Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

December 10, 2014

APA DAH JADI? BAB 17

     Sudah enam bulan Durani menjadi isteri orang. Selama itulah aku tidak mendengar lagi perkhabaran tentangnya dari mak. Tak ada sebab kenapa kami harus berbual tentang dia lagi. Pada mak juga sudah aku maklumkan mengenai hubungan sebenar antara aku dan Azie. Kalau dah namanya mak, memang takkan dapat aku sembunyikan apa-apa dari dia. Rupa-rupanya dia tahu aku dan Azie cuma berlakon. Cuma ketika aku bawa Azie pulang ke sana, dia ambil langkah untuk berdiam diri. Malas nak bising-bising katanya.
            Rokok dah jadi kawan baik aku sekarang. Dari hanya suka-suka ‘menumpang’ rokok Azie, sekarang dah pandai beli sendiri. Bukan setakat beli sendiri, siap merokok berjemaah sekali dengan Rahim dan kawan-kawan yang lain. Mula-mula turun naik juga darah aku kena perli kawan-kawan serumah. Tapi lama-lama dah terbiasa. Lantaklah, bukan aku minta duit diaorang untuk beli rokok, kan?
            “Amboi! Jauh betul menung tu. Dah sampai kampung ke?”
            Aku menoleh ke pintu bilik. Rahim tersengih lebar. Dia ni memang ada satu perangai, tak reti nak ketuk pintu sebelum masuk ke bilik orang. Naik jenuh mulut menegur, tapi dia buat bodoh saja. Melainkan kalau pintu bilik berkunci, barulah dia ketuk pintu. Itu pun siap dengan terjerit-jerit di luar.
            “Aik, berkilat nampak rambut tu. Nak ke mana?” Aku tanya Rahim yang masih tercegat di pintu.
            “Nak keluar kejap. Nak ikut tak?”
            “Ke mana?”
            “Alah... kita pergi minum-minum, jalan-jalan ambil angin. Besok hari minggu, kan?”
            “Emmm, bawa kereta kaulah. Aku malas nak drive.” Aku bergerak ke almari baju. Nak menyalin baju dan seluar.
            “Kita naik kereta Rayqal,” ujar Rahim.
            “Uik, semua pergi ke? Yassin pun ikut?”
            Rahim cuma mengangguk. Kotak rokok di atas meja kerja diambil. Dengan isyarat mata saja, dia ambil sebatang rokok di dalam kotak. Aku biarkan saja. Dah biasa dengan perangai dia. Kadang-kadang aku pun ‘pow’ rokok dia juga. Yassin dan Rayqal sudah menunggu di kereta ketika aku dan Rahim keluar ke halaman rumah. Bukan senang dapat keluar berempat. Dapat berlibur sekali-sekala begini rasa seronok pula. Makin lama aku berkawan dengan mereka berempat, barulah aku tahu. Rayqal dan Yassin ada talian persaudaraan rupanya. Mereka berdua sepupu. Tapi tak kisahlah tu. Yang penting, tiap-tiap bulan aku tak pernah ‘terkehel’ bayar sewa bilik.
            “Kita nak pergi mana ni? Tadi kata nak pergi minum-minum.” Rahim bertanya setelah hampir dua puluh minit di dalam kereta.
            “Duduk ajelah diam-diam. Hari ni kita pergi minum kat tempat special. Bosanlah asyik kedai mamak aje.” Yassin yang duduk di bahagian depan mengerling aku dan Rahim di tempat duduk belakang.
            “Kalau nak pergi tempat special, jawabnya orang yang ajak tu lah yang kena belanja. Tengah-tengah bulan ni Yassin. Poket tengah kempis ni.”
             Aku pula menyampuk perbualan. Masing-masing gelak melambak. Walaupun dalam bergurau, tapi hakikatnya memang benar. Sejak merokok ni, jarang-jarang duit aku cukup sampai hujung bulan. Mujurlah duit pemberian Abang Zali masih ada. Kalau tidak, memang kena puasalah jawabnya.
            “Hari ni abang polis kita ni yang belanja. Member baru naik pangkat...” Yassin menepuk-nepuk bahu Rayqal yang sedang memandu.
            “Wah! Tahniah Rayqal. Eh, salah. Kopral Rayqal...” Rahim pula menggoncang-goncang bahu Rayqal. Aku cuma ucapkan tahniah. Kalau dah semua nak menepuk bahu Rayqal, ada senget sebelah juga bahu dia.
            “Terima kasih!!! Hari ini ajelah aku belanja pun. Lain kali tak dak dah!!!”
            Terhambur tawa masing-masing. Dah maklum sangat dah dengan perangai Rayqal. Dia ni memang agak berkira sikit dengan duit dia. Kalau dia kirim beli barang, baki sekupang pun dia minta juga.
            Kereta berhenti di hadapan sebuah kedai minum. Erk! Kedai apa ni? Pintu kedai tertutup rapat. Walaupun ada banyak lampu berwarna-warni menghiasi luar kedai, tapi lain macam benar aku tengok kedai ni. Kepala terdongak ke arah nama kedai ketika membuka pintu kereta. Lucky Star Bar. Bar? Uish! Biar betul Rayqal ni. Takkan nak minum-minum di tempat begini.
            “Kita nak minum kat sini ke?”
            Tiga-tiga pandang aku. Yassin dah menolak pintu kedai. Rahim ikut masuk sekali. Kaki aku masih keras di tepi pintu kedai. Rayqal pandang aku, dia senyum sambil bagi isyarat suruh aku masuk. Kepala tergeleng perlahan. Kalau mak tahu aku masuk tempat macam ni, memang dia tak mengaku anak rasanya.
            “Kau jangan fikir yang bukan-bukanlah Joe. Masuk dulu, baru tahu macam mana rasanya...” Rayqal menolak pintu kedai. Kuatnya bunyi muzik di dalam.
            “Aku tak minum air setan tu.” Aku keraskan suara, cuba tetapkan pendirian. Kalau terpaksa tunggu di dalam kereta pun aku sanggup. Aku takkan masuk ke tempat-tempat begini.
            “Siapa pulak yang suruh hang togak kencing setan tu. Air lain pun ada kat sini. Masuk dulu, kita release tension. Layan mata sat. Kenal-kenal kawan baru kat sini.”
            Rayqal dah menarik tangan ketika aku sedang terkial-kial memikirkan alasan untuk tidak menyertai mereka. Berkerut dahi menahan bunyi muzik yang kuat. Bergegar-gegar gegendang telinga aku, cuba membiasakan bunyi muzik. Makin melangkah ke dalam, suasana semakin suram dan gelap. Kelihatan dua orang gadis berskirt pendek sedang menunggu di sebuah lagi pintu yang diubahsuai seperti pintu di restoran koboi. Berkali-kali aku telan air liur. Berdebar-debar dada melihat peha gebu gadis-gadis itu.
            “Qal, aku tunggu kat luar ajelah...”
            Aku rentap perlahan pegangan tangan Rayqal. Tapi tak sempat nak berpaling, salah seorang gadis tersebut memeluk lengan aku. Rayqal tersengih nakal. Dia relakan saja gadis yang seorang lagi memimpin tangannya masuk ke dalam. Aduh! Menyesal pula aku ikut diaorang. Duduk kat rumah lagi bagus macam ni. Mak...ampun!!!
            “First time ke?” tanya gadis itu. Suaranya dekat betul di tepi telinga. Aku pandang dia sekilas. Rambut melindungi dahi, hampir-hampir menutup mata. Cara bercakap macam Melayu. Tapi gaya berpakaian macam Cina.
            “Fresh orange pun ada kat sini. Jangan risau...”
