Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

January 05, 2014

DEMI KASIH KITA BAB 8

            Genap seminggu, besok aku akan bekerja semula. Perkara yang cukup malas setiap kali nak memulakan tugas adalah menyeterika baju. Hampir satu jam aku mengerjakan lima pasang pakaian seragamku. Mujur mak menemankan. Ada juga teman berbual.
               “Besok Ira kerja pagi kan?” tanya mak
               Aku mengangguk. Mata mengerling mak yang sedang mengira butiran ubat yang perlu dimakan. Begitulah rutin hariannya sekarang, makan ubat dah seperti makan coklat.
               “Ira pergi dengan bas atau pinjam motor Asyura?”
               “Ira naik bas. Ira dah tak nak harapkan Syura lagilah mak. Buatnya dia lambat besok, tak pasal-pasal merah pula punch card  Ira.”
               Mak mengeluh perlahan. Gelas disuakan ke mulut, selepas beberapa teguk dia memasukkan beberapa butir ubat yang disediakan tadi. Puas hati aku melihat mak menelan ubat. Harap-harap besok dia tidak culas untuk makan ubatnya mengikut jadual. Maklumlah, tinggal dengan Nora. Kalau aku ada di rumah memang tak ada peluang mak nak mengelak.
               “Kalau Ira nak beli motor, mak boleh keluarkan simpanan Tabung Haji mak tu.”
               Terhenti tanganku seketika. Mata melihat mak yang sedang menghabiskan air di dalam gelas.
               “Mak, dah berapa kali Ira cakap? Duit tu untuk mak pergi Haji nanti.”
               “Entah sempat ke tidak mak nak ke sana,” ucap mak perlahan.
               “Mak cakap apa ni? Ira tak sukalah! Insya Allah, ada rezeki nanti mak pasti akan ke sana. Mak jangan keluarkan duit tu. Motor tu tak penting pun. Ada rezeki nanti, Ira nak terus beli kereta. Senang nak bawa mak jalan-jalan.”
               Tangan kembali laju menggosok seterika panas di atas seluar. Mak dah beberapa kali menguap. Kasihan melihat dia hampir terlentok di kerusi. Aku suruh dia masuk ke bilik. Payah juga kalau dia dah tertidur nanti. Kudrat aku ni bukannya kuat sangat nak menampung berat badan mak.
               “Jangan tidur lewat Ira. Jangan lupa kunci jam sekali,” pesan mak sebelum masuk ke bilik.
               “Okey, selamat malam mak. Assalamualaikum.” Aku dakap dan cium kedua-dua belah pipi mak. Kebiasaan yang sering aku lakukan setiap malam.
               Lima belas minit selepas mak masuk ke kamar, aku pula menyusul. Selesai kerja-kerja menyeterika, pakaian-pakaian seragam ku gantung di dalam almari. Jam loceng sudah dilaraskan, aku ke bilik air, cuci muka berus gigi dan mengambil wuduk. Usai solat sunat, lampu bilik ku padam. Selesai mengucap syahadah aku lelapkan mata.
               Sudah sepuluh minit, aku mula terkebil-kebil di dalam gelap. Bantal peluk ku dakap erat. Masih tidak kena. Badan ku pusing ke sebelah kiri, juga tidak selesa. Selimut yang membungkus tubuh ku campak ke bawah. Masih terasa panas. Hish, kenapa pula ni? Aku bangun dan menukar posisi kepala ku ke arah Qiblat. Lelaplah mata, besok nak kerja.
               Aku capai telefon di bawah bantal. Kalau aku kacau Rani pada waktu-waktu begini, ada potensi tak aku dapat ceramah percuma? Hmm, baik jangan cari pasal. Siapa lagi aku nak kacau? Dr.Zaiman? Aku mana ada nombor telefon dia. Padan muka kau Akira, petang kelmarin dia nak bagi nombor telefon, kau jual mahal. Sekarang siapa yang rugi?
