Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 15, 2014

APA DAH JADI? BAB 6

           
                Ramai betul jemputan pada hari ini. Rakan sekolah, rakan seuniversiti, jiran-jiran tetangga, semua ada. Meriah betul majlis pertunangan aku dan Durani. Dah macam majlis kahwin pula. Pelaminan di anjung rumah Pak Zahar nampak indah dari jauh. Dah jadi trend zaman sekarang. Bertunang pun nak berpelamin bagai. Aku yang lelaki ni pun dapat cincin perak. Berbaju melayu siap bersamping, macam nak nikah terus rasanya. Durani tersenyum manis diapit mak yang baru saja menyarung cincin ke jari manisnya. Akhirnya apa yang aku hajatkan tercapai juga.
            “Johaimi...”
            Bahu disentuh lembut dari belakang. Pak Zahar. Segera aku berpaling. Senyum lebar aku sedekahkan padanya.
            “Lepas ni aku nak kau kumpul duit cepat sikit. Tak payah tunang lama-lama.” Pak Zahar bersuara tegas. Tak ada senyum pun di wajahnya.
            “Inshaa Allah abah... akan saya usahakan.”
            “Oi! Belum rasmi lagi jadi menantu aku, jangan berangan nak panggil aku abah.”
            Aku garu kepala yang tidak gatal. Aduh mulut ni! Macam mana boleh tersasul pula? Rasa macam tak selesa pula bila Pak Zahar duduk semeja. Dalam banyak-banyak meja yang ada di bawah khemah ni kenapa di sini juga yang dia pilih? Serba tak kena aku dibuatnya. Aku ambil cawan kosong dan tuangkan Teh O suam untuk Pak Zahar.
            “Apa rancangan kau lepas ni?”
            Pak Zahar menyua cawan ke mulut. Dia yang minum Teh O, tapi aku yang telan air liur. Berbual dengan Pak Zahar ni kena susun ayat cantik-cantik. Salah cakap nanti memang berdesing telinga kena perli.
            “Kumpul duit,” jawab aku perlahan. Ada garis senyum sinis terukir di bibir Pak Zahar.
            “Sempat ke nak kumpul dua puluh ribu dalam masa setahun? Berapa gaji kau sekarang?” tanya Pak Zahar. Kopiah di kepala di tolak sedikit ke belakang, menampakkan jambulnya yang penuh uban.
            “Inshaa Allah sempat. Kalau tak sempat, saya buat loan ajelah nanti.” Aku tunjuk sengih nakal. Pak Zahar menjuih bibir. Dia ni tak makan gurau langsunglah.
            “Huh! Belum apa-apa lagi dah nak berhutang. Nanti dah beranak-pinak pun hutang masih tak berbayar. Cubalah cari alternatif yang lebih bagus sikit. Lagipun kau nak buat loan dengan bank mana? Kau kerja kat stesen minyak aje kot? Lepas ke?
            “Saya bukan nak buat loan  dengan bank?”
            “Habis tu, kau nak pinjam along? Kau jangan cari pasal Johaimi. Tak pasal-pasal anak aku jadi janda berhias nanti.” Pak Zahar menyua kembali cawan Teh O ke bibir.
            “Hish! Tak pernah terlintas dalam kepala saya nak meminjam dengan jerung besar tu Pak Zahar. Saya buat loan dengan Pak Zahar ajelah, boleh?”
            Burrrr!!!!                           
            Aku sapu muka yang basah dengan air Teh O. Kurang asam betullah  Pak Zahar ni. Kot ya pun terperanjat janganlah sampai menyembur orang. Aku dengar orang gelak. Tapi bukan suara dia. Itu suara mak. Eh, suara Zarith pun ada. Air semburan Pak Zahar yang berada di hujung bibir aku jilat sikit. Kenapa rasa macam air paip pula?
            “Mie!”
            Bahu digoncang kuat. Serentak dengan itu, aku rasa seperti ada orang menyelak kaki seluar.
            “Awww!!!”
            Mata terbuka. Orang pertama yang aku nampak adalah Zarith. Ada beberapa helai bulu kaki aku di hujung jarinya. Kurang asam!
            Baru nak jerit nama dia, aku rasa kepala aku basah. Kepala mendongak ke atas. Mak sembur kepala aku dengan penyembur air yang selalu dia gunakan ketika menggosok. Eh, mana pergi Pak Zahar tadi?
            “Kau mengigau apa ni budak bertuah? Sebab itulah mak pesan, lepas Subuh tak elok tidur.”
            Eh! Aku mimpi ke? Biar betul ni. Aku tengok diri sendiri. Mana pergi baju melayu sedondon dengan persalinan Durani tadi? Aku raba diri sendiri. Muka, tangan dan badan. Cincin perak yang tersarung di jari aku pun dah tak ada.
            “Pak Zahar mana mak?”
            “Kat rumah dialah!”
            Kuat suara mak menempelak, sama kuat dengan dekahan tawa Zarith. Bulu kaki yang masih dipegang dia lempar pada aku.
            “Abang Mie ni dah parah tau. Ingatkan mimpi Kak Dura aje. Abah dia pun enterframe sekali?”
            Zarith tolak kedua-dua kaki aku ke bawah. Eh, aku di atas katil rupanya. Maknanya, adegan sarung-menyarung cincin tadi tu hanya mimpi. Tak boleh jadi. Kalau sampai dah terbawa-bawa dalam mimpi, aku harus realisasikan mimpi itu. Hal duit, akan aku usahakan  kemudian. Apa yang penting, aku mesti bertunang dengan Durani dalam masa terdekat ni.
