Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

June 14, 2013

Siapa panggil Gee ?

Assalamualaikum kengkawan ... 
Ramai yang tanya kenapa BAB 7 ( IZINKAN AKU BAHAGIA ) masih belum  keluar?
Kengkawan , kat sana ramai penulis - penulis baru macam saya yang sedang menanti giliran novel  mereka dikeluarkan untuk bacaan umum . Jadi , sila sabar menunggu ya . Sikit hari lagi adalah sambungan cerita Si Fatin dan Kamal tu  .. he he he.
Apa2 pun terima kasih kerana sudi menjengah  ke sana dan blogwalking kat sini ..
Keprihatinan korang amat - amat  dihargai.. Ummmmmmuuah .

So , sementara menunggu  , jom kita layan Si Montel kat sini ya .. 

Happy reading !!!!


Hati Seorang XXXL

BAB 6


          Gee membetulkan kedudukan selendang Weeda yang  senget . Sudah beberapa  kali Weeda membelek wajah sendiri di cermin . Sehinggakan Lin dan Gee naik rimas dengan telatahnya yang tak tahu duduk diam . “ Cuba kau duduk  elok – elok sikit Weeda . Dah macam ulat beluncas pulak aku tengok .” Arah Gee dengan nada keras . Weeda memandang Gee yang bercekak pinggang .

        “ Aku  tengah cemas ni ..  kau tau apa ? Kau tak tahu macam mana rasa orang nak bertunang ni . Eh , ok tak mekap aku ni? Kenapa lambat sangat pihak lelaki nak sampai ni ? Cairlah mekap aku nanti …” Rungut Weeda . Dia menekap span nipis di atas hidungnya yang berpeluh . Lin mengetap bibir . Geram hatinya melihat perangai Weeda . Tapi dia lebih kasihankan Gee . Dia tahu rakannya itu terasa dengan kata – kata Weeda sebentar tadi.

      “ Hish ! Tak seronok pula rasanya duduk diam je kat dalam bilik ni . Gee , mai kita pi  tolong apa- apa yang patut kat dapur .” Ajak Lin seraya menarik tangan Gee  untuk keluar dari bilik . “ Ala… semuanya dah siap  . Lagipun ramai yang menolong kat dapur tu . Kalau setakat kau berdua tak menolong , semua makanan tu masih boleh dihidang lagi lah .” ujar Weeda agak kasar .  “ Kau berdua duduk je kat dalam bilik ni temankan aku . Bukannya kena bayar pun .” sambung Weeda lagi .

      “ Kalau kena bayar pun kami sangguplah , asalkan dapat keluar dari bilik ni . Mulut hang tu bising sangat !” Lin melepaskan rasa sebalnya . Gee hanya tersenyum melihat Lin dan Weeda bertikam lidah . Dia berlutut di hujung katil sambil membetulkan kedudukan dulang – dulang hantaran  di atas katil kelamin milik Weeda. Ada tujuh dulang kesemuanya . Hantaran – hantaran itu telah digubah oleh ibu Gee . Gee duduk bersandar  di dinding bilik Weeda selepas puas hati dengan susunan hantaran – hantaran di atas katil. Dia melelapkan matanya .

          Senyap je kawan kita ni … awat ?” Lin melihat  Gee yang tersenyum hambar . “ Aku mengantuklah .” jawab Gee pendek . Dia menguap luas . “ Hang ni tak ada kerja lain . Nak membuta je !” Lin menepuk bahu Gee . Weeda ketawa mengekek melihat wajah Gee yang masam mencuka . “ Oiii! Penat  drive tak hilang lagi tau . Kau tu lainlah , sedap membuta dalam kereta .” Gee membela diri . Dia melentokkan kepala di hujung katil beralaskan lengannya . “ Hang tidoqlah dulu . Dah sampai tetamu nanti aku kejutkan hang .” Lin merendahkan ton suaranya . Dia maklum Gee memang tidak cukup rehat . Malam tadi Gee lewat tidur kerana berbual – bual dengan adik- adiknya . Sedangkan Lin lebih awal masuk ke bilik untuk meluruskan pinggang . Dia melabuhkan punggungnya di sebelah Gee.

“ Weeda , apa nama bakal suami hang ?” Tanya Lin .

