Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

May 18, 2015

HEY MR. SPOTLIGHT! BAB 9

Berkali-kali  aku  membelek jam. Lambat pula  Raisya  datang hari  ini.  Takkan sakit perut  lagi? Atau mak dah bocorkan rahsia  aku  dan Raisya  marah sampai  tak  nak  datang kerja? Hish! Tak mungkin.  Aku kenal  mak.  Dia  seorang yang sangat  berpegang pada  janji. Aku yakin Hazri  dan ibu bapanya  juga  begitu. Bukannya  aku  nak  main-mainkan Raisya. Aku  cuma nak buat  sedikit  ujian hati  dan perasaan.
            Seperti  yang dirancang, mak  dan abah  sudah pun ke  rumah Raisya dua  hari  lepas. Ingat  lagi  keadaan pada  waktu itu.  Aku  di  rumah dah macam cacing panas. Tak  sabar-sabar  nak tengok mak  muncul di  depan pintu  rumah. Balik saja mereka berdua, aku  yang terlebih dahulu  menyerbu  ke  pintu. Riak wajah mak  yang tersenyum lebar  sangat  melegakan hati  aku  di  kala itu. Setakat  ini  ibu  bapa  Raisya  juga bersetuju  dengan perancangan aku.  Sementelahan pula  mereka sendiri  tidak pasti  samada  anak dara  tunggal mereka itu pernah  bercinta  atau  tidak. Perwatakan Raisya  yang agak kasar membuatkan ibu  bapanya  yakin bahawa hati gadis  itu  masih belum berpenghuni.
            Eh, mana dia  ni? Waktu bekerja  dah setengah jam berlalu. Interkom di atas  meja aku  tekan. Tak sanggup  nak  melengung lama-lama  di  dalam bilik ni. Perut dah minta diisi. Di  rumah tadi  aku  cuma  minum secawan kopi  sebagai  sarapan. Tak  sabar-sabar  sangat  nak masuk  pejabat dan melihat Raisya. Tapi  sudahnya  gerangan yang ditunggu-tunggu  langsung tak  nampak batang hidung.
            “Munirah, suruh Malik siapkan barang-barang.”
            “Encik  Azraf  pergi  dengan Malik aje?” Terdengar  suara  Munirah menyoal.
            “Berdua  ajelah nampaknya. Raisya cuti  hari  ni. Tak  sihat  agaknya.” Aku meraup wajah. Terkilannya  tak  dapat  melihat  wajah Raisya hari  ini. Harap-harap  dia  baik-baik  saja.

