"Dayang, untuk hari pertama ni awak duduk kat kaunter
dulu. Belajarlah apa-apa yang patut dengan Muaz ya."
Ruby, ketua bahagian operasi
memperkenalkan aku dengan seorang lelaki yang berkulit cerah dan tinggi lampai.
Punyalah tinggi sampai aku kena mendongak kalau nak tengok dia. Maklumlah, aku
ni kan spesis bonsai. Pertama kali tengok Muaz hati aku dah cair.Lupa terus
pada Tengku Haizal. Eh, apahal pulak aku nak ingat kat dia kan? Kulit Muaz
putih melepak.Geram pulak aku tengok. Lebih putih dari Tengku Haizal. La, ingat
kat dia lagi. Apahal pulak ni? Berdasarkan pada kad pekerja, Muaz ni setahun
lebih muda dari aku. Tak kisahlah tu. Kali pertama diperkenalkan, masing-masing
setakat angguk kepala dan senyum. Malulah konon!
Telefon dalam poket
seluar tiba-tiba bergegar. Aku pandang Muaz. Bagi isyarat nak jawab telefon
dulu. Dia senyum. Aduhaiai, macam nak gugur jantung aku.
"Hello! Awak kat
mana ni?"
Aku pandang telefon.
Punya nyaring suara dia. Spoil moodaku
betullah kalau dengar suara dia ni.
“Dayang, awak kat mana
ni?” Tengku Haizal masih menjerit seperti tadi.
"Kat tempat
kerjalah! Tengku nak apa lagi ni? Jangan ganggu saya lagi boleh tak?" Aku jawab dengan perlahan tapi keras.
"Awak ingat saya
ni suka sangat ke nak mengacau awak? Buat banyak bil telefon saya aje. Ni,
macam mana awak ajar si Natrah buat kerja? Harap muka aje lawa tapi kerja
lembap!"
Eh, hari tu bukan main puji lagi budak tak cukup kain tu.
Hari ni apa cerita? Aku senyum kelat. Tadah telinga
ajelah dengar wayar putus ni membebel.
“Awak dengar tak saya
cakap ni?”
"Ala, lama-lama
nanti pandailah dia." Aku cuba meyakinkan dia. Bukan setakat pandai buat kerja.
Silap hari bulan, Natrah tu boleh jadi awek baru dia. Muaz dah kerling banyak
kali. Hish, serba salah pulak aku.Tak sedar diri baru hari pertama kat sini.
"Oklah Tengku,
saya nak kerja ni. Bye."
Cepat-cepat aku
masukkan telefon dalam poket. Tak perasan pula aku sempat tekan butang merah ke
tak.
"Sorry Muaz, boleh kita mula
sekarang?"
Aku tarik kerusi
sebelah dia. Dia duduk jauh sikit dari aku.Takut berlaga kaki. Muaz tanggalkan
kasut kulit yang dia pakai.Lepas tu keluarkan selipar Mickey Mouse dari bawah
kaunter. Lah, selipar tu dia punya ke? Aku dah nampak selipar tu dari tadi. Tapi
tak sangka pulak dia punya. Warna pink!
"Tepi sikit,"
kata Muaz.
Aku beralih sikit. Dia
buka laci dan keluarkan alat-alat tulis. Stapler, pembaris, pen, buku, semuanya
warna pink! Aku dah rasa lain macam
aje ni. Suara Muaz tadi pun macam cicak tersepit aje aku dengar.Dia
bangun.Ambil remote control aircond.
Eh, dia jalan kepit lutut! Adakah?
"Ok Dayang, hari
ni aku ajar kau cara-cara nak attend
customer yang nak hantar barang.Mula-mula kau tengok perbezaan
borang-borang ni dulu..."
Aku dah tak dengar apa
yang Muaz bebelkan lepas tu. Sebab aku tengah menahan diri dari gelak melambak
depan dia. Bukan nak mengejek, tapi tak sangka pula. Muka dia memang handsome, cukup pakej kata orang. Tapi
bila dia bukak mulut, awww! Tak kuasa mak!
