Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

April 03, 2015

Please...Don't be GELOJOH! BAB 3


                    Seminggu  kemudian...
            Wanda dan Dina memerhatikan Madam Jenny, pengurus  cawangan restoran makanan segera  itu  memeriksa  fail laporan kerja mereka berdua. Megan juga turut  berada  di situ. Serius  wajah kedua-duanya. Sesekali  ternampak  kerutan-kerutan di  dahi Jenny. Setelah hampir sepuluh minit  berdiri, barulah Madam Jenny  menyuruh  Wanda  dan Dina duduk. Megan keluar dari  bilik  itu  membawa fail Wanda  dan Dina.
            “Dina, seronok  tak  kerja di bahagian kaunter?”
            Dina memandang Wanda tatkala  mendengar  soalan yang  diajukan oleh Jenny.
            “Setakat hari  ini  masih okey  Madam.”
            Madam Jenny memandang Wanda. Gadis itu  menelan air liur beberapa  kali.  Melihat  wajah serius  Madam Jenny  membuatkan perut  Wanda  tiba-tiba memulas. Entah kenapa  dia dapat merasakan sesuatu yang kurang  baik akan menimpa dirinya  sebentar nanti.
            “Kamu  ada  masalah tak Wanda?”
            “Tak ada. Saya  baik aje  dengan semua  staff.” Laju  jawapan meluncur keluar  dari  mulutnya.
            “Bukan dengan staff lain. Saya  maksudkan dengan kerja-kerja  awak di  kaunter. Dah seminggu awak kat  situ. Hampir setiap  hari,  ada  saja  duit yang  short. Bila nak pandai  ni?”
            “Tapi  saya dah ganti  balik  duit  yang  short tu.” Wanda membela diri. Memang dia akui telah banyak  melakukan kesilapan terutamanya  ketika  memulangkan baki duit  kepada pelanggan. Ada pelanggan yang jujur, memulangkan semula duit yang terlebih tetapi  ramai  yang  terus  cabut.
Kitchen crew  juga banyak complaint  pasal  awak. Ikhwan kata banyak kali  awak  salah ambil  pesanan. Rugilah company  macam ni.” Madam Jenny menepuk peha sendiri. Jelas, dia  sangat tidak berpuas hati  dengan Wanda yang kuat melawan.
Wanda tersentak.  Tetapi  bukan kerana disergah  Madam Jenny. Tak sangka,  Ikhwan juga terlibat. Depan Wanda  bukan main baik. Biar berkali-kali  Wanda melakukan kesalahan, Ikhwan  cuma tersenyum  dan menggeleng-geleng. Paling tidak pun dia akan menegur  dengan intonasi  suara yang sangat  lembut. tergamak  dia menikam Wanda dari  belakang.
“Ikhwan cakap  saya tak pandai  kerja?”  Bergetar  suara  Wanda. Bergenang airmatanya  menahan sedih.
“Awak bukan tak pandai kerja. Tapi  awak  tak fokus  pada kerja  awak. Ini  baru  laporan dari  Supervisor dan Chief  Cook. Kalau  ada pelanggan  yang complaint  lepas ni  macam mana? Awak nak  kerja ke  tak?”
Kalau  boleh, sekarang juga dia  nak berhadapan dengan Ikhwan. Lelaki  itu  memang pelakon terbaik.  Timbul pula  rasa menyesal  di  hati  Wanda kerana berkenalan dengan lelaki  itu. Wanda  menarik nafas  dalam-dalam. Ditenungnya  Madam Jenny dengan pandangan yang tajam.
“Awak tak jawab soalan saya,” Jenny  mengingatkan Wanda.
“Nak.. saya nak kerja lagi kat sini. Please Madam. Saya  janji akan buat kerja elok-elok. Kalau  tidak...” Wanda memandang Dina. Tiba-tiba dia kehilangan kata. Apa  taruhan yang boleh ditawarkan pada  Madam Jenny? Cabaran Wahyuni  masih terngiang-ngiang di telinga. Apa  jadi  sekalipun dia  harus  bertahan lebih lama  di  sini.
“Kalau tidak, apa? Awak cuma ada  dua  pilihan.  Samada  tukar department atau berhenti  kerja.”
Terbangun Wanda mendengar  kata-kata  Madam Jenny. Wanita Cina itu  cuma menjongket kening. Wanda pasti  keputusan itu  adalah muktamad. Sambil  membetulkan topi  di  kepala, Wanda mendengus  nafas kasar.
“Bagi  saya masa sampai cukup  bulan. Kalau  Madam masih tak  puas hati dengan kerja  saya, saya  sendiri akan berhenti kerja.”
Wanda terus  keluar. Tak  sanggup  lagi dia  berlama-lamaan di  situ. Hatinya sakit. Tekadnya  untuk bekerja  di  situ sudah berubah sekarang. Ikhwan memang tidak boleh diharap. Kini  dia  bertahan hanya  untuk  menyahut  cabaran Wahyuni. Selepas  sebulan, tak  ingin dia menjejakkan kaki  ke  sini  lagi.
Wajah pertama yang tertangkap  di matanya sebaik sahaja  keluar  dari  pejabat Madam Jenny adalah Megan. Dia tahu, gadis yang berasal dari  Sabah itu  tidaklah segarang mana. Cuma mulutnya sahaja suka mengeluarkan ayat-ayat yang berbisa. Wanda  mendekati  Megan sambil  mengikat tali  apron di pinggang.
