Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 31, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 10


            Lina membaca sambil lalu sahaja memo yang ditampal oleh Fatin. Mulutnya mencebik tatkala membaca isi kandungan memo yang terlekat di papan kenyataan kelas. Majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran. Seisi kelas dijemput hadir. Hari Sabtu jam lima petang. Lina mendengus kasar.
            ‘Orang kaya, jemput tetamu pun guna memo. Berlagak betul!’ Gerutu Lina di dalam hati.
            “Kau pergi kenduri tu nanti Lina?” tanya Aida, rakan yang duduk disebelah Lina.
            “Ah! Tak kuasalah aku nak pergi. Dia nak menunjuk-nunjuklah rumah dia besar. Orang kayalah katakan!”
            “Tak baik kau cakap macam tu. Dia jemput satu kelaslah. Kawan-kawan yang pergi Pulau Tioman hari tu pun dia jemput sekali.”
            Muka Aida ditatap. Serta-merta Lina teringatkan seseorang. Tiba-tiba saja bibirnya menguntum senyum.
            “Kawan-kawan yang pergi Pulau Tioman pun dia jemput sekali? Cikgu-cikgu?” tanya Lina, mengharapkan jawapan yang positif .
            “Mestilah dia jemput. Kalau tak silap aku, Ayu cakap kawan Cikgu Shahrul yang selamatkan dia tu pun ada sekali.”
            Kata-kata Aida melebarkan lagi senyum Lina. Dalam kepalanya sudah ada berbagai-bagai rancangan. Di ruang mata sudah terbayang wajah Kamal yang sudah empat bulan tidak ditemui.
            “Kau nak pergi tak? Kalau nak pergi boleh tumpang aku sekali,” pelawa Aida.
            “Tak payahlah. Nanti aku suruh Kamal datang jemput aku kat rumah.” Tonasi suaranya agak tinggi. Sengaja memancing perhatian Fatin yang berada  di situ. Gadis itu hanya tersenyum kelat tatkala mendengar kata-kata Lina.
            “Kau jemput ke perempuan syok sendiri tu Fatin?” tanya Ayu.
            Fatin hanya mengangguk. Telinganya masih panas. Dipandangnya Lina yang berada di tengah-tengah kelas. Tak dapat ditafsirkan perasaannya pada gadis itu tika ini.
            “Apsal kau ajak dia? Meluat aku tengok perangai dialah. Syok sendiri!”  tempelak Ayu.
            “Kalau aku tak jemput dia pun, dia mesti nak datang juga. Sebab dia tahu Kamal pun ada,” jawab Fatin selamba. Dia keluar dari kelas, tidak mahu menadah bebelan Ayu lagi.
Seperti yang dirancang, petang Sabtu itu maka berlangsunglah majlis doa selamat dan kenduri kesyukuran di rumah Tuan Zakaria. Lina tiba ketika para tetamu sedang menikmati jamuan petang. Cuma Shahrul saja yang menyedari kehadiran Lina kerana yang lain sedang sibuk mengisi perut.
            “Kenapa lambat sampai? Mari masuk, kitaorang pun tengah makan ni.”
            “Tuan rumah mana cikgu?” tanya Lina. Matanya melingas mencari seseorang.
            “Fatin ada kat dalam dengan kawan-kawan yang lain.” jawab Shahrul.
            “Oh, tuan rumah kat dalam. Orang lain pulak yang jadi penyambut tetamu, ya?” Lina ketawa sinis.
            “Saya ni pun kira tuan rumahlah juga. Dari kecil saya dah kenal dengan keluarga dia. Dah macam keluarga sendiri.”
            “Emm, patutlah hari tu cikgu berani luahkan perasaan pada Fatin. Dah jatuh cinta sejak kecil, ya?”
            Shahrul tersentak. Dia memandang sekeliling kemudian dia menarik tangan Lina agak jauh dari pintu pagar. Lina mengikut tanpa bantahan. Tiada langsung rasa hormatnya  pada Cikgu Shahrul. Puas hatinya dapat menyindir lelaki  itu.
            “Kalau awak datang sini semata-mata nak buat kacau, baik awak balik. Saya dengan Fatin tak ada apa-apa. Dia tu macam adik saya. Jangan nak reka cerita yang bukan-bukan.” Keras suara Shahrul memberi amaran.
            “Relakslah cikgu. Kalau betul tak ada apa-apa, kenapa cemas semacam? Saya datang bukan nak buat kecoh. Orang dah jemput datang kenduri, saya datanglah.”
            Tangan Shahrul yang masih  mencengkam lengannya ditolak kasar. Satu cebikan dihadiahkan pada Shahrul sebelum Lina masuk ke dalam. Shahrul menggenggam buku lima. Perasaan bimbang mula bertandang. Bimbang Lina akan merosakkan nama baiknya. Dari jauh dia mengawasi pergerakan Lina. Gadis itu terlalu tenang. Namun dalam ketenangan itu ada sesuatu yang sedang dicari. Shahrul tahu, Lina sedang mencari Kamal. Ikutkan hati mahu saja dia menghalang Lina masuk ke dalam rumah. Tapi dia tahu, tindakannya itu hanya akan memburukkan keadaan.
