Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

January 05, 2014

DEMI KASIH KITA BAB 10

               "Betul ke Nora tak nak ikut Kak Ira?"
               Untuk kesekian kalinya Nora menggeleng. Dia duduk bersila di sebelah mak. Lengan diusap perlahan. Manja betul anak dara itu dengan mak aku.
               "Kak Ira bukan budak sekolah lagi. Tak bestlah kalau Nora temankan. Susahlah Doktor Zaiman tu nak cakap hal-hal secret dengan Kak Ira," lancar mulutnya mengusik aku.
               "Pergi ajelah Ira. Kalau Nora ikut Ira, siapa nak jaga mak? Senang ke hati tu kalau tinggalkan mak seorang diri kat rumah?"
               Aku mengemam bibir. Tiba-tiba diserang rasa bersalah. Tapi sesalan sudah tidak berguna kerana Dr.Zaiman sudah pun tiba. Nora yang terlebih dahulu keluar membuka pintu pagar. Tidak lama kemudian dia masuk kembali.
               "Kak Ira, Doktor Zaiman kata dia segan nak masuk. Tapi dia dah ada kat depan pintu tu ha." Panjang muncung Nora mengarah pada Dr.Zaiman yang sedang duduk di meja batu. 
               "Ira pergi siap cepat. Biar mak bersembang dengan dia kat luar." Mak bangun dan berjalan ke luar bersama Nora. 
               Apalagi yang nak aku siapkan? Berbedak sudah, menenyeh gincu sudah, menyembur minyak wangi juga sudah. Aku belek wajah di cermin. Tepeklah bedak setebal mana pun aku tetap Akira Maisara. Tak mungkin berubah jadi Fazura pula kan? Ringkas dan santai, itu memang gayaku sejak dulu. Aku sangkut beg selepang di bahu lalu keluar menyarung kasut. Telinga dapat menangkap suara mak yang sedang bercakap di luar.
               "Kak Ira pakai macam ni aje ke?" tanya Nora. Laju matanya menelek aku dari atas ke bawah. Mak dan Dr.Zaiman juga turut memandang. Apa yang tak kenanya dengan baju aku ni. Salah ke kalau aku memakai Jeans lusuh dan kemeja berkotak-kotak ni?
               "Okeylah macam ni Nora. Kami bukan nak pergi candle light dinner pun." Dr.Zaiman menyelamatkan aku. 
               Spontan senyum lebar memeta dibibir. Nora menepuk-nepuk lembut lengan mak yang duduk di sebelahnya. Mereka berdua berpandangan sambil mengangkat kening masing-masing. Senyuman kedua-duanya penuh dengan riak sinis.
               "Belum apa-apa lagi dah ada orang backing," perli Nora. Dr.Zaiman mengekek ketawa. Dia bangun dan membukakan pintu kereta untuk aku. Aku hampiri mak, bersalam dan mencium kedua belah pipinya seperti selalu.
               "Jangan lewat sangat balik ya. Jaga diri elok-elok." 
               Aku mengangguk tanda faham dengan pesanan mak. Aku titipkan pesan buat Nora juga agar menelefon aku sekiranya ada hal-hal kecemasan di rumah. 
               "Makcik, dalam pukul sembilan nanti makcik dan Nora bersiaplah. Kita keluar makan malam sekali." Aku pandang Dr.Zaiman. Wajahnya nampak bersungguh. Dia pandang aku sekilas kemudian dia menyorot kembali pandangannya pada mak.
               "Tadi kata nak keluar tengok wayang," kata mak. 
               "Memanglah. Mula-mula saya keluar dating dengan Akira dulu. Lepas tu saya keluar dating pula dengan makcik. Nak mengorat anak, kena ambil hati maknya juga kan?"
               Terlopong mulut aku mendengar seloroh Dr.Zaiman. Mak dan Nora sudah ketawa berdekah-dekah sambil menepuk meja. Pandai betul Dr.Zaiman menjalankan jarum. Banyaknya duit dia nak belanja kami bertiga makan malam. Jangan dia kenakan aku lagi sudahlah.

