Zaleha tertinjau-tinjau dari celah langsir tingkap. Kepala sudah mula ligat berfikir. Rasanya masa untuk pelanggannya mengambil baju yang ditempah belum tiba lagi. Tapi siapakah gerangan tetamu yang berkereta mewah itu? Tak puas meninjau di tingkap, Zaleha mencapai tudung dan terus menuju ke laman utama.
“Siapa yang datang tu Leha?” tanya emaknya yang sedang berehat di bawah pohon manggis. Orang tua itu baru saja selesai menyapu halaman rumah.
“Entah. Rasanya tak ada orang pakai kereta mahal kat kampung ni, kan?”
Dalam pada mereka berdua tercangak-cangak, penghuni di dalam kereta pun keluar. Dua orang lelaki dan dua orang perempuan. Kesemuanya lengkap berbaju melayu dan berbaju kurung. Semakin berkerut dahi Zaleha. Dalam kepalanya sekarang sudah terbayangkan seseorang.
“Izzah mana mak?” tanya Zaleha separuh berbisik.
“Eh, budak tu kan pergi kerja. Kau lupa ke?”
Terkemam bibir Zaleha mendengar jawapan ibunya. Dia memaksa diri untuk menguntum senyum apabila tetamu yang masih belum diketahui identitinya memberi salam. Ibunya yang terlebih dahulu menjawab salam sedangkan Zaleha masih mengamati wajah tetamu-tetamunya seorang demi seorang.
“Maaflah, kami ni datang tanpa diundang.”
Tersenyum kelat Zaleha mendengar mukadimah tetamu wanita yang berjubah dan bertudung labuh. Ibunya sudah terlebih dahulu menghulur salam pada mereka.
“Awak semua ni siapa?” tanya Zaleha.
“Hish, apa pulak bersoal-jawab kat depan pintu ni? Marilah masuk ke dalam dulu. “
Ibu Zaleha lebih pantas mengawal keadaan. Walau tidak bersetuju dengan tindakan ibunya, Zaleha mempersilakan juga tetamu-tetamunya masuk ke dalam. Naluri Zaleha kuat mengatakan tetamu-tetamu ini ada kaitan dengan Izzah. Telahannya semakin menampakkan kebenarannya apabila terlihat dulang yang berisi kotak cincin yang ditatang oleh salah seorang tetamunya.
“Kami datang ni bawa hajat. Err... tapi sebelum tu, saya ni Haji Lajis. Ini anak saya Asrun. Yang berdua ni kakak dan adik saya, Halimah dan Banun. Kami ni...”
“Oh, inilah Asrun! Berani betul kau , ya. Makcik dah pesan jangan ke mari. Kenapa kau langgar cakap makcik?”
Zaleha bertempik garang. Tak peduli dengan tetamu-tetamunya yang sedang merenung dengan wajah terkejut. Turun naik dadanya menahan marah. Ibunya menarik tangan Zaleha. Tapi dia mengeraskan badan. Dia tidak mahu sesiapa pun cuba memujuknya di kala itu. Apa yang ingin dilakukan sekarang, adalah mengganyang Izzah. Berani betul anak dara tunggalnya melawan perintah.
“Saya ikhlas berkawan dengan Izzah makcik. Sebab itulah saya bawa ahli keluarga saya sekali. Saya dah lama kenal dengan Izzah. Sejak dia di tingkatan empat lagi. Dia budak baik makcik. Dan saya berhasrat nak jadikan dia suri hati saya.”
“Amboi! Sedapnya kau bercakap. Anak aku tu baru lapan belas tahun, tahu tak? Makcik nak dia sambung belajar. Cari kerja yang elok-elok. Bukannya berlaki!”
“Leha...kawal sikit suara tu. Diaorang ni datang dengan cara baik. Yang kau nak bertempik-tempik macam orang hilang akal ni kenapa?”
