Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 17, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 3



         Kamal melabuhkan punggung di atas sebatang balak hanyut. Sengaja dia keluar lebih awal hari ini dengan harapan menggunung. Fatin Syuhada, gadis itu nampak lebih matang dari usia sebenar. Pertemuan pertama antara mereka berdua membuatkan Kamal tersenyum sendiri. Kerana Milo, Fatin mulakan ucapan perkenalan dengan sumpah seranah. Disusuli dengan pelanggaran di depan tandas. Makin lebar  senyum Kamal. Langsung tak terlintas di benak Kamal akan bertemu dengan Fatin di Pulau Tioman.
            “Kalau dah sampai tiga kali jumpa dalam satu hari tu, mungkin dah jodoh agaknya kot.” Kamal berkata perlahan.
            Dia memandang ke laut lepas. Bayu pagi yang menggigit kulit membuatkan Kamal kesejukan. Dia memeluk tubuh. Bibirnya menyungging senyum lagi. Teringat baju panas yang diberikan pada Fatin.
            “Tak dapat peluk tuannya, baju tolong pelukkan pun jadilah!”
            Makin lebar senyumnya. Lucu hatinya dengan kata-kata sendiri.
           
            “Hai Abang Kamal! Senyum sorang-sorang nampak. Teringatkan girlfriend  ya?”
            Kamal tersentak. Dia bangun dan menoleh ke belakang.
            “Lina,” ucap Kamal perlahan
            Gadis itu tersenyum lebar. Tapi senyumnya tidak berbalas. Melingas mata Kamal mencari seseorang di belakang Lina.
            “Abang Kamal cari  siapa?” tanya Lina. Dia turut menoleh ke belakang.
            “Lina keluar seorang?” Kamal berbalas soal.
            “Ha’ah,” jawab Lina sambil mengangguk laju.
            “Kawan-kawan yang lain mana?” tanya Kamal. Matanya masih mengharap untuk memandang seseorang .
            “Diaorang tidur lagi,” jawab Lina. Tanpa segan, dia duduk di atas balak hanyut. Sengaja dia duduk mengadap Kamal yang sedang berdiri. Kesempatan yang ada dimanfaatkan oleh  Lina untuk menikmati haruman wangian yang digunakan oleh Kamal. Ikutkan hati, mahu saja dia memeluk  tubuh lelaki  itu.

“Abang Kamal pergi jogging ya? Lina nak ikut boleh?”                                                                                                                                                                                                                                                            
Suara manja Lina langsung tidak berjaya memancing perhatian Kamal. Dia cuma memandang sekilas. Tingkah Lina amat menjengkelkan. Terasa menyesal pula keluar awal pagi  pada hari itu.

“Saya dah selesai jogging,” jawab Kamal sepatah.
“Abang Kamal temankan Lina jalan-jalan kat tepi pantai boleh tak? Lina nak tengok matahari terbit,” rengek Lina.
Kamal pandang muka Lina. Dia perasan, sejak semalam Lina memang sengaja menarik perhatiannya. Bukan dia tidak suka berkawan dengan Lina. Tapi perempuan itu terlalu gedik, itu  yang dia tak berkenan. Lina dan Fatin bagai langit dan bumi. Walaupun susah nak melihat Fatin tersenyum, kematangannya benar-benar buat  Kamal  terpancing.
“Sss...aduh...” Kamal memegang perut. Dengan muka yang  berkerut, dia membongkok sedikit. Dia sedang menahan kesakitan.
“Kenapa  ni?” Lina cuba memegang tangan Kamal. Tapi Kamal tolak perlahan. Dengusannya semakin kuat.
“Saya nak balik bilik kejaplah, nak buang air. Jangan jalan sorang-sorang kat sini, bahaya. Kalau tak ada sesiapa yang temankan, lebih baik Lina balik ke bilik.”
Kamal terus berlari-lari anak sebaik selesai menyampaikan pesanan. Lina mengetap bibir sekuat hati, menahan rasa marah yang membuak tiba-tiba. Gara-gara Fatin, Kamal dingin dengannya. Lina meramas peha sendiri sekuat hati. Rancangannya gagal lagi. Tidak guna dia menunggu di situ. Dengan hati yang kecewa dia balik semula ke bilik.

