"Kau dah buat keputusan?"
"Keputusan apa?"
"Pasal gambar tu lah! Terima ke tak?"
Aku tepuk dahi. Sumpah
aku lupa terus pasal gambar tu. Mana aku letak hari tu eh?Ni kalau aku cakap
aku lupa kat mana aku letak gambar tu sah-sah kena sembur dengan Kak Maziah.Apa
alasan paling best nak bagi ni eh?
Aku garu kepala yang tak gatal.
"Dayang rasa nanti
dululah kak.Budak tu tak sesuai langsung dengan Dayang. Muka dia banyak bulu!
Takut Dayang tengok.Itu baru muka. Belum tempat lain lagi!"
Aku buat muka geli
geleman.Harap-harap lakonan menjadi.Kak Maziah pelik tengok aku.
"Habis tu Dayang
nak yang macam mana?" tanya Kak Maziah.
"Ala, biar Dayang
cari sendirilah. Tak pun biar turun sendiri dari langit."
"Bila nak
cari?Umur tu bukannya muda lagi tau. Dah nak masuk three
series," bebel Kak Maziah.
"Kak, umur tu
sekadar angka aje. Ella tu pun dekat lima puluh baru kahwin tau." Kukuh tak alasan
tu? Kak
Maziah terdiam. Heheh! Mati akallah tu. Sebelum dia buka mulut baik aku pergi
kerja cepat.
Sampai pejabat, Muaz
dah tunggu depan pintu. Siap melambai-lambai lagi. Lama betul dia
bercuti. Seminggu tak jumpa dia. Lain betul gaya Muaz hari ni. Berbaju Melayu
dan bersamping. Oh, hari Jumaatlah! Aduhai Muaz, kalau aku ni girlfriend dia memang aku dah suruh dia
ni masuk askar atau polis. Biar keras sikit badan tu. Rupa ada tapi…
"Hari ni duduk
kaunter dengan aku tau," kata Muaz.
Aku angguk saja.Seronok
jugak berkawan dengan dia ni.Tak lokek dengan senyuman.Dia tak kisah pun orang
panggil dia lembut.Lagi dia suka.Yang paling best, dia suka belanja aku makan.
"Kau cover kejap ya. Aku nak pergi toilet,"
suruh Muaz.
Aku geleng kepala
tengok Muaz jalan tergelek-gelek. Nak pergi ke tandas yang dekat tu pun makan
masa lima minit. Punyalah kepit dia jalan. Selesa pula dia jalan macam tu.
"Kak, ni ada bunga
untuk Cik Dayang."
Oh mak kau! Terkejut
aku. Bila masa pula mamat ni masuk? Aku pandang bunga yang dia pegang. Lawanya!
Tapi siapa yang bagi?
"Tadi awak cakap
bunga ni untuk siapa?" Aku tanya lagi sekali.
"Untuk Cik
Dayang."
"Siapa
pengirimnya?"
"Ada dalam
kad."
Aku tandatangan resit penerima. Huh! Mimpi apa wayar putus ni? Tiba-tiba bagi bunga pada aku.
Budak yang hantar bunga tadi keluar. Tak sempat aku nak cakap terima kasih.
Tapi tak lama kemudian budak tadi masuk balik bersama seorang lagi kawannya.
Pembantu dia agaknya. Bawa bunga lagi.Tapi dalam pasu-pasu comel.
"Eh, ni untuk
siapa pulak?" Aku tanya budak tu.
"Untuk Cik
Dayanglah."
"Untuk saya?"
"Ha’ah, kat luar
tu banyak lagi."
"Ha?"
Aku keluar dari kaunter
dan jenguk ke luar. Masya Allah! Apa kau dah buat ni Tengku Haizal. Habis satu
kedai ke kau borong!Dah macam kedai
bunga pejabat aku hari ni. Muka ni kejap kembang, kejap kuncup. Antara malu dan
suka.Malu sebab kena usik, kononnya bertuahlah sangat dapat boyfriend romantik.Suka sebab diorang
ucap Happy Birthday pada aku. Heheh! Macam mana aku sendiri pun boleh lupa hari jadi aku hari ni? Dari kaunter,
sampai ke pejabat sebelah atas, di mana-mana saja, mesti ada bunga.
"Rasa macam
bekerja dalam taman pulak hari ni," kata Muaz.
Aku senyum sumbing.
Dari tadi aku tengok dia tak puas-puas cium bunga dalam jambangan tu. Silap-
silap haribulan melekat tahi hidung dia di situ. Heheh!
"Ni mesti pakwe
yang makan sekali dengan kita tu bagi kan Dayang? Ya ampun, romantiknya! Kalau
aku jadi kau dah lama aku melting,
melting, melting ting kat dia."
