Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

October 21, 2014

JANJI TAK BUAT LAGI BAB 5


                 “Fatin, tolong periksa semua bilik dan pastikan tiada barang yang hilang atau tertinggal,” arah Cikgu Shazatul.
            Dah tiba masa untuk pulang setelah empat hari berkampung di Pulau Tioman. Fatin tak berlengah lagi. Semua bilik diperiksa dengan bantuan Ayu dan Lina. Bilik terakhir yang perlu diperiksa adalah bilik Shahrul. Lina lebih dulu memintas langkah Fatin ketika tiba di depan bilik.

“Cikgu, boleh saya masuk? Nak periksa bilik,” ujar Lina.
Mulutnya saja yang bercakap tapi matanya liar mencari kelibat Kamal.
“Masuklah, kami pun dah nak keluar ni." Shahrul menggalas bagasinya dan turun dari chalet.
Fatin cuma jadi pemerhati di bawah. Cikgu Shahrul memandang Fatin yang sibuk menulis di dalam buku notanya.

"Hai Fatin, lena tidur semalam?" tanya Cikgu Shahrul. Ada senyuman nakal dibibirnya.
"Eh, lena cikgu. Kenapa?" tanya Fatin kehairanan.
"Tak ada apa-apa. Abang Kamal tu tak tidur dari malam tadi. Asyik nyanyi lagu yang korang berdua nyanyi malam tadi. Sampai kitaorang nak tidur pun susah."
Wajah Fatin yang merona merah ditenung nakal. Fatin nampak kalut dengan usikan itu. Dia pura-pura mengemaskan ikatan tali kasut untuk mengendurkan rasa malu.
“Ada-ada ajelah cikgu ni," balas Fatin ringkas.
Ikutkan hati, mahu saja dia  segera berlalu dari situ. Shahrul ketawa mendengar jawapan Fatin.Walaupun nampak tegas, nilai-nilai kelembutan yang ada di dalam diri gadis itu masih terserlah.

“Abang Kamal dan Abang Hairi mana cikgu?” tanya Lina.
Dia baru selesai memeriksa bilik. Wajahnya menunjukkan rasa tidak puas hati. Mungkin gerangan yang dicari masih belum ditemui.
“Diaorang jalan-jalan ambil angin kat pantai,” jawab  Shahrul.

“Hai Fatin!”
Gadis itu  menoleh ke arah suara garau yang menegurnya. Fatin tersenyum nipis .
“Assalamualaikum Abang Hairi. Tak nak balik ke? Atau dah tersangkut dengan puteri duyung kat sini?” Fatin cuba mengusik.
Ekor matanya sempat mengerling ke arah Kamal yang berdiri tidak jauh dari Hairi.
“Abang dah jumpa puteri duyung abang kat sini. Abang Kamal ni aje yang masih cuba memancing. Betul tak Ayu?”
 Hairi memandang Ayu dengan pandangan yang mempunyai seribu makna. Ayu tersenyum simpul sambil menghulurkan senarai bilik yang sudah diperiksa pada Fatin. Fatin memandang Hairi dan Ayu silih berganti. Pasti ada sesuatu yang disembunyikan oleh Ayu.

“Okey, semuanya dah siap. Kalau tak ada apa-apa lagi bolehlah berkumpul di jeti sekarang,” kata  Lina.
Fatin mengikut Lina dari  belakang. Meninggalkan Ayu yang masih berbual dengan Hairi. Rasa tidak keruan tiba-tiba menjengah. Fatin mematikan langkah. Perlahan-lahan dia menoleh ke belakang. Kamal sedang memandangnya. Mata bertaut seketika. Dia tergamam, cuba mengawal detak jantungnya. Dia berpaling semula berjalan lebih laju mendahului Lina. Kamal tersenyum lebar melihat tingkah Fatin. Dia hampir yakin gadis itu juga ada getar yang sama.

‘Dia pun suka aku... Aku tahu...’ Kamal senyum, setuju dengan kata hatinya.

“Abang Kamal... Tolong  bawakan beg Lina ni, boleh tak? Berat sangatlah. Lina tak kuat.”
Kembang tekak Kamal mendengar rengekan Lina. Nak tak nak, diangkatnya  juga beg pakaian Lina. Dia tahu rakan sekolah  Fatin itu sedang memancing perhatiannya. Pelbagai usaha dilakukan. Namun bagi Kamal, hatinya sudah terisi. Cuma Fatin sahaja yang layak mendiami hatinya.

