Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 20, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 4


            “Selamat pagi Fatin, dah okey ke?” Shahrul menyapa Fatin. Dia menarik kerusi bersebelahan Fatin yang sedang menikmati sarapan pagi .
“Okey sikit cikgu," jawab Fatin ringkas.
"Malam tadi dia batuk-batuk cikgu. Tapi saya dah sapukan minyak panas. Ubat yang doktor bagi semalam pun dia dah makan.” Ayu menyampuk perbualan.
 Cikgu Shahrul cuma mengangguk perlahan, puas hati dengan penjelasan Ayu. Dia memulakan suapan. Sesekali dia mengerling Fatin. Gadis itu cuma menguis-nguis makanan di dalam pinggan. Cuma sedikit saja yang masuk ke dalam mulut. Niat di hati ingin mengajak Fatin berbual. Tapi melihatkan Fatin seperti tak berminat, Shahrul pun turut  diam.

"Assalamualaikum, boleh kitaorang duduk sini?"
Hairi menarik kerusi di hadapan Ayu tanpa menunggu jawapan salam dari mereka. Kedua-duanya tersenyum lebar sambil berbalas pandang. Mata kedua-duanya kelihatan bercahaya. Lebih-lebih lagi Ayu.
"Mana abang Kamal?" tanya Ayu.
Matanya melingas mencari kelibat lelaki itu. Hairi cuma mengangkat bahu.
 "Fatin, mana abang Kamal?" tanya Ayu.
"Eh! Tanya aku pulak, manalah aku tau. Aku bukan mak dia." Buntang matanya memberi amaran pada Ayu. Dia tahu Ayu sengaja memerlinya. Ayu tersenyum nakal.
"Apa sebut-sebut nama abang ni?"
Gerangan yang dicari akhirnya muncul. Kamal menatang sepinggan mi goreng dan secawan teh tarik. Dia meletakkan hidangannya di hadapan Fatin lalu menarik kerusi di sebelah gadis itu. Fatin meneruskan suapan tanpa mengangkat muka. Wajahnya sudah merona merah.

"Fatin dah okey? Lena tidur tak malam tadi?"
Gadis itu cuma mengangguk, jawapan bagi soalan Kamal. Fatin cuba berlagak tenang walaupun dalam hatinya menahan detakkan yang agak rancak. Sungguh dia tidak selesa berada di situ. Shahrul yang berada di sebelah kanannya dikerling sekilas. Cikgu Matematik itu masih belum selesai dengan sarapannya.

"Mahunya tak lena tidur, oksigen yang abang Kamal salurkan semalam tu masih ada lagi. Tak payah nak ambil oksigen dari luar lagi." Ayu ketawa mengekek.
Fatin menjegil matanya. Semua yang ada di meja itu ketawa mendengar gurauan Ayu. Fatin  mengetap bibir menahan geram. Rasa macam nak menangis pun ada. Sudu di tangan kanan digenggam kuat. Mujur Ayu duduk di depannya. Kalau di sebelah mungkin peha Ayu akan menjadi mangsa tangannya.
Kamal memandang Fatin. Mahu sahaja dia menarik hidung mancung gadis itu. Sengaja dia  lambat-lambat menyuap nasi goreng ke mulut. Dia menunggu Fatin menoleh padanya. Namun hajatnya tidak kesampaian. Fatin tergesa-gesa bangun ketika melihat Cikgu Shazatul datang menghampiri mereka.

"Macam mana awak hari ini Fatin? Kalau rasa kurang sihat awak boleh rehat aje kat bilik." Cikgu Shazatul membuat usulan.
"Saya okey cikgu, cuma pening sikit."
"Kalau awak nak berehat aje dalam bilik, saya boleh minta Cikgu Rosmah temankan." Cikgu Shazatul mohon kepastian.
 Kening yang tidak gatal digaru. Fatin berfikir sejenak. Tumpuannya terganggu dengan suara Kamal yang berdeham perlahan. Melihat lelaki itu, serta-merta Fatin mengangguk setuju dengan cadangan Cikgu Shazatul. Kalau boleh dia ingin menjauhkan diri dari Kamal hari  ini.

