Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

March 23, 2015

Kumbang Di Taman Dia PROLOG


        Ody melihat wajahnya di cermin. Sayang rasanya ingin mencuci mekap yang merias wajah. Hatinya sangat puas dengan hasil sentuhan jurumekap yang ditempah oleh sepupunya. Pada mulanya dia kurang yakin dengan sentuhan anak muda itu. Yalah, umur baru setahun jagung tapi sudah memiliki butik pengantin sendiri. Memang sukar untuk meraih kepercayaan Ody, seorang perfectionist.
            Bermula dengan majlis nikah hingga ke majlis persandingan, tak putus-putus dia mendapat pujian dan ucapan tahniah. Hati mana yang tidak kembang bila dipuji cantik. Ditambah pula dengan pasangannya yang tampan. Walaupun baru beberapa bulan Ody mengenali Nasir, namun dia yakin lelaki itu mampu membahagiakannya. Sepanjang tempoh perkenalan, Nasir berjaya menawan hati bapa Ody. Pak Zamil, lelaki yang terlalu cerewet dalam soal memilih menantu. Bagi Pak Zamil, Ody ibarat puteri terpilih. Segala-galanya haruslah yang terbaik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pengurus estet ladang sawit terbesar di semenanjung tanahair
            “Ody, boleh aku masuk?”
            Ketukan di pintu berserta dengan suara Najwa, sepupu Ody yang paling rapat berjaya mengalihkan perhatian Ody. Dia bingkas bangun, Pintu bilik dibuka sedikit, meninjau gerangan yang berada di luar. Najwa juga turut meninjau. Bimbang kalau-kalau menganggu pasangan pengantin baru.
            “Ya Allah! Kau tak cuci mekap lagi?” tanya  Najwa dengan mata terbeliak.
            “Sayang nak cuci. Cantik sangat!” Ody tergelak manja. Tangan Najwa ditarik masuk ke dalam bilik. Mereka berdua duduk di birai katil.
            “Mana boleh tak cuci mekap tu. Nanti muka tumbuh jerawat. Kau tu memang dah lawa. Tak mekap pun tetap nampak  cantik.”
            Kembang hati Ody dipuji Najwa. Dia bangun dan laci meja solek dibuka. Bungkusan kapas dan sebotol bahan penanggal mekap dikeluarkan. Kedua-duanya dihulur pada Najwa. Ody menadah muka, menunggu Najwa untuk membersihkan mekapnya.
            “Kau ni manja betullah. Tak pandai nak buat sendiri ya?”
 Mulut Najwa merungut, tapi penutup botol itu sudah dibukanya. Mana boleh dia menolak permintaan sepupunya. Inilah saat-saat manis yang perlu mereka habiskan bersama sebelum Ody melayari alam rumahtangga. Entah bilalah lagi mereka akan mendapat peluang sebegini.
“Nasir mana?Aku tak nampak pun dari tadi,” tanya Najwa. Kapas basah sudah ditenyeh ke muka Ody.
“Ada kat luar tu. Takkanlah dua puluh empat jam nak berkepit aje dengan aku? Pandai-pandailah bawa diri, kan?” Ody ketawa dengan kata-kata sendiri.
“Melampaulah kalau nak berkepit dua puluh empat jam. Tapi memang aku tak nampak dia sejak majlis selesai tadi. Aku ingatkan dia berehat di sini dengan kau.”
            Wajah Najwa direnung. Tapi gadis itu sedang tekun menghilangkan kesan solekkan di muka Ody. Dia melelapkan mata. Tak ada apa yang perlu dia risaukan. Dia pasti suaminya itu berada di luar. Mungkin sedang berbual-bual atau sedang membantu penduduk-penduduk estet membersihkan dewan yang telah digunakan untuk melangsungkan majlis bersejarah mereka.
~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Ody, kenapa tak tidur lagi ni?” Najwa menegur tatkala melihat Ody sedang berteleku sendirian di bawah khemah.
            “Abang Nasir... kau ada nampak dia tak?”
            Terjongket kening Najwa dengan pertanyaan Ody. Sudah tengah malam begini, tetamu-tetamu juga sudah pulang. Tak mungkin Nasir masih belum masuk ke bilik? Laju matanya melingas melihat keadaan sekeliling rumah yang gelap. Takkanlah Nasir nak main nyorok-nyorok pula dengan Ody.
            “Kau dah cuba call dia?” tanya Najwa. Bahu Ody digenggam perlahan, cuma meredakan ketegangan sepupunya itu.
            “Dah, tapi tak berjawab. Aku risaulah Najwa. Beg bajunya dah tak ada kat dalam bilik...”
            Ody mengesat pipinya yang sudah basah. Rasa bimbangnya tidak dapat dibendung lagi. Apa yang harus dikhabarkan pada ayahnya nanti? Pelukan erat Najwa tidak mampu menenangkan hatinya. Dia mati akal,tak tahu bagaimana ingin menjejak Nasir.
            “Kau ada bergaduh dengan dia ke?” Najwa cuba bersoal-siasat.
            “Mana ada. Elok aje berbual dengan aku masa makan malam tadi. Kau pun nampak tadi, kan?”
            “Dia keluar ambil angin kot...” Najwa membuat andaian.
            “Ambil angin apanya lewat malam macam ni Najwa? Dah pukul dua pagi ni.”
            “Rodiah!”
            Tergamam Najwa dan Ody. Tangan Najwa Ody pegang erat tatkala melihat ayahnya sudah tegak berdiri di belakang mereka. Wajah tua itu kelihatan sedang menahan marah. Tangan kanan Pak Zamil kelihatan menggigil. Dadanya berombak-ombak.
            “Ayah dah cakap dulu. Jangan berkawan dengan orang sebarangan. Sekarang kau tengok, apa dah jadi?”
            Memetir suara ayah Ody. Dalam kebingungan, Ody mengambil telefon bimbit yang dihulur oleh Pak Zamil. Terlopong mulutnya tatkala membaca bait-bait perkataan yang tertulis. Dipandangnya wajah Pak Zamil dan Najwa silih berganti.
            “Apa salah aku Najwa? Kenapa tergamak Abang Nasir buat aku macam ni? Apa salah aku?” Ody sudah meraung. Dia terjelepuk ke tanah. Najwa mengambil telefon di tangan Ody. Reaksinya hampir sama dengan Ody sebentar tadi.
            Maaf, saya tak mampu menjaga anak pakcik buat masa ini. Selamat tinggal.~ Nasir

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.