“Hei, kau gelakkan aku
ya?” Muaz tolak lembut bahu aku.
Aku tutup mulut. Memang
dah nak tergelak sangat ni. Puas tarik
nafas dalam-dalam, tapi geli di perut ni masih tak surut. Sudahnya aku ketawa juga. Tapi masih
dalam terkawal. Muaz memuncung mulut. Tapi reaksi dia tak macam orang marah.
“Kau ni comellah! Macam
tak percaya kita ni lebih kurang sebaya,” kata Muaz. Tangan dia dengan
selambanya mencubit pipi aku. Uih, lajunya tangan dia. Hilang terus tawa aku.
Terkejut punya pasal. Tapi aku rasa dah memang gaya dia macam tu agaknya. Sebab
sejak dari tadi tangan Muaz memang tak
boleh duduk diam. Kejap dia tepuk peha
aku, lepas tu tolak bahu aku dengan hujung jari. Sambil cakap, pegang bahu aku.
Sedikit demi sedikit aku cuba menyesuaikan diri dengan gaya Muaz.
“Jom.” Muaz tarik
tangan aku suruh bangun.
“Nak pergi mana?” Aku
tanya sebab dia dah bawa aku ke belakang. Ke bahagian bilik operasi.
“Dayang, sini tempat
diorang loading dokumen dan barang-barang. Selalunya pagi adalah peak hour kita. Jadi kerja
kat sini yang penting adalah komunikasi. Kena berbaik-baik juga dengan budak-budak despatch dan driver ni.
Tapi kau kena tahan telinga sikitlah sebab mulut diorang ni kadang-kadang main lepas aje.”
Aku senyum dengar
penjelasan Muaz. Dia bawa aku ke
tengah-tengah bahagian operasi. Semua mata pandang ke arah kami. Wuish,
tiba-tiba rasa malu pula. Tambah pula
bila dengar ada suara nakal yang jadi tikus. Menciut-ciut bunyi masing-masing.
Gaya mengorat zaman sekarang.
“Muaz, ikan baru ke?”
Aku toleh ke arah suara
yang melaung pada Muaz. Ikan? Yelah, ini
bukan sebarang ikan tau. Nampak saja
macam ikan bilis, kalau tak kena gaya
boleh bertukar jadi ikan pirana tau. Cubalah kalau berani. Senyum Dayang. Simpan dulu taring tu.
“Minta perhatian
semua.” Muaz mendepangkan tangan. Suara dia yang kuat berjaya menarik perhatian semua yang ada di
situ. Dia tolak bahu aku ke depan. Berdiri betul-betul depan dia. Dah macam
budak baru masuk sekolah pula rasanya.
“Aku nak kenalkan pada
korang geng baru dalam department kita.
Buat masa ni dia duduk di kaunter dengan aku. Nama dia Dayang.” Muaz
perkenalkan aku serba ringkas. Aku senyum dan tunduk sikit tanda hormat.
Mata ni cuba tengok muka seorang lepas seorang. Ada yang balas
anggukan aku. Ada juga yang senyum saja.
Hmm, bagus juga diorang ni. Tak ada seorang pun yang bangun nak menghulur
tangan. Memang sempoilah! Aku suka!
“Baru habis sekolah
ke?”
Tawa bergema. Ceh, baru
puji. Dah mula tunjuk perangai. Sabar Dayang. Ini macam minggu orientasilah
juga. Senyum aje.
“Ha, tu yang mulut tak
ada insuran tu namanya Yazid. Dia runner.Kalau
despatch tak ada atau cuti, dia yang akan cover
budak-budak ni,” terang Muaz. Aku
angguk lagi. Dah mula faham sikit-sikit cara kerja di sini.
“Bawa dia tengok
bahagian loading Muaz. Kenal-kenal dengan abang – abang parcel,” usik seorang lagi. Yang ni
nampak berumur sikit. Tapi pakaiannya
nampak lebih kemas dari yang lain-lain.
