Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

October 31, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 10


            Lina membaca sambil lalu sahaja memo yang ditampal oleh Fatin. Mulutnya mencebik tatkala membaca isi kandungan memo yang terlekat di papan kenyataan kelas. Majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran. Seisi kelas dijemput hadir. Hari Sabtu jam lima petang. Lina mendengus kasar.
            ‘Orang kaya, jemput tetamu pun guna memo. Berlagak betul!’ Gerutu Lina di dalam hati.
            “Kau pergi kenduri tu nanti Lina?” tanya Aida, rakan yang duduk disebelah Lina.
            “Ah! Tak kuasalah aku nak pergi. Dia nak menunjuk-nunjuklah rumah dia besar. Orang kayalah katakan!”
            “Tak baik kau cakap macam tu. Dia jemput satu kelaslah. Kawan-kawan yang pergi Pulau Tioman hari tu pun dia jemput sekali.”
            Muka Aida ditatap. Serta-merta Lina teringatkan seseorang. Tiba-tiba saja bibirnya menguntum senyum.
            “Kawan-kawan yang pergi Pulau Tioman pun dia jemput sekali? Cikgu-cikgu?” tanya Lina, mengharapkan jawapan yang positif .
            “Mestilah dia jemput. Kalau tak silap aku, Ayu cakap kawan Cikgu Shahrul yang selamatkan dia tu pun ada sekali.”
            Kata-kata Aida melebarkan lagi senyum Lina. Dalam kepalanya sudah ada berbagai-bagai rancangan. Di ruang mata sudah terbayang wajah Kamal yang sudah empat bulan tidak ditemui.
            “Kau nak pergi tak? Kalau nak pergi boleh tumpang aku sekali,” pelawa Aida.
            “Tak payahlah. Nanti aku suruh Kamal datang jemput aku kat rumah.” Tonasi suaranya agak tinggi. Sengaja memancing perhatian Fatin yang berada  di situ. Gadis itu hanya tersenyum kelat tatkala mendengar kata-kata Lina.
            “Kau jemput ke perempuan syok sendiri tu Fatin?” tanya Ayu.
            Fatin hanya mengangguk. Telinganya masih panas. Dipandangnya Lina yang berada di tengah-tengah kelas. Tak dapat ditafsirkan perasaannya pada gadis itu tika ini.
            “Apsal kau ajak dia? Meluat aku tengok perangai dialah. Syok sendiri!”  tempelak Ayu.
            “Kalau aku tak jemput dia pun, dia mesti nak datang juga. Sebab dia tahu Kamal pun ada,” jawab Fatin selamba. Dia keluar dari kelas, tidak mahu menadah bebelan Ayu lagi.
Seperti yang dirancang, petang Sabtu itu maka berlangsunglah majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran di rumah Tuan Zakaria. Lina tiba ketika para tetamu sedang menikmati jamuan petang. Cuma Shahrul saja yang menyedari kehadiran Lina kerana yang lain sedang sibuk mengisi perut.
            “Kenapa lambat sampai? Mari masuk, kitaorang pun tengah makan ni.”
            “Tuan rumah mana cikgu?” tanya Lina. Matanya melingas mencari seseorang.
            “Fatin ada kat dalam dengan kawan-kawan yang lain.” jawab Shahrul.
            “Oh, tuan rumah kat dalam. Orang lain pulak yang jadi penyambut tetamu, ya?” Lina ketawa sinis.
            “Saya ni pun kira tuan rumahlah juga. Dari kecil saya dah kenal dengan keluarga dia. Dah macam keluarga sendiri.”
            “Emm, patutlah hari tu cikgu berani luahkan perasaan pada Fatin. Dah jatuh cinta sejak kecil, ya?”
            Shahrul tersentak. Dia memandang sekeliling kemudian dia menarik tangan Lina agak jauh dari pintu pagar. Lina mengikut tanpa bantahan. Tiada langsung rasa hormatnya  pada Cikgu Shahrul. Puas hatinya dapat menyindir lelaki  itu.
            “Kalau awak datang sini semata-mata nak buat kacau, baik awak balik. Saya dengan Fatin tak ada apa-apa. Dia tu macam adik saya. Jangan nak reka cerita yang bukan-bukan.” Keras suara Shahrul memberi amaran.
            “Relakslah cikgu. Kalau betul tak ada apa-apa, kenapa cemas semacam? Saya datang bukan nak buat kecoh. Orang dah jemput datang kenduri, saya datanglah.”
            Tangan Shahrul yang masih  mencengkam lengannya ditolak kasar. Satu cebikan dihadiahkan pada Shahrul sebelum Lina masuk ke dalam. Shahrul menggenggam buku lima. Perasaan bimbang mula bertandang. Bimbang Lina akan merosakkan nama baiknya. Dari jauh dia mengawasi pergerakan Lina. Gadis itu terlalu tenang. Namun dalam ketenangan itu ada sesuatu yang sedang dicari. Shahrul tahu, Lina sedang mencari Kamal. Ikutkan hati mahu saja dia menghalang Lina masuk ke dalam rumah. Tapi dia tahu, tindakannya itu hanya akan memburukkan keadaan.
            Lina terus ke meja makan mengambil hidangan. Sesekali matanya melingas mencari Kamal. Sapaan rakan-rakan  yang mengenalinya hanya dibalas dengan anggukan.
            “Eh Lina, bila sampai?” tegur Aida.
            “Baru aje... Fatin mana?” tanya Lina acuh tak acuh.
            “Ada kat dapur. Kau nak jumpa dia? Nanti aku panggilkan.”
            “Tak payahlah. Nanti aku pergi cari sendiri. Aida...kawan-kawan cikgu Shahrul dah datang ke?” tanya Lina tanpa segan silu.
            “Dah, diaorang ada kat tepi kolam. Bersembang dengan papa Fatin,” jawab Aida.
            Tanpa pamitan, Lina meninggalkan Aida. Kakinya menuju ke kawasan kolam renang. Lina seperti sudah biasa dengan rumah itu. Dia menguntum senyum tatkala matanya sudah menangkap wajah yang amat dirindui. Sambil melenggang, dia menghampiri Kamal yang sedang berbual.
            “Hai Abang Kamal! Apa khabar? Lamanya tak jumpa, rindu kat Lina tak?”
Bahu Kamal ditepuk selamba. Semua yang berada di situ terkejut dengan sapaan Lina.
            “Siapa ni?” tanya Faiz.
            “Saya Lina, classmate  Fatin. Naib Presiden Kelab Bahasa Malaysia. Saya pun pergi juga ke Pulau Tioman hari tu. Sebab tu saya kenal Abang Kamal ni. Masa Fatin lemas tu, kami berdualah yang selamatkan dia. Betul tak Abang Kamal?” Bahu Kamal disenggol lembut.
