Kringgg!!!
Aku tekup telinga dengan bantal. Mata masih belum puas
beradu. Jam di atas meja belum berhenti berbunyi, telefon pula bernyanyi-nyanyi
nyaring mengejutkan aku. Adoi! Menyesal pula aku kunci jam malam tadi. Dua nada
bergabung menjadi satu nada yang cukup menyemakkan telinga.
“Johaimi!
Ooo Johaimi!
Alahai! Mak pula bergendang pintu. Kalau dah macam ni
gayanya memang jangan haraplah aku nak sambung tidur.
“Johaimi!”
“Ya! Mie dah bangun ni...” Badan dan tegak, tapi
mata masih tertutup. Susah betul mata ni
nak celik. Inilah padahnya kalau ‘bergayut’ sampai lewat malam. Aku menung
sekejap. Pandang dinding yang terhias bingkai surah-surah empat ‘Qul’. Tapi lama-kelamaan pandangan menjadi berbalam-balam
dan aku terlelap semula.
“Mie!”
Gedebuk!
Adoi! Sakitnya punggung aku. Tak sempat nak menggosok
punggung yang sakit, aku cepat-cepat
bangun dan buka pintu bilik. Selagi mak tak tengok muka aku, selagi itulah
mulut dia tak penat-penat menjerit di luar. Buntang terus mata bila ternampak
gayung air di tangan mak. Sebelah tangan yang mengetuk pintu tadi dah bersedia
dengan kunci bilik. Satu badan dah berserkup dengan telekung.
“Subuh dah nak habis ni...”
“Mie tahu...”
Aku menguap panjang. Sebelum masuk semula ke bilik
mengambil tuala, mak hadiahkan aku dengan satu lepukan di bahu. Begitulah dia
setiap pagi. Nampak macam garang, tapi dia sayang aku. Macam mana aku tahu? Aku
tahulah. Sebab setiap pagi dia akan tunggu aku untuk Subuh berjemaah. Kalau dia
tak sayang, baik dia biarkan aku bergulung saja dalam selimut. Betul tak?
“Cepat sikit Mie! Mak nak siapkan sarapan adik ni...”
Malas aku nak menjawab. Air pancut aku buka. Sambil
membasahkan kepala, aku berus gigi. Kemudian bersyampu, gosok terus satu badan
dengan buih syampu yang banyak di kepala. Jimat masa. Selesai membilas syampu
di badan, aku terus ambil wuduk. Beres semua urusan mandi dalam masa tak sampai
pun lima minit. Cepat tak?
“Cepatlah Abang Mie...”
Zarith pula menggesa. Dia ni pun dah klon perangai mak.
Tak padan dengan kecik. Aku capai kain pelikat dan kilas sampai atas dada.
Lepas tu berdiri di tikar sejadah.
“Mana baju?” tanya mak.
“Tak apa... Bukannya
nampak pusat.” Aku dah bersedia nak angkat takbir.
“Kalau pergi dating
pandai pula pakai lawa-lawa...”
Merah muka sekejap kena perli dengan mak. Nak menjawab ke
tak? Hmm...baik tak payah. Subuh dah nak habis ni. Selesaikan yang wajib dulu.
Lima minit kemudian, selesai pun solat Subuh. Hari ini aku baca doa yang
ringkas saja sebab terlewat bangun. Mak
terus berkejar ke dapur selepas aku cium tangan dia.
“Abang Mie, mak suruh minta duit belanja kat abang.”
“Kejap...”
Aku tinggalkan Zarith yang sedang mengemas
sejadah-sejadah di bilik sembahyang. Dalam kepala tengah mengira hari. Jauh
lagi nak gaji ni. Masuk bilik, aku seluk dompet dalam poket seluar. Nipis semacam aje. Bila buka,
ada dua helai not warna merah dan sehelai not lima puluh ringgit. Aduh! Cukup
ke nak sampai hujung bulan?
Terduduk sekejap atas katil. Mata terpandang tabung yang
aku buat dari bekas Mister Potato. Laju kepala menggeleng. Tidak! Apa pun
terjadi aku takkan guna duit dalam bekas tu. Duit tu untuk masa-masa
kecemasan saja. Buat masa ni, guna
sajalah duit yang ada tu dulu. Mana tahu kalau-kalau ramai pula yang beli burger malam ni.
