Usai solat Subuh, aku
bersiap. Buka almari dan pilih baju yang lebih elok dari biasa. Nak pergi
temuduga, mestilah pakai baju yang elok
sikit. First impression mesti bagus kan? Heheh! Dah dekat pukul 7. Natrah
masih belum keluar dari bilik air. Dia ni mandi ke sambung tidur di dalam tu?
“Nat! Kau tidur ke kat dalam tu?” Aku jerit sambil ketuk
pintu bilik air.
“Kejaplah! Air ni sejuk sangat. Aku tak biasa mandi air
sejuk pagi-pagi ni,” jawab Natrah dengan nada tinggi juga
Tak biasa mandi air sejuk konon! Tu bukan tak biasa, itu
mengada-ada namanya. Sementara tunggu dia siap mandi aku kemas tempat tidur.
Tempat tidur aku, bukan tempat tidur dia. Tak lama lepas tu dia keluar.
Bertuala aje. Dia ni memang tak ada rasa malu agaknya. Walaupun sama-sama
perempuan tapi agak-agaklah. Malas nak menjamu mata di situ, baik aku keluar.
Cari apa-apa yang boleh dibuat alas perut.
“Selamat pagi maksu!” Oi terkejut aku! Benji dan Bella
menjerit serentak. Mengekek budak-budak kecil tu tengok aku terperanjat.
“Bertuah punya budak! Nasib baik maksu tak pengsan.” Aku
tarik dua-dua dalam pelukan dan cium pipi masing-masing seorang sekali.
Bahagianya rasa bila anak-anak Abang Black balas pelukan aku.
“Mama mana?” Aku tanya dua-dua sekali. Padahal dah nampak
Kak Maziah di dapur. Abang Black pun ada. Sedapnya bau kuew teow goreng. Kak
Maziah ni memang rajin bawa bekal. Bekal
untuk dia dan anak-anak sekali. Abang Burn tak nak. Biasalah, orang lelaki.
“Natrah mana?” tanya Abang Burn.
“Tengah siap.” Aku jawab sambil tarik sepinggan kuew teow
goreng yang dah dihidangkan oleh Kak Maziah.
“Dayang malam ni kita buat cupcake ya. Ada empat orang yang order. Semua sekali dalam lapan puluh biji,” kata Kak Maziah.
Aku mengangguk. Dalam kepala dah rancang nak siapkan
tempahan lebih awal. Hari ni aku dah tak payah mengadap Tengku Haizal lagi.
Kalau temuduga tu tak berjaya pun, aku dah malas nak pergi kerja lagi. Duit hasil jualan cupcake ni cukup untuk menampung perut
aku seorang.
“Assalamualaikum, tengah sarapan ke?”
Semua menoleh. Mujur tak tersembur Teh O yang tak sempat aku telan. Ucapan salam
tu macam tak seiring dengan cara Natrah
berpakaian. Salam dijawab perlahan. Abang Burn dah bangun tinggalkan meja
makan. Nampak sangat dia tak berkenan dengan penampilan Natrah.
“Skirt tu koyak ke Natrah?”tegur Kak Maziah.
“Tak lah kak. Memang fesyennya macam ni,” jawab Natrah
tanpa rasa bersalah.
“Oh, akak ingatkan koyak. Seksi sangat ni, nak ke mana?”
Aku tahu Kak
Maziah tengah perli Natrah. Aku biarkan aje. Nak tengok macam mana dia
menjawab.
“Pergi kerja lah kak.”
“Pergi kerja macam ni?”
“Kenapa kak? Tak boleh ke?”
Aduh, dia boleh tanya soalan macam tu pada Kak Maziah?
Masak juga si Natrah ni nanti.
“Boleh. Akak tak kisah kau nak pakai apa pun. Memang selesa
pakai baju macam ni kan? Nak nak kalau naik motor. Senang angin nak masuk.” Kak
Maziah senyum lebar. Dipimpinnya Bella dan Benji meninggalkan ruang dapur.
Sempat lagi dia geleng kepala tengok Natrah yang tengah melopong.
“Kena naik motor lagi ke hari ni?” Natrah tanya aku.
“Yelah, aku mana ada kenderaan lain.” Aku bangun, bawa
pinggan yang dah kosong ke sinki.
“Ala, macam mana aku nak naik motor kalau pakai macam ni?”
“Apa susah, tukar ajelah skirt tu. Pakai seluar.” Selamba
aje aku menjawab. Dia masuk balik dalam bilik sambil bersungut. Baru satu malam
menumpang, Natrah dah buat perangai. Aku ingat-ingat lupa, dulu perangai dia
macam ni juga ke?