Muaz bagi isyarat suruh
aku ikut dia. Mata yang lain-lain masih mengekori aku. Memang segan yang amat!
Nasiblah. Nama pun orang baru. Lama-lama nanti
mesti dah ok.
“Abang-abang parcel tu apa Muaz?” Aku ringankan mulut bertanya.
“Tu, kau nampak tak
lori-lori dan van yang berderet tu?” Lurus telunjuk Muaz menuding ke arah yang
ditunjukkan. Aku angguk laju.
“Barang yang dihantar
menggunakan kotak , tak kiralah kecil atau besar akan dihantar guna lori atau
van. Brother yang tadi tu namanya Rosli. Tapi budak-budak
ni panggil dia Tojo. Dia runner untuk bahagian parcel,” terang Muaz.
“Tojo?” Aku senyum bila
tengok Muaz mencebik.
“Diorang ni lebih
banyak guna nama gelaran dari nama sendiri. Nanti lama-lama kau kenallah dengan
diorang ni. Ok, setakat ni ada apa-apa soalan?”
Aku menggeleng. Memang
susah sikit nak ingat semua dalam masa sehari. Tapi setakat ini, aku mula faham
serba sedikit sistem kerja di sini.
“Kat sini tak ada
perempuan ke Muaz?” Baru aku perasan, aku seorang saja bunga di situ.
“Tak ada. Kalau ada pun
diorang punya tempat kat atas. Bahagian customer
service dan pending department.
Nanti ada masa aku bawa kau pergi kenal-kenal dengan diorang pula,” jawab Muaz.
Kami kembali ke
kaunter. Untuk pertama kalinya aku rasa selesa bekerja. Tiada gangguan dari
Tengku Haizal. Berbeza sungguh
pengalaman hari pertama bekerja di sini. Tidak seperti di Haizal, Dinesh &
Partners dulu. Hari pertama dah kena buli dengan Wayar Putus. Ah, buat apa
ingat pada dia lagi. Kalau tak disebabkan dia tak mungkin aku ada di sini. Ada
hikmah juga di sebalik semua kejadian kan?
“Kau ada bawa bekal
ke?” tanya Muaz.
“Bekal?” Aku tanya dia
balik.
“Ha’ah.
Perempuan-perempuan kat sini selalunya bawa bekal makan tengahari. Suka makan
ramai-ramai sambil menganyam ketupat.”
Aku senyum dengar
penjelasan Muaz. Keadaanbiasa kalau orang-orang perempuan berkumpul.
“Kau bawa bekal ke?”
Aku tanya dia pula.
“Kadang-kadang bawa
juga. Seronok juga borak-borak dengan diorang. Tapi hari ni malas masak. Kita
keluar lunch sekali nak?” Muaz pelawa aku.
“Boleh. Lagipun aku tak
berapa familiar lagi dengan kedai-kedai makan kat
sini,” jawab aku jujur. Muaz senyum. Tepat pukul satu, seorang staff dari
bahagian customer service turun. Jamaliah namanya. Menurut kata
Muaz, setiap kali waktu rehat akan ada
seorang staff yang menjaga kaunter
sementara waktu.
Tengahari tu aku keluar
makan tengahari dengan Muaz. Kalau dia lelaki sejati, dah lama aku mengaku dia
ni boyfriend aku. Tapi… heheh!
“Kau tak kisah kalau
makan kat warung kan?” Muaz tanya aku.
“Aku tak ada masalah.
Mana-mana pun boleh. Janji kenyang,” jawab aku.
Kami berjalan kaki
saja. Warungnya cuma 5 minit saja dari pejabat.Ramai betul orang di kedai ni. Mesti makanannya
sedap.Sementara tunggu Muaz ambil makanan, aku seluk handphone dalam poket. Eh, kenapa masa berbual masih bergerak?
Mulut makin melopong bila ingat balik, kali terakhir tadi aku bercakap dengan
Tengku Haizal.Alamak, berlambaklah bil dia nanti. Tapi kalau dia tahu aku lupa
matikan telefon, kenapa dia tak buat macam tu. Entah-entah...