“Terima kasih,” ucap  Wanda.
“Ha?” Megan terlopong, tidak faham apa dengan apa yang Wanda  cuba sampaikan.
Tanpa  penjelasan, Wanda hadiahkan Megan dengan senyum sinis  dan terus  masuk ke kaunter. Dina yang sudah  lama berada di  situ  langsung tidak dipedulikannya. Ada satu  jam lagi  sebelum waktu perniagaan sebenar. Wanda ambil  kain basah yang telah diperah lalu membersihkan kaunter. Sambil  mengilatkan  skrin monitor dia  membaca satu-persatu  menu-menu yang tertulis. Terkumat-kamit mulutnya menyebeut nama-nama makanan  itu. Wajahnya masih masam mencuka.  Seorang pun tidak berani  menegurnya.
Perubahan mendadak Wanda disedari Ikhwan yang sedang sibuk melakukan persiapan-persiapan di dapur. Hairan dia  melihat tingkah gadis itu. Kebiasaannya pada  waktu-waktu  begini  Wanda akan mundar-mandir di dapur, cuba memancing perhatiannya. Tapi  tidak hari ini. Suara  manja gadis itu  belum didengari  hari  ini.
“Selamat  pagi,” ucap  Ikhwan.
Ucapan itu  secara  umum. Tapi matanya terarah pada Wanda yang sedang menuang  ais batu ke dalam bekas. Gadis itu  langsung tidak memandangnya.
“Pagi  Ikhwan,” jawab Dina.
Ikhwan bagi isyarat pada Dina supaya  beredar  sebentar  dari  situ. “Err... Wanda. Tolong  susunkan ayam-ayam ni,” suruh Ikhwan teragak-agak.
Tanpa  sebarang bunyi, Wanda berpaling.  Penyepit  makanan yang panjang Wanda  ambil  lalu  mula  menyusun ayam-ayam yang telah digoreng oleh Ikhwan di atas  para. Laju  dia  melakukan kerjanya. Tidak seperti  selalu. Susunan ayam-ayam goreng juga nampak lebih kemas  dan mengikut saiz.
“Senyap  aje  hari  ni.  Sakit mulut ke?” Ikhwan cuba berlawak. Tiada reaksi  dari  Wanda.
“Tak  sihat ke sayang?”
            Kerja  Wanda terhenti. Ikhwan ditenung tajam. “Mind your language!”
            Beberapa  orang rakan sekerja menoleh ke arah Wanda. Terkejut  Ikhwan mendengar  suara Wanda yang agak kuat. Bukan itu  yang dia harapkan dari gadis itu.  Mana pergi  Wanda yang manja, suka  mengeluh dan gedik itu? Oleh kerana tidak mahu mereka berdua  menjadi perhatian, Ikhwan segera  beredar  ke  dapur. Perubahan mendadak Wanda membuatkan Ikhwan tidak senang duduk. Apa  yang telah terjadi pada  gadis itu?
            Wanda selesai dengan kerjanya. Dia pergi ke kuanter semula  dan kembali  menghafal  menu-menu yang tertera  di  monitor. Dia nekad, hari ini dia akan pastikan tiada sebarang kesilapan  yang akan berlaku. Sambil  menghafal, sesekali dia  melirik  pada jam di tangan. Lagi  setengah jam pintu  restoran akan dibuka.
            “Kau okey tak ni  Wanda?” Dina menghampiri. Lengan Wanda  dipegang lembut. Rasanya  dia  tahu kenapa  gadis itu berubah tingkah.
            “Okey aje...” Wanda  menjawab malas. Perlahan-lahan dia menolak tangan Dina.
            “Tapi nampak macam tak okey ni. Kau bengang dengan hal tadi ya?”
            Wanda berpaling. Mata yang mula berbahang dikelip-kelipkan beberapa  kali. Akhirnya  ada juga yang faham perasaaannya ketika  itu. Wanda  tunduk. Berkali-kali  dia  menarik nafas, cuba  mengawal rasa  sebak  yang sudah mula menjengah. Dina menggosok-gosok belakang badan Wanda. Perbuatan itu  menyebabkan  mata Wanda semakin berpasir. Sebelum dia menangis  di situ, lebih baik  dia beredar.
            “Nak ke mana tu?” laung Dina.
            “Aku nak buang  air  sekejap. Kaunter  dah buka nanti  tak  boleh nak  bergerak ke mana-mana. Bukannya  boleh ditinggalkan sekejap  kaunter  tu. Takut  ada  orang mengadu  aku  curi tulang pula nanti!” Keras  suara  Wanda menjawab pertanyaan Dina.
             Sekali  lagi  Wanda  menarik perhatian kawan-kawannya. Sempat lagi dia  menjeling Megan yang sedang membuat  pemeriksaan akhir  di  dapur. Sengaja  dia menghentak kaki  kuat-kuat, mengekspresikan rasa  hatinya ketika  itu. Ikutkan hati  mahu  saja dipijak-pijaknya  muka  Megan. Muka  sombong, berlagak dan susah nak  senyum.
             Wanda mengunci  diri di dalam tandas. Melihat diri  sendiri di  dalam cermin. Dia melawan tenungan mata sendiri.  Turun naik dadanya  menahan amarah . Airmata yang puas  diempang akhirnya  mengalir  laju, diselangi dengan esakan yang perlahan.  Wanda  menekup mulut, cuba mengawal suara. Malulah dia kalau  diketahui  oleh rakan-rakan yang lain.