        Weeda tersenyum lebar mendengar pertanyaan Lin . Dia memandang Gee yang sudah melelapkan mata . “ Kau tanyalah Gee … dia kenal .” Weeda menjuihkan bibirnya pada Gee . Gadis montel  yang berbaju kurung hijau polos itu mencelikkan mata. Terbantut niatnya untuk melelapkan mata sebentar . “ Aku kenal  ? Siapa Weeda ?” Gee mengemaskan silanya . “ Hmmmm … tunggulah .. kejap lagi dia datang.” Weeda tersengih lebar . Gee dan Lin berpandangan . “ Awat yang rahsia sangat ? Tak boleh bagi clue sikit ke ?” Lin menjeling Weeda dengan wajah yang cemberut . Jengkel sungguh hatinya melihat perangai Weeda .

             “ Angah ! Ooooo Angah !” terdengar laungan Daffa di luar rumah . Gee bingkas bangun . Dia dan Lin menjenguk ke luar rumah melalui tingkap . “ Angah , mak suruh alihkan kereta . Bawa masuk dalam garaj . Kejap lagi pihak lelaki datang takut tak ada tempat nak parking !” Jerit Daffa lagi . Berpeluh – peluh muka kanak – kanak berusia 10 tahun itu . Tanpa menunggu jawapan dari Gee , dia berlari menyertai rakan – rakan seusianya bermain di bawah pokok manggis .

“ Hang duduk sini , biaq aku tolong alihkan .” Lin menawarkan diri untuk mengalihkan kereta Gee . “ Eh ! Kau duduk sini temankan Weeda . Biar  aku yang alihkan . Aku nak basuh muka sekali .” Gee  menolak bahu Lin hingga gadis itu terduduk kembali . Dia menarik daun pintu dan membebaskan dirinya dari bilik Weeda .

“ Oh … ada rupa – rupanya budak sihat ni . Bila sampai ?”

           Gee tersentak . Dia cuba mengukir senyum semanis mungkin . “ Malam tadi Mak Andak . Balik dengan kawan .” Gee menghulurkan tangan dan bersalam dengan ibu saudaranya . Dia memandang sekilas para tetamu yang memenuhi ruang tengah rumah Weeda . Semua mata sedang memandang ke arahnya . “ Balik dengan kawan ? Lelaki ke perempuan ?”  tanya ibu saudaranya lagi . Dia memegang tangan kiri Gee dan ditepuk – tepuknya perlahan . “ Perempuanlah Mak Andak . Mana ada kawan lelaki .” Gee tersenyum nipis . Dalam kepalanya ligat mencari ayat yang sesuai untuk segera beredar dari situ .

            “ Kalau kawan lelaki pun apa salahnya . Kamu pun bukannya muda lagi . Si Weeda tu pun dah nak bertunang .  Herni pun dah nak masuk 3 anaknya . Kau orang bertiga sebaya kan . Ha …tengok .  Tinggal kamu je lagi . Tak ada calon ke ? Kalau tak ada Mak Andak boleh carikan .. He he he .” Seloroh Mak Andak disambut dengan hilai tawa yang lain . Muka Gee terasa panas . Senyumannya kelihatan canggung . “ Minta diri kejap Mak Andak , nak pergi alihkan kereta .” Gee membongkokkan badannya sedikit dan cuba meloloskan dirinya di celahan tetamu yang duduk .

                “ Hish ! Tak ada topik lain nak cakap ke ? Balik – balik pasal kahwin . Rimas betul !” Gee mendengus kasar . Kakinya sengaja dihentakkan tanda protes . “ Aku dah cakap . Malas balik kampung . Bila jumpa sedara – mara ini sajalah topiknya. Menyampah betul. Kau nak bertunang ke nak beranak ke … kau punya pasallah! Ada aku kisah ? Ada aku menyusahkan hidup kau ? Bukannya aku minta laki  kau  . Suka hati akulah nak jadi anak dara tua ke … nak jadi janda ke … apa kau sibuk ?”  Termengah – mengah Gee menyambung bebelan . Diangkat kain baju kurungnya hingga ke paras lutut bagi memudahkan dia melebarkan langkah . Dia menekan punat alat kawalan jauh .  Dihempas pintu keretanya sekuat hati sebaik saja dia masuk ke dalam perut kereta . Dadanya turun naik . Kedua – dua tangannya menggenggam stereng kereta sekuat hati . Gee cuba mengatur semula pernafasannya .

