Assalamualaikum kengkawan ! Hari ni mood sangat baik dan happy sebab buah hati - buah hati saya dah nak balik dan semua ahli keluarga saya akan berkumpul di rumah hari ni . So dengan happynya saya post kan Bab 3 dan Bab 4 untuk entri kali ni ... Harap semua berpuas hati ... Selamat datang pada pembaca baru dan terima kasih pada korang yang sentiasa dan masih memberi sokongan .
Saaaaaaaaayang korang ! Ummmmmuuuah !
Hati Seorang XXXL
BAB 3
Gee membelek
baju – baju yang tergantung sementara menunggu Lin mencuba baju di
dalam bilik persalinan . Tidak ada
sehelai pun baju yang menarik perhatiannya . Manakan tidak , semua pakaian di
dalam kedai itu bersaiz kecil . “ Kenapalah
tauke – tauke kedai ni tak buka banyak sikit kedai baju untuk orang yang
bersaiz besar . Diorang ni tak tahu ke kat Malaysia dah makin ramai orang yang
comel – comel macam aku ?” Gee mengomel sendiri . Dia menarik sehelai blaus
berwarna merah hati . Diacukan baju yang berpenyangkut itu ke badannya. Gee
senyum sendiri .
“
Itu saiz yang paling besar kak .”
Tiba – tiba suara pekerja kedai
menerpa ke telinga Gee . Pantas dia menyangkut semula blaus tersebut . “ Nak
tengok – tengok je , bukan nak beli pun.” Gee senyum sumbing . Bengang betul
dia apabila melihat senyuman sinis
pekerja kedai itu . Gee berjalan pantas menuju ke bilik persalinan . “
Lin ! Cepatlah sikit . Kau tidur ke kat dalam tu.” Gee memanggil sambil
mengetuk pintu bilik persalinan . Hatinya mula panas apabila pekerja kedai baju itu
asyik mengekorinya . “ Ada 2 helai lagi . Hang tunggu sat .” Lin membalas dari
dalam bilik persalinan . “ Aku keluar dululah . Panas kat sini . Nanti kalau
dah siap kau call aku .” ujar Gee . Dia keluar dari kedai tanpa menunggu
jawapan dari Lin .
Dia berjalan menyusuri kedai –
kedai lain . Kakinya melangkah masuk ke dalam Watson . Matanya memerhati barang – barang yang tersusun rapi
di atas rak . Tiada satu pun yang
menarik minatnya . Sebaik sahaja dia berada di bahagian kesihatan , seorang jurujual mula mengekorinya . Gee mengetap
bibir. Dia melajukan langkahnya untuk keluar dari kedai itu .
“ You cari apa kak ?” tanya
jurujual itu . Senyuman manis
dihadiahkan pada Gee. Gee Cuma tersenyum nipis. “ Tak ada apa- apa , saja
pusing – pusing tengok barang .” Gee
bersuara perlahan . “ Kak you nak cuba tak krim yang baru ada di pasaran ni .
Produk ni sangat laris sekarang tau kak. Kalau you guna krim ni …sapu kat
tempat yang banyak lemak , you boleh jadi kurus tau . You mahu cuba tak ? Saya
tolong you sapu kat tangan ya .”
jurujual itu sudah menarik tangan kanan Gee . Dia memicit sedikit krim yang
berwarna merah di hujung jari telunjuknya. Namun belum pun sempat dia
menyapukan krim itu di atas kulit Gee , telefon bimbit Gee berbunyi .
“ Sorry , maybe next time.” Pantas
Gee keluar dari kedai itu .
“ Hang duk tang mana ni Gee ? Aku
dah siap .” tanya Lin di hujung talian tanpa sempat Gee memulakan perbualan . “
Aku kat depan Watson ni !” jawab Gee agak kasar . Matanya menjeling ke arah
jurujual yang mengekorinya sebentar tadi
. “ Huh ! Macam dah tak ada benda lain nak promo kat aku .” Gerutu Gee . Mukanya semakin mencuka apabila
ternampak kelibat Lin yang tersengih lebar . “ Laaa .. ni awat muka macam
tertelan biji kundang ni ?” tanya Lin . Dia cuba menyaingi langkah Gee yang
semakin laju .