"Saya berehat kat bilik ajelah cikgu.”
“Okey, nanti saya panggilkan Cikgu Rosmah.”
“Eh, tak payah cikgu.”
Fatin memegang  lengan  Cikgu Shazatul. Dia  menggeleng,  tanda tidak  mahu  ditemankan. Terjongket kening Cikgu Shazatul, tidak yakin dengan keputusan Fatin.
“Tak takut ke tinggal sorang-sorang?” Belakang tapak tangan Cikgu Shazatul mendarat  di dahi Fatin. Fatin ketawa kecil. Lucu pula diperlakukan seperti anak kecil.
“Saya okey cikgu. Nanti saya kunci pintu.”
“Betul ke ni Fatin? Kalau tak, biar aku temankanlah.” Ayu pula menunjukkan riak risau. Dia  bangun dan berdiri di sebelah Fatin. “Aku temankan kau, ya.” Ayu mengulang keputusannya lagi.
“Tak apa? Korang pergi pergi Pulau Sepoi tu pun tak lama, kan? Hari pun masih siang lagi bila kau balik nanti.”
Ayu dan Cikgu Shazatul  berpandangan. Memang susah membangkang keputusan Fatin. Shahrul dan Hairi khusyuk mendengar perbincangan mereka bertiga. Kamal juga menelinga perbualan mereka berdua. Walaupun tangannya menyuap makanan, tetapi otaknya ligat berfikir.
‘Ada can aku temankan dia ni.’ Senyum tersungging sedikit di bibir Kamal. Suka dia dengan kata hatinya. Senyum makin lebar tatkala memandang sesuatu di atas meja makan. Buku nota! Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Fatin dan Ayu sudah pergi bersama Cikgu Shazatul. Tanpa lengah Kamal mengambil buku berkulit tebal itu lalu dimasukkan ke dalam beg selepangnya.

“Uik, buku tu Fatin punya, kan?” Shahrul menegur.
“Shhh... Diam-diam sudah.” Kamal berbisik keras. Dia kenyit mata pada Shahrul yang terlopong melihat buku Fatin yang sudah selamat berada di dalam beg.
“Projek mengumpan anak ikan ke Mal?” Hairi mengusik.
“Ini bukan sebarang anak ikan Hairi. Ni anak ikan duyung. Kena slow and steady. Kalau terlepas, boleh makan hati wooo!”
Tercetus tawa mereka bertiga. Shahrul menepuk kuat bahu Kamal. Tak sangka rakan yang dibawa menyertai rombongan sekolahnya itu dah ‘tersangkut’ dengan Fatin. Namun tawa mereka hanya seketika. Masing-masing terdiam dan pura-pura menyambung suapan ketika Lina melintas di depan meja mereka.
“Err, Cikgu Shahrul. Nampak Fatin tak?” tanya Lina.
            “Dia balik ke chalet, nak berehat.” Hairi yang tolong  jawabkan soalan Lina.
“Eh, dia tak ikut kita ke Pulau Sepoi?” Lina masih menyoal.
Hairi dan Shahrul menggeleng serentak. Rasa kurang senang jelas terpancar di wajah mereka. Tapi berbeza pula dengan Lina. Beg galas diletaknya di atas kerusi, bersebelahan Kamal. Laju Kamal menyambung suapan. Ikutkan hati, mahu saja dia beredar dari situ. Tak berkenan  betul dia  dengan perangai  Lina.

"Abang Kamal, nanti abang Kamal naik bot yang mana satu?”
“Tak tahu lagi. Mana-mana pun sama aje,” jawab Kamal acuh tak  acuh.
“Hmm, Abang Kamal tolong tengok-tengokkan beg Lina kejap boleh tak? Lina nak pergi tandas.” Rengekan Lina buat tekak  Kamal  kembang.

 "Errr, abang nak pergi tambah mi sekejap.Sedap pulak mi goreng ni."
 Kamal berjaya mengelakkan diri buat kali kedua dari Lina. Lina yang sedang cemberut ditinggalkannya tanpa belas.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~
Tok! Tok! Tok!
Fatin berdiri tegak memandang pintu. Sekali lagi pintu diketuk. Kali ini lebih kuat. Dia mendekati pintu. Sebelum memegang tombol, dia meninjau di balik langsir. Pandangannya terhalang oleh deretan pasu bunga yang disusun di tepi tingkap. Pintu diketuk lagi.

“Siapa?”
Serentak dengan pertanyaan,  Fatin membuka pintu. Tiada sesiapa di luar. Panjang lehernya melihat persekitaran chalet. Memang tak ada sesiapa di situ. Pintu ditutup kembali.