            “Mak...”
            Aku melompat turun dari katil dan terus tarik tangan mak duduk di kerusi meja solek. Aku berlutut depan mak. Hilang terus gelak tawa orang tua tu. Zarith pun dah menyibukkan diri di sebelah mak.
            “Tolong pinangkan Durani mak... please...” Terkeluar suara sengau aku merayu mak.
            “Amboi! Celik biji mata terus suruh mak pinang budak Durani tu? Hmmm.... Kau ni gelojoh sangatlah Mie.”
            “Mie tak main-main ni mak. Mie tak nak Dura jatuh ke tangan orang lain. Mie cuma nak kahwin dengan Dura.”
            Tangan mak aku goncang kuat. Makin serius muka mak. Aku pun sama. Teringat pula jumlah hantaran yang Pak Zahar katakan di dalam mimpi tadi. Dua puluh ribu. Tak banyak mana pun jumlah tu. Akan aku usahakan sampai sehingga cukup nanti. Apa yang penting sekarang, aku nak ‘ikat’ Durani dulu.
            “Mak, Mie dah apply banyak jawatan kosong dalam internet. Mie yakin Mie akan dapat kerja yang sesuai dengan kelulusan Mie tak lama lagi. Tolonglah mak. Kita bertunang dulu. Mie janji, Mie akan kerja lebih kuat lepas ni.”
            Mata dah berair. Hilang kejantanan aku bila berhadapan dengan mak. Sumpah, aku sayang Durani sepenuh hati dan sanubari. Biarlah Pak Zahar tak suka aku. Aku yakin bila dah dapat kerja tetap dan bergaji besar nanti, pasti dia akan terima aku sebagai menantunya. Tapi apa pun terjadi, aku nak bertunang dulu dengan Durani. Sekurang-kurangnya hati ni taklah risau sangat bila terpaksa berjauhan nanti.
            “Malam nanti kita pergi rumah dia.”
            Mata terbeliak. Betul ke apa yang aku dengar ni?
            “Kejap lagi mak call Pak Zahar. Kalau dia free malam ni, lepas Maghrib kita pergi rumah dia.
            Aku terus peluk mak. Ya Allah, langkah pertama sudah terbuka. Lega sikit hati. Mak bersetuju juga akhirnya. Dua-dua pipi mak aku cium kemudian capai tuala dan terus ke bilik mandi. Eee... lambatnya nak tunggu malam.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Amboi! Senang hati nampaknya hari ni. Kena loteri ke?”
            Abang Zali, pengusaha stesen minyak tempat aku bekerja menepuk bahu aku berkali-kali. Aku senyum tak terkata apa. Memang tengah senang hati pun. Rasa macam nak saja aku peluk Abang Zali dan bagitau dia yang aku nak bertunang dengan Durani. Tapi takut dia cakap aku buang tebiat pula nanti. Johaimi, sila kawal diri. Aku berdeham perlahan sambil membetulkan topi di kepala.
            “Abang ada hal nak cakap dengan kau ni. Masuk office kejap, boleh?” tanya Abang Zali.
            “Boleh. Kejap ya bang. Saya layan customer ni dulu. Nanti saya masuk office.
            Abang Zali menunjukkan tanda bagus kemudian dia pergi ke pam sebelah, memeriksa kerja-kerja Malik pula. Sambil membersihkan cermin kereta pelanggan yang sedang mengisi minyak, otak ligat berfikir. Apa halnya Abang Zali nak jumpa aku? Selalunya dia suka berbual santai. Kalau buat briefing  pun dia lebih suka buat di tempat terbuka. Jarang sangat pekerja-pekerja bawahannya diajak masuk ke dalam pejabat. Setahun aku bekerja di sini, rasanya baru tiga kali aku masuk ke pejabatnya.
            “Joe!”
            Abang Zali melaung dari pintu masuk Mart. Dia bagi isyarat suruh aku ikut dia.
            “Bos panggil tu. Pergilah, biar aku cover.” Malik di pam sebelah pula melaung. Suara masing-masing dah tak payah guna mikrofon. Satu batu dah boleh dengar. Cepat-cepat aku berkejar ke pintu Mart yang hampir tertutup.
            “Ada apa hal ni bos?” Aku terus duduk di depan meja dia. Berlumba-lumba nafas mengah keluar dari hidung. Berlari tak jauh mana pun. Nampak sangat aku dah lama tak bersenam. Stamina dah kurang.
            “Bulan depan aku nak buka satu lagi stesen minyak. Kau jaga stesen minyak kat sana, nak tak?”
            “Sana tu kat mana?”
            “Tampin.”
            “Mak ai! Jauh tu bang. Tak naklah.”
            Cepat betul aku buat keputusan. Tampin? Jauh tu kalau nak berulang-alik dari Melang. Kalau kena kerja shif pagi, pukul berapa aku nak bertolak dari sini?
            “Aku tak nampak orang lain yang sesuai buat kerja ni. Bolehlah, ya? Nanti aku carikan rumah sewa untuk kau. Atau, kau boleh pakai kereta aku kalau kau nak ulang-alik dari sini.”
            Pergh! Gila ke apa Abang Zali ni? Senang-senang aje dia offer macam-macam. Dia nak prank aku ke? Aku amati sekejap sekeliling bilik Abang Zali. Manalah tahu kalau-kalau ada kamera tersembunyi.
