Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 28, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 8




              Suasana banglo dua tingkat milik Tuan Zakaria lewat petang itu riuh-rendah dengan suara kembar Farina dan Farisya. Hilang lelah Fatin meladeni karenah adik-adik bongsunya. Walaupun jarak umur Fatin dan adik-adiknya agak jauh, hubungan mereka tetap rapat. Siapa sangka di kala usia mamanya hampir mencecah angka lima puluh, mereka dikurniakan dengan anugerah yang tidak  ternilai ini.
“Kak Atin, jomlah mandi!”ajak Farisya.
Laju Fatin menggeleng. Ikutkan hati mahu saja dia menyertai adik-adiknya. Namun ‘masalah utama’ yang dihadapi oleh wanita pada setiap bulan membantutkan hasratnya.
“Alah, jomlah Kak Atin. Tak bestlah mandi berdua aje." Farisya pula cuba memujuk. Fatin menggeleng lagi.
"Tak mahulah. Kak Atin temankan kat tepi kolam aje, sejuk!"
"Ooo…takut sejuk ya? Farisya, jom kita simbah Kak Atin!" jerit Farina.
Fatin diserang dengan simbahan air oleh adik-adik kembarnya. Akhirnya dia juga basah lencun. Seronoknya bermain air, tidak sedar rembang senja mula menjenguk. Sayup-sayup kedengaran bacaan tahrim di surau.

“Dik Farisya, Dik Farina...hari udah telat nih. Nanti kamu kedinginan. Ayuh kita ganti bajunya.”
Bibik Ronisa muncul dengan tiga helai tuala di tangan. Farisya dan Farina keluar dari kolam. Bibir masing-masing sudah menggigil kesejukan.
“Bik, nanti tolong buatkan susu suam untuk budak kecik berdua ni ya,” pinta Fatin lembut.
“Fatin bagaimana? Mahu bibik buatkan juga atau enggak?” tanya Bibik Ronisa
“Nanti Fatin buat sendiri kalau Fatin nak.”
Bibik Ronisah mengangguk tanda akur. Empat  tahun bekerja di rumah itu membuatkan dia sudah arif dengan keperluan anak-anak majikannya. Diiringinya si kembar naik ke bilik untuk menyalin pakaian diikuti oleh Fatin. Usai bersiap, barulah Fatin keluar dari bilik. Menonton di ruang tamu seorang diri membuatkan Fatin kebosanan. Adik-adiknya sedang sibuk dengan aktiviti masing-masing  di bilik bersama Bibik Ronisah.
Mama dan papanya masih belum pulang dari pejabat. Begitu juga dengan Along Faiz. Di saat berseorangan begini dia teringatkan Angah Fatihah. Kakaknya yang berada di luar negara. Sudah lama mereka tidak bertemu. Mujur kecanggihan teknologi masa kini tidak memutuskan hubungan kekeluargaan mereka. Saban minggu mereka akan berhubung. Pulas duduk di ruang tamu. Fatin ke dapur untuk membancuh air. Dia memang jarang makan malam. Lebih-lebih bila tiada sesiapa di rumah. Kurang dari lima minit, Fatin selesai membancuh milo panas. Dengan mug di tangan, Fatin pergi ke laman luar. Duduk bersantai seorang diri di situ sambil menikmati udara malam.
Ditinjaunya sebentar rumah Ayu yang terletak bersebelahan rumahnya. Senyap dan sunyi. Sejak berpacaran dengan Hairi, Ayu sudah jarang menyinggah ke rumahnya. Sekali-sekala ada juga Ayu mengajak dia keluar bersama. Tapi sering juga ditolak dengan baik. Dia masih belum dapat menyesuaikan diri  keluar  dengan mana-mana lelaki. Lebih-lebih lagi bila Kamal juga turut menyertai mereka.
Kamal, menyebut nama lelaki itu membuatkan hatinya bergetar. Fatin cuba menidakkan kehadiran lelaki  itu di ruang hatinya. Masih terlalu awal untuk dia memikirkan soal hati dan perasaan. Namun setiap kali dia cuba menolak, makin kuat ingatannya pada lelaki yang pernah menyelamatkan nyawanya itu. Fatin menarik nafas dalam-dalam. Hembusan nafasnya kedengaran berat. Milo yang masih panas disisip sedikit.
Memikirkan tahun ini adalah tahun yang penting untuknya, Fatin jadi lelah. Dia tidak mahu menghancurkan harapan papa dan mama. Namun kebelakangan ini tumpuannya agak terganggu. Semuanya gara-gara Kamal. Lelaki itu memberikan impak yang cukup kuat dalam dirinya. Dia tersepit antara hati dan budi. Gangguan dari Lina makin menyemakkan otak. Entah apa salahnya pada rakan sebayanya itu yang menyebabkan Lina sering sahaja mencari onar.
Menungan Fatin terbantut dek bunyi kereta yang berhenti di hadapan pintu pagar rumah. Fatin memanjangkan leher. Pintu pagar telah dibuka melalui alat kawalan jauh. Kereta Along Faiz bergerak perlahan masuk ke garaj kereta  yang bersebelahan dengan kolam renang. Fatin bersandar semula, melihat abang sulungnya keluar dari perut kereta. Dia nampak penat. Tapi masih mampu menghadiahkan senyum buat Fatin.