Terdiam Zaleha dengan teguran ibunya. Namun dia masih tegak berdiri di tengah-tengah ruang tamu. Wajah Asrun ditenung tajam. Anak muda itu hanya tersenyum nipis lalu menundukkan pandangannya. Selepas beberapa ketika, Zaleha berlari masuk ke dalam. Panggilan ibunya langsung tidak dihiraukan. Ada perkara yang perlu dilakukan ketika ini.
“Helo Izzah. Mak nak kau balik sekarang.”
“Kenapa mak? Nenek sakit ke?”
“Kau jangan banyak soal. Balik sekarang!”
“Tapi kerja Izzah belum habis lagi ni. Banyak stok buku belum susun lagi.”
“Kalau kau tak nak tengok rumah ni terbalik, baik kau balik sekarang!”
Perbualan tamat. Telefon di tangan digenggam sekuat hati. Zaleha terduduk di birai katil. Tak sabar betul dia menunggu kepulangan Izzah. Dia tidak peduli. Setakat hilang gaji RM25 sehari di kedai buku tu, Zaleha masih mampu membayar ganti ruginya pada Izzah. Hal di rumah ini lebih penting dari segala-galanya sekarang. Izzah memang sudah melampau.
Sedang dia menenangkan diri, pintu bilik diketuk ibunya. Suara ibunya memanggil berselang-seli bersama ketukan di pintu. Zaleha memaksa kaki melangkah. Dia masih tidak bersedia untuk bersemuka semula dengan tetamu-tetamunya.
“Dah habis marah?”
“Huh! Perli Leha lah tu.”
Satu lepukan singgah di bahu Zaleha. Tergeleng-geleng kepala ibunya melihat tingkah Zaleha. Sambil Zaleha menggosok-gosok bekas tamparan di bahu, ibunya menunjukkan sesuatu yang membuatkan mulut Zaleha terlopong .
“Mesti mahal cincin ni, kan? Berat pulak tu.” Ibu Zaleha menimbang-nimbang cincin bermata satu itu di tangannya.
“Apa mak buat ni? Leha belum beri sebarang kata putus pun.” Zaleha mengeraskan suaranya.
“Alah, diaorang suruh mak tengok-tengok dulu. Belum ada apa-apa keputusan lagi dari pihak kita. Keluarlah. Sampai bila nak berkurung dalam bilik ni?”
Nek Som menarik tangan Zaleha, memaksa dia keluar dari bilik. Tapi Zaleha tetap dengan keras kepalanya. Dia sangat tidak merestui hubungan anaknya dengan Asrun. Bukan harta yang dia mahu. Cuma umur Izzah yang terlalu muda menjadi motif utamanya sekarang.
“Izzah tu muda lagi mak. Budak Asrun tu pun satu. Macamlah dah tak ada orang lain. Takkanlah tak ada orang perempuan kat tempat kerja dia.”
“Memang ramai perempuan di tempat kerja saya tu makcik. Tapi hati saya dah tersangkut pada Izzah.”
Laju tangan Zaleha menyelak langsir yang menabiri pintu biliknya. Buntang mata Zaleha merenung Asrun. Dengusan kasar nafasnya jelas kedengaran. Nek Som memegang lengan kurus Zaleha. Bimbang juga hati orang tua itu andai Zaleha hilang kawalan nanti.
“Mata kau ni dah buta ke? Anak makcik tu hingus pun meleleh lagi,” bebel Zaleha.
“Alahai makcik. Orang tua pun kalau kena selsema, hingus pun meleleh juga...”
Timbul urat merih Zaleha mendengar sindiran Asrun. Dia keluar dari bilik. Terlepas pegangan Nek Som. Kudrat tuanya tak mampu mengekang pergerakan Zaleha yang melangkah laju ke ruang tamu semula. Asrun menuntun nenek buah hatinya untuk turut bersama ke ruang tamu.
“Saya tak terima pinangan ini. Encik Lajis, suruhlah anak bujang awak ni cari perempuan lain. Saya nak anak saya sambung belajar, ada kerja yang menjamin masa depan. Saya tak mahu dia hidup susah macam saya dulu.”
