Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

June 18, 2013

Ni baju ke alas meja ?


Hati Seorang XXXL

Bab 8


               Gee hanya menguis – nguis mee goreng yang masih panas di dalam pinggan . Fikirannya jauh melayang ke kampung . Bayangan silam yang cuba dibuang jauh – jauh masih tidak mahu pergi dari kotak fikirannya. Alexandra yang sedari tadi memerhati mula kehairanan. Ada takungan air di tubir mata bos montelnya itu . Dia menggerak –gerakkan tangannya di hadapan Gee. Tapi gadis itu tidak memberikan tindak balas. Dipanggil berulang kali juga masih tidak menyahut .
        " Gee !" Alex meninggikan suaranya . Gee tersentak . Matanya bergerak memandang Alex dan menyebabkan airmata yang bergenang mengalir di pipi gebunya. Cepat –cepat dia menanggalkan cermin matanya untuk menyapu pipi yang basah . " You tak sihat ke ?" Tanya Alex . Gee menggeleng – gelengkan kepala. " Mungkin penat balik kampung tak hilang lagi kot ." Gee cuba menguntum senyum pada Alexandra . " You tak makan langsung breakfast you . I salah ambil order ke ?" Tanya Alex lagi . " Eh taklah ! Betullah ni . Emmm.. sedap ." Gee menyuap mee goreng ke mulut . Kemudian dia menyedut milo aisnya dengan satu nafas . Alex memandang Gee yang menghabiskan makanannya dengan pantas. Kemudian pinggan yang sudah kosong ditolak ke arah Alex .

" Ok . Done!" Gee tersenyum sambil mengesat mulut yang berminyak.

          " Apa schedule I hari ni ?" Tanya Gee . Dia cuba berlagak biasa . Alex bangun mengangkat pinggan dan gelas kepunyaan Gee . Dia keluar sebentar dan kemudian masuk semula dengan beberapa buah beg kertas di tangan. " Sebelum I bagitau jadual kerja you hari ni , ini barang yang you pesan ." Dihulurnya beg kertas yang dipegang tadi . Gee mengeluarkan satu persatu barang di dalam beg – beg kertas itu .
Dihamparkan sehelai blaus berwarna merah hati di atas meja . Tak semena –mena dia tertawa kecil . Matanya kelihatan berkaca – kaca . " Macam alas meja !" Ujarnya . Alexandra memandang Gee yang menghamparkan beberapa helai lagi baju – baju besar yang dibelikan semalam . Tawa Gee semakin kuat . " Gee …" Alexandra memanggil perlahan . Dia memandang setiausahanya . Lama mereka berdua berpandangan . Mata Gee semakin pedih . Kolam air matanya semakin penuh . Alexandra segera bangun dan mendapatkan Gee . Dipaut belakang kepala gadis itu dan direbahkan ke bahunya. Bagai anak kecil yang sedang dipujuk ibu , empangan airmata Gee membanjiri bahu Alexandra .

              " Menangislah Gee . Jangan tahan . I’m here for you ." Alexandra mengusap perlahan belakang badan Gee . Terhenjut – henjut pundak gadis itu menahan esak tangis . Alexandra hanya diam dan memberi ruang pada Gee menzahirkan kesedihan . Tidak pernah dia melihat Gee seperti itu . Gee yang dia kenali adalah seorang gadis yang periang . Senyuman manis sentiasa menghiasi wajah gebu gadis itu .

        " Alex , I dah kalah ! I dah kalah !" Gee cuba bertutur dalam esak tangisnya . " Shhhhhh….relaks okay . You bertenang dulu . Nanti baru cakap ." Ujar Alexandra lembut . Perlakuannya masih seperti tadi. Dia melihat jam di dinding . Waktu kerja sudah pun bermula 30 minit yang lalu . Dia menghulurkan tisu yang tersedia di atas meja kopi kepada Gee . Gadis itu mengangkat kepalanya dari bahu Alexandra . Dia mengesat pipinya yang lencun .