“Budak-budak nakal kot.” Fatin menyedapkan diri sendiri. Dia sambung berbaring di katil. Belum sempat mata terpejam, pintu bilik bergendang lagi. Kali ini ketukkannya lebih berirama. Matanya tepat memandang bawah pintu. Ada bayang-bayang di situ. Tapi rasa was-was pula nak turun dari  katil.
"Siapa pula yang ketuk pintu ni?" Fatin kehairanan. Jam di pergelangan tangan di belek. Ada satu jam lagi sebelum dia meninjau persediaan yang dibuat oleh pihak resort untuk  majlis  barbecue malam ini. Jadi, tak mungkin pihak pengurusan resort yang mengganggunya ketika ini.

"Siapa?” Laungannya lebih kuat kali ini. Dia duduk bersila di atas katil menanti  jawapan. Namun apa  yang diperolehi cuma ketukan yang semakin bertalu-talu di pintu. Fatin mendengus geram. Panas hatinya dipermain-mainkan begitu. Mata Fatin melingas ke sekeliling bilik. Pasu bunga kecil yang berada di atas meja solek mencuri perhatiannya. Bunga dikeluarkan. Dia memegang kemas kepala pasu tersebut dan melangkah  ke arah pintu.
Tombol bulat itu dipulas sebaik sahaja ketukan dipintu kedengaran lagi. Dengan sekuat tenaga, Fatin menghayun pasu bunga yang dipegang ke arah manusia yang sedang berdiri tegak di depannya.
"Aduh!"
Hambik kau! Puas hati Fatin melihat mangsa hentakkan pasunya jatuh terduduk. Tangannya masih menggenggam kemas kepala pasu. Niat di hati mahu dihayunnya sekali lagi pasu itu. Erangan si pesalah langsung tak mampu menagih simpati Fatin. Memang si pesalah layak mendapat habuan.
“Dah tak ada kerja, ya? Siapa kau ha?”
Manusia yang baru saja menerima hadiah istimewa dari Fatin itu jatuh terduduk. Dia memegang dahi. Fatin mencangkung, ingin melihat wajah mangsa pasu bunganya  dengan lebih  jelas. Tak semena-mena, wajah singanya hilang. Pasu bunga di tangan segera diletak ke lantai.

"Cikgu Kamal!" jerit Fatin.
“Aduh! Awak ketuk saya dengan apa ni Fatin? Sakit tau!”
“Ma...Maaf cikgu. Mari saya tolong.”
Fatin bantu Kamal  bangun dan  duduk di kerusi rotan. Tangan Kamal masih menekup dahi. Nafas mengahnya jelas kedengaran. Fatin diserang rasa bersalah, tidak tahu apa yang harus diperkatakan. Tak terniat langsung untuk dia mencederakan Kamal. Dia hanya ingin mempertahankan diri.
“Ya Allah! Cikgu...”
Kamal pandang Fatin. Terketar-ketar  telunjuk  kanan Fatin menuding ke arah dahi yang masih  bertekup.
“Dahi cikgu  berdarah...”
Terpejam mata Kamal mendengar suara perlahan Fatin. Kelihatan agak payah dia menelan air liur. Perlahan-lahan dia bersandar. Fatin tak menunggu lama. Dia bergegas masuk ke dalam bilik dan mencari tuala kecil. Sebekas air juga diambil sebelum dia keluar semula mendapatkan Kamal. Lelehan darah yang mengalir di celah jemari Kamal buat Fatin rasa semakin bersalah. Fatin berdeham perlahan. Kamal membuka mata.

“Saya bersihkan luka tu, ya.”  
Kamal beralih sedikit  memberikan ruang untuk Fatin duduk di sebelahnya.
"Adoi! Perlahanlah sikit. Kasarlah awak ni." Kamal mengaduh.
Luka yang masih segar terasa perit apabila Fatin menekap tuala basah di situ. Fatin hanya tersenyum kelat lalu menyambung kerja. Mujur luka di dahi Kamal tidak dalam. Fatin diburu rasa bersalah. Tapi segera ditepis perasaan itu.
‘Eh! Bukan salah aku tau. Dia yang gatal main-mainkan aku, siapa suruh?’
Fatin menggumam  dalam hati. Dahi Kamal yang sudah bersih ditampal pula dengan plaster. Selesai sudah kerja Fatin.

"Tumpang bilik air kejap. Saya nak cuci tangan."
Fatin tidak sempat menegah. Kamal sudah masuk ke bilik untuk mencuci kesan darah yang sudah kering di tangannya.
“Nanti ambil tuala bersih kat atas katil tu,” laung Fatin dari luar.
Sebelum keluar dari bilik Fatin, Kamal sempat melihat wajahnya di cermin. Dia senyum sendiri melihat dahinya yang bertampal. Niatnya cuma ingin bergurau. Tapi sudahnya dia balik yang ditimpa celaka.