            Kamal memaksa diri menguntum senyum. Dia tidak selesa dengan kehadiran Lina di situ. Sementara itu, Ayu yang baru muncul dari dapur sempat melihat aksi Lina menggedik dengan Kamal. Dia masuk semula ke dapur mendapatkan Fatin. Tangan sahabat karibnya itu ditarik.
            “Hish, apa tarik-tarik ni? Aku nak buat kerjalah!” Fatin merentap lembut tangannya. Dipandangnya Ayu dengan kerutan di dahi.
            “Lina dah sampai...”
            “Biarlah dia sampai. Kawan-kawan kita kan ramai kat luar tu. Kejap lagi aku keluarlah. Tinggal sikit lagi kerja kat dapur tu. Kesian bibik kena buat sorang-sorang.”
            “Dia tengah menggedik dengan abang Kamal.”
            Fatin pandang Ayu. Terbantut langkahnya untuk masuk semula ke dapur. “Takkan dia nak lebih-lebih kot.” Fatin menyedapkan hati sendiri.
            “Jomlah pergi tengok. Lagipun kita belum jamah apa-apa lagi sejak tadi. Aku laparlah.” Ayu menggosok-gosok perut.
            “Kau pergilah makan dulu. Kejap lagi aku keluar.” Mata Fatin belum bersedia untuk melihat aksi Lina di depan sana.
Ayu  masih berkeras, ingin Fatin pergi ke depan melihat tetamu yang menjengkelkan itu. Dia mengatur langkah ke dapur dan menitip pesan pada Bibik Ronisah. Mereka berdua akan menyambung kerja-kerja di dapur selepas makan nanti. Lagipun sudah tak banyak kerja yang tinggal. Dia mendorong Fatin ke depan dengan segera.
            Benar kata Ayu. Sampai saja ditepi kolam, mata Fatin dijamu dengan aksi Lina. Meliuk lentok tubuhnya melayan Kamal makan. Fatin mengetap bibir. Menangkis rasa cemburu yang cuba bertandang. Sengaja dia memilih tempat duduk yang agak terlindung dari pandangan Kamal. Mahu mengintai buah hatinya itu dari jauh. Walaupun mulut mengunyah, matanya tidak lepas dari Kamal.
            Kamal bangun meninggalkan Lina apabila ternampak Fatin sedang makan bersama Ayu di meja yang agak jauh darinya. Fatin pula sengaja menundukkan muka. Pura-pura tidak sedar dengan kehadiran Kamal.
            “Fatin baru nak makan ke?” tanya Kamal.
            Fatin cuma mengangguk, langsung tidak memandang wajah lelaki itu. Kamal menarik kerusi dan duduk di sebelah Fatin. Sempat juga dia menghadiahkan senyum kelat pada Ayu.
            “Kenapa tak temankan Lina? Kesian dia makan sorang-sorang.” kata Fatin.
            “Ada orang cemburu ke?” perli Kamal.
            “Eee, tak kuasalah nak cemburu. Pergilah temankan dia. Fatin boleh makan dengan Ayu.”
            Kamal mengetap bibir. Tidak suka dengan gurauan Fatin. Dirapatkan kerusinya dekat dengan Fatin.
            “Tolong jangan perli abang macam tu. Abang tak sukalah.”
Walaupun perlahan, tapi nadanya kedengaran keras. Fatin menoleh, melawan tatapan  mata Kamal. Memang bukan salah Kamal kalau Lina sengaja mengambil kesempatan ke atasnya. Fatin sendiri sudah maklum Lina memang sejak mula lagi menaruh hati pada Kamal.
            “Sorry...”
            “Untuk apa?” tanya Kamal.
            “Fatin tak bermaksud nak sakitkan hati abang.”
            Kamal tersenyum nakal. Dia memegang belakang kerusi Fatin. “Maaf aje?”
            “Habis tu abang nak Fatin buat apa?”
            “Sayang sikit boleh tak?” usik Kamal.
            “Gatalnya! Mari sini nak sayang sikit..” Jemari runcing Fatin mencari perut Kamal sebagai sasaran. Kamal menyeringai kesakitan. Ayu yang hanya memerhatikan sedari tadi mengekek ketawa.
            “Sweetnya korang. Bergurau senda gitu!” usik Ayu.
            Dada Fatin kelihatan berombak.  Puas hati dapat melepaskan kemarahan, walaupun hanya dengan cubitan. Tiba-tiba tawa Ayu terhenti. Lina sedang menghampiri mereka dengan segelas air di tangan. Manis betul senyumnya. Namun senyuman itu membuatkan Ayu makin meluat melihat Lina.
            “Abang Kamal, tolong hantar Lina balik boleh tak?”
            Nak termuntah Ayu mendengar suara Lina yang merengek manja. Fatin sudah memintal alas kain. Menahan geram dan marah yang bertandang kembali. Kaki Ayu yang duduk di sebelahnya ditendang perlahan. Tak pasal-pasal Ayu pula jadi  mangsa kemarahannya.
            “Tadi macam mana kau datang?” tanya Ayu.
            “Ayah aku hantar tadi.” Lina masih mengawal suaranya.
            “Kalau macam tu kau suruhlah ayah kau datang jemput. Apsal nak menyusahkan orang lain pulak?” Ayu menempelak.
            Tangan Lina menggigil. Namun cuba disembunyikan melalui senyum manis. Dia tak boleh menunjukkan perangai buruknya di depan Kamal. Jatuhlah sahamnya nanti.
            “Ayah aku dah pergi kerja. Ala...bukannya jauh pun. Okey, abang bawa Abang Hairi sekali kalau segan.”
            Kamal tidak terus menjawab. Dipandangnya Fatin yang sedang tunduk menghabiskan makanan di dalam pinggan.
            “Cepatlah abang. Kalau  lambat balik nanti mak marah,” rengek Lina.
            “Fatin dah siap makan ke?” tanya Kamal.
            “Dah, kenapa?”
            “Kalau dah, ikut abang hantar Lina. Abang tak berapa cam jalan nak balik nanti.” Kamal harap Fatin mengerti yang dia tidak mahu menurut kemahuan Lina.
            “Apalah Abang Kamal ni. Fatin kan tuan rumah. Takkanlah dia nak tinggalkan majlis ni. Apa pulak kata tetamu lain.” Kesabaran Lina hampir  goyah. Geram pula dia melihat  Kamal  cuba  berdolak-dalih. Dia tak mahu Fatin ikut sekali. Dada Lina berdebar kencang. Bimbang perancangannya tidak menjadi.
“Emm, ya tak ya juga kan. Tapi Abang Kamal pun belum nak balik lagi sebab masih ada hal nak berbincang dengan papa Fatin.”
“Habis tu macam mana Lina nak balik? Lina takut nak naik teksi kat kawasan ni.” Lina tunjuk  muka  sedih.