            Lina terus ke meja makan mengambil hidangan. Sesekali matanya melingas mencari Kamal. Sapaan rakan-rakan  yang mengenalinya hanya dibalas dengan anggukan.
            “Eh Lina, bila sampai?” tegur Aida.
            “Baru aje... Fatin mana?” tanya Lina acuh tak acuh.
            “Ada kat dapur. Kau nak jumpa dia? Nanti aku panggilkan.”
            “Tak payahlah. Nanti aku pergi cari sendiri. Aida...kawan-kawan cikgu Shahrul dah datang ke?” tanya Lina tanpa segan silu.
            “Dah, diaorang ada kat tepi kolam. Bersembang dengan papa Fatin,” jawab Aida.
            Tanpa pamitan, Lina meninggalkan Aida. Kakinya menuju ke kawasan kolam renang. Lina seperti sudah biasa dengan rumah itu. Dia menguntum senyum tatkala matanya sudah menangkap wajah yang amat dirindui. Sambil melenggang, dia menghampiri Kamal yang sedang berbual.
            “Hai Abang Kamal! Apa khabar? Lamanya tak jumpa, rindu kat Lina tak?”
Bahu Kamal ditepuk selamba. Semua yang berada di situ terkejut dengan sapaan Lina.
            “Siapa ni?” tanya Faiz.
            “Saya Lina, classmate  Fatin. Naib Presiden Kelab Bahasa Malaysia. Saya pun pergi juga ke Pulau Tioman hari tu. Sebab tu saya kenal Abang Kamal ni. Masa Fatin lemas tu, kami berdualah yang selamatkan dia. Betul tak Abang Kamal?” Bahu Kamal disenggol lembut.
            Kamal memaksa diri menguntum senyum. Dia tidak selesa dengan kehadiran Lina di situ. Sementara itu, Ayu yang baru muncul dari dapur sempat melihat aksi Lina menggedik dengan Kamal. Dia masuk semula ke dapur mendapatkan Fatin. Tangan sahabat karibnya itu ditarik.
            “Hish, apa tarik-tarik ni? Aku nak buat kerjalah!” Fatin merentap lembut tangannya. Dipandangnya Ayu dengan kerutan di dahi.
            “Lina dah sampai...”
            “Biarlah dia sampai. Kawan-kawan kita kan ramai kat luar tu. Kejap lagi aku keluarlah. Tinggal sikit lagi kerja kat dapur tu. Kesian bibik kena buat sorang-sorang.”
            “Dia tengah menggedik dengan abang Kamal.”
            Fatin pandang Ayu. Terbantut langkahnya untuk masuk semula ke dapur. “Takkan dia nak lebih-lebih kot.” Fatin menyedapkan hati sendiri.
            “Jomlah pergi tengok. Lagipun kita belum jamah apa-apa lagi sejak tadi. Aku laparlah.” Ayu menggosok-gosok perut.
            “Kau pergilah makan dulu. Kejap lagi aku keluar.” Mata Fatin belum bersedia untuk melihat aksi Lina di depan sana.
Ayu  masih berkeras, ingin Fatin pergi ke depan melihat tetamu yang menjengkelkan itu. Dia mengatur langkah ke dapur dan menitip pesan pada Bibik Ronisah. Mereka berdua akan menyambung kerja-kerja di dapur selepas makan nanti. Lagipun sudah tak banyak kerja yang tinggal. Dia mendorong Fatin ke depan dengan segera.
            Benar kata Ayu. Sampai saja ditepi kolam, mata Fatin dijamu dengan aksi Lina. Meliuk lentok tubuhnya melayan Kamal makan. Fatin mengetap bibir. Menangkis rasa cemburu yang cuba bertandang. Sengaja dia memilih tempat duduk yang agak terlindung dari pandangan Kamal. Mahu mengintai buah hatinya itu dari jauh. Walaupun mulut mengunyah, matanya tidak lepas dari Kamal.
            Kamal bangun meninggalkan Lina apabila ternampak Fatin sedang makan bersama Ayu di meja yang agak jauh darinya. Fatin pula sengaja menundukkan muka. Pura-pura tidak sedar dengan kehadiran Kamal.
            “Fatin baru nak makan ke?” tanya Kamal.
            Fatin cuma mengangguk, langsung tidak memandang wajah lelaki itu. Kamal menarik kerusi dan duduk di sebelah Fatin. Sempat juga dia menghadiahkan senyum kelat pada Ayu.
            “Kenapa tak temankan Lina? Kesian dia makan sorang-sorang.” kata Fatin.
            “Ada orang cemburu ke?” perli Kamal.
            “Eee, tak kuasalah nak cemburu. Pergilah temankan dia. Fatin boleh makan dengan Ayu.”
            Kamal mengetap bibir. Tidak suka dengan gurauan Fatin. Dirapatkan kerusinya dekat dengan Fatin.
            “Tolong jangan perli abang macam tu. Abang tak sukalah.”