Aku gelak besar tengok
Muaz siap lentok-lentok kepala atas kaunter. Aku rasa dia kot yang dah melting dengan Tengku Haizal. Pintu
pejabat terbuka.Ada customer masuk.Cepat-cepat Muaz betulkan duduk. Aku dah
bersedia dengan senyum manis. Tapi senyum berubah jadi jeritan.
"Mr. Dinesh!"
Hilang ingatan sekejap. Sukanya dapat jumpa bekas bos yang baik hati ni.
"Hai Dayang, apa
khabar?" Lebar senyum dia tengok aku terlompat-lompat macam budak baru dapat Choki Choki.
"Khabar baik.
Lamanya tak jumpa.Mr.Dinesh sihat?"
"Sihat, saya
singgah sekejap aje ni. Nak jumpa awak."
Aduh, masih tak boleh
kawal lagi perasaan gembira ni. Suka sangat dapat jumpa bos yang seorang ni.
Ikutkan hati mahu saja aku peluk dia.
"Kenapa Mr. Dinesh
nak jumpa saya?" Aku tanya dia. Tiba-tiba dada berdebar pula. Dia nak ajak
aku keluar dating ke?
"McD delivery dah sampai ke belum?"
"Ha?"
Apahal dia ni? Ni
syarikat kurierlah! Bukan restoran fast
food. Tak sempat aku nak tanya balik, aku dengar bunyi motorsikal di luar
pejabat. Bunyi sebuah, tapi berbuah-buah motorsikal di luar tu. Dan semuanya
dari McDonalds. Apalagi ni? Aku pandang Muaz. Budak- budak McD tu masuk pejabat
aku.Kalau tadi bau bunga, sekarang dah bertukar bau makanan pula. Salah sorang
dari budak-budak tu hulur resit. Buntang mata aku tengok bil.
"Tapi saya tak order semua ni."
Gabra dah ni. Aku mana
ada duit. Dalam beg duit pun cuma ada lima ringgit. Itu pun nak buat isi minyak
motor.
"Tengku Haizal
yang order, bagi sini bil tu."
Mr. Dinesh ambil kertas
panjang di tangan aku. Selamba saja dia keluarkan beg duit. Berkeping-keping
not lima puluh dia hulur pada budak McD tu. Aku teguk air liur. Aku rasa dalam
sejarah hari ni satu pejabat dijamu dengan sarapan pagi McD. Muaz dah mula
sibuk jadi wakil aku mengagihkan bungkusan sarapan pada kawan-kawan di department lain.
"Tengku Haizal ni
tak habis-habis nak kacau sayalah Mr.Dinesh! Malu saya tau," Aku mengadu
pada bekas bos aku yang berkening tebal ni.Dia gelak saja.
"Kenapa dia tak
datang bayar sendiri?" tanya aku.
"Dia takut awak
hempuk dia dengan helmet," jawab Mr. Dinesh sambil terkekeh gelak.
Eleh, tahu pulak
takut.Sambil sembang kejap dengan Mr. Dinesh, kawan-kawan pejabat kejap-kejap
datang ucap terima kasih pada aku. Kepala ni dah macam ayam catuk padi.
Terangguk-angguk sambil cakap 'sama-sama'.
"Saya balik dululah.Anyway,
happy birthday Dayang.Semoga berbahagia dengan abang Tengku awak tu ya,"
usik Mr.Dinesh.
"Ala, Mr. Dinesh!
Saya tak sukalah awak cakap macam tu. Dia bukan pakwe saya.Dia pakwe
Natrah."
Sengaja aku
memuncungkan mulut.Bahagia konon! Dia tak tahu ke aku ni macam nak gila melayan
perangai Wayar Putus tu.
"Eh, Dayang. Nanti
jangan lupa ambil gaji terakhir awak kat pejabat ya,” pesan Mr. Dinesh semasa
aku hantar di keluar dari pejabat.
"Tak naklah pergi
sana. Kirim pada Natrah aje boleh kan?"
Dia tak menjawab tapi cuma mengangguk. Tatkala semula ke pejabat, aku senyum sendiri. Muaz tengah
mengadap McD.
"Dayang, kau tak call dia ke?"
Aku pandang Muaz. Pelik
dengar soalan tu.
"Apahal pulak aku
nak call dia?" Aku tanya Muaz
balik.
"Kau ni, cuba
ringan-ringankan mulut tu cakap terima kasih kat orang."
"Malaslah aku. Aku
tak minta pun dia buat semua ni. Dia yang bermurah hati sangat siapa suruh?"
"Ala Dayang,
sekurang-kurangnya sampaikan terima kasih kitorang pada dia. Save duit mak pagi ni kau!"
Muaz ketawa sambil
tutup mulut dengan tisu. Hek eleh, sopanlah konon! Dalam pada tu dia ambil
telefon bimbit aku.
