Pejam celik, dah lima hari aku bekerja di tempat baru. Buat
masa ni aku masih di bahagian kaunter bersama Muaz. Belum berkesempatan
menjengah sekali lagi ke bahagian loading.
Budak-budak despatch
pun aku belum kenal sangat. Tak apa, banyak masa lagi. Lama-lama nanti
kenallah. Sampai saja ke pejabat Kak Ruby dah tunggu di kaunter. Eh, aku lewat
ke. Bila tengok berpeluk tubuh macam tu, risau pula aku. Aku ada buat salah
ke? Tak mungkinlah. Kerja-kerja aku
selama empat hari ni dipantau oleh Muaz. Kalau salah pun dia tak boleh marah aku. Marahlah Muaz.
Dia yang jadi tukang ajar. Heheh! Pandainya aku menyedapkan hati sendiri.
“Selamat
pagi Kak Ruby.” Aku tegur dia dulu. Kak Ruby cuma angguk , tapi dia senyum. Aku
letak helmet di bawah meja. Zip baju panas baru saja separuh aku tarik ke
bawah, Kak Ruby dah suruh aku naik ke atas.
“Hari ni
awak pergi bahagian customer service.
Muaz MC hari ni. Saya tak berani nak
biarkan awak seorang kat sini. Pergi naik atas, cari Punitha. Nanti dia
beritahu kerja-kerja awak kat bahagian sana,” arah Kak Ruby.
Ikutkan
sajalah Dayang. Kau kan budak baru. Jangan banyak songeh. Aku panjat anak
tangga. Belum habis anak tangga didaki, dah boleh dengar bunyi deringan telefon
yang tak henti-henti. Kaki makin laju
menapak. Oh, inilah bahagian customer service yangMuaz ceritakan tempoh
hari. Hmm, nampak eksklusif. Masing-masing ada ruang kerja sendiri.
Teringat arahan Kak Ruby, aku mencari
Punitha. Tak susah nak cari dia sebab dalam ramai-ramai yang bertudung cuma dia
seorang saja yang bertocang. Tapi muka dia macam Melayu. Aku rasa kalau dia pakai
baju kurung dan tak ada pottu di
dahi, pasti orang akan fikir dia Melayu.
“Dayang
ya?” Dia tegur aku dulu. Aku senyum dan angguk. Dari jauh lagi dia dah hulur
tangan. Orangnya nampak peramah. Dia kenalkan aku dengan semua orang yang
berada di situ. Hinggakan rakan sekerja yang sedang minum di dalam pantri pun
dikenalkannya. Memang sangat peramah. Cara dia menerangkan skop kerja yang perlu aku buat juga aku boleh
faham. Gaya dia bercakap sebiji macam Melayu.
“Ok Dayang,
saya tunjuk pada awak sekali cara nak jawab panggilan ya,” kata Punitha. Dia
bawa aku ke satu patisyen, sebuah telefon
siap dengan headphone sudah tersedia di situ. Komputer pun ada. Ada
deretan butang yang sedang berkelip-kelip di tepi telefon. Punitha pakai headphone dan tekan salah satu butang.
“Good morning Fastreach Courier Service, I’m
Ita ready to help you. May I know who’s on the line?
Alamak,
kena cakap omputih ke? Aku garu kepala. Bukan tak boleh bertutur
dalam bahasa antarabangsa tu. Tapi tak
sefasih Punitha. Eh, baru perasan. Dia punya nama singkatan Ita! Heheh!
Aku tengok betul-betul cara dia mengendalikan pemanggil. Nampak macam senang.
Tak sampai lima minit dah selesai.
“Ok Dayang,
awak duduk kat tempat Jamaliah ni ya.
Kalau ada apa-apa yang tak faham boleh tanya kawan-kawan yang lain.”
Dia
tinggalkan aku. Ok Dayang, ready to rock! Cewah! Teruja pula rasanya. Aku pandang sekeliling
sekejap sebelum duduk. Macam di pejabat bursa saham pun iya juga. Tepat pukul 9
deringan telefon semakin bertalu-talu. Aku dah bersedia dengan headphone. Mata tak lepas dari melihat
butang-butang di tepi telefon. Ada satu yang sedang berkelip. Baru nak jawab
dah gelap semula butangnya. Yang lain dah terlebih dahulu jawab panggilan tu.