            “Petang ni lepas kerja aku bawa kau pergi tengok stesen minyak kat sana, ya.”
            “Eh, saya belum bagi apa-apa keputusan lagi ni bang. Jauh sangat tu. Kalau ada apa-apa hal dengan mak dan Zarith nanti, susah pulak saya.” Meluncur laju alasan munasabah dari mulut aku. Memang aku berat hati nak meninggalkan mak dan Zarith.
            Tersandar Abang Zali. Wajah aku ditatap tajam. Aku geleng perlahan. Kalau dia berkeras, aku lebih rela berhenti kerja. Apa jadi sekali pun aku takkan sanggup berjauhan dengan mak. Dari wajah serius, Abang Zali menguntum senyum.
            “Atau...” Dia rapatkan dada ke meja.
            “Kau jaga stesen minyak kat sini, aku yang pindah ke sana.”
            Terbeliak mata aku. Pantas betul otak dia ni berfikir. Abang Zali menggoyang-goyangkan kening. Dia hulur tangan, nak berjabat dengan aku. Amboi! Dah ada kata putus ke? Dia yakin ke aku mampu jaga stesen minyak dia ni. Dalam teragak-agak, aku hulur perlahan tangan kanan. Laju dia menggoncang tangan. Kemudian dia berdiri. Poket seluar diseluk. Segugus kunci dihulur.
            “Tahniah! Mulai dari hari ini, semua staff yang bekerja di stesen minyak ni berada di bawah pengawasan kau.”
            “Eh! Apa ni bang? Mendadak sangat ni. Saya belum bersedia lagi.”
            Aku cuba serahkan semula kunci di tangan. Tapi Abang Zali lebih pantas menggenggam tangan aku. Mata bersabung. Aku menggeleng, tapi Abang Zali mengangguk.
            “Sampai bila nak jadi pam atendan?” tanya Abang Zali.
            “Tapi bang...”
            “Abang bagi kau peluang untuk majukan diri. Tak teringin ke nak kahwin dengan Durani? Harga minyak makin naik sekarang tau. Tak mustahil hantaran pun akan naik juga.”
            Mendengar nama Durani saja, semangat aku melonjak tiba-tiba. Sejak sekolah lagi aku dah syok kat dia. Bohonglah kalau aku tak teringin nak jadikan dia isteri. Tawaran Abang Zali aku fikirkan semula. Inilah peluang untuk aku kumpul duit. Jadi Penyelia Stesen Minyak, gajinya pasti lebih tinggi dari atendan pam, kan?
            “Tapi kalau kau betul-betul menolak tuah, aku offer job ni pada Malik aje...”
            “Eh, jangan bang! Saya... saya terima. Saya terima...”
            Ada ke Budak Bangla tu nak dijadikan ketua. Habis semua main drama Hindustan nanti. Kalau ikutkan, kerja penyelia taklah sesusah mana. Sebelum ini pun dah banyak kali aku menggantikan tempat Abang Zali. Beruntungnya aku dapat jadi orang kepercayaan dia.
            Telefon berbunyi. Nak dijawab, serba-salah pula. Abang Zali tepuk bahu aku berulang kali. Matanya  menunjuk isyarat, suruh aku jawab panggilan.
            “Besok dah mula kerja dengan jawatan baru tau. Jangan datang lewat pula. Rugi stesen minyak aku nanti.”           
            Kembang rasa dada bila Abang Zali berseloroh macam tu. Bangganya dengan diri sendiri. Abang Zali masuk semula ke pejabat. Nak berkemas agaknya. Aku berlari keluar dari Mart. Telefon yang masih berbunyi terus aku tekan butang hijau.
            “Assalamualaikum...” Suara di dalam talian terlebih dahulu memberi salam.
            “Waalaikumsalam. Pak Zahar ke tu?” Tak perlu pengesahan pun sebenarnya. Tertera nama ‘Rumah Durani’ di skrin. Kalau suara lelaki, siapa lagi kalau bukan abah dia, kan?
            “Kau habis kerja pukul berapa? Pakcik nak jumpa kau malam karang, boleh tak?”
            “Boleh.... Saya habis kerja pukul tujuh nanti.”
            Tenang pula suara ni menjawab soalan Pak Zahar. Tak terketar-ketar seperti selalu. Mungkin keyakinan makin tinggi sejak dinaikkan pangkat kot. Aku sengih sorang-sorang. Pak Zahar. Bakal menantu awak ni dah naik pangkat tau.
            “Jangan lupa bawa mak kau sekali. Assalamualaikum.”
            Dia terus matikan panggilan. Huh! Dasar orang tua poyo. Mujurlah aku sayang kat anak dia. Kalau tidak memang taubatlah aku nak berbaik-baik dengan dia. Bibir tersengih kembali bila teringat Durani. Dura...Siapa kata Joe tak boleh berjaya di tempat sendiri? Lepas ni pasti mata bapa mertua aku akan terbuka luas. Menantu dia dah jadi penyelia stesen minyak. Giler tak bangga?
            Habis waktu kerja petang itu, aku terus ke gerai burger. Tercengang-cengang Mazli dan Fauzi tengok aku datang dengan baju kerja. Kelam-kabut masing-masing menyiapkan dapur. Huh! Tahu pula takut. Kalaulah aku dah tak buat kerja part time ni, rasanya memang ada potensi gerai ni ‘bungkus’ nanti. Modalnya lebih banyak keluar dari untung yang masuk.
            “Awal kau sampai hari ni Joe.” Mazli menegur.
