Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 16, 2013

DEMI KASIH KITA BAB 1


          Apahal pula ni? Rasanya tadi  semuanya dah ok. Aku tengok lampu yang berkelip-kelip di kaunter. Katil nombor lima. Pesakit di katil itu baru masuk petang tadi. Laju aku menyusun langkah ke bilik bersebelahan kaunter.
            “Kenapa kak?” Aku tanya seorang wanita yang kelihatan cemas.
            “ Nurse, kenapa tangan saya tiba-tiba bengkak ni?”
            Aku pandang lengan wanita itu. Ya Allah! Dah macam lengan Popeye! Botol dripyang tergantung di tiang hampir kosong. Patutlah tangan pesakit ni bengkak. Branula yang dipasang tak masuk ke dalam urat. Aku berlari semula ke kaunter. Nak ambil kapas basah.
            “Kenapa Akira?” tanya Rani, rakan setugas  yang baru selesai melakukan  ward round.
            Pertanyaan Rani aku abaikan. Aku berlari masuk ke bilik pesakit tadi. Rani pun ikut sekali.
            “Tahan sikit ya kak.” Aku cuba tenangkan pesakit yang sedang sarat itu sambil menarik  jarum  branula  yang melekat di tangannya.
            “Tangan akak tak sakit dik. Cuma kebas aje. Pelik juga akak, tiba-tiba kembung tangan akak ni.” Aku senyum dan baca nama pesakit itu  di kepala katil.
            “Kak Suhaila baru masuk petang tadi ya?” Pesakit itu mengangguk. Aku  tekap kapas basah di tempat yang aku cabut  branula tadi.
            “Jururawat mana yang pasang branula  ni?” Aku arahkan soalan aku pada Rani.
            “Entah,” jawab Rani sambil mengangkat bahu.
            “Bukan  nurse yang pasang benda alah ni dik. Doktor yang buat.” Aku pandang pesakit yang bernama Suhaila itu. Kemudian aku pandang Rani.
            “Doktor mana kak?” tanya Rani.
            “Akak tak tahu namanya tapi muka dia akak ingat,” jawab Kak Suhaila.
            “Besok akak tunjukkan pada saya doktor tu ya. Tak senonoh betul dia buat kerja.” Sambil mengomel aku pasang semula  branula. Tapi di tempat lain dan kali ini aku pastikan betul-betul branula itu berfungsi dengan baik. Selesai kerja, aku kembali ke kaunter. Kerja shif malam tak huru-hara seperti shif pagi. Kebanyakan pesakit tidur. Jarang juga ada kes-kes kecemasan.
           
            “Mak kau dah ok ke?” tanya Rani.
            Aku diam. Malam ini aku tak perlu fikirkan sangat soal mak. Asyura ada menemankan mak malam ini. Tapi bagaimana dengan malam esok dan malam-malam seterusnya?
            “Oi! Kau ok tak ni?” Rani menyergah.
            “Mak aku ok. Aku tengah serabut ni Rani.”
            “Serabut kenapa?”
            “Adik aku tu. Dia tak nak tolong aku jaga mak. Kalau aku kerja siang, ok lagi. Boleh minta tolong jiran-jiran tengokkan. Tapi kalau kerja malam susahlah sikit.”
            “Suruh ajelah dia tinggal situ.”
            “Kalau senang macam tu, dah lama aku suruh Rani. Suami dia tu, banyak songeh!”
            “Kenapa pula?”
            “Malaslah aku nak cerita. Aku nak buat air ni. Kau nak tak?”
            Aku tinggalkan Rani di kaunter dan menuju ke pantri. Kalau boleh, aku tak mahu dibebankan dengan masalah keluarga ketika waktu bekerja. Takut sangat kalau-kalau hilang tumpuan. Bekerja dengan nyawa orang bukannya satu kerja yang mudah.
            Keesokan paginya aku dan beberapa jururawat  melakukan  ward round  sekali lagi. Tugas terakhir sebelum  jururawat yang bekerja shif pagi pula mengambil alih.
           
