Tersenyum lebar Izzah melihat sepuluh jemarinya yang berinai. Susunan dulang-dulang hantaran di tepi katil dikira berulang kali. Bagai mimpi, akhirnya ibunya menerima lamaran Asrun. Orang yang bertanggungjawab dan memainkan peranan utama dalam usaha memujuk ibunya adalah Nek Som. Tanpa pertolongan neneknya, mungkin hasrat Izzah akan terkubur begitu saja.
“Amboi! Baru nampak dia senyum. Kalau tidak tu, muncung tu boleh diikat dengan reben!”
Izzah tersipu. Merona merah wajahnya disakat Rahimi, abang sulungnya. Izzah mengemaskan sila, memberi ruang pada Rahimi duduk di birai katil. Kepalanya diusap perlahan. Makin panas wajahnya diperlakukan begitu.
“Along tak nak membebel panjang, tapi along cuma nak tanya. Izzah yakin ke dengan keputusan yang Izzah buat ni?”
Izzah bersabung pandang dengan abang sulungnya. Dengusan halus terhembus dari bibir mongelnya. Naik bosan Izzah mendengar soalan itu. Namun apakan daya. Senyum di wajah cuba diukir semanis mungkin untuk menutup kejengkelan di hati.
“Along, setiap orang akan melalui pengalaman pertama. Izzah memang yakin dengan keputusan Izzah. Tapi kalau masing-masing tak bagi peluang, macam mana Izzah nak buktikan pada semua orang? Janganlah layan Izzah macam budak tadika. Adik along ni dah besar tau.”
“Amboi! Pandainya dia menjawab. Izzah Mazuin Binti Azizi, orang sekeliling awak ni risau sebab awak tu masih muda. Asrun tu, sepuluh tahun bezanya dengan Izzah. Along takut...”
“Alah! Nak takut apanya? Kan, dia dah janji akan ikut setiap syarat yang mak bagi. Dia tu gentlemanlah along. Dia takkan mungkir janji. Percayalah cakap Izzah.”
Laju Izzah membidas kata-kata Rahimi. Dia bingkas bangun dan masuk ke bilik air. Henna yang sudah kering dijemarinya dibasuh pantas. Usai inai di jarinya dibersihkan, Izzah tidak terus keluar dari bilik air. Sengaja dia berteleku di atas tandas. Malas nak menadah telinga lagi untuk mendengar ocehan Rahimi. Apalagi yang hendak dibebelkan? Ibunya Zaleha sudah meletakkan syarat. Asrun telah pun dengan senang hatinya menerima syarat-syarat yang diberi. Jadi tak perlulah ada pertikaian dari ahli keluarga yang lain lagi.
“Tak payahlah nak menyorok dalam bilik air tu. Mak andam dah datang ni. Siap cepat. Lepas Asar nanti awak tu nak bertukar title...”
Izzah mencebik mendengar perlian Rahimi. Bengang juga sebab Rahimi mampu menghidu helahnya. Tapi cuma sebentar. Senyum kembali melebar apabila ternampak deretan busana dan peralatan mekap tersusun di atas katil sebaik sahaja dia keluar dari bilik air.
“Kak Zila, mekap lawa-lawa tau. Izzah nak jadi orang yang paling cantik hari ni. Biar semua orang ternganga tengok Izzah.”
“Lawa tu bukan setakat luaran Izzah. Dalaman kita pun kena cantik juga...”
Izzah tersengih lebar. Tak tahulah samada dia faham atau tidak bahasa kiasan yang dilontarkan oleh Zila. Apa yang pasti saat ini, hatinya sedang berbunga-bunga. Taman bahagianya sedang berdaun lebat dan berbunga segar. Adakah Izzah mampu mengekalkan kesegaran dan keharuman taman cintanya?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
“Terima kasih mak. Saya janji akan jaga Izzah sebaik mungkin...”
Asrun mengucup tangan ibu mertuanya. Zaleha senyum nipis. Kepalanya mengangguk perlahan. Asrun beralih pula pada Nek Som. Orang tua itu cuma tersenyum. Kepala Asrun ditarik lembut lalu dicium ubun-ubun suami cucu kesayangannya itu. Tiba giliran Izzah. Tiada kata yang mampur dilafazkan. Hanya airmata kegembiraan yang tak henti-henti mengalir di pipi di saat dia memeluk tubuh kurus ibunya. Walaupun kurang senang, ada juga sekelumit rasa sebak di dada Zaleha.
“Mak sayang Izzah. Sebab itu mak tunaikan permintaan Izzah walaupun berat hati mak nak lepaskan Izzah pada Asrun. Sekarang tiba giliran Izzah pulak tunaikan janji Izzah pada mak.”
Tubuh langsing anak perempuan tunggalnya dipeluk erat. Zaleha cuba memujuk hatinya untuk merestui perkahwinan yang diwalikan oleh Rahimi itu. Sebagai abang sulung, dia juga kurang yakin Izzah akan dapat memikul tugas-tigas isteri dalam usia semuda itu. Namun dia cuba berfikiran positif. Melihat kesungguhan Asrun untuk mengotakan janji-janji yang dimeterai bersama ibunya membuatkan Rahimi lembut hati.
“Asrun, along serahkan adik along pada kau. Along yakin kau boleh membentuk dia menjadi wanita yang sempurna. Kau pula Izzah. Dah sampai masanya kau bersikap matang. Along nak tengok, setakat mana kesungguhan kau untuk sambung belajar lepas kau jadi bini orang nanti.”