 “Abang Kamal, Lina ada hal sikit nak cakap dengan abang Kamal.” Lina merendahkan suara. Senyuman manis dilemparkan untuk menarik perhatian Kamal.
“Hal apa?” tanya Kamal .
Dia melipat suratkhabar yang belum habis ditelaah. Wajah Lina dipandang sekilas. Dia mengengsotkan badannya sedikit apabila Lina tak semena-mena cuba menyelit di sebelahnya.

“Ada orang nak berkenalan dengan Abang Kamal.”
“Siapa?”
“Fatin.” Lina menekan suaranya semasa menyebut nama kawan baik Ayu itu. Sepantas kilat mata Kamal cuba mencari kebenaran kata-kata Lina. Ditenungnya gadis yang tersengih-sengih di sebelahnya. Lina mengangguk-angguk kepala sebagai isyarat lisan. Matanya bercahaya.

“Kenapa dia tak minta pada saya sendiri?” Kamal masih jual mahal.
“Abang ni, takkan  perigi nak cari timba. Malulah dia nanti.” Lina masih menyeringai. Dia yakin rancangannya akan berjaya. Kamal memandang sekeliling. Berbelah bagi samada ingin percaya kata-kata Lina atau tidak. Tiba-tiba matanya ternampak Fatin Syuhada yang sedang sibuk bergambar dengan Ayu. Lama dia mengamati Fatin dari jauh.

“Cepatlah Abang Kamal. Nanti saya tolong berikan nombor abang pada dia.”
 Lina mematikan lamunan Kamal. Kamal bangun. Lina terpempan melihat reaksi Kamal. Dia juga turut bangun.
“Biar saya bagi sendiri pada dia.” 
Kamal mengatur langkah ke arah Fatin. Dia langsung tidak menghiraukan panggilan Lina. Lina menumbuk-numbuk peha sendiri. Rancangannya gagal lagi. Matanya mengecil melihat Kamal yang menghampiri Fatin dan Ayu.

“Fatin, awak ada pesan apa-apa pada Lina tak?”
Suara Kamal mematikan senyum Fatin yang sedang leka bergambar.
“Pesan? Pesan apa pula, tak ada pun.” Fatin mengerutkan keningnya.
Dia cuba mencari kelibat Lina di belakang Kamal. Namun usahanya gagal. Kamal hanya tersenyum kelat. Tahulah dia Lina menggunakan Fatin untuk merealisasikan impiannya. Segera Kamal teringat peristiwa malam tadi.

‘Yang aku nak, asyik melarikan diri. Yang aku tak nak, sibuk menyerah diri.’ Kamal menggumam sendiri di dalam hati.
 ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~

“Okey, kita rehat sejam kat sini. Sesiapa yang nak makan, solat atau nak beli cenderahati bolehlah turun. Jangan pergi jauh-jauh sangat okey," pesan Cikgu Shazatul sebaik mereka berhenti rehat seketika di Air Hitam.
Fatin membuang pandang keluar tingkap sebelum dia mengemaskan diri untuk keluar dari  bas. Inilah tempat pertama dia dipertemukan dengan Kamal. Pertemuan yang tidak disengajakan, hampir meninggalkan kesan mendalam di dalam diri Fatin. Kebetulan  tidak dijangka yang telah menimbulkan bibit-bibit cemburu dalam diri Lina. Fatin mengeluh perlahan. Tak semena-mena juga dia ternampak Lina bersama rakan-rakan lain di luar bas. Gadis itu menghadiahkan sebuah jelingan tajam pada Fatin. Dia hanya mengemam bibir.

“Oi, senyap aje dari tadi. Apsal?” Ayu menegur.
“Tak ada apa? Aku nampak Lina kat luar. Lain macam aje dia pandang aku.” Fatin menerangkan. Ayu tertinjau-tinjau, mencari Lina.
“Biarkan ajelah. Penat mata dia nanti dia pandanglah tempat lain.” Ayu cuba meredakan kerisauan Fatin. Dia menarik tangan Fatin untuk menyainginya turun dari bas.
"Fatin, aku tunggu kau kat kedai makan sebelah hujung tu ya. Aku tak boleh solat, uzur."
Fatin cuma mengangguk. Langkahnya dihalakan ke arah surau. Ketika kakinya berhenti di depan bilik solat wanita, dia ternampak Kamal. Kelihatan seperti dia baru selesai menunaikan salah satu daripada lima rukun Islam itu. Fatin hanya senyum nipis apabila Kamal menegurnya.