           “Selamat pagi Kak Suhaila. Macam mana pagi ni?” Aku menegur. Tangannya sudah tidak bengkak seperti malam tadi.
            “Selamat pagi  nurse.”
            “Panggil saya Akira kak. Yang tu namanya Rani.” Aku muncungkan mulut ke arah Rani yang sedang memeriksa pesakit di katil sebelah. Aku dekatkan  dynamap  ke katil Kak Suhaila. Lengannya aku balut dengan cuff.  Sementara menunggu bacaan tekanan darah, aku letakkan termometer di bawah lidah wanita itu.
            “Emm…emmm…emmm!”  Jari telunjuk Kak Suhaila lurus menuding ke pintu.
            “Kenapa kak?” Aku keluarkan termometer dari mulutnya.
            “Itulah doktor yang buat tangan akak bengkak semalam.”
            Aku pandang ke arah pintu. Sekumpulan doktor-doktor pelatih masuk untuk memulakan tugas.
            “Yang mana satu kak?” Mata aku masih mengamati muka ketiga-tiga orang doktor itu.
            “Yang paling tinggi dan pakai cermin mata,” jawab Kak Suhaila.
            “Dr. Zaiman,” ujar Rani dari katil sebelah.
            “Akak pasti?” Aku tanya sekali lagi untuk pengesahan.
            “Ya. Akak ingat sangat sebab banyak kali dia cuba cucuk benda tu semalam. Akira tengok sendirikan lebam-lebam kat tangan akak ni?”
            “Rani,  cover  kejap.”
            Aku terus ke arah kumpulan doktor-doktor itu. Mata terus terarah pada Dr. Zaiman. Tak ada niat pun nak bergaduh, cuma nak bertanya untuk kesahihan.
          
            “Dr.Zaiman, boleh saya cakap dengan doktor sekejap.”
            Tiga pasang mata tertancap padaku. Aku buat muka serius. Tak ada yang perlu aku takutkan.
            “Cakap ajelah. Saya nak siapkan  report ni.”
            Amboi, berlagaknya kau. Sabar Akira. Jangan jatuhkan aib dia. Aku dekatkan sedikit jarak aku dengan mereka. Tak mahu didengari oleh pesakit-pesakit yang lain.
            “Semalam ada seorang pesakit baru admitted, namanya Suhaila.” Aku mulakan bicara.
            “Ok, so?” Dr.Zaiman berpeluk tubuh. Mata masih memandang aku.
            “Doktor yang on branula untuk patient  tu kan?”
            “Ya, kenapa?” Tegas betul suara Dr. Zaiman.
            “Lepas doktor on branula pada patient tu, doktor pastikan tak yang branula tu berfungsi?”
            “Masa saya buat tu ok aje. Tak ada masalah pun.”
            “Tapi doktor pastikan tak benda tu berfungsi?”
            “Jarum branula tu dah masuk …”
            “Saya cuma nak doktor jawab, ya atau tidak?” Aku dah tak boleh sabar. Banyak pula dolak-dalihnya.
            “Awak siapa yang nak mempertikaikan kerja saya?”
            “Saya bukan nak mempertikaikan kerja doktor …”
            “Habis tu kenapa sibuk-sibuk tanya?” Suara Dr.Zaiman sudah tinggi.
            “Sebab tangan patient tu bengkak malam tadi! Drip tu langsung tak masuk.”
            Terbeliak mata Dr.Zaiman. Tak percayalah tu. Kau ingat aku menipu ke? Dia tengok muka kawan-kawan dia yang lain. Kemudian dia memanjangkan leher ke arah Kak Suhaila. Langkahnya dibuka ke katil wanita itu.
          