               Dalam gelap, ingatan kembali pada pertemuan terakhir petang kelmarin. Tak sangka pula, Dr.Zaiman peminat lepat pisang. Habis sepiring lepat pisang yang mak hidangkan. Tak cukup dengan itu, dibekalkannya lagi ketika Dr. Zaiman berangkat pulang. Melihat penerimaan positif mak, buat hati aku tercuit. Terbukakah hati aku untuk menerima Dr.Zaiman? Aku tahu dia masih menunggu jawapan. Tinggal dua minggu sahaja lagi sebelum dia berangkat pulang untuk menyambung pengajian. Andai aku beri peluang pada dia, sampai bila hubungan ini akan bertahan? Mata makin layu, sebelum aku terlena aku pohon petunjuk dari Nya agar berikan aku jalan untuk menyelesaikan masalah hati ini dengan sebaik-baiknya.
               “Ira, Ira!”
               Suara mak berselang-seli dengan ketukan di pintu. Jam loceng di atas meja juga berbunyi nyaring. Aduh, susahnya nak mencelikkan mata. Rasanya baru lima minit sahaja aku tertidur. Mak masih memanggil, makin lama makin kuat pula suaranya.
               “Ya, ya Ira dah bangun!”
               Berat hati nak meninggalkan bantal. Tapi apakan daya, seruan tugas sudah memanggil. Suis lampu ku petik. Sambil menahan silau, tuala yang tersangkut di belakang pintu ku capai. Perlahan-lahan tombol pintu aku pulas.
               “Mak!!!”
               Hilang terus kantuk di mata. Aku mengurut dada melihat mak yang sedang bercekak pinggang di hadapan pintu. Muka mak yang bertepek bedak sejuk kelihatan menakutkan dengan matanya yang bulat merenung aku.
               “Mak ni, nasib baik Ira tak pengsan tau!” Sambil bersungut, aku kutip tuala mandi yang terjatuh.
               “Pengsanlah. Mak simbah Ira dengan air nanti. Dah pukul berapa ni? Nanti lambat pergi kerja. Mandi cepat!”
               Sekali lagi aku terkejut dengan jerkahan mak. Spontan aku memeluk mak dan mencium pipinya bertubi-tubi. Terjerit-jerit mak cuba melepaskan pelukan.
               “Busuklah Ira ni! Bertuah punya budak. Pergi mandilah!”
               Aku lepaskan pelukan apabila sepit ketam mak mula merayap di pinggang. Laju aku ke bilik air apabila punggungku pula menjadi sasaran tamparan lembut mak. Kedinginan pagi buat aku ambil masa yang sekejap sahaja untuk bersiram. Aku tinjau mak di dapur. Rutin asalnya sudah bermula. Kalau aku kerja pagi, pasti mak pun sama sibuk menyiapkan sarapan pagi untuk aku.
               “Ira nak bawa bekal tak? Mak ada buat nasi goreng?”
               Eh, mak perasan rupanya aku mengintai dia. Mulut dan tangannya sama lincah. Mak memang tak boleh duduk diam. Kalau sihat, ada saja aktiviti yang hendak dia lakukan.
               “Ira sarapan kat rumah aje mak. Awal lagi ni. Ira habis kerja hari ni pukul dua. Balik nantilah baru makan tengahari.” Aku terus masuk ke bilik. Setengah jam kemudian aku keluar, sudah lengkap berpakaian serba biru dan bertudung putih. Terus aku tuju ke dapur.
               “Bila Nora sampai? Kak Ira tak dengan bunyi orang bagi salam pun?” Aku tarik kerusi di sebelah anak Makcik Juriah itu. Mak juga sudah bersedia di meja dengan sebekas ubat-ubatannya.
               “Dia ikut pintu belakang,” jawab mak. Nora menyeringai suka.
               Aku tarik pinggan yang berisi nasi goreng. Kopi susu yang sudah suam ku hirup perlahan. Senafas sahaja aku membaca doa makan. Sesudu demi sesudu aku menyuap nasi goreng ke mulut.
               “Nora, lepas makcik makan ubat ni pastikan dia tak buat apa-apa kerja lagi ya. Kalau dia tak dengar cakap Nora, telefon Kak Ira. Nanti Kak Ira balik bawa jarum besar, kitaenjet  punggung mak,” seloroh aku pada Nora. Terjuih bibir mak mendengar ugutan aku.
               “Eleh, Nora tu mak umpan beli ais krim aje nanti.” Mak pun tak mahu kalah. \
               Aku terlebih dahulu menyudahkan sarapan dari mereka berdua. Tak boleh berlengah sangat pada waktu-waktu begini bimbang akan ketinggalan bas.