"Nak solat ke?" tanya Kamal.
"Taklah, nak main pondok-pondok," jawab Fatin selamba.
Tanpa menunggu reaksi dari Kamal, dia pergi ke tempat wuduk. Kamal menunggu di depan pintu surau sehingga kelibat Fatin hilang dari pandangannya. Dia meninggalkan kawasan solat itu dengan satu perasaan di hati. Tingkah gadis itu semakin menambat hatinya.
Sepuluh minit kemudian, kelihatan Fatin pula keluar dari situ. Susun atur langkahnya agak laju. Perutnya sudah berbunyi minta di isi. Tatkala melihat Ayu melambai-lambainya dari jauh, Fatin mempercepatkan hayunan kakinya.

"Cepatlah Fatin, aku dah lapar ni," gesa Ayu.
"Kenapa kau tak makan dulu?" tanya Fatin. Dia menarik kerusi di sebelah Ayu.
"Saja nak tunggu kau. Tak syoklah makan sorang-sorang," jawab Ayu.
"Kalau tak syok makan sorang-sorang, kita makan berempat. Boleh tak?"
Hairi muncul di belakang mereka bersama Kamal. Ayu menguntum senyum lebar. Berbeza pula dengan reaksi Fatin. Mukanya segera dipaling tatkala Kamal senyum padanya. Dia kurang senang duduk semeja dengan lelaki itu. Nasi Goreng Kampung dan segelas sirap laici menjadi pilihan menu tengahari Fatin. Kamal juga memesan menu yang sama.

“Hai Abang Kamal, menu sama nampak,” usik Ayu.
Fatin mengerling Ayu sekilas. Itulah satu-satunya perangai Ayu yang dia tidak berkenan. Langsung tak pandai menjaga air mukanya.
“Abang nak rasa makanan kegemaran Fatin,” ujar Kamal selamba.
Fatin pura-pura tidak mendengar. Rambut yang berjuntai di dahi disisipkan di cuping telinga. Dia mengalihkan perhatiannya pada peti televisyen yang sedang terpasang. Kamal menyeluk poket baju kemejanya dan mengeluarkan sesuatu.

"Ni Fatin punya, kan?" tanya Kamal.
Pertanyaan  Kamal berjaya menarik perhatian Fatin. Dia menoleh dan melihat benda yang diunjukkan oleh Kamal. Tangannya sudah dihulur untuk mengambil sapu tangan yang dipinjamkan pada Kamal tempoh hari. Tetapi lelaki itu segera menjauhkan kain lembut berwarna biru itu dari capaian Fatin.
“Abang nak simpan untuk kenang-kenangan boleh tak?”
Pertanyaan Kamal disambut dengan dengusan kasar Fatin. Dia menyedut minuman yang baru sampai sebelum menjawab.
“Kalau dah tau nak simpan, kenapa gatal sangat tunjuk pada Fatin?”
Kamal ketawa mendengar soalan balas dari gadis itu. Kain yang berada di tangan disimpan kembali di dalam kocek baju.
“Saja nak minta izin dulu dari tuannya. Takut nanti dikatakan tak mengenang budi pula. Jadi bolehlah abang simpan sapu tangan ni, ya?” Kamal mengulang lagi soalannya sambil tangan mengurut-urut perlahan poket baju.
“Tak boleh! Pulangkan balik sapu tangan tu,” jawab Fatin keras.
Dia sudah bangun untuk mengambil sapu tangan itu dari dalam poket Kamal. Tapi tindakannya terhenti apabila pelayan membawa makanan yang dipesan. Dalam keadaan terpaksa Fatin menghenyak kembali punggungnya di kerusi.