Walaupun perlahan, tapi nadanya kedengaran keras. Fatin menoleh, melawan tatapan  mata Kamal. Memang bukan salah Kamal kalau Lina sengaja mengambil kesempatan ke atasnya. Fatin sendiri sudah maklum Lina memang sejak mula lagi menaruh hati pada Kamal.
            “Sorry...”
            “Untuk apa?” tanya Kamal.
            “Fatin tak bermaksud nak sakitkan hati abang.”
            Kamal tersenyum nakal. Dia memegang belakang kerusi Fatin. “Maaf aje?”
            “Habis tu abang nak Fatin buat apa?”
            “Sayang sikit boleh tak?” usik Kamal.
            “Gatalnya! Mari sini nak sayang sikit..” Jemari runcing Fatin mencari perut Kamal sebagai sasaran. Kamal menyeringai kesakitan. Ayu yang hanya memerhatikan sedari tadi mengekek ketawa.
            “Sweetnya korang. Bergurau senda gitu!” usik Ayu.
            Dada Fatin kelihatan berombak.  Puas hati dapat melepaskan kemarahan, walaupun hanya dengan cubitan. Tiba-tiba tawa Ayu terhenti. Lina sedang menghampiri mereka dengan segelas air di tangan. Manis betul senyumnya. Namun senyuman itu membuatkan Ayu makin meluat melihat Lina.
            “Abang Kamal, tolong hantar Lina balik boleh tak?”
            Nak termuntah Ayu mendengar suara Lina yang merengek manja. Fatin sudah memintal alas kain. Menahan geram dan marah yang bertandang kembali. Kaki Ayu yang duduk di sebelahnya ditendang perlahan. Tak pasal-pasal Ayu pula jadi  mangsa kemarahannya.
            “Tadi macam mana kau datang?” tanya Ayu.
            “Ayah aku hantar tadi.” Lina masih mengawal suaranya.
            “Kalau macam tu kau suruhlah ayah kau datang jemput. Apsal nak menyusahkan orang lain pulak?” Ayu menempelak.
            Tangan Lina menggigil. Namun cuba disembunyikan melalui senyum manis. Dia tak boleh menunjukkan perangai buruknya di depan Kamal. Jatuhlah sahamnya nanti.
            “Ayah aku dah pergi kerja. Ala...bukannya jauh pun. Okey, abang bawa Abang Hairi sekali kalau segan.”
            Kamal tidak terus menjawab. Dipandangnya Fatin yang sedang tunduk menghabiskan makanan di dalam pinggan.
            “Cepatlah abang. Kalau  lambat balik nanti mak marah,” rengek Lina.
            “Fatin dah siap makan ke?” tanya Kamal.
            “Dah, kenapa?”
            “Kalau dah, ikut abang hantar Lina. Abang tak berapa cam jalan nak balik nanti.” Kamal harap Fatin mengerti yang dia tidak mahu menurut kemahuan Lina.
            “Apalah Abang Kamal ni. Fatin kan tuan rumah. Takkanlah dia nak tinggalkan majlis ni. Apa pulak kata tetamu lain.” Kesabaran Lina hampir  goyah. Geram pula dia melihat  Kamal  cuba  berdolak-dalih. Dia tak mahu Fatin ikut sekali. Dada Lina berdebar kencang. Bimbang perancangannya tidak menjadi.
“Emm, ya tak ya juga kan. Tapi Abang Kamal pun belum nak balik lagi sebab masih ada hal nak berbincang dengan papa Fatin.”
“Habis tu macam mana Lina nak balik? Lina takut nak naik teksi kat kawasan ni.” Lina tunjuk  muka  sedih.
Kamal menggaru kepala yang tidak gatal. Apa akalnya untuk mengelak? Tiba-tiba dia ternampak Shahrul. Laju dilambainya Shahrul supaya datang pada mereka berempat. Hairi pun ada bersama.
“Shah, kau tolong  hantar Lina balik boleh tak?”
Lina tersentak. Darahnya seperti membuak-buak keluar. Rancangannya gagal lagi. Dia menepuk meja sekuat hati. Matanya mencerlang pada Kamal.
            “Cakap ajelah kalau tak nak hantar! Tak payah nak suruh orang lain. Aku boleh  balik dengan teksi.” Tinggi suara Lina menjerkah.
            Terkejut Kamal dengan perubahan mendadak tingkah laku Lina. Jeritannya memancing perhatian beberapa orang tetamu yang berada di situ. Fatin bangun, lengan Lina cuba dipegang. Tapi  Lina merentap  dengan kasar. Turun naik nafasnya menahan marah.
            “Janganlah macam ni Lina. Abang, pergilah hantar dia sekejap. Fatin tak kisah.”
            “Eh Fatin, kau tak payah nak tunjuk baiklah. Depan Abang Kamal bukan main lagi. Pijak semut  pun tak mati. Tapi kat belakang dia? Diam-diam kau berskandal dengan orang lain. Betul tak Cikgu Shahrul?”
            Shahrul tersentak. Dia dan Fatin berpandangan. Lina ketawa kecil. Puas hatinya dapat membocorkan rahsia Fatin dan Cikgu  Shahrul.
            “Apa awak merepek ni Lina?” soal Shahrul. Dia pandang Kamal yang sedang keliru. Laju kepala Shahrul menggeleng, menidakkan tuduhan Lina.