            “Siapa  kata dia  bercuti? Raisya  ada  kat luar  ni.”
            Tangan terus  melekap di meja  sebaik  saja mendengar  kata-kata Munirah.
"Munirah, suruh  Raisya  masuk."
Butang interkom dilepaskan. Topi  di kepala aku betulkan. Hari  ni  kami  akan ke melawat  tapak  projek di  Tanjung Langsat  pula. Makin banyak  projek yang masuk  sekarang. Sebenarnya kalau  boleh aku  tak  nak  kerap sangat bawa  Raisya  ke  tapak  projek. Tapi hati aku  ni  akan rasa  semacam kalau tak tengok  lesung pipit dia. Lagi pun, daripada  dia  mengganggu  pekerja-pekerja  lain ada  baiknya  kalau  dia ikut aku.
"Mana  dia  ni?" Punggung dah naik  kebas, sudahnya  aku  keluar.
"Munirah.Mana..."
Soalan  belum habis  Munirah dah menuding jari  telunjuk ke  ruang menunggu  untuk tetamu. Raisya buat apa  kat  situ?
"Oi budak kecik! Mana Milo  saya?" Aku  bercekak  pinggang, buat-buat marah.
Raisya bangun dan melangkah malas. Memang dia sangat lain macam hari ini. Lesung pipitnya  belum kelihatan lagi  hari  ini. Bila  dia semakin dekat, aku  lihat matanya agak  sembab. Dia menangis  ke?
"Kenapa ni?" Aku  bertanya. Tapi dia  cuma mengerling dan terus menonong ke dapur. Tak  boleh jadi ni.  Apa yang dah terjadi sampai dia  menangis?
Aku  masuk semula  ke bilik.  Baik aku  telefon Hazri. Pasti dia lebih tahu apa yang telah terjadi pada adiknya.
"Helo  Azraf. What's  up?"
"Hazri, adik kau kenapa?"
Hazri gelak. Makin lama makin kuat. Eh dia ni. Aku  tengah  risaukan adik  dia. Tapi dia boleh mengilai-ilai  pula  kat dalam telefon. Lama juga aku  nak tunggu  dia  haqbis  gelak. Raisya  menangis, rasa-rasanya ada tak  kena-mengena  dengan aku?
"Mak aku paksa dia  pakai  cincin risik tu," kata  Hazri.
"Laa, takkan sebab tu pun nak  menangis sampai  sembab mata?" Aku masih tak  faham. Apa  yang Hazri cuba sampaikan?
"Mak aku tak  jawab soalan dia. Dia tanya macam mana rupa  orang yang merisik dia. Mak aku  cuma jawab, apa  yang penting orang tu lelaki dan datang dari keluarga yang baik-baik."
Okey, sekarang baru aku faham. Dia tak  nak terima pinangan aku  rupanya. Hmm..tak apa. Tahulah aku nak buat macm mana nanti. Baru nak bertanya  soalan lain pada Hazri, Raisya  sudah masuk bersama minuman yang aku  pesan. Tanpa pamitan, aku terus tamatkan talian.
"Nah air Encik Azraf," ujar  Raisya. Suaranya agak serak. Mug diletak  perlahan di  atas  meja. Sempat  lagi  aku  mengerling  jemari  Raisya.  Ada sebentuk  cincin tersarung di  jari manisnya. Hmm..anak yang mendengar  kata.
"Awak  ni  macam tak  okey aje. Awak tak sihat ke? Atau awak  bergaduh dengan Hazri?" Sengaja  aku mengorek  rahsia.
Raisya tidak menjawab. Dia menarik kerusi di  depan aku. Dia pandang aku  dengan bibir  yang menggeletar. Aku balas renungannya. Suram sungguh wajahnya. Aku rindukan lesung pipt  dalamnya. Mana pergi  lesung pipit itu hari  ini?
"Kenapa  ni..." Nada  memujuk  sudah keluar.
"Saya...saya..huwaaa!!!! Encik Azraf!!! Mak paksa saya kahwin. Saya tak  nak kahwin dengan pilihan mak. Saya  dah ada  pilihan lain. Huwaaaa!!!"
Tak semena-mena Raisya meraung. Cepat-cepat  aku  bangun dan menutup  pintu  bilik. Dia bangun dan jalan mundar-mandir. Tangannya sedang berusaha mengeluarkan cincin yang tersarung di  jarinya.
"Kenapa  nak tanggalkan cincin tu? Cantik berkilat cincin tu."
Raisya  mendengus  kasar tatkala mendengar  kata-kata aku. "Saya tak heranlah dengan cincin yang berkilat ni.  Kilatnya  akan pudar. Saya cuma mahu orang yang kepalanya berkilat. Bukan cincin ni!"
Aku menahan gelak dan geram sekaligus. Kurang asam betul budak  ni. Tengah menangis  pun sempat lagi  dia kenakan aku. Raisya  melangkah kasar menujun ke pintu. Aku  biarkan saja. Sebelum meloloskan diri,  sempat lagi  Raisya menoleh. Mata bertaut  sebentar.  Bibir  Raisya  bergerak-gerak seakan ingin mengatakan sesuatu.
“Saya  nak minta tolong sikit boleh tak Encik Azraf?”
            “Tolong tanggalkan cincin tu?” Cepat saja  aku  bertanya. Raisya  juga menjawab dengan gelengan yang laju.
            “Temankan saya  jumpa  lelaki yang bagi cincin ni,” ujar Raisya  perlahan.
            “Awak  kenal  dia ke?”
            Tangan yang memegang tombol pintu terus  terlepas. Raisya  menghantuk-hantuk  perlahan kepalanya  ke  daun pintu. Perlakuan Raisya  membuatkan  aku  tersenyum lega.  Cuak  juga mendengar  permintaannya sebentar  tadi.  Fahamlah aku sekarang bahawa dia sememangnya sedang tertekan.
            “Encik Azraf  tolong dapatkan maklumat  lelaki  tu  melalui  abang saya  boleh tak? Please  Encik  Azraf. Saya tak nak kahwin dengan pilihan keluarga  saya  ni.” Suara  Raisya  kembali  sengau. Dia  sudah terduduk  di  sofa. Sekali  lagi  dia   berusaha  mengeluarkan  yang tersarung di  jari manisnya.
            “Maaflah Raisya, saya  tak boleh campur  urusan keluarga  awak. Ikut ajelah cakap   orang tua  diaorang. Pilihan keluarga  ni selalunya  yang terbaik.” Cewah! Bukan main lagi  aku  jadi Tuan Penasihat.
            “Saya dah ada pilihan sendiri  Encik  Azraf!” Tak semena-mena  Raisya  mengherdik. Peha sendiri dipukul  kuat.  Aku  masih  seperti tadi, memerhatikan dia  sambil menahan rasa  nak ketawa.
            “Apa susah? Awak suruh aje pilihan hati  awak tu  datang mengadap  ibu  dan ayah awak. Kalau  dia  betul-betul sayang dan  ingin jadikan awak  isteri dia, gerenti dia  berani  datang. Awak dah beritahu  dia?”
            Raisya  meraup wajah bujur  sirihnya berulang kali. Kemudian dia merenung aku. Aduh! Tajamnya  pandangan itu. Azraf  Hamidi, sila  tahan hati. Jangan mudah mengalah.  Tunggu  dia  buat pengakuan dulu. Lama betul acara  tenung-tenung itu  berlangsung. Naik pedih mata  aku  menahan kerdipan.  Bibir mongel  yang berulas  nipis  itu  digigit perlahan. Come on Raisya! Mengakulah cepat  yang kau  syok  kat  aku.
            “Kenapa  pandang saya macam tu? Saya  ke  lelaki  yang menjadi pilihan hati  awak  tu?” Akhirnya  aku  yang buka mulut.
            “Jangan perasanlah Encik Azraf.” Raisya pamer senyum sinis.
            “Kalau awak berani  mengaku, sekarang juga saya  pergi jumpa  orang tua  awak dan suruh pulangkan semula  cincin tu. Amacam? Ada berani?”