             “ Arghhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhhh !” Gee melepaskan amarahnya . Kemudian  dia memejamkan matanya rapat – rapat . Mujur tingkap keretanya bertutup  . Kalau tidak pasti jeritannya  boleh didengari . Beberapa minit kemudian , Gee kembali tenang . Dia memulas kunci kereta di leher stereng . Pedal minyak dipijak berulang kali sebaik sahaja enjin kereta dihidupkan .Tangan kiri Gee memegang kepala gear . Dia memandang cermin pandang belakang sebelum menurunkan brek tangan .

“ Hoi !”

Enjin kereta mati tiba-tiba . Gee tergamam . Dia memandang keluar . Mencari suara yang menyergahnya tadi .

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~

Siapa pulak yang sergah Gee tu ya ? Jom kita sambung baca lagi .. Hari ni mood tengah ok . So kasi up  dua bab sekali dalam satu entri . Semuanya hanya untuk korang ... :)

Hati Seorang XXXL

BAB 7

.


“ Reyhan ?” 

Gee memandang pemuda yang seusia dengannya itu dari atas ke bawah .

“ Alhamdulillah , kau kenal aku lagi rupanya . Aku ingatkan dah hilang ingatan lepas menjerit dalam kereta tadi .” Pemuda itu ketawa berdekah – dekah.  “ Eeee ..kelakar sangat ke ?” Gee menjuih bibir . “ Kau buat apa kat sini ?” tanya Gee .

Setelah 12 tahun , dia bersua kembali dengan bekas teman sekelasnya . Sepatutnya dia berasa gembira dengan pertemuan  itu . Tapi  tidak  . Telah lama dia meluputkan wajah pemuda itu dari ruang fikirannya . Sabungan mata Reyhan  membuatkan Gee terpaku . Jawapan yang ditunggu masih belum keluar dari mulut Reyhan . Reyhan tersenyum nakal . Matanya menyorot susuk tubuh Gee dari atas ke bawah .

“ Apahal kau pandang aku macam tu ? Tak pernah tengok perempuan ke ?” Gee menekan butang alat kawalan jauh .Terbantut  niatnya untuk mengalihkan kereta ke dalam garaj . Dia mula melangkah menuju ke rumah Weeda . “ Gee ! Alaaaa… relakslah dulu .Yang kau nak mengelak dari aku ni kenapa ? Masih ada rasakah ?” Reyhan mendekati Gee . Dia ketawa mengekek melihat Gee yang kelihatan resah . “ Kau ni …masih sama macam dululah Gee . Dari suara sampailah ke saiz badan kau . Masih maintain ! Geram pulak aku tengok kau  . He he he !” Reyhan berjalan perlahan – lahan mengelilingi Gee .

Gee cuba mengawal ritma jantungnya . Kenangan lama seakan cuba diulang tayang di petak mindanya ketika itu . Pandangannya ditundukkan ke tanah . “ Kau buat apa kat sini Reyhan ?” Gee mengulang kembali soalan yang masih belum berjawab tadi . Dia rimas dengan kelakuan Reyhan . “ Kalau tak ada apa – apa nak cakap , aku  blah lah . Weeda dah tunggu tu .” Gee membuka langkah laju meninggalkan Reyhan . Tidak diendahkan panggilan Reyhan . Sampai saja di pintu dapur rumah Weeda , Gee menoleh ke belakang . Reyhan sudah tiada lagi di situ. Panjang leher Gee mencari Reyhan .

  Apa dia buat kat sini eh ?” Gee berkata – kata sendiri . Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal . Kehadiran Reyhan menimbulkan tanda tanya . Gee memerah otaknya mencari jawapan sendiri . Tiba – tiba dia teringatkan Weeda . Reaksi Weeda pagi tadi ketika ditanya mengenai bakal suaminya  mengingatkan Gee pada Reyhan .  “ Jangan – jangan ….” Gee tidak mampu menyudahkan kata – katanya sendiri .
“ Laaa…kau buat apa termenung kat depan pintu ni Gee . Menghalang jalan orang ! Pergi temankan Weeda tu . Pihak lelaki dah sampai .” suruh Mak Uda . Gee tersenyum kelat . Dia melajukan langkahnya menuju ke bilik Weeda .

