Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 12, 2014

HANYA ANGKA BAB 5


“Aduh! Tak ada siapa ke yang  nak  tolong  aku ni?”

      Zaleha  mendengus  kasar. Berkali-kali  dia  melihat  tayar  keretanya yang  kempis. Macam manalah  dia  boleh  terlupa nak pam  tayar semasa  di  stesen  minyak  tadi. Telefon  bimbit  di  tangan ditekan kasar.

“Tak  ada line  pulak! Pukul  berapa  nak  sampai ni? Hari  makin  gelap...”

    Sambil merungut,  Zaleha  mengeluarkan tayar spare di bonet  belakang. Sekali  lagi  dia  mendengus. Peralatan  untuk menukar  tayar  tidak  lengkap.  Nak  lebih  sadis,  tayar ganti pula  dah  keluar  benang. Mahu  saja  dia  menjerit  sekuat  hati. Inilah  akibatnya  kalau  semuanya  mengharapkan Rahimi. Sudah lama juga anak  sulungnya itu  tak  memeriksa keadaan kereta itu.

“Aduh! Lepas satu...satulah!”

      Bonet  keret a ditutup  kasar. Serabut  kepalanya  memikirkan  jalan penyelesaian. Tak jauh lagi untuk dia  tiba ke  destinasi.  Pintu  kereta  di kunci.  Zaleha  menapak  perlahan ke  pondok telefon  yang  tidak  jauh  dari  situ.  Dan,  sekali  lagi  dia kecewa. Satu-satunya  alat  bantuan komunikasi  yang  ada  ketika  itu  sudah  hancur.  Yang  tinggal  hanya  pondoknya  sahaja.

“Hish! Diaorang  ni  guna  telefon  ke makan telefon?” bentak  Zaleha.

      Mahu  atau  tidak,  terpaksalah  dia  kembali  semula ke kereta. Akalnya ligat  mencari  jalan. Tak mungkin  dia  nak menunggu  di situ untuk  jangka masa yang  lama.  Nak  minta  pertolongan  orang? Tiada  pula  yang  sudi  berhenti.         

“Cik Leha!”

Pin!

       Bunyi  hon  motorsikal  dari  arah  bertentangan memancing  perhatian  Zaleha.  Mengecil  bola matanya  cuba mengecam  lelaki  yang menegurnya  dari  sebarang  sana. Sekelumit  senyum  tersungging  di  bibir  Zaleha ketika  penunggang  motorsikal  itu  semakin  hampir.

“Kereta rosak  ke?”
“Tayar pancit,” jawab Zaleha.
“Dah tukar tayar  spare?”
“Tak pandai...”

     Mujur hari  sudah  rembang  senja. Kalau  tidak  pasti  wajah merah  padam  Zaleha dapat  dilihat  dengan  jelas.

“Abang  Haji  nak  ke mana ni?” tanya  Zaleha pada besannya yang  sedang menongkat  motorsikal  di  belakang  kereta.
“Nak  ke  masjid. Malam ni  ada ceramah  perdana,  Ustaz Kazim.”

    Sambil  menjawab  Haji  Lajis  menyangkung  di  tepi  kereta. Dia  sudah  siap menyinsing  lengan  baju  melayu,  nak menolong kononnya. Tapi  apabila  Zaleha menerangkan  keadaan sebenar. Dia  kembali  berdiri dan menurunkan lengan baju.  

“Kedai  tayar dah  tutup,” kata  Haji  Lajis.

     Zaleha  menggaru  kepala. Apa akalnya  kali ni? Suara azan di masjid membuatkan  Zaleha serba tak  kena.  Risau ditinggalkan  keseorangan  di situ. Ditambah  dengan  keadaan jalanraya yang  kurang tiang  lampu  yang  berfungsi.

“Cik Leha  tunggu  kat  sini kejap, boleh? Saya sembahyang  dulu. Nanti kita balik sama-sama,” usul  Haji  lajis. Dia sudah  bersedia  di atas motorsikal.
“Balik sama-sama? Tapi tadi  Abang  Haji  kata  kedai  tayar  dah  tutup.”
“Memang  kedai  tayar dah  tutup. Kita balik dengan  motor  sayalah.”
“Ha? Naik  motor?”
“Yalah,  takkan nak naik  kereta.  Pergi duduk  dulu   dalam kereta. Atau Cik Leha  nak ikut  saya  pergi  masjid?”

