Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 27, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 7

             
                      Pagi yang hening dan mendinginkan itu tidak mampu menenangkan perasaan Lina yang sedang hangat. Hangat dengan cinta seorang lelaki yang telah berjaya menawan hati remajanya. Mulut mongelnya menyanyikan lagu-lagu cinta sambil bersiap siaga untuk ke sekolah. Sekali-sekala dia melirik manja pada lelaki itu yang sedari tadi masih terdampar di atas katil.
“Sayang...Bangunlah. Lina nak pergi sekolah ni.”
Walaupun sedang mengadap cermin, dia masih boleh melihat lelaki itu. Lina mengekek perlahan. Malu diperhatikan. Tuala yang membalut tubuh terlucut. Lina ketawa lagi.
“Sayang, mata tu jangan nakal sangat boleh tak? Tutuplah mata tu. Lina nak pakai baju ni.”
Matanya masih tidak lepas merenung mata redup lelaki itu. Satu-persatu pakaian seragam sekolah disarungkan ke badan. Usai bersiap, dia ke meja tulis dan mengemas buku-buku yang perlu dibawa ke sekolah. Bibirnya masih menguntum senyum manis.
“Kamal, Lina nak pergi sekolah ni. You duduk rumah diam-diam tau. Jangan nakal-nakal. I love you…ummmmuuah!”
Gambar Kamal dikucup penuh perasaan. Diusapnya ulas bibir lelaki itu dengan rasa cinta yang mendalam. Walaupun sekadar gambar, Lina merasakan lelaki itu benar-benar wujud di depan mata. Dipeluk erat bingkai gambar sebesar kertas A4 itu. Berat benar hatinya ingin melepaskan wajah lelaki itu.
“Lina pergi dulu sayang. Tunggu Lina balik tau.”
Satu lagi kucupan melekat di cermin bingkai gambar. Potret Kamal hasil tangannya sendiri diletakkan di atas katil dalam keadaan terbaring. Senyumnya masih bersisa ketika dia keluar dari  bilik.
“Apa yang kau buat lama sangat kat dalam bilik tu? Siapa nak mandikan adik ni?”
Keluar saja dari bilik, Lina dijerkah ibunya. Dia mengetap bibir. Ibunya yang sedang duduk di kerusi roda dipandang dengan wajah masam.
“Orang dah lambat ni. Minta tolong makcik Intan ajelah,” sungut Lina.
Sejak ibunya lumpuh, Lina yang mengambil alih tugas-tugas menguruskan rumah. Ayahnya seorang pemandu lori, sering tiada di rumah. Lina terbeban dengan semua tanggung jawab itu seorang diri. Sekali-sekala ada juga jiran-jiran yang datang menolong. Namun semua itu masih tidak  mengurangkan keletihan Lina dalam menguruskan adik lelakinya yang menghidap Sindrom Down.
“Pagi-pagi lagi dah buat muka masam. Tak cium bau syurga kalau buat ibu macam tu. Kalau ibu ni tak sakit, tak payah nak menyusahkan kau. Ibu boleh buat sendiri. Ini baru sikit. Kalau dah kahwin nanti lagi besar tanggungjawabnya. Nak jaga makan minum suami, nak buat kerja rumah. Kalau sekarang nak mandikan adik pun dah merungut, baik tak payah berangan nak berlaki!”
Lina terpukul dengan kata-kata ibunya. Ikut hati mahu saja dia menolak ibunya dari  kerusi roda itu. Kaki sahaja lumpuh, tapi  Lina berharap sangat ibunya bisu. Biar telinganya  tak perlu lagi mendengar bebelan dan ocehan yang membingitkan saban hari. Lina ingin mengunci pintu bilik. Tidak mahu bilik itu dicerobohi oleh adiknya. Namun tak semena-mena matanya terpandang gambar Kamal yang terletak di atas meja solek. Serta-merta mulutnya menguntum senyum.