"Fuh, nasib baik luka sikit aje. Kalau hilang ingatan tadi?” 
"Siapa suruh kacau? Saya ada hak mempertahankan diri juga, kan?"
Kamal menoleh. Fatin yang berdiri di pintu menarik  muka masam. Kamal keluar dari bilik dan duduk semula di kerusi rotan. Fatin bercekak pinggang. Tidak selesa Kamal berada di situ. Bimbang dia dengan pandangan orang sekeliling.
"Tak ikut diaorang pergi Pulau Sepoi?" tanya Fatin.
Kamal menjawab dengan gelengan.
 "Kenapa?" tanya Fatin lagi.
"Saja." Ringkas saja jawapan Kamal.
Fatin terangguk-angguk. Sudah hilang modal untuk menyuruh Kamal beredar. Nak duduk di kerusi rotan berhadapan dengan Kamal pun dia tidak berani. Sudahnya dia tercegat saja di tepi pintu chalet.

“Kenapa tak duduk?” Kamal menyoal. Dia menepuk-nepuk kerusi rotan di depannya, mempelawa Fatin duduk.
“Tak apalah.” Mata Fatin melingas liar. Seakan faham, Kamal bangun dan turun ke tanah. 
"Jom pergi jalan-jalan nak?" Kamal mempelawa Fatin.
"Tak naklah. Saya nak berehat dalam bilik aje." Fatin memberi alasan. Kakinya sudah melangkah masuk ke dalam bilik.
"Tak bosan ke asyik terperap dalam bilik? Awak tak sihat ke?" tanya Kamal.
Kamal perasan, wajah Fatin sedikit pucat. Sejak peristiwa semalam Kamal sentiasa mengawasi Fatin dari jauh. Dia bimbang kalau-kalau ada lagi perkara buruk yang berlaku pada Fatin. Dia naik semula ke beranda. Belakang tapak tangannya di letakkan di dahi Fatin.

"Eh, apa ni? Saya okey, jomlah."
Tangan Kamal ditepis kasar. Fatin  menyarung selipar dan melangkah turun. Dia tak mahu Kamal berada terlalu lama di situ. Sambil mengekori, Kamal menyimpan tuala kecil yang diambil di bilik Fatin sebentar tadi dalam kocek seluar. Denyutan di dahi sudah berkurangan. Sesekali Kamal meraba dahinya yang terasa kebas.
Fatin duduk di atas sebiji batu besar. Dipegang rambutnya yang bertocang dua. Dia melemparkan pandangan ke arah sekumpulan pelancong yang sedang berjemur. Tersenyum Fatin melihat pelancong-pelancong yang hanya berbikini dan berseluar dalam. Dia malu sendiri. Kamal menghampiri dan mengambil tempat di sebelah Fatin.

"Fatin dan Ayu satu kelas ya?" tanya Kamal.
Fatin hanya mengangguk. Pandangannya dilemparkan ke laut lepas.
"Lina?" tanya Kamal lagi.
 "Dia Timbalan Presiden Persatuan, satu kelas juga." jawab Fatin.
Dia mengemaskan sila sambil berpeluk tubuh. Nampak semakin selesa. Kamal tersenyum melihat Fatin mula melayannya berbual.
"Fatin ada berapa orang adik-beradik?" tanya Kamal.
"Lima, saya anak ketiga." Fatin menoleh pada Kamal sebentar. Kamal menjongket kening, perasan seperti ada sesuatu yang ingin diperkatakan oleh Fatin.

"Kamal tinggal dengan Cikgu Shahrul ya?"
 “Apa pulak Kamal ni? Saya ni kan lebih tua dari awak. Panggilah Abang Kamal. Kalau panjang sangat, panggil abang aje." Suara Kamal seakan merajuk.
"Saya tak biasalah. Saya panggil Cikgu Kamal, boleh tak?" tanya Fatin.
 "Saya bukan cikgu," bidas Kamal perlahan.
“Habis tu apa?”
“Saya peguam.”
“Ooo, laywer…” Fatin terangguk-angguk. Dia berpaling ke arah lain dan menjuih mulut, “Patutlah loyar buruk!”
“Apa?” Kamal seperti terdengar Fatin berkata sesuatu.
“Tak ada apa-apa.,”  jawab Fatin.