               "Doktor nak nombor telefon saya tak?" Soalan pertama yang aku tanya sebaik saja kami memulalakan perjalanan.
               "Ops! Kejap,kejap. Peraturan pertama kita hari ini. Tiada gelaran rasmi okey. Panggil saya Zaiman. Saya panggil awak Akira." 
               "Kejap,kejap. Umur doktor... eh silap. Umur awak berapa?" Kekok pula rasa nak kena ubah panggilan secara drastik ni.
               "Penting ke umur tu? Saya tak kisahlah kalau awak lebih tua dari saya. Zain Saidin tu boleh aje kahwin dengan Cek Ta. Takkan kita tak boleh?" 
               "Eee, belajar pun tak habis lagi. Ada hati nak kahwin." Malunya aku, cepat sangat dia masuk topik kahwin. Sama-sama gelojoh rupanya.
               "Masa tengah belajar pun boleh kahwin juga. Kawan-kawan saya ramai yang buat macam tu," sambung Dr. Zaiman lagi.
               "Ops! Ha, ni saya pula nak bagi peraturan kedua. Jangan cerita bab kahwin banyak sangat ya. Buat masa ni kita masih dalam fasa pertama. Kenal-kenal dulu. Awak kena fokus pada study. Kalau awak leka dengan hal-hal lain, saya tak jadilah kawan dengan awak." Saja aku gertak macam tu. Sebenarnya perut dah geli-geli bila dia asyik bercakap soal kahwin. 
               Dua-dua dah diam. Aku hilang modal sekejap. Dia terasa ke aku cakap macam tu? Ah, biarlah. Baik aku cakap awal-awal. Eh, tapi dia belum jawab soalan aku lagi.
               "Awak tak nak ke nombor telefon saya?" Aku tanya dia buat kali kedua.
               Dr.Zaiman tergelak. Dia kerling aku sekilas sebelum tumpuannya kembali ke jalanraya. Kelakar ke soalan tu?
               "Kenapa beria-ia sangat nak bagi nombor telefon ni? Dulu masa saya minta susah sangat nak bagi." 
               Aku telan air liur. Terkena batang hidung dengan sindirannya.
               "Awak juga yang cakap, awak dah tak banyak masa lagi di sini kan. Saya takut awak lupa nak minta aje. Kalau awak tak nak tak apa." Mendatar aje suara aku. Lepas ni tak adalah aku nak tanya lagi. 
               "Dah dapat keluar dengan awak, rasanya nombor telefon tu macam dah tak penting," kata Dr.Zaiman.
               "Saya panggil awak Man boleh. Tak sedaplah panggil 'awak'. Macam budak sekolah pula rasanya." Aku pandang dia yang tak lekang dengan senyum dari tadi. Baru aku perasan, dia ada lesung pipit. Dalam mata putihnya ada tahi lalat. Emm, boleh tahan juga dia ni.
               "Panggillah apa pun sayang, asalkan jangan panggil adik. Saya tahu awak lebih tua dari saya. Tapi saya tak kisah semua tu. Hati dah suka kan?"
               Aduh, sekali lagi dia buat perut aku sakit. Aku buang pandang ke luar tingkap. Sebenarnya aku kurang gemar menonton wayang. Kalau aku cakap pada dia rasa-rasanya kena marah tak? Tapi kalau ikutkan sahaja kehendak dia, aku bimbang wayang gambar tu yang tengok aku nanti. Kalau tak tengok wayang, nak ke mana pula nanti? Aku bukannya selalu sangat merayau-rayau di sekitar Seremban ni. 
               "Man."
               "Akira."
               Aku pandang dia, dia pandang aku. Lepas tu dua-dua tergelak.
               "Okey, ladies first," kata Dr.Zaiman.
               "Sebenarnya, saya tak berapa suka tengok wayang." Perlahan aje suara aku. Bimbang mood dia berubah. Yelah, baru pertama kali keluar dah banyak songeh. Dia turunkan aku di tepi jalan ni nanti tak pasal-pasal pula balik rumah jalan kaki.
               "Hei! Akira lahir bulan berapa?"
               La, ni apahal pula tiba-tiba tanya tarikh lahir aku ni? Muka dia pun nampak teruja semacam. Dia nak belikan aku hadiah ke?
               "Bulan Januari. Sembilan Januari, kenapa?"
               "Capricorn! Kita sama bintanglah. Man pun tak suka tengok wayang sebenarnya. Tak suka pergi tempat yang ramai orang. Kalau boleh nak duduk kat rumah aje."
               "Habis tu kalau tak nak pergi tengok wayang, nak pergi mana pula ni?"