    Soalan Haji  Lajis  tidak  dijawab. Laju  kaki  Zaleha  melangkah  masuk  semula ke  dalam kereta.  Dikuncinya  semua  pintu  lalu  dihidupkan enjin.  Penghawa  dingin  dipasang  ke  tahap  maksimum. Tak  dapat dia membayangkan  dia bakal  membonceng motor  besannya  sebentar lagi.

“Alahai  kereta...  Kenapalah  time macam ni  kau  nak  buat  hal? Aku  naik  motor  dengan  bapak  Asrun? Aduh! Apalah  kata budak-budak  tu  nanti?”

     Zaleha mengomel  sendirian. Sakit  tangannya  menghentak  stereng  kereta tak sama dengan rasa malunya untuk  membonceng  motor  Haji  Lajis. Berkali-kali  dia  cuba mendail  nombor  anak-anaknya.  Tapi liputan talian  di  situ  langsung  tidak  menyebelahi  dirinya.

Tok! Tok! Tok!

     Haji  Lajis  tersengih  lebar  melihat  Zaleha yang terkejut dengan ketukannya. Dalam keadaan teragak-agak Zaleha  matikan enjin  kereta. Sengaja  dia melengah-lengahkan  tingkahnya untuk  keluar dari kereta. Beg  plastik  berisi  baju-baju  Izzah diambil. Lampu  kereta  ditutup. Tudung  sudah  betul  letaknya dikemaskan  beberapa  kali. Tatkala  dia menoleh untuk  kesekian kalinya, Haji  Lajis  sedang merenungnya  sambil  mencekak  pinggang. Namun  senyum di bibir  lelaki  itu  masih  ada.

“Saya  tahu,  Cik Leha segan nak naik  motor  dengan saya. Tapi  apa boleh buat? Tengah  darurat ni. Cepatlah,  saya nak  datang  ke sini  balik nanti. Rugi  kalau  tertinggal  ceramah Ustaz Kazim tu.”

      Sah! Dia  sudah  tiada pilihan  lain. Beg plastik  di tangan  Zaleha diambil.  Haji Lajis memberi ruang  sedikit  di belakangnya  untuk  Zaleha duduk. Pedal  motor  dipulas perlahan untuk memastikan  enjin  sentiasa  hidup. Menggigil  tangan  Zaleha  ketika mendarat di  bahu  Haji  Lajis. Seperti  tidak  tercecah  punggungnya  di  tempat duduk  belakang.  Dia mengemam bibir  sekuat  hati,  cuba  meenyembunyikan  rasa malu. Sebelah  tangannya  memegang  kuat  beg tangan yang diselepang  sementara sebelah lagi  memegang  besi  di  belakang  tempat  duduk.

“Jangan  bawa laju-laju Abang Haji,” pesan Zaleha.
“Mana ada bawa laju. Nak mendaki  bukit ni.  Kalau bawa perlahan,  bila pulak  nak  sampai?”

     Tak sempat  nak menjawab, Haji Lajis sudah  memulas pedal untuk  menambah  kelajuan. Mujur Zaleha  sempat  memeluk  perut  buncit  Haji  Lajis. Kalau tidak,  mungkin dia  dah  tergolek di  jalanraya. Pelukan semakin  kuat  bila  ada  kenderaan  berat  yang  memotong  mereka. Seriau  rasa hati Zaleha. Rasa seperti  dihimpit oleh  kenderaan-kenderaan yang  lain. Matanya  dipejam  rapat. Tak sanggup  melihat  kenderaan-kenderaan  lain yang  memotong  dan  berselisih  dengan  mereka.  Sebab  itulah  dia  lebih  selesa  memandu  kereta.  Lebih  selamat  rasanya.

“Errr,  Cik Leha... Dah  sampai.”

    Perlahan-lahan mata dibuka. Halaman rumah Haji  Lajis yang  diterangi dengan lampu beranda terbentang  di depan mata  Zaleha. Kereta Asrun berada  di  dalam  garaj.  Begitu  juga  kereta  Haji  Lajis.  Zaleha menarik  nafas lega.  Bolehlah Asrun  dan  Izzah menghantarnya balik  malam  ini.

“Cik Leha...”
“Ya.”
“Sedap ke  peluk  perut  boroi  saya ni?”

     Serta-merta  tangan  Zaleha terlepas dan  dia melompat  turun  dari  motor. Haji  Lajis  menyeringai  suka.  Tiada bunyi  yang  keluar  dari  mulut  lelaki  itu  melainkan  senyumnya  yang  makin  lebar. Laju  kaki  Zaleha  menapak  ke  pintu  utama. Kuat  suaranya  melaung salam untuk  penghuni  di dalam  rumah.