Bolehlah aku top up lagi duit dalam tabung tu.
“Abang Mie... Adik nak sepuluh ringgit tau.” Zarith
muncul di pintu bilik. Dah siap bertudung dan berstokin. Mungkin dah siap bersarapan
juga.
“Banyaknya. Nak buat apa bawa duit banyak-banyak?”
“Adik nak beli buku. Hari ni ada salesman datang sekolah, jual buku-buku rujukan dan buku cerita.”
Aku telan air liur. Memang lemah sikit kalau dia cakap
bab buku. Kalau dia kata nak beli jajan, memang jangan haraplah aku nak bagi.
Tapi sebab buku, aku relakan saja duit merah aku melayang sehelai ke tangan
dia. Yalah, aku cari duit pun untuk siapa kalau bukan untuk mak dan Zarith. Cuma mereka berdua saja yang aku ada
sekarang.
“Jangan beli yang bukan-bukan. Balik nanti tunjuk kat
Abang Mie buku apa yang kau beli, faham?”
“Okey bos! Terima kasih...saaayang dia.”
Zarith cium pipi aku. Bernyanyi-nyanyi dia keluar rumah
menyarung kasut. Aku,cuma mampu senyum kelat. Bilik aku kemas ala kadar saja sebelum
aku pula bersiap nak ke tempat kerja.
Terpandang pula telefon di atas bantal. Ya Allah! Aku lupa nak call dia.
Laju tangan mendail nombor Durani. Harap-harap dia belum
masuk ke kelas lagi. Macam mana boleh terlupa perkara rutin yang satu ni? Adoi!
Minta-minta dia tak merajuk. Penat tau nak pujuk buah hati yang suka merajuk
ni.
Baru sekali berbunyi, panggilan dah berjawab.
“Joe... Maaf, Dura tak sempat nak kejut awal hari ni.
Dura terbangun lambat.”
Mulut dah tersengih lebar. Lega hati bila dengar buah hati
minta maaf. Ingatkan aku yang lewat bangun. Dia pun sama juga.
“Dura dah sampai sekolah ke?”
“Belum. Baru nak pakai tudung.”
“Aik, ini betul-betul punya lewat ni. Sempat Subuh tak?”
“Errr... cuti...”
Aku tekup mulut. Dapat bayangkan muka Dura yang kemerahan
menahan malu. Aku pandang kalendar di atas meja. Patutlah dua tiga hari ni
asyik nak merajuk dan naik angin. ‘Bendera merah’ dah berkibar rupanya.
“Dura pergilah bersiap. Nanti kita jumpa kat tempat
biasa, ya.”
“Okey... Sorry again...”
“Okey sayang. Joe tak marah pun. Kita jumpa nanti, ya.”
Selesai ‘bergayut’ sekejap. Sempat lagi aku usap gambar
Durani di atas meja kecil di tepi katil. Dah enam tahun berkawan, cuma gambar
dia masa zaman sekolah saja yang aku ada. Dia bukan minah selfie. Aku pula jenis berat mulut nak meminta-minta. Gambar yang
aku ada ini pun ehsan dari Durani. Tapi dalam
handphone memang ada gambar
dia yang aku simpan. Bohonglah kalau tak ada, kan?
“Kau kerja pagi ke petang hari ni Mie?”
Mak pula posing
cantik di depan pintu. Dihulurnya baju kerja aku yang dah siap bergosok.
Cepat-cepat aku letak gambar Durani di tempat asal dan capai baju kerja di tangan
mak.
“Mie kerja pagi. Hari ni mak jemput adik kat sekolah, ya.
Mie ada hal sikit petang ni.”
“Eleh! Cakap ajelah kau nak pergi dating dengan anak Pak Zahar tu. Selama ni pun memang mak yang
jemput adik kau, kan?”
Dengan mak, memang tak boleh kalah. Dia tahu saja setiap
gerak-geri aku. Walaupun dia suka membebel, tapi itulah hiburan telinga aku
kalau hati sedang gundah. Dialah mak, dialah penasihat peribadi yang terbaik.
