Mak sudah stabil. Dia sedang berehat setelah dimasukkan oksigen sebentar tadi. Memandangkan tekanan darahnya agak tinggi, maka dia masih tidak dibenarkan pulang. Aku lebih tenang jika dia berada di hospital. Tahap kesihatannya akan sentiasa dipantau berbanding di rumah. Aku tinggalkan dia bersama Nora sebentar untuk membuat pendaftaran di kaunter.
“Terima kasih ya doktor,” ujarku pada Dr. Zaiman yang masih berada di situ. Dia juga sama-sama berada di dalam bilik kecemasan sebentar tadi.
“Terima kasih aje?” tanya Dr.Zaiman. Dia pandang aku dengan dahi yang berkerut. Perlahan-lahan senyum sinis terukir di bibirnya.
“Oh, kena bayar duit minyak ya?” Segera aku menyeluk beg duit di dalam beg tangan. Aku hampir terlupa yang dia cuma doktor praktikal. Belum ada pendapatan tetap. Sekeping not sepuluh ringgit aku tarik dari celahan beg duit.
“Nah.” Aku hulur padanya.
“Saya bukan nak duit.”
“Habis tu?”
“Awak memang terlupa atau buat-buat lupa?”
Dahi aku pula yang berkerut. Aku tak faham. Apa yang cuba dia sampaikan? Kenapalah dia suka serabutkan kepala aku yang dah sedia serabut ni?
“Doktor nak apa? Cepatlah cakap. Saya nak pergi tengok mak saya ni.” Aku masukkan semula duit di dalam beg. Kalau dia tak nak terima, terpulanglah. Tapi kalau dia minta lebih, hanya itu saja yang mampu aku berikan.
“Saya cuma nak nombor telefon awak. Alamat rumah saya dah tahu.”
Terjongket bahu aku mendengarnya. Dalam keadaan begini dia masih nak main ayat dengan aku. Berdosa tak kalau aku hayun beg tangan ni di kepalanya? Biar otaknya dapat berfikir dengan waras sikit. Aku sedang risaukan keadaan mak, dia tak penat-penat lagi nak minta nombor telefon.
“Pandai doktor ambil kesempatan. Maknanya doktor tak ikhlas membantu saya.”
“Saya ikhlas tolong mak awak Akira. Tapi saya memang kena ambil kesempatan yang ada. Saya dah tak banyak waktu lagi di sini. Sebelum saya terlupa, lebih baik saya minta sekarang,” ujar Dr. Zaiman dengan muka yang tidak bersalah.
“Kalau saya tahu tadi, tak ingin saya terima pertolongan doktor.” Aku menjerkahnya dengan nada yang tertahan.
“Tak payah herdik-herdik saya. Sekarang ni awak nak bagi ke tak?”
“Tak nak! Jangan harap.” Aku memeluk tubuh. Cuba membendung kemarahan yang semakin meluap.
“Okey, kalau macam tu awak tunggu sajalah gangguan dari saya yang seterusnya nanti.”
Dia terus bergerak meninggalkan aku yang termangu. Namun beberapa langkah kemudian dia berhenti dan menoleh. Senyum mengejek masih tersungging di bibirnya. Sengaja dia menggerak-gerakkan kening. Semakin menyampah pula aku pada dia.
“Hari ni awak kerja sampai pukul 7 malam kan?” tanya Dr.Zaiman bersama lantunan suara yang agak tinggi. Aku cuma mengangguk mengiakan tekaannya.
“Waktu bekerja awak belum habis lagi. Awak nak makan gaji buta ke?” tanya Dr. Zaiman lagi sambil bercekak pinggang.
“Saya nak tengok mak sayalah! Mana boleh tinggalkan dia seorang diri di sini.” Aku menghentakkan kaki, menzahirkan amarah ku pada lantai yang tidak berdosa.
“Nora kan ada tu? Awak jangan nak curi tulang ya. Saya adukan pada Matronawak nanti.”
Rahang dah mula bergerak-gerak. Kalau dia masih tak berganjak dari situ memang dia akan merasa hayunan dari beg tangan aku ini. Namun dia sudah berpaling dan meneruskan langkah menuju ke pintu lif.