"Call dia sekarang," suruh Muaz. Telefon
bimbit disuakan.
Tiba-tiba aje suara
berubah jadi suara jantan. Seriuslah tu konon. Aku dail jugak nombor Tengku
Haizal. Sekali bunyi aje, dia dah jawab. Memang dia tunggu aku call kot.
"Dayang
ya?"Tengku Haizal meneka.
"Taklah,
Permaisuri,"
Aku buat loyar buruk.
Sengal! Dah tentu-tentu nombor telefon aku yang keluar, mestilah aku yang call. Best pula dengar dia gelak. Hari
ni ton gelak dia seksi, tak macam sebelum-sebelum ni. Gelak macam jin tertelan
rumah api.
"Wahai
permaisuriku, gembirakah adinda dengan pemberian kekanda hari ini?"
"Tak." Aku
jawab pendek .
"Kenapa wahai
adinda? Masih tidak cukupkah bunga-bungaan yang kekanda kirimkan?"
"Tak." Aku
bagi jawapan yang sama juga.
"Apalagi yang
adinda mahukan? Katakan saja wahai permaisuri ku. Akan kekanda adakan dengan
kadar segera."
Nak tergelak pulak
dengar dia cakap bahasa sanskrit tu. Tapi masih boleh kawal lagi.Aku berdehem
kejap.
"Hari ni birthday saya kan?" Aku tanya dia.
"Ya adinda, hari
ni hari lahir adinda yang ke tiga puluh."
"Kek mana?"
"Ha? Alamak, saya
lupalah Dayang."
Dari zaman purba Tengku
Haizal dah kembali ke zaman moden. Aku rasa memang dia betul-betul lupa pasal
tu.
"Satu lagi lain
kali jangan bagi bunga. Cuba bagi coklat ke, kereta sebiji ke, apa-apa saja
asalkan bukan bunga."
"Kenapa?Awak tak
suka ke?"
"Bukan tak
suka."
"Habis tu?"
"Saya alergi
bunga, ada resdung!"
Aku matikan talian.
Muaz yang sedari tadi menelinga perbualan gelak terbahak-bahak. Aku senyum
lebar. Seronok pula dapat mengenakan Tengku Haizal. Aku ambil sebuah pasu comel
yang Muaz letakkan di atas kaunter. Haruman bunga mawar di dalam pasu itu
sungguh menyegarkan.
“Betul ke kau ada resdung?” Muaz tanya aku bila tawanya dah reda. Aku
geleng laju. Dia sambung gelak lagi. Hilang suara kepitnya. gaya gelak dia betul-betul
macam lelaki.
“Aku sukalah dengar kau
gelak Muaz. Macam lelaki.” Terus terhenti tawa Muaz. Dia buat muka serius.
“Aku memang lelakilah!”
Muaz tolak bahu aku.
“Yelah tu lelaki. Kalau
lelaki kenapa jalan macam tu? Tu, suara tu. Apsal sengaja dikepit? Suara asal
kau macho apa.” Aku pula tolak bahu
dia. Muaz tersengih.
“Diamlah! Dah, dah.
Kerja.” Muaz cuba mengubah topik.
Sesi bekerja berjalan
seperti biasa hingga ke petang. Sampai di rumah semua dah ada. Abang Burn dah
Kak Maziah sedang minum petang di dapur bersama anak-anak. Natrah saja yang
tidak kelihatan. Pelik, selalunya waktu macam ni Tengku Haizal dah hantar dia balik.
“Dayang, Natrah tak ada
malam ni. Kita balik kampung nak?” Aku pandang Abang Burn. Baru perasan yang
dia anak-beranak dah bersiap-siap. Mungkin dia cuma menunggu saja.
“Natrah tak ada? Dia
pergi mana?” Aik, selalunya pandai dia
telefon atau mesej aku. Kali ni senyap-senyap saja menghilang. Makin pelik
perangai dia ni.
“Dia cakap dia balik
rumah adik dia. Hari Isnin nanti terus pergi kerja dari sana,” jawab Kak
Maziah.
“Tadi dia balik dengan
siapa?” Aku masih tak puas hati.
“Dia balik dengan kawan
dia.” Abang Burn pula menjawab.
“Kawan dia? Lelaki ke
perempuan.” Masih tak puas hati lagi ni.
“Lelaki. Bawa kereta
mahal. Dia keluar pun dengan lelaki tu. Eh, pergilah siap cepat. Macam polis
pencenlah kau ni,” bebel Abang Burn.
Aku masuk bilik. Kemas apa-apa
yang patut. Nak balik rumah abah tak payah bawa banyak baju sebab di kampung
pun satu almari pakaian aku tinggalkan
di sana. Bella dan Benji dah menggendang pintu bilik. Tak sabar betul budak-
budak ni nak balik rumah atuk dan wan.
