“Kau dengan Durani bergaduh ke?”
“Bergaduh? Taklah mak. Okey aje. Kenapa?”
“Dah seminggu mak tak dengar kau sebut nama dia. Kalau tidak
tu pantang celik mata, nama dia dulu yang keluar dari mulut kau.”
Aku tersengih mendengar komentar mak. Dah seminggu ke?
Aku buat kira-kira sendiri. Yalah, dah seminggu aku tak call Durani. Sejak ambil
alih stesen minyak Abang Zali, aku rasa macam tak cukup masa untuk diri
sendiri. Masih banyak benda yang aku perlu belajar di stesen minyak. Walaupun
dah setahun bekerja di situ, menjadi
orang bawahan dengan menjaga orang-orang bawahan adalah dua perkara yang
berbeza. Kalau dulu, habis waktu kerja boleh terus balik. Tapi sekarang, banyak
benda aku kena pantau. Susah juga menjaga amanah orang ni.
“Mie tengah sibuk kumpul duit ni mak...”
Dengusan halus mak kedengaran di telinga. Aku tahu dia
tidak yakin aku mampu menyediakan amaun yang diminta oleh abah Durani. Aku
sendiri pun hampir hilang keyakinan sebenarnya. Dua puluh ribu. Memang
tiap-tiap hari aku kena bawa bekal dari rumahlah jawabnya. Pergi kerja naik
basikal. Jimat duit minyak. Tapi itu pun masih belum cukup. Dua puluh ribu untuk
Durani. Untuk mak? Takkan nak kenduri bergulaikan ikan masin? Pasti mak nak
buat kenduri yang sempurna sebab aku anak lelaki tunggal.
“Nanti mak cuba-cuba tanya bapa-bapa saudara kau. Mana
tahu kalau diaorang boleh tolong.”
“Eh, janganlah mak. Mie tak suka mak buat macam tu.
Sampai bila nak berhutang?”
“Kalau tak buat macam tu, sampai bila nak cukup dua puluh
ribu tu? Simpanan kau ada berapa sekarang?”
“Adalah...”
“Ada tu... berapa?”
“Dalam empat ratus
ringgit.”
Terbeliak mata mak. Aku buat sengih kambing. Bersedia
Johaimi. Mak dah nak tergelak tu. Mak letak penyapu di tepi tangga. Dia menyapu
punggung sebelum duduk mengemas sila di atas pangkin. Mak tak gelak pun. Serius
betul muka dia. Aku hulur botol bekas air putih pada mak. Perlahan saja
tegukkannya. Aku tahu, permintaan abah Durani dah buat mak tak lena tidur.
“Empat ratus tu... nak
beli seekor lembu pun tak lepas Mie...”
“Kalau macam kita jangan beli seekor lembu. Kita beli
daging kotak aje...”
“Mie!”
Peha jadi mangsa lepukan mak. Aku gelak sekejap. Sekejap
saja. Aku pun susah hati. Tapi susah hati saja tak guna kalau tak berusaha. Aku
pegang jemari tua mak. Ada air jernih sedang bertakung di matanya.
“Laaa... apsal sedih sangat ni?”
“Mak risau Mie. Kalau kau tak dapat kumpul dua puluh ribu
tu, mak takut kau kecewa nanti...”
Aku pandang mak. Cepat-cepat dia tarik hujung tudung
lusuhnya, mengeringkan mata yang semakin banjir. Dia alihkan pandangan ke arah
lain. Tapi kemudian dia pandang aku dan tepuk-tepuk tangan aku yang masih
menggenggam tangannya.
“Janganlah macam ni mak. Mak ni, suka takutkan Mie
lah...”
“Mak bukan nak takutkan kau. Tapi ni mak Mie. Mak rasa
Pak Zahar tu sengaja nak aniaya kau.”
Kali ini aku pula yang bersila rapat mengadap mak. Wajah
keruh mak dah berjaya buat aku tak sedap hati. Selalunya apa yang dia rasakan
memang betul-betul terjadi.
“Kita ni bukan orang senang Mie. Dia pun tahu. Tapi
kenapa dia sengaja letak hantaran tu tinggi-tinggi? Mesti dia ada muslihat
Mie...”
“Itu perasaan mak aje. Mie kan dah
jadi Supervisor sekarang mak. Nanti
Mie nak berbincang dengan Abang Zali. Kalau boleh Mia nak buat personal loan dengan dia. Nanti
tiap-tiap bulan dia potonglah sikit gaji Mie...”
Mak pandang macam orang tak percaya.
Aku senyum dan angguk banyak kali. Tapi wajah mak masih belum nampak riak lega.
Apa lagi yang mak fikir ni?
“Sampai bila dia nak potong gaji
kau? Takkan kau nak kerja kat stesen minyak tu sampai beranak-pinak?”
“Laaa... Apa salahnya? Mie bukannya pinjam
dengan Along. Abang Zali tu dah lama
kenal Mie. Dia pun dah cakap, dia boleh pinjamkan Mie duit tu.”
Maknanya selagi hutang belum
langsai, kau kena kerja dengan Zali? Macam tu?”
Aku angguk. Mak lepaskan pegangan
tangan. Lama kemudian dia tarik nafas lega. Dia berlunjur kaki, kebas agaknya.
Aku picit hujung kaki mak. Mak cuma pandang. Sayu pula hati aku tengok dia. Tak
pasal-pasal dia pun risau sama.