            Wajah Raisya  bertukar warna. Terserlah wajah malu  bercampur bengang, marah, menyampah  semua ada.  Aku  tahu  dia  rasa  tercabar. Tetapi egonya  masih menebal. Giliran aku  pula  pamer  senyum sinis. Dia  tidak betah lagi  berada  di  dalam bilik ini.  Raisya  bangun, buka  pintu   dan kemudian menghempasnya  dengan kuat. Aku? Senyum di bibir  ini  semakin melebar.  Jawapannya  hampir  pasti. Raisya, mengakulah sayang.  Katakan ya, habis  cerita.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Tepat pukul 9 aku dah tercongok di depan rumah Raisya. Bukan nak jumpa dia. Tapi nak jumpa abang dia, Hazri. Pintu pagar belum terbuka lagi, Hazri dah tersengih lebar.
"Apa cerita?" Aku terus tanya dia.
"Buah hati kau tu lah. Masih mogok lagi. Sejak balik kerja tadi sibuk suruh mak aku pulangkan balik cincin risik tu."
Aku gelak. Keras betul hati dia. Biarkan, siapa suruh main-main dengan aku? Tinggi melangit sangat ego tu kan? Bukannya aku minta yang bukan-bukan. Aku suruh mengaku aje ada hati dengan aku ke tak? Itu pun susah sangat ke?
"Mana dia?" Aku tinjau dalam rumah. Mana tahu kalau-kalau ada peluang nak ajak dia keluar dating malam ni.
"Mak aku cakap tadi dia pergi gelanggang futsal. Biasalah dia. Kalau tengah moody memang kat situlah dia lepas geram," ujar Hazri.
"Dia main dengan siapa?" Aku menyoal, tapi kaki dah bersedia nak hidupkan enjin motor.
"Dia tu dengan sesiapa pun boleh. Kadang-kadang dia main dengan budak-budak lelaki kat situ."
Jawapan Hazri terus buat aku tak senang hati. Kenapalah dia biarkan adik dia main dengan orang yang dia tak kenal? Lelaki pulak tu. Dia sedar tak adik dia tu perempuan. Raisya ni pun satu hal. Dah tak ada cara lain lagi ke nak lepaskan geram?
"Kau nak ke mana ni?" Hazri bertanya selepas aku arahkan dia untuk ikut aku sekali.
"Pergi tengok Raisya." 
"Kalau macam tu bagi aku bawa motor kau lah. Bila lagi nak merasa bawa motor mahal ni kan?"
Aku ikutkan saja permintaan Hazri. Dengan tak pakai helmet, Hazri memecut ke gelanggang futsal yang terletak di sebelah dewan orang ramai. Lampu di gelanggang futsal kelihatan malap. Tak ada orang pun. Cuma ada sebuah motorsikal sahaja di situ. Aku terus melompat turun dari motor.
"Itu motor Raisya kan?" Walaupun dah tahu jawapannya, aku tetap bertanya untuk kepastian.
"Kat taman perumahan ni mana ada skuter yang gojes macam adik aku tu. Skuter dia aje yang buat air brush Hello Kitty kat taman ni."
Kami berdua menyeringai suka. Dari jauh kelihatan Raisya sedang berteleku di tengah-tengah gelanggang. Kesian pula aku tengok dia macam tu. Nak tergelak pun ya juga. Hai lah Raisya. Kalau kau mengaku kau suka kat aku kan dah senang kerjanya. Tak padan dengan perempuan. Ego punyalah tinggi mengalahkan pokok petai kat kampung aku.
"Adik!!!" Hazri melaung.
Raisya mendongak. "Buat apa datang sini? Baliklah! Adik nak tenangkan fikiran." Dia pun sama melaung dan sambung menekup muka. Rasa-rasanya dia tak perasan aku ada sekali di situ memandang keadaan gelanggang futsal yang agak malap. Berani betul dia duduk sorang-sorang kat sini.
Pintu gelanggang dibuka. Tapi Hazri tak masuk bersama. Dia bagi isyarat untuk aku pergi mendapatkan Raisya. Alamak! Takkan aku nak berdua-duaan dengan dia kat tengah-tengah gelanggang tu malam-malam begini? Apa pula kata orang yang lalu-lalang nanti?
"Kau masuklah sekali. Kau kan abang dia. Lagipun orang tengok tak elok aku berdua aje dengan dia kat dalam tu." Aku berbisik keras.
Aku memang nakal. Tapi bab-bab macam ni memang aku ambil berat. Atas bahu ni bukan setakat nama sendiri saja yang aku tampung. Nama baik mak, ayah dan Raisya juga dah jadi tanggungjawab aku.
"Bagus! Kau dah lulus ujian pertama," kata Hazri. Bahu aku ditepuk-tepuk kuat. "Aku saja aje nak tengok kau ni gelojoh ke tak. Alhamdulillah. Azraf Hamidi yang aku kenal dulu masih sama."
Hazri melangkah masuk ke dalam futsal, meninggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Hampeh betullah Hazri ni. Sempat lagi dia menguji aku? Ini Azraflah. Kalau aku nak isteri yang baik, aku pun kenalah jadi budak baik juga, kan?
Hazri bersila di sebelah kanan Raisya. Aku pula mengambil tempat di depan Raisya. Aku tahu Raisya sedar akan kehadiran kami. Tapi dia masih enggan mengangkat muka. Aku cuit kepala lutut Hazri, menyuruh dia memujuk Raisya.
"Jom balik dik. Tak eloklah perempuan duduk kat sini waktu-waktu begini. Mak dah risau kat rumah tu." Hazri mengelus rambut Raisya.
"Tak nak! Adik tak nak bertunang dengan anak kawan mak tu. Adik dah ada pilihan lain." Raisya bercakap sambil menekup muka.
Inilah peluangnya untuk aku mengorek rahsia. Aku tarik kolar baju Hazri, nak berbisik sesuatu di telinganya.
"Kau tanyalah dia siapa pilihan hati dia tu?"
Hazri menunjukkan tanda bagus. Dia berdeham perlahan sebelum merapatkan lagi kedudukannya dengan Raisya. Raisya yang masih berteleku direnung sekejap. Mungkin sedang mencari ayat yang terbaik untuk menyoal adiknya.
"Kalau betul adik dah ada pilihan lain, apa kata adik kenalkan budak tu dengan mak. Mana tahu kalau-kalau mak berkenan." Hazri menahan senyum. Aku kenyit mata padanya tanda setuju dengan cadangan yang diberikan.
"Abang macam tak kenal dengan mak tu. Hitam kata dia mana boleh tukar jadi biru turqoise!"
Aku tekup mulut. Lawaklah dia ni. Kat mana dia belajar perumpamaan tu? Hazri mengemaskan sila. Sudah bersedia untuk memujuk lagi.
"Abang rasa pilihan mak tu dah sesuai dengan adik. Yalah, abang pun tak pernah tengok lagi macam mana rupa calon suami adik tu. Tapi abang yakin, mak dah pilih yang terbaik untuk adik."
"Abang tak faham. Hati adik ni dah tak boleh nak terima orang lain. Adik dah tak ada hati nak pergi cari orang lain lagi. Bagi adik, dia dah cukup perfect untuk adik. Kekurangan pada dia tu adalah kelebihan bagi adik. Adik suka dia macam tu." Panjang lebar Raisya mengukuhkan hujahnya.
"Adik cakap pasal siapa ni?"
"Ala! Buat-buat tak tahu pulak. Adik cakap pasal Az..." Tiba-tiba dia mendongak. Bulat matanya memandang aku.
Kami sama-sama terkejut. Mata aku pun dah sama buntang dengan mata Raisya. Tapi senyum dah makin lebar di bibir. Come on Raisya! Sebutlah sampai habis.
"Az...apa?" Aku tanya dia sambil mengenyit mata.
"Az.." Raisya menoleh ke kanan. Seperti memohon bantuan pada abangnya.
"Cakaplah, Az...apa?" Hazri pula mendesak.
"Err.. Az..Azmi Junaidi. Ha.. Azmi Junaidi nama dia."
Raisya terus bangun dan berlari keluar gelanggang. Aku dah gelak berguling-guling dengan Hazri di tengah-tengah gelanggang. Kerasnya tembok ego kau Raisya!