               “Mak, Nora. Duduk berdua kat rumah jangan beramuk ya. Kalau ada apa-apahal telefon Kak Ira,” pesan aku pada Nora dan mak. Mereka berdua menghantar aku hingga ke pintu pagar.
               Nasib sangat baik hari ini kerana bas tiba tepat pada waktunya. Aku sampai ke hospital awal sedikit dari biasa. Rani pun sudah berada di kaunter wad ketika aku menolak pintu wad. Sahabat sejati aku tu sudah melebarkan senyum sebaik saja aku merapatinya.
               “Seronoknya dapat jumpa kau.” Rani memeluk aku. Seperti peristiwa jejak kasih pula. Aku perhatikan keadaan Wad Ginekologi itu. Tidak ada yang berubah. Cuma wajah-wajah penghuni katil sahaja yang sudah berganti. Sempat lagi aku dan beberapa orang rakan sekerja yang baru akan menamatkan waktu kerja pagi itu bertanya khabar.
               Waktu kerja dimulakan pagi itu dengan sesi serah-menyerah tugas. Aku, Rani, Tini dan Mazlin diberi taklimat mengenai keadaan ibu-ibu mengandung di dalam wad itu. Ketika kami masuk ke bilik yang terakhir, pintu masuk wad dibuka. Beberapa orang doktor pelatih sudah sampai. Dr.Zaiman adalah salah seorang dari mereka.
               “Amboi, lebarnya senyum. Sukalah tu, buah hati dah masuk kerja.” Rani menyenggol bahu aku. Spontan tangan aku menampar lengannya.
               “Banyaklah kau punya buah hati. Aku bukan senyum kat dialah. Aku senyum kat Dr.Joanne.” Muka dah merona merah, tapi masih cuba menidakkan kenyataan Rani.
               “Yelah tu. Hari ni tak ada ke lepat pisang untuk dia?” Rani memandang aku sambil menggerak-gerakkan kening. Nakal sungguh raut mukanya.
               “Bukan aku yang bagilah! Mak aku yang bekalkan untuk dia. Eh, macam mana kau tahu? Dia cerita kat kau ke?”
               “Taklah, aku dengar dia bersembang dengan Doktor Rozy semalam,” jawab Rani.
               Ya Allah, mulut dia ni macam perempuanlah! Kenapa mesti dia bercerita dengan kawan-kawan dia? Malulah aku! Entah versi apalah agaknya cara dia bercerita tu. Jangan dia buat versi melawat bakal mak mertua sudahlah.
               Selesai sesi taklimat, kami berempat kembali ke kaunter. Baru sahaja menghenyak punggung, pintu wad dibuka lagi. Rakan setugas dari Jabatan Pesakit Luar masuk bersama seorang wanita yang ditolak dengan kerusi roda.
               “Selamat pagi semua,” ucap jururawat yang memakai tag bernama Ruby itu. Fail yang terkepit di celah lengan dihulur pada Tini.
               “Mak awak dah sihat Akira?” tanya Ruby sambil menunggu Tini selesai membaca fail pesakit yang diberikan.
               “Alhamdulillah, dah sihat,” jawab aku ringkas. Sekelumit senyum aku sedekahkan pada Ruby sambil tangan  sibuk menyiapkan peralatan untuk melakukan ward round sebentar lagi.
               “Pesakit ni nak admit  ke?”
               Tumpuan teralih pada suara yang sedang bertanya. Dr.Zaiman mengambil fail pesakit yang baru selesai dibaca oleh Tini. Wajahnya nampak biasa-biasa sahaja. Dr.Rozy dan Dr.Joanne turut meneliti fail tersebut.
               “Boleh bagi kami uruskan pesakit ni tak? Hari ni kami ada observation.” Dr. Zaiman menutup fail yang sudah selesai dibaca.
               Ruby sudah beredar sebaik saja menandatangani dokumen serah-menyerah pesakit. Tini memandang aku dan Rani. Kami berdua mengangguk serentak. Doktor-doktor  pelatih tersenyum tanda terima kasih. Tapi senyum Dr.Zaiman nampak lebih manis dari yang lain-lain.