“ Kau tu …lama sangat duduk dalam
kedai tu apsal ? Rimaslah aku dengan
budak- budak dalam kedai tu.” Luah Gee . Sebalnya pada jurujual di
Watson tadi masih berbekas. Lin cuma mendiamkan diri . Dia tahu Gee tidak suka
masuk ke dalam kedai pakaian . Masalah utama yang Gee hadapi apabila memasuki
kedai pakaian adalah saiz baju yang dikehendaki tidak ada. Kalau ada pun ,
pasti ada yang tak kena . Bahagian lengan agak kecil , bahagian dada sendat
..macam – macam lagilah yang tak berkenan di mata Gee. “ Nak pergi mana lagi ni
?” Gee cuba meredakan suasana . “ Kita
pi beli barang dapur dulu , lepas tu kita pi Kedai Buku Popular . Boleh ?” Lin
memberi cadangan . “ Hmmmm.” Gee cuma mengangguk tanda setuju . Lin tersenyum
senang. Bukan susah nak memujuk kawan serumahnya itu. Kalau sebut tentang Kedai
Buku Popular pasti segalanya akan menjadi baik.
Ketika sedang membeli keperluan
dapur , kesabaran Gee diuji sekali lagi . Sewaktu dia melalui bahagian
makanan dalam tin , dia terlanggar barisan tin sardin yang disusun dalam bentuk
piramid . Tanpa mengutip semula tin – tin makanan yang bertaburan , Gee keluar
dari kedai . “ Awat hang pi langgar tin – tin sardin tu ? Tanya Lin ketika mereka berjalan keluar
menuju ke kedai buku . “ Bukan aku yang langgar , orang kedai tu yang bodoh
pergi susun tin – tin tu kat tengah – tengah dunia kenapa ? Itu sebablah aku
tak suka masuk kedai- kedai kecil ni . Aku ajak kau shopping barang dapur
kat tempat lain kau tak nak . Sekarang
satu apa pun tak beli .” sungut Gee . Muncungnya semakin memanjang . Lin hanya
mendiamkan diri . Jika dilayan , pasti bebelan Gee akan berpanjangan .
“ Tak pe lah . Nanti on the way
balik kita singgah kat Bandar Tun Razak , biar aku je turun beli barang dapur ,
hang tunggu dalam kereta . Puas hati ?” Lin mengusulkan . “ Tengoklah nanti ,
aku dah makin tak ada mood ni . Ikutkan hati aku nak balik je .” Gee melajukan langkah . Terdengar dengusan nafas kasarnya mengikut henjutan langkahnya . " Kita pi kedai buku jom . Hang janganlah macam ni Gee . Bukan selalu kita dapat keluar sama - sama .Senyum sikit ..hang buat muka macam anak singa ni , takut aku nak jalan dengan hang ." Lin memegang lengan Gee . " Banyaklah hang punya anak singa ! Ni anak singa dah lapar ni ! Jom cepat , nanti buku dengan kau , dua - dua sekali aku ngap!" Gee tergelak kecil apabila Lin cuba mengusap dadanya . Lagaknya seperti ingin meredakan kemarahan Gee .
Seperti
yang dirancang , mereka berdua telah menghabiskan masa hampir satu jam di dalam
Kedai Buku Popular . Gee leka dengan novel – novel manakala Lin asyik dengan
majalah – majalah kegemarannya. Mereka berdua seolah hanyut ke alam lain bila
dapat peluang untuk membelek bahan bacaan kegemaran mereka . Gee duduk
berlunjur di satu sudut dengan beberapa buah naskhah novel di sisinya . Dia
gemar membaca membelek dan membaca sinopsis novel- novel
itu sebelum memutuskan untuk membeli .
Gee hanya tersenyum nipis apabila ada beberapa pengunjung yang melihat dia
dalam keadaan begitu . Tapi dia langsung tak kisah kerana memang itulah keadaan
ulat buku apabila dapat masuk ke sarangnya. Gee baru selesai membelek novel
yang keempat apabila gajet sebesar buku tiga lima miliknya mendendangkan lagu
Sayang dari Shae.
“ Gee , hang dah sudah ka ?” Suara
teman serumahnya dari utara itu kedengaran di hujung talian.“ Ada 3 lagi .
Kenapa ? Dah nak balik ke?” Gee memerhatikan sekeliling . Matanya cuba mencari
kelibat Lin di celah rak – rak buku di dalam kedai itu .“ Errr.. Gee . Aku dah siap beli . Tapi ada benda lain
aku nak habaq ni.” Suara Lin kedengaran mendatar.