               Aku biarkan dia berfikir sekejap. Aku pun tak tahu ke mana nak pergi. Nak pergishopping, belum gaji lagi. Takkan aku nak 'pau' duit dia pula. Dr. Zaiman mengetuk-ngetuk stereng kereta sambil menyanyi-nyanyi kecil. Ketika kereta berhenti sebentar di lampu isyarat, dia pandang aku.
               "Kenapa Man pandang macam tu?"
               "Tengah fikir ni, kita nak ke mana?"
               Aku angkat bahu. Salah tak kalau aku suruh dia buat u-turn dan balik ambil mak dan Nora? Kalau dah tak ada tempat nak dituju, lebih baik pergi makan. Lampu isyarat bertukar hijau. Dr.Zaiman bagi isyarat ke kanan dan tiba-tiba dia memusingkan stereng ke lorong sebelah.
               "Nak ke mana ni?" Aku tanya dia.
               "Kita balik ambil mak awak. Dari berjalan tanpa tujuan macam ni, baik kita keluar makan."
               "Emm, kalau tau tadi lebih baik mak ikut sekali. Tak payah nak buang minyak." 
               "Man tak tahu pula Akira tak suka tengok wayang. Lagipun Man kurang pandai jalan-jalan dalam Bandar Seremban ni. Tak apa, lain kali kita keluar, Akira yang bawa kereta ya."
               Terjuih mulut aku mendengar kata-kata Dr.Zaiman. Lain macam betul rasanya bila dia dah mula membahasakan dirinya Man. Aku keluarkan telefon dari dalam beg. Tapi dengan pantas Dr.Zaiman suruh aku menyimpannya semula.
               "Tak payahlah telefon. Sementara tunggu mak dan Nora bersiap nanti kita boleh bersembang. Nanti dah ada orang lain dalam kereta ni tak boleh nak gurau-gurau manja lagi." Dr.Zaiman ketawa kecil.
               Aku ikutkan saja kemahuannya. Suasana bungkam lagi. Mulut ni nak saja bertanya tentang latar belakang keluarganya. Tapi risau kalau dia fikir ke lain pula nanti. Tak terlalu awal ke aku ketahui latar belakang keluarganya?
               "Akira ada boyfriend tak sebelum ni?" tanya Dr.Zaiman.
               "Ada, doktor juga," jawab aku dengan jujur. Tak ada apa yang perlu diselindungkan. Setiap orang ada sejarah masing-masing kan?
 "Hmm, doktor pelatih juga?" tanya dia lagi.
               "Tak, masa tu saya jururawat pelatih. Dia ... dia dah kahwin." Aku kerling dia sebentar. Nak tengok reaksinya.
               "Emm, siapa goda siapa?"
               "Ha?"
               "Awak tahu dia dah kahwin, kenapa awak goda dia?"
               "Eh, saya tak goda dialah. Dia yang tipu saya. Saya tak tahu pun dia dah kahwin. Dia cakap dia masih bujang." Suara aku meninggi sedikit. Aku cuba mengawal sebak. Kali pertama keluar dengan Dr.Zaiman sudah disingkapnya kisah sedih aku. 
               "Boleh Man tahu namanya?"
               "Nama dia Doktor Naufal. Isteri dia Doktor Qistina. Dia hampir-hampir buat saya hilang kerja dulu. Saya tak berniat nak ganggu rumahtangga orang. Tapi dialah orang pertama yang mendapat tempat istimewa dalam hati saya. Dan dia jugalah orang pertama yang menghancurkannya. Sebab itulah saya benci dengan awak dulu. Perangai awak dengan dia lebih kurang sama saja. Dia buat saya benci dan takut untuk jatuh cinta lagi. Jadi awak dikira bertuah sebab berjaya buka pintu hati saya. Tapi saya minta lepas ni jangan ditanya lagi tentang sejarah silam saya. Cukup setakat ini saja, faham?" 
               Puas hati dapat meluahkan padanya. Dr.Zaiman tidak menjawab. Mungkin beri peluang untuk aku bertenang. Kami berdua bungkam hingga tiba semula di rumah. Sebelum aku turun dari kereta, dia panggil aku.
               "Terima kasih sebab bagi Man peluang. Man janji akan jaga hati dan perasaan Akira. Tapi sekarang ni Man nak..." Dia diam. Matanya merenung bibir aku dengan tajam. Nak apa pula ni? Mata itu turun pula ke dada dan terus ke kaki.
               "Hei! Apa pandang orang macam tu. Nak kena pelempang ke?" Aku herdik dia dan terhambur tawa mengilai dari mulut Dr.Zaiman
               "Man nak Akira panggil mak dan Nora cepat! Dah lapar ni!"

