Ayat ke lima puluh empat dari surah Shad itu aku ulang
sebanyak tiga puluh tiga kali. Mudah-mudahan murah rezeki kami sekeluarga pada
hari ini. Banyak lagi impian yang belum tercapai. Aku nak bawa mak menziarahi
rumah Allah. Nak beli kereta, tambah tabungan pendidikan Zarith dan yang paling
penting... aku nak kahwin dengan Durani.
“Abang Mie...”
Aku toleh ke pintu. Zarith masih belum lengkap berpakaian
sekolah. Aku jongket kening bila dia menggamit laju. Muka dia seperti ternampak
sesuatu yang mengejutkan. Apahal pula budak ni?
“Kenapa?” Aku tanya dia.
“Marilah keluar kejap...” Suara dia perlahan, tapi agak
keras.
Aku lipat sejadah dan ikut dia ke ruang tamu. Zarith
terus menonong ke pintu. Dibukanya pintu
utama lebih luas. Dia pandang aku sekali lagi sebelum jari telunjuknya lurus
menuding ke arah motor. Tak ada apa-apa yang pelik pada motor mak. Tapi motor
aku....
“Alahai, bila pulak pancit ni?” Aku tepuk dahi.
Cepat-cepat aku sarung selipar Jepun yang tunggu masa saja nak putus dan
menyangkung di tepi motor. Kopiah yang masih berada di kepala aku tolak sikit
ke belakang.
“Hmm...cepat betul DIA bagi ‘rezeki’ pagi ni...”
“Abang cakap apa?” Zarith turut menyangkung di sebelah
aku. Kepoh betullah budak ni.
“Eh, tak ada apa-apalah. Pergi masuk dalam, siap.”
“Tayar dah pancit, macam mana nak pergi sekolah?”
“Motor mak kan ada...”
Zarith bercekak pinggang. Dah mulalah tu. Macamlah aku tak tahu akal sekupang dia.
“Tapi hari ni adik nak Abang Mie hantar. Motor Abang Mie
dah pancit. Jadi, tak payahlah pergi sekolah.”
Kan... Betul tak tekaan aku. Suka hati dia saja nak
ponteng sekolah. Dia ingat aku ada share ke
di sekolah tu? Kain aku kilas tinggi. Telinga dia aku jadikan sasaran. Aku bawa
dia masuk ke rumah dengan tangan masih memiat cuping comelnya.
“Kau jangan nak ngelat
eh. Helah kau tu semua dah ada dalam poket abang. Pergi ambil kunci motor
mak. Abang hantar dengan motor mak nanti.”
Terjerit-jerit dia minta aku lepaskan piatan. Eleh,
macamlah aku tak tahu. Dia sengaja memancing perhatian mak. Bukannya kuat pun aku
tarik telinga dia. Sempat juga aku lepuk punggung Zarith ketika dia berjaya
melarikan diri. Panjang betul akal budak kecik ni.
Aku keluar semula ke laman rumah. Aduh! Lambatlah aku
pergi kerja hari ni. Kalau aku pinjam motor mak, macam mana dia nak jemput
Zarith di sekolah nanti. Aku bukannya boleh tinggalkan sekejap stesen minyak
tu. Kepala yang tidak gatal aku garu laju. Serabutlah!
“Motor kau kenapa?” tanya mak ketika berselisih dengan
aku di ruang tamu.
“Pancit.” Aku jawab pendek. Apa-apa hal kena maklumkan
pada bos dulu yang aku masuk lambat hari ni.
Aku duduk di ruang tamu sambil mendail nombor bos stesen
minyak. Harap-harap dia tak bising. Lagipun bukan selalu aku datang lambat.
Zarith dah siap menggalas beg. Dia duduk mengadap aku sambil menyarung stokin.
“Hari ni adik nak abang hantar. Jangan ngelat eh!”
Aku jelir lidah padanya. Mujurlah adik yang aku ada cuma
dia seorang. Dialah teman bergurau dan teman bergaduh. Tak apalah, demi dia aku
layankan juga. Kunci motor mak di atas meja aku ambil. Tangan kanan masih
memekup telefon di telinga. Bos aku ni
membuta lagi ke?