            “Lina, kau jangan buat kecoh kat majlis orang boleh tak?”Ayu pula menyampuk.
            “Kau diamlah buntal! Kau pun sama aje dengan budak perasan baik ni.” Lina termengah-mengah, menahan marah yang makin menggila.
            “Amboi, kau ni dah lebih ni. Pantang keturunan aku orang menghina kejadian Tuhan ni tau. Mari sini, aku hantar kau balik. Abang Hairi, jom. Cikgu, jom ikut sekali.”
            Lina menyorok di belakang Kamal. Dengan pantas Kamal menjauhkan diri. Lina cuba mengekori. Tapi Ayu lebih pantas menerkam Lina. Dengan bantuan Hairi, kedua-dua tangan Lina dipegang kemas.
            “Cuba kau kawal sikit diri kau! Aku humban kau kat simpang depan yang banyak anjing tu, nak?” Ayu menjerkah.
            Akhirnya Lina diam juga. Kamal dan Fatin hanya memerhatikan mereka bertiga membawa Lina keluar. Terdengar keluhan berat dari mulut Fatin. Matanya terasa pedih. Tiba-tiba dia merasa sebak. Fatin cuba membendung airmatanya dari keluar. Tapi gagal. Segera dia berpaling sambil mengesat pipi yang basah.
            “Hei, kenapa Fatin menangis ni?” tanya Kamal kehairanan. Dia cuba mengeringkan pipi Fatin tapi gadis itu mengelak.
            “Orang tengoklah!” kata Fatin.
            “Habis tu kenapa tiba-tiba aje menangis? Angin tak ada, ribut tak ada tahu-tahu banjir. Pelik...” usik Kamal.
            “Kesian Lina. Dia sayang sangat dengan abang,” ucap Fatin perlahan.
            “Tapi abang tak ada rasa apa-apa pun dengan dia. Dia yang perasan, siapa suruh?” Bersahaja sungguh jawapan Kamal.
            Bukan salah dia Lina jadi macam tu. Seingat Kamal, dia tidak pernah memberi harapan pada Lina. Dalam hatinya cuma ada Fatin. Tak ada  sesiapa yang  boleh  memaksa dia melupakan gadis itu. Kasih dan cintanya  pada Fatin datang  secara semulajadi. Tak perlu menggedik dan merayu, Fatin menawan hatinya dengan sifat semulajadinya yang matang.
            “Fatin yakin Lina takkan mengalah. Kalau hari ni dia tak dapat abang, besok-besok mesti dia cuba lagi.”
            “Oh, sebab itu ke Fatin menangis? Takut abang  jatuh cinta dengan Lina, ya?”
            Kamal ketawa mengekek. Fatin cemberut. Spontan tangannya memukul lengan Kamal.
            “Orang serius, dia buat main-main pulak.”
            “Siapa kata abang main-main? Abang betul-betul sayang Fatin tau.”
            Terjuih bibir Fatin. “Sweet  talker!”
            “Tak percaya?” tanya Kamal.
            Fatin menggeleng. Kamal bangun, berdiri sebentar memandang sekeliling. Tak semena-mena dia memegang  tangan Fatin. Dibawanya Fatin masuk ke dalam rumah. Liar matanya mencari orang tua Fatin yang sedang melayan Farisya dan Farina di ruang tamu. Bulat mata orang tua Fatin melihat Kamal memegang erat tangan anak dara mereka.
            “Pakcik, saya nak minta izin bawa Fatin ke rumah saya besok. Boleh tak?”
            Tuan Zakaria tersenyum lebar. Dipandang wajah isteri di sebelah. Wanita itu juga tersenyum mendengar kata-kata Kamal. Fatin cuba melepaskan pegangan tangan Kamal. Tapi Kamal menggenggam erat jemari Fatin. Merah muka Fatin menahan malu.
            “Lepaslah, malulah papa dan mama tengok.” Fatin bercakap sambil mengetap gigi.
            “Tak nak. Tadi cakap abang main-main, kan? Sekarang ni abang nak cakap dengan papa dan mama Fatin. Berdiri diam-diam.”
Kamal berhenti sebentar. Nafas ditarik dalam-dalam. “Pakcik, saya ni ikhlas  nak berkawan dengan Fatin. Saya tahu dia masih muda. Tapi hati saya dah nekad. Saya nak jadikan dia isteri saya. Saya dah ada kerja tetap. Saya yakin saya mampu jaga dia. Saya sanggup tunggu sampai dia habis belajar, sambung belajar dan bekerja. Tolonglah pakcik, izinkan saya bawa Fatin kenal-kenal dengan umi saya.”
            Kamal berlutut. Tangan Fatin masih erat dalam genggamannya. Fatin pun ikut terduduk sekali. Kesungguhan jelas kelihatan di wajahnya. Papa dan mama Fatin tergamam sebentar. Papa Fatin bangun dan menghampiri Kamal. Ditepuk-tepuknya bahu Kamal dan menarik lelaki  itu untuk berdiri. Tangan Kamal yang sedang menggenggam erat tangan anak daranya dipegang. Genggaman tangan Kamal terlerai. Fatin segera mendapatkan mamanya yang  tersandar kekagetan.