               “Katil di bilik tengah ada kosong doktor. Perhatikan betul-betul jenis branula tu. Pesakit tu kurus, jangan guna jarum yang besar pula. Bocor badan dia nanti,” seloroh Rani.
               Aku nampak Dr. Zaiman mengemam bibir. Hilang saja mereka bertiga dari pandangan, Rani terus rapat padaku.
               “Amboi, sempat lagi kau berdua main mata. Dalam hati sudah ada rasa ke?” Rani mencuit pinggang aku. Kalau bab mengusik memang serah saja pada dia.
               “Belum ada rasa lagilah. Kau jangan buat gosip liar ya.” Aku bagi amaran pada Rani.
               “Kalau ada rasa pun tak salahlah Akira. Aku tengok dia tu boleh tahan juga orangnya. Cuma kadang-kadang aje dia poyo sikit. Tapi sejak kau cuti seminggu tu, aku tengok perangai dia dah semakin siuman. Dah tak marah-marah macam dulu. Dengan kami pun dah ramah. Mungkin sebab dia nak korek cerita pasal kau kot.”
               Aku pandang Rani yang sudah bersedia dengan troli peralatan ward round. “Wah, bukan main lagi kau puji dia. Berapa upah dia bagi untuk pujuk aku ha?”
               “Ini bukan pujuklah, ini kisah benar. Aku rasa dia memang syok kat kau. Masa kau bercuti, setiap kali lepas periksa pesakit dia akan duduk di kaunter. Tak duduk dalam bilik dia seperti selalu.Dekat kerusi kau tu lah dia duduk.”
               “Kenapa dia tak duduk di bilik?” Pertanyaan aku hanya dijawab dengan senyum sinis oleh Rani.
               Berdebar pula hati ini bila Rani cakap begitu. Bukan berdebar sebab takut. Tapi debaran yang sudah tiga tahun aku buang jauh-jauh, seperti datang bertandang kembali. Rani sudah memulakan kerja dengan pesakit di katil pertama. Tidak sampai lima belas minit, kami selesai melakukan pemeriksaan rutin untuk enam orang pesakit di bilik itu. Aku dan Rani bergerak ke bilik yang seterusnya.
               “Aik, dari tadi tak siap-siap lagi ke?” Suara Rani kedengaran perlahan. Aku dan dia berpandangan sebelum melihat kembali tiga orang doktor pelatih itu mengerumuni katil pesakit yang baru masuk sebentar tadi.
               “Ada masalah ke?” Pertanyaan aku mencuri tumpuan mereka. Dr. Joanne memberi ruang untuk aku. Rani menjenguk dari katil sebelah sambil menyudahkan kerjanya.
               “Akira, BP pesakit ni macam tak betul aje,” kata Dr. Rozy.
               Aku pandang dia dengan kerutan di dahi. Tapi tidak lama. Aku tunduk kembali melihat keadaan pesakit kerana aku rasa ada sepasang mata lagi sedang merenung aku.
               “Siapa yang on branula?” Aku tanya Dr. Joanne.
               “Doktor Zaiman,” jawab Dr. Joanne. Aku tunduk, cuba mengawal tangan yang mula menggigil. Apahal pula ni? Dengar nama dia pun tangan dah menggigil. Aku pegang lengan pesakit berbangsa India itu untuk memeriksa denyut nadinya.
               “Sejuknya tangan You  adik,” tegur pesakit itu sambil melemparkan senyum pada aku.
               Aduh, terlebih ramah pula pesakit ni. Baring sajalah diam-diam. Malulah aku kalau Dr.Zaiman tahu aku sedang menahan gemuruh. Duhai hati, kenapalah buat perangai ketika ini? Aku tarik nafas dalam-dalam. Cuba fokuskan perhatian pada kerja. Tak boleh jadi ni. Kalau aku melayan rentak hati ini memang tak jadi kerja aku.
               “Dah berapa kali doktor periksa BP pesakit ni?” Kali ini aku memberanikan diri melihat Dr.Zaiman. Wajahnya nampak biasa. Tak nampak gelabah seperti aku.
               Alahai Akira, Dr.Zaiman tak ada apa-apa. Kenapa kau pula yang lebih-lebih? Aku cuba provok diri sendiri supaya lebih fokus. Aku ulang semula soalan tadi. Kali ini dengan suara yang agak keras.