           “Tarik langsir,” arah Dr. Zaiman.
            Aku ajak  Rani untuk turut serta. Biar dia menjadi saksi bahawa aku tak berbohong. Langsir ditarik. Dr.Zaiman, Dr.Rozy dan Dr.Joanne mengerumuni katil Kak Suhaila.
            “Mana satu doktor yang cucuk tangan akak semalam?” Aku tanya Kak Suhaila sekali lagi. Wanita yang sedang menunggu masa untuk melahirkan itu kelihatan takut-takut.
            “Tak apalah Akira. Akak dah ok ni,” ujar Kak Suhaila perlahan.
            “Bukan masalah ok kak. Ini masalah etika kerja. Mujur tak jadi apa-apa semalam. Kalau tidak? Siapa yang nak menjawab?” Aku makin berang. Bukan berang dengan Kak Suhaila tapi sakit hati dengan gelagat doktor-doktor pelatih ni.
            “Tak payahlah nak kecoh-kecoh. Benda kecil aje pun. Akak ni pun dah cakap yang dia ok. Kalau jadi apa-apa pada patient, doktor juga yang menjawab. Awak cuma jururawat.”
            “Dr.Zaiman, saya tahu saya ni cuma jururawat. Tapi doktor kena hormat juga senioriti kami di sini. Sekarang saya nak tanya…”
            Dengan isyarat mata, aku suruh  Dr. Rozy ke tepi. Aku selak sedikit lengan baju Kak Suhaila. Aku pandang mereka bertiga.
            “Kenapa tangan patient  ni jadi macam ni?”
            Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri.
            “Ini kesan yang saya buat semalam ke?” Pertanyaan Dr. Zaiman pada Kak Suhaila buat aku dan Rani menggeleng kepala. Aku turunkan semula lengan baju Kak Suhaila.
            “Dr.Zaiman, lain kali jangan bodoh sombong. Kalau tak tahu, buatlah cara tak tahu. Inilah masalah doktor-doktor baru ni. Belum apa-apa lagi dah berlagak.”
            “Cik Akira, jaga bahasa awak sikit. Antara doktor dan jururawat, doktor yang lebih berkuasa tau. Kami yang tentukan apa yang baik untuk pesakit-pesakit ni?” Dr.Zaiman masih tak mahu kalah.
            “Jadi apa yang doktor-doktor buat ni betullah ya? Saya tahu memang jururawat macam kami ni jadi balaci doktor aje. Tapi kami lebih berpengalaman dalam menggunakan peralatan-peralatan hospital ni. Kalau setakat nak  mengarah itu ini dan tulis nama ubat, Sister kami pun boleh buat.” Aku hadiahkan dia dengan senyum sinis. Dr.Zaiman  dah bersedia nak membidas.
            “Dahlah tu. Janganlah bergaduh lagi. Doktor Zaiman, Akira. Akak dah tak apa-apa. Terima kasih Akira sebab bantu akak semalam. Doktor Zaiman, lain kali berhati-hati. Nasib baik kena dengan akak. Akak ni bukan jenis suka saman-menyaman  orang. Tapi bayangkan kalau kena dengan orang lain.” Kak Suhaila cuba meleraikan perbalahan aku dan Dr. Zaiman.
       Tiba-tiba langsir terselak. Dr.Idzham, doktor pakar sakit puan merangkap pembimbing doktor-doktor praktikal muncul.
      “Ni apahal ramai-ramai kat sini?” tanya Dr.Idzham.
     Aku sorot wajah Dr.Zaiman. Pucat tidak berdarah. Inilah masa untuk aku kenakan dia. Kak Suhaila pegang lengan aku. Wajahnya seperti ingin menyatakan sesuatu. Rani menolak langsir lebih luas. Dr. Idzham masih menunggu jawapan.
     “Saya bagi  briefing  pada mereka doktor.” Laju saja mulut aku menjawab.
    “Ok, dah selesai ke belum?”
    “Dah Dr.Idzham, terima kasih.” Aku terus tarik Rani beredar dari situ.
    “Berani betul kau lawan doktor-doktor tu Akira.”
    Aku senyum mendengar kata-kata Rani. Hari ini kami pergi bersarapan dulu sebelum pulang ke rumah. Balik nanti dah senang, boleh terus tidur. Tapi rasanya banyak kerja yang sedang menanti aku di rumah.
     
      “Aku bukannya nak melawan Rani. Tapi doktor-doktor praktikal tu berlagak sangatlah. Dr. Zaiman tu. Susah sangat nak mengaku kesalahan sendiri. Sedap mulut dia pula tu nak mengutuk kita.”
Rani mengangguk, setuju dengan kata-kata aku. Kami tak ambil masa yang lama pun untuk menghabiskan sarapan kerana mata masing-masing dah berat. Aku belikan sarapan untuk mak sekali.
    “Bawa motor elok-elok Akira,” pesan Rani sebelum masuk ke dalam kereta. Dia memang rapat dengan aku. Dari kolej jururawat lagi kami sudah berkawan. Tempat tinggal kami juga berdekatan.
Sampai saja di rumah, adik aku Asyura sudah menunggu di depan pintu. Muka dia, jangan cakaplah. Masam semasam-masamnya. Pintu pagar dibuka dengan kasar. Tak sempat aku turun dari motor, dia dah rampas helmet di tangan.