Kamal menggaru kepala yang tidak gatal. Apa akalnya untuk mengelak? Tiba-tiba dia ternampak Shahrul. Laju dilambainya Shahrul supaya datang pada mereka berempat. Hairi pun ada bersama.
“Shah, kau tolong  hantar Lina balik boleh tak?”
Lina tersentak. Darahnya seperti membuak-buak keluar. Rancangannya gagal lagi. Dia menepuk meja sekuat hati. Matanya mencerlang pada Kamal.
            “Cakap ajelah kalau tak nak hantar! Tak payah nak suruh orang lain. Aku boleh  balik dengan teksi.” Tinggi suara Lina menjerkah.
            Terkejut Kamal dengan perubahan mendadak tingkah laku Lina. Jeritannya memancing perhatian beberapa orang tetamu yang berada di situ. Fatin bangun, lengan Lina cuba dipegang. Tapi  Lina merentap  dengan kasar. Turun naik nafasnya menahan marah.
            “Janganlah macam ni Lina. Abang, pergilah hantar dia sekejap. Fatin tak kisah.”
            “Eh Fatin, kau tak payah nak tunjuk baiklah. Depan Abang Kamal bukan main lagi. Pijak semut  pun tak mati. Tapi kat belakang dia? Diam-diam kau berskandal dengan orang lain. Betul tak Cikgu Shahrul?”
            Shahrul tersentak. Dia dan Fatin berpandangan. Lina ketawa kecil. Puas hatinya dapat membocorkan rahsia Fatin dan Cikgu  Shahrul.
            “Apa awak merepek ni Lina?” soal Shahrul. Dia pandang Kamal yang sedang keliru. Laju kepala Shahrul menggeleng, menidakkan tuduhan Lina.
            “Lina, kau jangan buat kecoh kat majlis orang boleh tak?”Ayu pula menyampuk.
            “Kau diamlah buntal! Kau pun sama aje dengan budak perasan baik ni.” Lina termengah-mengah, menahan marah yang makin menggila.
            “Amboi, kau ni dah lebih ni. Pantang keturunan aku orang menghina kejadian Tuhan ni tau. Mari sini, aku hantar kau balik. Abang Hairi, jom. Cikgu, jom ikut sekali.”
            Lina menyorok di belakang Kamal. Dengan pantas Kamal menjauhkan diri. Lina cuba mengekori. Tapi Ayu lebih pantas menerkam Lina. Dengan bantuan Hairi, kedua-dua tangan Lina dipegang kemas.
            “Cuba kau kawal sikit diri kau! Aku humban kau kat simpang depan yang banyak anjing tu, nak?” Ayu menjerkah.
            Akhirnya Lina diam juga. Kamal dan Fatin hanya memerhatikan mereka bertiga membawa Lina keluar. Terdengar keluhan berat dari mulut Fatin. Matanya terasa pedih. Tiba-tiba dia merasa sebak. Fatin cuba membendung airmatanya dari keluar. Tapi gagal. Segera dia berpaling sambil mengesat pipi yang basah.
            “Hei, kenapa Fatin menangis ni?” tanya Kamal kehairanan. Dia cuba mengeringkan pipi Fatin tapi gadis itu mengelak.
            “Orang tengoklah!” kata Fatin.
            “Habis tu kenapa tiba-tiba aje menangis? Angin tak ada, ribut tak ada tahu-tahu banjir. Pelik...” usik Kamal.
            “Kesian Lina. Dia sayang sangat dengan abang,” ucap Fatin perlahan.
            “Tapi abang tak ada rasa apa-apa pun dengan dia. Dia yang perasan, siapa suruh?” Bersahaja sungguh jawapan Kamal.
            Bukan salah dia Lina jadi macam tu. Seingat Kamal, dia tidak pernah memberi harapan pada Lina. Dalam hatinya cuma ada Fatin. Tak ada  sesiapa yang  boleh  memaksa dia melupakan gadis itu. Kasih dan cintanya  pada Fatin datang  secara semulajadi. Tak perlu menggedik dan merayu, Fatin menawan hatinya dengan sifat semulajadinya yang matang.
            “Fatin yakin Lina takkan mengalah. Kalau hari ni dia tak dapat abang, besok-besok mesti dia cuba lagi.”
            “Oh, sebab itu ke Fatin menangis? Takut abang  jatuh cinta dengan Lina, ya?”
            Kamal ketawa mengekek. Fatin cemberut. Spontan tangannya memukul lengan Kamal.
            “Orang serius, dia buat main-main pulak.”
            “Siapa kata abang main-main? Abang betul-betul sayang Fatin tau.”
            Terjuih bibir Fatin. “Sweet  talker!”
            “Tak percaya?” tanya Kamal.
            Fatin menggeleng. Kamal bangun, berdiri sebentar memandang sekeliling. Tak semena-mena dia memegang  tangan Fatin. Dibawanya Fatin masuk ke dalam rumah. Liar matanya mencari orang tua Fatin yang sedang melayan Farisya dan Farina di ruang tamu. Bulat mata orang tua Fatin melihat Kamal memegang erat tangan anak dara mereka.
            “Pakcik, saya nak minta izin bawa Fatin ke rumah saya besok. Boleh tak?”
            Tuan Zakaria tersenyum lebar. Dipandang wajah isteri di sebelah. Wanita itu juga tersenyum mendengar kata-kata Kamal. Fatin cuba melepaskan pegangan tangan Kamal. Tapi Kamal menggenggam erat jemari Fatin. Merah muka Fatin menahan malu.
            “Lepaslah, malulah papa dan mama tengok.” Fatin bercakap sambil mengetap gigi.
            “Tak nak. Tadi cakap abang main-main, kan? Sekarang ni abang nak cakap dengan papa dan mama Fatin. Berdiri diam-diam.”
Kamal berhenti sebentar. Nafas ditarik dalam-dalam. “Pakcik, saya ni ikhlas  nak berkawan dengan Fatin. Saya tahu dia masih muda. Tapi hati saya dah nekad. Saya nak jadikan dia isteri saya. Saya dah ada kerja tetap. Saya yakin saya mampu jaga dia. Saya sanggup tunggu sampai dia habis belajar, sambung belajar dan bekerja. Tolonglah pakcik, izinkan saya bawa Fatin kenal-kenal dengan umi saya.”
            Kamal berlutut. Tangan Fatin masih erat dalam genggamannya. Fatin pun ikut terduduk sekali. Kesungguhan jelas kelihatan di wajahnya. Papa dan mama Fatin tergamam sebentar. Papa Fatin bangun dan menghampiri Kamal. Ditepuk-tepuknya bahu Kamal dan menarik lelaki  itu untuk berdiri. Tangan Kamal yang sedang menggenggam erat tangan anak daranya dipegang. Genggaman tangan Kamal terlerai. Fatin segera mendapatkan mamanya yang  tersandar kekagetan.