Kak Maziah dan Abang Burn dah keluar pergi kerja. Tapi
aku masih di rumah. Lamanya dia tukar baju. Ni tukar baju ke menjahit? Matahari
dah nak keluar. Dia sambung tidur ke?
“Nat! Tak siap lagi ke. Kita dah lambat ni.” Aku ketuk
pintu bilik yang berkunci. Natrah keluar dengan muka cemberut. Skirt dah
bertukar. Apa yang tak kena lagi ni?
“Aku tak selesalah naik motor. Takut bila kau
menyelit-nyelit. Laju pulak tu.”
Aku capai kunci motor, terus keluar rumah. Hati dah panas
ni. Banyak songeh betul Natrah ni. Aku hulur satu helmet pada dia. Tapi dia
buat tak tahu pula.
“Nat, kalau kau takut naik motor dengan aku, kau call cab. Aku nak cepat ni.” Aku tolak
motor ke luar. Kunci pintu pagar dan start motor. Sengaja aku pulas pedal minyak.
Melaung-laung bunyi skuter kesayangan aku. Siap dengan asap sekali. Natrah
tutup hidung. Dia pakai juga akhirnya helmet yang aku sangkut di pintu pagar.
Tahu pula kedekut nak naik teksi. Aku tak minta kau tuang minyak motor ni pun
dah cukup bagus tau!
Tak sampai sepuluh minit, dah sampai pejabat. Sengaja aku
bawa laju. Terjerit-jerit Natrah bila aku menyelit-nyelit. Biar dia rasa. Banyak
bunyi sangat kan? Terhuyung-hayang Natrah turun dari skuter. Puas hati aku. Aku
pandang saja dia buka pintu pejabat .
Tak ada niat pun nak turun dari motor.
“Kau nak pergi mana?” laung Natrah sebelum masuk ke dalam.
“Aku tak kerja hari ni tau. Ada hal sikit. Nanti kau
tolong beritahu pada Tengku Haizal eh.”
Sengaja aku tak beritahu pada Natrah yang aku ada
temuduga hari ini. Dia pun tak tahu yang aku akan berhenti kerja. Melihatkan
perangai dia semalaman di rumah buat aku tak ada hati nak berkongsi apa-apa
cerita dengan dia. Aku pecut pula ke tempat temuduga. Tepat seperti yang
dijanjikan, pukul 9 aku dah tercegat di depan syarikat kurier itu. Boleh tahan
besar juga syarikat ni. Dengan lafaz basmallah aku masuk ke dalam. Terus
diarahkan ke pejabat Pengurusan Sumber Manusia. Berjumpa dengan Miss Susan.
Gedebak- gedebuk, temuduga selesai dalam
masa setengah jam.
Alhamdulillah, minggu depan aku dah boleh mula bekerja di
tempat baru. Tapi gajinya kecil sikit, tak sebanyak yang aku dapat di Haizal,
Dinesh & Partners. Tak kisahlah tu. Asalkan aku tak payah mengadap lagi
muka Wayar Putus tu. Waktu masih panjang. Aku teruskan dengan niat asal. Nak
balik rumah dan buat cupcake.
Sampai rumah, serta-merta mood aku berubah bila masuk ke bilik. Apa dah jadi dengan bilik aku
ni? Dah macam kena samun! Bersepah-sepah dengan pakaian Natrah. Baru satu
malam. Berapa lama lagi aku boleh tahan ni? Tak sangka pula perangai dia macam
ni. Tak pasal-pasal aku habiskan separuh hari yang indah itu dengan mengemas
bilik.
Baru aje selesai mengemas, telefon bimbit pula berbunyi.
Aku ketap bibir. Apahal pula dia cari aku ni. Aku letak telefon atas meja.
Sengaja dibiarkan tidak berjawab. Tapi lama-lama aku balik yang rimas sebab
telefon tu dah berhenti-henti menyanyi.
"Apsal tak datang kerja hari ni?"
Tengku Haizal terus tanya sebaik saja aku menjawab panggilan.
"Saya dah mula kerja kat tempat baru ni Tengku."
Aku bohong dia.
"Tapi belum cukup dua minggu lagi. Saya boleh saman awak
sebab langgar perjanjian tau," ugut Tengku Haizal.
"Bila masa pulak saya sign apa-apa perjanjian dengan Tengku? Saya kerja kat sana sebab
nak tolong Mr. Dinesh, bukannya Tengku."