“ Apa ?” Gee bertanya
ringkas. Dia bangun dari silanya dan menyapu punggung seluar yang agak
berhabuk. Kemudian dia mengambil semua novel yang telah dipilih tadi.
“ Shauki ada kat sini. Dia baru sampai.” Terang Lin
. Gee mengetap lembut bibirnya . Fahamlah dia akan maksud Lin . Dia pasti Lin
akan keluar dengan buah hatinya .“ Kalau kau nak keluar dengan dia , pergilah.
Tapi jangan balik lewat.” pesan Gee . “
Hang tak kisah kah Gee ? Nanti bawa kereta elok – elok ya.” Lin mendapatkan
kepastian dari Gee sekaligus menitipkan pesan.“ Sebelum aku tukar fikiran baik
kau pergi sekarang .” Gee terus mematikan talian tanpa menunggu jawapan dari
Lin .
Semasa
kakinya melangkah ke kaunter pembayaran , dia ternampak Lin dan Shauki yang
berjalan beriringan keluar dari Kedai Buku Popular . Gee menghela nafas berat .
Perhubungan Lin dan Shauki sudah setahun terjalin . Namun sudah lumrah sebuah
perhubungan pasti ada pasang surutnya . Lin seorang gadis yang periang dan banyak
mulut sementara Shauki pula lelaki yang pendiam dan lebih banyak memerhati
.Setiap kali ada perang dingin yang berlaku antara mereka , pasti Gee yang akan
bertindak sebagai orang tengah .
“
Semua sekali RM 84.30 cik.”
Gee kembali ke dunia nyata apabila
mendengar suara juruwang. Selesai membuat bayaran , Gee keluar dari kedai dan
langkah seterusnya yang berada dalam kepala sekarang adalah pulang ke rumah.
Ketika kakinya melangkah keluar dari kedai, telefon bimbit Gee menjerit – jerit lagi
minta diangkat .
“ Assalamualaikum mak .” Gee
melajukan langkahnya sebaik sahaja memberi salam . Dia melabuhkan punggungnya
di sebelah patung besar MacDonalds . Pendengarannya ditumpukan pada suara
ibunya di hujung talian . Perbualan hanya berkisar pada bertanya khabar dan
bercerita tentang aktiviti seharian antara ibu dan anak itu . Sehinggalah pada
saat Puan Fera , ibu Gee mengingatkan Gee akan sesuatu …
“ Kau jangan lupa balik minggu
depan tau . Mak Uda kau banyak kali pesan pada mak suruh kau balik.” “ Alaaa…
orang malaslah nak balik mak. Lagipun bertunang je. Bukan nikah pun.” Gee
merengus kasar . “ Memanglah bertunang
je. Tapi kau dengan si Weeda tu kan rapat. Nanti apa pulak kata dia bila
kau tak ada . Lagipun Mak Uda kau cakap tak ada orang nak temankan
dia masa sarung cincin nanti.”
“ Adik – adik dia kan ramai . Mengada – ngadalah
pulak nak berteman bagai.” Suara Gee agak tinggi melawan suara muzik yang agak
kuat dari kedai barangan audio.“ Kau balik je lah . Jangan nak bagi alasan lagi
eh .Baju kau pun mak dah siap jahit. Balik tau.” Pujuk ibunya .
“
Hmmm …yelah ..yelah ..orang baliklah
nanti . Ok lah mak ..orang nak balik rumah dah ni .Nanti kita sembang lagi ya .
Bye.” Gee mematikan talian usai menjawab salam dari ibunya . Dia bingkas
meninggalkan bangku kayu lalu menuju ke tempat letak kereta . Dia ingin segera
pulang ke rumah . Badannya yang berpeluh dan sudah mengeluarkan bau yang kurang
enak sudah minta disegarkan .
Hati Seorang XXXL
BAB 4
Mengingatkan perbualan dengan ibunya dua hari lepas
membuatkan moodnya untuk membaca novel terus
mati . Kalau boleh dia tidak mahu melibatkan diri dalam majlis pertunangan
sepupunya itu. Dia rimas apabila diasak dengan soalan –soalan yang boleh
membuatkan telinganya berasap .Gee membuka almari dan mengeluarkan beg pakaiannya . Beberapa
helai baju dikeluarkan dari perut almari lalu disumbatkan ke dalam beg pakaian
yang bersaiz sederhana itu . Dia lebih suka melakukan persiapan awal .