“Mak jangan risau ya. Inshaa
Allah... jodoh Mie dan Dura kuat. Kalau tidak, dah lama Pak Zahar halang kami.
Tapi mak tengok sendiri kan? Sejak sekolah, Pak Zahar tak pernah halang pun.”
Mak diam. Dia turun dari pangkin dan
terus masuk ke rumah. Dah sampai masa untuk menjemput Zarith dari sekolah. Aku
pun ikut masuk. Ternampak telefon di atas meja solek. Terus teringat Durani.
Memang dah lama aku tak dengar suara manja dia. Kepenatan menguruskan stesen
minyak sepanjang minggu ni buat aku tak sempat langsung nak call dia. Balik kerja terus mandi,
makan, letak saja kepala di bantal, terus hanyut. Memang penat betul. Otak dan
badan sama penatnya.
Nombor Durani aku cari. Ketika
menanti panggilan dijawab, baru aku perasan. Dia pun dah seminggu tak call aku. Pelik. Selalunya kalau sehari
aku tak call dia, pasti bersusun SMS daripada dia yang akan aku dapat.
“Assalamualaikum...”
Dahi berkerut ketika mendengar salam
dari Durani. Walaupun hanya ucapan yang pendek, aku dapat rasa tidak ada
keterujaan dalam suaranya.
“Waalaikumsalam sayang... Lamanya
tak dengar suara Dura...”
“Dura sibuklah Joe. Orang tu pun dah
lama tak call kita...”
“Bukan tak nak call... Orang tu kan sibuk... Kita malaslah nak kacau...”
Dalam lembut aku pulangkan semula
kata-kata Durani. Dia tidak menjawab. Memang sangat pelik. Dia tidak ramah seperti
selalu. Aku kerling jam di dinding bilik. Dah nak habis waktu sekolah.
Kalau ajak dia lunch date rasa-rasanya dia nak tak?
“Dura... Kita keluar lunch date, nak? Joe dah lama tak keluar
makan dengan Dura. Tak rindu Joe ke?” Buat suara merengek sikit. Mana tahu
kalau-kalau dia terpancing, kan?
“Err... Bila?” tanya Durani.
“Minggu depan.” Aku ketawa di hujung
kata. Dia ni dah kenapa? Tak pernah dia tanya soalan macam tu sebelum ni.
Selalunya pantang aku ajak, laju saja dia bersetuju.
“Hari inilah sayang.”
“Errr... Hari ni tak bolehlah Joe. Dura ada meeting lepas sekolah nanti.”
“Kalau macam tu kita lunch date lepas Dura habis meetinglah.”
“Joe tak kerja ke hari ni?”
Uik,
kenapa tiba-tiba dia ubah topik perbualan ni? Ini memang sudah betul-betul menghairankan.
“Kerja.
Tapi boleh aje kalau setakat nak keluar lunch
kejap.”
“Dura tak tahu meeting
habis pukul berapa...”
“Tak kisahlah pukul berapa pun sayang. Joe tunggu. Boleh
ya?”
“Dura tak berani nak janji. Sebab...”
“Ada latihan sukan pulak ke?”
Mulalah aku nak panas hati ni. Banyak sangat pula songehnya. Atau, dia sengaja pura-pura
merajuk. Yalah, dah seminggu aku tak call
dia. Mungkin dia sengaja nak jual
mahal agaknya.
“Joe... Dura balik dengan abah. Sekarang ni abah yang hantar
dan jemput Dura di sekolah. Jadi...”
Okey, aku dah faham sekarang. Pak Zahar sedang cuba
menjarakkan hubungan aku dan Durani rupanya. Bertenang Johaimi. Jangan fikir
negatif. Mungkin ada sebab Pak zahar buat macam tu. Aku kehilangan modal nak bercakap
sekejap. Terperanjat pun ya juga.
“Kalau macam tu, bila boleh jumpa Dura? Tak rindu Joe
ke?”
“Rindu... rindu sangat...” Ada getaran di suara Durani.
Seperti sedang menahan sebak. Kenapa tiba-tiba sedih pula ni?
“Joe... Dura ada kerja ni. Nanti kita sembang lagi, ya. Bye
sayang. Assalamualaikum.”
Panggilan tamat. Eh, aku belum cakap lagi yang aku sayang
dia. Cepat sangatlah dia tamatkan perbualan. Aku termenung sekejap. Cuba flashback semula perbualan aku dan Durani sebentar tadi. Memang
lain benar rasanya. Durani bercakap seperti orang ketakutan. Tapi, apa yang dia
takutkan? Abah dia? Ya, abah dia. Sekarang Pak Zahar dah menaikkan pangkat diri
sendiri menjadi ‘supir terhormat’ Durani.
Tersungging senyum sinis di bibir sendiri. Sedap pula gelaran
tu aku tabalkan pada Pak Zahar. Supir
terhormat. Huh! Kau kawal pergerakan buah hati aku, tak apa. Nanti bila dia
dah jadi bini aku, jangan haraplah kau dapat kawal dia lagi.
Aku capai tuala dan bergerak ke bilik mandi. Solat dulu
sebelum pergi kerja. Kena berdoa banyak-banyak semoga Allah permudahkan urusan
aku untuk mengumpul wang hantaran Durani. Dura... Joe rindu.