“Pakcik boleh nampak keikhlasan Kamal. Dan pakcik tahu kami terhutang nyawa dengan Kamal.”
            “Pakcik, saya bukan nak ambil kesempatan atas budi yang saya tabur. Sebelum Fatin lemas lagi saya dah jatuh cinta dengan dia,” ucap Kamal lirih.
Tuan Zakaria tersenyum lebar melihat tingkah Kamal. Dia duduk kembali di sebelah isterinya. Dia mengerling Fatin sebentar.
            “Pakcik benarkan Kamal bawa Fatin ke rumah, tapi dengan satu syarat.”
            “Apa syaratnya pakcik?” tanya Kamal kurang sabar.
            “Kena bawak Farina dan Farisya sekali.” Tuan Zakaria menyambung.
            Kamal tersenyum lebar. Spontan dia memeluk Tuan Zakaria. Tangan lelaki itu dikucup berulang kali. Fatin dan mamanya terlongo. Kamal seperti orang baru menang loteri. Dipeluknya papa Fatin sekali lagi.
            “Saya takkan sia-siakan kepercayaan  pakcik. Percayalah, kami akan menjaga maruah kami dan nama baik keluarga. Terima kasih pakcik.”
            Kamal menarik nafas lega. Wajah Fatin direnung dengan penuh rasa sayang. Dia yakin kini Fatin percaya dengan dirinya. Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menjaga pohon cinta yang baru bertunas agar berkembang mekar sepanjang masa.  


.

.
.

.

.

.

.

.

.
.