“Ira, dah lewat ni. Nanti bos Ira marah.”
“Tak apalah mak. Ira dah beritahu bos, Ira masuk lambat. Asyura datang nanti, Ira masuklah kerja.”
Rambut mak yang sudah disapu minyak aku sanggul tinggi. Wajah mak nampak lebih segar hari ini. Tidak pucat seperti semalam. Bacaan tekanan darah tinggi mak juga tidak seteruk semalam. Nafasnya tidak bergeruh lagi.
“Ira, nanti kalau doktor datang, Ira cakap dengan doktor mak nak balik ya.”
Aku menggeleng perlahan. Masuk pagi ini sudah berpuluh kali mak menyuarakan permintaan yang sama. Aku betulkan pelekat yang menutup jarum branula di tangan mak. Lengannya ku usap perlahan. Aku hanya mengunci mulut. Hilang modal untuk memujuk mak.
“Assalamualaikum. Maaf Kak Ira, Nora lambat sikit.”
Laju saja anak gadis itu menerpa masuk. Sebelah tangannya memegang bakul makanan. Dicelah ketiaknya terselit senaskah suratkhabar. Aku pandang ke arah pintu. Mengharap seorang lagi muncul di situ. Aku yakin mak juga sedang menanti orang yang sama.
“Syura mana? Nora datang dengan siapa?” Mak buka mulut terlebih dahulu sebelum sempat aku bertanya pada Nora. Betul tekaanku. Mak pasti menanyakan Asyura.
“Nora tumpang ayah tadi. Makcik ni mak ada buatkan sup ketam. Kak Syura cakap semalam makcik nak makam sup ketam kan?” Nora mengeluarkan mangkuk tingkat dari dalam bakul. Aku dan mak berpandangan.
“Bukan Syura yang masak sup ketam ni?” tanya aku pada Nora. Laju Nora mengangguk. Aku pandang mak yang perlahan-lahan meletakkan kepalanya di bantal. Milo suam di atas meja langsung tidak diusik.
“Nora simpanlah dulu sup ketam tu. Masih pagi lagi. Makcik belum ada selera nak makan,” suruh mak dengan suara yang tertahan-tahan.
“Ira, Nora dah ada di sini. Ira pergilah kerja.”Mak menyuruh tanpa memandang muka aku.Sengaja dia mengiring ke sebelah kiri, membelakangkan aku. Perlahan-lahan aku hampiri mak. Bahunya aku tarik perlahan. Serta-merta menyapu mata dengan hujung baju. Fahamlah aku yang mak sedang menahan sendu. Aku bongkokkan badan lalu tubuh mak aku dakap seerat mungkin. Terhenjut-henjut bahu mak melepaskan tangis.
“Mak, Ira dan Nora kan ada sini. Kami berdua sayang mak. Nanti Ira telefon Asyura. Suruh dia datang bawa sup ketam ya. Mak janganlah menangis. Ira tak boleh kerja kalau mak susah hati macam ni.” Aku pujuk mak walaupun hati sendiri sedang walang.
Mak menolak badan aku perlahan. Dia membetulkan baringnya. Pipi tuanya yang basah disapu dengan belakang tapak tangan. Kemudian tangan aku dan Nora dipegang erat. Mak cuba mengukir senyum dalam kepayahan. Sebaik mungkin dia cuba menyembunyikan rasa sedihnya.
“Biarlah Asyura dengan dunianya. Mak ada dua lagi anak perempuan yang betul-betul sayangkan mak. Mak janji mak akan ikut semua cakap Ira. Mana sup ketam tadi? Bawa sini, biar mak makan sampai habis. Lepas tu mak nak makan ubat dan berehat. Mak nak cepat-cepat keluar dari sini. Kesian anak mak yang berdua ni terpaksa jaga mak.”
Aku biarkan Nora meladeni mak. Walaupun sedih, aku tak mahu mak melihat aku menangis. Setelah beberapa kali dia memaksa aku meninggalkan dia bersama Nora, barulah aku keluar dari bilik itu.
“Mak nak Ira kerja. Tak perlu ambil cuti. Masa rehat nanti datang sini, mak tunggu Ira. Kita makan sama-sama.”
Masih terngiang-ngiang lagi suara mak walaupun sudah setengah jam aku berada di dalam wad. Tubuhku memang di sini tetapi fikiran jauh melayang memikirkan mak. Kebimbangan makin bertambah tatkala telefon berbunyi. Nama Nora tertera di skrin. Kepala mula membayangkan sesuatu yang negatif. Lambat-lambat aku menekan butang hijau. Aku tahan nafas seketika.
“Kak Ira, doktor dah periksa makcik tadi. BP dia dah okey.” Suara Nora kedengaran riang.