Semua kisah cinta aku dan Durani tak pernah kurang dari ‘kocek’nya.
“Sampai bila nak usung anak dara orang ke hulur ke hilir
ni Mie?”
Aku tak ada jawapan untuk soalan mak. Selesai bersikat,
aku keluar dari bilik dan terus ke dapur. Mak ikut sekali. Dia pasti akan terus menyoal aku dengan soalan
yang sama. Takkan puas hatinya selagi aku tak berikan jawapan yang pasti.
“Petang ni mak keluarkan dulu daging-daging burger dalam
peti sejuk, ya. Kalau Mie lambat balik, mak bagi aje kat Mazli.” Aku cuba
alihkan perhatian mak. Tak nak dia mengulang semula soalan tadi.
“Ramai ke orang beli burger kat gerai tu? Mak tengok
hasilnya tak seberapa pun.”
“Eh, ramai juga mak. Kalau ada orang gunakan balairaya,
lagi ramai yang beli.”
“Huh! Ramai manalah
orang yang gunakan balairaya tu Mie? Dapat hasilnya, kena bahagi tiga.
Banyak mana aje kau dapat?”
“Dapatlah juga tu mak daripada tak ada langsung...”
“Hmm, kalau macam tu gayanya memang lambat lagilah kau
nak dapat Durani...”
Tak jadi aku mencedok bihun goreng ke pinggan. Terbantut
terus selera aku bila mak cakap macam tu. Kalau orang lain yang cakap, bolehlah
aku abaikan saja. Tapi kalau dengan mak, aku anggap apa yang dia cakap tu satu
doa. Takkanlah dia tak tahu aku sedang berusaha mengumpul duit? Durani pasti
jadi milik aku satu hari nanti.
Pinggan makan aku tolak ke tengah meja. “Merajuklah
tu...” Mak menjuih bibir.
“Mak cakap benda yang betul ni Mie. Tak nak ke cuba-cuba apply kerja yang elok sikit?”
“Kerja yang Mie buat sekarang ni tak elok ke mak?” Tersinggung
betul bila mak cakap macam tu. Walaupun kerja yang aku buat sekarang taklah sehebat
kerja Durani, sekurang-kurang gaji aku masih mampu menampung mak dan Zarith. Tambah
lagi dengan pencen arwah ayah. Mak dan Zarith tak pernah pula aku biarkan tak
berganti baju setiap bulan.
“Mak bukan cakap kerja yang kau buat sekarang ni tak
elok. Tapi, kalau boleh kau carilah kerja lain yang lebih sesuai dengan
kelulusan kau.” Mak nak meletakkan bihun di dalam pinggan. Tapi aku tahan tangannya.
Sumpah, memang dah tak ada selera nak menelan makanan. Aku cuma habiskan air
nescafe yang sudah suam di dalam cawan.
“Berapa kali Mie nak cakap. Mie dah cuba, tapi semuanya belum
berjawab. Dahlah mak. Mie dah lambat ni...”
Aku salam tangan dan cium pipi mak. Walaupun berkecil
hati, tapi dia tetap mak. Tak berkat rezeki yang aku dapat kalau aku pula yang
buat dia tersinggung. Dia hantar aku sampai ke luar. Dia hulur helmet yang aku letak
di kaki tangga. Mak pandang dan senyum.
“Bilalah nak merasa pakai kereta ya Mie?”
“Nanti Mie pergi sewa kereta Pak Zahar. Hujung minggu ni
kita pergi jalan-jalan kat pekan, nak?”
“Mak tak nak naik kereta orang. Mak nak kereta kau.”
“Ala... Naik motor kan best! Boleh peluk-peluk!”
Aku gelak melambak. Mak pun sama. Dah banyak kali dengar
dia mengulang permintaan yang sama. Nantilah mak. Ada rezeki nanti, pasti Mie
akan beli kereta sendiri. Aku pecut motor ke tempat kerja. Ada lima belas minit lagi sebelum
waktu kerja bermula. Lepas punch card,
aku beli roti, tujuh puluh sen sebungkus. Aku beli dua. Cukuplah untuk alas
perut sepanjang pagi ni.
