Alunan
azan di Subuh hari mengejutkan Fatin dari lena. Dia bangun dan bersiap.Usai
solat dia berbaring di sebelah Ayu yang masih tidur. Dia cuba untuk lelap
semula, tapi gagal. Desiran ombak yang menghempas pantai amat jelas kedengaran.
Menggamit hati Fatin untuk keluar menikmati udara segar di Pulau Tioman di pagi
hari. Dia bangun dan berhias ringkas. Rambutnya yang melepasi bahu ditocang
kemas. Dicapai kamera yang terletak di atas meja kopi.
Fatin menyusuri tepi pantai sambil
merakamkan pemandangan-pemandangan yang indah di waktu pagi. Keadaan di pantai
masih sunyi. Mungkin kerana hari masih awal. Ada beberapa orang pelancong yang
sedang berjogging di pesisir pantai. Fatin tersenyum malu tatkala terpandang
beberapa orang pelancong wanita yang hanya berbikini, berbaring santai di atas
pasir. Fatin memilih untuk duduk di atas sebatang balak hanyut. Menunggu
matahari terbit. Dia ingin merakamkan detik-detik indah itu sebagai
kenang-kenangan.
“Sorang aje?”
Fatin menoleh ke arah suara yang
menegur. Dia cuba berlagak tenang, walaupun dia tidak suka dengan kehadiran
lelaki itu.
“Assalamualaikum Cikgu Kamal.”
Kamal tersenyum sambil menjawab
salam sindiran dari Fatin.
“Awal Fatin bangun. Kawan-kawan yang
lain mana?” tanya Kamal.
Dia melabuhkan punggung di sebelah
Fatin. Jika dilihat dari segi pakaian, mungkin Kamal baru lepas jogging. Keringatnya juga masih belum
kering di tubuh.
“Lina dan Ayu tidur lagi. Fatin nak
tengok matahari terbit.” jawab Fatin
perlahan.
Kamal tersenyum. Suka dia mendengar
suara lunak Fatin. Mereka diam seketika. Menikmati hembusan pagi yang menyegarkan. Fatin memeluk tubuh. Bayu
laut yang agak kuat menyebabkan dia
kesejukan. Kamal menanggalkan baju panas di tubuh dan meletakkan di bahu Fatin.
“Cikgu Kamal buat apa ni?” Fatin menepis kasar tangan Kamal.
“Jangan fikir yang bukan-bukan. Saya
nak letakkan baju panas ni. Fatin sejuk kan?”
Fatin pandang baju panas di tangan Kamal. Laju kepalanya menggeleng. Kamal
kehairanan.
“Tak sejuklah.”
Kamal senyum lagi dengan jawapan
Fatin. Tangannya masih menghulur baju panas pada gadis yang berkulit cerah itu.
“Kalau tak sejuk kenapa menggigil? Okey
saya letak kat sini, Fatin pakai sendiri.” Kamal masih tidak putus asa.
“Saya tak nak. Baju tu mesti dah
berbau peluh Cikgu Kamal, busuk!”
Kamal tergelak pula. Telatah Fatin
benar-benar mencuit hatinya. Dia membuang pandangannya ke laut lepas. Fatin
masih memeluk tubuh.
“Apa aktiviti kita pagi ni?” tanya
Kamal.
Dia cuba ajak Fatin berbual. Tidak
mahu gadis itu berasa canggung.
“Aktiviti pagi ni…sarapan.” ujar Fatin spontan.
Dia sendiri tersenyum dengan jawapan
itu. Sebenarnya otak Fatin sedang ligat memikirkan alasan untuk beredar dari
situ. Dia kurang selesa berdua-duaan dengan Kamal.
“Achoo!”
Fatin bersin. Dia menggosok
hidungnya yang gatal. Dia bersin lagi. Kali ini lebih kuat dari tadi. Spontan
Kamal berdiri dan menyarungkan baju panasnya ke kepala Fatin.
“Pakai aje baju tu. Kalau kena
selsema nanti macam mana? Kita datang sini nak berseronok, bukannya
nak jatuh sakit.” kata Kamal.
Fatin tiada pilihan. Diikutkan
sahaja cakap Kamal. Kamal kembali duduk di sebelah Fatin. Dia mengambil kamera
yang masih terpegang di tangan gadis itu.