            “Saja nak buat spotcheck.”
            Terjuih mulut Fauzi. Dia tahu aku cuma bergurau. Gerai burger tu didirikan dengan modal bersama. Tak ada siapa pun yang jadi bos. Tapi aku memang serius menjayakannya. Tak tahulah mereka. Kalau boleh aku nak gerai tu bertahan sampai bila-bila.
            “Aku tak dapat nak joint korang malam ni. Ada hal sikit.”
            “Nak pergi datinglah tu...” Mazli memerli dengan suara meleret.
            “Bukanlah. Aku nak pergi jumpa bakal bapak mertua.”
            Dua-dua pandang aku. Aku sengih sambil menjongket kening. Kenapa? Tak percaya? Hei! Ini Johaimi lah. Apa barang dating-dating ni. Amboi! Poyonyaa aku.
            “Macam serius aje bunyinya tu.” Fauzi pula menyampuk.
            “Memang serius pun. Banyak benda aku nak bincang dengan abah dia. Satu lagi, aku ada berita baik ni. Aku dah naik pangkat jadi supervisor...”
            “Pergh!!! Dasatlah kawan aku. Tahniah Joe. Patutlah confident aje nak jumpa bapak mertua.”
            Mazli menepuk-nepuk bahu aku. Fauzi pun turut berjabat tangan. Siap high five lagi. Siapa tak bangga, kan? Budak jual burger pun layak jadi supervisor tau.
            “Aku pergi dululah. Nak balik cuci motor. Jumpa bapak mertua mesti kena bersih-bersih, kan?”
            Enjin motor aku hidupkan bersama kenyitan nakal buat sahabat-sahabat susah dan senang aku tu. Tak boleh berlengah lagi. Aku yakin mak juga sedang bersiap-siap di rumah. Durani... tunggu Joe datang ya. Datang membawa harapan untuk membina mahligai bahagia.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Berapa gaji Penyelia yang Zali tu bagi?”
            Berkerut kening mak mendengar soalan Pak Zahar. Ada riak kurang senang terpancar di wajah tua itu. Makcik Intan, ibu Durani juga nampak serba tak kena. Muka dia antara nak senyum dan tidak. Aku pula, cuba mengawal kesabaran sebaik mungkin.
            “Abah...”
            Suara Durani yang sangat perlahan buat aku rasa macam nak bangun dan peluk dia. Aku tahu dia cuba mempertahankan aku. Hanya dengan jegilan mata, Durani berlari masuk ke dalam bilik. Garang betullah Pak Zahar ni.
            “Bang Zahar... Kami ni datang...”
            “Suruh anak kau jawab dulu soalan aku tadi.” Cepat betul dia memangkah kata-kata mak. Aku mengemaskan sila. Orang tua ni pun, yang nak menggarang tak tentu pasal ni kenapa? Aku dah datang dengan cara baik ni. Tak boleh ke cakap elok-elok? Bawa lari anak dara dia nanti, baru dia tahu.
            “Pasal gaji tu...”
            Aku pancing perhatian Pak Zahar. Berjaya. Pandangannya terarah pula pada aku. Susah betul nak tengok orang tua ni senyum. Punyalah lebat misai dia, sampai tak nampak bibir sebelah atas. Dah berapa lamalah agaknya dia simpan misai tu?
            “Kalau aku nak kau siapkan dua puluh ribu, sanggup?”
            Pertanyaan Pak Zahar buat duduk mak jadi tegak. Dia dan mak Durani berpandangan. Aku masih berlawan tatapan dengan Pak Zahar. Cepat fikir Johaimi. Dua puluh ribu tu! Bukan dua puluh sen. Otak dah jadi kalkulator. Tambah tolak bahagi darab semua pendapatan aku bekerja siang dan malam, yes! Aku dah tahu jawapannya.
            “Dua puluh ribu. Itu saja?”
            Macam nak tersembul keluar mata Pak Zahar bila aku menyoal dia. Mak lepuk peha aku dengan kuat. Aku pandang mak dan mengangguk dengan yakin.
            “Kau mampu ke?” tanya Pak Zahar.
            “Kalau pakcik bagi saya masa, inshaa Allah akan saya siapkan dua puluh ribu yang pakcik nak.”
            “Ya ke ni? Kau ada duit ke?” Pak Zahar tertawa kecil. Eh, berani dia perlekehkan aku?
            “Duit boleh cari pakcik. Durani punya pasal, berpuasa setahun pun saya sanggup. Dua puluh ribu saja, kan?”
            “Hmm, dua puluh ribu. Selagi aku tak nampak dua puluh ribu tu, aku tak nak kau datang sini.”
            “Saya tak datang sini. Tapi kalau saya nak jumpa Durani kat luar, boleh kan?”
            “Mie...” Mak menegur. Tak berkenaan agaknya dengan cara aku berbual dengan bakal besannya.
            Aku capai cawan di atas meja. Dah dekat sejam air terhidang. Karipap yang digoreng oleh Durani pun dah hilang garingnya.Ketika hujung cawan hampir mengena bibir, mata terpandang Durani yang sedang mengintai di balik langsir. Aku senyum. Dia tak balas tetapi terus masuk ke bilik dan tutup pintu. Malulah tu. Betul-betul macam gadis pingitan. Sukanya aku. Sabar ya sayang. Sampai masanya nanti pasti aku berpeluang juga masuk ke bilik itu.
            “Kalau tak ada apa-apa lagi, kami balik dululah Bang Zahar. Maaflah, kami datang sehelai sepinggang aje....” Mak berbasa-basi. Dia cuit aku, ajak beredar.