“Jom ikut saya balik wad. Kalau tidak, saya akan cakap pada Matron yang awak ponteng kerja.”
Aduh, sempat lagi dia ugut aku! Memang tak makan ajar betullah doktor sengal ni. Dia fikir aku takut ke dengan ugutannya? Apa aku peduli dengan ugutan dia. Apa yang penting adalah mak. Tak ada sebab aku nak lebihkan hal-hal lain selain dari mak.
“Kak Ira,” panggil Nora.
Aku menerpa Nora yang baru keluar dari bilik di mana mak ditempatkan.
“Ada apa Nora? Mak panggil Kak Ira ke?” Aku ingin masuk ke dalam bilik tapi segera ditegah oleh Nora.
“Makcik dah tidur. Doktor tak bagi ganggu,” ujar Nora perlahan. “Kalau akak nak sambung kerja, akak pergilah. Biar Nora jaga makcik,” sambung Nora lagi.
Aku mula diserang rasa serba-salah. Di mana Asyura pada ketika ini? Sepatutnya dia yang menjaga mak. Sejak tadi aku cuba hubunginya. Tapi panggilan tidak dijawab. Aku pegang lengan Nora dan renung matanya dengan penuh rasa serba-salah.
“Kak Ira naik sekejap jumpa ketua Kak Ira. Kak Ira minta cuti ajelah hari ni,” ujarku. Kepala Nora aku usap perlahan. Dia sekeluarga sudah banyak membantu. Alangkah baiknya kalau Asyura juga berperangai begini.
“Akira Maisara!”
Saat aku menoleh, Dr.Zaiman sedang bercekak pinggang. Wajahnya kelihatan serius dan matanya merenung tajam padaku. Nora berlindung di belakang ku. Dia pula yang gerun dengan jeritan Dr.Zaiman.
“Kak Ira, pergilah. Jangan risau. Nora akan sentiasa berada di sisi mak.” Nora cuba meyakinkan aku.
“Kalau ada apa-apa beritahu Kak Ira tau. Kak Ira pergi sekejap aje. Nanti akak datang balik.”
Langkah ku atur laju. Dr.Zaiman masih menunggu di depan pintu lif. Segera ditekannya butang nombor tiga sebaik sahaja aku masuk ke dalam. Kami berdua hanya bungkam. Aku diam bukan bermakna aku takut. Tapi aku sedang mengawal kaki dan tangan ini supaya tidak menghadiahkan dia dengan pelempang dan penerajang. Dia buat aku semakin menyampah. Dia belum kenal aku siapa. Kau tunggulah nanti.
“Awak…”
“Diam! Doktor tahu tak yang sakit tu mak saya. Saya ni anak dia. Kalau mak doktor sedang sakit, boleh ke doktor buat kerja dengan tenang.” Aku cantas kata-katanya dengan luapan kemarahan.
Dr.Zaiman nampak terperanjat. Namun wajahnya tetap seperti tadi. Serius dan sombong. Dia berjalan merapati aku. Aku hadang dadaku dengan beg tangan. Kalau dia dekat setapak lagi memang aku akan kerjakan dia. Jangan diusik singa betina yang sedang marah ni.
“Itulah perbezaan doktor dan jururawat. Kalau hati tak tenang, bagaimana doktor boleh menyelamatkan pesakit di dewan bedah. Kami sebagai doktor ni telah diajar untuk bekerja di bawah tekanan. Bukan macam jururawat. Kalau setakat jadi tukang lap peluh di dalam dewan bedah tu, makcik kantin tu pun pandai!” Dr.Zaiman mencuit hidung sendiri dengan hujung ibu jari. Huh! Besar betul lagaknya.
“Eh, saya sedang bercakap tentang mak saya! Tak ada kena-mengena dengan cerita di dewan bedah. Jangan ganggu saya lagilah.” Tegang urat leher aku berlawan cakap dengannya. Namun masih belum nampak tanda-tanda yang dia akan mengalah.
Lif berbunyi tanda kami sudah sampai ke tingkat tiga. Jari Dr.Zaiman lebih pantas menekan butang yang menutup kembali pintu lif tersebut. Badannya menghadang pintu.
“Tepilah! Tak ada masa nak bergurau dengan doktor.” Aku cuba menolak badannya ke tepi. Tapi dia tetap tak berganjak.