“Nak apa Joe?”
Uik, macam tu ke cara dia jawab panggilan? Aku telan air
liur, nak legakan rasa terperanjat. “Sorry
bos, ganggu pagi-pagi ni..”
“Ya... ya... apa hal?”
“Motor saya pancit. Saya...”
“Okey, lepas tukar tayar nanti masuk kerja macam biasa.
Nanti kau balik lambat sikit. Ganti balik berapa jam yang kau lambat tu.”
“Bos, saya... hello...hello...”
Dah senyap? Laa... macam tu ke dia berurusan dengan
pekerja? Senangnya dia buat keputusan. Aku pandang mak. Tapi sekejap saja.
Apa-apa hal kena hantar Zarith ke sekolah dahulu. Kalau nak pergi kedai motor
pun, mana ada kedai yang buka pagi-pagi buta ni.
“Kau pergilah tukar tiub tayar tu. Biar mak hantar adik.”
“Tak apa mak. Mie dah janji dengan dia semalam. Merajuk
pula budak kecik tu nanti.”
Aku masuk bilik dan salin kain pelikat. Tabung Mister
Potato aku ambil. Dah ringan. Berat betul rasa hati nak buka penutup tabung.
Tapi apa pilihan yang aku ada? Mak nak duit lauk. Zarith nak yuran tiusyen di
sekolah. Barang-barang jualan burger perlu ditambah. Semuanya perlukan duit.
Duit! Duit! Duit! Nak minta tolong Durani? Tak mungkin. Jatuhlah saham aku.
“Abang Mie! Cepatlah...Dah pukul berapa ni?”
Zarith dah melaung di luar rumah. Dengan pantas aku buka
penutup tabung. Dua keping not lima puluh aku tarik keluar dari tabung. T-
shirt lusuh yang tergantung di belakang pintu aku ambil.
“Tolong isi minyak motor tu sekali ya Mie.”
Aku cuma angguk. Helmet untuk Zarith aku ambil dari
tangan mak. Dia pun turut menyarung selipar. Ketika aku hidupkan enjin motor, mak
letakkan beg sekolah Zarith di dalam bakul motor. Aku perhatikan meter minyak.
Sempat ke nak sampai sekolah ni?
“Mak ni kan, sama aje dengan Durani tau?”
“Eh, apsal pulak?”
“Tahu guna aje. Tapi tak reti nak isi.”
Aku tunjuk meter minyak yang dah paras nyawa-nyawa ikan.
Mak tersengih sambil tunjuk muka tak bersalah. Aku buat-buat jeling marah.
“Apa guna ada orang lelaki kat rumah? Bila lagi mak nak
manja-manja dengan kau...”
“Nak manja-manja konon. Suruh cari abah baru tak nak
pulak...”
Mata mak membulat. Aku tekup mulut. Zarith dah ketawa
mengekek di belakang. Laju tangan mak melepuk-lepuk lengan aku.
“Banyaklah kau punya abah baru. Pergi hantar adik tu cepat!”
Aku pulas minyak dan motor meluncur perlahan meninggalkan
mak yang tersengih lebar. Mujur mak jenis yang tahan bergurau. Kalau tidak,
agaknya dah lama mak makan hati dengan aku.
“Abang Mie...” Zarith memanggil sambil menepuk-nepuk bahu
aku.
“Ada apa?” Aku menjerit sedikit. Melawan suara kenderaan
yang memotong kami.
“Kita singgah kedai kejap boleh tak? Adik nak beli kertas
lukisan.”
Hish! Budak ni ada saja kehendaknya. Agaknya macam inilah
setiap pagi mak melayan karenah dia. Aku singgah di kedai, tunaikan
permintaannya. Kedudukan sekolah dan rumah bukannya jauh sangat. Tapi apa yang
merisaukan aku sekarang, minyak motor mak ni cukup ke nak sampai ke sekolah?