“Adik, mari mandi sayang.”
Lina meletakkan beg yang digalas. Adiknya yang baru sahaja bangun tidur didukung ke bilik air.
“Sayang, ambilkan tuala anak kat dalam bilik.”
Lina berangan lagi. Tubuh bogel adiknya yang berumur tiga tahun dijirus perlahan. Mengekek anak kecil itu ketawa kesejukan. Lina menyingsing sedikit lengan baju kurungnya hingga ke siku. Selesai menyabun, dia membilas tubuh montel adiknya.
“Sayang...Tolong siapkan baju anak. Baju dia ada dalam almari tu.”
Diciumnya pipi montel adiknya. Anak kecil didukung dan dibawanya masuk  ke dalam bilik. Ibunya yang berada di ruang tamu langsung tidak dihiraukan.
“Kau nak bawa adik tu pergi mana Lina? Baju dia ada kat sini!” jerit ibunya.
Lina keluar semula dari bilik dan mengambil baju  di tangan ibunya. Berdentum pintu bilik ditutup dengan kasar oleh Lina.
“Ops! Maaf  sayang. Lina tertutup kuat pulak pintu ni. Mak tu, ada-ada ajelah. Sayang, nanti tengok-tengokkan mak sekali, ya. Kalau dia banyak songeh, sayang bagi aje dia ubat tidur.” Lina ketawa mengekek.
Adiknya yang tidak mengerti apa-apa turut ketawa dengan telatah Lina. Serta-merta tawa Lina hilang. Bulat matanya merenung anak kecil yang sedang dipakaikan seluar itu.
“Apsal kau ketawa? Kau ingat aku gila ya? Kau keluar sekarang!” Lina menjerkah.
Terperanjat anak kecil itu. Lina menarik adiknya keluar dari bilik dengan kasar. Terjerit-jerit adiknya minta dilepaskan.
“Dah siap! Orang nak pergi ni.”
Beg sekolah digalas lalu dia keluar dari rumah. Langsung tidak dihiraukan ibunya yang ingin menghadiahkan ciuman di pipi. Ibunya menyapu airmata yang  mengalir.
“Ibu minta maaf Lina. Ibu tak berniat nak menyusahkan kau,” lirih ibunya dalam sebak. Matanya memandang kelibat Lina yang sedang menunggu bas sekolah di hadapan rumah. Tidak tergerak langsung hati Lina untuk menoleh ke belakang, melihat ibunya yang masih memerhati. Kakinya terus menapak tangga bas yang baru berhenti. Tempat duduk yang paling belakang menjadi pilihan Lina. Bas bergerak meninggalkan ibu Lina yang sedang melambai di muka pintu. Sikit pun Lina tak perasan.
Dalam kepalanya sekarang cuma ada satu wajah, Kamal Akasyah. Dia bertekad untuk menjadikan lelaki itu miliknya. Walau dengan apa cara sekalipun. Namun masih ada halangan yang menghadang tembok cintanya. Fatin. Itu  musuh ketatnya. Dia perlu cepat bertindak sebelum gadis itu berjaya membolot tempat di hati Kamal. Sebagai langkah pertama, Lina perlu mendapatkan alamat rumah Kamal. Dia yakin maklumat yang dikehendaki boleh diperolehi dengan mudah.
Sampai saja di sekolah, bilik guru adalah tempat pertama yang dituju. Dia mencari seseorang yang boleh memberikannya maklumat mengenai Kamal. Senyumnya melebar apabila ternampak Cikgu Shazatul yang baru tiba. Laju lenggangnya mendekati guru kelasnya itu.
“Selamat pagi cikgu.”
Salam hormat diberikan dengan penuh sopan. Cikgu Shazatul hanya mengangguk dan bergerak ke mejanya. Lina mengikut dari belakang. Kepalanya ligat menyusun ayat yang sesuai untuk memancing perhatian guru kelas merangkap guru disiplin itu.