HEY MR.SPOTLIGHT! BAB 8

Hati  sedikit  berdebar.  Sejak keluar  dari  rumah  tadi  aku  masih tertanya-tanya  sendiri  kenapa  Hazri  beria-ia  sangat  nak jumpa  aku  petang ini.  Ada perkara  penting  katanya. Makin tak  sedap  hati  apabila  Hazri  mengatakan  hal  ini  berkaitan  dengan  Raisya. Sampai  sahaja  di  tepi  gelanggang  futsal, aku  terus  melaung nama Hazri  yang  sedang bermain di  dalam gelanggang.  Tak  sanggup  nak  menahan  debaran hati  sampai dia  selesai  bermain.
            “Tak nak main sekali  ke? Jomlah main dulu. kau  bukannya  nak  pergi  mana-mana, kan?” Hazri  melaung dari  dalam gelanggang.
            “Setengah jam lagi  aku  nak  pergi  jemput  mak  aku  kat  kelas  aerobik.” Aku  tunjuk  jam  tangan  sambil  membalas laungannya.  Aku  tunduk  menyembunyikan senyum. Sorrylah mak. Malas  nak  melengung  lama-lama  di  sini.  Maka terpaksalah  Azraf  jual  nama mak. 
            “Mak kau  berzumba  kat  mana?” Hazri  menepuk bahu.
            “Taman Daya.” Sekali  lagi  aku  berbohong. Jangan Hazri  tanya nama kelas  aerobik  itu  sudahlah. Memang masak  aku  nak mereka  nama kelas  tu  karang.
            Hazri duduk  di  atas  rumput. Air  masak yang masih berbaki  di  dalam botol  mineral  dituangnya  ke  kepala. Habis  basah kuyup jersey  yang dipakai. Baju yang sudah basah dibuka lalu  dicampak ke dalam bakul  motor. Eee, bulu ketiak  dia  tak  bercukur. Mesti bacin baunya  sekarang. Raisya  tak  pernah suruh abang  dia  cukur  bulu ketiak  ke? Eh, aku  datang  sini  sebab Raisya  kan?
            “Haizal, tadi  kau kata  ada  hal  nak  cakap pasal  Raisya. Apa halnya?”
            “Tak  ada  hal  yang serius  pun.  Aku  cuma nak ucapkan terima kasih  sebab tolong hantar  dia sampai  ke  rumah tadi,” jawab Hazri sambil  menyeringai  suka.
            “Itu aje?” Aku  masih tak  puas  hati.  kalau  setakat  nak cakap  terima kasih dalam telefon pun boleh cakap. Buang masa  betullah Hazri  ni.
            “Itu ajelah. Kenapa? Kau  ingat  ada  hal  lain  lagi  ke  aku  nak cakap?”
            Soalan Hazri  buat  aku  telan air  liur  sendiri. Berkerut kening Hazri melihat  aksi  spontan aku.  Topi  di  kepala  aku tanggalkan. Rimas betul  bertopi  bagai  ni. Habis  berpeluh kepala  aku.
            “Aku  ingatkan apa  hallah tadi  beria-ia  sangat suruh aku  datang. Eh, adik  kau tu  tak ada  mata  air  ke?” Cewah! Pandai  tak aku  buat soalan tak  terduga?
            “Mata  air  tak  ada.  Tapi  airmata  ada.”
            Terhambur  ketawa  kami  berdua.  Kurang asam Hazri! Kau  kenakan aku  balik. Dia  bangun dan mengambil kotak rokok  di  dalam bakul  motor.  Huh! Tak  berubah lagi  perangai buruk  dia  yang satu  ni. Bilalah dia  nak  buang tabiat  buruk ni? Dia hulur kotak rokok bersama  pemetik  api.  Laju  aku  menggeleng.
            “Kau  memang tak  pernah  sentuh benda ni  ya?” tanya  Hazri  sambil  menyalakan hujung  puntung  rokok  yang  sudah terkepit  di  bibir.
            Aku  menggeleng.  Biarlah orang kata  aku tak  macho, asalkan paru-paru  aku  sentiasa sihat  dan tak dipenuhi  dengan nikotin. Apa  yang  sedap sangat  merokok  ni? Tak  faham betul  aku
            “Adik  aku  pegang jawatan apa sebenarnya  kat  tempat  kau  tu?” Hazri  menyoal  selepas melepaskan hembusan pertama.
            “Tukang buat  air, tukang kemas  pejabat aku, tukang teman aku  pergi  melawat tapak  projek dan tukang tadah telinga  kalau aku  tengah  membebel.”
            Aku  senyum sinis. Sengaja  aku  jawab begitu, nak  tengok  reaksi  Hazri. Takkanlah Raisya  tak  beritahu? Tapi  kalau  Raisya  nak  bercerita  tentang  skop  kerja  dia, memang itulah yang  dia  lakukan sekarang. Sejak  dia  memohon kerja  lagi  aku  dah maklumkan masih  belum ada kerja  yang sesuai  dengan kelulusan. Tapi  Raisya  masih berdegil. Jadi ini  semua bukan salah aku, kan?
            “Aku  rasa, adik aku  tu  dah ‘tersangkut’  dengan kau  agaknya.”
            Uik! Selambanya  Hazri bercakap. Aku pula  yang rasa panas  muka.
            “Gilalah kau  ni  Hazri. Aku ni dah tua. Adik kau tu jambu lagi. Takkanlah dia  boleh tersangkut dengan aku?”  Dah ada  rasa macam nak  lompat  bintang. Tapi  tak  tergamak  pula  nak  tunjuk  perangai  tak  semenggah  di depan Hazri. Kena  reject  nanti, tak  pasal-pasal  pula.
            “Kita  ni  lelaki, makin tua  makin handsome   tau.  Macam aku, kau  pun handsome juga. Cuma kau  lebih kaya  dari  aku sebab dah ada  ‘padang golf’  sendiri.”
            Spontan aku  mengusap  kepala  sendiri. Gelak  berjemaah  jugalah  aku  dengan Hazri.  Mujurlah aku  dah suka  dengan adik  dia. Kalau  kena dengan orang lain memang aku dah blah  dari  situ.  Kepala ni  bab sensitif  tau. Aku  tak  suka kekurangan rambut  di  kepala  ni  dijadikan bahan gurauan.
            “Okey, aku  serius  ni. Mana kau  tahu  Raisya  ada  feel  dengan aku?” Aku  memulakan penyiasatan. Nak tahu  kepastian dan kesahihan kenyataan Hazri. Malulah aku  kalau  dia  cuma main agak-agak saja.
            “Aku tahulah. Dia kan adik  aku.  Tapi  kalau  kau  nak test dia, aku  izinkan. Cuma  jangan sampai melanggar batas-batas  pergaulan pula.” Suara  Hazri  bertukar  serius.
            Aku tenung Hazri  sambil  menimbang-nimbang kembali  kata-katanya. Tak  semena-mena  timbul  idea  nakal.  Rasa-rasanya  aku  tahu  bagaimana  caranya  aku  nak  mengorek  rahsia  hati  Raisya.
            “Kalau  aku  nak masuk  meminang terus, keluarga  kau  ada  halangan tak?”
            Hazri  kelihatan terperanjat. Laju  dia  membuang puntung  rokok  yang masih panjang.
            “Aku  rasa  cara  ini  paling berkesan kalau nak tahu Raisya  tu  betul-betul  ada  hati  dengan aku. Tapi  dengan satu  syarat. Dia  tak perlu  tahu  aku  yang menghantar  rombongan meminang.”