             " Habis cair mekap I !" Ujar Gee . Alexandra menepuk lembut tangan Gee . " Tengah sedih pun boleh buat lawak lagi ?" Alexandra tertawa kecil . Gee senyum nipis . " Thanks Alex . Terima kasih pinjamkan bahu you untuk I ." Gee menindihkan tangannya di atas tangan Alexandra yang sedang memegang tangannya . " So , are you ready to share with me ?" Tanya Alexandra . Dia juga ingin tahu apa yang menyebabkan gadis itu bersedih pada pagi itu . Gee tersenyum nipis . Dia mengeringkan matanya yang masih basah .
        " Alex , boleh tak you batalkan semua appointment I hari ni ? I nak baliklah . I rasa I tak bersedia nak kerja hari ni ." Ujar Gee lemah . Berkerut kening setiausahanya . " Adakah ini satu permintaan ? Atau satu arahan ?" Tanya gadis kacukan itu . Gee hanya tersenyum . Dia tahu Alexandra faham maksud kata –katanya . " Boleh , tapi …." Alexandra memandang Gee . " Tapi apa ?" Tanya Gee pula . " You bagitau dulu kenapa you menangis." Alexandra memandang Gee dengan pandangan yang serius . Gee tersandar di sofa mendengar permintaan pembantunya .Matanya dipejam rapat .
        " Gee , kalau you boleh anggap I lebih dari seorang pekerja dan juga pembantu you , you share dengan I . Kenapa you menangis tadi ? Boyfriend you meninggal ke ?" Alexandra cuba serkap jarang. Gee cuma menggeleng . " I cuma sedih , kenapa I dilahirkan dengan saiz macam ni ." Ujar Gee perlahan . Alexandra mengemam bibir mendengar jawapan Gee . " I pun ada hati dan perasaan Alex . I nak disayangi dan menyayangi . Tapi kenapa orang macam I ni selalu jadi bahan gurauan , bahan sindiran dan bahan cemuhan ?" Sambung Gee lagi . Sendunya masih bersisa .
       " Gee , you tak patut persoalkan tentang kejadian Tuhan . Setiap ciptaan yang telah Dia hasilkan tu pasti bersebab . Yang penting you bahagia . You ingat orang yang berbadan kurus tu bagus sangat ke ? Dan tak semua orang yang bersaiz besar ni sentiasa jadi bahan ejekan . I pun ada abang yang comel macam you . Tapi I tengok dia selalu berfikir positif . You kena kuatkan semangat Gee . Razita yang I kenal bukan macam ni. Come on Gee !" Alexandra menepuk – nepuk peha Gee .

        " Siapa yang berani ejek bos comel I ni ? Biar I tumbuk muka dia . I ada black belt tau!" Gurau Alexandra . Gee tertawa kecil . Dia menanggalkan cermin mata . Selepas menghela nafas dalam , dia meluahkan segala- galanya pada Alexandra apa yang terjadi di tempoh hari sehinggalah pada pertemuan semula dengan Reyhan . " Reyhan tu ex – boyfriend you?" Alexandra mencelah . " Tak , dia jantan tak guna yang suka mempermainkan perasaan orang . Dia malukan I di depan rakan- rakan di sekolah . Dia bagi I hadiah sempena " Friendship Day" dan sebagai balasan I jumpa dia dan ucap terima kasih . Tapi dia tak mengaku yang dia bagi hadiah tu pada I . Dahlah tak mengaku , dia ejek I depan kawan – kawan , tampal gambar I di papan kenyataan dan tulis yang bukan – bukan . I malu Alex! Maruah I ni di bawah tapak kaki dia masa tu . I tak diberi peluang untuk membetulkan keadaan ." Gee menahan sebak yang mula bertandang lagi . Dia memandang Alexandra yang masih setia mendengar .
        " I nak balik . Kalau ada apa – apa hal you minta Shauki gantikan I ." Gee bangun dan mencapai tas tangannya. Terkejut Alexandra dengan tindakan spontan Gee. Kelam kabut dia bangun dan mengejar Gee . Dia memanggil nama gadis itu berulang – kali .Tetapi Gee sudah pun berjaya masuk ke dalam perut lif .
Ketika sampai di tingkat bawah , Gee berjalan laju menuju ke kereta . Dia ingin pulang dan merehatkan otak . Dia mahu melupakan kejadian dia berjumpa dengan Reyhan tempoh hari . kalau boleh dia mahu menguburkan terus nama lelaki itu . Laju langkahnya melepasi ruang legar bangunan setinggi lapan tingkat itu . Dia mengeluarkan kunci kereta dari beg tangan . Dia menundukkan sedikit kepalanya untuk menutup kembali beg tangannya .
        