Mereka berdua kehilangan kata. Kamal cuba mengawal getar hatinya yang agak rancak tika itu. Langkah pertama untuk meluangkan masa bersama gadis itu sudah berjaya. Dia menepuk-nepuk perlahan beg selepang yang tergantung di bahunya. Kamal teringat sesuatu.
"Ini Fatin punya kan?” tanya Kamal.
Dia menghulur buku nota kecil berwarna hijau pada gadis itu. Mata Fatin terbeliak.
"Mana abang Kamal jumpa? Puas Fatin cari. Terima kasih, ya..."
Buku nota bertukar tangan. Kamal tersenyum lebar mendengar kata ganti namanya yang baru disebut Fatin sebentar tadi. Hatinyaberbunga riang. Dia memandang Fatin yang menyelak-nyelak helaian buku nota kecilnya itu. Fatin menoleh apabila terasa dirinya sedang diperhatikan.
"Alah, panggilan itu sekadar tanda hormat. Bukan ada maksud apa-apa." Fatin sedar rupanya, Kamal  dah macam orang syok sendiri. Fatin tunduk semula, menyembunyikan wajahnya yang  merona merah. Tingkah Kamal yang suka sangat merenungnya benar-benar buat dia serba tak kena.

“Ya Allah!” Fatin melihat jam di tangan. Teringat ada tugas yang dititipkan oleh Cikgu Shazatul pagi tadi. Dia segera melompat turun dari batu besar.
“Nak ke mana?" tanya Kamal.
"Pergi restoran," jawab Fatin.
"Lapar ya?"
"Tak, nak jumpa pengurus resort. Saya belum check  persiapan terakhir untuk program malam ni." Fatin menerangkan.
Barulah Kamal faham. Sebenar-benarnya, dia tidak ambil pusing langsung semua hal itu. Apa yang penting, hari ini dia ingin menghabiskan waktu senggang petangnya bersama Fatin. Sepantas kilat dia mengatur langkah beriringan dengan Fatin.
 "Saya temankan, ya. Lagipun perut ni dah main lagu keroncong," ujar Kamal.
Dia memegang perut. Mukanya sengaja dikerutkan. Fatin hanya tersenyum memandang perlakuan Kamal. Dia melihat plaster yang melekat di dahi lelaki itu.
"Sakit lagi tak kepala tu?" tanya Fatin sambil memuncungkan mulutnya ke arah kepala Kamal.
Kamal meraba dahi kanannya yang berplaster. Kemudian dia menggeleng perlahan. Mengingatkan kembali peristiwa yang telah berlaku tadi, Kamal gelak besar.
"Dah tak sakit. Sebab ada jururawat tidak terlatih yang merawat saya tadi."
Fatin juga turut ketawa mendengar gurauan Kamal.
"Ganas juga Fatin ni, ya. Ada belajar taekwando ke?" tanya Kamal dengan senyumnya yang masih melebar. 
"Fatin ada belajar silat. Tapi tadi tu untuk mempertahankan diri. Tak ada niat nak mencederakan sesiapa pun. Abang Kamal pun salah juga. Main-mainkan Fatin. Lain kali buatlah lagi." Fatin menjeling Kamal yang ketawa semula.

"Fatin minta maaf ya," ucap Fatin perlahan.
Ketawa Kamal mula mengendur. Bergetar seluruh urat sarafnya melihat anak mata gadis itu. Mahu saja dia memeluk Fatin. Sayangnya pada gadis itu mula terpupuk sejak pertama kali mereka ditemukan. Dia tahu mungkin terlalu awal dia mengungkap kata cinta buat Fatin. Tapi bila ianya berkaitan dengan masalah hati, banyak perkara tidak mampu menghalang. Gadis itu ada sesuatu yang terlalu istimewa. Kematangan... ya. Kematangan itulah yang telah menambat hati Kamal.

“Ehem... Jauhnya menung! Dah sampai mana?”
Fatin memetik-metik jari di hadapan muka Kamal. Perlakuannya mengembalikan Kamal ke alam realiti. Laju Kamal meraup wajah sendiri.
"Hmm... Saya boleh maafkan Fatin, tapi ada syaratnya." Senyum nakal terbentuk di bibir Kamal.
 "Syarat, apa syaratnya?" Fatin bertanya.
 Langkah terhenti. Dia menunggu jawapan dari Kamal. Kamal diam seketika, dia sedang memikirkan syarat apakah yang ingin diberikan pada Fatin. Terangkat keningnya melihat gadis itu.
"Cepatlah!" gesa Fatin tidak sabar.
"Okey, malam ni Fatin kena nyanyi satu lagu masa party barbeque."
“Laaaa! Itu saja syaratnya?" tanya Fatin.
 Kamal mengangguk laju. Teruja dia melihat tindak balas Fatin. Sweet! Matured but childish.  Itu yang Kamal suka.
"Syarat tu sonang yo!" 
 "Eh, saya belum habis cakaplah. Fatin nyanyi, tapi saya main gitar. Ini bermakna, Fatin kena berduet dengan saya."
Kamal menyambung syaratnya lagi. Senyum Fatin mengendur. Dia berfikir sejenak. Matanya  melirik pada Kamal.