“Mak, mana kereta? Tak dengar  pun mak  sampai.”

      Izzah  tertinjau-tinjau ke luar rumah.  Tak teringat  langsung  dia nak bersalam  dengan  ibunya.

“Kut ya  pun,  dah  tak  reti  ke  nak  bersalam dengan mak?”

     Bahu  Izzah  dilepuk  perlahan. Izzah tertawa kecil.  Huluran  beg plastik  dari  ibunya diambil  lalu  mereka bersalaman. Pintu  dibuka  lebiih  luas. Asrun  pula  muncul. Berkerut  kening  Zaleha  melihat  menantunya  berapron.

“Asrun!” laung  Haji  Lajis  yang  masih  berada di situ.
“Eh, abah  tak  jadi  pergi  dengar  ceramah  ke?” Asrun lebih  dahulu  bertanya.
“Nak  pergilah  ni.  Kau pergi  tengokkan  kereta  mak mertua kau  kat  depan masjid tu. Tayar pancit.”
“Laaa, patutlah  lambat  sampai.  Tayar pancit rupanya.  Ha,  yalah.  Lepas masak  nanti  Asrun pergi  tengokkan  kereta mak.”

      Zaleha memandang  dua beranak itu. Kemudian  ditenungnya  Izzah. Sebelum  dia melangkah  masuk  ke dalam  rumah, sempat lagi  dia  melihat  Haji  Lajis  keluar semula  ke jalan  utama. Tiba-tiba  terbit  pula  rasa segan. Segan  kerana dalam keadaan  darurat,  dia terpaksa memeluk Haji  Lajis.

“Mak  naik  motor  dengan abah tadi?” tanya  Izzah. Ada secebis  senyum sinis  tersungging  di bibirnya.

     Zaleha  tidak  bersuara. Hanya  kepalanya saja yang  mengangguk. Asrun sudah  hilang  semula di dapur.  Sambil  dibawa ke ruang tamu, mata Zaleha  liar memerhatikan  keadaan  sekeliling. Setimbun pakaian  tidak  berlipat berlonggok  di dalam raga. Kakinya  terasa berpasir ketika  memijak lantai  bersimen.  Perabut-perabut  di ruang  tamu  kelihatan  berdebu. Suratkhabar  dan  majalah  kelihatan  di merata-rata  tempat.

“Kau  tak  kemas ke  rumah ni  Izzah?”
“Err...kemas.”
“Kemas  apa  macam ni? Kain tu  dah berapa lama tak  berlipat  tu?”

     Izzah  menoleh  sebentar ke timbunan kain di dalam  raga. Sambil  menggaru kepala yang tidak  gatal,  dia mengutip majalah-majalah  di atas sofa. Zaleha  cuma memerhatikan. Kelam-kabut  Izzah  mengemas ruang tamu. Dia  sudah  masak  dengan perangai  ibunya. Bila-bila  masa saja peluru bebelan  ibunya akan meletus.

“Mak nak  solat?” Izzah  cuba  mengalihkan  perhatian  ibunya.
“Hmm,” jawab Zaleha agak  keras.
“Mak  pergi  ambil  wuduk   dulu, ya. Izzah bentangkan  sejadah  dalam  bilik kejap.”

       Izzah  berlari  masuk  ke  bilik tetamu,  meninggalkan  ibunya  yang  masih  merenung  tajam. Perlahan-lahan Zaleha menuju  ke  dapur. Asrun yang  sedang  sibuk memasak  langsung  tidak  ditegurnya.  Dia  masuk ke bilik  air  tanpa suara.  Ada sesuatu yang  kurang menyenangkan hatinya. Ketika  keluar dari  bilik air,  dilihatnya Asrun sedang  menghidang makanan. Izzah  juga turut membantu.

“Tak tunggu  abah kau  balik  dulu  ke Asrun?” tanya  Zaleha.
“Tak payahlah  mak. Dia  balik  lewat  tu. Lepas makan  nanti  mak  makan, ya. Saya nak pergi  tengok kereta mak kejap,” kata Asrun.