“Dah, dah. Tak baik bergaduh depan rezeki. Alah Fatin, setakat sapu tangan tu berlambak kau boleh dapat kat kedai.” Ayu cuba meredakan ketegangan.
Renungan nakal Kamal membuatkan Fatin makin panas hati. Laju dia menyuap makanan yang masih panas. Cepat habis, cepatlah dia  boleh kembali berada di dalam  bas

“Ouch!”
“Ha, tu lah. Makan tak baca Bismillah,” usik Kamal.
Fatin menggigit hujung bibirnyayang kepanasan. Disedut sedikit limau ais yang tinggal separuh untuk meredakan panas.
“Nah.” Kamal menghulurkan sapu tangan yang direbutkan tadi.
Fatin tidak terus memberi reaksi. Dia memandang Kamal dengan ekor matanya. Kamal masih menunggu sambutan tangan gadis itu. Tapi Fatin terus menyambung suapan dan tidak menghiraukan Kamal yang masih memandangnya. Ikutkan hati mahu saja dia  beralih ke meja lain. Namun memandangkan semua tempat sudah penuh, dia tidak ada pilihan lain.

“Ambillah balik barang awak ni. Abang tak perlukan benda sekecil itu untuk kenang-kenangan. Abang ada benda yang lebih besar.”
Sapu tangan Fatin diletakkan  di hujung meja, dekat dengan tangan gadis itu.
“Benda apa abang Kamal?” tanya Ayu.
“Ni.”
Kamal memegang dahinya yang masih berplaster. Mengekek tawa Ayu dan Hairi. Fatin juga tak semena-mena menguntum senyum. Mukanya merona merah. Hilang marahnya pada lelaki itu.
“Kalau benda yang tu memang kekal sampai mati abang Kamal,” kata Ayu.
Fatin menjelir lidah. Dia menolak pinggan yang sudah kosong ke tengah meja. Tak kuasa dia melayan usikan mereka berdua. Kamal mengerling dengan hujung mata dan baru perasan sapu tangan yang diletakkan tadi sudah tiada di situ. Fatin bangun dan meninggalkan mereka sebentar. Dia pergi ke kaunter untuk mengambil tisu dan membeli sedikit makanan ringan.

"Kau dah minta nombor telefon dia ke belum?" tanya Hairi.
Dia tahu sahabatnya itu sudah mula tertarik dengan Fatin. Sejak semalam Kamal asyik bertanyakan perihal Fatin dari Shahrul.
“Belum," jawab Kamal.
Hairi menepuk dahi. Kecewa dengan jawapan Kamal.
"Aduh! Kura-kura betullah kau ni. Ayu ada nombor telefon Fatin tak?" tanya Hairi.
"Ada, nak ke?" tanya Ayu. Dia sudah mengeluarkan telefon bimbitnya.
“Eh, tak payah Ayu. Abang boleh minta sendiri pada Fatin," ujar Kamal.
Kamal menolak pertolongan Ayu. Dia ingin Fatin sendiri yang memberikannya tanpa paksaan.

"Bila?" tanya Hairi. Tidak puas hati dengan tindakan Kamal yang lembab. Lain benar lagak Kamal berbanding malam tadi. Tak agresif, tak macam  orang mabuk cinta. Dia nampak lebih relaks hari ini.
"Nantilah, takkan lari gunung dikejar. Aku tak nak paksa-paksa dia. Nanti ganggu study dia pula," terang Kamal.
“Shh, dia datang.” Ayu memberi isyarat supaya mereka mengubah topik perbualan.

Mereka diam seketika, menghabiskan makanan yang masih berbaki di dalam pinggan. Fatin melihat jam di tangan. Dipandangnya pula pinggan Ayu yang masih penuh.
“Cepat sikit Ayu, dah tak banyak masa ni.” Fatin mengingatkan.
Ayu cuma mengangguk. Kunyahannya masih belum berhenti. Dia maklum Fatin kurang selesa. Tapi sengaja dia melengah-lengahkan masa. Beri peluang untuk Kamal berbual sebentar dengan Fatin.

"Fatin tinggal kat mana?" Kamal cuba menarik perhatian Fatin. Dia juga sudah selesai dengan makanannya. Tisu yang diambil oleh Fatin sebentar tadi diambil sehelai.
"Taman Seri Cempaka."
"Oh! Maknanya Fatin tinggal satu tempat dengan Cikgu Shahrul ya?" tanya Kamal.
Dia cuba mengawal keterujaan di dalam hati. Ceria jiwanya apabila gadis itu sudi berbual. Sebaik mungkin dia cuba membuat Fatin selesa. Dia tidak mahu merosakkan perbualan yang baru sahaja bermula.