“Amboi! Sedapnya minum. Tak ajak along pun.” Faiz  mengambil mug berisi milo panas di tangan Fatin. Terus disua ke mulut.
“Adoi, panas!”
Tergesa-gesa  dia meletakkan kembali mug di atas meja sambil mengipas-ngipas mulut yang kepanasan .
“Padan muka, gelojoh sangat,” gerutu Fatin.
Bibik Ronisah dipanggil untuk membancuh secawan lagi milo untuk abangnya .
“Adik-adik mana?” tanya  Faiz. Tali leher yang membelit leher ditanggalkan dan diletakkan di atas meja.
“Dah tidur kot. Diaorang baru aje lepas mandi kolam. Penat sangatlah tu.”
Segala aktiviti yang mereka lakukan sepanjang hari itu dilaporkan pada  Faiz. Senyum lebar Faiz mendengar cerita Fatin. Hilang penat bekerja seharian mendengar keletah Farisya dan Farina.
“Mama dan papa mana?” tanya Fatin pula.
“Biasalah, diaorang berdua tu masih lagi kat office. Besok ada pembentangan tender. Tengah buat persiapan terakhir.” 
Fatin hanya mengangguk perlahan. Dia tidak  berminat dengan dunia perniagaan. Kecenderungannya lebih pada bidang pendidikan. Perbualan terhenti sebentar. Bibik  Ronisa muncul sambil menatang mug berisi milo panas
“Terima kasih bik,” ucapFaiz .
Enggak apa-apa kok. Ada apa-apa lagi?”
“Pergilah berehat bik. Kalau nak apa-apa nanti biar Fatin buatkan untuk along. Tak pun, biar dia buat sendiri,” ujar Fatin sambil ketawa kecil.
Masing-masing  senyap seketika sebaik sahaja Bibik Ronisa masuk semula ke dalam rumah. Angin malam yang berhembus lembut membuatkan mata Fatin menjadi berat. Dia menguap beberapa kali.
            “Dah mengantuk?” tanya Along Faiz.
            Fatin mengangguk perlahan.
            “Ala, awal lagi ni. Sembanglah dulu dengan along. Kita ni nama aje duduk serumah, tapi jarang jumpa. Lagipun besok hari Sabtu, tak sekolah.”
            “Fatin ada kelas tambahan esok.”
            “Alah, kelas tambahan aje. Ponteng pun boleh, kan?” Faiz sengaja mengusik. Dia tahu Fatin bukan kaki ponteng. Besar gelaknya bila Fatin buat muka cemberut.
“Hari Sabtu minggu depan Hari Buruh, kan?” tanya  Faiz.