“Fatin memang suka ambil gambar ya?”
tanya Kamal.
“Suka. Fatin suka ambil gambar
pemandangan. Lepas tu, Fatin lukis balik gambar yang Fatin snap tu.”
Terhibur hati Kamal mendengar
celoteh Fatin. Punyalah ralit merenung gadis itu sampai tak
sedar Fatin sudah menarik muncung sedepa. Terus hilang minat gadis
belasan tahun tu nak bersembang.
“Saya nak balik biliklah.” ujar
Fatin.
“Cepatnya! Tadi kata nak tengok
matahari terbit.” Kamal cuba menghalang.
“Tak jadilah. Besok pun boleh tengok
juga.” bidas Fatin.
“Ala... Tunggulah sekejap. Tak lama
aje lagi ni...” Kamal masih berusaha.
“Dah tak ada mood nak tengok. Lain
kali ajelah.”
Fatin melangkah laju menuju ke
bilik, meninggalkan Kamal keseorangan di situ.
Ayu sudah bangun ketika Fatin tiba di bilik. Dia sudah siap berpakaian.
“Ayu, besok temankan aku tengok
matahari terbit ya.”
Ayu pandang Fatin yang berbaring di
atas katil.
“Kenapa? Hari ni tak ada matahari
ke?” tanya Ayu.
“Bukanlah. Ramai sangat pelancong
kat luar tu. Aku takut jalan sorang-sorang. Besok bangun awal tau. Bukan senang
nak ambil gambar matahari terbit. Dapat peluang kat Pulau Tioman ni, sayanglah
kalau lepaskan.”
Panjang benar rayuan Fatin. Ayu cuma mengangguk. Tidak
lama kemudian Lina keluar dari bilik mandi. Mata masing-masing terarah padanya
yang hanya berkemban. Tapi mata Lina lebih
buntang dari mata mereka.
“Kenapa kau pandang Fatin macam tu?”
tanya Ayu.
“Baju siapa yang kau pakai tu Fatin?
Besarnya.” tanya Lina.
Soalan Ayu diabaikan tidak berjawab.
Lina datang dekat. Dia membelek baju yang melekat di badan Fatin.
“Baju kawan Cikgu Shahrul.” Fatin menjawab perlahan.
Dia menanggalkan baju panas Kamal.
Kesal bertandang di hati kerana terlupa memulangkan semula baju itu. Sekarang
dia terpaksa berdepan dengan Ayu dan Lina.
“Kawan dia yang mana satu?”
Lina masih tak puas hati. Dia duduk di
birai katil. Terbantut niatnya untuk bersiap.
“Baju tu abang Hairi punya ke abang
Kamal punya Fatin?” Lina bertanya lagi.
“Kamal.”
Terbeliak mata Lina mendengar
jawapan Fatin. Diambilnya baju Kamal yang berada di riba Fatin.
“Ini baju abang Kamal? Macam mana baju ni ada pada kau?
Bila kau nak pulangkan pada dia? Kalau kau segan, aku boleh tolong pulangkan
baju ni untuk kau.”
Ayu dan Fatin berpandangan sesama
sendiri. Hairan dengan tingkah Lina yang tiba-tiba teruja tatkala mendengar
nama Kamal. Baju Kamal dicium dan disarung pula ke badan. Ayu mencebik. Jengkel
pula hatinya melihat perangai Lina.
“Kau ni demam ke Lina? Baju tu dah
berbau peluh pun berselera jugak kau cium?” tegur Ayu.
Lina buat tak tahu. Fatin bangun dan
mengajak Ayu keluar dari bilik.
“Fatin, baju ni biar aku pulangkan
pada abang Kamal ya. Kalau dia tanya, cakap aku pinjam.” ujar Lina.
Dia meletakkan baju panas Kamal di
atas katil. Fatin menarik Ayu keluar, beri peluang untuk Lina bersiap.
“Tak payah tunggu aku! Kalau korang
nak pergi breakfast, pergilah dulu.”
jerit Lina dari dalam.
“Kenapa Lina tu?” tanya Ayu.
Fatin cuma mengangkat bahu. Mereka
beriringan menuju ke restoran. Perut
masing-masing sudah tidak sabar untuk diisi.
Sambil menatang pinggan, Fatin mengintai tempat
kosong. Matanya terhenti pada sebuah meja. Sudah ada dua pinggan di situ.