“Lina, kau pergi mana? Tiba-tiba hilang aje dari bilik?” tanya Ayu.
Terus disoalnya Lina sebaik saja rakan sebiliknya itu muncul di muka pintu. Lina tidak terus menjawab. Dia menanggalkan kasut yang berpasir lalu dicampak ke beranda. Matanya mengerling Fatin yang sedang mendandan rambut di hadapan almari solek. Tiba-tiba dia senyum lebar. Akal jahatnya  sudah bertandang.
“Aku pergi jogging dengan abang Kamal tadi. Kitaorang pergi jalan-jalan kat tepi pantai. Seronok tau!”
Bukan main riang lagi Lina menyusun ayat. Dia nampak riak terkejut di wajah Ayu. Tapi Fatin masih seperti tadi, tenang dan tidak menunjukkan tanda-tanda cemburu.
“Kau pergi jogging abang Kamal? Biar betul kau ni. Tadi aku nampak abang Kamal balik sorang-sorang aje,” bidas Ayu.
“Memang dia balik dulu tadi. Abang Kamal sakit perut.” Lina menjawab dengan muka selamba.
Dia melenggang masuk ke bilik air sambil menyanyi kecil. Sempat dia menyenggol bahu Ayu yang masih memerhatikannya. Dia nak sangat melihat wajah cemburu Fatin. Hatinya puas dapat menyakitkan hati gadis itu. Selesai urusannya di dalam bilik air, Lina keluar dan mendapati Fatin dan Ayu masih lagi berehat santai di dalam bilik.
“Fatin, kau jangan lupa makan ubat tahan muntah. Nanti tak pasal-pasal mabuk lagi. Susah betul aku nak kawal budak-budak kalau kau tak ada,” kata Lina.
Ayu mencebik. Dia ingin membidas kata-kata Lina tapi ditahan oleh Fatin. Lina cuma senyum sinis melihat Fatin meletakkan tangannya di peha Ayu.
“Apsal Ayu? Kau tak puas hati ke? Kau pun jangan lupa makan sekali ubat tu. Kalau kau pengsan nanti lagi parah. Kena angkat pakai kren pulak nanti.” Lina ketawa mengekek.
“Eh apa masalah kau ha? Aku tengok kau ni asyik tak puas hati aje dengan kitaorang. Kau ada masalah mental ke?” jerkah Ayu.
Dia bukan macam Fatin yang lebih suka beralah dari melawan. Wajah Lina dipandang dengan mata yang menyinga. Tapi Lina langsung tidak  gentar. Tawanya makin panjang. Dia bangun dan menyarung kembali kasut yang dicampak ke luar.
“Aku nak ingatkan aje. Dah tau awak tu jenis mabuk laut, yang gatal-gatal buat program kat sini kenapa? Macam dah tak ada tempat lain. Kalau buat aktiviti perkhemahan pun okey apa? Tak payah nak naik bot. Nak tunjuk yang awak tu pandai buat kerja ke?” Lina tersenyum puas. Dapat juga dia menyindir Fatin.
Ayu semakin panas hati. Dia  bangun dan bersedia untuk menerkam Lina. Namun Fatin lebih pantas memegang erat lengan Ayu. Dia tidak mahu perang mulut itu berlanjutan.
“Biarlah dia Ayu. Kalau kau layan, kau juga yang makan hati nanti.” pujuk Fatin.
“Pagi-pagi dah cari pasal. Aku campak dia ke laut nanti baru dia tahu. Biar kena makan dengan dugong jantan.”Ayu meluahkan rasa jengkelnya.
Fatin ketawa mendengar bebelan Ayu. Mereka keluar dari bilik dan bersiap sedia untuk menikmati sarapan. Hari ini mereka akan pergi menyambung aktiviti snorkeling  di Pulau Renggis. Awal-awal lagi Fatin sudah bersiap sedia. Pil tahan muntah sudah ditelan. Minyak angin dan jeruk mangga juga sudah tersimpan di dalam beg.
“Hai Ayu, Fatin. Apa yang bising-bising tadi tu? Sampai kat bilik kitaorang dengar.” Hairi menegur.
Ayu dan Fatin menoleh serentak. Hairi, Kamal dan Cikgu Shahrul berada di belakang mereka. Ayu menyeringai suka. Dia melepaskan pegangan tangan Fatin lalu berjalan seiring dengan Hairi dan Kamal. Fatin tidak sempat memberi isyarat pada Ayu supaya tidak membesar-besarkan kejadian perang mulut tadi. Lancar saja Ayu melaporkan pada Hairi. Cikgu Shahrul  memandang Fatin yang berjalan di sebelahnya.
“Habis tu awak dah makan ke belum ubat tu?” tanya Shahrul.
Kasihan pula dia melihat muka Fatin yang merona merah. Fatin hanya mengangguk perlahan. Sebaik sahaja sampai di restoran, Fatin terus menuju ke meja hidangan dan mencedok bihun goreng ke dalam pinggan. Dia memilih untuk makan bersama rakan-rakan yang lain. Ayu dan rakan-rakan Shahrul menikmati sarapan di tempat lain.
Program hari ni berjalan dengan lancar. Keseronokan jelas terpancar di wajah Fatin. Lapang hatinya tika itu kerana tidak mengalami sebarang masalah ketika menaiki bot. Jemarinya lincah merakamkan  gambar-gambar menarik di sekitar Pulau Renggis. Sejak berlabuh di pulau itu, Fatin leka dengan kamera di tangan. Sebahagian dari rakan-rakannya sudah pun berada di dalam air, menikmati keindahan dasar laut.
“Hai! Takkan datang sini nak ambil gambar  saja.”
Nyaris terlepas kamera di tangan Fatin. Fatin merenung tajam ke arah Kamal. Kamal cuma tersenyum menampakkan barisan giginya yang putih.
 “Assalamualaikum!”
Sengaja Fatin mengeraskan suaranya sebagai tanda tak puas hati.
“Waalaikumsalam, maaf.” Kamal menggaru kepala yang tidak  gatal dengan senyum lebar. Dia menanggalkan baju yang disarung lalu dihamparkan di atas batu besar yang berdekatan. Dia sudah bersiap- siap untuk aktiviti menyelam. Sambil bersiap, Kamal memerhatikan gerak geri Fatin. Tingkah gadis itu kelihatan serba tak kena. Matanya menyoroti wajah Fatin yang bujur sirih, rambut yang ditocang melepasi bahu. Wajah gadis itu telah mengganggu tidurnya sejak dua hari ini.