            Hazri  tunjuk tanda  bagus. Masing-masing menggenggam buku  lima dan seterusnya  kami  lagakan tanda  bersetuju  dengan perancangan yang dibuat. Lapangnya  dada  aku sekarang.  Sekurang-kurangnya  lampu  hijau  sudah diperolehi dari  abang Raisya  sendiri.
            Raisya  sayang, let’s  play  the game!
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Aku  perasan mak asyik  pandang aku  dari  atas  ke  bawah. Sejak aku balik dari berjumpa Hazri tadi matanya  tak  lepas-lepas  dari memerhatikan aku. Pasti  ada  hal yang dia nak tanya kejap lagi. Muka dia  tak nampak macam orang marah pun. Nervous juga ni. Macam dah tahu  hal apa  yang dia nak tanya.
"Apa nama  dia?"
"Raisya  Azzahra."
Terlopong mulut  mak. Aku  jongket  kening kiri  dan kanan silih berganti sambil tunjuk senyum nakal.
"Maknanya benda  yang kau tanya  semalam  tu untuk  dia?"
Aku  angguk. Senyum masih tak  hilang di bibir. Mak beristighfar  panjang. Dibalingnya  bantal-bantal  kecik yang menghiasi  sofa ke arah aku.
"Punyalah banyak  benda kat kedai tu, apsal benda  tu  pulak yang kau bagi? Bongoknya  anak aku  ni. Malulah  dia. Tak  senonoh betullah budak botak ni!”
Mulut  dia mencerabih. Tapi sebenarnya  dia  pun sedang menahan gelak. Bukannya  aku  tak  tahu  perangai mak. Dia  susah nak marah. Kalau orang yang sedang marah tengok  muka mak pun pasti  tak  jadi marah.
"Orang dah syok kat  dia mak..."
"Kalau  dah syok jangan biar lama-lama. Bak  sini  alamat, biar  mak pergi  masuk  meminang."
"Serius???"
"Giler  tak  serius? Kau tu  dah makin tua. Mak  takut  orang ingat kau hantar  cucu pergi  sekolah pulak nanti."
"Ala mak ni...cucu pulak!" Aku tarik muncung panjang. Kadang-kadang kasar  juga gurauan mak.
"Eh, betul  apa? Lainlah kalau  dengan mak. Tengok, pinggang pun secekak lagi tau! Kalau jalan dengan kau mesti orang ingat mak jalan dengan lelaki  simpanan. Hahaha!"
Kan, aku  dah cakap. Tak  boleh nak  marah lama-lama dengan mak. Aku  pun joint mak gelak. Lelaki  simpanan? Aku  ni  nampak macam gigolo  ke?
"Okey now  serius time.  Bagi  mak alamat budak tu. Kalau boleh dapatkan nombor  telefon parents  dia lagi  bagus.  Boleh mak  berunding dalam telefon dulu."
"Beres madam! Eh, tapi Azraf nak minta  mak rahsiakan sesuatu  boleh tak?"
Mak pandang aku. Dari  duduk berlunjur, dia  bersila di atas  sofa. Aku  pun buat perkara yang sama. Dua-dua tangan mak aku pegang. Dari senyum, wajah bertukar  serius.  Aku  tarik nafas dalam-dalam  sebelum buka  mulut.
"Eee! Cepatlah cakap. Kau  pegang tangan mak macam ni  rasa macam aku  pulak yang nak kena  pinang! Hahaha!"
Aku  tepuk dahi.  Mak aku  ni dah kena sawan gelak agaknya. Pegangan tangan dia lepaskan dan terus  diciumnya  kepala aku. Aduh! Ada  juga aku  ikat mak kat kerusi  ni  nanti
"Okey, sekarang cakap. Kau  nak mak rahsiakan apa?" Mak sudah kembali tenang. Dadanya diurut perlahan untuk  meredakan mengah.
Kali  ni aku  duduk  jauh sikit  dari  mak. Nak  berbincang perkara  yang serius  tak boleh duduk  dekat-dekat. Nanti  ada  saja  bahagian badan aku  yang dilepuknya. Tangan mak  tu  bukannya  reti  duduk diam.
“Mak pergi  pinangkan Raisya. Tapi  jangan beritahu  Azraf ni bakal  suami dia.”
“Hish kau  ni. Mana ada  mak  bapak yang nak  kahwinkan anak  diaorang dengan lelaki  yang tak dikenali?” Mak membidas.
Aku  letak jari  telunjuk  di  bibir.  Tak  jadi mak  nak teruskan bebelan. Dia mengemaskan  sila  di atas  sofa. Okey, kalau  mak  dah berkeadaan begitu maknanya  dia  sudah memberikan sepenuh  perhatiannya  pada  perbincangan  ini.
“Mak kawtimlah dengan orang tua  Raisya tu. Kita  buat  macam orang zaman dulu. Dah nak nikah baru kita  bocorkan rahsia.”
Mak termenung sekejap.  Aku tahu  dia  cuba memikirkan rasional permintaan  aku  itu.  Rasa-rasanya  tak salah kalau  aku  minta  mak  buat macam tu. Orang dulu-dulu  pun kalau bertunang mana  ada  tunjuk gambar  bakal  suami  pada perempuan yang dipinang, kan? Cuma  mak, ayah sahaja  yang tahu muka  bakal  menantu  mereka.
“Okey...tapi...” Mak menggaru-garu dagu  sendiri.
“Janganlah tapi-tapi  lagi mak.  Orang dah bincang dengan abang dia. Dia  pun dah setuju  dengan rancangan orang. Dengan cara ni  aje  orang boleh pastikan yang dia  pun syok  dengan orang.” Laju  aku  menukas  kata-kata mak. Aku  mahu  disegerakan urusan meminang Raisya. Lantaklah kalau mak  nak  cakap  aku gelojoh  sekali pun.
Untuk apa  lagi  aku  menunggu  kalau bunga yang memang dah lama  aku  hajati  sudah berada  di  depan mata? Seandainya ada kumbang lain di  dalam taman hati  Raisya, taklah aku  kecewa  sangat. Sekurang-kurangnya  aku  dapata tahu lebih awal.
“Hmm, pergi  siap.” Mak bangun dan terus  bergerak ke  bilik tidur.
“Nak pergi mana? Takkan orang pula  yang kena ikut  mak pergi  rumah Raisya?” Aduh! Mak ni  faham ke  tidak apa  yang aku  cakap  tadi? Atau  perlu aku mengulang untuk  kali kedua.
“Siapa  pula  nak pergi  rumah Raisya. Kita  pergi cari cincin  dulu. Takkan nak  pergi rumah dia dengan air liur  aje?” Mak menolak pintu bilik.
“Eh, tapi  orang tak tahu apa  saiz cincin  dia.” Aku  menghalang mak dari  masuk  ke bilik.
“Kalau macam tu pergi  rumah dia  sekarang, kerat  jari manis  dia.”
“Ha?” Ternganga mulut aku mendengar  arahan spontan mak. Dan serentak dengan itu  dahi  aku  ditepuk  perlahan.
“Pandailah mak agak-agak ukuran cincin tu nanti.” Mak sudah bersedia melangkah  ke  dalam bilik.
“Tapi  mak  nak agak-agak dengan jari  siapa?” Aku  masih tak puas  hati.
“Guna ibu jari  kaki  aku ajelah nanti.  Pergi  siaplah! Banyak pula  soalannya.”
Pintu  bilik ditutup. Tinggal  aku yang masih terpinga-pinga di luar.  Biar  betul mak nak  guna ibu  jari  kaki? Itu  bukan cincin, buat loket rantai  sesuailah.