“Cikgu, cikgu  masih simpan tak maklumat peserta-peserta rombongan yang pergi Pulau Tioman hari tu?”
 “Awak nak buat apa?”
“Saya…saya nak buat kenduri…”
“Cuba cakap kuat sikit, saya tak dengar.” Cikgu Shazatul menegur.
Wajah Lina ditenung tajam. Lina membuang rasa gerunnya. Apa pun terjadi dia mesti mendapatkan  alamat Kamal. Lina menelan liur. Dia tidak boleh teragak-agak. Atau dia takkan perolehi apa yang dihajati nanti.
“Saya nak buat kenduri nanti.Nak jemput kawan-kawan semua datang rumah. Jadi saya nak ambil nombor telefon diaorang.”
Laju degup jantungnya menunggu reaksi Cikgu Shazatul. Besar betul harapannya agar pembohongannya berjaya.
“Saya kan ada bagi salinan pada awak dan Fatin. Awak tak simpan ke?”
“Ada cikgu. Tapi saya tak ada nombor dan alamat peserta tambahan.”
“Maksud awak, kawan-kawan Cikgu Shahrul?”
Lina mengangguk laju. Dia menahan diri dari menunjukkan aksi yang keterlaluan. Peluang untuk mendapatkan maklumat Kamal semakin hampir.
“Saya memang tak ada simpan maklumat diaorang. Sebab diaorang tak naik bas. Kalau awak nak maklumat diaorang, pergi minta pada Cikgu Shahrul.”
Tanpa ucapan terima kasih, Lina melulu keluar dari  bilik guru. Dia tahu di mana dia boleh dapatkan Cikgu Shahrul. Kasutnya tidak sempat disarung dengan sempurna. Dia perlu segera mendapatkan Cikgu Shahrul. Rindu untuk mendengar suara garau Kamal tidak mampu ditahan lagi. Tidak dihiraukan langsung teguran dan sapaan rakan-rakan yang berselisih dengannya. Cikgu Shahrul perlu dicari segera. Pintu bilik makmal diketuk bertalu-talu. Mulutnya tak henti-henti memanggil nama guru yang mengajar  mata pelajaran Sains dan Matematik itu.
“Lina!”
Gadis itu menoleh. Patutlah pintu bilik makmal berkunci. Shahrul baru sampai rupa-rupanya. Buat lenguh tangan saja dia mengetuk pintu tadi. Segera dia menghampiri  lelaki itu. Topi keledar yang terkepit di celah lengan cikgu bujang itu diambil. Kononnya memudahkan Shahrul membawa barang-barangnya yang lain. Lina tersengih melihat wajah lelaki itu yang agak terkejut dengan tindakannya.
“Cikgu, saya nak nombor telefon Abang Kamal boleh tak?”
Tanpa salam dan mukadimah, Lina terus ke objektif utamanya. Dia tidak boleh sabar lagi. Dibiarkan sahaja dirinya direnung dari atas ke bawah oleh Cikgu Shahrul.
“Awak nak buat apa?” tanya Cikgu Shahrul.
Melihat pada wajah teruja Lina membuatkan  dia cuak. Serta-merta ingatannya terimbas kembali beberapa peristiwa yang berlaku di Pulau Tioman. Gadis itu sentiasa mengejar bayang Kamal. Malah sanggup bermusuh dengan Fatin demi merebut perhatian peguam muda itu. Alasan yang diberi oleh Lina sama seperti yang dia katakan pada Cikgu Shazatul.
“Saya memang ada nombor dia, rumah dia pun saya tahu kat mana.Tapi…”
“Tapi apa cikgu? Kalau tak dapat alamat pun tak apa. Saya telefon aje nanti,” ucap Lina laju. Jantungnya berdebar kencang. Rasa seperti mahu  diseluk segala poket yang berada di pakaian  Shahrul. Lambat pula Cikgu Shahrul mengeluarkan telefon bimbit.
