Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

June 28, 2013

Hati Seorang XXXL Bab 14 dan 15



Hati Seorang XXXL

Bab 14 

       Reyhan menatap buku akaun simpanannya berulang kali . Dia menggaru kepala yang tidak gatal . Masih jauh lagi jumlah yang perlu dikumpulkan . Telefon bimbit dicapai . Jarinya ligat mencari nama seseorang. Butang memanggil ditekan apabila nama yang dicari berjaya dijumpai. Belum sempat talian disambung dia menekan pula butang merah . Gajet sebesar kotak rokok itu diketuk -ketuk perlahan ke dahi .

       " Patutkah aku hubungi dia? Mahu ke dia bercakap dengan aku?" Reyhan tidak senang duduk. Wajah gadis itu bermain di matanya. " Dia masih tak berubah . Masih cantik . Cuma dia gemuk ...dan dia  masih marah pada aku." Reyhan mengeluh.Dia menyalakan api rokok. Disedut dalam - dalam nikotin yang terkandung di dalam rokok itu. Berlumba – lumba asap yang keluar melalui mulut dan hidung Reyhan seiring dengan hembusan nafasnya .
     Tinggal 2 bulan sahaja lagi sebelum dia bergelar suami Weeda. Perancangan awal untuk melangsungkan majlis perkahwinan selepas hari raya dipercepatkan atas permintaan keluarga Weeda . Reyhan semakin buntu . Sebagai kerani biasa yang bergaji rendah , dia  masih tidak mampu mengumpul wang hantaran yang diminta oleh keluarga Weeda . Kerja separuh masanya sebagai pemandu teksi juga tidak banyak membantu.
       Sejak dia berjumpa semula dengan Gee , dia sering teringatkan gadis itu. Gadis yang pernah diaibkan. Gadis yang menjadi mangsa pertaruhannya dengan rakan- rakan. Hanya kerana ingin menunjukkan kehebatan , dia menyahut cabaran untuk mempermainkan perasaan gadis itu dan mempersendakannya secara berdepan. Sebagai ganjaran , dia dihadiahkan wang tunai sebanyak tiga ratus ringgit . Paling teruk  , sepupu Gee juga bersekongkol dalam menyediakan wang taruhan . Weeda juga menjadi sebahagian daripada hadiah kemenangan buat Reyhan . Sudahnya dia terikat dengan Weeda hinggalah sekarang. Dia keliru dengan perasaannya sendiri. Adakah dia mencintai Weeda ? Atau dia menerima Weeda kerana mahu menjadi lelaki yang bertanggungjawab ?

        Reyhan menenyeh puntung rokok  ke dalam bekas abu  . Telefon bimbitnya berbunyi . Tidak diendahkan telefon yang menjerit minta dijawab . Dia tahu siapa yang menghubunginya di kala itu. Dia ingin bersendirian . Kepalanya sedang berserabut. Dia tak mahu diganggu . Tapi si pemanggil seperti tidak mengerti . Bunyi medium komunikasi itu semakin membingitkan .Dia menekup telinga. Akhirnya dia nyahaktifkan talian. Dia berbaring di atas katil . Matanya melihat kipas siling yang berpusing ligat. Fikirannya menerawang lagi . Wajah Gee yang kemerah- merahan menahan marah muncul lagi . Reyhan memejamkan mata. Namun wajah itu tidak berjaya diusir .
         Peristiwa 12 tahun lalu diimbas kembali . Dia malu dengan diri sendiri. Gadis itu  telah menjadi seorang yang berjaya . Walaupun berbadan besar , memang bukan halangan utama bagi Gee untuk memegang jawatan penting dalam kerjayanya sekarang . Bukan seperti dirinya dan Weeda. Mereka mensia – siakan masa remaja mereka . Peluang melanjutkan pelajaran dahulu  dipandang enteng . Kononnya tidak mahu membuang masa , duit dan tenaga . Mereka leka dengan keseronokan yang bersifat sementara . Reyhan menjadi pendorong utama Weeda menamatkan pengajiannya separuh  jalan . Dan sekarang tunangnya menyandang gelaran ‘minah kilang’. 
       Reyhan kepanasan . Dia bangun dan duduk di hujung katil . Hatinya meronta untuk mendengar suara Gee . Diaktifkan kembali telefon bimbitnya . Bunyi talian disambung kedengaran di telinga . Dadanya berdebar kencang . Reyhan menggenggam kuat kepala lututnya .