Aku tengok jam di tangan. Kalau aku singgah di stesen minyak, mungkin Zarith
akan lewat masuk ke sekolah. Kalau aku terus hantar Zarith ke sekolah, besar
potensinya untuk aku menolak motor ke stesen minyak pula nanti.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Eee! Tak pasal-pasal kena tolak motor. Kalau aku isi
dulu minyak ni tadi kan bagus! Macam-macam hal!”
Pagi-pagi buta dah kena ‘ukur jalan’. Tak ada pula
sesiapa yang aku kenal lalu di waktu begini. Ketika melintas papan tanda stesen
minyak, aku baca kilometer yang tertulis di bahagian bawah. Lima ratus meter
lagi. Fuh! Lima ratus meter dah macam lima kilometer. Mencungap nafas aku
menolak motor.
“Joe! Kau tak kerja ke hari ni? Bos cakap kau masuk
lambat.”
Aku cuma pandang Arif, kawan sekerja yang sedang melayan
pelanggan di pam sebelah. Malas aku nak menjawab. Peluh masih meleleh. Aku tongkat
motor dan terus ke kaunter. Zara, Si Minah Kepoh dah bercekak pinggang ketika
aku menyeluk dompet. Johaimi... Sila pasangkan alat kalis bebel.
“Pam dua...penuh.” Aku letak wang kertas sepuluh ringgit
di atas kaunter. Lepas tu terus ke peti sejuk, ambil air mineral botol kecil.
Kering tekak aku kena tolak motor pagi-pagi buta ni.
“Joe, baki ni kau tak nak ke?” Zara melaung sebelum aku
menarik pintu kaca. Berjaya juga dia menarik perhatian aku. Kalau tengah loaded, memang aku sedekahkan saja duit
baki tu. Tapi sekarang tengah ‘kering.’ Sepuluh sen pun sangat berharga buat
aku sekarang.
“Kau nak masuk kerja pukul berapa ni? Kesian Arif tu kena
handle pam sorang-sorang.”
“Hek eleh! Kau ni lebih-lebih pulak! Aku dah cakap dengan
bos tayar motor aku pancit.”
“Habis tu? Dah tukar ke belum tiubnya?”
“Mana ada kedai buka waktu ni. Kau apa tahu? Apa, kau
ingat aku ni jenis suka ‘tuang kerja’ ke?”
Menyampah pula aku tengok dia pagi ni. Makin menjadi-jadi
perangai kepohnya. Ringan aje tangan aku nak melempang orang. Panas betul hati
tengok dia menjuih mulut. Macam dia pula yang bayar gaji aku. Baik aku keluar
dulu dari situ sebelum lebam biji mata dia aku balun.
Dah terlepas dari Zara, ada seseorang pula yang buat aku
kaku sekejap di depan pintu Kedai Serbaguna. Abah Durani! Aduh, mana nak
menyorok ni. Aku pandang baju sendiri. Ya Allah! Selekehnya. Nak masuk dalam
kedai semula, pasti Zara akan bersoal-jawab lagi dengan aku. Apa pilihan yang
aku ada? Ah!Buat macm biasa sajalah.
“Assalamualaikum pakcik... Isi minyak ke?” Cewah! Pandai
pula aku beramah mesra dengan bakal bapa mertua. Cayalah Johaimi.
“Waalaikumsalam. Kalau datang sini, takkan nak makan nasi
lemak pulak?” Pak Zahar senyum. Tapi mata dia pandang aku dari atas ke bawah.
Dah macam gurubesar pencen. Eh, dia memang
bekas gurubesar pun.
Dia masuk dalam Kedai Serbaguna, aku terus ke pam. Baik
aku isi minyak cepat sebelum dia keluar dari kedai. Segan betul bertembung
dengan abah Durani dalam keadaan macam ni.
“Ni motor mak kau, kan?”
Aku tinjau pam sebelah. Eh, bila pula dia ada di situ?