Muka sahaja nampak matang, tapi perangainya masih keanak-anakan. Mujurlah hati dah suka. Kalau tidak memang bercop pipinya dengan tapak tangan aku.

"Akira," laungnya dari dalam kereta. "Apa?" Aku pandang dia sambil tangan menarik selak pintu pagar. "Cepat sikit tau. Nanti Man rindu," mengekek lagi tawa Dr.Zaiman. Aku tayang penumbuk padanya. Makin berani dia menunjukkan ekspresi hati. 

Saat berpaling, aku senyum selebar-lebarnya. Suka! 

        "Assalamualaikum. Mak, Nora jom kita..." Kaki terhenti di depan pintu. Aku tolak pintu gelangsar luas-luas. Mak dan Nora merenung aku dengan pandangan yang satu macam. Masing-masing sudah elok berpakaian. 

        "Aik, dua-dua dah siap? Mana tahu Kak Ira nak balik ni?" Aku pandang Nora yang sudah cantik bertudung. Begitu juga dengan mak. Beg tangan besarnya sudah tersandang di bahu.

       "Nora, betul tak cakap makcik? Naluri seorang ibu ni kuatkan?"  "Betullah makcik. Kak Ira, tak jadi tengok wayang ke?" Nora dan mak menggelakkan aku.

      "Oh, mak bertaruh dengan Nora yang Ira balik awal ya? Emm, dia pun tak suka tengok wayang rupanya mak." 
      "La, baguslah tu. Apa orang cakap, ada chemistry." "Ha, dah tu. Jangan nak mengusik Ira lagi ya. Jom, Zaiman dah tunggu tu." 

Aku pimpin tangan mak keluar. Nora mengunci pintu pagar. Ketika tiba di kereta, Dr.Zaiman membukakan pintu hadapan. 

"Eh, makcik duduk belakang aje Zaiman." Mak menolak cara baik. "Tak apa, makcik duduklah depan. Lebih selesa,"ujar Zaiman lembut. 

Mak masih menolak. Dia berkeras untuk duduk di belakang. " Ha, tepi. Kalau masing-masing tak nak duduk depan, biar Nora duduk. Dah, makcik dan Kak Ira duduk belakang." Nora cuba memboloskan diri untuk duduk di depan.

"Eh, eh. Kau jangan lawan taukeh ya. Kau kan pengiring mak. Pergi duduk belakang." Sengaja aku tarik lembut telinganya. Dr.Zaiman cuma senyum melihat gelagat kami bertiga. Nasib dialah. Nak sangat dating dengan mak kan? Sekarang silalah melayan ya.

"Kita nak makan kat mana ni?" Dr.Zaiman bertanya sebaik sahaja acara berebut tempat duduk selesai.

"Makan di mulut!" Kami bertiga menjawab serentak. Riuh dalam kereta Dr.Zaiman dengan hilai tawa kami. Dr.Zaiman menggaru kepala yang tidak gatal. 