“Uik, hari ni tak sempat breakfast dengan buah hati ke?” Zara, budak kaunter yang sama shif
kerjanya dengan aku pagi ini menegur. Budak ni kepoh sikit. Bukan boleh dilayan
sangat. Sama sekolah juga dengan aku dulu. Tapi berlainan kelas.
“Diet.” Aku jawab sepatah dan terus keluar. Tak payah nak
ramah sangat. Takut dia syok kat aku pula nanti. Maklumlah, muka handsome sikit dari Azlee Khairi. Wah!
Perasan sendiri. Eh, bukan perasan sendirilah. Durani yang cakap macam tu.
“Mie... tank lapan
kosong.”
Suara Zara dari kaunter di dalam Mart kedengaran. Aku lajukan
langkah ke tempat yang dimaksudkan. Sebelum aku layan customer, apa-apahal kena senyum dulu. Itulah polisi yang paling penting.
Mujurlah pakcik tua yang nak isi minyak. Tauke stesen minyak ni pun satu.
Tempat lain dah buat servis layan diri. Tapi dia tetap nak manjakan customer. Eh, tapi bagus juga. Kalau dia
buat servis layan diri, aku nak kerja kat mana?
Dah dekat setahun aku bekerja di stesen minyak ni. Aku
paling suka kerja shif pagi. Walaupun sibuk sikit, tapi aku suka. Sebab
malamnya aku boleh buat kerja part time.
Dan perkara yang paling aku suka sebenarnya adalah, dapat dating hari-hari dengan Durani. Waktu kerja aku berakhir sama dengan
waktu Durani keluar dari sekolah. Malamnya pula dia mengajar tiusyen di balai
raya. Sekali lagi rezeki aku nak jumpa dia.
Tin!!!
Aku kenal bunyi hon tu. Sekali berpaling, terus hilang
segala penat bekerja seharian. Aku tengok jam di tangan sebelum berjalan ke
arah tangki nombor empat. Laa... Dah habis waktu kerja. Macam mana aku boleh tak perasan? Cepat
betul masa berlalu hari ini.
“Joe kena overtime ke
hari ni?” tanya Durani sebaik saja tingkap kereta diturunkan.
“Taklah. Tak perasan waktu kerja dah habis. Dura tunggu
kat kedai biasa, ya. Joe nak punch card
sekejap.”
“Tolong isikan minyak kereta, boleh?” Durani hulur dua
puluh ringgit. Begitulah kebiasaannya. Kalau awal bulan, aku dengan rela hati
bayarkan duit minyak. Tapi sekarang tengah-tengah bulan. Makan buburlah mak dan
Zarith di rumah kalau aku terlalu bermurah hati. Durani tak kisah pun.
Kadang-kadang aku pinjam duit dia. Nanti cukup bulan aku bayar balik. Sebab
itulah aku sayang Durani. Dia tak lokek dan faham perangai aku.
Selesai isi minyak, Durani bergerak ke gerai bersebelahan
stesen minyak. Port biasa tempat kami
selalu dating. Aku berjalan kaki saja
ke kedai yang sama selepas aku selesai buat
acara serah-menyerah tugas dengan pekerja shif petang.
“Eh, dah siap airnya?”
Aku sedut sampai separuh gelas sirap limau yang sudah
sedia ada di atas meja. Durani cuma pandang dan senyum. Tak lama kemudian,
makanan pula sampai. Set asam pedas dengan
nasi putih dua pinggan.
“Awak ni memang dah boleh sangat jadi isteri saya tau...”
Aku ambil sudu yang dihulur Durani.
“Kenapa?” Dia
bertanya. Eleh! Buat-buat tak faham. Tapi senyum dah lebar sampai telinga.
“Awak dah faham perangai saya. Apa yang saya suka minum,
makan, pakai... semua awak dah tahu.” Aku mulakan suapan. Sebelum tu aku baca
doa makan, Durani aminkan. Eee... macam dah betul jadi suami isteri. Indah
betul rasanya.