Ha, ada satu menyala! Aku tunggu sekejap. Mana tahu kalau ada yang nak jawab
panggilan tu.
“Dayang,
ambil call tu.” arah Punitha dari mejanya. Aku
cuma nampak kepala dia saja. Terperanjat campur gemuruh sikit.
"Good
morning Fastreach Courier Service, I'm Dayang ready to help you. May I know
who's on the line?"Mak
ai, tergeliat lidah aku kena cakap omputih.
Ni kalau dia tak faham apa yang aku cakap karang aku letak aje telefon ni.
"Boleh cakap Melayu tak?"
"Boleh." Tarik nafas lega
aku. Best pulak pakai headphone ni. Rasa macam deejay pula.
"Tolong check nombor ni. Barangnya dah sampai ke belum?"
"Boleh saya tahu siapa di
talian?" Aku tiru semula cara
Punitha tadi.
"Check nombor ni dulu!"
Amboi! Garangnya. Relaks Dayang. Customer is always right. Huh, rightlah sangat! Aku tekan laju-laju
nombor yang pemanggil tu bagi. Tapi tak ada apa-apa status pun yang aku
kelihatan di monitor.
"Encik boleh sebut lagi sekali
tak nombor tadi?" Aku cakap dengan penuh sopan.
"Awak ni pekak ke? Lain kali
sebelum awak service customer awak, servicelah telinga tu dulu.Menyusahkan
orang betul!" herdik pelanggan di dalam talian.
"Maaf Encik." Sopannya
aku. Padahal telinga dah panas ni. Dia bagi lagi sekali tracking number. Memang tak ada. Apa aku nak buat ni? Dengan siapa
nak minta tolong? Masing-masing tengah sibuk.
"Boleh saya dapatkan maklumat
mengenai barang Encik?" Aku cuba pandai-pandai sendiri.
"Kan saya dah bagi tadi! Awak
ni tahu buat kerja ke tidak?"
Alamak! Siapa boleh tolong ni? Aku
tanggalkan headphone. Nak pergi cari
Punitha.
"Hoi!"
Tak sempat nak letak headphone atas
meja, aku boleh dengar pemanggil menjerit di dalam talian.
"Sebentar ya Encik." Aku
masih cuba nak menenangkan pelanggan yang dah macam kena sawan ni.
"Mana barang saya?Awak jangan
buang masa saya boleh tak? Saya nak cepat ni!"
"Ok, cuba Encik bertenang
kejap. Beritahu saya, apa barang yang Encik hantar tu?"
"Hati saya." Tiba-tiba
suara pemanggil tu mengendur.
"Ha?"
"Cuba check, ada tak kat situ.Nama penerimanya Dayang." Aku dengar
betul-betul suaranya. Akhirnya, aku tepuk meja. Di sini pun dia kacau? Hampeh
betullah Wayar Putus ni!
"Tengku! Saya tengah kerja
ni."
"Kerjalah, siapa pulak yang
kacau? Saya ni customer awakkan? Ada
nampak tak barang saya tu?" Dia masih tanya lagi? Sakitnya hati dengar dia
mengekek gelak. Kalau ada di depan aku sekarang memang aku tumbuk laju-laju
muka dia.
"Dayang."
"Apa?"
"Ada tak hati saya kat situ?
Kalau ada tolong simpankan ya,” tawa Tengku Haizal buat telinga aku panas.
"Tak ada kat sini.Mungkin cicir
kat tengah jalan kot. Dahlah Tengku. Jangan call
lagi. Terima kasih kerana menggunakan perkhidmatan kami. Bye!"
Aku hempas headphone atas meja. Tarik
dan hembus nafas laju-laju. Masak aku kalau dia asyik ganggu macam ni. Aku
pandang saja butang yang berkelip-kelip di telefon. Trauma kejap. Aku pakai headphone semula. Bila nak menjawab panggilan saja aku
tanggalkan semula headphone. Aduh, Tengku Haizal ni
betul-betul menyusahkan aku tau.
“Kenapa Dayang? Ada masalah ke?”