“Pakcik boleh nampak keikhlasan Kamal. Dan pakcik tahu kami terhutang nyawa dengan Kamal.”
            “Pakcik, saya bukan nak ambil kesempatan atas budi yang saya tabur. Sebelum Fatin lemas lagi saya dah jatuh cinta dengan dia,” ucap Kamal lirih.
Tuan Zakaria tersenyum lebar melihat tingkah Kamal. Dia duduk kembali di sebelah isterinya. Dia mengerling Fatin sebentar.
            “Pakcik benarkan Kamal bawa Fatin ke rumah, tapi dengan satu syarat.”
            “Apa syaratnya pakcik?” tanya Kamal kurang sabar.
            “Kena bawak Farina dan Farisya sekali.” Tuan Zakaria menyambung.
            Kamal tersenyum lebar. Spontan dia memeluk Tuan Zakaria. Tangan lelaki itu dikucup berulang kali. Fatin dan mamanya terlongo. Kamal seperti orang baru menang loteri. Dipeluknya papa Fatin sekali lagi.
            “Saya takkan sia-siakan kepercayaan  pakcik. Percayalah, kami akan menjaga maruah kami dan nama baik keluarga. Terima kasih pakcik.”
            Kamal menarik nafas lega. Wajah Fatin direnung dengan penuh rasa sayang. Dia yakin kini Fatin percaya dengan dirinya. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menjaga pohon cinta yang baru bertunas agar berkembang mekar sepanjang masa.  