“Joe pun sama juga. Dah masak dengan perangai Dura.
Jadi... apa kata kalau Joe masuk
meminang.”
“Adoi!”
Kunyahan terhenti. Garfu tergores di lelangit. Aku diam
sekejap. Cuba redakan sakit dengan menyedut sirap limau. Pedih!
“Hmm... baru suruh masuh meminang dah nak telan garfu
ke?”
Aku gelak. Dia pun gelak juga. Tapi aku gelak bersama sedikit
rasa sebal di dalam hati. Kenapa aku rasa macam Durani sedang menyindir aku?
Dia macam tak faham pula kedudukan kewangan aku sekarang. Mana mungkin aku
meminang dia buat masa ni.
“Dura tak malu ke jadi tunangan budak pam minyak? Awak tu
cikgu...”
“Eh, kerja tu halal ke haram? Halal kan? Jadi apa
masalahnya pulak?”
“Memanglah tak ada masalah. Tapi...”
“Tapi apa?”
Dia dah letakkan sudu dan garfu di tepi pinggan. Aku cuba
berlagak macam biasa. Apa-apa hal kena habiskan makan dulu. Sedap betul asam
pedas ni.
“Joe ni suka sangat merendah diri. Dura tak sukalah!
Berapa kali Dura nak cakap? Dura tak kisah semua tu...”
“Dura tak kisah. Tapi Joe kisah...”
Masih lagi dengan suara bersahaja. Padahal kaki dah
bergoyang-goyang di bawah meja sambil menahan bengang. Aku sayang dia. Ikutkan hati
mahu saja aku rompak bank. Lepas tu buat majlis kahwin yang kebaboom untuk Durani. Tak payah
tunang-tunang. Nikah terus. Tapi, berkat ke aku buat macam tu? Itu kerja gila
namanya.
“Okey, leave it.
Tak nak cakap lagilah benda ni. Joe berniaga tak malam ni?”
Aku mengangguk. Mata pandang tempat lain. Rasa sebal
masih belum hilang. Tapi sedikit terpujuk bila dia dah cuba ubah ke topik lain.
Aku bangun sekejap nak cuci tangan. Padahal tangan tak kotor pun. Saja nak cuci
muka sekali. Takut dia nampak mata aku yang dah berpasir.
“Malam nanti kita jumpa kat balairaya, ya. Dura kena
balik awal. Petang ni nak pergi sekolah kejap. Ada latihan sukan.”
“Okey...” Aku seluk dompet. Tapi Durani lebih pantas
bangun dan pergi ke kaunter. Aku biarkan saja. Tak apa. Besok aku pula bayar.
Begitulah kebiasaannya. Aku yang terlebih dahulu berjalan kembali ke stesen
minyak. Nak ambil motor. Selalunya aku akan naik kereta dengan Durani dan dia
hantar aku semula ke stesen minyak. Hari ni aku tak ada mood nak berbual
panjang. Dia pun nampak penat. Malam nanti sajalah kami sambung dating
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~ ~
“Mana orang ni Joe? Dari petang tadi, satu bundle pun tak habis lagi ni...”
Mazli buka tong putih, mengira bungkusan daging burger
yang masih ada. Tak perlu kira pun sebenarnya. Sejak petang tadi. Baru satu
keping saja daging ayam yang digunakan. Daging lembu, kambing dan arnab masih
tak berusik.
“Ni mesti ada yang tak mandi dari petang tadi. Sebab tu
tak ada orang datang beli burger...” Fauzi yang dari tadi leka memetik gitar
menyampuk perbualan.
Aku senyum nipis. Dah pukul tujuh setengah. Lagi setengah
jam pasti Durani akan lalu di sini. Aku perlahankan api dapur dan ambil kopiah
di dalam bakul motor.
“Aku pergi Maghrib kejap. Aku baca doa murah rezeki
panjang-panjang, ya. Manalah tahu lepas ni ramai yang datang beli burger, kan?”
Lemah betul kaki melangkah ke surau bersebelahan
balairaya. Kalau ikutkan badan yang penat ni, mahu saja aku berehat di rumah.