“Selalunya kita balik
rumah abah hari Sabtu kan? Kenapa macam tergesa-gesa aje balik ni?” Aku tanya
Abang Burn setelah sepuluh minit di
dalam perjalanan.
“Saja,” jawab Abang
Burn pendek.
“Tapi besok lepas minum
petang kita balik KL tau. Hari Ahad ada orang tempah cupcake,” kata Kak Maziah pula.
Aku diam. Macam nak
rasa kecil hati ni. Dia berdua ni tak tahu ke hari ni besday aku? Mata dah pedih. Selalunya Abang Burn tak pernah lupa.
Tapi tahun ni, dari pagi tadi dia tak cakap apa-apa pun. Sedihnya aku. Punyalah
melayan sedih sampai aku tertidur. Sedar-sedar dah sampai rumah abah.
“Kereta siapa tu Abang
Burn?”
Aku gosok mata yang
masih pisat. Cuba amati kereta warna merah berkilat di dalam garaj,
bersebelahan dengan kereta abah. Tak mungkin kereta Abang Black sebab kereta abang aku yang nombor dua tu
juga ada di sebelah kereta merah tu.
“Kak Mas dah beli
kereta ke?” Aku tak tujukan soalan tu pada siapa-siapa. Tapi masih mengharapkan
jawapan.
“Tak mungkinlah Mas
beli kereta. Dia kan tengah sarat sekarang ni. Takkan Black bagi dia drive
sendiri kot?” Kak Maziah pandang suaminya. Abang Burn cuma angkat bahu.
Rumah abah masih
terang- benderang. Benji dan Bella lebih dahulu menyerbu ke pintu dan memberi
salam. Mak muncul di muka pintu dengan wajah ceria. Puas diciumnya pipi Bella
dan Benji.
“Mak, kereta siapa kat
garaj abah tu?” Aku tak boleh sabar lagi. Nak juga tahu siapa tuan punya
kereta.
“Masuklah dulu kot ya
pun,” tegur mak sambil bersalam dengan Abang Burn dan Kak Maziah.
“Yang lain mana?” tanya
Abang Burn. Langkahnya terus dihala ke dapur. Macam itulah kebiasaannya kalau
balik ke rumah abah. Semuanya berkumpul
di dapur. Cucu-cucu sahaja yang riuh di atas rumah.
“Mas ada kat bawah.
Abah kau dengan Black belum balik dari surau,” jawab mak.
“Dah dekat pukul
sembilan setengah tak balik lagi?” Aku pula tanya mak. Tapi mata ni memandang
Kak Mas yang baru keluar dari bilik air. Kesiannya aku tengok kakak ipar aku
yang seorang ni. Perutnya yang besar memboyot nampak macam tak pada dengan
badan. Saiz badannya lebih kurang sama dengan aku. Agaknya kalau aku mengandung
nanti macam itulah rupanya. Eh, apa aku
merepek ni.
“Abah menyinggah kedai kejap,
beli sate.” Kak Mas tolong jawabka bagi pihak mak. Aku turun ke dapur dan
bersalam dengan Kak Mas.
“Kak Mas mengidam sate
eh,” usik aku. Dia cuma senyum saja. Aku masuk ke bilik air dan mengangkat
wuduk. Apa-apa hal solat Isyak dulu. Perut ni memang dah berkeroncong. Tapi
tadi mak cakap seorang pun belum ada yang makan malam, rasanya baik aku solat
dulu. Senang nanti kan?
Belum sempat habis mengerjakan solat aku dah
dengar riuh-rendah di dapur. Pasti abah dan Abang Black dah balik. Usai
melipatkan telekung, aku cepat-cepat keluar dari bilik. Persoalan tadi masih
belum terjawab. Kereta siapa di bawak tu? Tapi belum sekali lagi niat terbantut
bila Bella dan Benji dah tarik tangan aku menuju ke dapur.
“Cepat Mak
Su, ada kek besar!” kata Bella.
Aku dah
senyum. Hmm, patutlah tak sempat-sempat nak balik kampung. Ada kejutan
rupa-rupanya. Mak dah senyum pandang aku. Masing-masing dah bersedia di
sekeliling meja makan. Aku duduk di tengah-tengah antara mak dan abah.
Terharunya, rasa macam nak menangis pula. Bella dan Benji dah mula lagu “Happy
Birthday” secara berjemaah. Yang lain-lain jadi tukang tepuk tangan. Aku,sengih
sajalah. Dah tua-tua macam ni rasa malu pula bila diraikan macam ni. Selesai
anak-anak buah aku menyanyi, abah membaca doa selamat. Sebak pula rasa hati
bila abah mendoakan kesejahteraan, kebahagiaan dan kesihatan yang sempurna
untuk aku. Paling haru bila abah mendoakan semoga aku dipertemukan dengan
seseorang yang boleh menjaga aku hingga ke akhir hayat. Huh, nak suruh aku
kahwinlah tu. Insya Allah abah, sampai masa nanti kahwinlah anak abah ni.