October 29, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 9

           Sambil memeriksa buku-buku kerja pelajar, Shahrul mengerling ke hujung kelas di tempat Fatin dan Ayu duduk. Pen yang terkepit di jari diketuk-ketuk perlahan. Matanya masih tidak lepas. Wajah polos gadis yang sedang tekun menghabiskan kerja yang diberi direnung tanpa kerlipan. Dalam diam dia mengagumi gadis itu. Bukan sahaja pintar malah pelajar yang menjadi harapan sekolah itu mampu melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.
Sebagai pelajar, pengawas sekolah dan juga presiden persatuan. Fatin Syuhada laksanakan semua jawatan yang digalas tanpa mengabaikan pelajarannya. Dia mengenali Fatin sejak gadis itu masih hingusan. Zaman kanak-kanak gadis itu masih segar dalam lipatan kenangannya. Dia, Faiz, Fatiha dan Fatin sama-sama belajar Fardu Ain di rumahnya. Menghabiskan waktu petang hingga ke rembang senja bermain bersama.
Begitu cepat masa berlalu, anak kecil itu sudah menjadi seorang gadis yang begitu sempurna. Dalam diam dia menyimpan hasrat untuk memiliki hati gadis itu. Lebih tepat lagi dia ingin menjadikan Fatin sebagai suri hidupnya. Dia yakin dia boleh memiliki gadis itu kerana keluarga mereka sudah mengenali antara satu sama lain. Namun keyakinannya seakan goyah kebelakangan ini dengan kehadiran Kamal Akasyah.
Peristiwa di Pulau Tioman terimbas berulang kali di ruang matanya. Masih terngiang-ngiang ditelinga apabila Kamal menyatakan hasrat untuk memikat Fatin Syuhada. Shahrul mengandaikan itu hanya perbualan kosong hinggalah Faiz menitipkan pesan padanya pagi tadi untuk mengawasi Fatin di sekolah. Dia dimaklumkan oleh abang gadis itu bahawa Kamal seperti ingin menjalinkan hubungan yang lebih serius dengan Fatin. Memang tidak ada halangan dari Faiz untuk Kamal berkawan dengan Fatin. Tetapi dia bimbang jika adiknya terleka. Justeru itu dia meminta Shahrul menjadi matanya.
Kini dia merasakan kedudukannya tergugat dengan kehadiran Kamal. Shahrul semakin resah. Dia bangun dan berjalan perlahan-lahan ke hujung kelas.

"Fatin Syuhada, lepas habis kelas ni tolong kumpulkan semua buku dan hantar ke bilik guru."
Dia memberi arahan. Fatin hanya mengangguk. Tangannya masih  ligat menulis. Sebaik sahaja loceng berbunyi, Fatin melaksanakan tugas yang diamanahkan tadi. Shahrul juga sudah keluar dari kelas. Dengan bantuan Ayu, Fatin membawa semua buku-buku yang sudah dikumpulkan ke bilik guru. Keadaan di bilik itu ketika cuti sekolah agak lengang. Hanya guru yang terlibat dengan kelas tambahan saja yang kelihatan.