      Zaleha  cuma mengangguk. Izzah  nampak  resah.  Besarlah peluang  ibunya untuk  melontarkan ceramah  percuma  pada dia nanti. Beristighfar panjang  Zaleha ketika  masuk  ke  bilik  tetamu  untuk  menunaikan solat.  Keadaan  bilik  itu  tak  ubah seperti  bilik  Izzah  di rumahnya. Dia tidak  mengambil masa yang  lama  untuk  solat.  Izzah dicari  sebaik saja dia keluar dari  bilik.

“Izzah,” panggil Zaleha perlahan. Dia menjenguk  ke dapur. Asrun  tidak  ada di situ. Dia pasti  Asrun sudah  keluar untuk  menukar tayar keretanya.
“Izzah  kat  depan mak!” laung  Izzah.

       Dia  sedang  menyelongkar  beg plastik  yang  dibawa oleh Zaleha  tadi. Lepas  sepasang demi  sepasang  baju  kurung  dikeluarkan  lalu  diacu ke tubuh.

“Cantiknya kain-kain ni. Terima kasih mak. Tak payahlah  Izzah susah-susah  nak  beli  baju  lagi.” Izzah menyumbat  kembali  baju-baju  yang  telah dilihat  ke  dalam  beg plastik.
“Oi! Cuba  lipat  dulu  baju-baju  tu. Mak  dah siap  gosok, tau. Kau  ni  Izzah,  bila nak  matang ni. Dah jadi  bini  orang  pun  perangai  tak  berubah-ubah.” Zaleha  sudah  memulakan mukadimah.
“Ala mak ni, Izzah  tengah  berubah perlahan-lahan ni. Sabarlah. Abang  Asrun  pun tak bising...”
“Memanglah  laki kau  tu  tak bising.  Orang tengah  sayang.  Tu,  bapa mertua kau?”
“Dia  pun tak kisah. Dia tahu  Izzah  muda lagi...”

      Zaleha tepuk  dahi. Bengang  betul  dia  mendengar  jawapan yang  keluar dari  mulut  Izzah. Harapannya  untuk  melihat Izzah  berubah  menjadi  isteri yang  sempurna hanya  tinggal harapan. Tak sanggup  dia membayangkan andai  satu  hari  nanti  Asrun bosan  dengan  sikap  Izzah  yang  pemalas. Serba-serbi  perlu  disuruh. Masak  pun tak pandai.  

“Izzah,  dengar  mak cakap. Walaupun  sibuk  dengan  belajar nanti,  tanggungjawab sebagai  isteri  jangan kau abaikan pula.  Sampai  bila nak  harapkan  Asrun  aje yang  memasak? Rumah ni  dah berapa lama tak bersapu?  Ringan-ringankanlah tangan tu. Jangan  bagi  malu  mak  boleh  tak?”
“Yalah, Izzah akan  cuba. Izzah  bukan tak nak kemas rumah. Tapi  rumah ni  besar sangatlah  mak. Penat!”
“Banyaklah  kau  punya  penat. Sebelum kau  kahwin dulu  ada tak terfikir  semua ni? Tak ada, kan? Ha,  sekarang  siapa yang  susah?”

     Bebelan Zaleha  tidak  dapat  diteruskan. Izzah  terselamat  kerana Asrun dan Haji  Lajis pulang  tepat  pada masanya.  Dia berlari  membuka  pintu  utama. Zaleha juga bergerak  ke situ. Kereta  Asrun  dan  keretanya  sudah  terparkir  di halaman rumah.  

“Eh,  Abang  Haji  tak  jadi dengar  ceramah  ke?” Zaleha  turun ke halaman dan terus  ke  sisi sebelah  kiri kereta. Tayar yang  pancit  sudah  diganti. Zaleha  tersenyum lega. Tak perlulah dia  bermalam  di situ.

“Sempat  dengar  separuh aje  tadi.  Si  Asrun  ni  minta tolong  bawa balik kereta  Cik Leha ke rumah,” jawab Haji  Lajis.
“Eh, tadi  bukan ke  abah  yang  nak  ikut  Asrun balik?”

     Tak semena-mena  kunci  kereta  di tangan Haji  Lajis melayang  ke  arah  Asrun. Haji  Lajis  membuntang  mata memberi amaran pada anaknya. Asrun tersengih  nakal sambil  mengerling  ibu mertuanya  yang  sedang  memerhatikan mereka dengan wajah hairan.