“Terima
kasih semua. Dayang fikir tak ada yang ingat hari lahir Dayang. Nasib baik tak
merajuk lagi,” ujarku lantas ku peluk tubuh mak.
“Eleh! Dah tua pun nak
merajuk,” usik Abang Black.
Aku hanya balas dengan
cebikan. Kek yang sudah dipotong aku suapkan sedikit ke mulut mak, abah dan
anak-anak buah aku. Kiranya kek hari lahir tu dijadikan appettizer sebelum kami mulakan makan malam. Selesai makan malam,
abah ajak aku ambil angin di luar rumah. Eh, pelik abah ni. Tak pernah dia ajak
aku jalan-jalan di luar rumah pada waktu malam. Tapi malam tu, hampir semua
ahli keluarga keluar ke halaman rumah. Apahal pula ni?
“Nah.” Abah keluarkan
sesuatu dari poket baju melayu dan hulurkan pada aku.
“Apa ni?” Aku tanya
abah. Kunci kereta? Kenapa abah beri aku kunci kereta? Aku pandang abah. Dia
cuma senyum. Serta-merta aku teringat kereta warna merah berkilat tadi. Ternganga
luas mulut aku. Tak sedar dah terlompat-lompat macam budak dapat ais krim. Laju
aku berlari ke garaj. Alat kawalan jauh aku tekan. Sebelum aku buka pintu
kereta aku pandang abah.
“Untuk Dayang?” Aku
tanya. Rasanya dah memang untuk aku. Tapi saja gatal nak kepastian lagi. Hati
makin girang bila tengok abah mengangguk perlahan.
Aku hidupkan enjin
kereta. Macam tak percaya, dulu abah hadiahkan skuter sempena aku dapat tawaran
sambung belajar. Sekarang abah hadiahkan kereta pula. Bertuahnya jadi anak perempuan
tunggal. Heheh! Besoknya aku pulang ke KL dengan memandu kereta sendiri.
Indahnya hidup!
Sedang memandu, telefon
berbunyi.Cepat-cepat aku sumbat earphone.Mr.Dinesh?Apa
hal pula dia telefon petang-petang ni?
"Hello."
"Dayang,
awak kat mana?"
"Saya
on the way nak balik KL. Dari kampung
ni. Ada apa Mr.Dinesh?"
"Lama
lagi tak nak sampai?"
"Dalam
setengah jam lagi. Kenapa?” Aku soal lagi sebab soalan yang tadi dia belum
jawab.
"Kita
jumpa kejap boleh tak? You dah sampai
KL call I balik." Suara Mr.Dinesh
kedengaran cemas.
"Kenapa?"
Aku tanya lagi. Tak pernah Mr.Dinesh macam ni.
"Takpe,
drive carefully ok. Dah sampai nanti call."
Talian
dimatikan. Aku tak berusaha pula nak telefon semula. Apa-apa hal tunggu sampai
KL nanti. Seperti yang dijanjikan, aku telefon Mr.Dinesh.Tapi sepotong ayat
saja dia cakap.
"Pergi
ke alamat yang saya SMS ni."
Tak
sempat aku tanya apa-apa, dia dah letak telefon. Apa hal dia ni? Dah macam kena
culik pula. Hish, mengarutlah kau ni Dayang. Kalau dia kena culik, macam mana dia
boleh guna telefon?Telefon berbunyi lagi.Mesej masuk. Aku amati alamat yang
diberi.
"Ini
macam alamat kedai makan. Biar betul dia ni. Nak ajak aku dating ke?"Aku mengomel sendiri sambil cari alamat tu di
GPS.Sejam selepas itu aku sampai.Kan betul aku cakap.Apahal pula Mr.Dinesh nak
jumpa aku di sini?
Semasa
mata ni melilau mencari Mr.Dinesh, aku ternampak satu meja yang tertulis 'Reservation For Miss Dayang'. Mak oi,
siap ada reservation lagi. Ni candle light dinner ke apa? Mana
Mr.Dinesh ni? Aku duduk jugalah di situ walau ada rasa tak sedap hati. Dalam pada aku tengah
tercangak-cangak mencari bos India aku tu, pelayan datang menghidangkan
minuman.
"Eh,
saya belum order apa-apa lagi."
Memang terkejut beruk aku masa tu. Tapi pelayan tu senyum saja. Bimbang dah ni.
Tak lama lepas tu beberapa orang pelayan datang lagi. Kali ni bersama beberapa
hidangan makan malam. Banyaknya!