“ Rombongan pihak lelaki dah sampai .” ujar Gee sebaik saja masuk ke bilik Weeda . “ Tau dah …” jawab Lin ringkas . Dia duduk berlunjur di hadapan Weeda . “ Cepatlah selesai majlis ni . Lenguh dah pinggang aku duduk  melengung je dalam bilik ni .” Lin mengeluh . Weeda yang sedang menyapu losyen di tangan hanya tersenyum . “ Ala ..bukan selalu korang nak temankan aku .Sekali seumur hidup je .Lagi pun bagus juga korang temankan aku ni. Manalah tau kan , kot aura pengantin aku ni melekat kat korang . Cepat dapat jodoh lepas ni . He he .” Weeda tertawa kecil . Lin dan Gee berpandangan . Tak kuasa nak melayan perangai Weeda yang  suka lepas cakap .

“ Tadi aku jumpa Reyhan  .” Gee memandang Lin . “ Siapa Reyhan ?” tanya Lin . “ Kau jumpa Reyhan ? Dia dah sampai ya ?” soal Weeda dengan nada yang ceria . Dia terjengah – jengah ke luar  jendela . Gee dan Lin berpandangan untuk kesekian kalinya .Weeda mencapai telefon genggamnya . Laju jemarinya menolak-nolak skrin . Kemudian ditekapnya  gajet selebar tapak tangan itu di telinga .

“ Hello Bee .. you dah sampai ya ?” tubuh Weeda meliuk lentuk seiring dengan suaranya . Dia tersenyum lebar memandang Gee dan Lin . “ I dengan Gee ni . Dia temankan I kat dalam bilik ni .. Bee.. I nervouslah ..” Weeda menghentak – hentak lembut kakinya . Lin mencebik . Geli – geleman dia melihat kegedikan Weeda . Dia bangun dan menarik tangan Gee untuk bangun sekali . “ Gee , mai kita duduk kat luaq . Panaslah ramai –ramai kat dalam ni . Lagipun dia dah nak sarung cincin dah tu . Kita ni dah tak perlu pada dia .” sengaja Lin menguatkan suaranya untuk menarik perhatian Weeda .

“ Eh ..korang dah nak keluar ke ? Hmmm .. pergilah . Tapi nanti jangan lupa angkat hantaran ni ke luar ya . Lepas tu barang hantaran dari pihak lelaki bawa masuk dalam .” arah Weeda. Sebelah tangannya masih melekap di telinga . “ Belum masa nak tukar – tukar hantaran lagi Weeda oiiii ! Nanti pandai – pandailah diorang nak bawa masuk sendiri hantaran tu ke dalam . Aku balik dululah . Mengantuk . Malam nanti dah nak balik KL .Tahniah ya . Selamat Bertunang .” Gee menarik tangan kanan Weeda yang masih melekap di telinga lalu digoncang kuat .Lin pula hanya menyentuh hujung jari sepupu Gee yang gedik itu .

“ Nak ke mana tu ? Gee … Lin ..siapa temankan Weeda ?” tanya  Puan Fera . Mereka berselisih di dapur. “ Tak ada siapa pun yang temankan dia mak . Orang nak baliklah mak . Mengantuk .” Gee menggaru belakang kepalanya . Dia ingin segera beredar dari situ . Lin sudah berada di luar rumah . “ Ya Allah budak ni . Majlis belum selesai lagi dia sibuk nak balik pula. Pergilah temankan Weeda tu . Nanti bising Mak Uda kau .” arah Puan Fera . Matanya memerhatikan sekeliling . Bimbang kalau –kalau adiknya Izan menyedari anak daranya dibiarkan keseorangan di dalam bilik .
“ Alah mak .. ramai lagi yang boleh temankan dia kat dalam bilik tu . Anak – anak Mak Andak kan ada . Panaslah duduk dalam bilik tu ramai – ramai. Orang betul – betul mengantuk ni . Malam tadi dah tidur lewat . Nanti kejap lagi nak balik KL pulak .Orang dah tengok bakal suami Weeda tu . Dah lah ..nak tunggu apa lagi ? Orang balik eh ..” rengek Gee . Puan Fera menggeleng – gelengkan kepalanya apabila melihat Gee melangkah laju keluar melalui pintu belakang .
“ Tak nak makan dulu ke ?” laungnya lagi . Lin dan Gee menoleh serentak. “ Mak bawa balik je lah .” jawab Gee . “ Bawa lebih sikit mak … he he .” sampuk Lin pula . Puan Fera mencekak pinggang .” Amboi ! Suka hati je nak suruh aku tapau ya . Budak bertuah!” jeritan Puan Fera dibalas dengan hilaian tawa kedua-dua anak dara itu .