Aku mengangguk dan buat-buat sibuk mengisi minyak. Terasa lambat pula minyak ni
nak masuk dalam tangki motor. Pak Zahar, tolonglah jangan tanya lebih-lebih.
Rasa macam dia tengah buat temuduga terbuka untuk cari calon menantu pula. Selesai isi minyak, aku
terus melompat naik atas motor. Pak Zahar masih belum selesai. Almaklumlah, dia
empat tayar. Pasti lebih besar tangkinya dari tangki motor aku.
“Tak kerja ke hari ni?” Alamak, sempat dia sambung
menyoal aku. Jawab aje Joe. Jangan sombong sangat.
“Kerja pakcik. Masuk lambat sikit. Tayar pancit.” Dalam senyum kelat, aku
jawab perlahan soalan Pak Zahar.
“Hmm... mujur motor mak kau ada. Eh, kau tak teringin ke
nak pakai kereta? Dah setahun kau kerja kat sini kan? Takkan tak boleh cari
kereta secondhand sebuah?”
“Simpanan belum cukup lagi pakcik. In sha Allah... Ada
rezeki nanti merasalah saya pakai kereta.” Aku paksa diri untuk terus tersengih
macam kambing kena simbah air walaupun telinga ni dah makin panas. Dalam baik
dia perli aku. Sabar Johaimi... sabar. Bakal bapa mertua tu.
“Kalau nak cerita pasal duit ni, sampai bila-bila pun tak
pernah cukup. Betul tak? Anak aku tu, tak sampai setahun kerja dah boleh pakai
kereta. Senang sikit dia nak bawa mak dia ke pasar. Kau carilah sebuah... Kesian
mak kau tu. Dari muda sampai ke tua tak pernah merasa duduk bersandar dalam
kereta.”
“Eh, merasa juga pakcik... Kereta sewa...”
“Itu kereta orang! Mana sama dengan kereta sendiri...”
“Kereta yang Dura pakai tu pun belum habis bayar lagi,
kan? Kiranya dia pun macam pakai kereta sewa jugalah. Beza kereta sewa yang
saya pakai tu, bayar ikut hari. Cukup
masa kena pulangkan balik. Kereta Dura bayar tiap-tiap bulan. Tapi kalau missed bayar, silap-silap haribulan
tengah-tengah malam orang datang tarik. Lagi haru... Balik dulu pakcik.
Assalamualaikum...”
Aku bagi abah Durani telan asap motor. Sengaja aku pulas
minyak kuat-kuat. Panas hati aku beb!
Baik aku blah sebelum orang tua ni reject aku jadi menantu dia. Apa, dia
fikir dah cukup bagus ke bila anak dia pakai kereta? Eleh! Kalau jalan jammed, motor juga yang untung tau!
Sampai rumah aku terus ambil spanar dan perkakas lain
untuk buka tayar motor aku yang dah kempis. Tak masuk pun dalam rumah. Hati masih
panas lagi. Aku takut nanti mulut ni laju aje mengadu dengan mak. Mak aku tu
bukannya boleh terasa hati. Habis satu kampung diamukkan nanti.
“Tak nak sarapan dulu ke?” Mak muncul dari pintu dapur. Aku cuma angkat kepala sikit kemudian
sambung buat kerja.
“Mie nak buka tayar ni dulu. Mak makanlah dulu.”
“Mak dah makan. Bos kau tak kisah ke kau masuk lambat
Mie? Kedai motor buka pukul sepuluh. Kau MC ajelah hari ni. Boleh tolong bakar
sampah kat belakang rumah tu. Mak tak larat nak angkat kayu-kayu kering tu sorang-sorang.”
“Tak boleh mak. Orang tak ada kat stesen minyak tu. Malam
ni pun rasanya Mie balik lambat. Bos suruh ganti balik waktu kerja yang Mie
pakai...”
“Ooo, patutlah dia tak marah kau masuk lambat ya?”
“Hmmm...” Aku teruskan kerja-kerja membuka tayar. Mak masih
jadi pemerhati.
Malam ni tak dapatlah aku berniaga. Aduh! Dah rugi sehari.