"Eh,
nanti. Siapa yang order semua
ni?" Aku tanya salah seorang pelayan yang sedang menyusun hidangan. Tapi
dia tak menjawab. Diorang ni bisu ke? Aku dah cuak ni. Siapa nak bayar semua
ni? Banyak pula tu. Macam sepuluh orang punya makan.Aku tolak kerusi ke
belakang.Nak bangunlah.Tak pasal-pasal nanti kena cuci pinggan pula. Aku mana
ada duit nak bayar bil nanti. Mr.Dinesh ni sengaja nak kenakan aku ke? Masa aku
tengah kalut, terdengar orang nyanyi lagu 'Happy
Birthday'. Aku toleh ke belakang.
Ya
Allah! Mr.Dinesh, Puan Linda, Tuan Syed dan Tengku Haizal dah macam kumpulan koir.Aku bangun dan peluk
Puan Linda.Tak sangka sampai begini sekali kejutan yang diberikan untuk aku.Tak
cukup dengan itu.Siap ada sebiji kek. Aku pandang Tengku Haizal dan semua yang
ada.
“Tiuplah
lilin tu,” suruh Mr. Dinesh.
“Happy Belated Birthday!” ucap semua yang
ada di situ. Tengku Haizal senyum sambil angkat kening.
“Kenapa
susah-susah buat semua ni?” Aku paut
lengan Ms. Susan. Kek yang belum
berpotong Tengku Haizal letak di
tengah-tengah meja. Yang lain-lain sudah mengambil tempat masing-masing.
“Kami
ni cuma menemankan Tengku Haizal aje Dayang. Bimbang kalau ingkar arahan nanti
kena potong gaji.” Kata-kata Tuan Syed disambut dengan gelak tawa yang lain.
Spontan saja kepala aku menoleh Tengku Haizal yang duduk di sebelah. Muka dah
panas ni. Malunya!
"Kalau saya datang seorang, nanti awak lari. Jadi saya
panggil diorang sekali. Jadi tukang pegang kalau awak lari nanti,” kata Tengku
Haizal selamba. Sekali lagi meletus tawa masing-masing.
Mr.Dinesh bertindak selaku tuan rumah. Dia mempersilakan yang
lain-lain memulakan suapan. Tengku Haizal menyudukan sedikit daging masak merah
lalu diletak dalam pinggan aku. Sekali lagi disudunya lauk itu, letak pula
dalam pinggan dia. Ambil pula telur bungkus, dia ulang perbuatan yang sama.
Hampir semua lauk yang ada di atas meja diletakkan dalam pinggan aku. Lauk dah
lebih banyak dari nasi. Mulut aku ni pula dah terkunci untuk menegah. Malu ke
bengang? Aku sendiri pun tak pasti. Atau pun terharu? Eee, terharu kenapa pula?
Habis diangkutnya semua geng peguam ke sini. Mujur tak ada makcik cleaner di Haizal, Dinesh &
Partners. Kalau tidak rasanya mahu dibawanya sekali.
“Kenapa pandang aje pinggan tu? Makanlah.” Tengku Haizal
mematikan lamunan.
Senyum Dayang. Tak baik menolak rezeki. Aku pujuk diri
sendiri. Aku sudu sikit nasi yang yang
berkuahkan tom yam itu. Emm, sedap. Tapi macam tak feel guna sudu dan garfu. Aku bangun, nak basuh tangan. Mulanya
nampak seperti Tengku Haizal nak menahan, tapi tak jadi sebab Puan Linda turut
bangun menuju ke sinki.
“Dayang, Tengku Haizal
ni dah tenat tau.”
Aku pandang Puan Linda
yang sedang menyabun tangan. Tak faham.
“Dia tu dah jatuh cinta sepenuh hati pada awak,” sambung Puan
Linda lagi.
“Adoi, mana ada Puan. Dia tu suka mengusik aje. Marah Natrah
nanti.” Aku bidas kata-kata Puan Linda dengan cara berhemah. Jatuh cinta? Yaks!
“Kalau Tengku suruh saya datang sini untuk beri kejutan pada
Natrah, saya rela kena buang kerja. Tak sesuai!” Puan Linda dah ketawa. Uiks,
dia pun anti Natrah ke?
Sampai semula di meja makan, aku dan Puan Linda berlagak
biasa semula. Tengku Haizal sengaja tarik kerusi aku dekat sikit dengan dia.
Alahai dia ni. Nak rapat mana lagi? Rimas betul. Tak dapat aku nak mengalihkan
kerusi itu sebab kakinya dah menghadang kaki kerusi. Aku mulakan suapan. Senyap
sekejap meja makan. Sesekali Mr. Diensh berbual-bual dengan rakan-rakan peguam
yang lain. Makin lama perbualan mereka semakin rancak. Aku tak ada ruang nak
menyampuk. Nak menyampuk macam mana? Bercakap hal-hal kerja. Manalah ada
kena-mengena dengan aku.