           " Aduh !" Gee memegang bahunya yang baru saja dilanggar seseorang . " Maaf saya tak sengaja .Saya nak cepat ni." Ujar lelaki yang melanggarnya tadi . Dia terus berlalu tanpa sempat Gee melihat wajahnya . Gee cuma mengetap bibir . Menahan hati yang masih sebal . 
         " Mentang – mentanglah aku gemuk . Toleh pun tak nak ! Cuba kalau aku kurus . Mesti kau nak minta nombor telefon aku !" Gee mengomel sendirian ketika menghidupkan enjin kereta . Sebelum menurunkan break tangan , Gee membetulkan hijabnya yang sedikit senget . Dia memegang hujung bahunya di sebelah kiri . " Mana pergi kerongsang yang aku pakai tadi ? Aku pakai ke tidak ?" Gee menyoal diri sendiri .

Sementara itu di pintu masuk lif di aras yang paling bawah ….

       " Excuse me uncle . You kenal tak perempuan yang berbadan besar tadi ?" " Siapa encik ?" Tanya Uncle Muthu kembali ." Perempuan yang pakai tudung warna hitam tadi . Yang pakai seluar warna hitam , baju lengan panjang warna kuning cair ." Lelaki itu menerangkan keadaan gadis yang dimaksudkan .
" Ooooooooo …. Itu Cik Razita . Kenapa ?" Uncle Muthu melihat tangan pemuda yang sederhana tinggi itu sedang memegang sesuatu . " Dia pekerja di sini ya ?" Soal lelaki itu lagi . Pegawai keselamatan yang berbaju putih itu hanya membalas dengan anggukan . Lelaki yang berkumis nipis itu tersenyum dan masuk ke dalam perut lif. Dia melihat kerongsang berbentuk rama – rama yang berada di tangannya .

" Razita …."

Hati Seorang XXXL

Bab 9


" Kalau aku bercinta dengan kau , papa kedanalah aku ! Kau punya makan je dah macam sepuluh orang punya makan . Badan macam tong dram . Berbau pulak tu ! Ada hati nak jadi awek aku ? Wei ! Balik cerminlah muka tu sikit !

" Tapi kad di bunga ni tulis nama kau ." Gee membela diri .

" Eeeeee… tolonglah ! Entah – entah kau sendiri yang tulis nama tu. Hei Buntal !Taste aku bukan spesis lori kontena tau! Kau ni tak termasuk langsung dalam senarai . Out of list . Faham !

Reyhan dan kawan – kawannya bangun . Sempat juga Reyhan melanggar hujung bahu Gee dengan bahunya .

" Aduh ! Patah bahu aku kena langgar dengan lori kontena . Tepi sikitlah! Tak pernah tengok papan tanda kat jalan raya tu tulis ? KENDERAAN BERAT IKUT KIRI !"

