Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

December 18, 2013

DEMI KASIH KITA BAB 2

          Minggu ini kerja shif pagi. Kalau setiap minggu kerja siang pun aku sanggup. Tak adalah risau sangat pasal mak. Nak harapkan Asyura, ada saja alasannya. Mujur ada Nora. Kalau dia dah sambung belajar nanti, siapalah yang nak tengok-tengokkan mak?
           Pon!
          Terloncat aku ke bahu jalan. Sebuah kereta meluncur laju di sebelah aku. Kurang asam. Tak tahu peraturan ke? Mana boleh gunakan hon di dalam kawasan hospital. Panjang leher aku memerhatikan kereta Perodua Myvi berwarna hitam itu. Eh, pemandu itu meletakkan keretanya di tempat letak kereta yang dikhaskan untuk kakitangan hospital. Aku melajukan langkah. Nak tengok siapakah pemandu yang kurang kesedaran sivik itu.
               “Dr. Zaiman!” Laju mulut aku menyebut namanya. Hati semakin panas. Doktor sombong ini rupanya yang hon aku tadi. Pasti pagi ini aku akan bertembung dengan dia di dalam wad nanti. Tunggu kau!
               Seperti yang aku jangka. Dr. Zaiman dan rakan-rakan doktor yang lain masuk ke dalam wad ginekologi untuk melihat keadaan pesakit. Aku dan Rani selaku staff nurse di wad itu akan mengiringi mereka. Tapi sebelum itu, aku selesaikan dulu kerja aku. Aku serahkan senarai ubat dan beri taklimat ringkas pada pembantu-pembantu jururawat.
               “Cepat sikit boleh tak? Kami banyak kerja lain lagi ni?” gesa Dr. Zaiman.
               “Doktor, staff nurse Rani kan ada tu. Tak ada bezanya kalau dia yang baca  report patient. Sekejap lagi saya datang. Saya nak selesaikan kerja saya dulu.” Aku menjawab tanpa memandang mukanya.
               “Dah tahu nak kena baca laporan, kenapa tak selesaikan kerja awak cepat-cepat? Awak ingat kami ni tak ada kerja lain ke?” Dr. Zaiman ni memang nak kena sembur dengan aku. Ada saja benda yang dia tak puas hati sejak aku menegur kesalahannya minggu lepas.
                Aku pandang dia sambil mencekak pinggang. “Doktor Zaiman. Saya kena pastikan betul-betul sukatan ubat untuk pesakit-pesakit ni. Saya ni teliti orangnya. Bukan main hentam keromo aje. Nanti ada pula pesakit yang kejung nanti. Tak pun ada yang bengkak tangannya.”
               Pembantu-pembantu jururawat yang menyaksikan perang mulut antara aku dan Dr. Zaiman menekup mulut menahan tawa. Akhirnya dia beredar. Puas hati aku. Beberapa minit kemudian aku menyertai Rani. Aku dan dia bergilir-gilir membacakan laporan perubatan pesakit untuk doktor-doktor praktikal itu.
               “Boleh baca kuat sikit tak?” tegur Dr. Zaiman.
               Aku pandang mukanya. Menyampahnya aku. Pekak ke apa? Nak aku bercakap guna mikrofon ke? Rani mengambil fail pesakit di tangan aku.
               “Biar saya baca,” ujar Rani.
               “Saya nak dia baca.” kata Dr. Zaiman. Dirampasnya fail di tangan Rani lalu disua pula pada aku.
               “Baca!” arahnya dengan suara yang keras. Dr.Rozy dan Dr. Joanne cuma diam.
               Aku ketap gigi. Bengang betul aku. Nafas aku tarik dalam-dalam. Wajah Rani aku pandang sekilas. Dia nampak risau.
               “Cepatlah! Ramai lagi pesakit nak kena tengok ni,” jerkah Dr.Zaiman.
               “Nama patient  Nurul Syazarina. Umur dua puluh lapan tahun…” Suara aku boleh didengari oleh semua orang yang berada di dalam bilik itu. Nak suruh aku baca kuat-kuatkan? Aku tak pedulikan cuitan Rani. Biar Dr. Zaiman tahu yang aku tak takut langsung dengan dia.
               “Kenapa ni staff nurse Akira? Dari luar lagi saya boleh dengar suara awak.”