Gerenti balik lambat malam ni. Kedai motor ni pun satu. Kenapalah tak buka awal-awal.
Menyusahkan orang betul. Mak dah masuk ke dalam. Penat berdiri agaknya. Nak
suruh dia tolong pun bukannya dia tahu bab-bab motor ni. Selesai buka tayar.
Aku masuk dalam, keringkan peluh dan
tukar baju yang elok sikit. Risau juga kalau terserempak sekali lagi dengan Pak
Zahar.
Sementara menanti pukul sepuluh, aku isi perut sambil
mengadap televisyen. Tak ada rancangan yang menarik pun pagi ni. Kebanyakannya
cuma rancangan untuk surirumah. Baru nak tambah air Milo di dapur, telefon yang
aku letak di atas meja berbunyi. Durani call.
Serta-merta aku teringat abah dia. Sindiran Pak Zahar masih berdesing di telinga.
Maka dengan itu aku abaikan saja panggilan Durani. Tak lama kemudian, telefon
rumah pula berbunyi.
“Mak, kalau Dura yang call
cakap Mie tertinggal handphone kat
rumah...”
“Uik! Bergaduh dengan mata air ke?”
Bibir terkemam. Aku berdiri di pintu dapur sambil
menunggu mak menjawab panggilan. Nak pastikan tekaan aku betul atau tidak.
“Assalamualaikum... Ya Dura... Johaimi?” Mak membeliak
mata. Laju kepala aku menggeleng tanda tidak mahu Durani tahu aku masih berada
di rumah.
“Err... Mie pergi kedai tayar. Motor dia pancit. Dura tak
call handphone dia ke? Ooo...kejap ya. Makcik tengok kat dalam bilik dia
kejap.”
Mak tekup gagang telefon dengan tangan.
“Satu...dua...tiga...empat...sepuluh!”
Gagang telefon diletakkan kembali di telinga. “Helo Dura.
Budak Mie ni tertinggal handphone
dalam biliklah. Hish budak ni! Entah apa yang dia ingat, entah.”
Aku tekup mulut, tahan gelak. Pandainya mak aku berlakon.
Bagus! Aku ke dapur. Pandai-pandailah mak nak ‘cong’ Durani. Banyak kerja lagi yang
perlu aku selesaikan hari ni. Mula-mula pergi tukar tiub. Lepas tu pergi kerja
dan ganti balik waktu kerja pagi tadi sampai malam. Lepas tu balik rumah, tidur.
Besoknya bangun, pergi kerja. Malam jual burger... aduh! Tak menarik betul
putaran hidup aku ni rupanya.
“Mie... nanti singgah kedai belikan mak tepung. Kau nak
pergi tukar tayar, kan?”
“Ya... Mak, Dura cakap apa?”
“Dia kata malam ni dia tak ada tiusyen. Tak berapa
sihat.”
“Ha? Dia tak sihat? Ala.. apsal mak tak cakap dengan Mie
tadi?”
“Ewah-ewah! Tadi kau yang suruh mak menipu. Sekarang kau
nak salahkan mak pula. Dia senggugutlah! Bukan sakit teruk pun. Biasalah, orang
perempuan. Kalau dia yang sakit, bukan
main kelam-kabut lagi kau, ya. Cuba kalau mak suruh kau belikan panadol. Sampai
berjanggut pun belum tentu dapat lagi.”
“Alololo... Merajuk pula ketipang payung buah hati
pengarang jantung Mie ni.”
Aku peluk mak dari belakang. Pandai betul dia ambil
kesempatan meluahkan rasa hati. Mak tolak muka bila aku nak kucup pipi berkedutnya.
Aku cuba sekali lagi. Nampak mata dia berair. Aku berdiri depan mak. Betullah,
ada air di mata dia.
“Eh! Mak betul-betul merajuk ya? Mak, Mie minta maaf.
Mie...”
“Sudahlah. Mak acah aje...”