"Hello, Tengku." Aku
panggil perlahan.Mana tahu kot-kot memang dia pun lupa nak matikan talian.
"Ya sayang, saya
masih di sini."
Mak! Nasib baik tak
terpelanting telefon aku.Maknanya dari pagi tadi dia tak matikan telefon.Tarik
nafas sekejap. Aku tekap balik telefon ke telinga.
"Dayang."
"Apa?"
"Orderkan saya limau suam."
Eh, dia ni biar betul.
Apa ingat warung ni ada perkhidmatan delivery
ke?
"Dah order ke belum?"
"Jangan
main-mainlah Tengku."
"Siapa pulak yang
main-main? Orderlah cepat!"
Aku buat bodoh aje.
Kalau pasal mengarut memang serah saja pada wayar putus ni. Aku pandang Muaz.
Lambatnya dia ni. Tiba-tiba ada orang duduk di sebelah aku.
"Mana air
saya?"
Kali ni betul-betul handphone aku terpelanting. Kelam-kabut
aku kutip bateri dan penutup handphone.
Dia ni bela hantu raya ke? Boleh pula dia cari aku kat sini.
"Macam mana Tengku
tahu saya kat sini?" Aku tanya dia.
Dia tak jawab tapi terus
tarik gelas sirap limau aku. Buruk betul
perangai. Sampai tinggal separuh dia sedut.
"Kalau setakat nak
lari kat area KL ni, tak payahlah. Lelap mata aje saya boleh cari."
Aku pandang dia. Kenapa
dia nampak selekeh sangat ni? Minyak rambut dia dah habis ke?
"Tengku ni tak
mandi ke pagi tadi?"
Selamba aku tanya dia. Macam lupa pula yang aku benci
separuh mati pada dia.
"Kenapa tanya
macam tu?" Dia tanya aku balik.
"Serabai sangat."
"Serabailah! Rindu
kat awak."
Bluek! Aku cebik dia.
Tak sempat nak bidas, Muaz sampai. Ya Allah, yang dia ni makan ke melantak?
Nasi punyalah menggunung dalam pinggan. Siap dengan ikan bakar pulak tu.
"Eh, kawan kau ke
Dayang?" tanya Muaz.
"Bukan, bakal
suami dia. Saya Tengku Haizal. Sayang, jom temankan abang ambil nasi."
Lagi sekali aku
melopong. Tak sempat nak bidas lagi. Dia tarik tangan aku, ikut dia ambil
makanan. Muaz pula jaga meja.
"Lepaslah Tengku!
Malulah orang tengok!"
Aku rentap tangan. Dia
tersengih. Dia kerling pada Muaz yang sedang makan.
“Siapa nama dia?” tanya
Tengku Haizal.
“Muaz.” jawabku.
"Dayang, kalau nak
bagi saya jelous pun, carilah yang
mantap. Bukan spesis sotong dalam tin ni. Tak sesuai!"
Tengku Haizal gelak
sambil tutup mulut. Tiru gaya nyah gelak. Kurang asam! Aku ceduk nasi dan ambil
lauk cepat-cepat. Sebelum pergi kat kaunter aku nampak ada bubur kacang hijau. Dah
siap letak dalam bekas. Aku capai empat bekas. Bawa semua ke kaunter. Masa
tauke kedai tu tengah mengira, aku ambil pula gula-gula dekat setengah botol.
"Makcik, kira
untuk kawan saya yang kat meja tu sekali."
Aku tunjuk pada Muaz. Sempat
lagi aku jeling Tengku Haizal yang sedang menunggu giliran.
"Tapi dia dah
bayar tadi," kata tauke kedai.
"Takpe makcik, kira
aje. Saya nak buat sedekah hari ni."
Laju makcik tu tekan
kalkulator. Aku pandang Tengku Haizal. Senyum sikit pada dia. Tunggu kau!
"Semua
sekali..."
"Err, makcik.
Semua tu nanti dia yang bayar."