“Bagi nombor telefon dahulu, kalau tidak…”
“Kalau tidak apa? Nak buat benda tak senonoh pada saya? Doktor jangan main-main. Saya tengah stress ni.”
Dia diam. Tapi mata masih memandang aku. Aku teringat sesuatu. Tangan segera ku seluk ke dalam beg tangan. Aku keluarkan penyembur minyak wangi lalu ku hala ke muka Dr.Zaiman. Kelam-kabut dia menutup muka dengan kedua-dua tangan.
“Tepi! Kalau tak karang ada yang jadi OKU secara percuma.”
Akhirnya dia beralah. Tertunduk-tunduk badannya ketika memberi laluan untuk aku keluar. Sehingga pintu lif tertutup kembali, dia masih tidak keluar dari lif. Dah mati terkejut agaknya doktor sengal tu.
“Rani, Sister mana?”
Aku tanyakan terus pada Rani sebaik saja masuk ke dalam wad. Aku melirik pada jam di tangan. Kebiasaannya pada waktu begini Sister tiada di dalam wad. Ah sudah, ke mana pula aku nak cari Puan Zainon ni?
“Dia dah lama keluar. Ada taklimat kemasukan jururawat pelatih di bilik Matron,” jawab Rani.
Aku menggaru dagu. Macam mana nak minta keluar awal ni? Tapi rasanya kalau aku ambil cuti kecemasan hari ini tak mungkin menjadi kesalahan. Mak aku sakit. Darah daging aku. Bukannya teman lelaki atau anak kucing. Dr.Zaiman memang sengaja nak menyusahkan aku. Aku keluar semula dari wad gynae. Hati sudah nekad. Biarlah kena marah, demi mak aku sanggup tadah telinga. Aku yakin Puan Zainon akan faham dengan situasi aku.
“Nak ke mana ni Akira?” tegur Dr.Idzham.
Langkah terhenti, namun otak ligat mencari jalan untuk membalas kembali perbuatan anak buah Dr.Idzham. Aku amati keadaan sekeliling. Alangkah bagusnya jika Dr.Zaiman berada di situ ketika ini.
“Saya nak pergi ke wad kecemasan. Mak saya ada di sana.” Mata masih melingas walaupun sedang bercakap.
“Mak awak sakit ke?” tanya Dr.Idzham.
Inilah soalan yang paling aku tak suka. Kalau dah namanya hospital, mestilah sebab utamanya adalah sakit! Takkanlah mak aku tu suka-suka nak datang hospital untuk minta autograf doktor-doktor di sini. Walaupun sedang bengang namun kepala tetap mengangguk .
“Ya doktor. Dia semput, tapi dah okey. Dia masih tak dibenarkan pulang sebab tekanan darahnya agak tinggi,” jawab aku dengan jujur.
“Habis tu awak buat apa lagi di sini? Pergilah uruskan mak awak,” suruh Dr.Idzham.
“Saya memang nak uruskan dia. Tapi…” Aku kemam bibir. Nak cakap ke tidak. Kalau aku mengadu, pasti Dr.Zaiman akan menerima habuannya nanti.
“Tapi apa? Awak ada masalah ke?” tanya Dr.Idzham.
“Tak…tak ada. Saya nak cari Dr.Zaiman sekejap. nak ucap terima kasih pada dia sebab tolong saya tadi.”
Tak sampai hati. Kalau aku buat macam tu pasti rekod dia akan tercalar. Mungkin ada cara lain untuk mengajar dia nanti. Aku menoleh ke kiri. Terasa ada seseorang sedang memerhatikan aku di sebalik pintu wad.Dr. Zaiman! Dia menelinga perbualan kami rupanya.
“Awak pergi uruskan mak awak dulu. Besok-besok boleh ucap terima kasih pada dia. Awak dah beritahu Puan Zainon?” Dr.Idzham bertanya lagi.
“Belum, saya tak sempat nak maklumkan pada dia tadi.”
“Okey tak mengapa. Saya nak ke Matron. Dia ada di sana. Nanti saya akan maklumkan pada dia.”