Suasana bungkam. Tetamu-tetamu Zaleha berpandangan sesama sendiri. Zaleha menghenyak punggung di sofa berhadapan dengan bapa Asrun. Mata mereka berpandangan. Tapi tidak lama. Haji Lajis melarikan pandangannya setelah dijeling tajam oleh Zaleha. Wajahnya diraup berkali-kali.
“Saya akan pastikan Izzah sambung belajar selepas kahwin nanti makcik.”
Akhirnya Asrun memecah kesunyian. Semua mata tertumpu pula padanya. Zaleha melihat ibunya yang terangguk-angguk. Otaknya ligat memikirkan kata-kata Asrun sebentar tadi. Wajah Asrun ditatap lama. Tiba-tiba Zaleha ketawa. Makin lama semakin mengilai bunyinya.
“Kalau dah sibuk nak kahwin, bila datang minatnya nak belajar nak oi! Makcik kenal sangat anak makcik tu. Dia takkan mampu menjalankan tanggungjawab seorang isteri dalam usia muda ni...”
“Kalau mak boleh kahwin muda, kenapa Izzah tak boleh?”
Sekali lagi seisi rumah terdiam. Kemunculan Izzah membuatkan Asrun bingkas bangun dari duduknya. Izzah meluru masuk ke dalam rumah. Namun belum sempat tangannya memegang tangan Asrun, neneknya berdehem keras. Terhenti langkah kedua-duanya.
“Duduk sini!”
Terhenjut sedikit bahu Izzah, terkejut dengan sergahan ibunya. Asrun cuma mampu memandang Izzah melintas perlahan di depannya. Dia sendiri kembali mengambil tempat di sebelah ayahnya.
“Mak, tolonglah. Restuilah hubungan kami...”
“Mak ada suruh kau bercakap ke?”
Jelingan tajam Zaleha membuatkan Izzah tunduk kebisuan. Nek Som memegang tangan Izzah, cuba menenangkan cucunya. Semua mata tertumpu pada Zaleha ketika ini. Kotak cincin di tangan Nek Som diambil. Zaleha mengamati cincin belah rotan yang berkilauan di dalam kotak. Cuma sekejap, kotak cincin diletaknya di atas meja kopi. Tegak badan Haji Lajis melihat tingkah Zaleha.
“Encik Lajis, saya rasa perbincangan kita cukup setakat ini,” kata Zaleha.
“Jadi apa kata putusnya?” Banun, adik Haji Lajis yang senyap dari tadi menyampuk perbualan.
“Tunggu tiga hari lagi,” jawab Zaleha ringkas. Dia bingkas bangun. Namun belum sempat melangkah, tangannya dipaut Izzah.
“Mak, tolonglah terima lamaran ni. Abang Asrun datang dengan cara baik. Maknanya dia ikhlas nak jadikan Izzah isteri dia. Terimalah Abang Asrun mak...” rengek Izzah sambil menggoncang-goncang tangan ibunya.
“Amboi! Miang betul anak aku ni. Encik Lajis, saya mohon jasa baik semua. Tolonglah balik dulu. Bagi masa saya berbincang dulu dengan anak saya.”
Terangguk-angguk kepala Haji Lajis mendengar permintaan Zaleha. Dengan isyarat mata, dia mengajak tetamu-tetamu yang lain turut beredar bersamanya. Ketika sampai di muka pintu, Asrun berpaling, memandang Zaleha dan Izzah yang masih pegun di sofa.
“Makcik, saya pun tak mahu Izzah sia-siakan zaman remaja dia. Pegang janji saya makcik. Saya akan pastikan Izzah sambung belajar lepas kahwin nanti. Segala perbelanjaannya nanti biar saya yang tanggung.”
Tegas sungguh Asrun menutur janji. Izzah tersenyum lega. Walau ada segaris kerisauan, dia yakin Asrun akan berpegang pada kata-katanya. Bukan mudah dia menerima Asrun dahulu. Namun cara Asrun meladeninya berjaya membuka pintu hati remajanya. Asrun tidak pernah lekang mengingatkan dia tentang masa depan. Jauh di sudut hati, dia masih memegang angan-angan untuk memijak pentas graduasi.