       “Kenapa lambat? Laki aku dah bising kat rumah tau tak?” Asyura jerkah aku.
       “Kan Kak Ira dah suruh kau ajak Shukri tidur aje kat sini, temankan mak.”
      “Ala, dia mana nak tidur kat rumah orang kak. Bingitlah telinga aku. Setiap kali kau kerja malam aje aku kena jaga mak,” sungut Asyura.
     Malas aku nak perang mulut dengan dia. Setiap kali kena jaga mak, macam inilah perangai dia. Ikutkan sangatlah cakap suami dia tu.
     “Mak buat apa kat dalam?” Aku tanya Asyura. Dia dah duduk atas motor.
     “Ada kat dalam tu. Aku suruh mandi tak nak. Sejuk katanya,” jawab Asyura.
    “Kenapa kau tak jerangkan air panas?”
    “Malaslah. Eh, mak tu belum makan tau. Nanti kau masaklah. Aku malas nak kotorkan dapur.” Asyura dah hidupkan enjin motor.
    “Petang ni datang tau. Kak Ira kerja malam lagi.” Aku ingatkan dia.
    “Petang ni aku nak keluar beli barang dapur dengan laki aku. Lepas tu nak pergi tengok wayang. Kau pergi kerja naik bas ajelah hari ni.”
   “Habis tu mak macam mana?”
    Asyura dah memecut pergi. Sampai hati dia. Tergamak dia buat macam ni. Sejak berkahwin, perangainya seratus peratus berubah. Hilang semua janji-janji manis dia pada emak. Nak jaga mak sampai akhir hayat konon! Belum sakit tenat lagi orang tua tu, dia dah buat hal.

      “Ira…”
     Aku cepat-cepat kunci pintu pagar dan berlari masuk ke dalam rumah. Usai memberi salam,aku mencari mak. Dia baru selesai menyapu ruang tamu.
    “Mak, kenapa buat kerja rumah ni? Mak kan tak sihat.” Aku ambil penyapu di tangan mak dan pimpin dia duduk di kerusi.
    “Mak dah sihatlah Ira. Sakit-sakit badan mak, asyik baring aje.” Aku senyum dengar mak bersungut. Muka mak nampak kemerahan, tidak pucat lagi seperti semalam.
    “Mak nak makan? Ira ada belikan sarapan.” Aku nak bangun, tapi mak pegang tangan aku.
    Bab inilah yang paling aku lemah. Mak tenung aku dengan wajah sedih. Dah nak mulalah drama airmata ni. Dalam kepala macam dah boleh agak apa yang mak nak cakap nanti. Cepat-cepat aku kucup kedua belah pipi mak. Kemudian aku bangun.
    “Ira tak nak mak sedih-sedih. Tanggungjawab Ira jaga mak dan pastikan mak sihat. Sekarang Ira nak mak makan, lepas tu mandi. Ira jerang air dulu ya.”
Aku masuk ke dapur. Sebenarnya aku pun nak menangis juga. Sejak ayah meninggal, penyakit semput mak semakin menjadi-jadi. Bukan setakat semput. Lemah jantung, darah tinggi dan kencing manis. Cukup pakej. Dulu aku dan Asyura dah berjanji dengan arwah ayah untuk menjaga mak. Tapi nampaknya sekarang cuma aku yang menunaikan janji itu.
      “Mak, Ira nak mandi dulu. Mak makan tau.” Aku laung mak dari bilik.
       Tak sampai sepuluh minit, aku selesai bersiram. Aku berlari ke dapur tatkala cerek sudah mengeluarkan bunyi keretapi. Aku siapkan air mandian mak. Aku tinjau dia di ruang tamu. Masih makan. Aku siapkan pakaian bersihnya. Kalau ikutkan, mak masih mampu lakukannya sendiri. Tapi aku  tak mahu mak penat. Bila lagi aku nak memanjakan mak kan?

      “Dah habis makan?” Aku kembali ke ruang tamu.
      “Dah. Ira, tengahari ni Ira nak makan apa? Mak masakkan untuk Ira ya.” Mak nak menghantar bekas makanan yang sudah kosong ke dapur tapi dengan pantasnya aku menahan.
     “Mak ni kan, pantang dah sihat sikit. Mulalah nak buat macam-macam. Hari ni biar Ira masak. Sekarang mak pergi mandi. Lepas tu makan ubat.”

      Mak senyum mendengar arahan aku. Perlahan-lahan dia melangkah masuk ke bilik utama. Air mandiannya sudah tersedia di situ. Aku menghenyak punggung di sofa. Lenguh terasa seluruh badan. Tangan menekan alat kawalan jauh. Televisyen terpasang. Mata saja di situ tapi otak sedang ligat berfikir. Macam mana aku nak ke tempat kerja hari ini? Fikir punya fikir, sudahnya aku terlelap.

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.