"Fatin, awak tunggu sekejap boleh tak?  Fatin sahaja,” ujar  Shahrul.
Ayu yang faham maksud kata-kata  Shahrul beredar keluar. Shahrul melihat keadaan sekeliling bilik guru. Ada beberapa orang guru masih berada di situ. Tetapi jarak mereka agak jauh dari mejanya."
“Duduklah Fatin." Shahrul menarik kerusi guru di sebelah mejanya. Dia kelihatan gugup.Otaknya ligat menyusun kata.
"Ada apa cikgu?"
Fatin Syuhada membetulkan duduknya. Pandangan mata Fatin membuatkan  Shahrul kehilangan kata.
"Macam ni Fatin...saya nak tanya awak. Kalau ada orang nak berkawan dengan awak, awak sudi tak?"
Fatin tersenyum mendengar pertanyaan  Shahrul.
"Siapa cikgu? Lelaki ke perempuan?" tanya Fatin.
Dia melihat sekeliling bilik guru yang sudah lengang. Tinggal mereka berdua sahaja di situ.
"Errr, hmmmm… saya…" Terputus-putus  Shahrul menuturkan kata.
"Siapa?" Fatin meninggikan sedikit suaranya..
"Saya Fatin, saya yang nak kawan dengan awak. "
Shahrul memandang Fatin yang agak terperanjat.
"Apa maksud cikgu? Kawan? Selama ni kan memang kami adik-beradik berkawan dengan cikgu.”
 Fatin  masih tidak  dapat menangkap maksud  Shahrul. Matanya merenung tepat ke dalam lelaki itu.
"Memanglah saya berkawan dengan adik-beradik Fatin. Tapi sekarang ni saya nak berkawan dengan Fatin, dengan Fatin aje. Faham tak maksud saya? Berkawan, seperti Hairi dan Ayu."

Shahrul memberikan contoh yang paling rapat dengan Fatin. Dia tahu kali ini pasti Fatin dapat menangkap isi tersirat kata-katanya. Fatin kelihatan tenang. Senyum dan renungan Fatin membuat Shahrul tidak senang duduk. Sebelum ini memang ada rakan-rakan yang memadankan mereka berdua. Tapi Fatin mengandaikan itu semua gurauan  nakal rakan-rakan sekolahnya. Cikgu yang berkacamata itu juga ramai peminat di kalangan pelajar- pelajar perempuan. Shahrul merupakan cikgu yang paling banyak mendapat hadiah sempena Hari Guru saban tahun. Fatin menarik nafas dalam-dalam.

"Cikgu, saya ni masih muda. STPM pun tak habis lagi.” Fatin berhenti menelan liur. Shahrul memandang Fatin tidak berkelip.
"Saya belum bersedia nak beri komitmen dalam hal macam ni. Saya hormati cikgu sebab cikgu membimbing saya. Lagipun keluarga saya dah lama kenal dengan keluarga cikgu. Saya dah anggap cikgu macam abang saya. Sama macam Along Faiz."
Ayat terakhir Fatin telah membuatkan Shahrul tersedar yang dia hanya bertepuk sebelah tangan. Shahrul melepaskan keluhan. Walaupun kecewa, Shahrul berasa lega kerana dapat meluahkan isi hati yang terbuku.
"Buat masa sekarang memang tak lebih dari abang dan adik. Tak taulah akan datang," sambung Fatin lagi.
 Dia ketawa kecil. Shahrul tersenyum senang mendengar gurauan Fatin. Pandai betul gadis itu  memujuk hatinya.
"Baiklah Fatin, saya minta maaf. Tak sepatutnya saya bebankan awak dengan persoalan macam ni.”
"Tak perlu minta maaf cikgu. Lumrah manusia punya hati dan perasaan. Kalau tak ada perasaan, itu beruk namanya. Yang penting sekarang ni saya dah ada seorang lagi abang selain dari Along Faiz. Betul tak?"
Fatin tersenyum lebar. Dia lega kerana Shahrul boleh menerima alasannya. Sememangnya dia tidak menaruh hati dengan Shahrul. Detak hatinya tidak sama seperti dia berdepan dengan Kamal.

"Terima kasih Fatin. Pergilah balik, dah pukul satu ni. Lama Ayu tunggu kat luar tu."
Shahrul memuncungkan mulutnya ke arah Ayu yang sedang menyedut air kotak di pondok bacaan berhadapan dengan bilik guru. Sebelum keluar, Fatin menghulurkan tangan. Shahrul tergamam, teragak-agak untuk menyambut huluran tangan Fatin.
"Kenapa? Salah ke kalau adik nak salam abang?” tanya Fatin
“Memang tak salah kalau adik nak salam abang. Tapi abang yang ni tetap bukan muhrim. Fatin faham kan?”
Fatin senyum mendengar penjelasan Shahrul. Dia mengangguk perlahan. Shahrul menghantar Fatin hingga ke pintu. Menemankan gadis itu memakai kasut. Dia masuk semula ke dalam bilik guru sebaik sahaja Fatin hilang dari pandangan.

“Sembang apa dengan Cikgu Shahrul? Serius aje aku tengok muka korang?” Ayu cuba mengorek rahsia.
“Tak ada yang penting pun,” jawab Fatin pendek.
Biarlah perbualan mereka menjadi rahsia. Tidak penting untuk Ayu mengetahuinya. Langkah mereka tiba-tiba terhenti tatkala mendengar orang bertepuk tangan di belakang. Saat mereka menoleh, kelihatan Lina sedang mengangkat tinggi tangannya sambil bertepuk tangan. Di wajahnya terukir senyuman sinis. Lina menghampiri Fatin.