“ Assalamualaikum ….”

    Terlompat Reyhan dari duduknya . Terjatuh  telefon bimbit yang dipegang . Kelam - kabut Reyhan mengutip dan mengaktifkan semula talian . Talian disambung lagi . Peluh memercik di mukanya. Suara  gadis itu memberi salam benar – benar  memberi semangat supaya dia menelefon gadis itu sekali lagi .

“ Hello !!!”

    Reyhan terkejut . Gee menjerit di sebelah sana . Marah kerana diganggu .

          “ Hello Gee …” Perlahan Reyhan menuturkan kata .Di sebelah sana , Gee cuba mengamati suara pemanggil yang mengganggu konsentrasinya . Dia sedang menghabiskan pembacaan bab terakhir novel kegemarannya .“ Assalamualaikum  … Gee .” Reyhan bersuara lagi . Debaran di dadanya masih belum reda . Dia duduk semula di birai katil .
            Gee tidak terus menjawab . Dia sudah dapat mengenali si pemanggil . Mukanya terasa panas . Dia meletakkan novel setebal 600 mukasurat yang  dipegang ke atas meja kopi . Nafasnya ditarik dalam – dalam . Lin yang sedang menonton televisyen hairan melihat gelagat Gee.

“ Kau nak apa ?” Tanya Gee. 

            “ Aku … aku …kau apa khabar ?” Reyhan tahu Gee sudah mengenalinya . Tapi entah kenapa pertuturannya menjadi tidak lancar . Sedangkan Gee langsung tidak meninggikan suara .“ Kau call aku malam – malam buta ni semata – mata nak tanya khabar ? Tak takut Weeda marah ke ? Sepatutnya waktu macam ni kau bergayut dengan dia .” Ujar Gee . “ Kau nak apa ni? Aku sibuklah.” Sambung Gee lagi.
            
         Reyhan berdiri. Dia menepuk  kuat dahinya .
     “ Gee … aku .. aku ..” Reyhan masih tergagap – gagap . Tidak tahu bagaimana ingin memulakan perbualan .“ Macam ni lah. Disebabkan kau dah jadi gagap , apa kata kalau kau SMS je . Kredit kau pun tak habis . Penatlah nak tunggu kau habis cakap . Ok … bye.” Gee mematikan talian .
            Lin melihat Gee menyambung semula pembacaannya . Hairan melihat Gee yang tenang tatkala menerima panggilan Reyhan sebentar tadi . Dia bangun dan duduk di sebelah Gee . “ Reyhan call ?”  Tanya Lin . Gee cuma mengangguk . “ Dia nak apa ?” Tanya Lin lagi . “ Entah .. dah gagap rupa – rupanya  mamat tu . Tak sangka pulak . Dulu masa sekolah elok je dia bercakap . Bila dah tua ni gagap pulak.” Gee ketawa kecil . Lin menepuk perlahan peha Gee . Gee melihat Lin . Dia tersenyum nipis . “  Aku tahu apa yang kau fikirkan . Jangan risau . Aku ok . Aku takkan menangis sebab mangkuk ayun tu lagi . Jangan risau ya .” Gee berkata penuh yakin .
            “ Kalau dia nak berdamai macam mana ? Hang terima ?” Soal Lin . “ Kita tengok dulu macam mana..” Jawab Gee ringkas . Bunyi mesej masuk kedengaran di telefon bimbitnya .

Aku minta maaf atas kesilapan aku yang lepas . Kita kawan boleh?