“ Gee !” terdengar suara memanggil  Gee .

Mata mereka meliar mencari suara yang memanggil tadi . Lin menepuk bahu Gee . Gee menoleh sebentar pada Lin sebelum pandangannya dihalakan ke arah yang ditunjukkan oleh Lin . Gee melepaskan helaan kasar .

“ Hang kenai dia ke Gee ?” Tanya Lin . “ Hmmm ..” Guman Gee . “ Itulah bakal suami Weeda .” Jawab Gee perlahan . “ Oooo… awat dia cari hang ?” Tanya Lin lagi . Suaranya lebih perlahan dari tadi . “ Kenal sangat!” Jawab Gee agak kasar . Mata mereka masih tidak lepas dari Reyhan yang semakin menghampiri .

“ Kau nak apa lagi ni Reyhan ? Majlis kau kat sebelah sanalah . Bukan kat sini !” Gee mendengus kasar . “ Aku tahulah majlisnya kat sebelah sana . Aku cuma nak minta nombor telefon kau je . Manalah tau kalau – kalau aku tersesat kat KL ke , boleh aku calling calling kau . Kita gi ngeteh . Lagipun dah lama tak sembang dengan kau .” Reyhan mengeluarkan telefon bimbitnya dari poket seluar.
“ Bagi nombor phone kau . Aku buat missed call . Nanti kau save nombor phone aku ye .” Ujar Reyhan lagi . Jemarinya sudah bersedia untuk menekan . Tapi Gee langsung tidak memberi tindak balas . Dia memandang Reyhan tanpa kerdipan . “Apsal tenung aku macam tu ? Aku tahulah aku ni hensem , he he he .” Seloroh Reyhan .

Gee masih juga seperti tadi . Tidak berkutik langsung . Lin mengerling Gee . Dia dapat melihat takungan air di dalam mata Gee . Dia menarik lembut hujung lengan baju kurung Gee . Tapi gadis itu masih mematung . “ Kau tak payahlah nak berbaik – baik dengan aku . Walaupun dah dua belas tahun , aku masih ingat lagi kata – kata kau Reyhan .” Akhirnya Gee bersuara .

“ Errrrr… aku masuk dalam ya .” Lin cuba meninggalkan Gee dan Reyhan . Namun Gee lebih pantas menangkap lengan Lin . Fahamlah Lin bahawa Gee mahu dia terus berada di situ .

“ Itu kan cerita lama . Cerita zaman budak – budak . Sekarang ni masing – masing dah besar . Dah matang . Tak salahkan kalau kita masih  berkawan .” Suara Reyhan mengendur.

“ Aku tak layak berkawan dengan kau . Aku ni gemuk . Papa kedana kalau sesiapa yang berkawan dengan aku . Cuma orang yang cantik dan kurus macam Weeda je yang layak berkawan kau . Bukan tu ke yang kau cakap dulu ? Dahlah Reyhan . Kau tu dah jadi tunang orang . Kau jagalah tunang kau tu baik – baik . Jangan bagi badan dia kembang macam badan aku . Selamat bertunang .” Gee menarik Lin masuk ke dalan rumah sebaik sahaja selesai berkata – kata .

Tinggal Reyhan yang masih terpaku di situ . “ Kau masih marahkan aku rupa- rupanya Gee .” Reyhan meraup wajahnya dan berlalu meninggalkan perkarangan rumah Gee .
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
           
          “ Hang tak pernah cerita kat aku pun pasal Reyhan .” Lin memulakan bicara setelah lima belas minit perjalanan pulang ke Kuala Lumpur hanya ditemani suara radio . “ Tak penting pun . Nak buat apa cerita .” Jawab Gee pendek . “ Hmmmm… ada apa- apa yang hang nak share dengan aku ?” Lin cuba memancing Gee untuk  membuka cerita lama tentang tunang Weeda itu .
           