Punitha muncul tiba-tiba. Aku betulkan duduk. Lenguh pula leher mendongak nak
pandang Punitha ni. Bangunlah. Aku berdiri sebelah meja. Punitha masih tunggu
jawapan dari aku.
“Punitha, saya rasa macam tak
bolehlah nak jawab telefon. Customer garang-garang.” Aku buat senyum kelat. Punitha
gelak sikit. Dia suruh aku duduk semula dan pakai headphone. Dia nak buat apa ni?
“Cuba angkat satu call.
Saya nak tengok macam mana Dayang jawab,” suruh Punitha.
Alamak, kalau Wayar Putus tu telefon lagi macam mana? Hish, ada
juga aku lari ni. Telefon ni pun macam tak henti-henti berbunyi. Aku pandang
Punitha, lepas tu pandang telefon.
“Jawablah, saya ada sini,” gesa
Punitha. Laju tangannya menekan butang nombor tiga. Hampir-hampir juga tangan
aku menahan tangan Punitha. Tapi nafas lega mula ku hela bila dengar suara
wanita Cina di dalam talian. Keyakinan datang kembali. Punitha senyum dan
tepuk-tepuk perlahan bahu aku. Fuh, selamat!
Segalanya berjalan lancar hingga
waktu tengahari. Memandang Muaz tak ada hari ini, malas pula rasanya nak keluar
makan. Teringat pada cupcake yang aku bawa tadi. Mulanya nak dijadikan
sarapan pagi. Tapi disebabkan sibuk melayan panggilan, sudahnya breakfast dah jadi brunch.
Aku bawa bekas makanan ke pantri.
“Dayang mari duduk sini,” panggil
Kak Ruby.
Aku pergi duduk sebelah dia.
Sedapnya tengok dia makan nasi. Tak mengapalah. Balik nanti boleh makan juga.
Aku buka bekas makanan. Aku perasan semua mata yang ada di meja makan sedang
meninjau bekas makanan aku.
“Cupcake?”
Jamaliah menegur.
Tak, belacan! Heh, nak aje aku jawab
macam tu. Relaks dulu Dayang. Kuku kau belum tajam di sini. Aku senyum pandang muka pelik Jamaliah. Aku
tolak bekas kek aku ke arah dia.
“Rasalah.” Aku pelawa dia.
“Beli kat mana?” tanya Punitha.
“Saya buat sendiri.”
“Wow!” Jamaliah dan Punitha menganga
serentak. Kelakar pula aku tengok muka mereka berdua. Kak Ruby yang baru
selesai makan mengambil sebiji cupcake di dalam bekas. Sekali nganga saja padat
mulutnya dengan kek cawan aku. Dahsyat juga dia ni. Punitha dan Jamaliah
memerhatikan Kak Ruby mengungah dengan mulut yang penuh hinggalah cupcake aku hilang dalam perutnya.
“Sedaplah! Eh, boleh juallah
Dayang,” puji Kak Ruby. Punitha dan Jamaliah tak tunggu lagi. Setiap seorang
dah ambil seorang sebiji kek cawan di dalam bekas.
“Saya memang jual kak. Tolong kakak
ipar.” Aku jawab secara jujur. Buat apa nak bohong kan?
“Akak nak order satu set boleh? Perasa strawberi.” Kak Ruby bangun, nak basuh
tangan di sinki.
“Saya pun nak jugalah.” Punitha
mencelah pula. Aku senyum. Ada juga aku bertukar profesion ni. Heheh!
“Dayang, buat lebih sikit esok. Mesti kawan-kawan lain pun
nak beli juga. Diorang ni semua memang hantu cupcake,” kata Kak Ruby.
Akhirnya waktu lunch aku habis dengan berbual pasal cupcake.
Petang itu aku keluar awal lebih
awal. Memandang aku pekerja baru maka tak perlulah aku buat overtime. Heheh ! Tapi, walaupun keluar
awal tak bermakna aku cepat sampai ke rumah. Masuk ke jalan utama saja
kenderaan dah bersusun panjang.
"Apsal jem pulak ni?" Panjang leher aku memandang
ke depan. Tapi tak nampak. Macam nak berdiri aje atas motor ni. Rasa-rasanya
sekarang bukan peak hour. Tapi kenapa
macam sendat pula jalan ni?