Dr.Idzham melangkah pergi usai aku ucapkan penghargaan padanya. Dr.Zaiman segera keluar sebaik sahaja Dr.Idzham beredar. Aku dengar derap kasutnya mendekati aku ke pintu lif. Dia ikut masuk. Aku cuma diam. Tak ada sebab aku perlu berbual-bual dengannya.
“Terima kasih.”
Aku toleh ke belakang. Terjuih mulut aku melihat dia sedang senyum.
“Apahal pula ni? Tak payah nak buat baik dengan saya. Saya tetap takkan beri nombor telefon saya pada doktor.” Aku pandang depan semula.
“Adui, masih marah lagi rupanya! Hmmm, tak apalah kalau orang dah tak sudi berkawan dengan saya,” ujarnya perlahan.
Aku biarkan dia mengomel sendirian. Lambat pula lif ni bergerak. Kalau aku tahu tadi lebih baik aku turun melalui tangga. Berdua dengan dia di dalam kotak besi ini buat aku rimas dan lemas. Walaupun aku tak nampak, aku tahu dia sedang memerhatikan aku.
“Malam ni tidur mana?” tanya dia.
“Tak payah sibuklah. Bukannya saya tumpang rumah doktor pun.” Aku jawab tanpa memandang dia.
Diam lagi. Baru tiba di tingkat 2. Ya ampun! Kenapa macam siput pula lif ni?
“Awak ada duit ke nak bayar bil hospital nanti?”
Kali ini aku berpusing. Apa niat dia bertanya begitu? Perlahan-lahan aku menyilang tangan ke belakang.
“Bukankah doktor yang cakap tadi. Antara duit dan mak saya mana satu yang lebih penting? Saya ada duit ke, tak ada duit ke doktor peduli apa? Saya pekerja di sini. Kalau tak ada duit nak bayar, saya boleh buat potongan gaji. Tak payahlah nak tabur budi lagi dengan saya. Tak guna menolong kalau tak ikhlas.”
Telefon di dalam poket berbunyi serentak dengan pintu lif yang terbuka. Aku keluar tanpa mempedulikan Dr.Zaiman yang masih terpempan di situ.
"Kak Ira, mak dah ada dalam wad" kata Nora.
Segera aku matikan talian dan mengatur langkah menuju ke tingkat dua. Medical Ward terletak di situ. Sengaja aku mendaki tangga, tidak mahu terserempak dengan Dr.Zaiman. Ibu bapa Nora turut berada di situ ketika aku tiba. Mana Asyura? Melingas mata aku mencari kelibat adik aku yang seorang itu. Namun hampa.
"Maaflah Makcik Jue. Tak pasal-pasal menyusahkan makcik dan pakcik." Aku bersalam dengan mak Nora. Malu datang bertandang. Sudah beberapa kali mereka sekeluarga membantu kami.
"Tak menyusahkan pun. Kita ni dah macam keluarga," bidas Pak Salim. Aku tersenyum kelat. Wajah mak yang masih lelap aku pandang sayu.
Pada rakan sekerja yang bernama Badariah, aku tanyakan keadaan mak. Segala-galanya masih belum stabil, tekanan darahnya dan kandungan gula dalam darahnya masih tinggi. Bekalan oksigen yang diberi pada mak juga masih belum dihentikan.
"Kak Ira tidur hospital ke malam ni?" tanya Nora.
"Nampak gayanya macam tu lah." Selimut yang menutup kaki mak aku rapikan. Tiub oksigen yang senget di hidung mak aku betulkan kedudukannya.
"Nora nak temankan makcik juga malam ni boleh tak Kak Ira?"
Aku pandang anak gadis itu. Kemudian ku pandang pula ibunya. Aku tersenyum kelat. Kalaulah Asyura sebaik dia.
"Kak Ira rasa malam ni biar Kak Ira jaga mak. Besok Nora datanglah. Malam ni rehat banyak-banyak ya." Aku menolak pertolongannya dengan baik.
"Kak Ira tak nak balik tukar baju dulu ke? Tak penat ke, habis kerja terus jaga makcik?" Nora masih ingin memujuk.
"Nanti Kak Ira telefon Syura. Suruh dia bawa baju Kak Ira dan baju mak. Kalau tak buat macam tu dia tak kan datang."