     Gee ketawa kuat. Dia membacakan mesej kiriman Reyhan pada Lin . “ Aku dah agak dah !”  Jerit Lin .Gee menekan aksara – aksara di telefon .

Boleh je … Tapi aku belum maafkan kau .

            Gee melebarkan senyum . Dia menunggu balasan  dari Reyhan .

Apa yang harus aku buat agar kau maafkan aku .Aku betul – betul minta maaf .

Kenapa tiba – tiba kau cari aku ? Takkan semata –mata nak minta maaf ?   Laju Gee menekan butang  Send .

Aku nak  minta tolong . Aku nak cari kerja kat KL . Boleh tolong aku tak?

            Gee memandang Lin . “ Hang fikir apa? Nak tolong dia ke ?” Tanya Lin. Gee menggigit hujung bibir. Matanya mengecil memikirkan sesuatu . Lama kemudian dia mematikan telefon bimbitnya . “ Awat hang tutup telefon ?” Lin memandang Gee yang mencapai semula novel di atas meja .

“ Saja . Minta maaf semata – mata ada kepentingan sendiri . Mampus tak layan!”

Hati Seorang XXXL

Bab 15 


“ Hang beli hadiah apa untuk majlis malam ni ?”

            Lin sedang membalut hadiah yang diberikan pada Shauki . “ Aku hadiahkan orang tu pen yang ada cetak nama orang tu .” Jawab Gee. “ Wah! Bestnya … siapa orang yang bertuah tu ?” Lin mengorek rahsia . “ Eh ! Mana boleh bagi tau.Tunggulah malam nanti .” Gee mengerling Lin .
“ Alaaaaa… dengan aku pun nak rahsia . Aku bagi nota rahsia pada  Shauki.” Lin membocorkan rahsianya . “ Eleh ! Apa barang bagi kat buah hati sendiri ? Tak  sporting langsung !” Tempelak Gee. Lin mencebik . “ Biarlah  ! Hang cemburu ke ?” Lin mengemaskan balutan hadiah. “ Tak kuasalah aku nak cemburu Lin . Aku sentiasa mendoakan kau dengan Shauki cepat – cepat kahwin . Dah macam sandwich aku tengok.” Ujar Gee. Dia bangun dan masuk ke bilik .
“ Mana baju nak pakai malam ni . Nak aku gosokkan tak ?” Gee keluar semula dengan persalinan untuk majlis makan malam nanti . “ Fuyoooo ! Lawanya baju hang Gee . Megheliiiiipppppp!!!!! Bila hang beli ? Aku tak pernah nampak pun hang beli baju ni .” Lin bangun dan mengacukan baju yang berwarna merah hati itu ke badannya .

    “ Aku beli online.” Jawab Gee. Dia tersenyum melihat Lin berjalan ala – ala model sambil menggayakan bajunya. “ Amboi ! Sekarang dah pandai shopping online ! Baguih la macam tu! Dah ada perubahan kawan aku ni …” Puji Lin . Tapi dia masih belum puas berangan . Dia menyarung  blaus labuh yang berbutang  dari atas hingga ke bawah itu . Gee ketawa mengekek apabila melihat Lin berjalan seperti pontianak.
    “ Dah macam selimut aku tengok kau pakai Lin! Bukalah baju tu . Aku nak gosok.” Gee menepuk punggung Lin .  Lin menanggalkan persalinan yang penuh dengan taburan manik di hujung lengan itu dan menyerahkannya pada Gee . “ Melaram sakanlah hang malam ni .Tapi baju tu memang cantiklah Gee. Warnanya sesuai dengan kulit hang . Nanti aku mekapkan hang tau Tak payah pakai cermin mata . Hang pakai contact lense.” Lin memberi cadangan .  Gee cuma tersenyum .