"La, ada kereta rosak. Patutlah jem," kata aku.
Cakap sekuat-kuat tidak sampai tertoleh tuan punya kereta. Heheh!
Aku berhenti di tepi
kereta yang sedang berasap tu. Aku pandang lampu isyarat.
Kemudian aku pandang tuan punya kereta. Wajah dia mengingatkan aku pada
seseorang. Tapi aku tak perasaan siapa. Aku perhatikan pula keadaan sekeliling.
Senyum nipis terukir di bibir. Di sinilah skuter aku rosak dulu.
"Awak mekanik
ke?"
Aku toleh pada tuan
punya kereta. Senyum sambil menggeleng. Terdengar dengusan kasar. Gerenti dia
tengah bengang. Aku tongkatkan motor. Visor yang melindungi muka aku tolak ke
atas.
"Tak ada air
kot." Aku cakap sambil meninjau bahagian enjin. Bukannya pandai sangat
pun. Setakat benda-benda asas ni aku tahulah sikit-sikit.
"Entah. Selalunya driver saya yang bawa kereta ni. Hari ni
gatal nak drive sendiri. Boleh
tersadai pulak!" Dia mendengus.
Aku senyum. Tapi dia
tak nampak pun sebab muka aku masih terlindung dengan helmet. Aku ambil kain di
dalam bakul skuter. Perlahan-lahan aku buka penutup tangki air. Kering
kontang!Dah berapa tahun dia tak periksa tangki air ni? Heheh!
"Pakcik ada
botol?" Aku tanya dia.
Eh, betul ke pakcik?
Sekali tengok macam baru lewat 40an tapi dua kali tengok, kepala dia dah penuh
uban. Muka boleh tahan! Aku panggil abang nanti takut dia kata aku gatal pula.
"Botol? Nak buat
apa?" Dia tanya aku balik.
"Tangki air ni
kering. Kena isi airlah. Kalau tak meletup kereta ni karang." Aku
terangkan pada dia. Nampak sangat dia tak tahu apa-apa pasal kereta. Dia pergi
ke bonet. Aku ikut sekali. Tak ada apa pun dalam bonet kereta dia selain dari
beberapa pasang kasut berjenama mahal dan set golf.
"Takpelah...pakcik
tunggu kejap. Saya pergi cari air."
Tak payah tunggu dia
jawab, aku terus pecut motor ke Seven Eleven di seberang jalan. Beli air
mineral, botol paling besar. Lepas tu pergi balik ke sana. Terus masukkan air
dalam tangki, tuang sampai penuh. Lepas tu aku periksa sekali tangki air aircond, air wiper, semua sekalilah. Sampai berpeluh-peluh muka aku. La, lupa
pula buka helmet! Patutlah panas.Aku letak helmet atas skuter. Tak perasan pula
tuan punya kereta tak berkelip mata pandang aku.
"Awak perempuan
ke?"
Aku pandang dia? Lepas
tu aku senyum lebar.
"Saya ni nampak
macam lelaki ke?" Aku tanya dia balik.
"Tadi pakai helmet
dgn jacket. Ingatkan lelaki. Bawa
motor macam mat repit," komen dia.
Aku senyum. Tutup balik
tangki air, periksa sekali lagi tempat-tempat lain yang berkenaan.
"Pakcik, cuba start enjin."
Dia ikut arahan aku.
Tengok pada gaya rasa-rasanya dia ni bos kot? Hmm, tak kisahlah tu. Aku tolong
ikhlas. Kalau dia tauke ikan pun aku tolong juga. Tarik nafas lega aku bila
enjin kereta dah hidup. Aku pakai helmet balik.
"Dik!" Dia
panggil.
Aku pergi ke tepi
tingkap kereta. Nampak dia keluarkan duit dari wallet.
"Eh, tak payah
pakcik. Saya tolong ikhlas." Aku dah berpatah balik ke motor. Tapi dia
panggil lagi. Kali ni dia hulur kad pula.
"Kalau ada apa-apa
hal nak minta tolong cari pakcik. Terima kasih ya."
Aku angguk dan senyum.
Aku bagi laluan untuk dia bergerak dulu, sambil baca kad nama dia.
"Tengku Nordin.
Hmm, Tengku lagi..."