“Ayu, sana ada kosong. Tapi dah ada
pinggan kat situ.” kata Fatin.
“Tak kisahlah. Aku rasa dalam
restoran ni cuma geng-geng kita aje yang ada pagi-pagi ni.” balas Ayu.
Dia terlebih dahulu sampai ke meja
yang dimaksudkan oleh Fatin. Baru sahaja hendak menyuap, tuan punya pinggan pun
muncul.
“Eh, ada bungalah kat meja kita
Kamal.”
Hairi mengenyitkan mata pada Ayu
yang kelihatan terperanjat. Suapan Fatin terhenti tatkala melihat Kamal sudah
pun duduk didepannya.
“Maaf, kami tak tahu ini tempat
abang Hairi.” ujar Ayu perlahan.
“Eh, tak apa. Tak ada salahnya pun. Makin
berseleralah kami makan nanti, kan Kamal?” Hairi ketawa kecil.
Nak tak nak Fatin terpaksa meneruskan suapan. Hairi
dan Ayu rancak berbual. Sekali-sekala Kamal juga menyampuk perbualan mereka. Cuma
Fatin saja yang hanyut dalam dunianya sendiri. Dia tidak selesa berada di situ.
Sudah beberapa kali kaki Kamal terlanggar kaki Fatin. Samada secara sengaja
atau tidak, yang nyatanya Fatin memang tidak betah duduk lama-lama di situ.
“Fatin senyap aje dari tadi. Tak sihat ke?”
Fatin senyum nipis mendengar
pertanyaan Hairi. Dia angkat muka sedikit. Belum sempat dia menjawab, Kamal
pula menyampuk.
“Selsema dah okey?”
Ayu pandang Kamal dengan kerutan di
dahi.
“Selsema, kau tak cakap dengan aku
pun Fatin.Bila kau kena selsema?” tanya Ayu.
“Bukan selsemalah. Aku bersin aje
tadi. Kau tahu kan, aku alah dengan cuaca sejuk. Sebab tu Cikgu Kamal bagi
pinjam baju panas dia.” Akhirnya Fatin bersuara.
“Hai abang Kamal! Boleh Lina duduk
sini sekali?”
Perbualan yang sedang rancak
terbantut dengan kehadiran Lina. Ayu merenung baju panas Kamal yang terikat di
pinggang Lina. Dia menyenggol bahu Fatin. Fatin hanya mengangkat kening.
“Lina, kau duduklah tempat aku. Aku
dah sudah,” kata Fatin.
Dia bangun dan meninggalkan Ayu bersama mereka yang lain. Kamal memerhatikan
Fatin pergi. Dia tidak suka dengan apa yang dia lihat. Lina menghadiahkan
senyuman yang paling manis untuk Kamal. Dia sudah bersedia untuk memulakan
perbualan. Tapi tidak bagi Kamal. Dia ingin segera meninggalkan meja itu dan
mencari Fatin.
“Lina, boleh tanggalkan baju tu tak?
Saya nak pakai,” pinta Kamal.
Senyumnya pada Lina nampak tidak
ikhlas. Tergedik-gedik Lina membuka ikatan baju panas Kamal di pinggang. Sebaik
sahaja baju panas bertukar tangan, Kamal segera bangun tanpa ucapan terima
kasih pada Lina. Gadis itu kelihatan terkejut. Dia cuba memanggil Kamal, tapi
ditegah oleh Ayu.
“Mungkin abang Kamal nak pergi
tandas kot. Err…Lina, kau makanlah dulu ya. Aku dah selesai.Aku nak pergi jumpa
Cikgu Shazatul kejap,ada hal sikit nak bincang dengan dia.” Ayu bangun dan kenyit
mata pada Hairi. Hairi pun ikut beredar, tanda faham dengan bahasa tubuh Ayu.
Lina menepuk meja, bengang kerana
rancangannya untuk bersarapan bersama Kamal tidak menjadi. Pinggan yang berisi
nasi lemak ditolak ke tengah meja. Mati terus seleranya.
“Kurang ajar! Berani Fatin berebut dengan aku, ya.”
Lina mengomel perlahan. Berombak-ombak dadanya menahan rasa.