            “Don’t  give up  Wanda!” Dia meniup  semangat untuk  diri sendiri. Tiga minggu  tidak lama. Sekurang-kurangnya dia dapat buktikan pada Wahyuni yang dia boleh bekerja lebih lama dari jangkaan  kakak sulungnya itu.
            Puas  menangis, Wanda basuh muka. Tak peduli dengan mukanya yang masih basah dan matanya yang bengkak dia terus keluar dari situ.
            “Wanda.”
            Tangannya  tiba-tiba ditarik.  Terdorong badannya  mengikut  Ikhwan ke sudut bilik  sejuk beku.
            “Apa ni? Lepaslah!” Wanda meronta. Pegangan Ikhwan semakin kemas.
            “Saya jerit  nanti,” ugut  Wanda.
            “Saya minta maaf...”
            “Lepas!”
            “Kalau awak jerit, nama awak juga yang naik  nanti. Ini  kawasan kerja saya.” Ikhwan pula mengugutnya.
            “Bagus! Ini perangai  sebenar awak rupanya. Macam duit  syiling. Depan saya bukan main baik.  Sampai  hati  awak bagi laporan negatif pasal saya pada  Madam. Kalau  tak suka  saya bekerja  kat sini  cakap  terus-terang. Saya boleh kerja kat  tempat lain.” Sambil membebel, Wanda masih berusaha melepaskan tangannya.
            “Ada sebabnya  saya buat macam tu. Dengar..”
            “Ikhwan! Fries dah siap  ke belum?” Megan menjerit di luar  bilik sejuk  beku.
            Dengan sekuat  tenaga Wanda merentap  tangannya  dari pegangan Ikhwan.  Dia  berjaya dan terus  keluar dari  situ.  Mujur  Megan tidak menunggu di luar  bilik. Kalau  tidak pasti  kecoh satu  restoran. Tapi Wanda bertembung juga dengan supervisor yang cengeng  itu  ketika  dia masuk ke  kaunter.
            “Ingat, hari ini  jangan ada  duit yang short lagi. Kalau tidak...”
            “Aku tahu  apa  yang aku buat. Tak payah nak cakap berulang-kali. Jangan berlagak  sangat dengan jawatan yang tak seberapa tu. Pangkat kau tu  cuma bernilai  di dalam restoran ni aje. Kalau kau  berjalan-jalan kat  luar  dengan baju  biasa, rasa-rasanya baju  yang aku pakai  lebih mahal dari  kau. Tepilah!”
            Sengaja  Wanda melanggar bahu Megan. Dengan wajah yang merah padam, Wanda membetulkan topi  di  kepala. Kemudian diambilnya  gelas minuman dan meletakkan beberapa  ketul ais. Mesin minuman berkarbonat  ditekan. Dengan  laju  Wanda menyedut minuman itu. Tak  peduli dengan pandangan rakan-rakan lain. Hari ini dia  nekad. Jangan ada  sesiapa pun yang cuba cari  pasal dengan dia. Cakap  Madam Jenny saja akan diguna pakai hari ini.
            “Boleh ke kau handle kaunter dalam keadaan macam ni? Aku risaulah Wanda.” Dina cuba jadi pendamai.
            “Apsal  pulak  tak  boleh? Sebab kau tengok  muka  aku  macam orang baru  menangis? Atau  kau takut aku  curi  duit dalam cash machine kau untuk cover   cash machine  aku  yang bakal  short nanti?” Wanda tunjuk  senyum sinis.  Dina  terdiam. Mungkin itu  langkah yang terbaik untuk menyejukkan hati  Wanda.
            Waktu perniagaan bermula.  Pelanggan mula  masuk. Karakter Wanda  berubah serta-merta. Sehabis  lebar dia melemparkan senyuman pada pelanggan-pelanggan yang berurusan di kaunternya.
            “ One piece of Double Chicken Burger Without Cheese!” Wanda menjerit kuat. Semua  yang berada di  bahagian dapur menoleh padanya. Wanda  senyum.  Sekarang baru mereka tahu  betapa kuatnya  suara  Wanda.
            “Five minutes!” Ikhwan menyambut  laungan Wanda.
             Tiada respons dari  Wanda. Tangannya lincah menyiapkan makanan yang dipesan oleh pelanggan. Usai pelanggan membayar harga makanan, Wanda meletakkan tag bernombor di dalam dulang.
            “Encik duduk  dulu. Lima minit  lagi  burger  Encik siap,” ucap Wanda lembut. Senyum tidak  dilupakan. Pelanggan itu  cuma mengangguk dan berlalu pergi sambil menatang dulang yang penuh dengan makanan.
            Wanda menarik  nafas  puas hati. Dikerlingnya Dina di kaunter  sebelah. Gadis itu  menaikkan ibu  jari  tanda  bagus. Wanda mencebik.  ‘Baru sekarang nak bagi  moral support?  Pigidah!’ Wanda mengomel  di dalam hati.
            Pelanggan semakin ramai.  Wanda masih seperti  tadi. Suaranya antara yang paling kuat hari  ni. Megan langsung tak  berani  masuk ke kaunter. Dia cuma memantau  dari jauh. Mungkin kerana hari  ini dia  melihat keyakinan  Wanda agak  berlebihan dari hari biasa.