Handphone saya tertinggal kat rumah. Saya charge  tadi, terlupa nak bawa.”
Haba panas menyerbu ke muka Lina. Ditenung tajam wajah lelaki itu.
“Cikgu tipu kan?”
“Mana ada, kalau tak percaya cuba check. Dah sampai sekolah baru saya perasan.”
“Takkan cikgu tak ingat langsung nombor dia?”
“Saya bukan jenis yang ingat nombor telefon orang. Formula Sains tu pun terkial-kial saya nak menghafal, ini kan pulak nombor telefon orang.” Shahrul ketawa di hujung kata-katanya.
Lina memeluk tubuh. Tidak puas hati dengan jawapan Cikgu Shahrul. Bergerak-gerak rahangnya menahan marah. Dengusan nafasnya kedengaran keras. Shahrul kelihatan gusar dengan tingkah Lina.
“Kenapa semua orang tak suka saya berkawan dengan Kamal?” tanya Lina perlahan.
Berkerut kening Cikgu Shahrul mendengar pertanyaan Lina. Dari berpeluk tubuh, Lina bercekak pinggang. Dia tidak mampu membendung  kemarahannya lagi.
“Cikgu dengan Fatin tu sama aje. Cemburu kalau saya couple dengan Kamal, kan?”
“Apa awak merepek ni Lina? Bila masa pula saya cemburu dengan awak? Dan apa kena-mengenanya Fatin dalam hal ni?” Bertubi-tubi soalan yang keluar dari mulut  Shahrul. Dia keliru dengan perubahan mendadak gadis itu.
“Ahh! Sudahlah cikgu. Tak payah nak berlakon lagilah. Semua orang sama aje. Cemburu tak tentu pasal. Tak apa, saya boleh cari  sendiri. Nanti jangan ternganga pulak bila tengok saya berjalan dengna Kamal!” Angkuh sungguh kata-kata Lina
Dia meninggalkan  Cikgu Shahrul yang sedang termangu. Lina masuk ke kelas yang sudah penuh dengan rakan-rakan yang lain. Beg sandang dicampak kasar ke atas meja. Mengejutkan Kavitha yang duduk bersebelahan Lina.
“Woi, kau tak boleh letak baik-baik ke beg tu? Kalau ada anak kucing dalam beg kau, dah lama anak kucing tu mati tau tak?”
Dari rasa marah, Lina bertukar watak. Dia menekup mulut dan bola matanya kelihatan mengecil. Kemudian dia ketawa mengekek. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung di sebelah Kavitha. Beg yang dicampak tadi dipeluk erat pula.
Sorrylah Kavitha. Aku nak cepat tadi.”
Beg yang masih berada di dalam pelukan dibuka perlahan. Lina senyum lebar. Sebelah tangannya dimasukkan ke dalam perut beg.
“Maaf sayang...Lina tak sengaja. Sayang okey? Lemas tak duduk kat dalam ni?” Lina ketawa mengekek.
“Kau cakap dengan siapa?” tanya Kavitha.
Cepat-cepat Lina mengeluarkan tangannya. Namun senyumnya masih belum lekang. Beg sekolah berwarna kuning cair itu diusap dengan penuh perasaan.
“Cakap dengan kucing kat dalam beg ni. Aku tanya dia sakit tak kena hentak dengan aku tadi,” jawab Lina kasar.
Walaupun sedang tersenyum, renungan matanya yang menikam menakutkan Kavitha. Langsung tidak dihiraukan Lina selepas itu. Sepuluh minit kemudian pembelajaran bermula. Tumpuan Lina tidak dapat difokuskan pada pengajaran guru yang berdiri di depan kelas. Wajah Kamal bermain-main di matanya. Beg sekolah yang berasaskan  kain dipeluk kemas. Semakin lama semakin erat. Dada Lina nampak berombak. Matanya terlelap. Hujung bibir digigit lembut. Dia hanyut dengan perasaan sendiri.
“Lina!”