            Dia berjaya buat aku tersenyum. Macam tahu-tahu saja apa yang sedang aku fikirkan. Dia bawa aku masuk ruang bar. Melalui cahaya samar, aku tengok ada banyak tempat duduk yang disusun dalam bentuk berkumpulan. Setiap satu sama lain dihadang dengan penyandar kerusi yang agak tinggi. Senang cakap, apa yang orang sebelah belakang buat memang kita tak nampak. Ditambah pula dengan suasana sekeliling yang agak gelap. Hmm...Memang tempat yang sangat sesuai untuk buat maksiat ni.
            “Joe, sini!”
            Terkial-kial aku mencari arah suara Rayqal. Tapi gadis itu lebih pantas membawa aku ke sudut kedai. Mereka bertiga ada di situ rupanya. Lega sekejap bila dapat menghenyak punggung di sebelah Yassin. Telinga semakin dapat menyesuaikan diri dengan bunyi bingit di situ. Gadis tadi mengambil pesanan, sama seperti kedai-kedai makan di luar. Hati makin lega bila masing-masing memesan minuman halal. Takut juga membayangkan kalau-kalau ada salah seorang dari kawan-kawan aku ni meneguk minuman haram tu.
            “Tak lemas ke minum kat tempat macam ni? Gelap. Nak tengok muka korang pun tak nampak.”
            Terpaksa kuatkan suara sikit bila nak berbual-bual. Dah macam nak bergaduh pula gayanya.
            “Dah lama kitaorang tak lepak sini. Kat sini tak ramai orang. Sekali-sekala nak melayan kepala, kitaorang masuklah sini,” jawab Rayqal, juga dengan suara yang melaung.
            “Layan kepala apa bendanya ni? Makin sakit kepala adalah. Kalau selalu-selalu masuk sini, mahu pekak telinga aku woi!”
            Terkekek-kekek mereka bertiga ketawa. Sumpah, memang boleh sakit kepala kalau lama-lama duduk di sini. Atau mungkin aku yang masih belum biasa? Aku tengok Yassin, Rayqal dan Rahim macam dah biasa dengan tempat ini. Kepala masing-masing terangguk-angguk mengikut rentak muzik rancak yang dimainkan. Tidak lama kemudian, minuman yang kami pesan pun tiba. Rasa macam berada di dunia lain pun ya juga. Aku tak nampak langsung muka pelayan yang menghidangkan minuman. Walaupun di situ ada lampu sorot yang bermacam-macam warna, masih tidak membantu penglihatan aku. Cuma hidung saja yang terbau haruman minyak wangi yang digunakan oleh pelayan itu. Mak ai!!! Berapa botol minyak wangi dia sembur ni?
            “You mahu perempuan ka bos?” Pelayan itu bertanya sebelum beredar.
            “Boleh juga. Empat orang,” jawab Rayqal laju.
            “Eh! Aku tak naklah Qal. Aku nak minum aje.” Sepantas kilat aku menolak. Tadi kata nak minum-minum. Ni apahal pula sampai melibatkan perempuan ni?
            “Sportinglah sikit Joe. Bukan selalu...” Aku dengar suara Yassin. Pelik betul. Yassin yang selalunya nampak tegas, malam ni macam aku tengah tengok orang lain. Mungkin sengaja bagi muka pada sepupu dia agaknya.
            “Ini bukan perempuan yang ‘gitu-gitu’ Joe. Ni setakat teman minum-minum dan borak-borak aje. Kitaorang semua masih teruna lagi!”
            Kali ni aku pun gelak sama. Semakin selesa berada di situ. Kentang goreng yang terletak di tengah-tengah meja aku ambil sepotong. Muzik bertukar perlahan. Barulah selesa sikit telinga ni. Ketika sedang menyedut minuman, empat orang gadis menghampiri meja kami.
            “Hai, lama tak nampak? Ingatkan dah tak ingat jalan nak datang sini.” Salah seorang dari mereka menegur. Tiga dari mereka dah menyelit di antara Yassin, Rayqal dan Rahim. Aku ambil jalan selamat, beralih tempat duduk di bahagian tepi sekali. Senang nak lari kalau jadi apa-apa hal nanti.
            “Kitaorang sibuklah sayang. Come, have a sit,” pelawa Rayqal.
            Gadis itu menoleh ke arah aku. Alamak! Janganlah dia menyelit di sini. Hati berdebar-debar kembali. Bukan takut, tapi seram. Seram tengok pakaian sendat gadis itu. Walaupun berseluar panjang, tapi setiap lekuk tubuhnya jelas kelihatan. Aku pasti gadis itu berbangsa Melayu. Loghat utara agak jelas kedengaran.
            “Bawa geng baru ke?” Gadis itu bertanya sambil melangkah ke tempat aku duduk. Aduh mak! Dia duduk di bahagian tepi. Sudah! Ke mana nak lari ni? Dah terapit di antara gadis itu dan kawannya yang duduk di sebelah Yassin.
            “You tanya dia sendirilah. Dia malu-malu lagi tu,” Rahim menyampuk perbualan.
            “Nak malu apa? Kalau dah berani masuk ke sini, tak ada maknalah nak malu-malu...”
            Aku sengih sikit, walaupun aku sangat pasti dia tak nampak reaksi wajah aku. Fresh orange di atas meja aku capai. Gadis yang masih belum aku ketahui namanya mengiring sedikit, mengadap aku. Sekarang masing-masing dah ada teman. Aku membuang pandang ke arah lain. Rasa tak sedap hati bila tangan gadis itu mendarat di peha.
            “Nak panggil apa ni?” tanya gadis itu.
            Aku telan fresh orange perlahan-lahan. Tak semena-mena gadis itu memegang gelas di tangan. Dia tolong letakkan gelas itu di meja. Dia ambil bekas berisi kentang goreng. Aku geleng perlahan. Tak tertelan aku kentang goreng tu. Macam mana nak makan kalau gadis itu asyik menari-narikan tangannya di peha ni?
            “Joe...Johaimi...” Tersekat-sekat aku menjawab soalan dia.
            “Joe.. relakslah. You  memang tak biasa datang tempat-tempat macam ni, ya?”
            Aku mengangguk laju. Gadis itu mengalihkan tangannya. Fuh, lega. Muzik rancak berkumandang kembali. Suasana kembali bingit. Apa aku nak buat ni? Takkan nak melangut saja. Nak balik dulu, aku tumpang kereta Rayqal pula. Aduh! Mati kutu macam ni.
            “You polis juga ke? Macam Rayqal?”
            Aku menoleh. Mujur tak tercium pipi dia. Bau minyak wangi dia bestlah. Tak menyengit hidung macam bau gadis yang menyambut aku di pintu tadi. Aku cuba duduk dengan selesa. Tak salah rasanya kalau setakat berbual-bual. Lagipun aku tengok tangan dia tak macam kawan-kawan dia yang lain. Sekali-sekala aku ternampak juga tangan kawan-kawan aku yang bertiga tu pun dah macam sotong. Hmm, patutlah suka sangat ke sini. Nak buat wayang free rupanya.
            “Saya sama tempat kerja dengan Rahim,” jawab aku pendek.
            “Apa dia? Sorry, I tak dengar...”
            Gadis itu semakin rapat. Boleh rasa sebahagian badannya terhimpit di dada. Aku tahan nafas. Kalaulah boleh aku perlahankan muzik ni, alangkah bagusnya. Dah macam sandwich pula rasanya. Perlahan-lahan aku tolak sikit badan gadis tu. Aku mengengsot sedikit ke tepi. Aku tunduk sedikit, dekat dengan telinga gadis itu.
            “Rahim dan saya satu tempat kerja.”
            “Ooo...Pegawai bank.” Gadis itu terangguk-angguk.
