. Dari jauh dah nampak bumbung rumah. Hati makin tak keruan.
“Masuk ke dalam terus doktor,” arah aku apabila melihat pintu pagar rumah yang terbuka luas. Aku berlari masuk ke dalam rumah sebaik sahaja kereta berhenti.
“Mak!” Melingas mata aku mencari. Ya Allah, lindungilah mak dari sebarang musibah.
“Nora!” Aku menjerit lagi.
“Nora dalam bilik kak!”
Aku menolak pintu bilik tatkala mendengar sahutan gadis itu. Dia sedang memangku kepala mak. Muka Nora pucat. Aku tahu dia sedang cemas. Segera aku alihkan kepala mak dan aku alas dengan bantal. Dia sudah sedar, tapi keadaannya masih lemah. Dia cuba bercakap tapi aku menegahnya. Dr.Zaiman turut menjengah ke dalam bilik. Dia terus memeriksa keadaan mak.
“Awak kena bawa dia ke hospital.”
Aku pandang Dr. Zaiman. Dia mengangguk menegaskan lagi kata-katanya. Tanpa sempat aku fikirkan alternatif lain, dia terus mengangkat mak. Aku tak sempat menegah. Cuma membantu dia membuka pintu kereta di bahagian belakang.
“Nora tolong Kak Ira kunci pintu rumah ya. Terima kasih Nora.” Aku cium pipinya. Dia dah aku anggap seperti adik sendiri. Adik? Di mana Asyura?
“Nora nak ikut.” Tak sempat aku membantah. Anak gadis yang berusia 18 tahun itu sudah merapatkan pintu rumah. Dia masuk ke tempat duduk belakang dan memangku kepala emak.
“Masuklah cepat. Awak tunggu apa lagi?” Dr. Zaiman menegur aku yang tercegat melihat Nora yang sudah menutup pintu kereta.
“Kita pergi ke hospital biasa saja,” ujarku tatkala Dr. Zaiman sudah menekan pedal pedal minyak.
“Kenapa tak masukkan ke hospital kita? Susahlah kalau awak nak jaga mak awak nanti.” Dr. Zaiman membidas.
“Saya boleh ambil cuti tanpa gaji.”
“Kalau mak awak ada di hospital kita, awak tak perlu cuti. Sambil bekerja pun boleh jaga mak awak.” Dia masih berusaha memujuk.
“Hospital biasa saja.” Aku ulang lagi permintaan aku.
“Tapi…”
“Saya ni orang miskin doktor! Mana ada duit nak bayar bil hospital yang mahal tu. Sebulan gaji saya pun belum tentu lagi boleh bayar untuk sehari punya bil. Faham tak?”
Diam pun kau. Apa kau ingat semua orang berkemampuan ke nak masuk ke hospital swasta?
“Kak Ira! Mak…” Kedengaran suara cemas Nora di belakang.
“Kenapa?” tanya Dr. Zaiman.
Aku dah berpusing ke belakang. Spontan saja kedua-dua lutut berada di atas tempat duduk. Panjang tangan aku menjangkau tubuh mak di pangkuan Nora. Aku tengok mata mak sekejap buka dan sekejap tutup. Aku pegang urat nadi di tangan mak. Masih stabil.
“Cepat sikit doktor,” arah aku.
Kereta Zaiman membelok ke kanan. Eh, ini jalan nak ke tempat kerja aku. Aku duduk semula dan pandang Dr. Zaiman.
“Kenapa…”
“Diam! Awak pentingkan duit atau nyawa mak awak?”
No comments :
Post a Comment