Dia lepuk tangan aku dan cepat-cepat ke sinki. Habis diputarnya
kepala paip. Aku ikut, nak tengok sekali lagi. Betul ke dia tak menangis? Mata
aku tak pernah silap. Muka mak merah. Betullah dia menangis. Ya Allah! Apa aku
dah buat ni?
“Mak... Mie minta maaf. Janganlah menangis. Mie tahu kadang-kadang
Mie suka bergaduh dengan mak. Tapi Mie bukan nak jadi anak derhaka. Mie gurau
aje...”
Aku pun dah nak menangis juga. Tangan mak yang basah aku
kucup. Aku nak peluk tapi mak tolak badan aku. Matanya yang masih berair
merenung aku dengan tajam. Lama dia pandang aku. Tak semena-mena tangannya
melempang perlahan pipi aku.
“Bertuah punya anak! Kau memang tak boleh buat mak nak
marah lama-lama dengan kau.”
Dia senyum bersama. Fuh! Lega. Nasib baik mak cepat sejuk.
Aku pegang tangan mak dan aku lekapkan ke pipi. “Nanti Mie belikan panadol satu
papan eh.”
Terukir senyum lebar di bibir mak. Dahi aku ditunjal
lembut. Reaksi spontan mak pagi ni buat aku sedar yang dah terlalu lama aku
abaikan perasaan mak. Kalau masa belajar dulu, asal balik kampung pasti aku
akan sewa kereta dan bawa mak
jalan-jalan. Tapi sekarang aku sibuk mengumpul duit. Nak meminang Durani
kononnya. Tapi dah setahun, tabung aku
tu tak penuh-penuh. Mungkin mak tak berapa suka dengan apa yang aku buat
sekarang. Sebab itu rezeki susah nak melekat agaknya.
Sabarlah mak. Satu hari nanti Mie pasti benda alah
bertayar empat tu akan berada di laman rumah kita, Buat masa ni kita gunalah dulu
yang bertayar dua. Erk! Tayar? Aku tengok jam. Dah dekat pukul sembilan
setengah.
“Mie pinjam motor mak kejap, ya.”
Aku peluk mak lagi sekali kemudian terus ke ruang tamu,
ambil kunci motor. Tayar motor yang sudah aku tanggalkan dari badannya motor
aku ambil. Minta-minta kedai motor disimpang masuk ke kampung ni dah buka.
“Handphone ni
memang tak nak bawa ke?” Mak muncul di pintu. Dia hulur handphone yang aku letak di meja tadi.
“Biarlah tinggal mak.”
Aku terus memecut ke kedai motor. Alhamdulillah, kedai
dah buka. Mujur belum ada pelanggan lain yang datang. Dekat setengah jam di
kedai motor. Sempat juga aku ke kedai belikan tepung untuk mak. Siap tukar
tayar, kena pasang di motor pula. Waktu semakin larut. Pukul sebelas setengah baru
semuanya selesai. Kalau macam ni, dah serupa macam nak masuk kerja shif petang.
“Mak! Mie tak tunggu makan tengahari tau. Dah lambat ni.”
Aku melaung pada mak yang sedang memasak di dapur. Tuala mandi aku capai. Kalau aku
masuk kerja pukul dua belas, maknanya aku kena ganti lima jam waktu kerja yang
telah aku gunakan. Pukul lapan malam nanti baru habis kerja. Hmm... memang tak
berniagalah aku malam ini nampaknya. Minta-minta Mazli dan Fauzi buka gerai malam
ni. Kalau tidak, rosaklah roti-roti burger tu. Rasanya besok adalah tarikh
luputnya.
Sampai stesen minyak, bos dah tunggu. Dia cuma pandang
saja bila aku tergesa-gesa punch card.
Kebetulan pula kenderaan tengah banyak, aku terus ke pam. Mana-mana pelanggan
yang terkial-kial nak isi minyak, aku bantu. Ada yang pandai isi minyak
sendiri, aku tolong lapkan cermin depan dan belakang saja.
“Joe! Masuk sekejap.”