Berterbangan hilang segala angannya bersama Kamal. Terpampang di depan matanya adalah wajah Cikgu Shazatul yang menyinga. Kelas senyap dan sunyi. Tiada siapa pun yang berani berkutik. Masing-masing menunggu dengan penuh debar apa yang akan berlaku pada Lina sebentar nanti.
“Berdiri di luar kelas sekarang. Saya mengajar di depan awak bantai berangan pulak!” Memetir suara Cikgu Shazatul.
Lina teragak-agak untuk bangun. Wajah rakan-rakan sekelas dipandang sekilas. Dia nampak Ayu yang tersenyum sinis. Fatin tidak ada di sebelah gadis montel itu. Sempat lagi Lina meneka-neka di mana agaknya Fatin sekarang. Mungkin sedang keluar berpacaran dengan Kamal. Membayangkan Kamal dan Fatin jalan berdua-duaan membuatkan Lina panas hati. Penyandar kerusi digenggam kuat. Sekali lagi dadanya berombak kencang.
“Buat apa tercegat lagi kat situ? Keluar sekarang!” Sekali lagi dia diherdik.
“Tak payah terpekik terlolonglah cikgu. Pekak telinga saya ni.” Lina pula menjerkah Cikgu Shazatul.
Dia menghayun kaki keluar dari bilik. Renungan tajam Cikgu Shazatul langsung tidak dihiraukan. Tidak sampai lima minit Lina berdiri di luar, dia ternampak Fatin dan segerombolan pasukan pengawas sekolah bergerak masuk ke dalam setiap kelas. Lina sangat pasti mereka sedang mengadakan pemeriksaan mengejut. Dia teringatkan  barang-barang yang tersimpan di dalam beg sekolahnya. Pada mulanya timbul rasa cuak. Tapi bila melihat wajah Fatin, dia rasa selamat.
Akhirnya pasukan pengawas yang diketuai oleh Fatin masuk  ke dalam kelas. Fatin meminta Lina turut menyertai mereka di dalam kelas.
“Pelajar lelaki berdiri di hadapan kelas, pelajar perempuan di belakang.”
Arahan diberi kepada semua pelajar  yang berada di dalam kelas. Lina memerhatikan  lima orang pengawas sedang menyelongkar beg sekolah para pelajar. Termasuklah Fatin. Segala barang-barang larangan yang dirampas dikumpulkan di meja guru. Lina berdoa dalam hati supaya Fatin yang menyelongkar beg kesayangannya itu. Dia mahu Fatin melihat segala isi perut yang terdapat di dalam beg itu.
Doanya termakbul. Dia hampir melompat kegembiraan tatkala melihat Fatin melambakkan isi perut beg di atas meja. Reaksi gadis itu diawasi. Fatin menggeleng-geleng kepala. Kotak pensel, kulit buku rujukan dan buku-buku nota. Wajah-wajah Kamal tertampal di situ. Fatin nampak tenang. Dia menyimpan semua  barang-barang kepunyaan Lina. Tiba masa untuk pemeriksaan badan. Lina diperiksa oleh pengawas lain. Dompetnya diperiksa.Gambar Kamal juga ada di situ.
“Ni gambar pakwe kau ya?” tanya pengawas yang memeriksa badan Lina.
“Mestilah pakwe aku. Takkan gambar bapa mertua kau pulak!” jawab Lina kasar.
Dompet yang sudah diperiksa diserahkan semula. Langkah Fatin dihadang ketika dia hendak memeriksa pelajar yang lain. Lina menghadiahkan kerlingan sinis pada Fatin.
“Jangan ganggu tugas aku boleh tak?”
            “Siapa pulak yang kacau kau buat kerja? Aku cuma nak cerita sikit kat kau. Pagi tadi kan,  Abang Kamal hantar aku pergi sekolah. Kami pergi sarapan dulu, petang nanti dia jemput aku balik. Tapi sebelum tu, kitaorang nak pergi jalan-jalan dulu. Kau nak ikut?” tanya Lina dengan suara mengejek.