“Jom, jangan beritahu saya yang Fatin tak tahu berenang,” usik Kamal.
Fatin memandang Kamal dengan sebuah senyum sinis.
“Kalau tak tahu berenang, kenapa pulak?” Fatin menyoal kembali.
Dia mencekak pinggang dan menunggu jawapan yang bakal keluar dari mulut Kamal.
“Kalau tak pandai berenang, saya boleh tolong ajarkan. Tak perlu yuran pendaftaran. Untuk Fatin, segalanya percuma!” Kamal ketawa di hujung katanya.

“Terima kasih ajelah Cikgu Kamal. Saya tak perlukan jururenang sebab saya memang dah pandai berenang sejak kecil lagi. Kalau Cikgu Kamal nak buka kelas renang, saya rasa orang yang paling layak jadi anak murid cikgu adalah Lina.”
Kamal tersentak. Tak sangka Fatin akan berkata begitu. Dia mendekati Fatin yang kembali sibuk dengan kamera.
“Bunyi macam ada orang cemburu aje.” Kamal mengusik.
“Siapa cemburu? Saya? Eee, tolonglah. Saya tak ada masa nak cemburu hal-hal yang remeh-temeh ni. Baik cikgu masuk dalam air tu cepat. Boleh saya ambil gambar cikgu dengan kawan-kawan saya,” kata Fatin.
Dia langsung tidak mempedulikan Kamal yang masih merenungnya. Sekali-sekala Fatin terjerit-jerit memanggil kawan-kawannya yang sedang bermain di gigi air untuk memberikan aksi spontan. Semuanya diabadikan oleh Fatin di dalam kamera.