“Alhamdulillah.” Nafas ku hela lega. “Kencing manis dia?” Aku tanya Nora.
“Yang tu masih tinggi, tapi dah tak macam semalam. Demam pun dah tak ada,” ujar Nora panjang lebar.
“Syukur Ya Allah, mak buat apa tu?”
“Makcik tengah baring, mengantuk katanya.”
Aku faham keadaan mak ketika itu. Pasti itu kesan dari pengambilan ubat darah tinggi . Sebelum menamatkan talian, berkali-kali aku ucapkan terima kasih pada Nora. Aku berjanji tengahari nanti aku akan menjenguk mereka di sana.
“Sekarang waktu bekerja atau bergayut di telefon?”
Aku menoleh ke belakang. Dr.Zaiman sedang tegak berdiri merenung aku.
“Dr.Zaiman, mak saya dah okey.”Aku khabarkan berita gembira itu padanya.
“Jadi? Apa kena-mengenanya pula dengan saya?”
Terus pudar senyum di bibir. Dia kelihatan berbeza dari malam tadi. Dia sudah kembali menjadi Dr.Zaiman yang asal.
“Dah berapa lama awak jadi jururawat?”
Aku diam, tak faham dengan maksud soalannya.
“Jawablah! Dah berapa lama awak jadi jururawat?” jerkahannya menarik perhatian beberapa orang pesakit dan rakan-rakan sekerja yang berada di situ.
“Tiga…dah tiga tahun. Kenapa doktor?” Aku beranikan diri untuk bertanya kembali padanya.
“Emm, dah tiga tahun. Awak tahu tak awak sedang bekerja dengan nyawa orang? Susah sangat ke nak bezakan urusan peribadi dan urusan kerja?” Dr.Zaiman bercekak pinggang. Aku semakin tidak faham. Apa halnya yang dibebelkan ni?
“Doktor cakap apa ni? Saya tak faham.”
“Tak faham? Mari sini.”
Dr.Zaiman menarik tangan aku ke katil seorang pesakit. Di kepala katilnya tertulis ‘Berehat Di Katil’. Aku pandang seorang wanita berbangsa Cina yang sedang terbaring. Apa pula masalahnya dengan pesakit ni? Sihat saja aku tengok.
“Awak faham tak apa maksud papan tanda di kepala katil tu?” Lurus telunjuk Dr.Zaiman menuding ke kepala katil. Aku mengangguk sekali.
“Apa maknanya tu?” Dia bertanya lagi.
“Maknanya pesakit tu tak boleh ke mana-mana. Cuma berehat di katil,” jawabku dengan lancar.
“Pandai pun. Tapi kenapa saya jumpa pesakit ni sedang merayau-rayau di katil pesakit lain? Kenapa tak ada seorang pun jururawat yang memantau keadaan dia? Mana pelatih-pelatih awak?”
“Staff nurse Rani bawa mereka ke bilik mesyuarat. Ada taklimat di sana. Tinggal saya dan Azlinda saja di sini, tapi dia…”
“Dia hantar patient ke labour room. Tinggal awak saja dalam wad ni. Awak buat apa? Kalau jadi apa-apa pada patient ni siapa nak jawab?”
Aku ketap bibir. Muka terasa panas. Malunya jangan cakaplah. Semua mata ibu-ibu mengandung di dalam bilik itu terfokus padaku.
“Kalau nak kerja, buat cara bekerja. Jangan bawa hal peribadi awak tu ke sini. Sekarang awak tukar baju pesakit ni. Dah siap nanti panggil saya. Faham tak?”
Dia beredar dengan hentakan kaki yang sengaja dikeraskan sebaik sahaja aku mengangguk. Kurang asam! Berani dia memalukan aku di depan pesakit. Aku baru nak berbaik-baik dengannya. Tak sangka apa yang berlaku malam tadi hanya lakonan semata-mata.
“Maaflah nurse, saya pergi tandas tadi.”
Sambil menarik tirai, aku pandang wanita itu. Wajahnya nampak takut. Aku senyum lebar melihat reaksinya. Aku dah maklum sangat dengan pesakit yang bernama Florence itu. Sudah seminggu dia menetap di dalam wad ini. Pesakit yang mengalami masalah plasenta previa itu perlahan-lahan turun dari katil. Aku bantu dia menyalin pakaian.
“Ada rasa sakit tak?” Aku tanya dia sebaik saja selesai menyarungkan pakaian baru padanya.
“Tak ada. Nanti doktor tadi ke yang akan periksa saya? tanya ibu muda itu. Aku mengiakan pertanyaannya dengan anggukan.
“Nanti temankan saya ya. Takutlah dengan doktor tu.”
“Janganlah macam tu. Nanti kena darah tinggi pula.” Aku bergurau dengannya. Puan Florence tersenyum sedikit. Perlahan-lahan dia duduk di atas kerusi roda. Ketika aku menyorongnya ke bilik rawatan, Rani yang baru masuk ke wad memanggil. Aku bagi isyarat untuk menghantar untuk menghantar Puan Florence ke bilik rawatan terlebih dahulu.
“Biar aku hantar Akira.” Suara Rani sedikit melaung. Dia melajukan langkah. Pemegang kerusi roda bertukar tangan. Kenapa pula dengan Rani ni?
“Puan Zurada nak jumpa,” ujar Rani.
Tak sempat bertanya, Rani sudah menghantar Puan Florence ke bilik rawatan. Aku pasti Dr.Zaiman akan terkejut tatkala melihat Rani yang masuk nanti. Biarkan dia. Baru doktor praktikal, lagaknya mengalahkan doktor pakar! Langkah ku atur ke bilik Puan Zurada. Baru hari ini berkesempatan untuk berjumpa dengannya. Pintu biliknya ku ketuk perlahan. Tombol pintu ku pulas apabila mendengar suaranya mengizinkan aku masuk.
“Duduk Akira,” arah Puan Zurada.
“Terima kasih puan.” Aku tarik kerusi dan menghenyak punggung.
“Mak awak macam mana?”
“Alhamdulillah, dah semakin baik,” jawab aku dengan senang hati. Aku terangkan sedikit keadaan mak padanya. Puan Zurada mendengar bersama segarissenyuman yang tidak pernah lekang dibibirnya. Mahu saja rasanya aku minta cuti setengah hari. Kasihan pula membiarkan Nora seorang menjaga mak.
“Awak nak cuti tak?”
“Ha?”
Puan Zurada seperti sedang membaca fikiran aku. Nak jawab ya atau tidak? Peluang dah terbentang di depan mata. Dapat cuti sehari pun jadilah.Teringatkan rajuk mak pada Asyura pagi tadi rasanya sangat wajar aku bersetuju dengan tawaran Puan Zurada.
“Saya dah pergi melawat mak awak di Wad Mawar tadi. Memandangkan awak tak pernah ambil cuti panjang sejak bekerja di sini, saya benarkan awak ambil cuti seminggu. Jaga mak elok-elok.”
Ya Allah! Rasa macam nak ku peluk saja Puan Zurada ketika itu. Beruntungnya ada ketua yang amat memahami keadaan anak buahnya. Dia mengambil sehelai kertas bercetak di atas rak. Lalu dihulurnya padaku.
“Saya dah luluskan cuti awak. Lepas waktu rehat nanti tak payah masuk wad lagi,” ujar Puan Zuhada.
Laju aku capai kertas yang dihulur. Aku baca sepantas mungkin tulisan yang tertera. Bukti cuti aku telah diluluskan sudah berada di tangan. Apa nak ku tunggu lagi di situ? Aku bangun dan berjabat tangan dengan Puan Zurada. Mulut tak henti-henti mengucapkan terima kasih padanya. Langkah segera ku atur ke wad ginekologi. Ingin mengemas barang-barang dan mengambil beg tangan. Ketika pintu wad itu ku tolak, Dr.Zaiman sedang tegak memerhatikan aku di kaunter.
“Awak pergi mana? Sekarang bukan waktu rehat kan?” tanya Dr.Zaiman. Tangannya menepuk meja di kaunter dengan kuat.
Aku tak terus menjawab. Dr.Rozy dan Dr.Joanne juga ada di situ. Mereka berdua sedang tunduk menulis sesuatu di dalam buku nota masing-masing. Aku tahu, nampak saja tunduk tapi telinga masing-masing sedang mendengar.
“Saya suruh siapa hantar Puan Florence ke bilik rawatan tadi? Awak kan? Kenapa awak suka curi tulang? Awak nak saya laporkan kecuaian awak pada Puan Zuhada?” Bertubi-tubi Dr.Zaiman menyoal aku. Namun tidak sedikit pun menggentarkan aku.
“Kecuaian apa yang saya buat? Apa masalah Dr.Zaiman dengan saya? Apa bukti saya ni curi tulang?” Aku soal dia kembali. Bergerak-gerak rahang Dr.Zaiman. Pastinya dia sedang mengawal kemarahannya.
“Memang saya ada masalah dengan awak. Awak ni kuat melawan. Saya tahu awak pergi tengok mak awak kan? Kalau nak menjaga mak, ambil cuti betul-betul. Jangan menyusahkan orang lain untuk selesaikan kerja awak. Nak tunjuk rajin pun tak kena tempat.”
Aku biarkan dia membebel. Tahulah aku mengajarnya nanti. Dr.Zaiman ni terlupa agaknya yang dia cuma doktor praktikal. Walaupun aku cuma jururawat, tapi aku sudah tiga tahun berkhidmat di hospital ini. Aku bergerak ke loker, tempat aku menyimpan beg tangan.
“Akira Maisara! Saya belum habis lagi dengan awak,” jerit Dr.Zaiman.
Dia ni dah melampau. Hari saja sudah dua kali dia mengherdik aku. Laju tangan aku membuka loker dan mengambil beg tangan. Ketika pintu loker dikunci semula, Dr.Zaiman sudah berada di sebelah aku. Wajahnya masih keruh seperti tadi.
“Nak ponteng kerjalah tu,” katanya.
“Eh, apa masalah Dr.Zaiman ni ha? Saya nak ponteng ke waima nak berhenti kerja sekali pun, itu bukan urusan doktor. Sejak saya bekerja di sini, Dr.Zaimanlah doktor praktikal yang paling berlagak pernah saya kenal. Sabar saya ni ada hadnya.” Aku kawal suaraku. Kecoh satu wad ni nanti kalau rakan sekerja yang lain tahu aku sedang perang mulut dengan Dr.Zaiman.
“Awak kata saya berlagak?” Dr.Zaiman belum menunjukkan tanda-tanda ingin beralah.
“Ya, berlagak dan bodoh sombong. Sebelum doktor nak laporkan hal saya pada Puan Zurada, doktor ada fikir tak yang saya boleh buat doktor gagal dalam latihan praktikum ni? Doktor nak tengok saya buat? Tunggu, saya akan beritahu Dr.Idzham apa yang doktor buat pada Puan Suhaila tempoh hari.”
Aku lempar surat kebenaran bercuti yang diberikan oleh Puan Zurada sebentar tadi ke mukanya. Biar dia sendiri yang membaca isi kandungan surat itu. Langkah terus ku atur ke Wad Mawar. Jaga mak lebih bagus dari melihat wajah dia. Doktor Sengal!
Nora sedang menemankan mak makan ketika aku masuk. Langkah kanan nampaknya. Mak nampak semakin sihat. Dia tersenyum lalu menggamit aku duduk di sebelahnya.
“Mak, Ira dapat cuti seminggu. Lepas ni mak jangan susah hati, Ira akan jaga mak.”
“Tadi Dr.Zaiman datang sini dengan seorang lagi jururawat. Dia kata tu bos Kak Ira.” Nora menyampuk perbualan. Aku tenung wajah Nora. Hati teringin nak bertanya lagi tapi terbantut dengan kehadiran Asyura. Helmet masih di kepala. Di tangannya ada satu plastik yang berisi bekas makanan dan sebotol air mineral.
“Amboi, sedapnya makan berkelah. Mak, ni Syura belikan nasi ayam.” Diletaknya beg plastik di atas meja. Aku lihat dia tergesa-gesa membuka pintu kembali.
“Asyura, tunggu!” Aku bangun dan hampirinya di pintu yang separuh terbuka.
“Ada apa Kak Ira? Cepatlah! Syukri tunggu kat bawah tu,” gesa Asyura.
“Kau datang semata-mata nak hantar nasi ayam aje?”
“Ala, aku datang pun dah kira bagus tau. Kak Ira tak payah nak berkira sangat boleh tak?” Asyura bercekak pinggang.
“Sejak semalam kau tak tanya langsung keadaan mak. Kenapa kau tinggalkan mak semalam? Kak Ira suruh tunggu sekejap pun tak boleh ke?” Aku pegang tombol pintu. Menghalang Asyura dari memboloskan diri.
“Aduh, mak okey aje tu kan? Tengok tu, elok aje duduk atas kerusi tu. Kalau ada apa-apa mesti kau dah telefon beritahu aku. Tepilah Kak Ira. Syura nak balik ni. Bising Syukri tu karang.”
“Asyura, kau ni dah melampau tau tak? Takkan tak boleh luangkan sikit masa tu untuk mak? Kak Ira ni kadang-kadang keliru. Tak tahu yang mana satu adik sendiri atau jiran sebelah rumah”
Asyura menoleh pada Nora. Bibirnya dikemam kuat. Direnungnya aku dengan mata yang menyinga. Panggilan mak langsung tak kami endahkan. Tak semena-mena dia menolak badan aku menjauhi pintu.
“Kau tak kahwin lagi, kau apa tahu? Aku tak jaga mak tak bermakna aku tak sayang dia. Kau kan anak yang baik, kau belalah dia elok-elok. Senang masuk syurga nanti.”
Asyura keluar dari bilik dan menghempas pintu sekuat tenaganya. Aku terpempan sebentar. Asyura ada masalah ke?
No comments :
Post a Comment