            “Ikhwan!” Wanda memanggil dari depan kabinet makanan.
            “Yes darling?”
            “Darling kepala hotak kau! Burger tadi  dah siap  ke belum? Kau cakap tadi  lima minit  kan?” Wanda bercekak pinggang.
            “Dah siap, tengah bungkus.” Ikhwan menjawab perlahan. Terkejut betul dia. Tak sangka  Wanda yang lemah lembut akan berubah sebegitu rupa. Besar sangat ke kesalahannya?
            “Apsal  lembap  sangat ni? Popcorn nugget kat dalam tray ni dah nak habis. Kenapa tak ada orang yang top-up?Sos  whipped potato tu  dah sejuk. Budak-budak kau  tak buat  kerja ke? Megan, dari kau duduk aje  kat  situ  jadi patung bernyawa baik  kau tolong-tolong sikit budak-budak dapur ni. Jangan pandai nak cari  kesalahan orang aje!”
            Wanda kembali ke kaunter. Puas hatinya dapat  menghamburkan kemarahan pada  Ikhwan dan Megan. Cukup  pandai  dia  mengawal  emosinya ketika  meladeni  pelanggan. Senyumnya  nampak  manis  sekali. Tetapi tatkala  dia berpaling  untuk  menyiapkan pesanan, wajahnya  berubah menjadi  masam-semasamnya.
            Tak  ada sesiapa pun yang berani  berbual-bual  dengan Wanda ketika  waktu  rehat. Dia  pun seperti tidak kisah dibiarkan keseorangan. Topi yang menutup  kepala sepanjang bertugas  tadi  dilempar ke meja. Minuman bergas  di dalam gelas disedut kasar. Sudah tiga gelas  air  berkarbonat  itu  masuk  ke dalam perutnya. Wanda  tidak peduli. Marah punya  pasal dia  abaikan kesihatan perutnya.
            Sorry, tak dapat  rehat  bersama hari  ini. Saya  ada  hal. Be cool okay. Miss you  so  much.
            Terjuih mulut  Wanda  membaca mesej yang baru  diterima daripada  Ikhwan. Usaha  lelaki  itu  untuk  memujuknya  menggunakan ayuat-ayat  cinta  ternyata  tidak membuahkan hasil. Wanda matikan telefon. Dia  tidak  mahu  sebarang gangguan. Anginnya masih sama sehinggalah waktu  kerjanya bermula semula. Tapi dia sudah tidak terjerit-jerit seperti  sebelumnya. Tidak perlu  lagi  berbuat  demikian kerana  Madam Jenny  sudah masuk ke  pejabat. Takkanlah dia nak tunjuk  perangai  di depan ketuanya. Menempah  bala  namanya tu.
            “Sss...aduh!” Wanda memegang perut.
            “Kenapa?” tanya Dina.
            Wanda tunduk. Dia tahu gastriknya  sedang menyerang. Nafas  ditarik dalam-dalam untuk  meredakan sebu  di  perut. Mujur tidak  ramai  pelanggan ketika itu  dan waktu  kerjanya juga  sudah hampir  tamat.
            “Argh!!!”
            Wanda  mencangkung pula.  Berpeluh-peluh mukanya menahan sakit. Dina  menggamit Megan yang sedari  tadi cuma memandang saja dari  ruang dapur. Dengan bantuan beberapa orang rakan yang lain, Wanda  dipapah keluar  dari kaunter.
            “Gastrik ke?” Ikhwan muncul. Di tangannya  sudah tersedia  sebotol  minyak  angin lalu dihulur  pada  Wanda. Yang lain-lain mula beredar melihat kehadiran Ikhwan di  situ.
            “Ada bawa ubat tak?” tanya Ikhwan. Kerisauan jelas  terpancar di  wajahnya.
            “Kat  rumah,” balas  Wanda.
            “Jom saya  hantar  awak  balik.”
            “Waktu  kerja belum habis.” Wanda mengingatkan.
            “Tak apa.  Nanti  saya suruh Megan adjust.
            Ikhwan bangun dia  sudah bersedia untuk memapah Wanda  keluar dari situ. Tapi  Wanda  menolak  tangan Ikhwan yang sudah melingkar  di  pinggangnya  dengan kasar. Satu  jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki  itu.
            “Saya belum nazak lagi. Tak payah nak berbaik-baik  dengan saya.  Abah saya datang jemput  saya  kejap lagi.” Wanda masih berdegil.
            “Please sayang. Simpan marah awak tu untuk hari ini. Besok-besok boleh sambung marah saya balik. Abah awak  selalu  datang lambat. Bukannya  saya tak tahu. Marilah...”
            Wanda  cuba berkeras. Tetapi  perutnya  yang semakin tidak  mahu  bekerjasama  menyebabkan Wanda terpaksa beralah dengan pujukan Ikhwan. Wajahnya semakin pucat  ketika mereka sudah bersedia untuk  bergerak  pulang.
            “Kita pergi  klinik  nak? Muka  awak pucat betul  ni.”
            “Tak  payah.  Ubat  saya ada kat rumah. Lagipun saya  ada alahan. Cuma family   saya saja yang tahu  tentang itu.”