Reyhan dan rakan –rakannya ketawa terbahak – bahak . Diulang – ulangnya ayat itu sehingga mereka hilang dari pandangan Gee

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

          Lin menggerak – gerakkan badan Gee . Dari perlahan menjadi semakin kuat dan kasar . Gadis itu masih melayan tangis . Lin tiada pilihan . Dia menampar pipi gebu Gee . Beberapa kali ditampar barulah Gee bangun . Dia memegang pipinya yang kebas . Kanta matanya mengecut untuk mengawal cahaya yang matahari petang yang menyilaukan mata . Dia bangun dan bersandar di sofa . Lin yang masih berdiri memandang Gee dengan pandangan hairan .

      " Hang ni kenapa ? Meraung dalam tidoq ? Sebab itu lah orang tua – tua kata jangan tidoq lepaih waktu Asar . Nanti mewarisi penyakit gila !" Bebel Lin .Dia menanggalkan tudung bawal yang melilit kepalanya . Dicampak kain tudung bersaiz M itu ke atas sofa . Dia menghenyakkan punggungnya di sebelah Gee . " Hang masih fikirkan Reyhan ?" Soal Lin perlahan . Alexandra sudah menceritakan segala – galanya ketika dia mencari Gee di pejabat tengahari tadi . Cadangnya ingin mengajak Gee keluar makan bersama . Tak disangka pula rakan serumahnya pulang tanpa menitipkan apa –apa pesanan untuknya .
      
       " Sudah – sudahlah tu Gee . Tak guna hang ingat lagi kat Reyhan tu. Tak untung sekupang pun . Dah elok sangatlah dia dengan Weeda tu. Hang boleh dapat yang lebih baik dari Reyhan tu tau tak?" Lin menasihat Gee . Gee mengeliat panjang . Dia menyandarkan kepalanya pada bahu Lin .

" Aku ok lah …" Ujar Gee perlahan .

" Huh! Ok sangatlah tu . Hang buat pejabat tu macam tok hang yang punya . Balik ikut suka hati hang aje . Mujur Coki cover hang tadi ." Lin menunjal perlahan kepala Gee . Gee tersenyum kelat mendengar bebelan Lin .

" Pi mandi . Lepas Maghrib nanti kita pi makan kat kedai depan ni ajelah . Aku malas nak masuk dapur hari ini . Nak mengadap novel ." Lin bangun dan meninggalkan Gee yang masih tersandar di sofa . Gee cuba mengingatkan kembali mimpi yang bermain di dalam tidurnya tadi .

Wake up Gee , wake up ! Jangan biarkan trauma silam membunuh keyakinan kau . Ingat , DIEJEK LEBIH BAIK DARI MENGEJEK!

Gee menarik nafas dalam – dalam . Kemudian … " Arghhhhhhhhhhhhhh !"

" Woi ! Awat histeria petang – petang rembang ni? Gi mandi ! " Lin terjongol di muka pintu. Tubuhnya hanya dililit dengan tuala separas lutut . Gee bangun dan menghampiri Lin . Dia memegang kedua – dua bahu Lin .

"Aku janji , aku akan luputkan ingatan aku pada jantan keparat tu . Aku akan jadi Gee yang baru . Aku berhak untuk gembira macam orang lain !" Bersemangat sungguh dia melontarkan kata –katanya . Mata Lin direnung tajam .

" Errrr…. Okay . Aku faham . Sekarang pergi mandi ya. Nak jadi Gee yang baru pun kena sembahyang juga . Yang tu tak boleh ubah ." Lin menyeringai. Gee melepaskan bahu Lin dan masuk ke dalam bilik . Dia mencapai tuala dan terus ke kamar mandi . Azan Maghrib berkumandang sebaik saja dia usai mengangkat wudu’.

             Dia menyarung pakaian solatnya , membentang sejadah mengadap kiblat dan mengambil kerusi di meja solek . Gee mengetap bibir sambil meletakkan kerusi kayu berwarna hitam itu di atas sejadah . Dia menggunakan kerusi itu ketika sujud . Saiz badannya menghalang dia untuk sujud dan duduk diantara dua sujud dengan sempurna .