HEY MR.SPOTLIGHT! BAB 7

Dah berulang kali  aku  baca  senarai  pemadam  api  di  dalam fail. Tekak  ni  dah rindu  nak  merasa  Milo  ais tabur  bancuhan Raisya.  Tapi  sehingga kini  gadis  berlesung pipit  itu  masih belum  muncul. Melampaulah dia  ni. Mentang-mentanglah  aku kenal  abang dia, suka-suka  hati  dia saja  nak datang pukul berapa.
Interkom di  atas meja  berbunyi. "Ya  Munirah..."
"Encik  Azfar, Raisya  cakap  dia  lambat  sikit  hari."
"Kenapa?" Aku  bertanya bersama kerutan  di dahi.
"Dia  pergi  klinik  sekejap."
"Okey."
Perbualan tamat.  Aku  capai  telefon dan terus  dail  nombor  telefon Raisya. Dua kali  aku mendail,  tiada  jawapan. Siapa yang sakit? Sambil  berfikir, mata mengerling  kalendar yang tergantung di  dinding. Tak  semena-mena  senyum tersungging   di bibir.
Aku  bangun  dan terus  keluar  dari  pejabat. Nak beli  sesuatu  sebelum  Raisya tiba. Tapi bila sudah berada di depan kedai runcit, rasa serba-salah pula  nak  masuk.  Tak  melampau  sangat  ke  kalau  aku  bergurau  macam tu? Masih berkira-kira lagi  ni. Kalau  dia  merajuk nanti  macam mana?
"Huh! Raisya  nak  merajuk? Budak  hati kering tu mana pandai  merajuk."
Dengan kata-kata  itu  aku  masuk  ke dalam kedai  dan terus  ke rak yang berkenaan. Alamak! Nak beli  yang mana satu  ni? Yang ni wing, overnight, soft...with  fragrance  pun ada? Aduh! Mana satu  yang elok  ni?
Aku  tahu siapa  yang boleh membantu. Aku  seluk handphone  di  poket seluar. Tak sabarnya  nak  tunggu  mak  menjawab panggilan.
"Assalamualaikum."
"Waalaikumsalam. Mak, apa  jenama  pad  mak?"
"Hah! Pad? Pad apa? Knee pad yang mak pakai untuk  aerobik  tu  ke?"
Aku tepuk dahi.  Berapa  banyak pad yang  mak pakai? Ini  betul-betul  tak faham soalan atau  dia  sengaja nak  main-mainkan aku?
"Pad tu lah mak... Yang orang perempuan selalu  pakai  tiap-tiap  bulan tu..." Aku berbisik  perlahan.  Malu juga kalau ada orang terdengar.
"Tuala wanita  ke?" Mak  bertanya lagi.
"Ya.. Benda  alah itulah yang Azraf  tanya  ni."
“Ooo! Cakaplah ‘roti’..”
Uik, dah tak ada  istilah lain ke  nak guna? Sambil  bercakap  dengan mak, aku  belek-belek jenama tuala wanita  di  situ.  Lain-lain harganya.  Ada yang murah, ada yang mahal.

"Alolo...baiknya hati  nak  belikan untuk  mak.  Mimpi  apa  malam tadi  tiba-tiba nak buat baik  dengan mak  ni? Nak mak masakkan something special  ke?"
Aku  tarik  nafas panjang-panjang. Banyak  pula  soal  mak  ni.  Lain aku  tanya  lain pula  yang dia  jawab. Bila masa  pula aku  cakap  nak belikan pad  untuk  dia? Perasan betul!
"Cepatlah mak. Azraf dah ada  kat  kedai ni." Aku  keraskan suara  sikit. Mak ni  kalau dilayan makin melalut nanti.
"Alang-alang kau  yang nak belikan, mak  nak request pad paling mahal yang ada  kat kedai tu. Bukan selalu  dapat pakai  pad  mahal ni.  Selalunya  mak  pakai  yang murah-murah aje." Mak mengekek  ketawa.
"Okey, Azraf  nak letak telefon dah ni..."
"Eh kejap! Tolong carikan mak  spender saiz  M. Dah alang-alang  kau nak  belanja  mak, kan? Bukan senang mak  nak dapat peluang 'pau'  budak kedekut  ni. Hahaha!"
Panggilan tamat.  Dah  satu  kerja  pula  nak  kena belikan spender  mak. Aduh! Padan muka  kau Azraf. Nak  kenakan Raisya  sangat. Sudahnya  kau  sendiri yang  terkena. Dua tiga kali  aku  mengelilingi  rak di  bahagian  tuala wanita. Rambang mata aku. Mana satu  nak pilih ni?
“Encik nak  cari  apa?”
Alamak! Pembantu kedai dah datang. Aku  angkat  tangan isyarat tak  mahu  diganggu.  Tapi wanita berbangsa  Cina itu  masih mengekori. Menyampah betullah! Sudahnya  tak ada  satu  pun barang yang  berjaya  aku  beli. Lain kali  ajelah jawabnya. Harap-harap  sakit  Raisya  tidak  seteruk  mana.  Aku  memang tak  ada pengalaman dengan benda-benda  macam ni.  Kalau  ada  adik  perempuan boleh juga minta tolong.
Sampai  sahaja di  pejabat  Raisya  sudah menunggu  di  luar  pintu bilik. Macam cuka  tumpah  aku  tengok  muka  dia. Siap  dengan pakej  bercekak  pinggang.  Dah macam mak tiri  tunggu  anak  tiri  balik  dari main bola di lewat  petang. Garang betul.
“Dah balik dari  klinik? Awak sakit apa?” Aku  terus bertanya.  Tengok  pada  luaran dia tak  nampak  macam orang sakit  pun.
“Siapa  pula  yang sakit? Saya bawa mak  pergi ambil  ubat kat klinik kesihatan.” Raisya  menjawab  kasar.
"Apsal lambat  ni Encik  Azraf? Tak  ingat ke hari  kita nak buat  inspection kat Tanjung  Langsat?"

Uik! Budak  ni  breakfast  mikrofon ke  pagi  tadi? Aku  berdiri  di  depan dia saja. Tapi  suara dia  punyalah nyaring sampai  bergegar gegendang telinga aku. Satu lagi, siapa  yang terlambat sebenarnya? Aku  atau  dia? Dengan muka cemberut, dia menghulur  briefcase. Kemudian menonong keluar  dari  pejabat.
"Raisya." Aku masih  berdiri  di  tepi meja Munirah.
Ketika  Raisya  menoleh, aku gamit dia supaya datang dekat. Laju  dihayunnya kaki  yang berbalut  dengan palazo merah hati. Cantik! Sesuai dengan kulit dia yang putih gebu. Dipadankan dengan  cardigan hitam. Ah! Dia pakai apa  pun memang nampak cantik.
“Tunggu apa  lagi  ni  Encik Azraf? Tanjung Langsat tu bukannya dekat. Kalau kita waktu  macam ni  silap-silap  hari bulan kita tersangkut  dalam jem nanti.” Raisya  menunjuk-nunjuk jam di tangan. Mendengar  Raisya  menyebut ‘hari bulan’  tak semena-mena  aku  teringat  sesuatu.
Spontan aku tersengih lebar.  Patutlah macam mak tiri  hari ni. Bendera  Jepun tengah berkibarlah tu!
“Apa sengih macam orang gatal ni  Encik Azraf? Kalau tak nak pergi cakap aje terus-terang.  Saya boleh pergi  dengan Zaini. Malik  pun ada.” Raisya mendengus kasar. Dah macam seladang pun ya juga dia  ni. Dahsyat betul penangan orang datang bulan ni ya.
“Suruh Malik pergi  dulu. Nanti  saya menyusul  di  belakang. Ada sikit lagi kerja yang belum selesai.”
“Kalau macam tu  saya pergi  dengan diaoranglah. Senarai tabung yang perlu  diperiksa  ada pada  saya.” Raisya membuat keputusan sendiri.
“Eh! Pandai-pandai  buat keputusan sendiri  nampak.  Siapa bos  kat sini?”