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

       Majlis Sulaman Kasih yang berlangsung di  hotel 4 bintang itu diadakan sempena mengalu – alukan kedatangan Fakhri sebagai peneraju utama yang baru  Dia menggantikan  pegawai lama yang telah bersara . Fakhri dan Shauki adalah antara yang tetamu yang paling awal tiba . Mereka berdua  menunggu ketibaan rakan – rakan yang lain di pintu masuk dewan . Fakhri diperkenalkan oleh Shauki kepada setiap kakitangan yang baru tiba .
      Majlis hampir bermula . Tetapi Gee dan Lin masih belum muncul lagi . Shauki mengerling jam di tangan. “ Tunggu Lin ke ?” Soal Fakhri . Shauki tersenyum nipis . “ Mungkin jalan jem kot .” Shauki mendail nombor telefon Lin . Panggilannya tidak berjawab . Shauki mendail lagi . Perasaan risau mula menjenguk .” Kejap lagi sampailah tu .” Fakhri cuba menenangkan Shauki . “ Tapi kenapa tak jawab call ? Setahu aku bukan Lin yang drive . Mesti Gee yang pandu kereta . Lin tu bukannya tahu selok – belok jalan dalam KL ni .” Shauki mula meluahkan kerisauannya .

“ Assalamualaikum … sorrylah lambat .” 

      Shauki dan Fakhri berpaling  . Shauki tersenyum lebar tatkala orang yang ditunggu sudah berada di depan mata . “ Kenapa tak jawab call I ?” Lin terus di soal siasat . “ I tertinggal phone dalam kereta . Susah nak cari parking tadi . Itu yang lambat sikit .” Lin menjelaskan sebab kelewatan mereka . “ Dah ramai ke yang datang ? Kenapa tak masuk lagi ?” Gee pula bertanya pada Shauki .“ Dah . Diorang semua kat dalam . Jomlah masuk . Majlis pun dah nak mula. Fakhri , you dah standby ke nak bagi ucapan nanti ?” Shauki memandang Fakhri . Lelaki itu masih  memandang Gee .

       “ Hai Fakhri , I kenalkan . Ini Razita Raziff  . Assistant  Shauki merangkap teman serumah I . You dah tak kenal dia ke ?” Lin melambai-lambaikan tangannya di depan muka Fakhri . Lelaki itu tersentak . Dia tersenyum kecil.“ Mestilah I kenal . Di tempat kita tu dia yang paling comel . Tapi malam ni makin comel pulak I tengok dia. Dah macam buah strawberry…. Cantik ! I nyaris – nyaris tak cam tadi.” Fakhri tanpa segan memuji Gee .  Shauki dan Lin ketawa . “ Bila lagi nak melaram . Bukan selalu dapat masuk hotel empat bintang ni .” Ujar Gee . Mukanya terasa panas .Mereka berempat masuk ke dalam dewan apabila juruacara mengumumkan  majlis akan bermula . Shauki dan Lin mendahului Fakhri dan Gee .

“ You cantiklah malam ni Gee. Macam nak terjatuh cinta pulak!” 

     Fakhri ketawa di hujung kata –katanya .  “ Walaupun cantik tapi tetap montel .. kan ?” Gee mencebik . Dia membetulkan  hujung tudungnya yang meleret di bahu. “ Biarlah montel pun . Tapi masih nampak sopan  . Kalau kurus tapi nak dedah sana sini tu dah lari dari konsep kan ?” Bidas Fakhri . Dia menarik kerusi dan mempersilakan Gee duduk . Walaupun malu dengan layanan Fakhri , Gee menebalkan muka . Tidak dihiraukan pandangan  kakitangan lain yang berada di situ . Fakhri duduk di sebelah Gee . Meja mereka dikhaskan untuk tetamu – tetamu VIP . Hanya Gee , Shauki , Fakhri dan beberapa pegawai atasan sahaja yang berada di meja berbentuk bulat itu . Gee melingas pandangannya mencari Lin dan Alexandra .
      Mereka berdua duduk di belakang bersama  kakitangan – kakitangan yang lain . Sebaik saja majlis bermula , telefon bimbit Gee berbunyi . Ada pesanan ringkas yang diterima . “ Masa I berucap nanti I nak you setting phone you tu dalam mode silent tau.” Fakhri mengingatkan Gee . Gee mengerling sekilas pada Fakhri . “ Jangan risau . Nanti I off  terus .” Ujar Gee . Dia agak jengkel dengan perangai Fakhri .