           “ Tak .”jawab Gee dengan nada yang tegas . Gee mengemaskan pegangan stereng kereta. “ Kau tidur je lah Lin! Menceceh je dari tadi. Aku nak drive pun tak senang .” Gee menguatkan suara radio .  “ Elleh ! Time aku ajak bersembang  , hang suruh aku tidoq . Nanti bila aku tidoq , hang kata aku asyik membuta pulak !” ujar Lin pula . “ Boleh nak bersembang . Tapi bukan pasal jantan tu …. Faham ?” Gee mengingatkan Lin . Dia tahu Lin sedang berusaha mengorek kisah lamanya bersama Reyhan .
           
          Lagu Sayang berkumandang menenggelamkan suara DJ yang sedang berceloteh . Lin pantas menyelongkar beg tangan Gee . “ Biaq aku jawabkan .” Lin menawarkan  bantuan . Dia membacakan nama yang terpapar di skrin telefon Gee .
            
 “ Weeda .”
             
           Belum sempat Gee menegah  , Lin telah terlebih dahulu menekan punat hijau . “ Hello … Weeda . Ni Lin lah . Gee tengah drive . Hang nak apa ?” tanya Lin . Dia menekan punat pembesar suara . Tapi Gee memberi isyarat pada Lin agar terus melayan sepupunya  berbual .“ Korang dah balik KL ke  ? Sampai hati tak jumpa aku dulu .” ton suara Weeda kedengaran merajuk . “ Kami nak cepatlah . Rumah hang masih ramai orang tadi . Malas nak kacau hang . Lagipun semuanya dah selamat kan ?” ujar Lin . Dia mencuit peha Gee supaya menyertai perbualan mereka . Tapi Gee hanya tersenyum nipis .
          
       “ Tak sempat nak bergambar dengan korang . Lin  , cuba kau tanya Gee . Boleh tak kalau aku bagi nombor phone dia pada Reyhan ?”
           
           Lin memandang Gee . Dia yakin Gee mendengar pertanyaan Weeda . Laju Gee menggeleng – geleng kepalanya . Tak cukup dengan gelengan , dia menggoyang- goyangkan jari telunjuk sebagai tanda jawapannya adalah negatif .
            
          “ Apsal dia nak nombor phone Gee pulak ? Hang tak cemburu ke ? Lin tidak memberi jawapan pada Weeda sebaliknya dia pula menyoal Weeda kembali . “ Eh , kitorang kan sama sekolah dulu . Tak salahkan tukar – tukar nombor phone . Lagipun buat apalah aku nak cemburu  Lin . Aku faham sangat dengan citarasa Reyhan tu . Seleranya pada orang yang bergetah macam aku ni ha  . He he he  ..” Weeda ketawa mengekek .

Lin menjelir lidah . Loya tekaknya mendengar penjelasan Weeda. Dia melihat Gee yang tersenyum sumbing . “ Kalau hang tak takut tunang hang tu kena kebas , hang bagilah nombor phone Gee pada dia . Awat , hang ingat kawan aku tu tak laku ? Kat KL tu bersusun orang nak berkenalan dengan dia tau .” Lin meninggikan suara. Geram hatinya mendengar tawa Weeda yang semakin menjadi – jadi .
“ Ada –ada ajelah kau ni Lin . Aku rasa mesti yang bersusun tu  Bangla jual karpet . Tak pun tauke kedai bundle . Kau cakap kat Gee nanti aku bagi nombor dia pada Reyhan . Jangan risau , Reyhan tu dah tak ingat pun kisah- kisah zaman sekolah dulu .Lagi pun , dia main – main je . Takkan Gee lupa kot ? He he he  .” Weeda ketawa lagi .

Tiba – tiba Gee  merampas  telefon di tangan Lin . Dia menekan butang merah  , kemudian diserahkannya kembali telefon itu pada Lin . “ Tak payah layan Minah Senget tu .” Gee merengus .

“ Apsal mulut sepupu hang tu macam longkang ha ? Aku rasa macam nak ramas –ramas mulut dia tu . Kuang  hajaq! “ Lin meluahkan rasa hatinya . Gee  cuma diam . Dia menumpukan perhatian ke  jalan raya. “ Reyhan tu bekas marka hang ke Gee ? soal Lin . Dia memandang Gee dengan wajah ingin tahu . “ Kenapa hang putus dengan dia ? Dia main- mainkan hang ke ? Atau Weeda rampas dia dari hang ?” Lin masih tidak putus asa . Bertubi – tubi soalan ditanyakan pada Gee .