Nora terpaksa akur. Mereka bertiga akhirnya pulang. Sempat lagi ibunya titipkan pesan pada aku agar menghubunginya sekiranya mak sudah sedar atau ada apa -apa yang aku perlukan. Sepeninggalan mereka aku cuba menelefon Asyura.
"Asyura, mak ada kat hospital ni." Terus aku khabarkan berita itu sebaik sahaja suaranya kedengaran di dalam talian.
"Syura tahu. Macam mana nak datang? Laki aku kerja, pukul lapan malam karang baru balik." Aku ketap bibir mendengar dia bersungut. Langsung tak tergerak hatinya bertanyakan keadaan mak.
"Kau datang aje lepas Syukri habis kerja nanti. Bawa baju Kak Ira dan baju mak. Mak ada kat hospital tempat Kak Ira bekerja."
"Amboi! Duduk hospital mahal tu. Kau ada duit ke nak bayar bil hospital kak? Kau jangan sibuk nak pinjam duit aku nanti. Kenapa tak masukkan mak kat hospital biasa?"
Kalau dia ada di depan aku sekarang, memang aku ramas-ramas mulutnya. Kau tunggulah bila kau datang nanti. Aku basuh kepala kau cukup-cukup. Sudahlah mak sendiri pun disuruhnya orang lain yang jaga. Sekarang dia nak berkira tentang duit pula.
"Jangan lupa datang malam nanti." Aku ingatkan dia sekali lagi.
"Yelah. Tapi Syura tak boleh lama tau. Syura hantar baju aje. Abang Syukri ajak pergi kenduri rumah kawan dia. Okeylah kak, nanti malam karang jumpa."
Suara Asyura sudah tidak kedengaran lagi. Aku pandang telefon yang sudah senyap. Mak terbatuk-batuk kecil. Segera aku hampiri mak yang sudah menggenyeh mata. Matanya liar memerhati sekeliling. Botol drip yang tergantung dipandang dengan mata yang tidak berkelip. Dia memegang hujung hidung yang bertiub halus. Kemudian barulah matanya memandang aku.
"Kenapa mak ada kat sini? Ini tempat kerja Ira kan? Tempat ni mahal Ira. Kita mana ada duit nak bayar." Mak dah menggoncang-goncang tangan aku. Sudah ku agak, pasti itu yang akan mak katakan.
"Kalau mak kat sini, senang sikit Ira nak jaga mak. Mahal ke murah ke mana-mana pun sama aje mak." Aku betulkan selimut mak. Wajahnya masih kelihatan risau.
"Mak nak baliklah. Mak dah sihat ni. Kita ambil ubat aje." Mak cuba bangun. Tapi dengan pantas aku tahan bahunya. Dia dah mulalah ni. Resmi orang tua, badan sakit pun dikata sihat.
"Kalau mak berdegil juga nanti Ira suruh doktor bagi mak ubat tidur ya. Ira kan dah cakap, jangan buat banyak kerja kat rumah. Inilah yang jadi bila mak tak dengar cakap Ira." Aku keraskan sedikit suara. Bukan ingin berkasar tapi nak menegah mak dari turun dari katil. Ugut-ugut manja saja. Perlahan-lahan dia berbaring semula.
"Asyura mana?"
Tak semena-mena aku mendengus. Kalau dah namanya mak, dia akan fikirkan anak-anak lebih dari diri sendiri. Aku palingkan muka ke arah lain. Tak mahu mak nampak wajah aku yang sedang menahan marah pada Asyura.
“Akira, adik dah datang ke tadi?” Mak tanya lagi.
“Ha’ah. Tapi dia dah balik. Syukri kerja.”
Air liur rasa tersekat di kerongkong. Andai dengan menipu aku boleh menyenangkan hati mak, biarlah aku tanggung dosa. Aku nak mak sembuh. Tentang Asyura, dia akan aku uruskan kemudian. Aku rapikan rambut mak yang agak kusut.
“Mak nak makan?” Aku buka bekas makanan yang dibawa oleh Makcik Juriah sebentar tadi. Bubur nasi dan sup ayam. Rajin betul mak Nora menyediakan makanan ini untuk mak. Aku tahan airmata yang hampir gugur. Sedih dan terharu kerana masih ada insan yang baik hati seperti keluarga mereka. Aku ceduk sedikit sup ayam dan aku gaulkan bersama bubur.