“Berduet dengan Abang Kamal? Tak takut ke Lina cemburu nanti?” Fatin tersenyum sinis.
“Lina? Sejak bila pula saya iktiraf  dia jadi girlfriend ? Orang yang kacak dan bergaya macam saya ni memang ramai peminat. Lina tu mungkin salah seorang peminat fanatik saya. Sebab itulah dia menabalkan diri sendiri sebagai girlfriend saya.” Kamal tersengih lebar.
Fatin buat aksi macam orang nak muntah. Kamal ketawa mengekek melihat Fatin mengejeknya sebegitu.
"Okey, saya setuju."
Spontan Fatin mengangkat kedua-dua tangannya dan dihalakan ke arah Kamal. Kamal juga spontan menepuk tangan gadis itu. Bila sudah beberapa tapak melangkah, baru Fatin tersedar lepas lakunya. Langkahnya dilajukan untuk mendahului Kamal. Wajahnya merona merah menahan malu.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Fatin kelihatan serba tak kena. Sekejap dia duduk, sekejap dia membelek dirinya di cermin. Kemudian dia membuka buku nota. Tapi tidak lama. Dia bangun membuang pandang ke luar tingkap pula. Tak lama juga dia di situ. Fatin berjalan pula ke beranda. Rambutnya yang dibiarkan lepas bebas disisir berulang kali.

"Hoi! Kau ni kenapa? Macam kucing hilang anak aje aku tengok," sergah Ayu.
Suara kuat Ayu menyebabkan Fatin terduduk di birai katil. Wajah risaunya menyebabkan Ayu semakin hairan.
"Kau kenapa?" tanya Ayu lagi.
Fatin masih merenung Ayu. Dia tidak tahu bagaimana hendak memulakan cerita tentang syarat yang Kamal kenakan padanya petang tadi. Memang dia bersetuju dengan syarat Kamal. Tapi malam ini tiba-tiba dia menjadi risau. Dia bimbang jika selepas ini ada mulut-mulut  jahat yang menggosipkan dia dengan Kamal.

"Fatin, Cikgu Shazatul panggil." Lina tiba-tiba muncul.
Ayu dan Fatin menoleh ke arah pintu. Lina yang tidak tahu apa yang sedang berlaku hanya memandang kosong.
"Korang buat apa lagi dalam bilik ni? Cepatlah keluar! Kawan-kawan kita dah nak start bakar ayam tu," sambung Lina lagi.
"Aku nak tukar bateri kamera, kejap lagi kitorang turun." Ayu mereka alasan .
Lina sudah hilang di balik pintu. Ayu mendapatkan Fatin yang masih duduk di birai katil
"Kau sakit ke?" tanya Ayu.
Fatin hanya menggeleng. Dia tunduk memandang lantai. Ada genangan airmata yang akan gugur di kelopak mata. Ayu memegang tangan Fatin, masih menunggu jawapan dari sahabat baiknya itu.
"Weh! Apsal tangan kau sejuk ni? Demam ke? Aku ambilkan ubat, ya."
Ayu nak bangun, tapi pantas tangannya ditarik oleh Fatin. Ayu terduduk semula di katil.
"Aku okey, cuma..."  
Fatin menarik nafas dalam-dalam. Dia menceritakan hal yang terjadi sepeninggalan dia berseorangan di resort petang tadi, hinggalah pada syarat yang dikenakan oleh Kamal. Ayu mendengar dengan teliti setiap baris ayat yang diperkatakan oleh Fatin.

"Apa aku nak buat sekarang ni? Aku takutlah Ayu."
Fatin menyuarakan kebimbangannya usai dia habis bercerita. Ayu hanya terdiam memandang Fatin. Matanya seolah-olah memikirkan sesuatu. Lama dia membatu.
"Hoi! Apa tenung-tenung ni? Aku tanya kau, apa aku nak buat sekarang?"
Fatin menggoncang badan montel Ayu. Ayu terkejut, tapi tiba-tiba dia ketawa berdekah-dekah. Fatin memandang Ayu dengan wajah geram.
"Sampai hati kau ketawakan aku," ucap Fatin perlahan .
 Ayu masih lagi ketawa. Fatin tunduk. Airmata yang ditahan tadi mula mengalir. Ketawa Ayu makin reda. Dia memegang tangan Fatin yang masih sejuk.