Kelihatan kerutan di dahi Fatin, seolah-olah sedang memikirkan sesuatu. Masih ada enam bulan lagi sebelum dia menghadapi peperiksaan besar. Memikirkan betapa cepatnya masa bergerak membuatkan Fatin seram sejuk. Dia memeluk tubuh.
“Woi mak nenek! Orang tanya dia boleh mengelamun pulak. Teringat kat Kamal ke?” sergah Faiz.
“Apa pulak ke situ perginya? Kamal tak ada kena mengena dalam ini gambarlah! Along nak cakap apa tadi? Cepatlah, Fatin nak masuk ni.” Fatin menjeling sambil menghabiskan sisa milo di dalam mug.
“Along ingat nak suruh  papa buat doa selamat sikit. Dah lama rumah ni tak buat kenduri. Last  sekali  masa aqiqah Farisya dan Farina. Kita buat kenduri kesyukuran  untuk business papa yang makin maju dan sempena kau terselamat dari ikan pirana!” Faiz ketawa berdekah-dekah di hujung katanya.
"Ceh, kurang asam! Suka hati along lah. Fatin dah mengantuk ni. Nak naik tidur, selamat malam.”
Fatin bingkas bangun. Tak kuasa melayan  Faiz yang sudah mula merapu .
“Okey, sweet dream! Mimpikan yang indah-indah bersama Kamal ya!”
Faiz belum puas lagi menggiat Fatin. Fatin merenung abang sulungnya dengan pandangan yang tajam.
“Along, nak rasa selipar Minnie Mouse Fatin ni tak? Kalau nak, Fatin sudi memberi.”
 Dia membongkok sedikit untuk menanggalkan selipar baldu yang berwarna merah hati itu. Panas betul hatinya dikaitkan dengan nama Kamal.
“Okey, okey…sorry. Pergilah tidur . Along pun nak masuk bilik dah ni.”
Akhirnya Faiz mengalah. Ketawanya pun sudah reda. Baki minuman dihabiskan segera lalu dia mengekori Fatin dari belakang. Dalam keadaan marah dan bengang yang masih tersisa, Fatin mendaki anak-anak tangga dengan laju. Dia tersilap langkah apabila tiba di mata tangga yang terakhir. Kakinya terpijak hujung gaun tidur yang agak labuh. Mujur Along Faiz sempat menyambut tubuh lampai Fatin.
“Oi Kamal kau terjatuh!” Fatin melatah.
Cepat-cepat dia melepaskan diri dari rangkulan Along Faiz. Wajahnya sudah membahang malu.
“Ha ha ha! Ada orang sudah jatuh cinta. Eh salah, jatuh tangga! Woohaaa!” jerit Along Faiz keriangan.
Cepat-cepat dia berlari masuk ke biliknya tatkala melihat Fatin menanggalkan selipar. Fatin bertambah geram mendengar tawa abangnya yang masih kedengaran di dalam bilik. Akhirnya dia juga masuk ke biliknya dengan perasaan bengang.

Sementara itu di rumah Kamal, lelaki itu sedang  terbatuk-batuk. Puas dia mengurut dada untuk meredakan batuk yang tiba-tiba menyumbat ruang paru-parunya. Dia baru selesai mengerjakan solat Isyak. Sejadah yang terhampar dilipat pantas. Dia ingin mencari air untuk meredakan batuknya.
‘Siapa pula yang sebut nama aku malam – malam ni.’ Kamal mengomel sendirian. Dia kembali ke bilik selepas membasahkan tekak. Lega sedikit dadanya. Batuknya juga sudah hilang. Dia bangun untuk mengambil segelas air di dapur. Langkahnya  terhenti  di hadapan pintu bilik apabila terpandang gitar kapuk kesayangannya yang tergantung di dinding.

“Fatin…”
Badan gitar diusap dengan penuh perasaan. Dia mengambil gitar itu lalu duduk di beranda. Jemarinya mula memainkan lagu yang pernah dinyanyikan oleh Fatin ketika di Pulau Tioman dahulu. Kamal hanyut seketika. Seolah-olahFatin berada bersamanya ketika itu. Sebaik habis bersenandung, Kamal melepaskan satu keluhan yang berat. Disandarkan gitar kesayangan ke dinding. Radio kecil yang berada di meja kopi diputar perlahan, mencari siaran yang sesuai.
Jantungnya berdegup kencang tatkala lagu nyanyian Siti Fairuz, Bila Ku Rindu. Lagu  penyanyi popular era 80 an itu membuatkan Kamal semakin gelisah. Suis radio ditutup. Dia masuk ke bilik dan cuba melelapkan mata. Namun wajah Fatin semakin jelas di ruang mata. Kamal mengiring ke kanan, kemudian ke kiri. Semuanya serba tak kena. Dia melompat turun dari katil, memetik suis lampu biliknya. Dompet di atas meja kerjanya dicapai. Dia mencari sesuatu.
Kad perniagaan Faiz Azidin  sudah berada di tangan. Lama Kamal merenung kad berwarna putih itu. Hatinya menjerit-jerit supaya segera mencapai telefon. Namun dia masih kurang pasti. Gambar Fatin pemberian Ayu tempoh hari ditatap berulang kali. Dia rindukan senyum dan tawa gadis itu.
“Ayu!”
            Kamal tersenyum lebar tatkala menyebut nama itu. Dia pasti sahabat karib Fatin itu boleh menolongnya. Laju jemari Kamal mendail nombor Hairi. Dia ingin mendapatkan nombor telefon gadis itu dari buah hatinya. Lama dia menunggu Hairi menjawab, namun akhirnya dia kecewa. Kamal mengeluh. Pasti Hairi sudah lena diulit mimpi. Kad nama Faiz Azidin direnung lagi. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dengan penuh debar dia mendail nombor Faiz Azidin pula.