“Tambahlah lagi lauk tu,” suruh Tengku Haizal.
“Takpe Tengku. Yang ni pun dah banyak.” Aku menolak.
“Tak sedap ke?” Tengku Haizal sua pinggan daging masak merah.
Aku geleng laju. Bukan tak nak tapi lauk di dalam pinggan masih belum luak.
Terbantut selera makan aku bila perasan Tengku Haizal asyik merenung dari tadi.
“Kenapa pandang saya? Makanlah.” Aku tegur dia.
“Saya tengok awak pun dah kenyang.” Tengku Haizal jawab
perlahan. Aku cebik, suapan di sambung lagi. Lenguh rahang aku mengunyah. Boleh
ke habis semua lauk yang ada dalam pinggan ni?
“Berapa kali nak buat kejutan pada saya ni?” Aku tanya sambil
menyedut minuman. Sempat lagi mengerling
yang lain-lain. Masih rancak berbual sambil mengisi perut.
“Kalau boleh, hari-hari saya nak bagi kejutan pada awak.”
“Kenapa pula?”
“Sebab saya suka awak.”
Uhuk! Uhuk! Ha, kan dah tersedak. Cepat-cepat dia hulur air.
Aduh, nasib baik tak menyembur. Dia nak gosok belakang badan aku tapi Ms. Susan
lebih pantas. Aku kerling Tengku Haizal. Amboi, pantang ada peluang. Cepat saja
tangannya.
“Dah ok?” tanya Ms. Susan.
Aku mengangguk dan ucap terima kasih. Dia menyambung makan
malam yang terhenti. Aku pun sambung
menyuap. Mr.Dinesh yang duduk agak jauh
di sudut meja sebelah sana pandang aku sambil angkat kening. Huh, tak sangka.
Dalam baik dia jadi tali barut Tengku Haizal.
“Dayang,” panggil Tengku Haizal.
Aku pandang dia sekejap. Lepas tu tunduk balik.
“Saya suka awak tau.”
Adoi dia ni! Mula dah. Aku kemam bibir. Tarik nafas kejap.
“Natrah pun suka Tengku.” Aku senyum sebab Tengku buat muka
terperanjat. Lepas tu dia mendengus keras.
"Kenapa awak suka kaitkan saya dengan Natrah? Berapa
kali saya cakap, saya tak suka dia."
"Tapi dia suka Tengku. Berapa kali saya nak cakap?"
Aku ulang balik ayat dia.
"Lantak dialah nak suka siapa pun. Sebelum dia kerja
dengan saya pun memang saya dah suka awak kan?"
"Tapi saya tak suka Tengku." Aku sedut dan telan
air cepat-cepat. Takut tersedak lagi.
Dia diam. Pinggan yang
masih penuh ditolak sedikit ke tengah. Matanya, macam biasalah. Dia pandang aku
sambil buat muka seposen.
"Cuba cakap dengan
saya. Macam mana saya nak buat awak suka kat saya?"
Aku gelak. Soalan apa
ni? Aku tutup mulut bila tengok dia makin serius. Macam nak bercantum bulu
kening kiri dan kanan. Aku pula tolak pinggan ke tengah.
"Dah kenyang
ke?" Dia tanya.
"Belum." Aku
jawab.
"Habis tu, kenapa
berhenti? Banyak lagi nasi dalam pinggan tu."
"Dah tak ada
selera. Tengku tahu tak apa masalah Tengku ni." Aku berpeluk tubuh.
"Apa?" Tengku
Haizal nampak tak sabar.
"Kalau saya cakap,
jangan marah ya." Aku bagi amaran awal-awal. Mana tahu, terbalik pula meja
ni lepas aku sekolahkan dia kejap lagi.
"Tak, saya janji
tak marah. Awak boleh cakap apa saja hari. Awak nak maki hamun pun boleh. Tapi
hari ni aje."
Aku senyum tengok dia
angkat sebelah tangan, macam orang angkat sumpah.
"Cakaplah
cepat!" gesa Tengku Haizal.
"Tengku ni suka
mendesak. Miang. Suka kacau saya. Suka paksa saya dan satu lagi, Tengku ni
angin satu badan. Nak orang ikut cakap Tengku aje."
Fuh, bestnya dapat
meluahkan perasaan. Tapi muka dia tenang aje. Lama-lama dia senyum.
"Apsal senyum ni?" Aku tanya dia.
"Awak kata saya
miang?" Dia pula tanya aku.
Aku angguk laju.
"Saya memang
miang. Tapi saya nak tanya awak. Semiang-miang saya, pernah ke saya sentuh,
raba atau cium awak?"