               Bacaan terhenti. Aku pandang muka Dr. Idzham yang baru tiba. Kemudian aku kerling Dr. Zaiman. Perlahan-lahan dia tunduk, pura-pura menulis.
               “ Ada anak buah doktor ni yang mengalami masalah pendengaran. Sebab itu saya baca kuat-kuat. Biar dia dengar dengan jelas dan terang. Betul tak Doktor Zaiman?” Tajam jelingan aku padanya. Dia diam tidak berkutik.
               “Hmm, dah habis ke belum?” tanya Dr.Idzham.
               “Belum, ada dua bilik lagi,” jawab Rani. Mata aku masih terarah pada Dr. Zaiman. Ada lagi yang masih terbuku di hati aku ni.
               “Ok tak apa. Awak berdua boleh pergi. Biar diorang baca sendiri,” kata Dr. Idzham.
               “Oh ya, satu lagi doktor. Boleh tak tolong ingatkan pada anak-anak buah doktor ni tentang peraturan-peraturan ketika berada di dalam kawasan hospital.” Dr.Zaiman mengangkat kepala. Aku hadiahkan dia dengan senyum sinis.
               “Kenapa Akira?” tanya Dr.Idzham.
               “Ada anak buah doktor menggunakan hon di dalam kawasan hospital. Saya rasa budak sekolah pun tahu, mana boleh bising di dalam kawasan  hospital. Bukan setakat main hon, bawa laju pula tu. Tak menunjukkan kredibiliti seorang doktor langsung.” Aku letak fail yang masih berada di tangan di atas meja lalu terus keluar dari bilik itu. Puas hati dapat mengenakan Dr. Zaiman. Kau ingat kau bagus sangat? Baru jadi doktor praktikal  dah berlagak macam doktor pakar. Huh!
               “Berani betul kau kenakan dia Akira,” ujar Rani.
               “Padan muka dia! Dia ingat aku takut ke?” Punggung ku henyak di atas kerusi. Cuba menenangkan diri sebentar.
               “Yang kau angin sangat dengan Dr. Zaiman tu kenapa?” tanya Rani.
               “Mana tak nya? Pagi-pagi lagi dah sound  aku depan budak-budak ni. Dahlah pagi tadi bawa kereta laju-laju. Nasib baik aku tak tertonggeng kat tepi jalan tu.”
               Rani ingin bertanya lagi tetapi hasratnya terbantut tatkala kumpulan doktor-doktor tadi melintasi kaunter. Aku berpaling ke arah lain. Tak kuasa memandang muka Dr. Zaiman. Sehingga mereka semua masuk ke bilik yang seterusnya, barulah aku mengadap Rani kembali
               “Dia pandang kau aje tadi,” ujar Rani dengan suara berbisik.
               Aku hanya mencebik. Aku teruskan kerja seperti biasa. Keadaan agak tenang hingga waktu makan tengahari. Sebelum menyuap aku telefon mak dahulu. Apalah yang sedang dia buat pada waktu ini?
               “Boleh duduk kat sini?”
               Dr. Zaiman menarik kerusi. Melingas pandangan aku mencari Rani. Dia masih memilih makanan. Apa tujuan dia duduk di sini? Dr. Zaiman senyum sikit lalu terus memulakan suapan. Tak dihiraunya aku yang sedang merenungnya.
               “Awak nak telefon boyfriend ke?”
               Eh, baru aku perasan telefon yang masih berada di tangan. Aku simpan semula gajet comel itu di dalam poket baju. Aku masih pelik ni. Kenapa dia duduk sini? Masih banyak lagi  meja yang masih kosong.
               “Saya minta maaf pasal pagi tadi.”
               Terangkat kening aku. Apahal tiba-tiba jadi budak baik ni? Dia masih lagi menyuap. Laju betul suapannya. Aku pula, terus hilang selera nak menjamah. Tak selesa bila dia ada di sini.
               “Awak dengar tak saya cakap ni Staff Nurse Akira?”
               “Panggil Akira aje.”
               “Ha, ada pun suara. Ingatkan ada masalah pertuturan tadi.” Giliran dia pula perli aku.
               Dr. Zaiman menolak pinggan yang sudah licin ke tengah meja. Mulut dikesat dengan tisu. Ketika dia menyedut habis minumannya, barulah Rani tiba.
               “Eh, Dr.Zaiman pun ada kat sini? Dah selesai makan ke?”
