“Eh, bila masa doktor masuk?”
Aku lipat sejadah dan meletakkannya di pemegang kerusi. Dr.Zaiman tidak menjawab. Dia masih berdiri tegak memerhatikan mak yang sedang lena. Apahal pula rajin sangat dia datang malam-malam ni? Siang tadi beria-ia sangat marah aku.
“Mak awak macam mana?” tanya Dr.Zaiman. Matanya melihat dynamap di sebelah katil mak.
“Dah okey, mungkin besok dah boleh balik.” Aku menjawab acuh tak acuh.
Pintu bilik yang tertutup rapat aku buka sehabis luas. Tak selesa berada di dalam bilik itu bersamanya. Aku ternampak sebuah beg kertas di atas meja. Tak terniat langsung nak bertanya kerana aku pasti beg kertas itu kepunyaan Dr.Zaiman. Hati masih terkesan dengan perbuatannya siang tadi.
“Maaf,” ucap Dr.Zaiman. Suaranya seperti tidak mahu keluar.
Aku pura-pura tak dengar. Serik? Memang aku serik. Perangai dia tak ubah seperti sesumpah. Hari baik, besok macam orang tertelan cili padi. Nak menyinga tak tentu pasal. Kali ini aku takkan beralah. Tangan ku silang ke dada. Menahan kesejukan yang semakin mencengkam tulang.
“Saya tak ada niat nak malukan awak.” Dr.Zaiman menyambung lagi. Aku masih buat bodoh. Kau layanlah diri sendiri.
“Akira.” Dia panggil aku. Aku menoleh, tapi tidak lama. Kepala kembali mendongak memandang televisyen yang terpasang.
Dr.Zaiman bangun. Tempat duduknya beralih pula di hadapan aku. Tak boleh nak lari ke mana lagi, aku pegunkan diri menonton televisyen.
“Kenapa doktor buat saya macam ni?” Sudahnya aku bersuara dengan harapan dia segera beredar dari disitu.
“Saya nak awak benci saya.”
“Kenapa pula?”
“ Sebab saya dah suka awak.”
Aku telan air liur. Sekali lagi dia meluahkan isi hatinya dengan berani. Aku pandang dia, cuba mencari kejujuran dari sinar matanya.
“Kalau dah suka, kenapa nak buat saya benci pula?” Aku menyoal lagi
“Sebab saya tak mahu terus jatuh cinta dengan awak. Saya dah tak banyak masa lagi di sini. Tapi hati saya degil. Setiap kali saya buat awak marah, makin sukar saya nak buang awak di hati saya.”
“Eee, gelinya dengar ayat-ayat jiwang ni. Tolonglah doktor, saya tak ada masa nak layan benda-benda ni semua. Fokus saya sekarang adalah keluarga saya. Tu, nampak tak mak saya yang sedang terbaring tu? Dialah keutamaan saya sekarang.” Aku muncungkan mulut ke arah mak.
“Dan saya boleh sama-sama bantu awak. Boleh tak awak terima saya?” Dr.Zaiman menegakkan badan. Bersungguh benar katanya. Aku pula menggeleng laju. Menolak mentah-mentah permintaannya. Dia ingat senang-senang ke aku nak main cinta dengan dia?
“Saya tak mahu terhutang budi lagi dengan doktor.”
“Zaiman, panggil saya Zaiman. Sekarang bukan waktu bekerja,” bidas Dr.Zaiman.
Aduh, parah betul Dr.Zaiman ni. Aku kerling jam di dinding. Setengah jam lagi sebelum waktu melawat tamat. Macam mana cara nak suruh dia balik ni. Aku pandang mak. Mak, bangunlah sekejap. Halau Doktor Sengal ni.
“Akira, saya rasa elok kalau saya balik dulu. Ni, ada baju sejuk dan beberapa pasang baju lain untuk awak.” Dia hulur beg kertas yang berada di atas meja.
“Eh, saya tak suruh pun doktor belikan untuk saya. Ambillah bawa balik. Saya tak nak.” Aku tak sambut huluran beg kertas itu. Dr.Zaiman bangun. Beg kertas diletaknya di atas peha aku yang masih duduk menyilang tangan.
“Cuaca sejuk ni. Saya tahu awak tak bawa baju panas kan? Jangan sampai awak pula yang jatuh sakit. Maaflah saya tak tahu saiz baju awak. Tapi saya beli ikut saiz badan adik saya.”
“Saya cakap saya tak nak! Doktor tak faham Bahasa Melayu ke?” Aku letak beg kertas di atas meja kembali.
“Akira Maisara, saya ikhlas. Tak ada niat lain. Saya takkan buat awak marah lagi. Saya janji.” Dia letak semula beg kertas itu di sebelah aku. Perlahan-lahan aku pandang muka dia. Eh, dia menangis? Apahal pula tiba-tiba dia yang hujan?