“Cik Leha  dah makan?” Haji  Lajis  melangkah  laju  ke dalam rumah. Jelas kelihatan  wajahnya  merona  merah.
“Belum  lagi. Kalau  kereta tu  dah  okey,  saya  balik  dululah  Abang Haji.  Mak  saya tinggal sorang-sorang  kat  rumah  tu.” Zaleha  cuba mencipta alasan. Entah  kenapa  tiba-tiba dia  tidak  selesa berada di situ.
“Along  kan ada. Selalunya dia yang  jaga nenek kalau  mak  keluar ke mana-mana, kan? Kita makan dululah  mak. Bukannya jauh  pun  rumah nenek  tu.” Izzah  cuba memujuk. Lengan ibunya  ditarik lembut . Mereka beriringan ke dapur.

     Bagai  tak tertelan nasi  di kerongkong  Zaleha. Peristiwa di  halaman  rumah  tadi  berjaya  buat  dia  rasa semakin  segan dengan besannya.  Sementelah lagi Haji  Lajis  sedari  tadi  asyik  mengerling padanya.

“Tambah  nasi lagi  Cik Leha. Jangan  malu-malu. Asrun  masak memang  tak berapa sedap. Lain kali kalau  ada masa Cik Leha  kena rasa masakan saya pula.” Haji  Lajis  menghulur  bekas nasi. Tapi  Zaleha menggeleng  laju.

“Saya jarang makan malam Abang  Haji.”
“Pandai Cik Leha  jaga  badan,” puji  Haji Lajis. Sekali lagi  wajah putih  mulus  Zaleha  merah  padam. Otaknya mula ligat mencari  topik lain  untuk  dibualkan.
“Errr..Dalam rumah  ni  cuma Asrun dan Abang  Haji  aje ke  yang  masak? Izzah  tak masuk ke  dapur  ke?”

      Tersedak  Izzah  mendengar soalan  Zaleha. Dia  tersengih sambil  mengutip  nasi  yang berterabur di  meja. Wajah  Asrun dipandang, mohon bantuan untuk  menjawab soalan ibunya. Lama  menunggu  jawapan, akhirnya  Zaleha bangun membawa  pinggan ke sinki.  Malu  dia  dengan  perangai  Izzah. Sibuk  nak  kahwin tapi masak  pun  tak tahu.

“Saya nak balik dululah  Abang  Haji.  Orang  tua  saya kat  rumah  tu,  entah  makan  ke tidak.”

    Zaleha  menghabiskan sisa minuman  di dalam  gelasnya.  Haji Lajis terburu-buru  bangun lalu  mencuci  tangan  di sinki.  Asrun dan Izzah  cuma jadi  pemerhati. Hairan  melihat  Haji  Lajis  tidak menghabiskan  makanan  di pinggannya.

“Saya nak tumpang Cik Leha  boleh tak? Saya nak  ambil  motor saya  kat masjid.”

      Tak sempat Zaleha menjawab, Haji Lajis  sudah mengambil kunci  kereta  kepunyaan  Zaleha di atas meja. Laju  saja  kaki  lelaki itu melangkah  keluar. Zaleha  mengeluh  perlahan.  Entah kenapa  kali  ini  kurang  selesa betul dia berada di rumah  besannya. Izzah dan  Asrun  menemankan  Zaleha ke depan.

“Kirim salam nenek ya mak,” pesan Izzah.
“Abah, ambil motor  kat  masjid aje, ya. Jangan bawa mak melencong  ke tempat  lain  pulak.” Asrun menggiat abahnya yang sedang  menghidupkan enjin kereta. Satu lepukan  hinggap di bahu  Asrun. Hadiah  dari  Izzah. Makin kuat  tawanya.

      Dalam kereta,  Zaleha  cuma membisu.  Hilang  topik  untuk  dibualkan bersama  besannya.  Beg tangan  dipeluk erat.  Sengaja  dia menurunkan  cermin kereta, tidak  menggunakan penghawa dingin.  Perjalanan yang  dekat  terasa jauh pula kerana  Haji Lajis memandu dengan perlahan.

“Cik Leha,  saya tanya sikit  boleh tak?”
“Tanya apa?”
“Dah  berapa tahun  Cik Leha hidup  sorang-sorang?”
“Siapa kata  saya hidup  sorang-sorang? Saya kan tinggal  dengan mak  saya. Anak sulung  saya pun  tinggal dekat  dengan rumah  saya juga.”