"Ala... Fatin, kau ni suka fikir yang bukan-bukanlah. Lagipun kau sendiri yang setuju dengan syarat tu kan? Lantaklah apa budak-budak lain nak cakap pun. Atau, kau pun ada tangkap cintan dengan dia?" usik Ayu di hujung kata. Ada senyuman nakal tersungging di bibirnya.Fatin mencubit lengan Ayu.
 "Mana ada!" ujar Fatin separuh menjerit. Dia menyapu airmata di pipi.
"Kalau macam tu kau nyanyi ajelah. Suka-suka aje.Lagipun malam ni malam terakhir kita di sini. Sportinglah sikit," pujuk Ayu seraya menarik tangan Fatin.
 Mereka beriringan keluar dari bilik. Tanpa disedari ada sepasang telinga yang sedang mencuri-curi dengar perbualan mereka. Pengintip itu menahan rasa sebal. Mendengar perbualan dua sahabat baik tadi membuatkan pengintip itu makin sakit  hati. Kenapa asyik Fatin sahaja yang  menjadi  perhatian Kamal?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~
"Fatin dah bersedia?" tanya Kamal .
Tangannya sibuk membalik-balikkan ikan kembung yang sedang dibakar. Fatin yang sedang menuangkan air untuk rakan-rakannya memandang ke arah Kamal.
"Apa dia?"
Fatin pura-pura tidak mendengar pertanyaan Kamal. Namun bibirnya sudah menguntum senyum.
"Jangan buat-buat lupa ya. Kalau tak saya buat syarat lain nanti," ugut Kamal.
“Syarat lain? Apa?" tanya Fatin. Kalau syarat yang terbaru lebih ringan, dia sanggup mengotakan syarat itu.
"Free kiss!"
 Kamal meletakkan jari telunjuk di pipi kanannya. Dia tersengih nakal. Keningnya sengaja diangkat sebelah. Terbeliak mata Fatin mendengar syarat baru Kamal.
 “Gila ke? Jangan harap!" Fatin merengus kasar. Dia berpaling untuk meninggalkan Kamal. Sebenarnya untuk mengelak dari Kamal melihat wajahnya yang sudah merona merah.
"Kalau tak nak bagi free kiss tak apa. Tapi jangan nak mengelak malam ni." Kamal mengingatkan.
Fatin mencebik dan terus berlalu. Kamal tersenyum lebar melihat lenggang Fatin yang menghampiri Ayu. Matanya bagai tak mahu lepas dari gadis itu.

"Abang Kamal, tolong bakarkan kepak ayam untuk Lina boleh tak?" Sapaan Lina mencantas senyum Kamal.
Lina menghulur 3 ketul kepak ayam yang sudah tertusuk dengan sebatang buluh runcing. Dengan berat hati Kamal menunaikan permintaan Lina. Lina berdiri agak rapat dengan Kamal. Sungguh, dia sangat tidak  selesa dengan gadis itu.
“Abang Kamal, boleh bagi Lina nombor telefon tak?" Sengaja Lina melunakkan suaranya untuk menarik perhatian Kamal.
"Buat apa?" Kamal menoleh ke arah Lina yang masih tersengih.
"Nanti senang kalau ada apa-apa hal. Mana tahu kalau-kalau Lina nak ajak abang keluar?"
"Maaflah, abang tak suka bagi nombor telefon abang pada orang yang abang tak kenal. Kalau ada apa-apa hal, bagitau Cikgu Shahrul aje. Err... Lina bakar sendiri kepak ayam ni boleh tak? Abang nak pergi bilik air kejap."
Kamal menyerahkan kipas pada Lina. Lina ingin mengekori tapi kehadiran Cikgu Shazatul  di situ membantutkan niatnya. Dia cuma mampu memandang Kamal yang menghampiri Fatin dan Ayu dengan pandangan geram. Sejak hari pertama di Pulau Tioman, dia cuba menarik perhatian  Kamal. Tetapi Fatin pula yang mendapat perhatian lelaki itu.