            Fatin terperanjat. Dia memandang Ayu yang berdiri selang beberapa orang sahaja dari Lina. Dia pasti Ayu juga terdengar apa yang dikatakan oleh Lina sebentar tadi. Gadis debab itu mendekati Lina.
            “Abang Kamal yang mana satu ni Lina?” tanya Ayu.
            “Eh, Abang Kamal... Kamal Akasyah. Takkan tak kenal kot!”
            “Emm, kau pasti dia yang jemput kau tadi? Jangan-jangan hantu raya kot!” Ayu menutup tangan menahan tawa. Fatin masih meneruskan tugasnya sambil menelinga.
            “Woi Ayu, aku ni tak buta lagilah. Memang dialah yang jemput aku tadi. Apsal? Tak percaya atau, kau cemburu?” Lina meninggikan suara.
            “Aku cemburu? Sorrylah, aku tak layan benda-benda macam ni. Tapi yang aku pelik, macam mana pulak Kamal boleh hantar kau ke sekolah hari ni? Setahu aku, dia ada seminar di Kuala Lumpur. Dia pergi dengan Abang Hairi. Petang semalam lagi diaorang dah bertolak.”
            Berubah air muka Lina. Tembelangnya sudah pecah. Hajatnya untuk buat Fatin cemburu tidak tercapai. Tak mahu menunggu lama lagi di situ, Lina terus berlari keluar dari kelas dan menuju ke tandas. Kepala paip dipulas habis. Lubang sinki ditutup dengan penyumbat. Lina merenung wajah sendiri di cermin. Dia benci dengan wajah itu. Pasti Fatin dan Ayu sedang mentertawakannya ketika ini.
            “Arghhh!!!”
            Lina menjerit sekuat hati di dalam sinki yang dipenuhi air. Basah lencun tudung putih yang di pakai. Dia tidak peduli. Apa yang dia mahu sekarang adalah melepaskan rasa sakit hatinya pada Fatin, Ayu, Cikgu Shazatul dan Cikgu Shahrul. Mereka semua yang menggagalkan rancangan Lina untuk mendapatkan  maklumat tentang Kamal. Dia tertekan. Hampir sejam dia menghabiskan masa belajarnya di dalam tandas. Tidak dihiraukan langsung pelajar-pelajar yang menegurnya.
Selepas waktu rehat, dia menyusup keluar dari sekolah. Beg di dalam kelas juga tidak dibawa balik. Tidak ada apa-apa yang berharga pun di dalam beg sekolah Lina kecuali gambar-gambar Kamal. Kerana terlalu marah, semuanya ditinggalkan begitu saja. Kemurungan Lina berlarutan hingga ke malam. Puas dia cuba menumpukan perhatian pada pelajaran yang sedang diulangkaji namun wajah Kamal tetap melekat di kepalanya. Gambar-gambar Kamal yang terdapat di sekeliling bilik ditatap satu persatu. Kebolehan  melukis potret yang dia miliki digunakan secara maksimum untuk melakar wajah pujaan hatinya. Lina mara ke katil. Dicapainya bingkai gambar yang diletakkan disitu pagi tadi.
            “Kamal...Lina rindu Kamal. Dengarlah suara hati ini sayang. Kamal hanya untuk Lina. Tiada siapa yang boleh merampas Kamal dari Lina. Datanglah  dalam mimpi Lina sayang...”
            Lina mengucapkan kata-kata lirihnya berulang-ulang kali. Dia lupa pada buku yang sedang ditelaahnya. Dia lupa pada keadaan sekeliling. Lina baring beralaskan bingkai  gambar Kamal. Matanya tidak lepas dari potret lelaki itu hingga akhirnya dia tertidur dengan lampu bilik yang terpasang hingga ke pagi.


.

.
.

.

.

.

.

.

.
.