Bos panggil aku melalui mikrofon. Budak Bangladesh yang
sedang melayan pelanggan di pam sebelah cuma tersengih. Mesti dia fikir bos nak
‘sembur’ aku. Eleh, apa nak takut? Bukan ke pagi tadi bos juga yang suruh aku overtime? Ni mesti ada hal lain.
“Joe, kau jaga kaunter hari ni. Budak kerja petang tu aku
dah berhentikan. Tangan panjang!”
Uik, dia dah pecat Zara? Tak sangka pula kawan sekolah
aku tu buruk perangainya. Emm, memang tak boleh dibuat bini. Aku masuk ke kaunter.
Tak ada masalah bagi aku untuk bekerja di mana-mana bahagian di stesen minyak
ni. Dah senior, kan? Semua skop kerja di sini aku dah tahu. Kiranya aku ni
bolehlah dikatakan orang kepercayaaan bos juga. Sebab itulah dia tak bising bila
aku masuk lambat hari ni.
Lenguh habis satu badan hari ni. Lepas kaunter, bos suruh
pantau pekerja yang baru diambil bekerja hari ni. Cepat betul dia cari
pengganti Zara. Setengah jam sebelum waktu kerja aku habis, lori tangki pula
datang. Bila tengok lori lapan belas tayar tu parking di depan stesen minyak, aku tahu yang aku bakal balik
lambat hari ni.
“Joe, lori sampai...” Bos menjenguk kepala dari
pejabatnya.
“Kau pergi tengok, biar aku cover kaunter.” Dia keluar dari pejabat dan terus masuk ke kaunter.
Tak pasal-pasal hari ni pun dia jadi
pekerja juga.
Aku terus buat kerja aku sebaik saja dah berada di atas
tangki lori dua belas tayar itu. Buka pam, periksa level plumbum, periksa
‘deeping meter’ dan sign buku log. Siap! Okey, dah boleh balik. Malam ni
aku tak singgah di gerai burger. Biarlah Mazli dan Fauzi yang jaga gerai hari
ini. Sampai rumah dah pukul sepuluh malam. Mak dan Zarith sudah tidur. Aku tak
ambil masa yang lama untuk mandi dan makan. Apa yang aku nak buat lepas ni
adalah, tidur. Tapi sebelum tu, kena dengar suara buah hati dahulu.
Bibir menguntum senyum bila terbaca mesej dari Durani. Miss you so much! Eleh, baru tak jumpa
sehari dah rindu? Aku terus dail nombor dia. Tapi lambat pula dia menjawab. Dah
tidur ke?
“Assalamualaikum Joe...” Suara Durani di hujung sana buat
penat aku hilang. Belum tidur lagi rupanya.
“Waalaikumsalam sayang... Belum tidur lagi?” Aku menjawab
sambil memeluk bantal panjang. Kononnya macam tengah peluk Duranilah tu.
“Belum... Joe, Dura nak tanya sikit ni. Tadi Joe jumpa abah Dura ya?”
“Emm, pagi tadi. Kenapa?” Hairan aku mendengar suara Durani
yang agak keras. Serta-merta teringat pertemuan dengan Pak Zahar pagi tadi. Apa
pula yang diadukan oleh orang tua Durani tu?
“Joe ni kan, langsung tak reti nak ambil hati abahlah.
Kenapa Joe ajak orang tua tu berbahas? Joe tau tak? Abah kata Joe kurang ajar.”
“Eh, bila masa pula Joe kurang ajar? Joe cakap benda yang
betul...”
“Ah, malaslah nak dengar. Lain kali kalau orang tua
membebel, Joe diam ajelah. Yang nak berbalas-balas tu kenapa? Tak
pasal-pasal Dura pun kena bebel sekali.”
“Dura sayang. Cuba dengar dulu Joe cakap...’
“Malaslah nak dengar. Dura dah mengantuk ni. Bye.”
Ceh! Ingatkan boleh hilang penat bila dengar suara buah
hati. Rupa-rupanya makin serabut kepala aku. Membazir prepaid aje. Tidurlah!