“Kenapalah bukan aku yang lemas semalam? Kalau aku yang lemas semalam mesti abang Kamal  beri perhatian pada aku.” Lina mengomel sendirian.
“Apa awak cakap Lina?” Cikgu Shazatul menegur.
“Eh, saya  tak  cakap apa-apa pun. Cikgu ambillah kepak ayam saya ni. Dah tak ada selera nak  makan!”
 Lina meninggalkan kepak ayam yang masih belum masak di atas pemanggang. Sakit matanya melihat Kamal berbual-bual dengan Fatin. Sementara itu, Kamal sudah pun bersedia dengan gitar yang tergantung di leher. Dia memetik gitarnya perlahan-lahan dan memandang Fatin yang rancak berbual dengan Ayu dan rakan-rakannya yang lain. Fatin tersenyum kelat. Dia mengerling Kamal yang semakin menghampiri. Ayu menyinggung bahu  Fatin dan memberi isyarat supaya gadis itu bangun. Laju Fatin menggeleng kepala. 
Kamal tersenyum lebar. Dia tahu Fatin malu. Dia memberi isyarat pada Ayu supaya memberikan ruang untuk dia duduk di sebelah Fatin. Ayu segera bangun dan mengarahkan rakan-rakan yang lain meninggalkan mereka berdua. Fatin terkaku di situ. Dia mengetap bibir sekuat hati. Dikerlingnya Kamal yang sudah pun mengambil tempat di sebelahnya. Lama Kamal bersenandung sendirian. Dia masih sabar menunggu Fatin memulakan nyanyian.

“Fatin! Nyanyilah satu lagu. Diam aje buat apa?”  jerit Ayu.
“Fatin! Fatin! Fatin! Fatin!”
Suasana semakin gamat. Fatin memandang sekeliling. Dadanya berdebar kencang. Dia memandang Kamal. Kamal juga memerhatikan sekeliling. Dia tersenyum nipis.

“Kalau tak nak nyanyi untuk saya, nyanyikan untuk kawan-kawan,” ujar Kamal lembut.
Fatin menentang mata Kamal, cuba mengumpul kekuatan. Tidak lama kemudian dia mengangguk perlahan menyatakan kesediaan. Kamal mula memetik gitar. Suasana yang gamat bertukar menjadi sepi. Mereka duduk mengelilingi unggun api bersama Fatin dan Kamal. Bayu pantai yang berhembus lembut membangkitkan suasana romantis pada malam itu. Tumpuan diberikan pada Kamal dan Fatin.
Fatin mula mengalunkan lagu Diari Hatimu nyanyian asal penyanyi tersohor Malaysia, Dato’Siti Nurhaliza. Rakan-rakan Fatin yang sedang mengelilingi unggun api asyik mendengar alunan suara Fatin yang mendayu-dayu diiringi petikan gitar  Kamal. Mereka berdua seperti pasangan yang sedang bercinta. Gabungan antara mereka sangat secocok. Mereka bagaikan hilang di dalam dunia mereka sendiri. Kamal memerhatikan wajah Fatin yang putih bersih. Hati lelakinya bergetar mendengar suara Fatin yang lunak merdu. Jari-jarinya masih memetik tali gitar mengiringi nyanyian Fatin. Mata Fatin terpejam  menghayati bait-bait lagu. Kamal merasakan lagu itu bagai ditujukan kepadanya. Leka dia memerhatikan wajah Fatin. Badannya melentok -lentok ke kiri dan kanan mengikut  alunan suara Fatin. Matanya tidak dilepaskan walau sesaat pun dari Fatin.

‘Bolehkah aku miliki hatinya? Sudikah dia menerima aku? Adakah dia sudah berpunya?’ Kamal berteka-teki sendiri.

"Wah! Mantaplah persembahan korang. Macam pasangan  bercinta gitu." 
Cikgu Shahrul menepuk lembut bahu Kamal yang  masih memandang Fatin. Kamal tersentak. Dia tersengih sambil memandang Fatin yang sudah berlalu mendapatkan Ayu. 

"Eh, lain macam aje aku tengok kau pandang dia. Ada rasa kah?" usik Cikgu Shahrul. Kamal ketawa senang mendengar usikannya.
"Kalau ada?" Kamal bertanya kembali. Seronok pula dia diusik begitu.
"Hmm, kalau ada apa salahnya. Tapi janganlah sampai menjejaskan study budak tu. Dia tu pelajar pintar tau." Cikgu Shahrul mengingatkan. Sengihan dibibir tebalnya mengendur.

‘Memang dia pintar Shahrul. Pintar mencuri hati aku.’

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.