"Wah! Bagus betul lakonan kau Fatin. Boleh jadi pelakon terbaik abad kedua puluh!"
Lina mengelilingi Fatin dan Ayu. Lain benar kelakuan Lina tika itu. Entah dari mana pula dia muncul.
"Apa kena kau ni Lina?" tanya Fatin dengan nada lembut.
"Huh! Kau ni memang suka berlagak macam primadona, kan? Sana sini kau nak sapu. Tamak betul, habis semua kau bolot!" jerkah  Lina. Jarak muka dia hanya sejengkal sahaja dengan muka Fatin.
"Wei Lina, kau cakap apa ni? Ada wayar tertanggal ke dalam kepala kau tu? Tiba-tiba aje nak serang orang."
"Hei gemuk! Kau jangan masuk campur. Aku tak ada urusan dengan kau. Aku cuma nak berurusan dengan perempuan gatal ni. Kamal dia nak, Cikgu Shahrul tu pun dia nak rembat! Baik kau hati-hati dengan kawan baik kau ni. Silap haribulan, Hairi tu pun diangkut sekali! Jantan-jantan yang dahi licin semua dia nak!"
Lina ketawa sinis. Puas hatinya dapat melepaskan kemarahan pada Fatin. Tali beg yang melintang di dada Fatin genggam sekuat hati. Dia memanjatkan istighfar dalam hatinya.

"Mari balik Fatin, tak guna layan minah sewel ni. Merapu aje!"
Ayu menarik tangan Fatin. Tapi dalam masa yang sama Lina juga merentap tangan Fatin yang sebelah lagi. Fatin sedang berusaha menahan amarahnya. Mukanya sudah panas.
" Kalau dah gatal sangat, berhenti aje sekolah. Pergi kahwin."
Lina masih belum puas. Kekecewaan kerana tidak berjaya mendapatkan Kamal masih belum terubat. Kini cedera di hatinya makin parah tatkala melihat Shahrul begitu mesra berbual dengan Fatin sebentar tadi. Disorot wajah Fatin dari atas ke bawah. Apa kurangnya dia? Apa lebihnya Fatin? Kenapa dia tidak dapat meraih perhatian sebagaimana gadis itu perolehi?
"Lina, aku malas nak gaduh dengan kau. Kalau kau nak sangat dengan jantan-jantan tu, kau pergilah try sendiri. Salah aku ke kalau diaorang syok kat aku? Kalau aku nak berkawan, aku cari lelaki. Bukan jantan! "
Fatin merentap tangan dari pegangan Lina. Sempat dia menepuk-nepuk lembut bahu gadis itu sebelum berlalu pergi bersama Ayu. Jeritan Lina yang menyuruh dia berhenti langsung tidak dihiraukan. Dan jeritan itu hilang bersama deruan enjin bas yang membawa Fatin dan Ayu pulang ke rumah.
Petang itu Fatin termenung sendirian di tepi padang bola berhadapan rumahnya. Mengingat kembali peristiwa yang berlaku di sekolah pagi tadi. Fatin memeluk erat kedua-dua lutut. Dia agak tertekan dengan apa yang terjadi. Hingga sekarang dia masih tidak menemui jawapan, mengapa Lina iri hati dengannya. Sedang dia melayan fikiran, telinganya menangkap bunyi motorsikal. Makin lama bunyi itu makin dekat. Melilau mata Fatin mencari arah bunyi motorsikal itu.
Dua buah motorsikal berhenti betul-betul dibelakang bangku tempat Fatin duduk. Dia menoleh ke belakang. Tak semena-mena dia berdiri tegak. Tiga orang lelaki yang baru turun dari motor tersenyum lebar melihat reaksi Fatin.

“Along mana Fatin?” tanya Shahrul yang membonceng motorsikal Hairi.
“Tu, ada kat sana.” Fatin meluruskan jari telunjuknya ke tengah padang.
“Ayu mana?” Hairi pula bertanya.
“Entah, Fatin tak nampak lagi dia sejak balik sekolah tadi.”
Matanya mengerling Kamal yang duduk di atas rumput. Dia sedang menyarung pad lutut dan stokin. Fatin tidak mahu lebih lama di situ. Dia kurang selesa. Lebih-lebih lagi bila Kamal juga turut  berada di situ.

“Fatin...” Kamal memanggil.
“Ada apa?”
Fatin memandang sekilas pada Shahrul yang tersenyum kelat.
“Duduklah dulu. Tak nak bagi sokongan pada kitaorang ke?” tanya Kamal.
Sekali lagi dia melihat Shahrul. Lelaki itu sedang menyimpan cermin matanya di dalam bekas.
“Malaslah. Fatin nak pergi siapkan kerja sekolah.” Fatin mencipta alasan.
“Ala...Besok bukannya sekolah. Hari minggu kan?”Kamal masih memujuk.
“Duduklah kejap Fatin. Tak rugi apa-apa pun. Buat penguat semangat.”
Shahrul menyampuk. Tanpa menunggu reaksi dari Fatin, dia dan Hairi berlari-lari anak ke tengah padang. Cuma Kamal sahaja yang masih di situ. Dalam keterpaksaan, Fatin melabuhkan kembali punggungnya di kerusi batu itu.

“Fatin..” Kamal memanggil lagi.
“Apa?”
“Fatin suka abang tak?”
“Ni soalan STPM tahun bila ni?
Kamal menyeringai suka mendengar soalan Fatin. Fatin memalingkan muka ke arah lain. Lama Kamal menunggu, Fatin masih tidak  mahu  memandangnya kembali.
“Tak berani jawab soalan abang ya?” Kamal kembali menyoal.
“Lina yang suka Abang Kamal.”
“Orang lain abang tak nak tahu. Abang tanya Fatin. Suka abang tak?”
“Tak boleh, nanti Lina marah.”
Kamal tunduk menguis tanah. Mulutnya masih lebar dengan senyuman. Fatin pula, sedang menahan rasa malu sambil memintal hujung baju. Kamal bangun dan menyapu punggung yang berdebu lalu duduk bersebelahan Fatin.