“Mari makan mak. Dah pukul tiga ni. Mak belum makan sejak tadi.” Aku bantu mak duduk. Selepas aku sendalkan belakang badannya dengan bantal, aku suapkan bubur. Baru tiga kali suap, mak sudah menolak. Puas dipujuk, mak tetap enggan. Akhirnya aku mengalah. Bekas makanan ku tutup kembali.
Aku tak benarkan mak berbual-bual. Dia akan mengah jika bercakap. Keadaannya masih belum stabil. Setelah berehat seketika, mak menyambung tidur. Sementara mak berehat, aku tinggalkan dia sebentar untuk menunaikan solat. Tak lupa aku titipkan doa agar mak sihat kembali.
Siang merangkak malam. Asyura masih belum sampai. Aku sudah mula rimas dengan pakaian kerja yang masih belum diganti. Sejak petang tadi, keadaan mak dipantau selang satu jam.Nasal prong di hidung mak sudah ditanggalkan. Dia sudah mampu mengatur nafasnya dengan baik. Cuma tekanan darahnya masih tinggi. Aku tak benarkan langsung mak turun dari katil. Aku pekakkan saja telinga apabila dia bersungut.
“Pinggang mak sakitlah Akira. Dari tadi asyik berbaring aje.”
“Mak nak merayau ke mana? Kalau mak nak duduk, duduk aje atas katil tu. Selagi tekanan darah mak masih tinggi mak tak boleh keluar dari hospital tau. Sebab itulah mak kena berehat.”
Mak diam. Wajahnya cemberut. Pantang sihat sikit, mulalah dia panas punggung. Seorang jururawat masuk untuk melakukan pemeriksaan lagi. Aku dengar mak mengeluh. Aku pandang Khairunnisa, rakan sekerja yang sedang membalut cuff di lengan mak. Kami sama-sama senyum. Sudah masak benar dengan karenah pesakit seperti mak.
“Doktor tak masuk ke malam ni Nisa?” Aku tanya dia yang meletakkan termometer di bawah lidah mak.
“Masuk, lewat sikit agaknya. Ramai pesakit baru malam ni,” jawab Khairunnisa. Dia melirik jam tangan. Masih menunggu keputusan bacaan tekanan darah mak di dynamap.
Pintu bilik terbuka lagi. Dr. Zaiman muncul. Aku cuba kawal rasa terkejut. Apahal pula dia buat di sini? Setahu aku mana ada doktor praktikal bertugas selepas waktu pejabat. Pakaiannya juga lebih santai. Hanya berseluar sukan dan t-shirt. Tak lama kemudian, muncul pula Dr. Zuhada.
“Eh, awak kerja ke malam ni?” Dr.Zuhada bertanya pada Dr. Zaiman.
“Taklah, saya datang melawat aje. Akira ni pesan makanan pada saya tadi.”
Terbeliak mata aku mendengar jawapan Dr.Zaiman. Bila masa pula aku suruh dia beli makanan? Aku pandang Khairunnisa yang sedang tunduk menahan senyum. Pasti ada sesuatu yang sedang dia fikirkan. Mak juga sedang merenung aku. Kalau mulutnya tidak disumbat dengan termometer, pasti sudah lajunya mulutnya menyoal aku.
Aku dekati Khairunnisa dan Dr.Zuhada sebaik sahaja mereka selesai memeriksa keadaan mak. Wajah Dr.Zuhada yang berkerut-kerut benar-benar menggusarkan aku.
“Macam mana keadaan mak saya doktor?”
“Emm, ada demam sikit ni. BP dia pun tak berapa cantik,” jawab Dr.Zuhada. Dia masih menulis sesuatu di dalam fail mak.
“Makcik ada rasa pening tak?” Dr.Zuhada bertanya. Laju mak menggeleng. Matanya sempat lagi memberi amaran pada aku agar tidak mencelah.
“Makcik dah makan?”
“Dah doktor. Saya dah boleh balik ke?”
Semua yang berada di dalam bilik itu tersenyum dengan soalan mak.