Giliran aku  pula tinggikan suara. Kalau  dia  nak  naik angin dengan aku, itu  masih boleh aku hadap. Tapi  aku takkan benarkan dia pergi ke mana-mana dengan lelaki  lain. Bukan nak mengawal  pergerakan dia. Tapi Hazri  dah amanahkan aku  untuk  menjaga adik  dia. Sementelah lagi aku takut  api  cemburu menyala di dalam  hati  ini  bila  melihat  Raisya  bersama  lelaki  lain.
“Pergi  bagi  checklist tu pada  Zaini.  Tahulah dia nak  buat apa  nanti. Sebelum awak kerja kat sini pun, diaorang dah buat kerja-kerja tu.” Suara tegas dah keluar. 
Kalau tadi  laju  dia berjalan, sekarang dah macam kereta mainan habis  bateri. Biarkan. Sebenarnya mana ada kerja yang perlu aku siapkan. Memang sengaja  aku  tipu dia. Aku tak nak ‘angin bulan mengambang’  Raisya merebak. Nanti tak pasal-pasal  semua orang dihamunnya. Lagi  satu perangai zaman kanak-kanaknya yang masih belum terkikis.
Aku ambil  kunci pejabat  daripada  Munirah dan terus  masuk. Dari situ aku meninjau  Raisya. Dia sedang menyerahkan kertas  senarai semak pada  Malik. Eh! Aku suruh dia serahkan checklist, tapi dia  boleh berbual-bual pula di sana. Angin cemburu aku pula datang menerpa. Pedih pula  hati bila melihat mata  jantan Malik melihat Raisya  dari atas  ke bawah.  Hish! Ada juga aku  hantar  Malik ni balik ke  Bangladesh nanti. Bakal  bini  aku  tu!

“Raisya.” Aku melaung dari tingkap pejabat. Kunci kereta aku  campak  pada  Raisya  sebaik saja dia  menoleh.
“Pergi duduk  dulu  dalam kereta. Kita gerak  kejap lagi.”
Pap!
Tingkap  aku  tutup kasar. Lengan baju  yang berbutang aku  buka  dan aku  sinsing hingga  ke siku. Sambil membetulkan lipatan lengan baju, aku  keluar dari  situ. Malik dan Zaini  sudah pun bergerak. Mujur  dia  beredar  cepat. Bukan nak memandang rendah pada  pendatang asing. Tapi  aku  memang  tak berkenan  dengan cara mereka ni melihat  gadis-gadis  tempatan. Macamlah aku tak tahu  apa  yang ada  dalam kepala  otak mereka.

“Kalau pergi sekali  dengan diaorang kan senang? Jimat duit minyak.” Raisya  terus  membebel sebaik saja aku  menutup  pintu  kereta.
“Diamlah! Tak penat ke mulut  tu?”
Raisya  senyap. Bagus! Lega sikit  telinga aku. Lima minit  memandu, masing-masing masih bungkam. Aku pun tak ada idea nak berbual dengan Raisya.  Rasa-rasanya lebih  elok  macam ni.Kalau tidak  nanti  tak pasal-pasal Raisya  akan naik angin semula. 