            Lepas satu, satu soalan ditanya. Dah macam sesi interview pula rasanya. Aku tahu, gadis itu cuba buat aku rasa selesa. Kami berbual dalam keadaan tertunduk-tunduk. Aku nak mengelakkan dari dia menghimpit badan aku seperti tadi. Seram sejuk satu badan bila dia buat begitu. Mujur dia faham. Soalan yang dia tanya pun tak menyimpang atau double meaning. Lama-lama jadi seronok pula berbual dengan dia.
            “You dah ada girlfriend, ya?”
            “Eh, mana ada...”
            “Habis tu kenapa nampak takut-takut? You gay ke?”
            “Huish, nauzubillah!”
            Gadis itu mengekek ketawa. Kedua-dua tangan dirapatkan, isyarat minta maaf. Tercuit pula hati bila dia buat macam tu. Aku nampak barisan gigi putihnya apabila dia tersenyum lebar tadi. Aduhai lampu! Tak boleh ke bagi aku cahaya yang terang sikit? Aku nak tengok muka dia.
            Malam semakin larut. Perut pun dah naik kembung. Dah bergelas-gelas fresh orange aku minum. Diaorang bertiga ni tak ingat nak balik ke?
            “Sayang... Tolong ambilkan bil.” Rayqal bersuara.
            Gadis yang melayan aku tadi bangun. Sempat lagi Rahim melepuk punggung gebu gadis itu ketika dia bangun. Kurang asam betul! Mujur bukan teman wanita aku. Kalau tak dah lama dia makan penumbuk.
            “Amacam Joe? Okey tak lepak kat sini?” Yassin bertanya.
            “Bolehlah...” Aku jawab sepatah.
            “Enjin dia belum panas lagi tu. Malu-malu kucing lagi. Tunggu nanti bila kucing dah keluar tanduk. Silap-silap haribulan dia datang sorang-sorang aje ke sini nanti.”
            Aku menggeleng, menidakkan kata-kata Rahim. Yang lain-lain dah ketawa mengilai. Tak mungkin aku akan jejakkan kaki lagi ke sini. Walaupun hati ni dah kosong, namun penggantinya tak mungkin berada di sini. Mahu pengsan mak aku kalau dia tahu bakal menantunya GRO. Choi!!!
            Tak lama kemudian gadis tadi datang semula dengan dulang kecil berisi bil yang perlu dibayar. Aku perhatikan selain Rayqal, Rahim dan Yassin juga mengeluarkan dompet masing-masing. Eh, bukan ke tadi Rayqal kata dia yang belanja? Sangkaan meleset apabila cuma Rayqal saja yang meletakkan duit di dalam dulang. Rahim dan Yassin menghulur duit masing-masing pada gadis-gadis yang menemani mereka malam itu. Oh, tips rupanya. Rayqal menjongket kening pada aku. Apa? Aku pun kena bagi tips juga ke? Aduh! Dalam beg duit cuma ada lima puluh ringgit aje ni.
            “Joe...takkan tak ada barang sekeping kot? Janganlah kedekut sangat,” perli Rayqal. Dia juga menyelitkan sekeping not lima puluh di celah tali pinggang gadis yang menemaninya sebentar tadi.
            “I tak nak tips. Just, come here again next time...”
            Tergamam aku sekejap. Betul ke apa yang aku dengar ni? Gila ke apa nak aku datang ke tempat ni lagi? Gadis itu menumbuk perlahan dada aku. Rayqal, Rahim dan Yassin bersorak riang. Aku tak tahu nak buat apa? Muka dah merah padam. Sudahnya aku cuma mampu mengangguk dan minta diri untuk keluar. Gadis itu cuma melambai dan beredar pergi. Sekali lagi lampu di dalam bar itu tidak membantu aku untuk melihat keseluruhan wajah gadis itu.
            Di dalam kereta, aku cuma membisu. Entah kenapa, wangian gadis itu seakan masih terbau-bau di rongga pernafasan. Yang lain-lain juga sudah membungkam. Kepenatan barangkali. Mahunya tidak, gelak ketawa, berbual tak henti-henti sampai perut kembung dengan bergelas-gelas air. Rayqal menguap lebar. Terus tegak badan aku melihat dia melalui cermin pandang belakang.
            “Kalau kau mengantuk, biar aku drive Qal.”
            “Tak apa. Dah nak sampai pun...”
            Rayqal bersiul-siul kecil. Mungkin untuk menghilangkan rasa mengantuk. Aku tersandar kembali. Aku cium sedikit hujung lengan baju. Patutlah, bau minyak wangi gadis itu melekat di baju rupanya. Aku senyum sikit. Hampir tiga jam berada di Lucky Star Bar, tak terfikir langsung kepala otak aku ni untuk bertanyakan namanya.. Bongok betullah kau ni Joe.
            “Rayqal, aku nak tanya sikit boleh tak? Tapi janji, kau jangan gelak.” Sengaja aku rendahkan suara. Bimbang kalau-kalau Rahim dan Yassin terdengar.
            “Apa dia?” tanya Rayqal.
            “Apa nama awek yang temankan aku tadi?”
            Rayqal tekup mulut. Aku tahu dia nak ketawakan aku. Aku cubit bahu kanannya. Rayqal mengaduh perlahan. Dia tepuk dahi sebelum menoleh sekejap ke belakang.
            “Sengallah kau ni Joe. Macam tu punya lama berborak, kau tak tanya nama dia?”
            Aku diam saja. Dah agak, pasti Rayqal akan bahasakan aku. Tahan ajelah Joe. Siapa suruh tak tanya perempuan tu tadi?
            “Dah tersangkut dengan awek tu ke?” tanya Rayqal.
            “Taklah. Aku cuma nak tahu nama dia aje...”
            “Oh... Karmila.”
            “Apa dia?” Aku menyoal kembali. Celik biji mata sekejap bila Rayqal sudi menjawab soalan.
            “Nama dia Karmila...”

APA DAH JADI? BAB 16

       Dari jauh aku perhatikan Jalil mengucup ubun-ubun Durani. Hati terhiris tapi bibir aku paksa untuk menguntum senyum. Kini sudah sangat pasti. Impian untuk memiliki Durani hanya tinggal kenangan. Dia sangat cantik petang itu. Sangat terserlah seri pengantinnya.Tak jauh dari Durani, Azie sedang tersenyum manis. Matanya tajam merenung aku yang duduk berdekatan dengan pintu. Aku tahu dia sedang memberi semangat. Mak menepuk-nepuk peha Azie. Pasti dia pun makan hati juga. Tapi kehadiran Azie banyak membantu aku dan mak. Masih terbayang lagi saat mak menarik Azie duduk di belakang Durani. Mata tetamu-tetamu wanita tertumpu pada Azie. Hilang glamer Durani sekejap.
             “Kenapa tak datang pagi tadi?”
            Aku menoleh sebelah kiri. Pak Zahar. Dia hulur tangan untuk bersalam. Aku sambut pantas dan goncang dengan kuat. Mata sempat lagi mengerling Azie dan mak. Nak sangat mereka berdua ada di sini. Boleh aku mulakan lakonan bersama Azie nanti.
            “Pagi tadi bertunang aje, kan? Malas nak berulang-alik banyak kali. Jadi saya datang petang ajelah. Lagipun malam ni dah nak balik Penang.” Jawapan jujur dari aku disambut Pak Zahar dengan juihan bibir.
            “Kau malas nak ulang-alik ke, tak sanggup makan hati tengok anak aku sarung cincin dengan orang lain?”
            Aku senyum sikit sambil garu kening. Adoi orang tua ni. Kalau aku hayun buku lima ni, mahu senget muka dia ni karang. Tak puas-puas lagi ke nak menjatuhkan air muka aku?
            “Apahal pulak dia nak makan hati Abang Zahar? Kawan tu dah ada pengganti...”