“Saya takkan paksa awak untuk terima saya. Tapi bagi saya peluang untuk mengenali awak.”
“Berapa…”
“Jangan jawab sekarang. Saya bagi masa pada awak. Assalamualaikum.”
Dr.Zaiman keluar dari bilik. Peliknya. Aku masih tak faham, kenapa dia menangis. Beg kertas yang diberi aku ambil. Sehelai baju panas aku keluarkan. Beberapa helai t-shirt pun ada. Ya Allah, ‘baju kecil’ pun ada?
"Ira."
Aku bangun dan hampiri katil. Mak menolak selimut yang menutup dada. Aku bantu dia turun dari katil. Dia mahu ke tandas. Botol drip yang tergantung aku ambil. Tangan mak ku pimpin hingga ke pintu bilik air.
"Dah sudah nanti panggil Ira ya."
Pintu bilik air ku buka sedikit. Aku berdiri di tepi pintu. Mata terpandang baju sejuk di atas kerusi. Ku ambil baju sejuk itu lalu ku sarungkan ke tubuh. Emm, betul-betul muat dengan badan aku. Warnanya juga agak menarik. Merah hati, warna kegemaran Dr.Naufal.
Dr.Naufal, kenapa tiba-tiba teringatkan dia pula? Aku cuba mencari persamaan antara Dr.Naufal dan Dr.Zaiman. Mereka berdua hampir sama. Hampir sama dari segi perwatakan dan tingkah laku. Bezanya Dr.Naufal lebih bertimbang rasa dari Dr.Zaiman.
"Amboi, jauhnya menung. Sampai mak panggil pun tak dengar."
Bahu ditepuk lembut. Laju aku pegang lengan mak dan ku pimpin ke sofa. Memang aku tak dengar mak panggil tadi.
"Lawanya baju sejuk. Dr.Zaiman bagi ya?" tanya mak.
Aku tak menjawab, cuma mengangguk perlahan. Mak senyum sambil mengusap perlahan kepala aku. Rasa macam nak ku tanggalkan saja baju sejuk itu. Tapi takut mak memulakan ceramah pula nanti.
"Baik betul Dr.Zaiman tu kan? Macam Dr.Naufal," kata mak.
Mak menepuk-nepuk peha aku. Aku pandang mak. Tapi tidak lama. Memang aku kalah dengan pandangan mata mak. Dia lebih mengerti perasaan aku ketika itu.
"Dia memang baik Ira. Tapi mak tak nak Ira kecewa lagi. Ira faham kan?" Aku diam. Tak perlu menjawab pertanyaan mak. Kisah cinta aku yang sudah tiga tahun berkubur itu tak perlu dibongkar kembali. Hanya akan menoreh parut yang masih basah
"Doktor Zaiman tu kawan aje mak. Dia tak lama di hospital ni. Tak lama lagi dia akan sambung belajar. Takkanlah Ira nak bercinta dengan dia."
"Mak dengar apa yang Doktor Zaiman cakap tadi. Dia suka Ira kan?"
Aku pandang mak tanda tidak percaya. Mak mengangguk dan perlahan-lahan menyandarkan badan. Nafasnya dihela perlahan. Baru sahaja dia ingin menyambung kata seorang jururawat masuk. Waktu pemeriksaan sudah tiba. Aku bantu mak bangun dan bawa dia ke katil. Aku tinggalkan mak sebentar. Beri peluang pada rakan sekerja menjalankan tugasnya.
"Abby, aku keluar sekejap. Dah selesai nanti panggil aku ya." Aku titipkan pesan pada Abby sebelum aku keluar dari bilik.
Aku termenung di koridor. Kata-kata mak terngiang-ngiang di telinga. Mak seperti sudah menyiapkan jawapan untuk aku berikan pada Dr.Zaiman nanti. Persoalannya, adakah Dr.Zaiman akan terus mengganggu sekiranya aku menolak permintaannya. Ya Allah berikan aku petunjuk. Penatnya melayan kehendak hati.
Aku masuk semula ke bilik usai Abby memeriksa mak. Keyakinan semakin kuat mak mungkin akan dibenarkan pulang esok tatkala branula sudah tidak ada di tangan mak. Mesin dynamap yang sentiasa berada di tepi katil sepanjang tiga malam ini juga telah dibawa keluar dari bilik itu. Mak tersenyum lebar sebaik sahaja melihat aku di muka pintu.
“Kawan Ira tu kata, mak punya BP dah okey. Keputusan ujian darah mak untuk kencing manis pun dah tak tinggi,” ujar mak.
“Alhamdulillah, lepas ni tak payahlah makan ubat ya. Buat kerja berat-berat. Lepas tu makan lauk yang masin-masin.” Aku perli mak. Senyumnya makin lebar. Aku kucup pipi mak dan bahunya ku peluk. Lega hati dapat melihat senyuman mak.
Aku layan mak berbual sekejap sebelum tiba waktu untuk makan ubat. Mak tak ambil masa yang lama untuk tidur selepas itu. Aku sendiri pun sudahnya tertidur di tepi katil mak. Tangan kami berdua bertaut sehingga ke pagi. Ketika azan Subuh berkumandang, mak masih lena. Perlahan-lahan tautan tangan mak aku lepaskan dan segera menuju ke bilik air untuk mandi dan mengambil wuduk.
“Mak dah bangun? Ira solat sekejap ya. Nanti Ira siapkan air mandi mak.”
Aku segera menyarung telekung. Menggigil tanganku ketika mengangkat takbir. Menyesal pula tak perlahankan dulu suhu penghawa dingin. Selesai mengaminkan doa, aku lipat telekung dan terus simpan di dalam beg.
Eh, mana mak? Kenapa pintu bilik terbuka?
Laju kaki melangkah ke pintu. Namun mata segera terarah ke bilik air. Dengar suara mak di situ. Pintu bilik ku tolak perlahan. Berkunci? Laju tangan mengetuk pintu bilik air. Seiring dengan mulutku memanggil-manggil mak.
“Mak!” laungan semakin kuat bila mak tak menyahut panggilan aku. Dada mula berdegup kencang.
Perlahan-lahan daun pintu terbuka. Terbeliak mata aku melihat Nora ada bersama mak di dalam bilik air. Mak sudah siap berpakaian dan berbedak.
“Bila Nora sampai? Awalnya sampai.” Aku bantu Nora memimpin mak keluar dari situ.
“Ayah kena pergi Melaka. Dia hantar Nora dulu. Makcik kata hari ni dah boleh keluar hospital? Betul ke Kak Ira?”
Aku kerling mak yang sedang memakai anak tudung. Senyum sinis tersungging di bibir. Pandai-pandai saja dia buat keputusan sendiri.
“Tak pasti lagi. Doktor akan masuk periksa mak sekali lagi pagi ni. Kalau semua dah okey, baru boleh balik.” Aku terangkan pada Nora.
“Mesti boleh balik hari ni. Mak tahu…” Panjang muncung mak menegaskan kata-katanya. Terkekek-kekek Nora ketawa melihat reaksi mak.
Pagi itu mak bersarapan penuh berselera. Memang dia beria-ia benar hendak pulang ke rumah. Sementara menanti doktor datang, mak berehat di katil. Aku tinggalkan mak bersama Nora sebentar. Ada satu perkara yang perlu aku selesaikan. Bil hospital. Aku ke kaunter untuk bertanyakan bil hospital yang perlu dibayar.
“Akira, bil perubatan mak awak setakat semalam semuanya sudah dibayar. Awak cuma perlu bayar untuk bil hari ni aje,” kata Norlida, kerani yang bertugas di situ.
Melopong mulut aku. Hamba Allah mana pula yang bermurah hati ni? Serta-merta aku teringatkan Dr.Zaiman. Ini mesti kerja dia. Aku pandang Norlida sebentar. Pasti dia takkan bekerjasama kalau aku bertanya. Jadi secara logiknya, aku sangat pasti bil hospital itu dibayar oleh Dr.Zaiman.
Aku pergi semula ke bilik mak. Doktor Ziela sudah berada di situ. Nora yang sedang duduk di sofa aku hampiri. Kami perhatikan sahaja Dr.Ziela berbual-bual sebentar dengan mak. Pesanan-pesanan yang sering aku dengar untuk pesakit-pesakit yang akan meninggalkan hospital. Banyakkan berehat, jangan buat kerja-kerja berat, lebihkan bersenam dan jangan lupa makan ubat.
Terangguk-angguk kepala mak. Kononnya faham dan akan patuh dengan arahan Dr. Ziela. Hmm, di hospital dia fahamlah. Sampai rumah nanti, semua pesanan tu hilang terus dari kepala.
“Akira, mak awak dah boleh balik pagi ni. Nanti ambil ubat dia di dispensari.”
“Pagi ni doktor? Bukan tengahari ke?” Aku bangun dan terus menghampiri Dr. Ziela.
“Kalau ikutkan memang kena keluar tengahari. Tapi saya takut naik balik BP mak awak nanti kalau saya tak benarkan dia balik,” seloroh Dr. Ziela.
Merah muka mak menahan malu. Sebaik saja Dr. Ziela keluar dari bilik, Dr. Zaiman pula muncul. Baru separuh daun pintu ditolak, aku ajak dia keluar dari situ. Ada perkara yang perlu aku selesaikan dengan dia.
“Kenapa doktor bayar semua bil hospital mak saya?”
“Bukan semua, saya bayar setakat bil malam tadi aje,” jawab Dr.Zaiman.
Betul tekaan aku. Apa muslihat dia sebenarnya ni? Dia cuba nak perangkap aku dengan budi yang ditabur?
“Saya tak harapkan apa-apa. Saya tahu awak ada masalah kewangan,” sambung Dr.Zaiman.
“Oh, jadi doktor nak pancing perhatian saya dengan cara ini? Kan saya dah cakap jangan ganggu saya. Saya tahulah bagaimana nak selesaikan masalah saya sendiri. Doktor belum ada kerja tetap, kenapa bazirkan duit pinjaman doktor untuk saya?” Aku cuba mengawal suara. Walaupun sedang marah, aku tak mahu menjadi perhatian rakan sekerja lain.
“Saya cuma nak membantu. Dan saya tak nak apa-apa balasan. Kalau awak tak boleh terima saya, tak apa. Tapi kita boleh berkawan kan?”
Aku diam. Hilang punca untuk menutur kata. Dr. Zaiman masih merenung aku. Sekali-sekala matanya memerhatikan keadaan sekeliling. baru aku perasaan. Pakaiannya lebih kasual hari ini, tanpa blazer putih.
“Doktor ponteng kerja ya?” Aku menebak dia.
“Eh, tak. Petang ni saya nak ke balik ke UM, nak hantar laporan,” jawabnya.
“Habis tu, buat apa datang hospital pagi-pagi ni?”
“Saya nak melawat mak awak. Akira, awak lupa ya? Tanpa pakaian rasmi, saya adalah Zaiman. Bukan Doktor Zaiman.”
Belum sempat aku menyanggah, dia sudah bergerak masuk ke bilik mak. Tergesa-gesa aku mengekorinya. Nora sudah siap mengemas semua barang-barang mak. Pakaian mak juga sudah diganti.
“Makcik, boleh saya hantar balik nanti?”
Terlongo aku sebentar dengan keberanian Dr. Zaiman. Mak pandang aku dan Dr.Zaiman. Perlahan-lahan kepalanya mengangguk. Tanpa lengah, Dr. Zaiman mengambil beg pakaian mak dan bakul makanan di atas meja.
“Akira, bawa mak awak kat lobi ya. Tunggu saya di sana,” arah Dr.Zaiman. Dia terus keluar.
“Amboi, baiknya bakal menantu Makcik Jue,” usik Nora. Senyum nakal terukir di bibirnya.
“Hush, pandai-pandai aje Nora ni. Jom mak.” Aku pegang lengan kanan mak dan bersedia untuk memimpinnya. Tapi mak masih tidak berganjak dari kerusi. Mak pandang aku dengan satu renungan yang tidak dapat aku tafsirkan.
“Mak tak larang Ira berkawan dengan dia. Tapi jangan sampai pisang berbuah dua kali. Ira faham maksud mak kan?”
Aku mengangguk laju. Segera ku pimpin tangan mak keluar dari wad. Aku biarkan Nora pula memimpin mak hingga ke lobi sementara aku pergi menjelas baki bayaran bil hospital di kaunter. Kaki laju melangkah sebaik sahaja urusan di kaunter selesai. Mak dan Nora sudah menunggu aku di dalam kereta Dr. Zaiman.
Dr. Zaiman tersenyum senang tatkala aku menghenyak punggung di sebelahnya. Aku hanya diam sepanjang perjalanan ke rumah. Tidak susah bagi Dr. Zaiman mencari rumah aku kerana dia pernah ke sana sebelum ini. Dia yang terlebih dahulu keluar dari kereta sebaik saja sampai. Semua barang-barang kepunyaan mak dan aku dikeluarkan dari bonet kereta. Nora pula membantu mak keluar dari kereta.
“Terima kasih doktor sebab tolong makcik,” ucap mak. Perlahan dia berjalan masuk ke dalam rumah bersama Nora.
“Saya tolong bawa barang-barang ni masuk ya.” Dr. Zaiman sudah membongkok untuk mengambil beg pakaian. Tapi dengan pantas aku menghadang beg itu dengan kaki.
“Cukup sampai di sini saja. Saya tak boleh benarkan doktor masuk. Tak ada orang lelaki dalam rumah.”
Penuh tanganku dengan beg dan bakul makanan. “Tolong tutup pintu pagar tu sebelum doktor pergi ya.”
Aku terus masuk ke dalam rumah tanpa menghiraukan dia yang masih tegak berdiri di situ
No comments :
Post a Comment