“Assalamualaikum
“Waalaikumsalam, Faiz. Aku ni...Kamal.”
“Ha...Kamal. Apa hal call malam-malam ni ?” Suara Faiz kedengaran sedikit kuat. Sengaja dia mengeraskan suara walhal dia sedang tersenyum lebar di sebelah sana. Bagai sudah dapat dibaca objektif  utama Kamal menelefonnya

“Err...sebenarnya macam ni. Ish! Macam mana aku nak cakap ya.” Kamal mati akal. Dia kehilangan kata-kata.
“Kau nak cakap dengan adik aku ya?” Faiz terlebih dahulu meneka. Ada tawa yang kedengaran di hujung katanya.
Kamal menggigit bibir sekuat hati. Tiba-tiba dia malu dengan usikan Faiz. Dahinya berpeluk menahan debar. Namun masih ada senyum yang tersungging di bibirnya.
“Kalau kau tak kisah, aku nak nombor telefon dia boleh tak?” Kamal sudah tidak sanggup menunggu lagi. Dia harus bertindak cepat .
“Okey, dengar sini. Aku boleh bagi nombor telefon adik aku tapi  dengan satu syarat. Jangan sampai menjejaskan study dia, faham?”
Amaran pertama dari Faiz diterima dengan senang hati. Senyumnya makin lebar.

“Aku janji, aku akan jadi adik ipar yang baik.”
“Adik ipar kepala hotak kau! Gelojohlah kau ni. Adik aku tu jenis slow and steady. Tapi hati-hati Kamal. Dia ni garang tau. Ha ha ha ! Anyway, good luck. Aku rasa dia pun tengah menunggu panggilan kau.”
Kata-kata akhir Faiz membuatkan hati Kamal berbunga riang. Kamal tersengih sendirian. Dia melihat nombor telefon Fatin Syuhada yang baru saja diperolehi. Kamal menarik nafas dalam-dalam. Cuba mengumpul kekuatan sebelum  mendail nombor gadis itu. Nada dering mula kedengaran. Kamal menanti dengan seribu satu rasa.

“Your call have been forwarded to the voice mail. Please leave your message after the tone.”
Kamal mencuba lagi. Apa pun terjadi dia tetap ingin mendengar suara Fatin sebelum dia melelapkan mata. Namun hasilnya tetap sama. Kamal berhenti sebentar. Dikerlingnya jam di dinding.

“Baru pukul sebelas.  Takkan dia dah tidur?” Kamal mengomel sendirian.
Tiba-tiba dia menggaru kepala yang tidak gatal.
“Budak sekolah, memang patutlah dia tidur waktu ni.” Kamal tertawa kecil. Namun hatinya tidak mahu berkompromi. Telinganya menuntut untuk mendengar suara Fatin walaupun  sekejap.

‘Last try! Ini sudah masuk kali yang kelima.’ Bisik hati Kamal. Deringan kedengaran lagi di dalam talian. Kamal merebahkan badan di atas katil.
“Hello...”
Mata Kamal terbeliak. Dia kembali duduk di birai katil. Dadanya mula berdebar kencang. Dia tersenyum kegembiraan.
“Hello!”
Tersentak Kamal dengan suara Fatin yang agak keras. Marah agaknya kerana tidur diganggu.
“Assalamualaikum.” Kamal memberi salam. Belakang telapak tangannya mengesat peluh yang membasahi dahi.
“Waalaikumsalam, siapa ni?” Fatin bertanya garang. Walaupun kedengaran kasar namun ianya bagai ubat bius di telinga Kamal.
“Dah tidur ke?”
Kamal menumbuk-numbuk bantal diribaan. Mengutuk kebodohan sendiri. Pastilah Fatin sedang tidur. Kalau tidak masakan suaranya bagai singa betina terlepas kandang. Kamal menggigit bibirnya dengan kuat.
“Taklah! Mana ada tidur. Tengah shopping ni. Bodoh ke apa ni? Telefon orang tengah-tengah malam cuma nak tanya  dah tidur ke belum. Siapa ni?” Fatin sudah naik angin.
“Err...Tak apalah. Awak tidurlah, bye.” pantas  Kamal mematikan talian. Dia memegang dadanya yang berdegup pantas .
Oh Fatin Syuhada!”



.

.
.

.

.

.

.

.

.
.