Lurus tangan aku tunjuk
pada Tengku Haizal. Tak peduli dengan Tengku Haizal yang sedang tergamam, aku
pergi semula ke tempat duduk. Muaz hampir selesai dengan makan tengaharinya.
“Takpe ke aku duduk
sekali ni Dayang?” tanya Muaz. Dia pandang Tengku Haizal yang masih berada di
kaunter.
“Takpelah, tak
mengganggu pun.” Aku dah memulakan suapan.
“Pakwe kau tu kerja
apa?” tanya Muaz.
“Dia bukan pakwe
akulah. Kawan aje.” Aduh, banyak tanya pula Muaz ni. Kepoh juga mulut dia.
“Yelah tu kawan.
Macamlah aku ni bongok sangat.” Muaz bangun dan menuju ke sinki untuk mencuci
tangan. Dia berselisih bahu dengan Tengku Haizal. Aku nampak Tengku Haizal
seperti menahan senyum.
“Tak sangka pula awak
suka spesis adik-adik,” usik Tengku Haizal.
“Shh, cakap tu perlahan
sikit boleh tak Tengku. Cuba belajar jaga air muka orang sikit.”
“Ooo, saya kena belajar
jaga air muka orang. Yang awak tu malukan saya boleh pula.”
“Bila masa saya malukan
Tengku?” Suapan terhenti. Aku pandang Wayar Putus yang sedang mengunyah.
“Tadi tu,” jawab Tengku
Haizal.
“Tadi? Sebab kena bayar
semua- semua ni ke?” Aku menegakkan duduk. Perbualan terhenti sekejap bila Muaz
kembali ke tempat duduk. Aku tunduk semula menghabis makanan. Lapar punya
pasal, licin pinggan aku kerjakan. Tak ambil tahu biji butir perbualan Tengku
Haizal dan Muaz. Sekali tengok, Tengku Haizal melayan Muaz seperti lelaki
biasa. Muaz pun bukanlah lembut sangat. Cuma bila dia berjalan baru nampak
ketara kelembutannya. Terlampau kepit sangat! Heheh!.
“Jom Dayang. Dah nak
habis waktu rehat ni.” Muaz menunjukkan jam tangan di tangan. Aku pandang
Tengku Haizal.
“Dah nak masuk balik
ke?” Eh, dia tanya soalan bodoh ke
kurang cerdik ni?
“Ya Tengku Haizal.
Waktu rehat saya dah habis. Kena sambung kerja semula. Jadi Tengku Haizal boleh
balik sekarang.” Aku bangun dan berjalan di sebelah Muaz. Boleh nampak mata
Tengku Haizal yang mengecik. Aik, cemburu ke?
“Jom saya hantar balik
ke office,” pelawa Tengku Haizal.
“Eh, tak payahlah.
Pejabat kita dekat aje kan Muaz?” Aku pandang Muaz yang menggangguk. Tangannya
mengelap dahi yang berpeluh.
“Tadi datang sini
dengan apa?” soal Tengku Haizal.
“Jalan kaki aje,” jawab
Muaz.
“Jalan kaki?” Tengku
Haizal pandang aku. Kenapa pula dia
ni? Dia pandang aku dan Muaz silih
berganti. Muaz dan berjalan keluar dari warung. Aku tak jawab soalan dia tapi
aku cepatkan langkah untuk menyaingi Muaz.
“Muaz!” Tengku Haizal
panggil. Suaranya sedikit kuat. Muaz berhenti melangkah.
“Aku nak pinjam Dayang
kejap. Nanti aku hantar dia balik office.”
Aduh! Dia ni apahal
pula? Aku pandang Muaz yang mengangguk. Dia ni pun satu. Cakaplah tak boleh.
Itu pun susah ke? Muaz dah tinggalkan aku dengan Wayar Putus.
“Jom naik kereta. Panas
ni.” Tengku Haizal dah menekan alat kawalan jauh keretanya.
“Tak naklah! Jalan kaki
lagi dekat. Waktu rehat saya dah nak habis ni.” Aku buat alasan.