"Rumah abang kat Taman Kesidang, sama tempat dengan Abang Hairi,” terang Kamal tanpa dipinta. Dia tidak kisah. Asalkan gadis itu sudi mendengar. Melihat senyuman Fatin sahaja sudah cukup menenangkan hatinya.

“Saya dengan Cikgu Shahrul tu dah kenal lama. Kitaorang belajar mengaji dengan emak dia, kan Ayu?” Fatin cuba melibatkan Ayu dalam perbualan mereka.
Ayu mengangguk laju, mengiakan kenyataan Fatin. Gadis debab itu memberi isyarat mata pada Kamal supaya meneruskan niat untuk meminta nombor telefon Fatin.
"Lepas ni kita ada berhenti mana-mana lagi tak?” tanya Hairi. Dia menyedut minumannya sambil memandang Ayu.
"Tak tahulah, mungkin Cikgu Shazatul akan beritahu kejap lagi." Ayu melihat Fatin, memohon kepastian.
"Rasa-rasanya dah tak berhenti kot. Kalau berhenti pun mungkin kat R&R.” Fatin memberikan jawapan yang tidak pasti. Jam tangan dikerling lagi.
"Ada 10 minit lagi." Fatin mengingatkan Ayu.
"10 minit?" tanya Ayu seperti tidak percaya. Hairi yang duduk berhadapan direnung sebentar. Wajah Ayu bertukar muram.

"Hmmm, bilalah kita boleh jumpa lagi ya?" soal Kamal secara rambang.
Hairi dan Ayu tersengih lebar, seakan faham maksud hati Kamal.
"Nak jumpa boleh aje. Betul tak Fatin?” Hairi tersengih nakal.
Fatin hanya menjungkit bahu. Digamitnya pembantu kedai untuk mengira harga makanan. Hairi mencuit Kamal, mendesak  lelaki  itu bertindak segera. Kamal  menggeleng laju. Ayu pula  menjegil mata. Berkerut dahi Kamal, mengingkari  perintah. Ayu menganga lebar, buat-buat nak  memanggil  Fatin. Spontan Kamal berdeham keras.

“Fatin, abang nak nombor telefon boleh tak?”
Akhirnya terpacul juga soalan itu dari mulut Kamal. Hairi dan Ayu menanti reaksi Fatin dengan penuh debar.
“Nak buat apa?” tanya Fatin serius.
“Abang nak tengok gambar-gambar yang Fatin ambil tu. Kalau ada gambar yang abang berkenan abang nak beli,” jawab Kamal dengan tenang. Namun dalam hatinya bagai sedang dipalu ribuan gendang yang mendebarkan dada.
“Hmm, Fatin rasa tak perlu kot. Nanti saya maklumkan pada Cikgu Shahrul kalau gambar dah siap,” jawab Fatin laju.
Kamal tersenyum kelat. Itu tak bererti dia sudah putus asa. Dia yakin satu hari nanti Fatin sendiri akan memberikannya.
"Jom Ayu, dah cukup masa ni. Nanti bising pula Cikgu Shazatul." Fatin bangun dan mengeluarkan dompetnya untuk membayar makanan dan minumannya.
"Fatin, tak payah bayarlah. Abang belanja.”
Kamal menahan tangan Fatin yang sudah mengeluarkan wang kertas berwarna merah. Fatin kelihatan serba-salah. Dia membuka mulut untuk menolak, tapi Kamal lebih pantas memotong.
"Sebagai ucapan terima kasih kerana sudi berduet dengan abang malam tadi," ujar Kamal.
Bersahaja wajahnya menghulur sekeping not lima puluh pada pembantu kedai. Fatin mengetap bibir.
“Kalau Ayu tahu abang Kamal nak belanja tadi, Ayu order macam-macam.”
Fatin ketawa kecil mendengar usikan Ayu. Senang hati Kamal melihat tawa gadis itu. Tidak perlu menggedik macam Lina, gadis itu telah pun menambat hati lelakinya.

"Terima kasih," ucap Fatin perlahan.
"Kasihmu diterima,” balas Kamal. Dia mengenyitkan matanya pada Fatin. Muka Fatin terasa panas namun dia cuba mengawal riak wajahnya agar tidak dilihat oleh Kamal.