“Abang minta maaf.”
“Kenapa?”
“Sebab kacau Fatin malam tadi.”
Fatin mengemam bibir. Cuba mencari maksud kata-kata Kamal. Tiba-tiba matanya terbuka luas seiring dengan bibir mongelnya.
“Oh! Jadi yang telefon malam tadi tu…”
“Abang tak boleh tidur kalau tak dengar suara Fatin.” Kamal lebih pantas memintas.
Fatin tunduk memandang tanah yang tidak berumput. Bahang panas menyimbah wajahnya. Dia kehilangan kata. Mereka diam sejenak. Ringan saja kaki Fatin ingin meninggalkan tempat itu. Namun hatinya  melarang tubuh Fatin berbuat demikian.

“Fatin suka abang tak?” 
Kamal membetulkan duduknya, mengadap Fatin yang kelihatan gugup.

‘Aduh kenapalah dia tanya soalan ni?’ Gerutu Fatin di dalam hati .
“Abang Kamal rasa?”
“Macam mana abang nak tau, belum rasa lagi. Ha ha ha!” Kuat Kamal ketawa.
Muka Fatin merah padam menahan geram. Ketawa Kamal mengendur sedikit.
“Kalau Fatin tak nak bagitau tak apa. Abang boleh korek rahsia hati Fatin pada Ayu.”
Kamal mengambil kesempatan menatap wajah gadis itu yang hanya tunduk sejak tadi. Suka dia melihat wajah Fatin yang merona merah. Dia tidak mahu membuang waktu. Tidak sanggup lagi dia menyimpan  beban rindu sendirian. Dia yakin gadis itu juga menyimpan getar yang sama.

“Hoi! Apa sebut-sebut nama orang ni?” sergah Ayu. Dia muncul dengan sebungkus makanan ringan di tangan.
“Ha, bagus! Panjang umur Ayu. Kebetulan Ayu ada kat sini, Abang Kamal nak tanya sikit boleh tak?”
Kamal bangun  memberikan tempat duduknya kepada Ayu. Kemudian dia duduk di atas rumput mengadap Fatin. Ayu tersengih sahaja melihat perlakuan Kamal.
“Boleh. Satu jawapan upahnya belanja makan.” Ayu menyeringai suka.
No problem. Tapi Abang Kamal nak jawapan yang jujur ya. Bukan rekaan.”

Ayu mengangguk laju. Sempat juga dia melambai tangan pada Hairi yang berada di tengah padang.
“Ayu rasa, Fatin suka kat abang tak?”
 Kamal sudah mula menyoal. Matanya tidak lepas dari wajah Fatin. Dia tersengih lebar menampakkan barisan giginya. Tapi belum sempat Ayu membuka mulut, Fatin lebih dahulu memintas.

“Ayu, tolong cakap pada mamat kat depan aku ni...jangan perasan!” Fatin berpeluk tubuh. Ayu memandang Kamal. Mulutnya sedikit terlopong.
“Ayu tolong cakap pada perempuan yang tengah bengong ni...abang sayang kat dia!” Kamal tak mahu kalah.
“Ayu, tolong cakap pada mangkuk ayun ni...aku tak hingin!” Fatin membidas. Dia memandang Ayu yang sudah tergamam.
“Ayu, tolong cakap kat cik kak ni ...abang sayang dia!” Kamal mengulangi kata-katanya .
“Ayu, tolong cakap kat Romeo ni... go to hell!” Fatin separuh menjerit. Dia memandang tajam pada Kamal. Nafasnya sudah tercungap-cungap.
Kamal berlutut dan memegang tangan Fatin. Mata gadis itu ditentang dengan pandangan redup. Fatin terkesima. Dia cuba bangun dari kerusi, tapi ditahan oleh Kamal.
“Buanglah ego awak tu Fatin. Abang tahu Fatin pun sukakan abang .” Kamal memperlahankan tonasi suaranya.
“Tapi Lina…”
“Abang bukan tanya Lina. Abang tak suka dia. Hati abang hanya untuk Fatin. Jawab soalan abang. Ya atau tidak?” Kamal bersuara penuh lirih.
Fatin menundukkan kepala. Dadanya bagai nak meletup. Tiba-tiba dia menolak Kamal sekuat hati hingga lelaki itu terduduk di atas rumput.

“Ya! Memang saya suka awak! Puas hati?” Fatin menjerit dan bingkas bangun berlari masuk ke dalam rumah. Mulut Ayu ternganga lebar mendengar jeritan Fatin. Kemudian dia menoleh pula ke arah Kamal yang sudah melonjak keriangan. Ayu bangun dan berjalan laju menuju ke rumah Fatin. Kamal pula sudah berlari ke tengah padang.

Fatin! I love youuu!!!"


.

.
.

.

.

.

.

.

.
.