Tapi kalau aku tak buat kerja part time,
macam mana nak kumpul duit? Makin lambatlah aku dapat meminang Durani nanti.
Selesai solat, aku duduk sekejap di luar surau.
Memerhatikan gerai burger dari jauh. Mazli dan Fauzi masih bersenang-lenang di sana. Seorang leka dengan gitar, lagi seorang
berkepul-kepul asap rokok di mulut. Nak buat penghalau nyamuklah tu.
“Burger sebiji baru tiga ringgit setengah. Kalau dapat
jual sepuluh biji baru dapat tiga puluh lima ringgit. Bahagi kita... Adoi!
Bilalah nak kaya ni!”
Aku mengomel sorang-sorang. Serabut betullah. Apalagi
yang boleh aku buat untuk menambah pendapatan? Jual nasi lemak? Atau... jual karipap
frozen?
Aku mengekek ketawa. Ada ke jual karipap frozen? Tak sesuai! Aduh! Boleh biul aku
fikir pasal duit ni.
Telefon di dalam poket seluar berbunyi. Tapi cuma
sekejap. Serentak dengan itu aku bangun. Hilang tawa, berganti senyum. Segera
aku berlari ke balairaya. Bukakan lampu, buka tingkap dan susun kerusi di meja.
Tak lama kemudian terdengar bunyi kereta di luar. Duranilah tu.
“Budak-budak tak sampai lagi?” tanya Durani sambil
memunggah buku-buku di dalam kereta.
“Budak ni aje yang dah sampai cikgu.”
“Eleh, ini bukan budak. Ni bapak budak!”
Durani hempuk buku-buku yang dipegang ke dada aku.
Seronoknya dapat bergurau-senda dengan orang tersayang. Wangi betul dia malam
ni. Aduhai! Kalaulah boleh dibuat teman tidur... alangkah bahagianya.
“Kenapa lawa sangat malam ni sayang? Geram pulak Joe tengok.” Aku bawakan
buku-buku pelajar Durani ke dalam. Ini pun salah satu rutin yang dengan
sukarelanya aku buat sejak Durani mengajar tiusyen di balai raya itu.
“Hari-hari pun Dura lawa apa? Joe aje yang tak perasan.”
“Joe perasanlah sayang. Tapi malam ni lawanya lebih
sikit...” Tangan dah gatal nak menarik pipi gebu dia. Tapi Durani lebih pantas
melepuk tangan aku.
“Please behave
okay. Dura gigit nanti...”
“Gigitlah sayang.. Joe rela...”
Durani mengemam bibir. Aku suka menyakat dia. Suka tengok
muka dia kemerah-merahan menahan malu. Dia capai pembaris kayu di papan putih. Belum
sempat pembaris tu mendarat di punggung aku, terdengar suara budak-budak
memberi salam. Pelajar-pelajar Durani dah sampai. Kacau daun betullah!
“Joe, nanti buatkan tiga biji burger special. Abah dengan mak pesan tadi.
Kejap lagi Dura bayar, ya.”
“Eh, apa pulak nak bayar ni? Joe belanja.”
“Janganlah macam tu. Joe kan berniaga...”
“Ala... bukan selalu. Lagipun bila lagi nak ambil hati bakal
mertua, kan?”
Terdiam juga dia. Aku keluar dari situ dan terus ke
gerai. Kuali leper aku panaskan. Roti aku belah dua dan sapu mentega kemudian
letak di atas kuali leper. Sementara menunggu dapur panas, aku ambil daging di
dalam kotak putih.
“Joe...”
“Hmm...”
“Siapa order
burger tu?”
“Bakal orang rumah aku...” Aku sengih. Seronok pula bila
dapat menggelar Durani macam tu.
“Dia order burger
special...” Aku sambung lagi.
“Duit dah ambil?”
“Dah...”
Laju betul mulut aku berbohong. Mazli mengangguk puas
hati. Fauzi sambung main gitar. Aku tarik nafas lega. Lega sebab tak payah
bersoal-jawab lagi dengan Mazli. Tapi dalam kepala dah terbayang sesuatu.
Terbang lagilah duit poket aku malam ni. Durani... Oh Durani!.