Bahu Asrun ditepuk-tepuk perlahan. Kemudian hidung mancung Izzah pula menjadi mangsa cubitan Rahimi. Mereka berdua hanya tersenyum sambil mengangguk-angguk kepala. Dalam debar untuk melayari bahtera rumahtangga di usia muda, perjanjian dengan ibunya untuk sambung belajar juga harus dipenuhi. Selepas ini tiada lagi yang akan menyiapkan sarapan pagi untuknya. Kain baju perlu dicuci sendiri. Memasak, memasak? Mengenangkan hal yang satu itu buat Izzah menelan liur berkali-kali.
“Sikitnya Izzah makan? Tak sedap ke?” tanya Asrun ketika mereka berada di meja santapan raja sehari.
“Abang, Izzah tak pandai nak masak lauk yang sedap macam ni...” bisik Izzah perlahan di telinga Asrun. Laju Asrun menoleh dan merenung ke dalam mata Izzah. Ada sinar berkaca-kaca di dalam anak mata isterinya itu.
“Takkanlah Izzah tak pandai masak langsung. Goreng telur, masak nasi, bancuh kopi. Takkan itu pun tak tahu?”
Laju Izzah menggeleng. Merah padam wajahnya menahan malu. Belum pun dua puluh empat jam bergelar isteri, kekurangan dirinya terbongkar sudah. Senyum sinis Asrun buat Izzah semakin serba-salah. Dicapainya gelas minuman. Namun sirap selasih yang cuba ditelan terasa berpasir di kerongkong.
“Patutlah mak Izzah cakap jangan menyesal. Banyak benda rupanya yang Izzah tak tahu,” ujar Asrun perlahan.
Hampir menitis airmata Izzahmendengar kata-kata Asrun. Adakah ungkapan cinta dan sayang yang sering diungkapkan oleh Asrun selama setahun yang lalu hanya barisan tebu di pinggir bibir? Adakah Asrun akan berubah hati setelah mengetahui dirinya tidak seperti yang diharapkan? Dalam diam Izzah mengutuk diri sendiri. Kalaulah dari dulu dia belajar selok-belok menguruskan diri sendiri dan rumahtangga, tidaklah dia terpaksa berhadapan dengan situasi begini.
“Izzah...”
Berat kepala Izzah untuk menoleh. Ingin saja dia berlari meninggalkan majlis dan menyorokkan wajah. Malunya pada Asrun tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Baru kini dia faham, bukan mudah untuk menyandang gelaran seorang isteri yang sempurna.
“Izzah... pandang abang sayang,” pinta Asrun lembut. Dagu runcing Izzah ditarik perlahan dengan hujung jemari kasarnya.
“La.. kenapa menangis pulak ni?”
“Izzah takut...”
“Takut kenapa? Abang belum buat apa-apa pun lagi..”
“Izzah takut abang tinggalkan Izzah sebab Izzah tak pandai buat kerja rumah. Izzah tak pandai masak. Kemas tempat tidur pun main cincai aje..”
“Hmm, kalau macam tu Izzah kena benarkan abang nikah sorang lagi.”
“Ha?”
Hampir meledak tawa Asrun melihat Izzah membuntang mata. Beberapa orang tetamu yang m endengar jeritan kecil Izzah tertoleh ke arah mereka berdua. Haji Lajis yang sedang melayan tetamu juga menjongket kening.
“Sampai hati abang buat Izzah macam ni. Abang tahu tak yang Izzah betul-betul sayangkan abang?”
Tertahan-tahan suara Izzah. Jemarinya meramas kasar sapu tangan yang mengalas peha. Permintaan Asrun yang di luar jangkaan itu benar-benar merobek tangkai hatinya. Makin luluh bila melihat Asrun ketawa kecil sambil mengesat pipinya yang sudah lencun dengan airmata.
“Sebab sayang Izzah lah abang buat macam ni. Yang sorang lagi kerjanya kemas rumah, memasak, basuh baju...”
“Ambil pembantu rumah ajelah! Yang gatal sangat nak kahwin lagi sorang tu kenapa?”
“Eh! Siapa nak temankan abang kalau Izzah pergi kelas nanti. Sunyilah abang sorang-sorang kat rumah...”
Asrun sudah tidak mampu membendung tawa apabila Izzah tanpa segan sudah memukul-mukul dadanya. Hadirin yang sedang menjamu selera cuma menjadi penonton. Ada yang senyum tersipu melihat keletah keanak-anakan Izzah.
“Oi, kut iya pun nak bercengkerama selesaikan majlis dulu. Tak malu orang tengok ke?”
Terhenti tangan Izzah mendengar teguran Rahimi. Asrun menarik bahu Izzah rapat ke bahunya. Satu ciuman ikhlas singgah di dahi Izzah.
“Along, belum apa-apa lagi adik along ni dah gabra. Saya rasa banyak kerja yang perlu saya buat dengan dia lepas ni. Maklumlah, saya dah pilih nak kahwin dengan budak kecik, jadi kenalah training dia jadi budak besar cepat-cepat.”
Seloroh Asrun disambut dengan gelak tawa Rahimi dan Haji Lajis. Di sudut dewan, Zaleha hanya melihat kemesraan yang sedang berlaku di meja santapan raja sehari. Dalam diam dia menghela nafas lega. Buat permulaan dia dapat melihat kesungguhan Asrun untuk memenangi hati tuanya. Besar harapannya agar Asrun mampu merealisasikan harapannya untuk melihat Izzah memegang segulung ijazah satu hari nanti.