“Makcik belum sihat lagi. Malam ni kita bagi ubat, besok kita tengok lagi macam mana ya. Makcik kena banyak berehat.” Dr.Zuhada cuma memberi penerangan ringkas pada mak. Selebihnya dia terangkan pada aku.
“Sebelum ni ubat asma apa yang mak awak gunakan Akira?” tanya Dr.Zuhada.
“Ventolin.”
Dr.Zuhada terangguk-angguk. Pen ditangannya kembali menari-nari di atas kertas laporan. Usai menulis dia kembali memberi penerangan pada aku.
“Malam ni kita akan mula bagi dia Alloporinol dan Janumet. Besok kita tengok keputusannya macam mana.”
Walaupun agak ringkas, tapi aku faham apa yang disampaikan. Sebaik sahaja Khairunnisa dan Dr.Zurada keluar, mak berbaring semula. Aku biarkan dia berbual-bual sebentar dengan Dr.Zaiman.
“Awak masih tak balik rumah lagi ke Akira?” Dr.Zaiman cuba mengajak aku menyertai perbualannya dengan mak. Aku cuma menggeleng. Mata tidak beralih dari televisyen yang terpasang. Tidak berminat untuk berbual dengannya.
Pintu bilik terbuka lagi. Asyura dan Syukri pula muncul. Aku hadiahkan mereka berdua dengan jelingan tajam. Dr.Zaiman yang duduk di sebelah katil mak bangun untuk memberi ruang pada Asyura.
“Wah! Bestnya mak duduk kat hospital ni. Cantik bilik ni kan bang? Macam hotel!”
Pedih telinga aku mendengar kata-kata Asyura. Langsung tak terfikirkah dia untuk bertanyakan keadaan mak? Dr.Zaiman bersalaman dengan Syukri. Dia mengambil tempat di sebelah aku. Aku bangun dan memberi ruang pada Syukri untuk duduk di sebelah Dr.Zaiman. Aku hampiri Asyura yang berdiri di sebelah mak.
“Dah malam baru nak datang ke?” tanya aku dengan suara yang separuh berbisik. Asyura melawan tentangan mata aku.
“Eh, Kak Ira ni kenapa? Syura dah cakap petang tadi kan. Syukri balik kerja pukul lapan. Takkan aku nak tinggalkan rumah tanpa izin dia? Aku ada laki, mestilah minta izin dia dulu. Lainlah kau…” cebikan Asyura semakin menyiat-nyiat hati aku.
“Baju Kak Ira mana?”
“Nah. Baju mak pun ada kat dalam beg tu.” Asyura menghulur beg kertas padaku. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah katil mak. Mak menarik lengan Asyura lalu diusap lembut. Tak ada langsung riak marah di wajah mak.
“Syura, besok masakkan mak sup ketam boleh tak? Tekak mak teringin nak makan sup ketam yang Syura masak tempoh hari, sedap,” pujian mak dibalas dengan juihan bibir. Syura menarik tangannya yang sedang diusap mak.
“Tengoklah nanti. Lecehlah nak mengangkut bekas-bekas makanan ke hospital. Kalau tak pun, tunggu mak keluar hospital dululah,” kata Asyura.
Mak mengangguk lemah. Aku tahu mak cuba mengawal rasa terkilan.
“Kau tak boleh cakap elok-elok ke Syura? Susah sangat ke nak masak untuk mak? Kalau susah sangat nak hantar kau suruh Nora datang ambil kat rumah kau nanti. Takkan itu pun tak boleh fikir?” Kemarahanku hampir tercetus. Dari tadi dia masih belum bertanyakan keadaan mak. Mukanya langsung tidak menunjukkan rasa risau dan bersalah.
“Kak Ira ni nak marah-marah kenapa? Aku datang ni pun dah cukup bagus. Ni, mak bila boleh keluar? Siapa nak bayar bil hospital ni? Aku cakap awal-awal, aku tak ada duit.”
“Ira, apa kata Ira pergi mandi dan tukar baju dulu. Syura boleh temankan mak sekejap kan?” Mak membantutkan niat aku untuk memarahi Asyura. Dengan berat hati aku bawa beg kertas menuju ke bilik air.