            Ikhwan terdiam. Mati  akalnya untuk  memujuk Wanda. Mereka bungkam ketika  di dalam perjalanan. Dalam kesakitan, Wanda masih mampu  menunjukkan arah untuk balik ke rumah. Beberapa  kali  dia menekup  mulut untuk menahan isi perut  yang  ingin keluar. Namun ketika mereka betul-betul  sudah berhenti  di depan pintu  pagar, Wanda sudah tidak mampu  bertahan. Elok saja pintu  kereta  dibuka, dia  terus  berlari  ke longkang untuk mengeluarkan bahan-bahan yang sedang menggodak  perutnya.
            “Dah tahu ada gastrik, awak pergi  minum air  bergas tu  kenapa? Tengok, siapa  yang susah sekarang?” Ikhwan membebel. Tangannya  sudah mengusap-usap  lembut  belakang Wanda. Tak  ada  niat  lain, dia cuma ingin membantu  gadis  itu  melegakan tekaknya.
            “Kau  berdua buat apa ni?”
            Terloncat Ikhwan beberapa  tapak  ke belakang. Wanda  berdiri  tegak, Tapi  cuma sekejap. Dia kembali tunduk dan muntah lagi.  Wajah garang abah tidak berjaya  menakutkannya  ketika itu.
            “Wanda kena gastrik pakcik,” ujar Ikhwan  agak  perlahan.  Menggigil lututnya  melihat  wajah abah yang menyinga. Bapa  mana yang tidak melenting apabila  melihat  anak  daranya  disentuh oleh lelaki  yang bukan mahramnya, kan? Dia pula mengambil alih tempat  Ikhwan mengusap  belakang  Wanda.
            “Tak makan ke  kat tempat kerja tadi? Sibuk  sangat sampai  tak  sempat nak makan?” Abah mengerling Ikhwan. Dia  memerli lelaki  itu  sebenarnya.
            “Maaf, saya  tak sempat  nak  minta izin pakcik untuk bawa Wanda balik.  Dia minum air bergas  tadi...”
            Abah mengemam bibir. Wanda sudah tidak pedulikan perbualan antara  kedua-dua lelaki  itu. Mak  yang baru sahaja  keluar memapah  Wanda masuk  ke  dalam rumah. Ikhwan yang berada  di  situ  langsung tidak dipedulikannya. Lelaki itu  cuma mampu memandang  Wanda hilang di  balik pintu  utama.
            “Err.. saya balik dulu  pakcik.”  Ikhwan menghulur  tangan. Wajah  abah  sudah  tidak sekeruh tadi. Huluran tangan disambut.
            “Terima  kasih. Tak nak masuk dulu.” Abah berbasa-basi.
            “Tak apalah.  Pakcik uruskan Wanda dulu.” Ikhwan menolak dengan sopan.
            Ikutkan hatinya  memang mahu  melihat  lagi  keadaan Wanda.  Seharian gadis itu  mogok  suara dengannya. Semuanya  itu  berpunca dari  perbuatannya juga. Namun Ikhwan punya alasan tersendiri  kenapa  dia  berbuat demikian. Ada  kesempatan nanti, dia  akan beri  penjelasan pada  gadis  itu. 

Please... Don't be GELOJOH! BAB 2


                  “Wah! Macam tak percayalah. Ada orang tu  bangun awal  hari  ni.”
            Wanda pekakkan telinga. Sudah dijangka, dia akan diperli pagi  itu. Bangun lambat  salah,  bangun awal  kena perli  pula. Sambil  menyarung stokin, matanya  mengerling  Wahyuni  yang sedang  bersarapan bersama mak  dan abah. 
            “Masuk kerja  pukul  berapa?” tanya  Wahyuni.
            “Sembilan.”
            “Balik  pukul  satu tengahari?” Wahyuni ketawa. Abah turut  menyertai.
            “Yuni...” Satu jelingan tajam mak  hadiahkan pada Wahyuni.
            Wahyuni  cuma  menjuih bibir. Bukan dia  mahu  memperlekehkan Wanda. Tapi  dia sudah  masak  benar dengan perangai  adik  bongsunya. Lama manalah dia mampu bertahan di restoran makanan segera itu?
            “Bukannya  nak  bagi  kata-kata  semangat.  Asyik  nak perli  orang aje.  Kali ini Wanda  akan kerja betul-betul. Wanda  janji,  gaji  pertama  nanti  Wanda nak belanja semua orang.”
            “Gaji  pertama di hujung bulan ke, gaji  pertama lepas  kerja  petang karang?”  Wahyuni  masih belum puas menyakat.
            “Abah! Tengoklah Kak Yuni  ni. Menyampah betullah! Bukannya nak  bagi  semangat. Asyik  nak  kutuk  Wanda aje.” Muncung Wanda  sudah  panjang. Merah padam wajahnya menahan marah.
            “Kak Yuni  bukan mengutuk. Ini kata-kata semangat. Buktikan pada mak  dan abah yang kau  boleh berdikari. Kak  Yuni  cabar kau. Kalau kau  mampu  bertahan selama sebulan, kau mintalah apa  saja. Kak  Yuni akan tunaikan.”
            Bulat  mata Wanda  mendengar  cabaran Wahyuni. Wajah mak  dan abah dipandang seketika. “Betul  ni? Jangan menyesal tau.”
            “Kenapa  nak menyesal  pula? Tapi  kalau  kau  berhenti  lebih awal, kau  kena  jadi  babysitter anak-anak  Kak  Yuni. Deal?”