"Doktor Zaiman, makcik cakap kat rumah tadi, dia teringin nak makan ikan bakar." Aku menoleh ke belakang memandang Nora. Laju kepala mengangguk, setuju dengan cadangannya.

"Panggil Abang Man aje Nora," tegur Dr.Zaiman.  "Wah, dah naik pangkat jadi abang. Bila lagi nak naik pangkat jadi abang ipar?" Aku mengerling pada Nora. Dr. Zaiman cuma senyum. Dia kembali menumpukan perhatian ke jalanraya.

Sampai di Medan Ikan Bakar, aku biarkan Dr.Zaiman yang membuat pesanan. Banyak juga lauk yang diminta, sampai mendapat teguran dari mak. Tapi dia cuma senyum.

"Bukan selalu saya dapat belanja makcik. Jangan risau, tak cukup duit nanti biar Nora dan Akira basuh pinggan kat belakang." Buntang mata aku dan Nora merenung dia. Selambanya dia bergurau dengan mak. Langsung tak nampak kekoknya. Sedikit demi sedikit dia semakin berjaya buat mak tertarik hati.

Aku biarkan dia berbual-bual dengan mak. Nora yang duduk di sebelah aku tak henti-henti senyum dari tadi. " Kak Ira, nampaknya lampu hijau makcik semakin terang. Jangan tunggu lama-lama tau. Takut makcik berubah fikiran." 

Aku menepuk perlahan peha Nora. Pandainya gadis semuda dia berbicara tentang hal orang dewasa. "Dia belajar lagilah. Apa-apa hal bagi dia habiskan belajar dulu. Kalau ada jodoh tak ke mana."

"Tolong! Tolong! Anak saya tercekik."

Perbualan terhenti. Suasana di medan selera itu kecoh seketika. Kelihatan seorang lelaki berbadan tegap sedang terbongkok-bongkok. Kedua-dua tangannya memegang pangkal leher sambil batuk dengan kuat. Dia kelihatan sukar bernafas. Meja mereka cuma selang sebuah meja dengan tempat kami. Dr.Zaiman bingkas bangun dan mendapatkan lelaki itu. Aku cuma berdiri dan memerhatikan dari tempat duduk.

"Tolong Encik! Dia tercekik." Seorang wanita yang mungkin seusia dengan mak kelihatan panik.  Dr.Zaiman berdiri di belakang lelaki itu dan memeluknya dari belakang. Kedua-dua tangannya menekan bahagian perut lelaki itu. Eh, macam salah cara Dr.Zaiman. Aku perhatikan dulu cara Dr.Zaiman melakukannya. Sah, memang caranya salah. Segera aku dapatkan dia.

"Tepi Man, biar Ira buat."  Aku menggantikan tempat Dr.Zaiman. Memandangkan lelaki itu lebih tinggi dan lebih besar dari aku, dengan selambanya aku berdiri di atas kerusi. Menggunakan teknik Heimlich Manoeuvre, akhirnya tulang ayam yang menyekat kerongkong lelaki itu terpelanting keluar. Dia kembali bernafas seperti biasa. Tak semena-mena aku mendapat tepukan gemuruh dari pengunjung medan selera yang menyaksikan kejadian itu.

"Terima kasih nak, terima kasih sebab tolong anak makcik." Ibu lelaki itu memeluk aku. Aku cuma terangguk-angguk. Malu pun ada juga kerana menjadi perhatian. Dr. Zaiman memeriksa keadaan lelaki itu. Kami berdua kembali ke meja setelah keadaan kembali seperti sedia kala. 

"Saya cemburu ni makcik. Kejap lagi kalau makan saya nak buat-buat tercekiklah," ujar Dr. Zaiman tiba-tiba. Dia langsung tak memandang padaku. "La, dah kenapa pula?" tanya mak. "Yelah, tengok Akira peluk mamat tadi. Saya pun nak dia peluk juga."

Terhambur ketawa mak dan Nora. Aku mengetap bibir. Main kasar nampaknya Dr.Zaiman ni.

"Adoilah! Makcik ingatkan apa halnya tadi. Bertuah punya budak!" Mak mengurut dada, menghilangkan mengah dan sisa tawanya.

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.