“ Awak ni asyik ambil gambar orang lain aje. Mari sini saya ambil gambar awak pula.”
Kamal merampas kamera digital yang berada di tangan Fatin. Kamera sudah bertukar tangan. Fatin terkedu dengan tindakan drastik Kamal. Bulat matanya merenung lelaki itu.
“Pandang sini. Ha, senyum. Janganlah buat muka cuak macam tu."
 Jari telunjuk Kamal sudah mula sibuk memetik butang kamera. Fatin hanya berdiri tegak, tidak menunjukkan sebarang reaksi.
“Saya tak suka bergambarlah Cikgu Kamal. Bagi balik kamera tu,” pinta Fatin.
Dia cuba merampas kembali kamera di tangan Kamal. Tapi Kamal lebih pantas mengelak. Dia menyorokkan kamera di belakang badannya. Fatin masih tidak putus asa. Dia pergi ke belakang Kamal untuk mengambil kameranya semula. Kamal mengangkat tinggi kamera yang sedang dipegang melebihi kepalanya. Terloncat-loncat Fatin meneruskan usahanya merampas kamera dari tangan Kamal. Nafasnya sudah termengah- mengah. Kamal ketawa melihat Fatin yang sudah berhenti.
Wajah Fatin masam mencuka. Dia bercekak pinggang sambil merenung tajam pada Kamal. Senyum Kamal makin menyakitkan hatinya. Selepas beberapa ketika berbalas renungan, Kamal menghulurkan kamera kepada Fatin. Tapi Fatin masih tidak bergerak. Dia takut Kamal akan mempermain-mainkannya seperti tadi.
 "Ambillah, tadi nak sangat," suruh Kamal.
Melihat Kamal sudah beralah, pantas dia mengambil kamera di tangan lelaki itu. Tapi serentak dengan itu juga pergelangan tangannya dipegang Kamal.
“Aduh! Apa pegang-pegang tangan orang ni? Lepaslah Cikgu Kamal...”
"Saya bukan cikgu, panggil Kamal aje. Lebih bagus, Abang Kamal.”
Fatin merentap kasar tangannya. Meremang tengkuk Fatin mendengar suara halus Kamal di telinga. Fatin membuntang mata. Kamal balas dengan kenyitan.
“Eee, gatal!” getus Fatin.
“Memang tengah gatal pun. Marilah tolong garukan...”
Kali ini Kamal  layangkan  flying kiss  pula. Terjelir lidah  Fatin, mengutuk  perbuatan  Kamal. Tiba-tiba dia  rasa semacam. Renungan mata Kamal menusuk tepat ke jantungnya. Fatin berlari ke gigi air, ingin menyertai rakan-rakan lain. Namun sekali lagi dia berpaling. Lonjakan adrenalin dalam tubuhnya bagai tidak dapat dikawal. Kamal masih merenungnya. Dada berdebar kencang. Pantas dia menyarung glasses dan snorkel yang dihulur oleh Lina.

"Kau ni kenapa? Kelam kabut aje aku tengok," tanya Ayu.
"Tak ada apa-apalah." Fatin menjawab ringkas.
Kaki sudah mencecah air. Makin lama makin ke tengah. Dia  berenang untuk melihat batu - batu karang di dasar laut. Ayu dan Lina juga turut serta menyelam bersama Fatin. Melihat ikan-ikan yang berwarna-warni membuatkan mereka terleka. Ayu menghulurkan beberapa keping roti pada Fatin. Kepingan roti disiat-siat lalu ditabur untuk menarik perhatian ikan-ikan di sekeliling mereka. Keseronokan melihat  ikan-ikan berebut roti membuat mereka semakin ralit.