               “Tiga kali,”  jawab dia.
               “Dalam masa berapa minit?” Soalan aku tidak berjawab. Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Aku pandang tangan masing-masing. Cuma Dr. Joanne dan Dr. Rozy sahaja yang memakai jam tangan.
               “Dr. Zaiman tak ada jam ke?”
               “Ada, lupa nak pakai tadi.”
               “Emm, makan lupa tak?”
               Dr.Joanne dan Dr.Rozy ketawa kecil. Sempat lagi aku mengerling Dr.Zaiman sebelum membetulkan botol drip yang tergantung. Aku betulkan baju pesakit yang agak terdedah. Kemudian aku pandang mereka bertiga.
               “Doktor, pesakit ni kan memang ada  hypertension. Doktor tak boleh terus ambil BP lepas doktor on branula tadi. Kena bagi dia rehat sekejap. Macam mana nak dapat bacaan yang tepat kalau doktor ambil BP semasa pesakit sedang menahan sakit. Tengok ni, peluh dia pun tak kering lagi.”
               Terangguk-angguk kepala Dr. Joanne mendengar ceramah percuma aku. Tak salah pun kalau aku berkongsi ilmu dengan mereka. Walaupun jawatan kami berbeza, tetapi skop kerjanya hampir sama.
               “Saya takut masuk sini adik. Ini  baby nombor satu.”
               Wanita itu mencuri perhatian kami sekali lagi. Aku tarik troli yang aku bawa tadi mendekati katil. Biar aku yang periksa pesakit ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk. Tapi aku mahu mereka bertiga melihat cara yang betul dan harap-harap tiada lagi kesilapan selepas ini.
               “Umur akak berapa?” Aku bertanya sambil menyelak sedikit baju wanita itu. Perlahan-lahan aku letakkan alat pengesan degupan jantung bayi di atas perutnya.
               “Umur tiga puluh. Adik panggil saya Savithri.” Aku senyum mendengar jawapannya. Degup jantung bayi di dalam rahimnya mula kedengaran. Buntang Savithri tatkala telinganya menangkap bunyi itu.
               “Ayo! Itu bunyi  baby saya ka?” Wajah Savithri nampak teruja. Aku mengangguk, senyum masih kekal di bibir. Begitulah caranya untuk menenangkan pesakit. Aku biarkan dia mendengar degupan jantung anaknya buat seketika. Setelah aku yakin Puan Savitri sudah bertenang, aku teruskan dengan prosedur yang seterusnya.
               Termometer aku letakkan di bawah lidahnya. Aku ambil alat untuk memeriksa tekanan darah lalu aku serahkan pada Dr. Rozy. Dia kelihatan serba-salah.
               “Doktor buat, cuba tengok berapa bacaan BP  Puan Savithri kali ini,” arah aku.
               Aku tinggalkan mereka bertiga selepas mereka mendapat bacaan yang sepatutnya. Tapi sebelum beredar, aku gamit Dr.Zaiman menghampiri aku di katil sebelah. Aku hulurkan jam tangan yang aku pakai padanya.
               “Ambil jam ni dulu. Besok pulangkan semula pada saya.”
               “Habis tu awak nak guna apa? Awak pun perlukan benda ni juga kan?” Dr. Zaiman teragak-agak untuk mengambilnya. Aku letakkan jam itu di atas meja kecil di sebelah katil pesakit.
               “Pakai aje dulu. Saya ni orang lama. Pandai-pandailah saya nak hidup nanti.” Aku terus keluar dari bilik itu. Tak perasan pula perbuatan aku sedang diperhatikan oleh Rani yang terlebih dahulu selesai melakukan  ward round.
               “Amboi! Baiknya hati. Siap bagi pinjam jam,” perli Rani. Aku diam tak membalas. Tiba-tiba jadi malu sendiri. Kenapa aku bermurah hati sangat pula ni?
               “Tadi kan dia kata hari ni dia ada observation. Kalau benda penting tu dia tak ada, susahlah dia nanti.” Aku cuba mengutarakan alasan yang relevan.
               “Oh ye ke? Tak tahu pula aku yang kau ni dah tukar profesion.”
               “Profesion apa pula ni?” Aku kurang faham dengan sindiran Rani.
               “Pembantu peribadi Doktor Zaiman.”

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.