“Fatin!”
Tertoleh kepala mereka berempat ke arah suara yang memekik di luar kedai. Beberapa orang yang berada di situ juga turut berbuat demikian.
“Kau ni jangan ingat nak menggatal aje boleh tak? Kalau tak pandai jadi ketua, letak aje jawatan lepas ni!” Lina mengherdik Fatin tanpa segan silu.
Ayu sudah menyingsing lengan. Sudah bersedia untuk menyerang Lina. Tapi pantas lengannya dipaut Fatin.
“Biar aku settle sendiri dengan dia,” ujar Fatin perlahan.
Tidak terpancar langsung riak marah di wajah bujur sirihnya. Dia menghampiri Lina yang sedang bercekak pinggang di luar kedai.
“Cuba kau tengok jam, dah pukul berapa ni? Budak-budak semua dah naik bas. Kau berdua aje lagi yang terhegeh-hegeh. Nak kena tinggal ke?”
Suara Lina masih seperti tadi. Geram pula Kamal melihat Fatin diherdik begitu. Mahu saja dia masuk campur. Tapi dia juga ingin melihat cara Fatin mengendalikan Lina. Gadis itu nampak terlalu tenang.
“Kalau nak marah sekali pun, tak boleh cakap elok-elok ke? Kau buat macam ni, hilanglah peluang kau nak pikat Kamal tu.”
Fatin menutur kata selembut mungkin. Hampir tidak dapat didengari oleh orang lain kecuali Lina. Fatin memeluk tubuh. Sekuntum senyum disedekahkan pada Lina yang masih cemberut. Berombak-ombak dadanya menahan marah.

“Bila kau terjerit-jerit macam ni, kau cuma memalukan diri sendiri. Aku tak rugi apa-apa pun. Kalau kena tinggal pun, aku tak takut. Boleh balik dengan abang Kamal.”
“Memang itu yang kau nak kan? Gatal!” jerkah Lina.
“Orang baik-baik ni tak perlu jadi gatal. Cukup sekadar buat perangai elok-elok aje, ramailah orang yang datang hurung. Macam semut dengan gula.” Fatin membakar lagi.
Dalam baik dia mengenakan Lina. Mencerlang mata gadis berwajah kacukan Cina itu. Mahu saja ditarik rambut ikat Fatin yang bertocang. Tapi bila melihat Kamal dan Ayu mula mendekati, Lina membatalkan niat.
“Aku cakap kat Cikgu Shazatul yang kau nak balik dengan jantan. Biar kau rasa bila kena marah nanti,” ugut Lina sebelum melangkah laju. Niatnya untuk menyakitkan hati Fatin. Tapi akhirnya dia pula yang makan hati.
Fatin meraup muka. Memang dia malu diperlakukan begitu. Tapi kalau dia pun mengikut rentak Lina, maka tak adalah bezanya mereka berdua. Nafas ditahan sedalam-dalamnya untuk meredakan amarah yang tidak dapat dilampiaskan. Kemudian dihembus perlahan. Fatin mengulangi perbuatannya berulang kali hingga tidak sedar perlakuannya sedang diperhatikan oleh Kamal.

“Fatin okey ke?”
Fatin terkejut, ditegur oleh Kamal dari jarak yang tidak sampai sedepa. Ayu dan Hairi juga ada sama.
“Okey, tak ada apa-apalah. Jom Ayu, nanti betul-betul kena tinggal pulak.”
“Eh, tadi aku macam terdengar kau cakap nak balik dengan abang Kamal.” Ayu mengusik.
Kamal tersenyum lebar. Fatin menepuk bahu Ayu.
“Aku saja nak buat dia angin. Dah, jangan nak merapu. Jom. Pergi dulu Abang Hairi, jumpa lagi abang Kamal,” ucap Fatin.
Kamal dan Hairi menghantar Ayu dan Fatin dengan pandangan mata. Kamal menggigit lembut hujung bibirnya. Semakin terpikat dengan gadis tinggi lampai itu. Cara Fatin mengendalikan situasi tadi benar-benar mengusik hatinya. Ketenangan yang Fatin serlahkan membuatkan hatinya digaru untuk menjadikan gadis itu penghuni jiwanya.

            ‘Fatin...please be mine...’

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.