Sementara itu, Kamal pergi mendapatkan Fatin. Dari
jauh ditenungnya gadis yang telah
berjaya meraih perhatiannya itu. Niat awalnya cuma ingin memerhati. Tapi
melihatkan Fatin semakin sibuk dengan rakan-rakan yang lain, Kamal cuba menghampiri. Lama berdiri di
belakag Fatin, sudahnya berdeham keras. Penat
menunggu barangkali.
“Kenapa bagi baju panas saya pada
Lina?” tanya Kamal.
“Bukan Fatin yang bagi, dia yang
ambil.” jawab Fatin pendek.
Wajah lelaki itu nampak keruh. Fatin
cuba mengawal rasa gementar. Dia melawan pandangan mata Kamal. Tapi tidak lama,
dia kembali meneruskan kerja. Rakan-rakan sekolah yang sudah selesai
bersarapan dipanggil berkumpul. Beberapa arahan diberikan pada
ketua-ketua kumpulan. Kamal yang masih
mematung disitu langsung
tidak dihiraukan. Ketika Fatin
sedang mencatatkan sesuatu di dalam buku nota, tiba-tiba Kamal mengikat baju
panas yang dipulangkan oleh Lina tadi di pinggang Fatin.
“Eh! Apa ni?” Terperanjat Fatin dengan tindakan
spontan Kamal. Dia cuba menanggalkan ikatan tapi tangannya dipegang telah
dipegang kemas.
“Saya nak Fatin simpan dulu baju
panas ni. Tadi Fatin kata tak boleh kena sejuk, kan? Pakailah dulu. Saya tak
mahu Fatin jatuh sakit.”
Kamal terus berlalu sebaik sahaja
selesai berkata-kata. Rakan-rakan yang sedang menjadi penonton hanya
senyum-senyum sendiri. Fatin terpempan seketika.Tanpa dia sedari Lina sedang
memerhati dari jauh. Hatinya sakit. Sakit melihat Kamal lebih memberi perhatian
pada Fatin.
Pagi ini mereka akan memulakan
lawatan ke Pulau Tulai. Salah satu tempat untuk aktiviti scuba diving dan snorkeling yang terkenal di Pulau Tioman. Fatin terpaksa
melakukan tugasnya tanpa bantuan Lina. Ketika dia sibuk membahagikan
rakan-rakannya kepada kumpulan-kumpulan kecil, Lina pula sibuk memerhatikan
Kamal. Matanya sentiasa mengawasi
gerak-geri lelaki itu.
“Fatin, kau pergi duduk dalam bot
sebelah sana. Aku nak duduk dalam bot ni. Budak-budak dalam bot ni
kebanyakkannya sama bas dengan aku. Jadi aku boleh cam muka diaorang.” Lina
mengambil senarai nama di tangan Fatin dan terus masuk ke dalam bot.
“Lina tu dah kenapa? Aku tengok dari
pagi tadi dia macam angin aje dengan kau. Kau gaduh dengan dia ke Fatin?” tanya
Ayu.
“Entahlah Ayu. Aku pun tengah hairan
juga ni. Sejak pagi tadi, ada aje benda yang dia tak puas hati. Datang bulan kot!”
Fatin terkekeh ketawa dengan ocehan sendiri. Ayu pun sama.
Bagi mereka Lina memang seorang kepala angin. Mungkin sebab itu jugalah dia
tidak ramai kawan. Lina sudah hilang di dalam bot yang sepatutnya dia duduki. Tak
banyak soal, dia bergerak masuk ke dalam sebuah bot lagi bersama Ayu. Fatin segera mengenakan jaket
keselamatan dan mengambil tempat duduk berdekatan dengan ekor bot. Dari situ
dia boleh nampak Lina sedang bergelak ketawa di dalam bot yang satu lagi.Tapi
dia tidak nampak kelibat Kamal.
Enjin bot sudah dihidupkan. Pemandu
bot memberi isyarat tanda sudah bersedia untuk memulakan perjalanan. Fatin
menjenguk ke arah jeti. Hairi dan Kamal masih di situ. Mereka berdua
menanggalkan tali di tambatan dan kemudian melompat naik ke dalam bot.
“Yes!
Fatin... Abang Hairi dan Abang Kamal satu bot dengan kita.” ujar Ayu.
Fatin hanya mengangguk. Perutnya
rasa tidak selesa. Kepala juga tiba-tiba berdenyut kuat.