            Hilang senyum di bibir  Wanda. Sekali  lagi  wajah  kedua  orang tuanya dipandang. Mak cuma menjongket  bahu. Abah pun sama. Wahyuni  mengetuk-ngetuk meja  dengan hujung jari. Wanda merenung jemari  Wahyuni sambil  menimbang-nimbangkan semula tawaran itu.
            “Okey! Wanda sahut cabaran Kak Yuni. Satu  bulan, ya?”
            Wahyuni  mengangkat ibu jari, kemudian melagakan buku  limanya  dengan buku lima Wanda. Gadis itu  cepat-cepat menghabiskan minumannya  dan terus  menyarung kasut. Dia  yakin dia mampu  menyahut cabaran Wahyuni.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Awak dan Dina ikut Megan ke  kaunter. Nanti  dia  akan tunjukkan kerja-kerja  yang  perlu kamu  berdua buat.”
            Wanda menoleh ke  kaunter. Segala  macam rasa sudah mula menghampiri. Bolehkah dia memulakan tugas dengan baik  hari ini?  Apa yang dia tahu kalau  dia ke  restoran makanan segera, pekerja  yang bertugas  di kaunter bertanggungjawab untuk  menyediakan pesanan  pelanggan. Mengenangkan semua  itu telah membuatkan tangan Wanda berpeluh. Keyakinannya  mula pudar  sedikit demi sedikit.
            “Kau okey  tak ni?” Dina  bertanya apabila  melihat  Wanda  seperti tidak menumpukan  perhatian pada taklimat  yang  diberi.
            Pintu di bahagian dapur terbuka  sebelum sempat  Wanda menjawab soalan Dina. Serta-merta semua kebimbangan terbang pergi. Gerangan yang ditunggu-tunggu sudah pun tiba. Pakaian dirapikan dan dia  kembali  menumpukan perhatian pada  taklimat  yang  sedang berlangsung.
            “Dina dan  Wanda boleh ikut Megan ke  kaunter. Selamat  bekerja.  Kalau  ada  yang kurang faham, kamu  boleh tanya mana-mana  senior di  sini.” 
            Senyum manis terukir di  bibir  Wanda tatkala mendengar  kata-kata  akhir Branch in-charge. Sebaik  sahaja wanita Cina itu beredar, dia yang terlebih dahulu masuk ke kaunter.
            “Hai  Ikhwan,” sapa Wanda ramah.
            Ikhwan cuma senyum dan mengangguk sekali. Dia terus  menyarung apron dan menghilangkan diri  ke  dalam stor  makanan beku.
            “Eh, sombongnya  dia. Semalam baik  sangat.  Hmmm...” Dia mengomel  sendirian.
            Tak  mengapa. Banyak masa lagi. Mungkin masih awal pagi. Mood nak  berbual  masih belum ada barangkali. Wanda mula menumpukan perhatian pada penerangan yang diberikan oleh Megan.  Pada peringkat  permulaan,  rasa teruja  membuatkan dia rasa tidak sabar  untuk  memulakan kerja. Tetapi tatkala  waktu  kerja hampir tiba, perasaan gemuruhnya  datang lagi.
            “Wanda, kau  jaga kaunter sebelah  kanan. Dina kau di kaunter  tengah,” arah Megan.
            “Habis tu  kau jaga kaunter mana?” tanya  Wanda. Soalannya  itu  telah memancing perhatian rakan sekerja yang lain.
            “Hari  ini aku  jadi  pemerhati. Tak payah risau. Kau buat  aje macam yang aku  ajar tadi. Apa yang penting, sediakan makanan mengikut apa yang  dipesan oleh pelanggan.” Megan meninggalkan mereka berdua  di  situ dan pergi  ke  pintu  utama. 
            Papan tanda ‘BUKA’ digantung. Ini  bermakna waktu  perniagaan sudah bermula. Masing-masing sudah bersedia  di  posisi masing-masing. Pelanggan pertama masuk. Wanda memandang Dina. Rakan sekerjanya nampak yakin. Tak  ada sedikit pun riak  keraguan di wajahnya.
            “Relaks Wanda. Tarik nafas panjang-panjang. Jangan lupa  senyum  tau,” ujar Dina.
            Wanda memaksa bibirnya mengukir  senyum. Dalam hati berdoa agar pelanggan itu  pergi  ke kaunter  Dina. Nafas  lega dihela  apabila doanya termakbul.
            “Selamat  datang dan selamat  pagi  kak. Makan kat sini  atau bungkus?”  Dina memulakan kerjanya  dengan yakin. nampak  mudah sangat  dia  melayan pelanggan itu.
            Tak lepas  mata  Wanda  memerhatikan Dina menyiapkan pesanan pelanggan itu. Komunikasi antara Dina dan krew dapur  juga berjalan lancar. Kurang dari lima minit, pelanggan itu  sudah keluar  bersama makanan yang dipesan.
            “Nampak senang aje,” ujar  Wanda perlahan tapi  sudah cukup  untuk  didengari  oleh Dina.
            “Memang senang pun. Yang penting jangan kelam-kabut.” Dina  memberikan kata-kata  semangat.
            Pelanggan seterusnya masuk. “Kau pula, ya?” kata  Dina.
            “Eh, apa aku  pula? Kita  tengok  nanti customer  tu  pergi  ke kaunter  siapa.” Wanda cuba mengelak. Tapi  nasibnya kurang  baik. Pelanggan itu  menuju  ke kaunternya.