“Awak nak saya dukung
atau masuk dalam kereta dengan rela hati?”
Hati dah panas ni.
Kenapalah dalam dunia ni wujud manusia macam Tengku Haizal? Dia tak pernah bagi
aku hidup dengan tenang walau sehari. Perangai dia yang suka memaksa buat aku
makin menyampah. Nak tak nak kena ikut
dia masuk dalam kereta. Dah masuk dalam kereta, dia buat perangai lagi. Dah
dihantar sampai ke depan pejabat, tapi tak bagi aku keluar pula.
“Tunggulah kejap. Ada
sepuluh minit lagi kan?” Dia cuba pujuk.
Dia kuatkan suhu penghawa dingin.
“Tengku nak apa ni?
Hari ni hari pertama saya kat sini. Janganlah jatuhkan reputasi saya.” Aku cuba
cakap elok-elok dengan dia. Harap sangat dia faham keadaan aku.
“Saya tak buat apa-apa
pun. Nak berbual kejap dengan awak. Tadi tak boleh nak sembang sebab Muaz ada.”
Aku diam. Cuba
bertolak-ansur dengan dia. Kalau aku melawan rasanya ada peluang dia bawa aku lari nanti. Jadi baik berlembut dengan Wayar Putus ni. Aku tarik
nafas dalam-dalam. Cuba menyabarkan diri sendiri.
“Seronok kerja kat
sini?”
“Baru separuh hari.
Setakat ni masih ok lagi?”
“Ada yang kacau awak
tak?”
“Kalau ada pun tak
seteruk Tengku,” jawab aku selamba. Biar dia terasa.
“Teruk sangat ke saya
ni?”
“Fikir sendirilah.”
Perlahan saja aku jawab. Dia diam. Aku kerling jam di dashboard. Lagi 3 minit.
“Cepatlah, nak cakap
apa lagi?” Aku gesa dia.
“Saya minta maaf,”
katanya perlahan.
“Ha?” Macam tak percaya
pula dia boleh cakap macam tu. Dah buang tabiat ke?
“Saya tahu saya salah.
Maafkan saya ya.” Aduh, dia buat muka kasihan pula. Nak cakap apa ni?
“Ok, saya maafkan.
Boleh saya keluar sekarang?”
“Tak boleh.”
“Janganlah main-main!”
Geramlah aku dengan dia ni. Tadi nampak macam dah insaf. Berlakon saja lebih
dia ni.
“Awak dah maafkan saya
kan? Maknanya awak tak payah kerja lagi kat sini. Jom kerja dengan saya balik.”
Dia dah tunjuk sengih nakalnya. Dah datang balik perangai
biul dia ni.
“Saya memang dah
maafkan. Tapi saya masih tak lupa apa yang Tengku buat pada saya. Kalau nak
tahu, saya tak ikhlas pun maafkan Tengku.”
Dah tak kuasa nak berkompromi dengan dia. Aku
buka kunci pintu dan terus keluar. Lewat 2 minit. Mujur Muaz tak bising. Petang
tu dia bagi peluang aku mengendalikan pelanggan pula. Mula- mula memang kekok.
Segan pun ada juga. Iyalah. Masa kerja di Haizal, Dinesh & Partners mana
ada jumpa dengan pelanggan. Berbeza dengan kerja di sini.
“Macam mana setakat
ni?” Muaz tanya masa aku dah bersiap-siap nak balik.
“Ok, best juga. Tak susah mana pun,” jawabku.
Muaz senyum. Dia pun
dah mula mengemas alat-alat tulisnya.
“Hari ni hari bertuah
kau. Tak ada customer yang mengamuk. Ada hari-harinya tertentu, ada
macam-macam customer kau jumpa
nanti.” Muaz mengingatkan.
Aku senyum aje. Tak
kisahlah, janji untuk hari ini segalanya selesai. Besok, biar besok punya
cerita. Masa aku pakai helmet, Muaz panggil. Dia bawa aku ke bilik operasi
sekali lagi, tapi terus ke mesin perakam waktu.