            Aku hembus nafas lega perlahan-lahan. Mak tiba tepat pada masanya. Dengan isyarat mata sahaja, mak perkenalkan Azie pada Pak Zahar. Berkerut dahi orang tua tu melihat Azie memimpin mak. Kami bertiga keluar dari ruang tamu rumah Pak Zahar yang dijadikan tempat untuk majlis akad nikah. Ada jamuan ringan sedang berlangsung di bawah khemah
            “Sayang... you nak makan apa? I ambilkan untuk you. Makcik nak apa? Zarith... Jom ikut Kak Azie ambil makanan.”
            Mak senyum. Dia bagi isyarat untuk aku menoleh ke belakang. Pak Zahar masih mengekori kami rupanya. Apahal dia ni? Tetamu-tetamu dia masih berada di atas rumah. Tapi dia, sampai terteleng kepala Pak Zahar melihat Azie beriringan dengan Zarith ke meja hidangan. Apa macam? Menitik air liur nampak!
            “Budak mana tu?” tanya Pak Zahar. Kerusi ditarik dan dia duduk di antara aku dan mak.
            “Budak Georgetown, sama tempat kerja dengan Johaimi,” jawab mak.
            “Ooo...” Bulat mulut Pak Zahar. Matanya masih mengikut langkah Azie.
            “Anak Sal ni, tak ada selera dah dengan minah-minah kampung ni...”
            “Lawa budak tu. Maintenance tinggi tu Johaimi. Kau mampu ke?” Pak Zahar menyiku perlahan lengan aku.
            “Eh! Apa pulak tak mampu? Anak Sal tu kan pegawai bank. Gaji dia dengan Durani dah berganda-ganda bezanya Abang Zahar oi! Budak Azie tu pun bukannya jenis suka melawa. Natural beauty kata orang. Bagus budak tu. Tak banyak songeh.”
            Mak bangun dan beri ruang pada Zarith dan Azie yang tiba dengan pulut kuning dan beberapa jenis kuih di dalam pinggan. Dia letak sepinggan pulut kuning di depan aku dan sepinggan lagi di tempat dia.
            “Sayang, kita share air boleh kan? Tak cukup tangan nak pegang gelas tadi.” Azie merapatkan kerusi. Aku kerling dengan ekor mata, Pak Zahar sedang meraup wajah berkali-kali. Apa macam? Menyesal ke reject aku jadi menantu dulu?
            “Makan dulu, ya. Joe nak basuh tangan kejap.” Aku bangun, meninggalkan Pak Zahar yang masih terkulat-kulat di situ.
            Mata terpandang Durani dan Jalil menuruni tangga ketika aku membasuh tangan di hujung khemah. Muka terasa panas apabila melihat tangan Durani dan Jalil bertaut erat. Kaki seakan terlekat di situ. Johaimi, sila terima hakikat. Dia dah jadi milik orang. Mata masih mengawasi kedua-dua mempelai. Mungkin terasa diperhatikan, Durani menoleh ke arah aku. Serentak dengan itu, kakinya terpijak hujung kain yang agak labuh.
            “Abang!”
            Durani menjerit. Laju tangan Jalil memaut pinggang Durani. Keadaan kecoh sekejap. Ada sekumpulan anak-anak muda di bawah khemah bersorak gembira. Seronok pula dapat tengok adegan peluk di depan mata. Pautan tangan Durani di lengan Jalil semakin erat.Berdesing sekejap telinga aku tatkala mendengar Durani memanggil Jalil dengan panggilan abang. Sepatutnya aku yang menyandang gelaran itu, bukan Jalil. Tiba-tiba aku rasa bahu dipaut dari belakang.
            “Dah jadi hak orang Joe. Redha ajelah...”
            Azie menepuk-nepuk perlahan bahu aku. Baru perasan mak juga berada tidak jauh dari situ. Entah berapa lama dia berada di belakang agaknya. Jari telunjuk mak lurus menuding ke bawah khemah. Makanan yang diambil oleh Azie tadi masih belum berusik. Dia menggamit aku dan Azie menyertai. Tapi selera ni dah mati. Apa yang aku nak buat sekarang adalah balik ke rumah dan berkemas pulang ke Georgetown.
            “Jom makan dulu,” ajak Azie.
            “Tak naklah. Aku tak sanggup nak tengok dia main suap-suap karang.”
            “Kalau betul tak nak tengok, kenapa gatal sangat nak datang tadi. Dah alang-alang ada kat sini, jamahlah sikit makanan tu. Kata nak berlakon. Aku belum dapat sakitkan hati awek kau lagi.”
            “Aku bukan suruh kau sakitkan hati dia. Aku cuma nak bapa dia tutup mulut aje bila tengok kau.”
            Azie menjuih bibir. Dengan selambanya dia menarik tangan aku dan duduk semula di bawah khemah. Mak dan Zarith sudah hampir selesai mengosongkan pinggan masing-masing. Elok saja aku menyuakan pulut kuning ke mulut. Pasangan pengantin melintas di depan kami. Mereka bersalam-salam dengan para jemputan.
            “Duduk situ. Biar dia datang sini. Aku nak kau kenalkan aku pada dia...” Azie berbisik keras di telinga.
            “Tak naklah. Aku tak sampai hati nak tengok dia sedih. Bukan salah dia Azie. Salah abah dia.”
            Aku jegil mata pada Azie. Tapi Azie buat-buat betulkan hujung lengan baju kurung yang dipakai. Bersungguh-sungguh benar pula dia. Ketika Durani berhenti di meja kami, mak yang terlebih dahulu bangun. Aku pura-pura minum air. Tak semena-mena Azie meletakkan tangan di peha aku. Mujur tak tersembur air yang ada di dalam mulut.
            “Selamat pengantin baru Durani. Semoga bahagia dengan pilihan abah kau.”
            Sinis betul ucapan mak. Durani salam mak. Dia kucup tangan mak dan terus peluk mak dengan erat. Aku tak sanggup nak tengok lagi. Memang nak sangat angkat kaki sekarang juga.
            “Maafkan Dura makcik,” ucap Durani lirih. Mak ketawa kecil.
            “Sudahlah tu. Dah tak ada jodoh. Mie pun dah ada pilihan lain...”
            Pelukan Durani terlerai. Dia pandang aku yang masih duduk menguis pulut di dalam pinggan. Aku tahu ke mana arah mata Durani. Pasti dia sedang melihat tangan Azie di peha aku. Jalil menyusul di belakang Durani beberapa ketika kemudian. Saat itu aku bangun. Azie pun sama.
            “Tahniah Jalil. Selamat pengantin baru.”
            Kami berjabat tangan. Aku cuma mampu senyum apabila sebelah lagi tangan Jalil memaut pinggang Durani.
            “Sayang, yang mana satu ex-schoolmate you?” Azie tiba-tiba memancing perhatian.
            Durani pandang Azie atas bawah. Aku pula dengan spontannya memaut bahu Azie. Ketika itu semangat nak menyakitkan hati Durani tiba-tiba membuak. Kebetulan pula Pak Zahar juga berada tidak jauh dari situ.
            “Yang perempuan ni, ex-schoolmate I. Nama dia Durani.”
            “Hai, saya Azie. Tahniah, ya. Cantik betullah awak petang ni. Tak macam masa awak bertunang pagi tadi, nampak sugul. Konsep pelamin awak pun cantik. Joe, I pun nak pelamin macam tu nanti tau.” Azie buat suara manja. Sengaja dia merapatkan badannya. Durani mengemam bibir. Aku buat muka selamba.
            “Amboi, awalnya dah rancang konsep pelamin. Dah ada plan nak kahwin ke?” Jalil pula menyampuk.
            “Inshaa Allah. Kalau dah sampai seru kami nikah nanti, kami tak buat di sini. Semua majlis buat kat sebelah perempuan aje. Itu pun rasanya buat di hotel. Betul tak mak?” Aku pula memainkan peranan. Azie semakin gedik. Kepalanya melentuk di bahu aku.
            Boleh nampak wajah Durani menahan rasa. Tanpa pamitan, dia meninggalkan meja kami. Tergesa-gesa Jalil mengekori Durani. Sebaik saja Durani beredar, aku keluar dari khemah.
            “Mak, Azie, Zarith...jom balik. Lakonan dah tamat.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Dah satu jam kami meninggalkan Felda Pasoh 3. Azie pun dah lama terlelap. Penat agaknya. Mahunya tidak, dari pagi dia jadi pengikut setia mak. Dari majlis bertunang hinggalah Durani nikah. Dia berdandan secantik mungkin semata-mata ingin menyakitkan hati Pak Zahar dan Durani. Terbayang-bayang wajah puas hati mak ketika dia bercerita tentang reaksi orang kampung tatkala melihat Azie buat pertama kali.
            ‘Sebulan anak aku kerja kat Penang. Sekali dia balik bawa calon menantu!’
            Beria-ia dia bercerita di kaki tangga rumah sebelum kami berlepas pergi tadi. Mak ketawa besar bila melakonkan semula memek-memek muka orang kampung ketika diperkenalkan kepada Azie.
            “Kalaulah dia tahu aku dan Azie cuma berlakon, ada potensi dia sumpah aku jadi ikan. Lepas tu dia siang hidup-hidup dan goreng. Makan pula dengan nasi panas!”
            Aku gelak mengekek. Apa benda yang aku merapu ni? Stereng ku hentak-hentak perlahan. Azie yang sudah lena di sebelah aku pandang sekejap. Kasihan dia. Tak pasal-pasal aku heret dia sekali dalam masalah aku. Jam di dashboard menunjukkan pukul sembilan malam. Pasti majlis di rumah Durani sedang berlangsung dengan meriah sekarang. Memang Pak Zahar tu kedekut taik hidung masin! Apa salahnya buat kenduri besar-besarannya besok. Ini tidak, nak juga buat sesudah majlis nikah. Buat kenduri-kendara di malam hari berapa ramai saja yang boleh datang? Pandai betul dia menyukat belanja kahwin Durani.
            Malam ini juga merupakan malam pertama Durani bersama Jalil. Malam pertama? Hish! Kenapa aku pula yang sibuk-sibuk nak fikir pasal malam pertama diaorang? Ya, memang aku yang sibuk. Sebab sepatutnya aku yang menjadi pasangan malam pertama Durani. Bukannya Jalil!
            “Argh!!!”
            Aku berhentikan kereta di bahu jalan. Sekali lagi aku menjerit sekuat hati. Berkali-kali stereng kereta menjadi mangsa hentakan tangan. Aku tak sanggup bayangkan tubuh Durani disentuh Jalil. Aku yang sepatutnya menjadi perasmi, bukan Jalil. Bukan Jalil!
            Puas menjerit, sudahnya aku tertunduk di stereng kereta. Nafas tercungap-cungap. Airmata sengaja aku biarkan menitik tanpa henti. Ketika leka melayan sendu, terdengar dengusan perlahan di sebelah kiri.
            “Joe...” Azie memanggil perlahan.
            Aku tak menyahut. Kepala masih tertunduk. Terasa tangan digenggam lembut. Hati semakin sayu diperlakukan begitu. Tak semena-mena aku tarik Azie ke dalam pelukan. Apa yang aku inginkan ketika ini adalah menangis semahu-mahunya. Aku sudah puas menahan. Hari ini aku tidak mampu menipu lagi. Sumpah! Aku sangat terkesan dengan perbuatan Pak Zahar.
            “Aku sayang dia Azie. Kenapa abah dia buat aku macam ni? Kenapa duit yang menjadi kayu pengukur abah dia untuk cari calon menantu? Aku benci bapak dia!”
            Pelukan semakin erat. Azie cuma membatu. Aku masih melayan sendu yang berlagu-lagu. Agak lama juga aku memeluk Azie. Tapi dia tetap seperti tadi. Dibiarkan saja aku menggugu di bahunya. Sesekali dia mengelus lembut belakang kepala aku. Agak tenang juga diperlakukan begitu. Ketika hati semakin reda, handphone berbunyi. Serta-merta pelukan terlerai. Kelam-kabut Azie mengemaskan rambutnya yang kusut. Suasana sekeliling yang agak gelap menyukarkan aku untuk melihat raut wajah Azie. Ada kemungkinan tak dia marah bila aku peluk dia tadi?
            “Azie...”
            Dia menoleh tanpa suara. Aku cuba cari anak matanya, tapi agak sukar mencari arah pandangan Azie di dalam gelap.
            “Maaf, aku bukan nak ambil kesempatan. Cuma...”
            “Jawab call tu dulu,” arah Azie.
            Dia hulur handphone yang aku letak di tempat meter. Sambil mata masih merenung dia, aku menjawab panggilan.
            “Joe...”
            Aku pandang skrin handphone. Aku tak salah dengar rupanya. Memang Durani yang call. Serta-merta darah panas menyirap ke muka. Apa lagi yang dia nak? Mati aku kalau abah dan suaminya tahu Durani masih menghubungi aku. Tak boleh ke dia terima hakikat aku dan dia tak mungkin bersama lagi? Telefon aku genggam sekuat hati. Kalau boleh aku tak nak dengar lagi suara dia. Tapi hati meronta-ronta nak tahu apa tujuan dia menelefon aku.
            “Buat apa call Joe lagi? Hubungan kita dah berakhir Durani. The end...” Aku keraskan suara. Menahan sebak pun ya juga. Aku tumbuk stereng kereta berulang-kali. Bergegar-gegar benda bulat itu aku kerjakan. Azie pegang tangan kiri aku dengan kedua-dua tangannya. Dalam gelap aku nampak kepalanya tergeleng-geleng. Eh, lupa pula. ni kereta dia. Jahanam pula stereng kereta orang aku kerjakan nanti.
            “Joe... Dura masih sayang Joe. Dura terpaksa buat semua ni.” Durani teresak-esak. Aku genggam tangan Azie yang masih memegang tangan aku dengan kuat. Cuba mencari kekuatan untuk berlawan bicara dengan Durani.
            “Kau dah jadi milik orang. Aku tak mahu jadi pemusnah rumahtangga orang. Layanlah suami kau baik-baik Durani. Jangan call aku lagi. Aku dah ada Azie.”
            “Joe tipu! Dura kenal hati budi Joe. Dura tak relakan orang lain sentuh tubuh Dura. Tubuh Dura hanya untuk Joe. Kita dah janji nak lahirkan anak-anak yang comel. Joe tak boleh mungkir janji. Joe kena tunggu Dura.”
            “Kau jangan buat tindakan yang bodoh Durani. Mak bapak kau orang baik-baik. Jodoh kau dah tertulis dengan Jalil. Jangan ganggu aku lagi.”
            “Joe...”
            Aku dah tak sanggup nak berdebat dengan Durani. Mendengar suara dia buat nafas aku makin sesak. Dari jauh kelihatan cahaya lampu kenderaan. Tidak pasti pula aku jenis kenderaan yang berada di belakang kami. Pegangan tangan Azie aku lepaskan. Ketika kenderaan di belakang semakin dekat, dengan spontan aku campak handphone ke tengah-tengah jalanraya.
            “Oi! Handphone mahal tu,” jerit Azie.
            “Biarkan. Aku tak nak Durani cari aku lagi.”
            Bibir ku ketap sekuat hati ketika tayar lori satu tan melenyek telefon bimbit aku hingga berkecai. Sama hancurnya dengan hati aku di saat itu. Jalanraya gelap kembali. Aku tersandar lemah. Tiba-tiba hidung terhidu sesuatu. Saat aku menoleh ke arah Azie, asap sedang berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Hish! Dah macam GRO pula gaya dia ni.
            “Bagi sini.”
            Rokok yang terkepit di celah jari Azie aku ambil. Sebelum aku campak ke luar, aku tenung bara yang menyala di hujung puntung. Tak semena-mena aku suakan rokok ke mulut. Sedutan pertama buat aku terbatuk-batuk. Tekak terasa perit. Aku keluar dari kereta, cuba mencari udara segar. Tapi rokok di tangan masih belum dibuang.
            “Jangan merokok kalau tak biasa...” Azie pun keluar dari kereta.
            Aku teruskan dengan sedutan kedua. Kepala terasa ringan. “Kau drive pula...” Sekejapan saja, aku sudah pandai mengeluarkan asap melalui hidung. Bukannya susah pun nak belajar benda-benda yang lagha ni, kan?
            Azie meneruskan pemanduan tanpa bantahan. Aku, masih meneruskan sedutan demi sedutan. Melayan benda ni lebih baik dari melayan hati yang sedang frust. Kalau Durani tahu aku merokok pasti dia tidak suka. Ah! Peduli apa aku? Mulai hari ini aku akan lakukan semua perkara yang Durani tak suka. Hanya dengan cara itu saja akan buat aku terus lupakan dia. Mungkin...

APA DAH JADI? BAB 15


        Mana Azie ni? Dah dekat sejam menunggu dalam kereta ni. Tak mungkin dia tertidur. Tadi dia yang suruh aku cepat bersiap. Punggung dah kebas, meter minyak makin lama makin turun. Dia masih tak muncul-muncul. Kawan-kawan yang sebilik dengan dia rasanya semua dah keluar. Hish! Ada juga aku pergi ketuk pintu bilik dia ni. Kalau tak pun aku hon. Eee... Takut kecoh pula nanti.
            Dah naik lenguh jari menekan nombor telefon Azie. Sudahnya aku keluar dari kereta. Tak boleh jadi ni. Mujurlah kereta dia. Kalau tidak memang dah lama aku tinggalkan dia sorang-sorang di sini. Aku dah rindu nak peluk mak ni. Aku pandang dulu pintu bilik Azie yang berada di tingkat atas. Cantik betul seni bina bilik-bilik di Eagle Ranch Resort ni. Rasa macam berada di dalam Pekan Koboi. Kalau dapat berbulan madu dengan orang tersayang di tempat begini tentu seronok.
            “Hai Joe!”
            Tersentak aku bila pintu bilik Azie tiba-tiba terbuka. Kurang asam! Tak sempat nak berangan barang sekejap. Azie melambai-lambai sambil tersengih-sengih. Cuma kepala dia saja yang terjengul di pintu.
            “Woi! Kau membuta eh? Telefon tak berjawab.Dah pukul berapa ni? Tadi kau yang suruh aku cepat.”
            Aku dah terjerit-jerit di bawah. Siap dengan bercekak pinggang. Tapi Azie cuma mengekek ketawa. Eee, ada juga yang kena baling dengan kasut ni nanti. Apalagi yang dia buat kat dalam bilik tu. Sesi kursus dah lama habis. Tak puas-puas lagi ke lima hari lima malam berkampung di sini?
            “Tolong angkatkan beg, boleh? Beratlah,” pinta Azie. Dia masih menyorok di balik pintu.
            “Kau campak ajelah beg tu dari atas. Yang kau menyorok macam orang tengah berbogel tu apa hal? Lepas tu nak suruh aku naik. Jangan cari pasal eh!”
            Muka Azie berubah masam. Aku tajamkan pandangan. Sejak dah declare kawan dengan dia, cara aku bercakap pun dah macam Azie tu Azlan. Ber ‘aku’ ‘kau’, cakap lepas dan bergurau pun kasar. Tengok pada luaran, Azie tu jenis yang tahan bergurau juga. Tapi tak tahulah kalau dia tersinggung. Lantak dialah. Yang penting aku memang tidak ada apa-apa perasaan dengan dia.
            “Aku tahulah aku ni bukan taste kau. Macam mana aku nak turun tangga dengan pakaian macam ni. Beg berat pula tu.”
            Azie menayangkan keseluruhan tubuhnya di depan pintu. Terlopong mulut aku sekejap. Sumpah, dia memang lawa. Lebih lawa dari Durani. Eh, tapi dari mana dia dapat baju kebaya pendek tu?
            “Mana kau curi baju tu?” Aku berseloroh sambil memanjat tangga ke bilik Azie.
            “Curi kepala hotak kau! Azlinda, peserta dari branch Melaka yang hadiahkan. Kebetulan pula aku nak ikut kau balik kampung, kan? So, kenalah pakai yang sopan-sopan sikit...”
            Azie mengunci pintu bilik. Ada sebuah lagi beg pakaian di tangan dia. Aku tak fahamlah dengan orang perempuan ni. Apa sajalah yang dia bawa. Dua beg pakaian, beg tangan lagi. Kenapa dia tak angkut saja almari baju di rumah tu? Bukan main berat lagi beg dia. Dia letak batu agaknya.
            “Kenduri kat rumah Durani tu besoklah. Hari ni pakai biasa-biasa pun dah okey...” Aku hidupkan semula enjin kereta. Dah ternampak-nampak bumbung rumah mak ni. Azie kelihatan agak payah nak duduk dengan selesa di dalam kereta. Mujur ada selendang yang dibuat penutup dada. Kalau tidak, rasanya mata ni mesti nak menjeling ke arah tempat-tempat tertentu di tubuh Azie.
            “Macam tak selesa aje. Tak sesak nafas ke kau pakai baju tu?” Aku tanya Azie ketika kereta bergerak keluar dari Eagle Ranch Resort. Tak sangka, seronok juga berkursus ni. Jumpa dan kenal kawan-kawan baru. Dan yang paling penting, dekat dengan kampung halaman.
            “Aku okey. Kau tu yang nampak macam orang semput, kenapa? Tak pernah tengok perempuan seksi ke? Selalunya aku pakai skirt pendek kau tak pandang pun aku macam tu.”
            “Perempuan pakai skirt aku dah biasa tengok. Tapi aku kalah betul kalau tengok perempuan pakai baju kurung, baju kebaya, tak kisahlah baju apa pun asalkan baju tradisional melayu. Menitik air liur aku beb!”
            Spontan Azie menepuk peha aku. Aku dah gelak melambak. Azie membetulkan selendang yang menutup dada. Mungkin masih ada rasa segan bila aku cakap macam tu. Hmm, ada lagi ciri-ciri ketimuran dia ni rupanya.
            “Jauh tak rumah mak kau dari sini?” tanya Azie.
            “Sejam lebih juga. Kalau kau nak tidur sekejap pun tak apa. Dah nak sampai nanti aku kejutkan.”
            “Tak mengantuk lagi. Cantik juga tempat kita berkursus kali ni, kan? Nanti aku nak suggestkan pada bos untuk buat Branch Family Day kat sini.”
            “Eleh, macamlah kat Penang tu tak ada tempat-tempat yang best.”
            “Memang banyak. Tapi kalau buat kat sini dekat sini dengan rumah mak mertua.”
            Terhenjut-henjut badan Azie. Beria-ia benar dia ketawa. Aku pandang dia bersama kerutan di dahi. Dia ni dah sawan ke? Asyik ketawa saja dari tadi. Sekejap-sekejap aku pandang jalanraya. Kemudian aku pandang dia semula. Ketawa dah berhenti, tapi mulutnya masih tersengih lebar.
            “Woi! Kau berangan apa ni? Kau jangan macam-macam Azie. Kita berlakon aje tau.”
            Sekali lagi aku mengingatkan dia. Bukan boleh percaya sangat dengan perempuan ni. Lebih-lebih lagi kalau dah jumpa dengan mak aku nanti. Buatnya dia bagi ayat-ayat power pada mak aku, dah berkenan pula hati orang tua tu. Mampuslah aku jawabnya. Memang buat masa ini aku tak ada apa-apa feel dengan Azie. Kalaulah kami memandu dengan kereta masing-masing, memang dah lama aku suruh dia balik ke Penang dulu.
            “Aku tahulah apa aku nak buat nanti. Jangan risau, aku bukan jenis mungkir janji. Tapi aku tak boleh jamin mak kau tak berkenan dengan aku nanti. Maklumlah, orang tua mana yang tak suka kalau tengok anak bujang dia bawa balik anak dara orang. Lawa pula tu. Dahlah lawa, berbudi bahasa, pandai masak...”
            “Bluwek!!!”
            Aku buat-buat loya. Sekali lagi dia ketawa berdekah-dekah. Aku pun senyum juga. Perasan lebih betul minah ni. Berkesan juga kursus Pengurusan Stress ni. Banyak benda-benda positif yang boleh aku praktikkan. Mungkin Azie sudah memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi di sini. Melihat pada gayanya, dia dah boleh menerima persahabatan yang aku jalinkan.
            Harap-harap orang di kampung terpedaya dengan lakonan kami nanti. Bukan nak menipu, tapi cuma nak menutup mulut-mulut jahat yang sering mengutuk aku dan keluarga. Terutamanya abah Durani. Biar dia tahu, bukan anak dia seorang saja yang cantik. Buat Durani pula, kehadiran Azie nanti aku harapkan dapat membantu dia untuk melupakan aku. Itu dia. Habis, aku ni macam  mana?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Pertama kali aku tengok Azie tersipu-sipu malu. Hujung selendang yang menutup dada dipintal perlahan. Teragak-agak dia bersalam dengan mak. Zarith menyeringai suka apabila pipinya dicuit Azie.
            “Patutlah tak sabar-sabar nak balik. Rupa-rupanya nak tayang buah hati baru. Emm.. not bad!”
            Azie pandang aku dengan mulut terlopong. Aku cuma jongket kening. Apa? Dia fikir mak aku tak pandai speaking ke? Zarith memimpin tangan Azie masuk ke rumah. Aku dan mak masih di halaman rumah. Aku punggah barang-barang yang aku bawakan untuk mak dan Zarith di  bonet kereta. Mak pun turut membantu. Mulut ni dah gatal nak bertanya pasal Durani sebenarnya. Tapi takut pula kalau-kalau angin mak berubah. Yalah, dia kan dah berpatah arang dengan keluarga Pak Zahar.
            “Lawa budak tu. Besok bolehlah bawa sekali ke rumah Durani.”
            “Hmm.. seganlah mak.”
            Sengaja buat jual mahal sikit. Nak tengok reaksi mak. Seperti yang aku jangka, bulat mata mak merenung aku. Tangannya sudah naik ke pinggang. Wajah inilah yang sangat-sangat aku rindukan. Walaupun nampak garang, tapi aku tetap suka nak menyakat mak.
            “Kau segan ke, atau masih ada hati lagi dengan budak Dura tu?” tanya mak dengan jelingan sinis.
            “Kalau Mie tak jawab pun, Mie rasa mak tahu jawapannya, kan?”
            “Huh! Azie tu lagi lawa dari Durani.”
            “Lawa aje tak cukup mak. Hati ni...”
            “Habis tu, kenapa kau bawa Azie tu ke sini? Kau jangan macam-macam Mie. Mak tak suka kau main-mainkan perasaan orang. Biar orang buat kita. Kalau kita berbalas-balas, sampai bila nak selesai masalah?”
            Aku biarkan mak memanjat anak tangga. Aku perhatikan dia dari belakang. Wajar tak kalau aku beritahu mak, aku dan Azie cuma berlakon. Eee... ada potensi kena pelangkung nanti.
            “Kitaorang baru berkawanlah mak. Belum sampai ke tahap serius lagi.” Akhirnya aku pilih jawapan selamat. Mak mengerling. Masuk saja ke dalam rumah, dia terus ke bilik Zarith. Nak menjenguk Azie agaknya.
            Aku masuk ke bilik yang dah sebulan aku tinggalkan. Tak ada perubahan. Cuma, gambar Durani sudah tidak ada di atas meja. Aku tarik laci, tak jumpa. Angkat semua bantal yang tersusun rapi di atas katil. Gambar Durani tidak ada di situ. Terpandang pula bakul sampah di belakang pintu bilik.
            “Eh, sampai hati mak letak gambar Durani kat sini...”
            Aku ambil bingkai gambar yang sudah terbelah dua cerminnya. Dapat aku bayangkan perasaan mak ketika melemparkan bingkai gambar itu ke dalam tong sampah. Aku usap perlahan gambar Durani yang sudah berubah warna. Ya Allah, besok dia akan jadi milik orang lain. Sanggupkah aku melihat dia bersanding di pelaminan nanti?
            “Abang Mie...”
            Cepat-cepat aku sorok gambar Durani di belakang badan. Tapi kemudiannya menarik nafas lega apabila melihat Zarith meluru masuk dan menghenyak punggung di atas katil.
            “Pagi tadi ramai orang kat rumah Kak Durani. Diaorang rewang kat sana...” Zarith bersuara perlahan. Terus aku mengemaskan sila. Adik aku ni memang layak jadi penyiasat persendirian gamaknya, kan?
            “Kak Durani ada?” Aku mulakan penyiasatan.
            “Ada. Tangan dia kan....cantik! Ada inai dengan corak-corak lawa. Pelamin dia macam dalam taman. Banyak bunga!”
            Terkemam bibir aku. Pelamin dalam taman? Itu tema perkahwinan yang selalu kami angankan dulu. Hati tiba-tiba rasa sebal. Tak nak kahwin dengan Jalil konon! Tapi pelamin bertema bagai. Huh! Menyampahnya aku.
            “Dahlah Zarith. Abang nak mandi kejap.” Aku nak bangun. Dah malas nak dengar cerita Durani, Tapi Zarith lebih pantas menarik tangan hingga aku terduduk semula di atas katil.
            “Adik belum habis ceritalah!”
            “Nak cerita apa lagi?” Aku bertanya acuh tak acuh.
            “Mak kena perli dengan Pak Zahar. Dia kata mak masih teringin nak jadi berbesen dengan dia...”
            “Besanlah! Bukan besen!” Spontan aku tunjal dahi Zarith. Dia mengekek gelak. Tapi aku tidak.
            Kurang ajar betullah Pak Zahar ni. Kau tunggulah besok.Aku akan pastikan kau anak-beranak terjojol biji mata bila tengok Azie nanti. Aku melompat turun dari katil dan terus keluar dari bilik. Langkah terhenti ketika berada di pintu. Mak dan Azie sedang tercegat di situ. Mak tertunduk memandang lantai. Azie pula tenung aku tanpa kerdipan. Diaorang dah terdengar ke perbualan aku dan Durani tadi?
            Aku pegang bahu mak. Dia palingkan wajah ke arah lain. Fahamlah aku yang dia sedang menyembunyikan rasa sedihnya. Hati makin pegal. Mak ni pun satu. Dah tahu mulut Pak Zahar tu macam longkang, dia pergi juga ke rumah Durani tu buat apa?
            “Joe...besok Azie nak ikut makcik pergi kenduri tu, boleh?”
            Azie kenyit mata. Aku tengok mak perlahan-lahan menoleh ke arah kami. Matanya kelihatan bercahaya walaupun ada takungan air di situ. Tangan kanannya menepuk bahu aku, tangan yang sebelah lagi mengusap pipi Azie.
            “Jom, esok pakai cantik-cantik. Mak nak tayang kat orang kampung bakal menantu dari utara ni. Biar terlopong mulut si Zahar tu. Menantu aku lagi lawa dari anak dia tau!”