            “Ehem.. errr..  selamat  pagi dan selamat  datang Encik. Makan atau bungkus?” Walaupun teragak-agak,  Wanda memaksa diri untuk senyum. Sebaik  mungkin dia  cuba bertenang sedangkan di saat  itu kepala lututnya  sedang menggigil kuat.
            “Makan di sini. Bagi  saya Set A  satu dan large  fries satu.”
            Hujung jari  telunjuk  mula melilau mencari  harga makanan yang tertera di monitor. Dia  berjaya. Kemudian dia  meletakkan dulang dan menyiapkan pesanan pelanggan itu  sama seperti yang dilakukan oleh Dina. Menggigil tangannya  menyelesaikan tugas.
            “Terima kasih Encik, selamat  menjamu  selera.” Wanda  tersenyum  lebar. Spontan dia menoleh pada Dina. Tapak tangan masing-masing berlaga.
            “Yes! Senang aje kerjanya, kan?” ujar Wanda sambil mengesat peluh di dahi.
“Memang senang. Tapi  pucat juga aku tengok  muka  kau tadi. Dah macam orang nak  terima hukuman gantung.”
Wanda menekup  mulut.  Sebelah tangan lagi  melepuk bahu Dina. Tidaklah sesusah mana pun kerja  di kaunter rupanya. Beberapa minit kemudian pelanggan yang lain pula masuk. Mereka berdua kembali  bekerja seperti  biasa. Wanda  mula  seronok  dengan apa  yang dia  lakukan. Semakin seronok apabila dapat  melihat Ikhwan setiap  kali  dia  harus  memesan makanan yang perlu dimasak panas-panas. Penat  berdiri  langsung tidak terasa.
Pelanggan semakin ramai  apabila  tiba waktu  makan  tengahari. Megan juga turut turun padang untuk  membantu. Dina semakin cekap dan selsa  dengan kerjanya. Berbeza pula  dengan  Wanda. Tenaganya  hampir  kehabisan. Sudah beberapa kali  dia  melakukan kesilapan ketika mengambil  pesanan. Dan sudah beberapa  kali  juga Megan menegurnya kerana tersalah memulangkan baki duit kepada  pelanggan.
“Encik, tunggu  sekejap ya.”
Dia  terus  meninggalkan kaunter  tanpa menitipkan sebarang pesan pada  Megan atau  Dina. Dah tak  sempat.  Dari pagi  tadi  dia menahan diri untuk ke  tandas. Laju  dia menyelinap ke ruang dapur  untuk ke tandas  kakitangan yang terletak  di  belakang restoran. Hampir  lima minit  dia  di situ. Bukan setakat buang air. Sempat  lagi dia  merapikan rambut dan topi yang dipakai. Tangan yang lenguh dibelek  sebentar  lalu diletakkan di bawah air paip yang dibiarkan terbuka.
“Eee, dah bau ayam goreng!” Wanda  mengutuk  bau  badan sendiri.
“Wanda!”
Dia keluar dari  bilik air. Megan sedang bercekak  pinggang dengan hidungnya  yang kembang kempis. Habislah  Wanda. Dia  yakin Megan akan memarahinya.
Sorry  Megan. Aku tak  tahan nak  terkucil  sangat  dah  tadi. Nyaris-nyaris terburai kat  kaunter  tadi.” Wanda  cuba berlawak. Tapi  taktiknya  itu  tidak  berkesan. Lurus telunjuk  Megan mengarahkan dia masuk  ke dalam.
“Lain kali maklumkan dulu pada sesiapa yang ada kat kaunter. Mana boleh main blah macam tu  aje. Customer  bising  kau tahu tak? Kalau pergi  sekejap  tu  ada ampun lagi. Kau  bersolek  ke  apa  kat  toilet   tu?”
Berdesing telinga Wanda. Makin bengang apabila volume  suara Megan dah macam mak tiri yang hilang penyapu. Dia berjalan laju  melintasi  dapur apabila  terasa  ada seseorang sedang merenungnya. Malunya! Ikutkan hati  mahu  saja ditekup-tekup mulut  Megan.
“Mana pelanggan tadi?” Wanda bertanya  pada Dina. Gadis itu  sedang sibuk  melayan pelanggan yang masih beratur panjang di kaunternya.
“Dah cancel order,” jawab Dina  pendek.
Wanda  ingin  bertanya lagi  tetapi niatnya terbantut  apabila Megan masuk menyertai  mereka di situ. Wajahnya  yang masam mencuka  tadi  sudah berubah manis. Huh! Plastik sungguh. Boleh pula dia  berlakon seolah-olah tidak apa-apa  yang terjadi.
“Encik, sila  ke kaunter tiga ya.” Megan mengarahkan beberapa orang pelanggan yang sedang  beratur  di kaunter Dina beralih ke  kaunter aku.
Dalam keadaan yang masih belum bersedia, Wanda menerima pesanan pelanggan yang pertama. Megan masih di situ. Tapi  dia langsung tak membantu. Sejak  tadi  dia  hanya mundar-mandir di  situ.
“Megan, cheese beef burger large size dah habis.” Wanda memaklumkan pada Megan.
Order  terus pada kitchen crew. Lupa ke?” Megan menjongket kening.