‘Banyaknya ikan. Rasa-rasanya ada ikan pirana tersesat kat sini?’
Tumpuan Fatin terganggu dengan bicara hati sendiri. Perasaan takut datang bertandang. Kerisauan semakin menjadi-jadi apabila kakinya terasa gigitan-gigitan halus. Pantas Fatin melonjakkan badannya untuk naik ke permukaan. Malangnya dalam keadaan kelam-kabut itu dia mengalami kekejangan. Fatin menanggalkan glasses. Snorkel yang menyumbat mulutnya  juga ditarik keluar. Terkapai-kapai tangan Fatin, cuba memanggil Ayu yang berada agak jauh darinya. Fatin semakin panik. Kesakitan di kaki semakin melarat ke pinggang. Udara di paru-parunya semakin kurang. Nafasnya tercungap-cungap. Dia sudah kehabisan tenaga. Dada semakin sesak. Pandangannya semakin kabur. Akhirnya segala yang berada di depan mata Fatin terhenti seketika.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Fatin, Fatin, bangunlah!”
Suara Ayu dan Lina bersilih ganti. Mata dibuka perlahan-lahan. Pandangannya agak kabur dan berbalam-balam. Orang pertama yang Fatin nampak dengan jelas adalah Ayu. Kemudian baru dia perasan, dia dikelilingi guru-guru kawan-kawan sekolahnya.

“Alhamdulillah, dah sedar pun,” ucap Cikgu Shazatul.
Dia mengusap kepala Fatin. Ada riak risau di wajah guru yang berkaca mata tebal itu. Fatin masih kebingungan. Dia menyorot wajah-wajah yang berada di dalam bilik itu. Sebahagian dari mereka sudah pun beredar
“Apa yang terjadi cikgu?”
“Kami hampir-hampir kehilangan awak Fatin. Takut betul saya tadi. Mujur kawan Cikgu Shahrul ada kat situ tadi,” jawab Cikgu Shazatul.

Fatin semakin bingung. Lama dia merenung wanita muda bertudung mini itu. Pandangan dialihkan pula pada Ayu dan Lina. Mereka berdua hanya tersenyum nipis. Ayu mengusap lembut tangan Fatin. Masih ada air jernih yang mengalir di pipi montel sahabat merangkap  jiran sebelah rumahnya itu.
“Awak rehatlah dulu. Ayu...Lina, tolong tengok-tengokkan dia. Kalau ada apa-apa panggil saya kat sebelah,” ujar Cikgu Shazatul.
Dia dihantar oleh Lina hingga ke pintu bilik. Fatin cuba bersandar lebih selesa, dibantu  oleh  Ayu. Tekaknya masih belum berapa selesa. Beberapa kali dia terbatuk-batuk  kecil.
“Kau nak air panas?” tanya Ayu.
Fatin hanya mengangguk perlahan. Dia masih kebingungan dengan apa yang terjadi. Otaknya cuba memproses kembali memori yang disimpan beberapa jam yang lalu. Apa yang dia ingat, dia mengalami kekejangan ketika sedang menikmati keindahan hidupan laut di Pulau Renggis pagi tadi. Apa yang terjadi selepas itu, tidak pula Fatin ketahui.

“Kau ni betul-betul menakutkan aku tau tak? Sejak bila pula kau tak pandai berenang? Nasib baik kau tak arwah tadi. Kalau tak, puaslah aku nak menjawab pada mama dan papa kau,” bebel Ayu.
Mug berisi milo suam dihulur pada Fatin. Namun hulurannya tidak  segera disambut oleh Fatin. Terlalu banyak persoalan yang sedang bermain di benaknya ketika ini.

“Aku lemas ke Ayu?” tanya Fatin.
“Yalah!”
Suara Ayu sedikit tinggi. Dia menumbuk lembut pipi Fatin. Mug milo yang masih tidak bersambut diletakkan di atas meja kopi. Fatin menggaru kepala yang tidak gatal. Dia mengemaskan sila. Tangan Ayu ditarik untuk duduk bersamanya di atas katil.
“Macam mana aku boleh lemas? Cuba kau cerita dari mula. Aku tak ingatlah,” pinta Fatin.
“Aku pun tak tahu macam mana kau boleh lemas. Masa tu kita leka bagi makan ikan. Aku tak perasan bila masa kau terpisah dari kumpulan kita. Tahu-tahu aje aku tengok Abang Kamal dah dukung kau naik ke pantai,” kata Ayu.
“Kamal? Cikgu Kamal dukung aku?” tanya Fatin berkali-kali.
“Bukan setakat dukung, dia yang bagi rawatan kecemasan pada kau. Kalau tak, aku rasa kau dah arwah sekarang.” Ayu menyambung lagi.
Kali ini ada riak nakal di wajah gadis montel itu. Dia senyum simpul, Fatin makin keliru.

“Rawatan kecemasan? Rawatan apa pulak?”
“CPR atau dalam bahasa Jawa, rawatan dari mulut ke mulut,” jawab Ayu.
“Hah?”
Terbeliak mata Fatin memandang Ayu yang sedang tersengih. Dia menutup mulut dengan tangan. Telinganya seperti tidak percaya dengan apa yang baru didengar.
“Cikgu Kamal cium mulut aku?” Fatin bertanya dengan nada perlahan.
Wajahnya tiba-tiba merona merah. Belum pernah mana-mana lelaki  yang berani menyentuh bibirnya selama ini. Rasa malu menyerang tiba-tiba.

“Eh Fatin! Apsal kau tiba-tiba jadi bongok ni ha? Abang Kamal bukan ciumlah. Dia buat pernafasan dari mulut ke mulut. Kau takkan tak tahu prosesnya macam mana? Kau kan ahli Persatuan Bulan Sabit Merah. Rawatan dan bercumbu pun kau tak tahu bezakan?”
Fatin dan Ayu terkejut dengan herdikan Lina yang tiba-tiba muncul di muka pintu. Wajahnya menyinga. Matanya merenung Fatin dan Ayu silih berganti. Fatin duduk tegak. Hairan dia melihat tingkah Lina. Tapi Ayu kelihatan lebih tenang. Dia bercekak pinggang, melawan tenungan Lina.

            “Eh, ada orang cemburu ke?” perli Ayu.
“Aku bukan cemburu. Tapi meluat tengok perangai kawan baik kau tu. Tak tahu berenang konon! Entah-entah dia pura-pura lemas aje tadi,” ujar Lina
“Lina, kau cakap baik sikit. Kau ingat perkara hidup dan mati ni boleh buat main-main ke?” bidas Ayu.
“Memanglah tak boleh buat main-main. Tapi tak tahulah kalau kawan kau tu gunakan taktik kotor tu untuk memikat jantan!”
Lina terus keluar setelah puas meluahkan perasaan berbuku di hati. Ayu cuba mengejar tapi ditegah oleh Fatin. Laju tangan Ayu dipegang kemas. Dia paksa Ayu duduk semula di birai katil.

“Kenapa kau tak bagi aku kejar dia? Tangan aku ni dah lama tak lempang orang. Lina ni makin melampau tau!” bentak Ayu.
Fatin hanya tersenyum kelat. Dia tiada daya untuk berbahas dengan Ayu. Apa yang ada di dalam fikirannya sekarang adalah Kamal. Dia telah terhutang nyawa dengan lelaki itu. Perlahan-lahan dia berbaring semula. Terbayang di matanya Kamal melakukan CPR. Mata dipejam rapat, tapi dia tidak mengantuk. Cuma sedang menahan rasa hati yang serba tak keruan. Apa yang harus dilakukan sekarang?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Alunan petikan gitar kedengaran lagi malam itu. Fatin amati suara lelaki yang sedang bersenandung. Hembusan angin membawa gelombang suara itu dekat ke telinga Fatin. Tiba-tiba laju tangannya  menyelak  selimut.

"Cikgu Kamal," ucap Fatin perlahan.
Dia masih belum tidur. Matanya tidak mahu pejam walaupun dia sudah menelan pil selsema. Setiap kali dia cuba melelapkan mata, pasti wajah Kamal akan muncul. Fatin diburu satu perasaan yang dia sendiri tidak dapat tafsirkan. Apa yang pasti, ketika ini Fatin ingin sangat berjumpa dengan lelaki itu dan mengucapkan terima kasih kerana telah menyelamatkan nyawanya. Perlahan-lahan  Fatin turun dari katil. Diamatinya Ayu dan Lina yang sudah nyenyak tidur. Sambil menjingkit, Fatin mengatur langkah ke pintu. Selipar disarung, kemudian dia memulas tombol pintu dengan hati-hati.
Fatin berdiri sebentar di hujung tangga. Deria pendengarannya masih mendengar alunan petikan gitar. Nafas ditarik dalam-dalam. Perlahan dia menghayun kaki menuju ke bilik  Cikgu Shahrul. Petikan gitar terhenti apabila Fatin berada betul-betul di hadapan bilik bujang  bertiga itu. Panjang lehernya meninjau beranda yang gelap. Simbahan cahaya lampu dari beranda biliknya  langsung tidak membantu penglihatan. Fatin tidak tahu apa yang harus dilakukan. Lama dia terpaku di situ. Akhirnya dia membuat keputusan untuk balik semula ke bilik.

“Fatin!"
Langkahnya terhenti. Dia mengenali suara itu. Perlahan-lahan  Fatin  berpaling. Dadanya berdebar kencang tatkala melihat Kamal yang hanya bersinglet dan berkain pelikat.
“Kenapa tak tidur lagi ni?” tanya Kamal.
Dia turun dari beranda dan mendekati Fatin. Fatin cuma tunduk sambil menguis pasir pantai.
“Fatin nak pergi mana?” tanya Kamal lagi.
 Dia duduk di hujung tangga. Matanya tidak lepas dari memerhatikan gerak-geri Fatin yang kelihatan resah. Dahi Fatin mula berpeluh.
“Er…Cikgu Kamal. Eh, Kamal…eh, cikgu..ish!”  Fatin menggaru kepalanya.
‘Apa kena dengan aku ni?’ Gerutu Fatin di dalam hati. Mukanya terasa panas.

“Panggil abang aje, kan senang."
 Kamal  tersenyum. Peluang yang ada digunakan untuk menatap wajah Fatin yang sedikit berpeluh. Gadis itu semakin menggetarkan jiwa lelakinya. Peristiwa yang berlaku petang tadi telah memberi impak yang besar pada Kamal. Seumur hidupnya tidak pernah melakukan CPR apatah lagi mempelajari langkah-langkah pertolongan cemas. Kamal sendiri tidak tahu dari mana dia mendapat keberanian untuk menyelamatkan Fatin.
“Terima kasih kerana selamatkan saya,” ucap Fatin dengan pantas.
Fatin berjalan laju menuju ke bilik. Kamal tidak sempat menahan dan dia juga tidak mahu berbuat demikian.
“Fatin!” Kamal memanggil perlahan.
Fatin menoleh. Tangan kanannya sudah memegang tombol pintu .
“Selamat malam,” ucap Kamal sambil mengenyitkan mata .
 Ada senyum nakal terukir di bibirnya. Fatin mengetap bibir. Matanya masih memandang Kamal. Tiba-tiba Kamal melayangkan  flying kiss. Terbeliak mata Fatin melihat aksi Kamal. Pantas tangannya memulas tombol pintu dan meloloskan dirinya ke dalam bilik.

"Gila betullah mamat ni!”




.

.
.

.

.

.

.

.

.
.