Tambahan pula dia bercadang untuk terus pulang ke kampung sebaik selesai waktu
kerja esok .
Tok ! Tok !
Belum sempat Gee memberi izin ,
daun pintu sudah dikuak oleh Lin. Dia tersengih melihat Gee yang menjeling
. Itulah satu – satunya tabiat buruk Lin yang
sukar dikikis. Gee menarik beg pakaiannya ke tepi katil untuk memberi
ruang pada Lin . Dia menyambung kerjanya semula . Keadaan bilik agak senyap
untuk beberapa ketika. Lin hanya memerhatikan Gee mengenakan zip pada beg
pakaian yang sudah siap disumbatkan dengan pakaian gadis itu .“ Bila hang nak balik ?” tanya Lin
. Dia menyilangkan kakinya di atas katil kelamin Gee.“ Besok lepas kerja.”
jawab Gee . Dia menuju ke almari solek pula dan menarik kerusi .
Sebaik menghenyakkan punggung ,
tiba-tiba Lin bersuara…
“ Aku nak ikut hang balik kampung
boleh tak ?” tanya Lin . Matanya dibesarkan sedikit bagi menunjukkan
kesungguhan kata – katanya. Berkerut dahi Gee mendengar permintaan Lin . Memang
Lin selalu mengikutnya pulang ke kampung . Tapi itu dahulu , ketika mereka
masih belajar. Sejak mereka bekerja , Lin tidak pernah lagi mengikut Gee pulang
ke kampung .
“ Betul ke ni ? Tiba – tiba je nak
ikut aku balik kampung . Aku bukan balik saja tau . Sepupu aku bertunang besok
.” Gee mengingatkan Lin akan tujuannya pulang ke kampung pada esok hari .“ Aku
taulah dia bertunang esok . Sebab tu lah aku nak ikut hang .” Lin mengeraskan
sedikit suaranya . “ Lagipun aku dah lama tak jumpa mak dengan adik – adik
hang.” Dia menyambung lagi . Matanya memandang tepat ke dalam anak mata Gee .
“ Oklah , tapi kau bawa baju yang
elok sikit . Jangan malukan aku kat majlis orang nanti.” Gee mengingatkan
sambil menghadiahkan sebuah senyuman pada Lin . “ Tang tu hang jangan risaulah.
Silap –silap hari bulan , aku yang lebih
segak dari sepupu hang ! ha ha ha .” berderai tawa Lin. Gee juga turut ketawa.
Jauh di sudut hatinya berasa agak lega apabila Lin sudi menemankan dia pulang
ke kampung nanti.
Keesokkan harinya ….
“ Lin , aku rasa tak sedap hatilah .”
Gee menancapkan matanya ke arah jalanraya yang agak sibuk pada lewat petang itu . Kereta mereka
sedang menuju ke arah Lebuhraya Utara Selatan . Lin memperlahankan suara radio
. Dia memandang Gee yang sedang memandu dengan kelajuan yang sederhana .
Diperhatikan riak muka Gee yang agak keruh . “ Awat ? Ada benda tinggal ka ?”
tanya Lin . Gee hanya menggeleng . “ Habis tu , apa? Hang jangan buat aku cemas
Gee .” Lin mengingatkan . “ Entahlah , aku rasa dada aku ni berdebar – debar je
dari tadi .” Gee cuba menjelaskan pada Lin .
Namun tak semena – mena Lin pula
tersenyum lebar. Gee menoleh seketika apabila menyedari perubahan wajah Lin .“
Kau jangan sengih lebar – lebar camtu time Maghrib ni boleh tak ? Aku
tinggalkan kau kat tepi highway ni kang .” Gee menepuk kuat peha Lin . Namun
senyuman Lin masih tidak lekang . “ Entah – entah , ada orang nak pinang hang
sekali kot . Sabit tu lah mak hang beria – ria suruh hang balik!” Lin ketawa
mengekek . Dia merapatkan badannya ke tepi pintu apabila Gee cuba mencari
bahunya sebagai sasaran . “ Woi ! Hang bawa kereta ni elok – elok. Kang tak
sampai rumah , kot sampai hospital kang.” Lin mengingatkan Gee. Gee kembali
menggenggam stereng kereta dengan kedua – dua belah tangannya.Wajahnya masih
keruh tanpa menampakkan tanda- tanda kejernihan.
“ Cuba hang banyak – banyak selawat
, jangan fikir yang bukan – bukan. Inshaa Allah tak ada apa-apa yang berlaku
.Kalau tak pun macam ni . Sat lagi kita berhenti kat mana – mana R&R , kita
solat dulu .” usulan Lin dibalas dengan anggukkan.
Mereka
tiba di rumah keluarga Gee tepat jam 12 tengah malam . Walaupun badan terasa
lesu kerana mengharungi waktu perjalanan yang agak lama , namun mereka
bersyukur kerana tiada kejadian buruk yang berlaku disepanjang perjalanan tadi
. Gee memerhatikan halaman rumah ibunya yang sudah beberapa bulan ditinggalkan
. Kali terakhir dia pulang ke kampung adalah pada Hari Raya Aidiladha yang
lepas. Simbahan cahaya bulan yang menerangi halaman rumah ibunya memudahkan
mereka melihat keadaan sekeliling . Beberapa ketika kemudian kedengaran suara
budak perempuan dari dalam rumah .
“ Mak , angah dah sampai !”
Garaj kereta yang tadinya hanya
diterangi dengan cahaya bulan , kini dilimpahi dengan cahaya lampu yang baru
dihidupkan . “ Lin …. Lin… bangun . Dah sampai .” Gee mengejutkan Lin yang
terlentok di kerusi sebelah pemandu . Dia tersentak sambil memusingkan kepalanya
ke kiri dan kanan . “ Dah sampai rumah hang ka Gee ?” tanya Lin sambil
membetulkan hijabnya yang senget . “Belum sampai lagi . Ni kat R&R Kampung
Pasir Putih .” Gee tersengih melihat Lin menjuihkan bibirnya . “ Kau ni poyolah
… tadi bukan main lagi kata nak temankan aku . Sudahnya kau bantai membuta !”
Gee ketawa kecil . Dia membuka pintu di belakang pemandu untuk mengambil beg pakaiannya . “ Mana pulak aku
membuta … aku terlelap je.” Lin membela diri . Dia mengeliat panjang sebaik
keluar dari perut kereta .
“ Dah sampai pun orang jauh ni .
Kenapa lewat sangat ? Jalan jem ke ? Dah makan ? Eh ! ni Lin kan ? Mak oiiiiii
! Lamanya tak jumpa budak bertuah ni …apa khabar ?” Sambil berjalan keluar dari
rumah menuju ke garaj kereta , ibu Gee sudah mula menceceh memecah kesunyian malam . Gee masih sibuk
mengeluarkan beg – beg pakaian dari dalam perut kereta. Dia membiarkan Lin
meladeni ibunya . Lin juga tidak kekok dengan ibu Gee sementelahan pula mereka
pernah berjumpa dulu .
Beberapa ketika kemudian
kelihatan Daffa , adik bongsu Gee
bersama adik ketiganya Basyitah . Mereka mendapatkan Gee dan membantu kakak
keduanya itu mengangkat beg – beg pakaian . “ Kau berdua je yang perasaan angah wujud kat sini . Mak tu kalau dah berborak bukannya sedar yang
angah ni dah lama terpacak depan dia .”
Gee sengaja menarik perhatian ibunya . “ Kau tak payahlah nak merajuk budak
debab ! Dari jauh lagi mak dah tau kau nak sampai . Dah ..jom masuk . Kita
sambung kat dalam . Korang berdua ni dah makan ke belum ?” Ibu Gee menyambut
huluran tangan Gee . Satu cubitan manja singgah di pipi mongel Gee .Dia
tersengih riang .
“ Belum .” jawab Gee . “Dah .”
jawab Lin pula .
Kedua – dua gadis itu berpandangan
. Kening mereka terangkat . Tawa berderai apabila menyedari ketidaksamaan
jawapan yang mereka berikan . “ Tadi dah mak ..masa kat Machap .. Sekarang
belum ..he he he “ jawab Gee . “ Lin dah makan mak . Tapi kalau nak second
round pun masih ok lagi ni ..he he he .” seloroh Lin pula .Puan Fera hanya
menggeleng – gelengkan kepala . Senang hatinya melihat kemesraan dua sahabat
karib itu .