 Aku nak hang enjoy malam ni . Pedulikan apa depa nak cakap . Aku sukalah tengok  Fakhri layan hang, sooooo sweet !

       Gee tersenyum lebar . Dia menoleh ke belakang . Lin melambai padanya . Gee menganggukkan kepala . Hanya Lin saja yang faham perasaannya ketika itu . Dia meletakkan telefon bimbitnya di atas meja .  Tidak lama kemudian giliran Fakhri menyampaikan sepatah dua kata . Gee dan semua yang berada di meja itu berdiri sebagai tanda hormat. Semasa Gee bangun , butang bajunya tersangkut  di meja menyebabkan meja itu terangkat sedikit . Mujur tidak ada yang perasan kerana mereka sedang sibuk bertepuk tangan .

    “ Terima kasih  Pengerusi Majlis .Selamat petang pada orang – orang kanan saya dan pada semua yang hadir. Saya tak mahu berucap panjang kerana saya tahu semua orang tengah lapar dan kita ada acara istimewa sebentar lagi .” Ucapan  alu – aluan Fakhri disambut dengan gelak tawa .Selepas tawa mereka reda , Fakhri manyambung lagi . “ Apa yang ingin saya perkatakan di sini , terima kasih kerana sudi merealisasikan majlis ini untuk saya. Saya harap kita semua akan bekerja bersama – sama untuk memajukan lagi syarikat kita . Saya juga inginmencadangkan agar acara ini diadakan sebagai acara tahunan. Tak semestinya kita buat di hotel . Mungkin kita boleh adakan percutian , hari keluarga , sambutan hari lahir dan sebagainya . Sebagai permulaan ,saya mahu aktiviti senamrobik diadakan pada setiap hari Sabtu minggu kedua dan keempat setiap bulan .”

       Suasana agak hingar seketika . Ada yang bertepuk tangan tanda setuju dengan cadangan Fakhri . Ada juga yang mengeluh . Fakhri menghalakan pandangannya  pada Gee . Gadis itu sedang menyabung pandang dengannya . Senyum sinis terukis di bibir Gee . Fakhri mengangkat kening . Kemudian dia meminta supaya mereka semua bertenang . Dia menyambung lagi .
     “ Anda semua boleh bawa keluarga anda sekali . Program ini akan bermula bulan depan . Jadi masih ada masa kalau nak cari pakaian sukan .Saya mahu kakitangan saya bukan saja  proaktif dalam bidang kerja masing – masing . Tapi  sihat tubuh badan . Kita longgarkan urat – urat di badan kita ni bila dah sepanjang minggu duduk di kerusi empuk saja .Baik ,sekian dulu untuk kali ini. Selamat bergembira .” Fakhri menerima tepukan gemuruh dari para jemputan. Dia kembali ke tempat duduk .

       Ok tak cadangan I tadi ?” Soal Fakhri sebaik melabuhkan punggung di sebelah Gee . “ Ok ke tak , you kan bos . Siapa berani tolak cadangan you ?” Jawab Gee . Fakhri mendekatkan mukanya ke arah Gee . “ I buat ni untuk you . You tak nak ikut I pergi gym kan ? So I ajak semua sekali  senamrobik dengan you .”
      Gee memandang Fakhri  yang tersenyum lebar . “ Kalau I tak nak pergi  juga ? Mana tahu kot – kot I nak balik kampung ke , keluar dating  ke , lambat bangun ke ..” Gee menyoal . “ Pengecualian diberi hanya untuk  soal kematian  dan hal – hal kecemasan yang munasabah . Lain dari itu , kalau you tak datang I potong gaji you !” Jawab Fakhri . Baru sahaja Gee ingin membidas , juruacara sudah memulakan acara yang ditunggu – tunggu .

         Misteri surat berantai !
 



 

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.