“Sebelum balik, kena punch card dulu. Nanti orang ingat kau
tak balik pula,” kata Muaz.
Aku angguk faham. Untuk
hari ini Muaz yang tolong aku. Kami
berpisah di tempat letak kereta. Aku terus ke tempat letak motor. Mata terpaku
sekejap ke arah bakul motor. Ada sekuntum bunga ros di situ.
“Siapa pula yang baik
hati sangt bagi aku bunga ni?” Aku cakap sendirian. Bunga ros di dalam bakul
aku ambil. Ada sekeping kad yang
tertindih di bawah bunga ros itu.
Maaf… TH
TH? Aku menung sekejap. Sekejap saja, tak lama
sebab aku dah tahu siapa pengirim misteri itu. Siapa lagi kalau bukan Wayar
Putus. Aku campak bunga ros di tangan terus mendarat di tepi longkang. Kad yang
aku baca tadi pun aku campak sekali. Maaf
konon! Mampus tak layan!
Petang itu aku sengaja
balik lewat sedikit. Bukan ke mana-mana pun. Aku singgah di pusat kecergasan.
Ala, gym kata orang putih! Heheh! Aku tak nak terserempak dengan Wayar Putus
tu. Rancangan aku menjadi. Malam ini aku nekad nak tanya Natrah, bila dia nak keluar
dari rumah ni. Aku dah tahan melayan karenah dia. Makanya malam itu sebelum tidur, dengan rasa
sedikit bersalah aku memulakan
perbualan.
"Natrah, aku nak cakap sikit
dengan kau ni. Tapi kau jangan kecil hati eh."
"Cakap ajelah," ujar
Natrah. Ditepuk-tepuknya bantal kepala sebelum merebahkan badan.
"Hmm, abang aku tak berapa suka
kau tinggal sinilah. Kau faham-faham ajelah. Dia tu kerja tak tentu masa. Lagipun..."
"Ok, aku faham. Aku pun nak
cakap juga kat kau ni. Aku dah dapat rumah sewa. Hujung minggu ni aku pindah. Nak
ikut tak?"
Eh, cepatnya dia dapat rumah sewa.
Mana dia dapat duit bayar deposit? Mungkin keluarga dia di kampung yang kirimkan
duit agaknya. Tapi dulu katanya dia cuma ada seorang adik. Mereka membesar di
rumah ibu saudara mereka, dekat dengan rumah mak dan abah aku di kampung. Hish,
tak puas hati ni. Nak tanya jugak.
"Kau dah siap bayar deposit
ke?"
"Dah. Api, air, deposit aku
bayar empat bulan terus."
"Empat bulan? Banyak duit kau.”
Terlopong mulut aku sekejap. Memang tak percaya.
"Tengku Haizal yang bayarkan,”
ujar Natrah selamba.
"Siapa?" Aku tanya lagi.
Bukannya tak dengar. Tapi macam tak percaya dengan apa yang aku dengar.
"Eh, kau dengar aku cakap
tadikan? TENGKU HAIZAL BIN TENGKU NORDIN." Natrah tinggikan suara.
Amboi, cepat betul si Natrah ni
jalan jarum. Dan cepat juga Wayar Putus
tu beralih arah. Baguslah tu, lepas ni tak ada orang nak kacau aku lagi. Aman!
"Kau tak cemburu ke?" Natrah
tanya aku. Siap dengan senyum sinis.
"Cemburu?Apsal pulak aku nak
cemburu?" Dia ni apahal pulak ketawa macam langsuir? Betullah aku tak
cemburu. Kelakar ke aku cakap macam tu?
"Baguslah kalau kau tak
cemburu. Aku tak nak dituduh perampas pulak nanti."
"Perampas apa pulak? Aku bukan
awek dia. Elok juga kau kawan dengan dia. Dia memang suka awek cun macam
kau."
Kenapa aku rasa macam tak ikhlas
pula ni? Menyampah pulak aku tengok
Natrah tersengih-sengih. Sebelum aku cakap benda yang bukan-bukan, baik
aku tidur.