Aku tak ambil masa yang lama untuk mandi dan menyalin pakaian. Bimbang kalau-kalau Asyura meninggalkan mak sendirian. Ketika aku keluar dari bilik air, mak sudah melelapkan mata. Benar seperti yang ku jangka. Asyura dan suaminya sudah pergi. Dr.Zaiman sahaja yang masih duduk di sofa.
“Tadi jururawat masuk. Mak awak dah makan ubat. Dia baru tidur,” ujar Dr.Zaiman.
Aku dekati mak yang sudah lena. Kedudukan kepalanya aku betulkan. Selimutnya ku tarik perlahan dan kututup bahagian dadanya. Sampai hati Asyura tinggalkan mak. Bukannya lama. Tak faham aku dengan perangai dia. Syukri pun sama, susah sangatkah nak meluangkan sedikit masa untuk ibu mertuanya?
“Akira.” Dr.Zaiman memanggil. Digamitnya aku untuk bersamanya di sofa.
“Awak belum makan lagi kan?” Sambil bertanya Dr.Zaiman mengeluarkan bekas makanan dari beg plastik.
“Eh, tak apalah doktor. Saya jarang makan malam.” Aku menolak dengan cara baik.
“Ala, tak payahlah nak berdiet sangat. Besok awak nak kerja kan? Saya tahu awak tak makan dari siang tadi. Makanlah. Jangan risau, saya tak jampi-jampi pun.” Dr.Zaiman tersenyum lebar.
Tapi aku masih tidak menyentuh bekas makanan itu. Bimbang jika ada maksud lain disebalik pertolongannya. Terkena kali pertama, tak mungkin akan ada kali yang kedua. Aku tolak bekas makanan itu ke tengah meja.
“Kenapa? Awak takut saya minta nombor telefon ya?”
Aku pandang dia tanpa reaksi. Pandai pula dia membaca fikiran aku. Bekas makan disorong kembali padaku. Wajah Dr.Zaiman berubah serius. Dengusan halus kedengaran. Aku masih mematung. Ditatangnya bekas makanan itu lalu didekatkan ke muka aku.
“Akira Maisara. Ada masanya saya bergurau dan ada masanya saya serius. Sekarang saya dengan seriusnya nak awak makan. Kalau tidak, saya telan awak hidup-hidup nanti. Macam mana awak nak jaga mak awak nanti kalau awak pula yang jatuh sakit?”
Amboi, kerasnya suara dia. Tapi masih tidak sama kerasnya dengan hati aku. Aku takkan tertipu untuk kali kedua. Muka ku palingkan ke arah televisyen.
“Ok, saya minta maaf. Saya janji takkan minta nombor telefon awak atau minta apa-apa balasan pada awak nanti. Sekarang tolong makan.” Suara Dr.Zaiman bertukar lembut. Aku pandang dia dan Mee Hailam di dalam bekas itu silih berganti.
“Terima kasih.” Akhirnya aku beralah. Rezeki jangan ditolak. Kalau dia mungkir janji, tahulah aku mengerjakan dia nanti. Dr.Zaiman tersenyum melihat aku mula menyuap.
“Saya nak tanya sikit boleh tak?”
Aku mengangguk sambil menyambung suapan. Sedap pula Mee Hailam ni. Atau memang perut aku yang sedang kelaparan? Tak kisahlah. Janji malam ini aku tak kelaparan.
“Alloporinol dan Janumet ubat apa?”
“Uhuk,uhuk!” Aku menepuk dada. Tersedak dengan pertanyaan Dr.Zaiman. Kelam-kabut dia bangun dan menuang air untuk aku. Berair mata menahan kepedihan yang menusuk hidung.
“Maaf, tapi saya memang tak tahu,” ujar Dr.Zaiman dengan jujur. Mukanya kemerahan menahan malu. Tapi aku, dengan bangganya menghadiahkan dia senyum sinis.
“Alloporinol tu ubat darah tinggi, Janumet pula ubat untuk kencing manis.”
Dia mengangguk perlahan. “Oh, terima kasih.”
“Emm, siapa kata jururawat tak pandai? Buktinya sudah ada kan?”
Dr.Zaiman tersenyum kelat. Dapat juga aku kenakan dia malam ini.

No comments :
Post a Comment