               “Makan dah selesai. Ada hal lain yang belum selesai,” jawab Dr. Zaiman. Matanya mengerling aku sambil mencampakkan tisu yang telah digunakan ke dalam pinggan.
               “Hal apa?” Aku pula tanya dia. Kalau boleh aku mahu dia segera beredar. Tapi nak tahu juga hal apa yang masih belum selesai tu.
               “Saya nak cakaplah ni. Tapi saya takut kena marah pula nanti.”
               “Siapa pula yang nak marah?” tanya Rani.
               “Ni, kawan awak. Garangnya mengalahkan singa betina,” seloroh Dr. Zaiman. Tawa Rani langsung tidak berjaya memancing aku untuk tergelak sama.
               “Doktor nak cakap apa? Cepatlah cakap. Hilang selesa saya bila doktor ada di sinilah!” Aku dah tak larat nak kawal perangai sopan. Banyak pula basa-basinya Dr.Zaiman ni.
               “Awak off  bila?”
               “Buat apa nak tahu?”
               “Sebab saya nak selesaikan hal yang masih tertangguh tu.”
               “Hal apa?”
               “Cakaplah dulu, awak off  hari apa?” Dr. Zaiman mengulang soalan.
               “Saya dan Akira off hari  Sabtu.” Rani yang tolong jawabkan.
               Dr. Zaiman senyum pada Rani. Dia pandang aku semula. Ni apahal pula tenung-tenung orang ni?
               “Akira, boleh bagi alamat rumah awak?”
               “Eh, doktor nak buat apa?”
               “Saya nak ajak awak keluar tengok wayang hari Sabtu ni. Nanti saya jemput awak di rumah.”
               Tersembur air di mulut Rani. Nyaris tak terkena baju Dr.Zaiman. Aku pula dah terlopong. Tapi sekejap saja. Aku hulurkan tisu pada Rani. Dr.Zaiman berlagak biasa. Tiada reaksi.
               “Saya masih menunggu ni. Cepatlah, saya nak alamat rumah awak. Kalau awak takut, boleh bawa Rani sekali.” Dr.Zaiman mendesak.
               “Hari Sabtu ni saya nak keluar dengan tunang saya.” kata Rani.
               “Kalau macam tu awak ajaklah adik-beradik awak ke. Mak awak ke.” Dia masih tak mahu mengalah.
               “Maaf, saya tak berminat nak keluar dengan doktor.” Aku tarik pinggan dan mula menyudu nasi dan lauk. Melayan dia berbual sudahnya habis pula masa rehat aku.
               “Tapi saya berminat nak keluar dengan awak.”
               “Tak boleh.”
               “Kenapa pula tak boleh? Awak dah ada teman lelaki ke?”
               “Tak.”
               “Habis tu?”
               Aku biarkan Dr. Zaiman tertanya-tanya. Tak mungkin aku akan beritahu dia tentang masalah kesihatan mak. Itu menagih simpati namanya. Rani cuma diam. Makanan di dalam pinggannnya juga hampir licin.
               “Kalau awak tak nak bagi, saya masih boleh dapatkan alamat awak dengan cara lain. Cuma sekarang ni saya dengan berhemahnya minta alamat rumah awak dengan cara baik. Saya cuma nak berkawan. Tak ada niat lain.”
               Aku tolak pinggan dan menyedut minuman sedikit demi sedikit.
               “Doktor lupa ke dengan etika kerja? Doktor dan kakitangan lain mana boleh ada sebarang hubungan.”
               “Cik Akira, etika kerja tu cuma undang-undang manusia.”
               Aku tolak kerusi dan bangun. Malas nak melayan Dr. Zaiman. Rani juga turut sama bangun.
               “Eh, kita belum habis lagilah. Mana alamatnya?” Dr.Zaiman nak bangun juga. Tapi aku buntangkan mata tanda aku tak mahu dia ikut aku. Dia bersandar semula. Aku tarik tangan Rani dan cepat-cepat beredar dari situ.
               “Aku rasa dia nak berbaik-baik dengan kaulah Akira.”
               “Jangan merepeklah Rani. Aku kenal sangat dengan perangai doktor-doktor praktikal ni. Sama aje macam…”
               “Macam siapa? Kau nak cakap perangai Doktor Zaiman sama dengan perangai Doktor Naufal ke?”
               Aku cuba mengawal api kemarahan yang ingin menyala. Tak boleh nak salahkan Rani. Cuma dia saja yang tahu sejarah silam aku.


Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.