“ Kau ni  tak layak jadi accountant tau tak Lin ? Kau ni sesuai jadi paparazzi .” Gee ketawa kecil melihat Lin memuncungkan mulutnya. “ Aku tanya lain ,  hang jawab lain .Soalan – soalan aku tu mudah je . Tapi awat hang payah sangat nak jawab ? Hang ada tangkap lentok lagi ke dengan dia ?” Lin cuba mengorek lagi .Gee masih diam . Dia mengemam bibir apabila melihat Lin masih merenungnya .

“ Gee , selama kita berkawan , hang tak pernah sorok apa – apa pun dari aku . Semua benda hang share dengan aku . Kita ni dah macam adik – beradik . Sampai tarikh hang datang bulan pun aku tau .” Lin menjeling Gee yang ketawa kecil . “ Tak ada apa- apa yang penting pun . Cerita lama . Malaslah  nak  ingat lagi . Buat sakit hati je .” kata Gee perlahan .
“ Aku rasa mesti Reyhan ni cinta pertama hang . Betul tak ?” tanya Lin . Gee tidak menjawab .Dia memandang Lin sekilas .“ Hmmmmm … siapalah nak kat aku ni Lin . Badan gemuk . Aku ni cuma layak jadi badut diorang je . Jadi bahan lawak orang . Bahan sindiran saudara – mara . Kau sendiri pun dengar kan ?” tenang Gee menuturkan kata . Lin hanya mendengar .

“ Kami bertiga satu kelas dulu . Reyhan tu kapten bola sepak .Ramai peminat kat sekolah .” Gee memulakan cerita . “ Hang pun salah seorang dari peminat dia ke ? Tanya Lin . Gee menarik nafas dalam – dalam . “ Aku tak ramai kawan kat sekolah dulu Lin . Tapi aku rapat dengan Weeda . Reyhan tu …..” kata – kata Gee tergantung di situ .
“ Reyhan tu apa ? Hang boleh tak  jangan buat  cerita novel bersiri ? Habiskanlah cerita hang tu  cepat !” Gesa Lin . Dia mencubit lengan Gee . “ Hish .. kepoh betul kau ya!” Gee ketawa kecil . “ Reyhan  dengan  kawan – kawan dia bukan saja popular sebab diorang main bola . Tapi popular sebab diorang nakal .” Gee menarik nafas  perlahan . “ Dia dengan kawan – kawan dia suka mengusik aku . Sampai satu hari tu …” kata – kata Gee tergantung lagi . Lin  memberi ruang pada Gee untuk menghela nafas .

“ Bestlah lagu baru Hafiz ni .” Tiba – tiba Gee menguatkan suara radio . Terangguk – angguk kepalanya mengikut rentak lagu yang dinyanyikan oleh juara Akademi Fantasia itu . “ Woi ! Hang jangan ubah topik ya . Aku dok syok dengaq cerita hang ni . Cepatlah sambung balik . Janganlah buat siaran iklan pulak!” Tinggi suara Lin memarahi Gee . Dia menepuk peha Gee menyebabkan gadis montel itu terperanjat . “ Ala ..tak ada yang menarik pun cerita aku ni . Tukar topik lainlah . Boring !” kata Gee . Tapi Lin masih tidak puas hati . Dia mengiringkan badannya mengadap Gee .

“ Ni mesti ada sangkut – paut dengan fizikal hang kan ?” Lin sudah dapat menangkap akar cerita antara Reyhan dan Gee . Air muka Gee berubah suram . Lin merenung muka Gee . Sejak awal persahabatan mereka , Gee sering menyatakan rasa rendah dirinya kerana memiliki badan bersaiz XXXL . Namun Gee tidak pernah menunjukkan kemarahan pada orang yang mempersendakan dirinya .

“ Reyhan buat apa kat hang sampai hang tak boleh maafkan dia ?” tanya Lin lagi .

“ Kita  berhenti minum dululah .  Lepas ni kau pulak drive .” Gee memperlahankan kelajuan dan memberi isyarat ke sebelah kiri . Mereka menghala masuk ke kawasan Rehat dan Rawat  Pagoh. Lin hanya diam sambil mengetap bibir menahan geram .

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.