            “Aku memang tak nak kau bawa apa-apa pun. Cuma nak suruh siapkan duit aje. Ingat tu Johaimi. Dua puluh ribu. Tak lebih tak kurang...” Sekali lagi Pak Zahar mengingatkan aku.
            “Hish! Abang ni macam nak menjual anak pula.” Mak Intan menyanggah kata-kata Pak Zahar.
            “Apa pulak menjual anak? Zaman sekarang ni zaman duit tau tak? Anak aku tu cikgu. Paling tidak pun biarlah setimpal dengan usaha kita hantar dia pergi belajar tinggi-tinggi. Ya tak?”
            Aku bangun, senyum sikit dan terus salam Pak Zahar. Baik aku keluar dari situ sebelum tangan aku terhayun ke muka dia. Kalaulah arwah abah ada sekarang, pasti dah bertikam lidah. Baran dia pun boleh tahan sama jugak dengan Pak Zahar.
            “Sal... kau jangan ambil hati pula dengan Abang Zahar tu, ya. Mulut dia tu memang macam tu.”
            Mak Durani menghantar kami hingga ke luar. Pak Zahar tak peduli pun dengan kami. Lepas bersalam dia duduk semula mengadap televisyen.
            “Kak Intan, mujurlah budak berdua ni dah lama berkawan. Saya pun memang dah lama berkenan dengan Durani. Kalau tidak, memang saya suruh Johaimi cari orang lain. Dua puluh ribu tu kak. Tak boleh kurang lagi ke? Dah macam menjual anak pulak.” Walaupun suara mak perlahan, tetapi agak keras. Baru berpeluang nak melepaskan geram.
            “Kalaulah Kak Intan boleh membangkang, mahu terbalik rumah ni agaknya. Kau faham-faham ajelah Abang Zahar kau tu. Cakap dia aje yang betul.”
            Sedap betul mak Durani mengumpat laki dia sendiri. Aku hidupkan enjin motor. Hati mengharap Durani aku keluar meninjau. Namun hampa. Tak apalah. Mungkin takut dimarahi Pak Zahar. Sebaik saja mak membonceng di belakang, kami keluar dari perkarangan rumah Durani.
            Tiba saja di rumah, aku dan mak tak terus masuk. Zarith yang menjenguk ke luar aku suruh masuk sambung menonton di dalam. Aku tahu, banyak perkara yang ingin mak bincangkan.
            “Betul ke kau boleh siapkan duit tu Mie? Banyak tu. Barang kemas yang mak ada tu pun tak sampai lima ribu kalau kita tolak kat kedai.”
            Sebak rasa hati. Mak sanggup bergadai demi aku. Perlahan-lahan aku pegang tangan mak.
            “Mak doakan Mie, ya. Inshaa Allah...”
            “Mak memang selalu doakan anak-anak mak. Kau jangan buat benda yang bukan-bukan pula Mie. Tak baik makan duit haram.”
            “La... apa sampai ke situ pulak?”
            “Manalah tau. Nak kahwin punya pasal, kau sanggup merompak bank ke... pinjam Ah Long ke...”
            Tercuit hati mendengar andaian mak. Pipi mak aku cium. Bahunya aku peluk erat. Kami diam melayan bunyi-bunyian unggas malam. Mak, Mie takkan bertindak sebodoh itu. Mie takkan conteng arang ke muka mak. Bagaimana cara sekali pun akan Mie usahakan dua puluh ribu itu. Tapi dengan cara yang halal. Ya Allah, permudahkan usahaku...

APA DAH JADI? BAB 5


              “Kau tak kerja ke hari ni Mie?” Mak melaung di dapur.
            “Kerja petang...” Aku mengeliat malas. Dari duduk di sofa, aku bangun meninjau halaman rumah. Bosannya. Apa aku nak buat pagi-pagi Sabtu ni? Nak basuh motor, sekarang musim hujan. Membazir air dan tenaga saja nanti.
            “Abang...” Zarith tarik hujung baju. Ditangannya terpegang sebuah buku kerja. Hmmm, nak tanya kerja sekolahlah ni.
            “Tolong tunjukkan jalan kerja latihan Matematik ni boleh tak?” Buku di tangan dia hulur. Aku berjalan ke meja belajarnya di tengah rumah. Sekali tunjuk, dia tak faham. Aku tunjukkan jalan yang mudah pula. Dia tak faham juga. Sekali lagi aku tunjukkan jalan penyelesaian latihan Matematik itu. Zarith menggaru kepala.
            “Takkan tak faham lagi?” Aku letak pensel. Kedua-dua tangan aku silangkan ke dada bila melihat Zarith menggeleng perlahan.
            “Kau ni banyak sangat makan kepala ikan bilis. Sebab tu ilmu susah nak masuk.”
            “Banyaklah abang punya kepala ikan bilis. Cara abang ajar tak sama dengan yang cikgu ajar.”
            “Apa yang tak sama?”
            “Ayat Matematik abang tak tersusun langsung. Tak best! Macam ni ke abang mengurat Kak Durani dulu?”
            “Eh! Apasal melencong ke situ pulak? Kau jangan nak main-mainkan abang, ya? Nak kena sekeh?”
            Aku bangun. Panas telinga diperli Zarith. Tak padan dengan kecik. Mulutnya mengalahkan murai. Ikut sedap mulut dia saja nak cakap apa.
            “Nak ajar ke tak ni?” Dia sudah menjerit.