Uiks, ni soalan dalam court ke apa?
"Jawablah. Pernah
ke saya buat macam tu?" Dia desak aku.
"Tak." Aku
jawab perlahan. Menyesal pula aku sekolahkan dia tadi.
"Dayang, saya suka
awak. Saya sayang awak. Saya takkan sentuh dan rosakkan orang yang saya
sayang."
"Habis dengan
Natrah tu? Boleh pula peluk-peluk." Aku bidas kenyataan dia.
"Lagi-lagi Natrah!
Ada juga saya cium ni karang. Sebut lagi sekali nama minah galah tu. Memang tak
balik awak malam ni." Suara Tengku Haizal kedengaran biasa. Tapi kaki dia
menyepak kaki kerusi aku. Sebelum dia bertindak lebih ganas baik aku bangun.
“Nak pergi mana?”
Malas aku nak jawab.
Tumpul terus selera nak menghabiskan hidangan di dalam pinggan. Aku ke sinki.
Dia ikut. Tak puas hati lagilah tu. Aku picit sabun dan mula menggonyoh tangan.
Aku jeling Wayar Putus melalui pantulan cermin. Asyik pandang aku saja. Ada
juga aku sabun muka dia ni. Menyampah betul.
“Dayang.”
Aku diam.
“Dayang, saya panggil
ni.”
“Cakap ajelah!” Aku
pandang dia sambil mencerlang mata.
“Amboi garangnya.” Dia buat jeling manja. Huh, tak tergoda
langsunglah. Punya geram dengan dia, sampai ke pangkal lengan aku sabun.
Dua-dua belah tangan pula tu. Sudahnya tak boleh pulas kepala paip sebab tangan
licin. Tengku Haizal gelak sikit.
“Bukakanlah!” Aku
bentak perlahan.
“Dengar saya cakap
dulu,”kata Tengku Haizal. Sebelah tangan
dah pegang kepala paip. Aku pandang dia dengan muncung panjang.
“Bagi saya peluang, please…” Cewah! Punyalah lembut suara
dia. Aku tahan senyum. Muncung masih seprti tadi.
“Saya janji akan ubah
perangai. Saya akan jadi kekasih yang romantik dan gentleman.” Dia angkat
tangan macam orang angkat sumpah. Aku cuba alihkan tangannya di kepala paip.
Tapi tak berjaya.
“Saya betul-betul
ikhlas ni. Saya tak pernah sayang orang lain macam ni tau.” Tengku Haizal masih cuba mempromosikan diri
sendiri.
“Dengar tak saya cakap
ni?” Dia tarik ekor kuda aku.
“Aduh! Ni ke romantik?
Huh! Baru cakap tadi, tak sampai seminit dah tumbuh tanduk. Sweet
talker!”
Akhirnya Tengku Haizal
terpaksa juga alihkan tangan sebab Puan Linda menghampiri kami. Dia kembali ke meja.
Aku cepat-cepat bilas tangan. Mujur Puan Linda tak tahu apa yang kami bualkan tadi. Kalau tidak, rentung
aku kena usik.
“Nah.” Tengku Haizal
letak kotak segiempat berbalut kain baldu merah
di atas meja.
Masing-masing yang ada
di meja tu dah mula senyum-senyum. Apa lagilah dia ni?
“Saya tak boleh terima Tengku.
Mahal ni.” Aku tolak semula kotak itu di hadapannya.”
“Ambil ajelah! Saya
belikan untuk awak dan awak kena
terima.” Tengku Haizal mengeraskan suaranya.
“Bukalah Dayang, kami
pun nak tengok juga.”
Aku toleh sebelah.
Kepohnya Ms. Susan ni. Macamlah aku tak
boleh agak apa yang ada dalam kotak tu. Biasalah, macam dalam cerita Sinetron.
Apa lagi yang ada dalam kotak merah macam tu kalau bukan cincin. Aku buka kotak
cincin tu cepat-cepat dan letak semula atas meja. Tapi tak semena-mena aku
ambil semula kotak itu.
“Apa ni!” Aku dah
menjerit. Di tangan dah terpegang satu bungkusan yang dipenuhi dengan pil-pil
berwarna coklat.
“Ubat resdung,” jawab
Tengku Haizal.
“Ha?” terlopong mulut
aku.
“Semalam awak cakap tak
suka bunga sebab ada resdung kan? Mulai dari sekarang awak kena makan ubat
resdung ni sebab saya akan bagi bunga pada awak tiap-tiap hari.”
Spontan aku baling
bungkusan pil itu ke Tengku Haizal. Yang lain-lain dah terbahak-bahak ketawa.
Malas nak tunggu lagi. Aku capai beg tangan dan terus pergi. Hampeh betul Wayar
Putus ni!