" Kalau aku kurus , tak perlu guna kerusi . Dah macam OKU pulak." Gee mengutuk diri sendiri .

            Agak panjang doa yang dipanjatkan dihujung solat Gee maghrib itu . Dia menangis semahu - mahunya . Dia amat mengharapkan agar tangisan itu akan menjadi ratapan yang terakhir untuk lelaki yang telah mengaibkan dirinya .

        Ya Allah Ya Maha Mendengar . Berikanlah kekuatan pada hambamu yang lemah ini . Kau tiupkanlah semangat dalam diriku agar aku bisa membina keyakinan dalam menghadapi hari - hari mendatang . Kau ampunkanlah dosa mereka - mereka yang telah mengaibkan kejadianmu yang Allah . Hanya Engkau yang layak menghukum mereka Ya Allah . Kau yang lebih mengetahui apa yang aku rasakan ketika ini . Bantulah aku Ya Allah ! Bantulah Aku! Amin ... Ya Rabbal Alaminnnnn..

         Gee memekup muka . Dia menangis lagi . Runtun hatinya ketika itu hanya dia saja yang tahu. Memang sukar melaksanakan dari memperkatakan . Ketukan di pintu menghentikan aksi sedih Gee . Mujur dia mengunci pintu bilik . Jika tidak pasti Lin akan menerpa masuk . Semakin kuat ketukan pintu . Gee bangun dan menanggalkan telekung. Dia masuk ke bilik air untuk membasuh muka . Dia tidak mahu Lin tahu yang dia menangis lagi.

         " Dah siap?" Soal Lin sebaik saja Gee membuka pintu . Dia sudah lengkap berpakaian . Dia masuk dan duduk di birai katil . Dia memerhatikan Gee bersiap di hadapan almari solek . Sejak dia berkawan rapat dengan gadis itu , belum pernah dia melihat Gee sesedih hari ini . Gee tidak pernah menunjukkan kesedihannya pada orang lain . Fahamlah Lin bahawa peristiwa yang terjadi benar -benar memberikan kesan pada Gee.

      " Gee ...." Panggil Lin . Gee menoleh . Dia menyarung tudung dan mengemaskan lagi sapuan bedaknya . " Apa ?" tanya Gee apabila melihat Lin hanya diam ." Aku tahu kau kuat Gee. Jangan fikir lagi pasal Reyhan ya ." Lin bangun dan memegang erat tangan Gee . " Terima kasih Lin . Dah jom. Cacing aku dah bising kat dalam perut ni." Gee ketawa .

       Mereka berdua cuma berjalan kaki ke kedai makan yang terletak di hadapan pangsapuri kediaman mereka . Tidak ramai pelanggan di restoran itu ketika ini. Pelayan restoran datang membawa menu . Lin cuma memesan segelas jus belimbing dan nasi goreng.

Apabila menu disuakan pada Gee ....

" Bagi saya ais kosong satu , milo ais gelas besar satu , nasi putih , tomyam campur untuk dua orang makan , kailan goreng ikan masin , telur bungkus dan sotong goreng tepung . Bagi sambal belacan sekali ya." Pinta Gee . Dia tersenyum melihat pelayan ligat mencatatkan pesanannya.

       " Weh ! Paku tekan dalam kotak , hang ni makan ke melantak ?" Lin melihat senyuman lebar terukir di bibir Gee. " Kau macam baru kenal aku semalam pulak! Aku kalau stress kan memang macam ni. He he .." Gee ketawa lagi . Lin cuma menggeleng - gelengkan kepala .

         " Ada apa - apa yang berlaku di pejabat siang tadi " Tanya Gee sementara menunggu makanan yang dipesan tiba ."Ada , tapi bukan tadi . Besok. Besok kita semua akan diperkenalkan dengan seorang pegawai baru . Dia gantikan tempat bos kita yang nombor dua." Terang Lin. " Siapa nama dia ?" Tanya Gee.

" Fakhri .... "
 
 
 
 

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.