            “Tak kuasa! Kau pergi tanya orang lain.”
            Aku masuk ke dapur. Ambil botol air di dalam peti sejuk. Punggung ku henyak di kerusi meja makan dengan kasar. Berkeriut bunyi meja makan, tertolak sedikit. Terhenti tangan mak menyiang ikan.
            “Kenapa nampak serabut sangat ni?” Mak sambung membersihkan ikan yang sudah bersiang.
            “Entahlah mak. Hati Mie ni rasa tak sedaplah.” Aku raup muka berkali-kali.
            “Cuba tambah sos tiram, bubuh garam lebih sikit. Mesti lagi sedap...”
            Mak terkekek ketawa dengan lawak sendiri. Aku senyum sikit saja. Senyum ambil hati. Air di dalam botol aku tuang ke dalam gelas untuk kali yang kedua. Tak cukup sejuk lagi tekak ni.
            “Mak...”
            “Hmmm...”
            “Mak tolong pinangkan Durani, boleh?”
            “Allah hu akhbar!!! Kau mimpi apa malam tadi Mie? Tiba-tiba nak suruh mak pinang budak tu?”
            Ligat tangan mak melumur kunyit pada ikan. Ke sana ke mari mata aku mengikut pergerakannya. Dia fikir aku main-main ke? Tak boleh jadi ni. Sambil dia menunggu minyak di dalam kuali panas, mak letak bakul berisi kacang panjang di atas meja. Aku tarik bakul itu ketika dia sudah bersedia bersama pisau pemotong sayur.
            “Mie cakap betul-betul ni mak. Mie dah bersedia...”
            “Dah bersedia? Bersedia dari segi apa?” Mak senyum sinis. Dia ambil bakul yang aku tarik tadi dan duduk di hujung meja. Dia kerling aku sekejap sebelum menyambung kerja.
            “Kau jangan cakap yang kau dah bersedia dari segi zahir dan batin.” Mak beri amaran bersama kerlingan tajam.
            “Memang itulah yang Mie nak cakap pun.” Aku buat sengih nakal. Spontan tangan mak membaling batang kangkung ke arah aku.
            “Gatal kau ya? Sekarang ni bukan setakat zahir dan batin aje perlu bersedia. Tu, poket tu pun kena tebal juga tau tak?” Panjang muncung mak bebelkan aku.
            “Mie dah lama berkawan dengan Dura tu mak. Dah kenal pun hati budi masing-masing.”
            “Yang tu satu kampung dah tahu. Sejak zaman sekolah lagi, korang berdua tu macam belangkas...”
            “Sebab itulah Mie nak kahwin cepat.” Laju aku potong cakap mak. Harap-harap mak dapat tunaikan hasrat hati aku yang satu ni. Aku nak buktikan pada Pak Zahar, aku betul-betul sayangkan anak dia tu.
            “Kau nak bagi anak orang tu makan apa nanti Mie?”
            “Setakat makan kami berdua, Mie masih mampu lagi mak.”
            “Huh! Kau fikir abah Durani tu bagi ke kau kahwin dengan anak dia? Orang tua kedekut pahit tu, dalam kepala dia cuma ada gambar duit aje Mie. Kau ingat senang ke nak buat kenduri kahwin ni? Kalau setakat gaji kau kerja kat stesen minyak dan jual burger tu, nak beli baju dalam Durani pun tak lepas tau tak?”      
            Pergh! Berdesing telinga aku. Tajam betul kata-kata mak. Lemah segala saraf bila mak jatuhkan semangat aku begitu. Merah padam muka menahan bengang. Mak buat-buat tak nampak bila aku merenungnya tajam. Seekor demi seekor ikan dimasukkan ke dalam kuali. Kemudian dia menyambung kerja-kerja memotong sayur.
            “Mak bukan nak kondem anak sendiri. Tapi kalau mak jadi orang tua Durani pun, mak mestilah nak yang terbaik untuk anak-anak. Kau sendiri pun boleh berfikir. Takkanlah bila dah kahwin nanti, kau nak makan duit bini?”
            Aku diam. Tak tahu nak cakap apa. Ikutkan hati nak saja aku tekup-tekup mulut mak, suruh dia diam. Makin banyak ulasan mak, makin pedih hati aku. Tapi memang itulah kebenarannya. Hairannya aku. Kenapalah mak bapak sekarang ni lebih mementingkan harta-benda?
            “Tolong mak balik-balikkan ikan tu. Nak habiskan potong sayur ni kejap.”
            Aku bangun dan laksanakan suruhan mak. Melihat ikan yang sedang digoreng buat tekak aku kembang. Hari-hari ikan selayang. Mak ni dah tak pandai masak lauk lain ke?
            “Ikan lain tak ada ke mak?” Aku tanya dia sambil duduk semula mengadap mak.
            “Itu aje yang kita mampu beli tengah-tengah bulan ni. Kalau nak merasa makan ikan mahal, tunggulah duit pencen ayah kau masuk nanti...”
            Apa yang mampu aku katakan lagi? Makan ajelah apa yang mak dah masak. Buatnya orang tua tu mogok nanti, tak pasal-pasal kena makan Maggie lagi nanti. Masih banyak waktu yang terluang. Apa kata kalau aku call  Durani sekejap. Mana tahu kalau-kalau dia boleh keluar, bolehlah aku bincangkan perihal nak masuk meminang tu dengan dia.
            “Mie nak pergi jumpa Dura kejap mak.”