            Mak peluk Azie sambil menepuk-nepuk belakang badan gadis itu. Dari belakang, Azie tunjuk isyarat bagus pada aku. Zarith menggoncang lengan aku. Dia nampak keliru. Tapi aku dah melebarkan senyum sampai ke telinga. Nampaknya rancangan aku bakal terlaksana esok. Durani, Pak Zahar...Bersedialah untuk gigit jari pula.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Dah pukul tiga pagi. Tapi mata ni payah benar nak lelap. Dari pakai singlet, aku buka dan campak ke bawah. Kain pelikat aku selak sampai ke peha. Nak kata cuaca panas, tak pula. Nyamuk pun tak bernyanyi di telinga. Takkanlah badan aku ni dah tak selesa berbaring di katil sendiri? Aku bangun, tepuk-tepuk bantal dan letak kepala semula. Tangan menjangkau handphone yang berada di meja kecil sebelah katil. Mata mengecil menahan silau lampu handphone.
            “Hmm, mungkin sebab dia aku tak boleh tidur...”
            Wajah Durani yang jadi penghias skrin aku usap perlahan. Hati agak tenang bila dapat buat macam tu. Aku letak handphone di dada. Semakin tenang. Tapi tiba-tiba aku sedar sesuatu. Dia dah nak nikah esok!
            Handphone di dada aku pegang semula dan semua gambar Durani yang aku simpan di dalam handphone aku delete. Aku dah nekad. Aku nak delete dia dari ruang ingatan ni. Tapi mampu ke aku buat macam tu? Badan makin panas pula rasanya. Sudahnya aku terjun dari katil, keluar dari bilik dan terus ke dapur.
            Ketika buka peti sejuk, baru perasan lampu bilik air menyala. Hmm, mungkin mak sengaja tutup lampu tu. Ketika baru nak menggogok air, hidung terhidu sesuatu. Dari mana pula datangnya bau rokok ni? Perlahan-lahan aku bangun, mencari punca bau. Eh, dari dalam bilik air. Siapa pula yang merokok dalam rumah ni. Tak mungkin mak. Zarith? Hish! Minta simpang. Tapi, takkanlah Azie?
            Aku berdiri betul-betul di depan pintu bilik air. Nak tengok siapa yang kurang ajar sangat merokok di dalam rumah aku ni? Kalau Zarith, memang aku kerjakan dia cukup-cukup. Tak lama kemudian, terdengar bunyi air disimbah. Boleh dengar orang yang berada di dalam bilik air sedang berkumur-kumur. Beberapa saat kemudian, pintu bilik air terbuka.
            “Makkk!!!!”
            “Shhh! Diamlah! Aku ni...”
            Aku tepuk dahi Azie. Terus dia terdiam. Dia mengurut dada berkali-kali. Spontan dia memukul-mukul dada aku berulang kali.
            “Nasib baik aku tak mampus tau! Aku ingatkan hantu tadi, tercegat tegak depan pintu.” Azie mengomel dengan suara perlahan.
            Aku masih mematung di situ. Sedang mengawal rasa terperanjat. Terperanjat sebab tak sangka Azie merokok dan terperanjat kerana mata sedang dijamu dengan pemandangan yang menggetar jiwa. Selalunya aku cuma mampu melihat di televisyen atau filem-filem barat, wanita berpakaian tidur yang jarang. Tapi kini, mata ni dah macam scanner. Berkali-kali aku telan air liur. Duhai iman... bertabahlah kau.
            “Sejak bila pandai merokok ni? Kalau mak aku nampak, bernanah telinga kau kena hamput tau tak?”
            Aku bebelkan Azie dengan suara perlahan. Dia keluar dari bilik air dan terus ke meja makan. Takut pula mak terjaga. Kuat juga Azie menjerit tadi. Aku gamit dia ikut aku ke anjung rumah. Jauh sikit dari bilik mak. Mujur cahaya bulan agak terang, tak payah guna lampu. Dan tak adalah mata aku ni asyik nak meliar aje.
            “Sejak bila merokok ni?” Aku  ulang soalan tadi.
            “Sebelum kenal kau lagi. Sorrylah, aku dah terbiasa. Kalau tak boleh tidur atau masuk bilik air, mesti nak merokok. Kau nak?” Azie hulur kotak rokok. Aku menggeleng laju.
            “Mak aku tak suka orang merokok.”
            “Maknanya awal-awal lagi aku dah terkeluar dari senarai calon-calon menantu mak kau...” Azie menekup mulut, mengawal tawa.
            Aku tenung dia. Walaupun keadaan sekeliling agak samar-samar tapi aku yakin dia boleh nampak wajah kurang senang aku. Sedikit demi sedikit tawa Azie mengendur. Dia mengeluh perlahan. Sebatang rokok cuba dikeluarkan. Tapi aku dengan pantas merampas kotak rokok di tangan Azie.
            “Mak aku...”
            “Oops! Sorry, aku lupa.” Azie ambil semula kotak rokok di tangan aku dan diselitnya di gulungan seluar tidurnya di bahagian pinggang. Sekali lagi aku dijamu dengan kulit perut Azie yang putih melepak. Ya Allah! Selambanya minah ni. Cepat-cepat aku berpaling ke arah lain. Dalam hati dah beristighfar banyak-banyak.
            “Merokok aje boleh buat aku hilang stress. Dulu aku tak merokok. Tapi sejak boyfriend aku meninggal, rokok ni lah teman sejati aku.”
            “Banyak cara lain lagi untuk hilangkan stress. Kenapa pilih benda yang merosakkan diri sendiri?”
            Azie tertunduk. Ketika dia pandang aku semula, matanya dah berair. Okey Johaimi, sila sediakan telinga untuk sesi luahan rasa.
            “Kalau aku cerita pun, kau tetap akan cakap aku pilih jalan yang salah dengan merokok. Tapi kau tau tak? Bila merokok ni, kepala ni rasa ringan aje. Penat bekerja pun tak terasa. Yang paling penting, aku boleh lupakan sekejap rindu aku ni pada Dino.”
            Azie berhenti sekejap. Dia menyeluk sesuatu di lipatan seluar tidur. Aku membuntang mata. Kalau dia keluarkan kotak rokok tadi memang confirm dia makan pelempang percuma nanti. Tapi sangkaan tersasar jauh. Dia hulur sekeping chewing gum. Oh, begini cara dia menghilangkan bau rokok rupanya. Kami senyap sekejap, mengunyah chewing gum sambil melihat bulan bercahaya penuh di balik daun-daun kelapa yang tinggi menjulang.
            “Kalau boleh, berhentilah. Tak baik untuk kesihatan.” Aku bagi nasihat percuma.
            “Aku akan berhenti merokok bila ada lelaki yang sudi terima dan bimbing aku dengan ikhlas. Setakat hari ni, tak ada lagi yang sebaik Dino. Tapi hari tu macam ada..”
            “Siapa?”
            “Kau. Tapi rupa-rupa aku syok sendiri.” Azie gelak. Aku cuma tersengih. Lain benar cara Azie berbual sejak kami declare berkawan. Dia lebih berterus-terang. Bagus juga macam ni. Sekurang-kurangnya aku tak perlu menanggung rasa bersalah. Aku dah cakap, aku tak ada feel langsung dengan dia. Buat masa sekaranglah. Masa akan datang tak tahu lagi.
            Azie bangun dan membuang sisa chewing gum di tingkap. Bahu aku ditepuk perlahan. “Dah mengantuk ni, Aku masuk dululah. Besok nak menyamar jadi bakal menantu, muka kena  berseri-seri. Tak cukup tidur nanti bawah mata gelap.”
            Azie terus melangkah ke bilik Zarith. Aku masih tercegat di tepi tingkap. Melihat lenggang-lenggok Azie dengan seribu satu rasa. Kasihan pula aku tengok dia. Tapi nak buat macam mana? Hati aku perlukan masa untuk sembuh.

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.