“Aduh!”
Raisya menekan perut.Sampai  tertunduk-tunduk dia menahan sakit. Alamak! Dia kena sesungut ke? Apa  aku nak buat ni? Alahai! Lupa pula nak tanya  mak ubat apa  yang bagus  untuk  perempuan yang kena  sesungut ni.
“Ini  semua Encik Azraf  punya pasal!” Tiba-tiba dia menempelak  aku.
Sabar  Azraf, jangan melawan. Dia tengah sakit  tu. Mungkin hari  ini  adalah hari pertama.  Tak hairanlah  kalau dia meroyan semacam pagi ni. Pasti dia  rasa  sangat  tak selesa sekarang.
“Kalau  ada mana-mana  kedai runcit  kat tepi jalan nanti tolong berhenti. Belikan roti.”
Aku  mengangguk  dengan penuh yakin.  Tak  sia-sia  menuntut ilmu cara-cara membeli  tuala wanita  dengan mak. Permintaan Raisya  itu  senang sangat. Mana kedai? Dah tak  sabar nak  berhenti ni.
“Argh!!! Sakitnya. Cepatlah Encik Azraf. Saya dah tak tahan ni...” Raisya mendesah. Berpeluh-peluh muka  dia menahan sakit.  Ya Allah! Kesiannya  dia. Kalaulah aku pun boleh merasakan kesakitan itu. Sabar  ya sayang.
“Teruk juga sesungut awak  ni ya.” Aku  cuba  ajak  dia  berbual. Mana tahu  boleh mengurangkan sakit.
“Senggugutlah! Kalau  tak reti  sebut baik diam aje. Huh!”
Eh, salah ke aku  cakap? Okey, dah nampak kedai kat depan. Tak apa. Apa-apahal  kena belikan dia ‘roti’  dulu. Tak sampai  seminit pun aku  di  dalam kedai. Dari luar  aku  nampak  Raisya  sudah memandang dengan penuh mengharap. Pergh! Rasa macam Superman pula. Bangga  sekejap  sebab dapat membelikan sesuatu  yang amat penting buat Raisya.
“Nah! Saya beli  dua  bungkus. Ini  untuk  pengaliran tenat. Yang ini  pula  panty liner. Kat  depan sana ada kedai makan.  Kita berhenti  kat sana sekejap, tumpang tandas dia ya.”
Raisya  merenung tajam. Aku  tahu  dia sedang menahan malu. Aku letakkan beg plastik di atas  peha Raisya. Senyum manis aku  hadiahkan padanya.  Pasti  dia sedang terharu, kan? Mata Raisya terpejam dan diam menarik  nafas  dalam-dalam.
“Arghhh!!! Bila masa pula saya suruh beli  roti ni? Saya ni tengah lapar  tahu tak? Encik Azraf  punya pasal saya tak sempat nak breakfast  kat rumah tadi. Eee!!!”
Sambil mencerabih dia  baling bungkusan plastik itu pada  aku  semula. Laaa! Dia tengah kebuluran rupanya.  Tarikh period dia  dah bertukar  ke?
Bersama dengusan kasar,  Raisya  keluar.  Dia pula yang masuk  ke  dalam kedai. Aku? Termangu-mangu  di  dalam kereta  sambil  mengutuk  diri  sendiri. Bungkusan plastik  yang dibaling oleh Raisya  tadi aku campak ke  tempat  duduk  belakang. Huh! Tak pasal-pasal aku  kena mengadap  mood swing   Raisya sepanjang hari  ini. Erk! Sepanjang hari? Oh  tidak! Azraf, jangan cari pasal. Baik  buat  sesuatu.
Jemari sudah mengetuk-ngetuk stereng. Ligat  otak  aku  memikirkan alasan  yang terbaik  untuk tidak meneruskan perjalanan ke  Tanjung Langsat.  Dalam pada itu  Raisya keluar  dari  kedai  runcit. Cepat-cepat aku ambil handphone  dan hubungi  Malik. Perjalanan ke  Tanjung  Langsat  aku batalkan. Segala tugas  aku  serahkan pada  dia  dan Zaini.
“Jom!” Raisya  menutup  pintu. 
Plastik yang penuh  berisi  dengan barang makanan dia  letak  di  atas  riba. Aku  bagi dia peluang untuk mengisi perut.  Tapi  baru  saja dua kali mengunyah, dia dah tersandar. Matanya  terpejam dan terdengar  dia mendesis perlahan. Tangan kiri memegang perut.
“Hmm, dah masuk  anginlah tu. Jom baliklah.”
Pandai  tak aku  cari alasan? Tanpa berlengah  lagi  aku  berpatah balik ke  pejabat. Raisya cuma diam. Rasanya  dia memang sedang berada  dalam keadaan yang  tidak  selesa. Tak  habis  pun roti  yang dibeli.
“Lain kali kalau  dah tahu  perut  awak tu  tak boleh berlapar, ambillah breakfast dulu. Kalau  awak  datang lambat  tadi  pun tak  menjadi hal.” Nasib kaulah Raisya. Aku  nak memulakan sesi  ceramah  percuma ni.
“Encik  Azraf  ni langsung tak  reti  berterima kasihlah. Saya ni  terkejar-kejar dari pagi  tadi. Hantar  mak  ke  klinik,lepas  tu  datang  pula ke  pejabat. Kalau  saya tahu  Encik Azraf nak layan saya  macam ni,  lebih baik  saya MC  saja  hari ni.” Raisya  dah keluarkan suara sengau. Plastik  makanan diikat kuat lalu  diletakkan di  tempat  duduk  belakang.  Dia berpeluk  tubuh dan memalingkan pandangan ke luar  tingkap.
So, sekarang ni  nak  MC ke  tak?”Sengaja  aku  menyakat. Suka melihat  wajah mencuka  Raisya. Walaupun sedang marah, wajahnya  tetap  nampak  manis. Duhai hati, please  don’t  be gelojoh. Permainan baru bermula ni.
Raisya mengesat pipi.  Alahai! Dia  dah buat  drama airmata. Ini  satu  lagi  modal yang dia suka  guna masa  kecik-kecik dulu. Raisya, awak dah besar  sekarang. Kalau dulu  bolehlah dipeluk-peluk, upah dengan gula-gula dua puluh sen lima  biji. Sekarang mana boleh. Kalau aku  peluk  nanti  takut jadi  hal lain pula.
“Lain kali kalau  nak hantar  mak pergi  klinik, tak payah datang kerja. Saya  faham, bukannya  sekejap  nak  menunggu  di  klinik kesihatan  tu. Hari  ni  awak  MC ajelah. Jangan risau, saya akan beritahu  bahagian gaji  untuk  bayar  awak penuh  hari  ni.”
Aku  rasa macam tengah bercakap  dengan stereng kereta. Dia langsung tak  memberi  respons.  Oh, masih nak mogok  bercakap  ya. Nanti  kau! Telefon  bimbit aku  ambil  dan nombor  Hazri  aku  dail. Sementara  itu, kereta terus  ku halakan ke rumahnya.
“Eh, motor saya macam mana?” Raisya  buka mulut  juga  akhirnya.
Tapi  sudah terlambat. Hazri  sudah pun menjawab panggilan. Aku  senyum sinis padanya dan bagi  isyarat  supaya  dia diam.
“Helo Hazri, aku  nak hantar  adik  kau  balik ni. Ada  orang kat  rumah tak?”
“Mak aku  ada kat  rumah. Eh, tapi kenapa  dengan dia?”
Aku  pandang Raisya. Bergerak-gerak  rahang  dia menahan bengang. Lantaklah. Siapa  suruh  buat perangai depan aku? Aku  pasti  Raisya  turut  mendengar  pertanyaan  abangnya. Loud speaker  yang aku  gunakan sudah cukup kuat.
“Dia skip breakfast  tadi.  Hazri,  nanti  kau  datang  office   aku  ambil  motor dia. Aku  tak  berani  nak benarkan dia  balik dengan motor. Jadi  apa-apa  kat  tengah jalan, kempunanlah aku  nak tengok  batu  lesung kat  muka  dia lagi.”
Aku  gelak. Tapi  tidak Raisya. Kedua-dua  tangannya  meramas  peha  sendiri  sekuat hati. Aku pasti  kalaulah bukan sebab dia  yang beria-ia  sangat  nak kerja di tempat  aku, pasti  dah lebam biji mata  aku  ni  dia  kerjakan. Pemegang tali  pinggang  hitam Silat  Cekak  Hanafi tu. Kereta berhenti  betul-betul  di  depan rumah Raisya  sebaik  saja perbualan dengan Hazri  tamat.  Tapi Raisya  seperti enggan keluar  dari  kereta.
“Saya masih pekerja  Encik  Azraf, kan?”
“Uik! Kenapa  tanya  macam tu?  Awak ada terima apa-apa  surat  buang kerja  ke?”
“Memanglah  tak ada.  Tapi saya  dah berkasar  dengan Encik  Azraf  hari ni. Manalah tahu...”
“Awak  belum tahu  sepenuhnya tentang saya lagi  Raisya. Walaupun awak  yang paksa  saya terima awak bekerja, tapi  saya  takkan ambil kesempatan. Selagi  awak boleh bertahan, awak kerja ajelah. Tapi kalau nak  berhenti, awak  kena siapkan lima  puluh  alasan yang paling relevan.  Sebab masa  awak paksa  saya  terima awak dulu cuma satu  alasan aje yang awak  bagi. Ingat tak?”
Raisya  mengangguk  perlahan. Nampaknya  dia  terpaksa berpuas  hati  dengan apa  yang aku  katakan. Tapi dia masih teragak-agak  untuk keluar  dari  kereta. Alahai! Dia nak apa lagi  ni. Tak bestlah  kalau mak nampak.
“Encik Azraf pun pasti  ada alasan kenapa  Encik  Azraf masih terima saya  bekerja, kan?”
“Ada. Sebab saya memang nak awak sentiasa  ada  bersama  saya.”
“Hah?”
Alamak! Apa aku cakap  ni? Terkial-kial  aku membuka  pintu kereta dan segera keluar. Makin dilayan Raisya  ni makin banyak pula  soalannya. Aku bukakan pintu  kereta  untuknya.
“Masuk  berehat. Kita  jumpa esok.”

Itulah pesanan terakhir  aku  sebaik saja  dia keluar  dari  kereta. Duhai mulut.  Kenapa laju  sangat  kau  menuturkan kata-kata manis. Masih terlalu  awal untuk melontarkan ayat-ayat  ‘beli  jiwa’ untuk Budak Lesung itu. 

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.