            Aku bangun, botol air aku simpan semula di dalam peti sejuk. Muka aku basuh ala kadar di sinki. Pagi tadi dah mandi. Setakat nak jumpa sekejap tak perlulah nak bersiap sakan.
            “Mie...”
            Tak jadi nak menapak ke anak tangga. Aku menoleh pada mak sambil meraup muka yang masih basah berkali-kali.
            “Kau timbang-timbangkanlah apa yang mak cakap hari tu. Sampai bila kau nak terperuk dalam kampung ni? Ijazah yang kau dapat tu takkan nak jadi penghias dinding aje? Mak nak sangat tengok anak-anak mak hidup senang. Takkan hari-hari kau nak jamu tekak bini kau dengan ikan selayang. Mak ni pun, sekali-sekala nak juga merasa makan ikan mahal.”
            “Sekarang tak cukup senang ke mak?”
            “Sekarang ni kita cukup-cukup aje. Belum boleh nak bersenang-lenang lagi. Takkan nak buat kenduri kahwin, jamu orang dengan pisang setandan? Kau faham tak mak cakap ni?”
            “Mie faham... Mie keluar dululah.”
            Aku bukan melawan. Tapi mata mak dah merah. Jadi sebelum dia buat drama airmata, lebih baik aku angkat kaki. Beria benar dia nak aku keluar dari kampung ni. Dah tak sayang aku lagi agaknya.
            “Abang Mie nak jumpa Kak Dura, ya?” Zarith pula menahan aku di ruang tamu.
            “Tak payah ikutlah. Abang pergi sekejap aje.” Cepat-cepat aku cantas akal panjang Zarith. Pantang tengok aku pegang kunci motor, sibuk nak jadi bodyguard.
            “Ala... adik nak tanya Kak Dura kerja sekolah ni.” Zarith ketuk-ketuk buku latihan Matematik tadi dengan hujung pensel.
            “Bagi sini, nanti abang tanya dia. Balik nanti abang ajar kau. Pergi tolong mak kat dapur tu.”
            Aku terus keluar dari rumah. Buat-buat tak dengar saja rengekan Zarith. Kacau daun saja nanti kalau aku bawa dia. Motor ku pecut laju. Harap-harap Pak Zahar tak ada di rumah pada waktu-waktu begini. Selalunya dia ke kebun. Tak teringat pula nak call Durani terlebih dahulu tadi.
            Senyum lebar terus menguntum bila ternampak Durani sedang menyidai baju di ampaian. Hati makin lapang bila motor Pak Zahar tak kelihatan di laman rumah. Line clear! Aku tekan hon motor berulang kali. Sengaja menarik perhatian Durani. Terkedek-kedek buah hati pengarang jantung aku tu menghampiri pintu pagar. Wajahnya nampak cemas. Telunjuk runcingnya melekap di bibir. Isyarat supaya aku jangan buat bising.
            “Hai sayang!”
            “Shhh! Bisinglah Joe ni.”
            Aku menyeringai suka bila Durani hadiahkan aku dengan satu lepukan di lengan. Lepas matikan enjin, aku tolak motor ke tepi pagar. Pangkin di bawah pokok rambutan jadi tempat rasmi kami dating pagi itu. Durani mengemaskan ikatan tuala di kepala. Baru lepas mandi agaknya. Bau sabun mandi pun masih kuat lagi. Geramnya aku. Mujur belum jadi bini.
            “Apahal datang rumah orang pagi-pagi ni? Joe kerja kejap lagi, kan?”
            “Amboi garangnya dia. Tak suka Joe datang ke?”
            Hampir-hampir nak rasa tersinggung ni. Durani tak nampak ceria seperti selalu. Matanya liar memerhatikan sekeliling. Aku cuba cuit hidungnya tapi dia menjauhkan diri. Lain benar tingkahnya hari ini.
            “Kenapa tak call  dulu nak datang? Kalau abah balik nanti, masak Dura kena marah...”
            “Joe ada hal penting nak cakap dengan Dura ni.” Aku mengemaskan duduk. Aku tepuk-tepuk tempat duduk di sebelah aku, mahu Durani duduk di situ. Tapi laju kepalanya menggeleng. Makin jauh pula dia berdiri menjauhi aku. Apa kena dengan dia ni? Macam baru kenal semalam pula gayanya.
            “Cakaplah cepat,” gesa Durani.
            “Joe dah bincang dengan mak pagi tadi. Joe nak suruh mak masuk...”
            “Joe!”
            Tersangkut kata-kata aku dengan jeritan kecil Durani. Tak semena-mena dia duduk dengan kasar di sebelah aku. Mulutnya seperti ingin mengatakan sesuatu. Tapi matanya masih melingas mengawasi keadaan sekeliling. Tingkah Durani buat aku rasa tak sedap hati. Serta-merta teringat perihal kereta-kereta yang bersusun cantik di depan rumah Durani semalam.
            “Dura rasa buat masa ni baik kita postponed dulu hal-hal nikah kahwin ni. Banyak persediaan yang perlu dibuat...”
            “Joe bukan nak ajak kahwin. Kita bertunang dulu. Dalam pada tu nanti kita kumpullah duit.” Dapat pun aku luahkan hasrat hati. Tapi wajah Durani langsung tak mempamerkan riak suka.
            “Apa kata kalau Joe cari kerja yang elok sikit. Lepas tu nanti baru kita buka balik cerita ni.”