“Eh, ada kat sini? Ingatkan ada kat
sebelah sana.” ucap Kamal kegembiraan.
Suara Kamal kedengaran sayup-sayup
di telinga Fatin. Dia nampak Kamal dan Hairi sedang berdiri di hadapan Ayu. Pandangannya
berbalam-balam. Dia tidak selesa dengan keadaan itu. Fatin bangun dan berdiri
di tepi bot, ingin mengambil udara yang lebih segar.
“Fatin,okey ke tak ni? Pucatnya muka.” Kamal
menegur.
Fatin cuma tersenyum. Antara dengar
dengan tidak teguran Kamal. Palang besi yang terletak di hujung bot digenggam
erat .Badannya mengadap ke laut lepas.
“Muka kau pucatlah Fatin, kau mabuk
laut ke?” Ayu pula bertanya.
“Aku nak muntah. Kau pergi minta
minyak angin kat Cikgu Shazatul. Dia ada kat depan.” arah Fatin.
Ayu segera bergerak ke depan bot. Belum
sempat Ayu berpatah balik, Fatin sudah pun mengeluarkan segala isi perutnya ke
laut. Palang yang dipegang nyaris terlepas. Mujur Kamal sempat memaut pinggang
Fatin.
“Hairi, panggil Cikgu Shazatul
cepat.” arah Kamal.
Dia mengurut belakang badan Fatin
untuk memudahkan gadis itu bernafas. Rangkulan di pinggang tidak dilepaskan. Keadaan
Fatin agak lemah. Berbintang-bintang pandangannya.
“Minum air masak ni sikit Fatin.”
arah Cikgu Shazatul.
Cikgu Shazatul muncul dengan peti
kecemasan. Kamal mengambil botol air mineral yang dihulurkan lalu disuakan pada
Fatin.
“Dia mabuk laut ni.” ujar Cikgu
Shazatul.
Dia mengeluarkan pil tahan muntah
lalu dihulurkan pada Kamal.
“Bagi dia makan pil tu, lepas tu
sapu dengan minyak angin ni.” arah Cikgu Shazatul.
Kamal hanya menurut. Badan Fatin
sudah lembik. Cikgu Shazatul membantu Kamal membawa Fatin duduk. Bahu Kamal
dijadikan tempat bersandar.
“Rehat dululah. Kejap lagi okeylah
tu,” ujar Cikgu Shazatul.
“Terima kasih cikgu,” ucap Ayu.
“Hmm, awak tengok-tengokkan dia Ayu. Saya pun
bukannya tahan sangat duduk lama-lama dalam bot ni.”
Cikgu Shazatul masuk semula ke dalam
bot. Fatin terlelap sekejap. Sedar-sedar sahaja, semua rakan-rakannya sudah pun
melakukan aktiviti snorkeling di
sekitar Pulau Tulai. Cuma dia dan Kamal sahaja yang masih berada di dalam bot.
“Dah bangun? Pening lagi tak?” tanya
Kamal.
Fatin menggosok mata. Dia
memerhatikan keadaan sekeliling.
“Dah sampai ke? Mana Ayu?”
Tanpa menjawab soalan Kamal, Fatin
pula yang menyoal.
“Dah dekat sejam kita sampai. Ayu
ada kat bawah tu. Tengah snorkeling.”
jawab Kamal.
Dia menggerak-gerakkan bahunya yang
lenguh. Fatin memandang Kamal. Dia hairan, kenapa cuma lelaki itu sahaja yang
berada di dalam bot.
“Kenapa Cikgu Kamal tak pergi ikut
diaorang?”
“Saja, malas nak pergi. Nak temankan
awak.” selamba saja jawapan Kamal.
Wajah Fatin merona merah. Tak selesa
betul berdua-duaan dengan lelaki itu. Dia bangun dan berdiri agak jauh. Beg galas dibuka dan
dia bersiap-siap untuk turut serta
bersama rakan-rakan yang lain melakukan aktiviti snorkeling. Teruja sungguh dia melihat rakan-rakannya menyelam
menggunakan flippers, snorkel dan glasses.
“Fatin!”
Tak jadi dia terjun ke laut. Matanya
melingas mencari Cikgu Shazatul yang
memanggil. Kamal menghalakan jari telunjuknya ke dalam air, berdekatan
dengan bot mereka. Cikgu Shazatul sedang berendam dengan Ayu dan beberapa orang
rakan yang lain. Lina juga turut berada
di situ.