Terdiam Tengku Haizal. Apa, ingat aku tak berani ke nak melawan cakap dia? Kuat betul bunyi nafas dia
dalam telefon ni. Macam nafas kerbau kena sembelih. Mesti dia tengah marah
dengan aku.
“Awak kerja kat
mana?"
"Buat apa nak
tahu?"
"Cakap
ajelah!"
"Kat kedai kasut."
Aku dengar dia gelak.
Aku rasa aku tak buat lawak pun.
"Punya nak lari dari
saya sampai sanggup kerja kat kedai kasut?" Dia sindir aku.
"Suka hati
sayalah. Bukannya saya buat kerja haram. Tengku nak tahu, kat sini best tau. Bos dia baik giler, hormatkan pekerja dia. Tak miang
macam bos kat tempat lama saya tu." Giliran aku pula sindir dia.Aku gigit
hujung kuku, tahan gelak.
"Awak perli saya
kan?"
Aku tak jawab sebab
tengah berguling-guling atas katil tahan ketawa. Tahu pula dia terasa.
"Dayang, cakaplah.
Awak kerja kat mana sekarang?" Suara Tengku Haizal sedikit tinggi.
"Kan dah cakap
tadi."
"Takpe, nanti saya
tanya Natrah."
Eleh, dia ingat aku
hairan ke? Macamlah Natrah tu tahu. Macam mana aku nak letak telefon ni? Terpandang
pula pembungkus gula-gula atas almari solek. Ni mesti kerja Natrah. Perempuan
tu memang kurang kesedaran sivik betullah! Padahal tong sampah di sebelah pintu
tu aje. Eh, idea datang!
"Tengku, line tak berapa eloklah kat sini."
"Hello. hello!
Awak dengar tak?"
Aku renyuk-renyukkan
pembungkus gula-gula tu dekat dengan telefon. Pandai tak aku? Bunyinya dah macam
radio yang hilang siaran. Makin lama makin laju aku renyukkan.
"Ok, Tengku.
Memang tak dengar langsung ni. Kalau ada apa-apa, pesan pada Natrah ajelah.
Bye."Aku matikan terus telefon. Lepas tu ketawa melambak sampai keluar
airmata. Padan muka dia. Baru kau tau siapa Dayang! Puas gelak aku turun dari
katil dan terus masuk bilik mandi. Rasa-rasanya mood nak membancuh cupcake dah datang balik ni.
Tanpa lengah aku terus
ke dapur. Buat apa-apa yang patut. Telefon Kak Maziah dan tanya jumlah pesanan
terkini. Sambil buat kerja aku pasang radio kuat-kuat. Taklah sunyi sangat.
Diam tak diam akhirnya siap juga cupcake aku. Malam ni bolehlah layan TV. Tak pun ajak
Natrah keluar pusing-pusing cari rumah sewa. Natrah? Eh, dah pukul berapa ni?
Aku pandang jam di dinding. Alamak, dah dekat pukul 5! Mujur semuanya sudah
siap berkemas. Apa-apahal aku solat Asar dulu. Elok saja aku keluar dari rumah.
Natrah pun sampai. Amboi, Tengku Haizal yang hantar dia balik.
Bukan main lebar lagi
senyum Natrah masa keluar dari kereta. Tengku Haizal turunkan cermin tingkap
dan pandang aku. Aku cuma angkat tangan tanda sapaan. Dia tak balas. Muka dia
mencuka. Elok saja Natrah tutup pintu, dia terus pergi.
“Kenapa tak beritahu
kau balik dengan Tengku Haizal?” Aku tanya Natrah masa dia tengah buka kasut.
“Telefon tak ada
kredit. Dayang, start besok, kau tak
payah hantar aku pergi kerja. Tengku Haizal kata dia boleh tumpangkan aku pergi
kerja nanti. Balik pun dia boleh hantar.” Lebar senyum Natrah bercerita.
“Baguslah tu. Lagipun
minggu depan aku dah start kerja kat
tempat baru. Tengku Haizal dah nak tolong tu, takdelah aku risau sangat. Kau
mandi cepat. Kita pusing-pusing kat area dekat-dekat sini, cari rumah sewa.”
“Ala, aku penatlah Dayang. Kita cari kat internet aje kan senang. Lagipun tak naklah aku naik
motor kau tu. Buat sakit pinggang aku aje,” sungut Natrah lalu terus masuk ke
dalam rumah.
Aku mendengus perlahan.
Minta-minta cepatlah dia dapat rumah sewa. Fuh, lega rasanya sebab, gerenti
lepas ni Wayar Putus tu takkan ganggu hidup aku lagi. Sebab dia dah ada Natrah.
Heheh!