            “Oh... maknanya selama ni Dura malu dapat boyfriend yang kerjanya cuma pam atendan aje, ya? Hina sangat ke kerja Joe ni? Joe bukan buat kerja haram. Kalau setakat nak bela Dura sorang, gaji Joe sekarang masih cukuplah. Janganlah materialistik sangat. Duit tak bawa ke mati.”
            Panas hati tiba-tiba. Menyesal pula main terjah saja ke rumah Pak Zahar pagi ini. Harapan aku nak tengok muka teruja Durani lebur sudah. Dulu dia yang beria-ia suruh aku masuk meminang. Tapi sekarang, kenapa reaksinya langsung tak seperti yang aku bayangkan. Aku pandang dia. Durani melarikan wajah. Tak puas hati ni. Aku bangun dan berdiri di depan dia. Dia cuba bangun. Aku tolak bahu dia perlahan dan Durani terduduk semula. Matanya masih enggan memandang aku.
            “Dura dah tak sayang Joe, ya?” Sengaja aku serkap jarang. Dia tak menjawab. Terdengar dengusan halus dari mulut Durani.
            “Sampai bila Joe nak macam ni?”
            Tergamam aku bila Durani tiba-tiba meninggikan suara. Ada air yang bertakung di matanya. Apahal pula sampai nak buat drama airmata ni?
            “Kalau Joe sayang Dura... Joe kena lakukan sesuatu. Kalau tidak, lupakan ajelah cinta monyet kita ni...” Durani dah tertunduk. Aku menyangkung, nak tengok wajahnya tapi dia palingkan muka ke arah lain.
            “Sayang... ini bukan cinta monyet. Joe betul-betul sayangkan Dura. Kenapa ni? Abah tak suka kita berkawan, ya?”
            Mengangguk tak, menggeleng pun tak. Tangisan Durani makin berlagu-lagu. Ditekupnya mulut dengan kain tuala yang masih membalut kepala.
            “Siapa datang rumah Dura semalam?”
            “Mana ada orang lain yang datang sini kecuali Joe malam tadi.”
            “Tak, maksud Joe... sebelum Joe datang. Mazli kata ada banyak kereta kat depan rumah Dura. Kereta siapa tu?”
            “Tu kereta... kereta... kereta kawan-kawan abah. Diaorang saja datang melawat abah.”
            Durani kelam-kabut bangun. Laju tangannya mengeringkan pipi yang basah. Tak semena-mena dia tarik tangan aku dan pimpin aku ke pintu pagar. Fahamlah aku, dia nak aku beredar segera dari situ. Tapi kenapa? Dia seperti menyembunyikan sesuatu.
            “Malam ni kita jumpa ya sayang?” Aku hidupkan enjin motor. Hati masih belum lega sebab sejak datang tadi aku tak nampak lagi senyuman Durani.
            “Dura batalkan kelas malam ni. Joe, janji dengan Dura... Joe kena cari kerja yang sesuai dengan kelulusan Joe, ya.”
            “Aduh! Tak habis-habis lagi dengan isu ni. Dura...”
            “Dura dah cakap apa yang perlu. Sebelum terlambat, lebih baik Joe buat sesuatu. Buktikan pada abah Dura yang Joe bukan pengecut. Asyik duduk bawah ketiak mak.”
            “Eh! Apa kena-mengena ketiak mak Joe dalam hal ni?”
            Tersungging senyum nipis Durani. Mulut memang buat lawak. Tapi hati cukup terguris dengan sindiran itu. Nantilah Pak Zahar. Aku akan buktikan, aku mampu bagi anak kau makan. Tanpa menunggu aku beredar, Durani sudah terlebih dahulu masuk ke dalam rumah. Sehingga pintu rumahnya tertutup, aku masih menimbang-nimbangkan permintaan Durani.
            Buktikan sesuatu? Hmmm... aku tahu apa perlu aku buat sekarang. Motor ku pulas laju menghala ke rumah. Sampai saja di rumah, aku berkurung di dalam bilik. Sijil-sijil yang telah lama tersimpan di dalam almari aku keluarkan. Nafas ku tarik dalam-dalam.
            ‘Takkan nak jadikan sijil-sijil kau ni sekadar perhiasan dinding?’
            Suara mak bergema di dalam benak. Aku tekan punat on pada laptop yang sudah lama tidak aku gunakan. Sijil-sijil yang aku biarkan berselerak di atas katil aku pandang untuk kesekian kali. Sudah sampai masanya aku buktikan pada orang kampung. Degree in Business Accounting & Banking yang aku perolehi tahun lepas mampu mengubah hidup aku selepas ini.
            Lebih sejam mencari kerja-kerja yang sesuai di dalam internet. Di saat aku hampir berputus asa, satu laman web perbankan yang terpampang di depan mata buat aku senyum lebar. Keluar dari kampung? Kalau itu yang mereka nak, mungkin inilah peluang aku untuk merealisasikan permintaan Durani dan mak.
            Usai mengisi segala butiran peribadi. Aku tutup laptop dan termenung sebentar. Betul ke apa yang aku buat ni? Ahh...kalau permohonan tak lulus pun tak apa. Durani nak aku dapat kerja yang bersesuaian dengan kelulusan aku, kan? Kalau dah payah sangat, aku pujuk bos stesen minyak tu naikkan pangkat aku jadi penyelia. Aku kan dah jadi orang kepercayaan di stesen minyak itu. Pasti senang-senang saja jawatan itu akan menjadi milik aku.
            Durani, tolong doakan Joe berjaya. Aku buat semua ni untuk kau sayang.
            

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.