Wanda mengharapkan agar Megan  membantunya. Tapi  harapan hanya  tinggal  harapan. Dengan wajah selamba Megan ke kaunter  tengah. Dia mula menerima pesanan dari  pelanggan yang semakin ramai  beratur  di  kaunter Wanda dan Dina.
“Jangan tercegat  aje kat  situ  Wanda. Cepat sikit. Orang makin ramai  ni.” Megan meninggikan suara.
“Err..one burger large size!” Wanda melaung kuat. Dia  menguntum senyum kerana laungannya  berjaya  menarik perhatian Ikhwan yang sedang sibuk  di  dapur.
Beef or chicken?”tanya Ikhwan. Suaranya  juga sama kuat  dengan  Wanda.
“Err...” Wanda kembali kepada monitor, melihat menu  yang dipesan tadi. “Beef!”
“Ada cheese  ke tak?” Ikhwan melaung lagi.
Wanda menggosok  hidung yang tidak  gatal. Terkial-kial dia mencari kembali  menu  yang disebut.  Tapi  tidak berjaya.  Dia  semakin  kalut  apabila terdengar beberapa suara  di  dapur  sedang mentertawakannya.
“Megan, kau  tengokkan budak  tu kejap. Lembap!”
Serta-merta mata  Wanda terasa berbahang. Tidak  pernah dia dimalukan sebegitu. Hatinya  membara. Tapi  tak  sanggup  untuk membalas kembali  kerana orang yang mengutuknya  secara  terang-terangan itu adalah Ikhwan. Sebaik mungkin Wanda cuba  menahan airmata yang  ingin tumpah. Senyum masih meniti  di  bibirnya.
“Okey, boleh pergi  rehat sekarang. Lagi  sejam nanti  masuk balik.” Megan  meletakkan tanda SILA KE KAUNTER SEBELAH  di tempat  Wanda dan Dina. Seorang pekerja  yang bertugas membersihkan meja di  tingkat  atas sebentar tadi  masuk  ke kaunter menemani Megan.
Wanda tidak  tahu  ke mana  hendak  dituju. Dia sangat  penat. Selera terus  tertutup  untuk  menjamah sebarang makanan. Tengkingan-tengkingan Ikhwan  dan tawa  sinis rakan-rakan sekerja  sebentar  tadi  benar-benar  melemahkan semangatnya.  Dia nak balik. Tak guna dia  berada  di  sini  kalau semua  orang tidak tahu  menghormatinya. Dia menyeluk telefon di  dalam poket  seluar. Saat ini  dia terbayangkan abah. Pasti  orang tua  itu  akan tepuk dahi berkali-kali.
“Awak  nak  call  siapa?”
Ikhwan sedang berdiri  di  depannya sambil  menatang dulang berisi  kentang goreng dan dua gelas air berkabonat.
“Err.. tak ada siapa. Saja  nak  check ada mesej masuk ke  tak?”
Telefon bimbit  di tangan segera  disimpan semula  ke dalam poket seluar. Dia membetulkan duduk  apabila Ikhwan meletakkan dulang di atas meja dan duduk di hadapannya. Hati yang walang tadi  terus berbunga riang.
“Dah makan?”  tanya  Ikhwan
Wanda  cuma menggeleng. Dia sedang menstabilkan degup jantungnya  yang agak laju. Tak sangka langsung Ikhwan akan duduk di situ. Padahal rakan-rakan seniornya  yang lain duduk selang beberapa meja saja dengan mereka. Macam nak lompat bintang apabila Ikhwan menghulur segelas  air padanya.
“Eh, untuk saya ke?” Buat-buat tanya  pula. Kalau  bukan untuk  Wanda untuk siapa pula? Wanda cuma menyedut sedikit. Kemudian dia  menolak gelas  itu  ke tepi.
“Maaf, saya tak boleh minum air bergas. Ada gastrik.”
“Ye ke? Saya  ambilkan air yang lain ya.”
Wanda  ingin menegah, tetapi  Ikhwan lebih pantas bangun. Sepeninggalan Ikhwan, Wanda cepat-cepat  merapikan diri.  Dia ke sinki untuk  menyegarkan wajah. Pelembap  bibir  yang sentiasa disimpan di dalam poket  seluar  dioles laju. Ketika dia kembali  ke meja, baru dia perasan banyak mata  yang sedang memerhatikan tingkahnya.
“Untunglah orang tu. Dapat duduk  dengan ‘Abang Encem’.” Dina menggiatnya  dari  meja  sebelah. Bekal nasi yang dibawa dari  rumah disua pada  Wanda. Tapi  Wanda menolak  dengan baik.
“Dina, muka aku berminyak tak? Ada apa-apa  tak kat gigi aku?” Selamba saja  Wanda menayangkan giginya  pada  Dina.
“Muka tu  dah memang lawa. Eh, nanti  kirim salam kat  brother tu eh. Untunglah kau. Handsome tu!”
Bahu  Dina ditampar lembut. Kembang hati Wanda ketika itu.  Belum sampai  sehari dia  bekerja di  situ, perhatian Ikhwan telah berjaya  dipancing. Nampak gayanya  memang lama lagilah dia  bertahan di sini. Rugilah kalau  dia berhenti  sekarang. Sekurang-kurangnya  dia perlu beri  peluang pada  Ikhwan untuk mengenalinya  dengan lebih dekat.
“Nah, awak makan nasi ya. Jangan makan fries, tak kenyang.”
Sekali lagi  Ikhwan buat  dia  tergamam. