Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

January 05, 2014

DEMI KASIH KITA BAB 7

               “Kak Ira, cuti Kak Ira tinggal berapa hari?
               “Tiga hari lagi. Kenapa?”
               Nora diam. Dia memanjangkan leher, meninjau mak di dapur. Apahal pula dengan anak dara ni? Dia tarik tangan aku rapat padanya. Matanya masih liar memerhatikan keadaan sekeliling.
               “Semalam, makcik tanya Nora pasal kawan Kak Ira.” Nora berbisik perlahan
               Berkerut kening aku. Nora merapatkan lagi bibirnya ke telinga aku.
               “Dia tanya Nora, Kak Ira ada cerita apa-apa tak pasal kawan Kak Ira tu pada Nora.”
               “Habis tu, Nora jawab apa?” Aku tak sabar mendengar jawapan yang Nora berikan pada mak.
               “Nora cakap, akak tak pernah cerita apa-apa pun pada Nora. Tapi makcik nampak macam tak percaya aje.”
               Aku tersenyum lebar mendengar jawapan Nora. Walaupun dia masih muda, pemikirannya jauh lebih matang dari usianya. Tidak seperti Asyura yang lebih kebudak-budakan walaupun usianya hampir mencecah tiga puluh tahun.
               “Terima kasih. Macam tu lah adik Kak Ira.” Aku tepuk-tepuk perlahan pehanya. Memang dia sudah ku anggap seperti adik sendiri. Malah lebih dari itu. Dialah adik , dialah jiran dan dialah pendengar yang paling setia selain daripada Rani. Banyak juga kisah hidup aku yang Nora tahu.
               “Sampai bila Kak Ira nak berahsia dengan makcik?” tanya Nora.
               Tak semena-mena aku mengeluh. Tidak ada rahsia besar pun yang aku sorokkan melainkan tentang bayaran bil hospital yang dibayar separuh oleh Dr.Zaiman. Kalau mak tahu, pasti akan berjela ceramahnya.
               “Kak Ira suka dengan doktor tu ya?”
               “Hei, macam  reporter lah Nora ni.” Aku senggol perlahan bahu anak gadis itu. Nora tertawa kecil.
               “Nora rasa, makcik tak marah kot kalau Kak Ira kawan dengan dia. Cuma Kak Ira kena pastikan yang dia tu tak macam kawan Kak Ira yang dulu tu. Apa nama dia?” tanya Nora.
               “Doktor Nawal,” Aku menjawab.
               “Ha, Doktor Nawal. Nora tengok, Doktor Zaiman lain dari Doktor Naufal. Muka dia nampak suci aje,” ujar Nora.
               “Wah! Sekarang dah jadi tukang tilik pula. Dah pandai tengok  muka orang  suci ke tak.” Aku tarik lembut hidung Nora.
               Perbualan terhenti kerana ibu Nora memanggilnya pulang. Aku cuma memerhatikan dia berlari menuju ke pintu pagar dan masuk ke rumah sebelah. Aku senyum sendiri apabila teringat kembali kata-kata Nora. Muka suci? Hmm, kerana muka suci Dr. Naufallah aku hampir meruntuhkan masjid yang telah lama terbina. Kerana muka suci doktor itulah aku hampir kehilangan kerja. Hati yang baru belajar mengenal erti cinta hancur musnah kerana dia.
               Dr. Zaiman, seorang lagi doktor yang cuba membuka kembali pintu hati yang telah tiga tahun ku tutup rapat. Aku tidak yakin untuk menyediakan ruang untuk sesiapapun singgah di hati aku ketika ini. Tapi nampak gayanya setakat hari ini, dia masih belum berpatah arang. Sejak aku bercuti, setiap hari dia akan ke mari. Alasan yang paling  logik diguna pakai, menziarahi mak.
               “Ira!”
               Laungan mak menyentak lamunan. Ku hayun kaki ke dapur. Apa sajalah yang mak buat dari tadi? Ada sebekas pisang yang sudah siap dilecek dan bergaul tepung di tepi sinki. Mak pula sedang berdiri di luar rumah dengan sebilah pisau di tangan.
               “Tolong ambilkan mak daun pisang ni. Mak tak sampai.”
               Aku ambil pisau yang dihulur. “Mak nak berapa?” Aku mendongak, tercari-cari pelepah pisang yang sesuai.
               “Tengoklah mana yang elok. Nanti ambil jantung pisang tu sekali. Asyura suka gulai jantung pisang,” kata mak.
               Dua pelepah pisang aku cantas. Jantung Pisang Kapas sebesar bola raqbi aku takik di hujung tangkainya.
               “Jaga-jaga getahnya tu Ira, kena baju nanti,” pesan mak.
               Aku bawa masuk jantung  dan daun pisang  ke dapur. Laju tangan mak memotong daun pisang untuk dilayur di atas dapur. Peluh di dahinya dikesat dengan belakang tangan. Usai membasuh pisau, aku letakkan besen yang berisi bancuhan tepung dan pisang di sebelah mak. Tangan sempat lagi mencuit sedikit bancuhan itu lalu ku kecap di hujung lidah.
               “Amboi, Mak Tijah! Ada lori gula tumpah kat depan rumah ke tadi?” Aku pandang mak dengan jelingan tajam. Mak menyeringai suka. Dia juga merasa sedikit bancuhan tepung itu di hujung lidahnya. Senyumnya melebar lagi.
               “Tak manis sangatlah. Mak letak sikit aje gula tadi. Mungkin pisang ni yang manis kot.” Mak cuba membela diri. Aku masih memandang mak. Muka sengaja aku masamkan.
               “Ala Staff nurse Akira, janganlah marah saya. Nanti saya makan ubat ya. Tekak ni teringin sangat nak makan lepat pisang. Beli kat kedai tu tak sedap. Manisnya macam tertinggal kat Perlis tu!”
               “Ha’ah ya. Nanti Ira buka kilang gula kat belakang rumah ni. Tak bolehlah sihat sikit, mulalah nak telan macam-macam. Janganlah berkuat sangat. Mak tu bukannya boleh penat sikit. Nanti semput.” Tak pasal-pasal mak dapat ceramah percuma.
               “Yelah, yelah. Kejap lagi mak rehatlah. Tak sedap pula kalau Zaiman datang nanti asyik hidang air bujang aje.”
               Mak sedekahkan aku dengan senyum sinis. Tangannya masih lincah mengelap daun pisang yang sudah dipotong-potong. Kenapa tiba-tiba boleh berbaik-baik dengan Dr. Zaiman pula ni? Setahu aku mak tak suka aku berkawan dengan doktor praktikal itu.
               “Mak tahu apa yang Ira fikir. Kan mak dah cakap, mak tak halang Ira berkawan dengan dia. Cuma mak nak Ira lebih berhati-hati. Mak tak nak Ira kecewa lagi.”
               “Ira tak ada apa-apalah mak dengan dia. Tak berminat nak bercinta dengan doktor lagi. Ira nak mak yang carikan jodoh untuk Ira. Ira akan terima siapa saja pilihan mak.”
               “Betul ni? Kalau mak pilih Zaiman, Ira nak?” Mak melirik pada aku. Dia bangun untuk melayur daun-daun pisang di atas dapur. Segera aku bangun merapati mak.
               “Mak bagi Ira berkawan dengan Doktor Zaiman?”
               “Ira nak tak berkawan dengan dia?” Mak tanya aku semula. Aduh sesi soal-menyoal ni yang buat aku lemah. Kalau aku tak sudi berkawan dengan dia tak mungkin aku izinkan dia bertandang ke sini. Berkawan, tak sama ertinya dengan bercinta. Jangan mak tanya soalan mengenai hati pula selepas ni.
               “Tak salah kalau Ira nak berkawan dengan dia. Nak bercinta dengan dia pun mak tak halang. Mak nak tengok anak sulung mak ni bahagia. Cuma sebelum Ira serahkan hati dan perasaan tu pada seseorang, mak nak Ira kenal orang hati budi orang tu terlebih dahulu. Dah berpunya ke belum, pernah berkahwin ke tidak, keluarganya macam mana. Kalau boleh biarlah yang sekufu dengan kita.” Mak bercakap, tapi matanya tak memandang aku. Dia masih sibuk melayur daun pisang. Aku, tadah telinga sajalah.
               Dah berulang kali mak ingatkan perkara yang sama pada aku. Saban hari juga layanan mak pada Dr.Zaiman sudah tidak sedingin di hospital dulu. Mungkin kerana Dr.Zaiman pandai memancing hati tuanya. Cuma sehingga ke hari ini dia masih belum berjaya mendapatkan nombor telefon aku.
               “Emm, makcik masak apa ni? Baunya sampai kat rumah sebelah.” Nora muncul sekali lagi. Laju dia menerpa kami berdua.
               “Lepat pisang! Nora nak tolong makcik, boleh tak?”
               “Ha, eloklah kau tolong Makcik Tijah kau ni Nora. Cepat siap, cepat sikit dia berehat. Kak Ira rasa lepas ni Kak Ira nak ambil ubat tidur kat hospital. Makcik Tijah kau ni, celik aje biji mata ada saja benda yang dia nak buat. Kita bagi dia ubat tidur, biar dia rehat banyak sikit!”
               Aku berlari ke ruang tamu bila tangan mak mencari sasaran untuk mencubit. Terkekek-kekek dia dan Nora mentertawakan aku. Senang hati aku melihat mak sudah boleh bergurau senda seperti biasa. Lebih tenang lagi apabila mak sudah beri lampu hijau untuk aku berkawan dengan Dr.Zaiman. Namun satu persoalan yang sedang menyenak fikiranku sekarang, sempatkah aku mengenali doktor itu dengan lebih dekat? Mengingatkan tempoh latihan praktikumnya di hospital itu sudah tidak lama membuatkan keyakinan aku mengendur.
               Telefon bimbit menyanyi-nyanyi di dalam bilik. Langkah ku arah pula ke situ. Pintu bilik ku tutup rapat sebelum telefon yang masih menjerit-jerit ku jawab.
               “Assalamualaikum.” Aku rebahkan badan di atas katil. Aduh, leganya dapat meluruskan pinggang.
               “Waalaikummusalam, kau membuta ke?”
               “Mana ada, baru lepas tolong mak aku buat lepat pisang,”
               “Amboi kau! Mentang-mentanglah tengah cuti-cuti Malaysia, main masak-masak kau kat rumah eh. Kau tak rindu kat aku ke?”
               “Rindu jugalah, tapi sikit aje,” jawab aku sambil ketawa mengekek. Rani juga turut ketawa.
               “Kalau dengan aku kau rindu sikit, aku tahu pada siapa kau rindu banyak.”
               “Siapa?”
               “Doktor Zaiman!” jeritan Rani di dalam talian menyebabkan aku duduk tegak.
               “Woi, kau cakap perlahan sikit boleh tak? Kau kat mana ni? Dengar kat dia nanti, malulah aku.”
               “Aku kat dalam kereta, dalam perjalanan nak balik rumah ni. Akira, kau nak tau tak? Tadi kat tempat kerja, telefon aku ni hilang.”
               “Hilang? Macam mana boleh hilang? Habis tu kau guna telefon siapa ni?” Lambat sangatlah Rani bercerita. Kalau dia ada di depan aku sekarang memang dah lama aku goncang-goncang badannya.
               “Kau diam dulu boleh tak? Macam mana aku nak cerita habis kalau kau asyik tanya. Telefon ni aku letak kat kaunter, tempat biasalah. Lepas tu aku pergi hantar pesakit ke dewan bedah. Bila aku balik  ke wad, telefon dah tak ada. Puas aku cari, tengok bawah meja, dalam tong sampah semua tak ada. Lepas tu kan, tiba-tiba Doktor Zaiman panggil aku masuk bilik dia.”
               Buntang mata aku apabila Rani menyebut nama Dr. Zaiman. Pasti Dr. Zaiman yang mengambil telefon bimbit Rani. Aku nak bertanya, tapi takut dimarahi Rani. Tiada pilihan, kena tunggu Rani menyambung cerita.
               “Masa aku masuk ke bilik, telefon aku ada di atas meja dia. Mula-mula aku ingatkan dia nak  minta nombor telefon kau. Tapi dia cuma cakap, lain kali jangan cuai. Dia bagi balik telefon aku ni.”
               Aku diam tak menjawab. Agak pelik cerita Rani. Kenapa dia tak tanya pada Rani sendiri nombor telefon aku.
               “Eh, Rani. Entah-entah dia dah jumpa nombor telefon aku kot?” Aku buat tekaan sendiri.
               “Emm, aku rasa tak. Sebab…”
               “Sebab apa?”
               “Aku tak letak nama kau dalam phone book. Aku letak nama lain,” jawab Rani dengan suara yang agak perlahan.
               “Ha? Kau letak nama apa kat nombor telefon aku?”
               “Ayang Sayang.”
               Terburai hilai tawa aku. Lucu benar rasa hati hingga aku jatuh tergolek dari katil. Adoi, kalau Rani letak nama tu, memang sahlah Dr. Zaiman tak jumpa nombor telefon aku. Rani, Rani. Kau pun sengal juga macam aku!

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.