     Haji  Lajis  senyum kelat.  Tak pasti  samada  Zaleha  tidak  faham dengan  soalannya  atau  pura-pura tak faham. Nafas  ditarik dalam-dalam.  Zaleha langsung  tak  berani  menoleh.  Dalam hati  tak putus-putus  berdoa agar  Haji  Lajis  tidak  mengulang  soalan  tadi.  Sumpah,  dia  rasa  sangat  tidak  selesa ketika ini.

     Mereka  sampai  di  depan masjid.  Haji  Lajis  tidak  terus  keluar. Tapi  Zaleha  sudah terlebih  dahulu  membuka pintu dan  segera pergi  ke  sebelah  pemandu. Geram pula hatinya  melihat  Haji  Lajis  yang masih tidak mahu  keluar dari  kereta. Penat  berdiri  di luar,  diketuknya  cermin tingkap  berulang kali. Haji   Lajis  akhirnya  mengalah. Dia keluar  juga dari  kereta.

“Ada sorang  kawan  saya  tu, dia  dah  lama  menduda.  Dia minta  saya  carikan  calon isteri.  Cik  Lijah  ada calon yang  sesuai  tak?”
“Eh,  Abang  Haji  ingat  saya ni  ejen pencari  jodoh  ke?”
“Bukanlah  macam  tu.  Saya  bertanya  aje, manalah  tau. Cik Leha kan ramai  kenalan.”

      Terjuih  bibir  Zaleha.  Entah  kenapa  dia  agak  kurang  selesa  membicarakan  perkara itu. Pandangan  dan senyuman  Haji  Lajis  buat  Zaleha  macam  cacing  kepanasan.

“Saya  balik dululah.  Dah  lewat  sangat  ni.” Zaleha minta  diri.

     Haji  Lajis hanya mengangguk. Dibukakan pintu  kereta untuk  Zaleha.  Dia  seakan  lupa  dengan  ceramah agama yang  dia kejarkan  tadi. Sebaik  saja  menutup  pintu  kereta,  Zaleha menurunkan  cermin.  Dikerlingnya  cermin pandang  belakang dan kemudian  melihat  cermin  sisi  kiri dan kanan. Cermin  tingkap  di sebelah  kiri  pula  diturunkan. Dia  cuba  membetulkan  kedudukan  cermin  sisi  menggunakan  suis  automatik.

“Aduh,  time ni lah  dia  nak  rosak. Errr... Abang  Haji. Boleh  tolong  betulkan  sikit  side mirror  tu  tak?  Leha  tak  nampak kereta  dari  belakang,” arah  Zaleha.

Tanpa  bantahan,  Haji  Lajis  segera  ke  sisi  kiri  kereta. “Dah  okey  Leha?” tanya  Haji  Lajis.
“Ke atas sikit,”

     Haji  Lajis  masih  membongkok sambil  membetulkan  cermin. Zaleha berdecap  perlahan. Mungkin  keadaan  cermin  sisi  itu  masih  belum  memuaskan  pandangannya. Setelah  beberapa  kali  mengarah  Haji  Lajis,  Zaleha  pula  menjulurkan  tangan.  Dia cuba  membetulkan sendiri kedudukan  cermin itu.

“Eh! Maaf  Abang Haji.  Leha  tak sengaja.”

      Laju  Zaleha  menarik  semula  tangannya. Muka  rasa  berbahang. Bibir  digigit  sekuat  hati.  Haji  Lajis  yang berada  di  luar  cuma tersenyum simpul. Tak sangka  pula Zaleha  boleh  terpegang  tangannya.

“Err, dah  okey ke  cermin ni?” Haji  Lajis menegur  Zaleha.
“Dah...Dah  okey.  Saya  gerak  dululah.”

      Brek tangan  diturunkan. Haji  Lajis meninjau  ke  tingkap  sebelah kiri  yang  masih  terbuka.  Senyumnya  makin lebar tatkala  melihat  wajah  Zaleha  yang berpeluh.

“Cik Leha...”
“Ha, ada... ada apa abang..  eh  Abang  Haji?”
“Hati-hati  memandu.”
“Okey... Assalamualaikum.”

      Kereta terus  bergerak. Meninggalkan  Haji  Lajis  yang  masih  tegak  mematung  di  situ.  Ada sesuatu  yang  sedang  dia  fikirkan  mengenai  Zaleha. Semetara itu  di dalam kereta.  Zaleha mengerling  cermin pandang  belakang.  Semakin kemas  genggaman  tangan  di  stereng apabila  melihat  Haji  Lajis  masih  mengawasinya.

“Ya Allah, kenapa rasa lain  macam  pulak  ni?”

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.