“Tak payah turunlah. Kita dah nak
balik.” ujar Cikgu Shazatul.
Fatin mengemam bibir. Terkilan
sungguh dia. Itulah tujuan utama dia ke mari. Dia menghenyak punggung di ekor
bot sambil memerhatikan rakan-rakan yang lain naik semula ke dalam bot.
“Tak apa, kalau Fatin nak saya boleh
bawa Fatin pergi snorkeling besok.”
Kamal cuba memujuk.
Fatin menoleh. Baru dia sedar lelaki
itu masih berada di situ. Fatin menjauhkan sedikit dirinya dengan Kamal.
“Terima kasih. Memang besok kita
masih ada aktiviti snorkeling. Fatin
boleh pergi dengan Ayu nanti. Kawan-kawan lain pun ada.” ujar Fatin acuh tak
acuh.
Kamal tersenyum kelat. Ada sedikit
palitan kecewa di hatinya. Tetapi dia rasa sangat bertuah hari ini kerana dapat
berdua-duaan dengan Fatin, walaupun dalam keadaan gadis itu tidak sedar.
“Amboi, seronoknya berdua-duaan
dalam bot. Kau tahu tak? Kelam-kabut aku uruskan budak-budak ni sorang-sorang.”
Lina tiba-tiba menjerkah Fatin.
“Maaflah Lina, aku tak berapa
sihatlah tadi. Mabuk laut.” ujar Fatin jujur.
“Eleh, mabuk laut konon! Cakap
ajelah kau nak menempel dengan abang Kamal tu. Kau ni nampak aje diam, tapi
gatal juga ya.”
Lina senyum sinis. Laju tangannya
mengeringkan rambut yang basah. Fatin cuma mampu tersenyum kelat. Dia mengerling Kamal yang
mengawasinya dari jauh. Merah padam muka Fatin menahan bengang. Kalau tak
difikirkan cikgu-cikgu yang turut berada di dalam bot itu, rasanya sudah lama
Fatin kerjakan Lina.
“Eh Lina, apsal kau ada dalam bot ni?
Kau punya bot sebelah sanalah.” Ayu menegur.
“Cikgu Shazatul suruh aku duduk
sini,” kata Lina.
“Bila cikgu suruh? Aku tak dengar
pun.” Ayu masih menyoal. Tidak puas hati dengan jawapan Lina. Dia pun turut
geram dengan perangai Lina. Dah macam orang gila kuasa pula gamaknya.
“Takkan semua benda aku nak cerita kat kau. Fatin, kau
duduk aje dalam bot. Nanti kena angin laut muntah pulak. Biar aku tengokkan
budak-budak lain kat luar,” kata Lina.
Dia segera ke belakang bot. Kamal, Hairi
dan Cikgu Shahrul berada di situ. Bot sudah pun bergerak pulang ke resort. Lina sengaja mendekatkan dirinya
dengan Kamal. Buat-buat terlanggar badan Kamal ketika bot terlambung membelah
ombak.
“Ops, maaf Abang Kamal. Tak sempat nak berpaut. Bot
ni laju sangat...” Lina menyapu-nyapu bahu
Kamal. Dia tidak selesa dengan perbuatan Lina. Semakin dia menjauhkan
diri, Lina semakin rapat. Tiba-tiba Kamal memegang kepala. Sebelah lagi
tangannya menekup mulut. Tangan Lina yang
masih berada di bahunya ditepis kasar.
“Eh, kenapa ni? Abang Kamal
pening kepala ke? Nanti Lina
ambilkan minyak angin, ya.”
“Tak apa, saya okey. Hairi, aku nak
duduk dalamlah. Pening kepala kena lambung ombak ni.” ujar Kamal.
Sempat lagi dia mengenyitkan mata
pada Hairi. Hairi tahu Kamal sengaja mencipta alasan untuk menjauhkan diri dari
Lina. Gadis itu mahu mengekori Kamal ke dalam bot. Tetapi langkahnya terbantut
apabila melihat Kamal duduk di bangku yang sama dengan Fatin. Menggelegak
hatinya tika itu.
“Huh! Kenapa asyik-asyik Fatin yang
dia cari? Aku kan ada!”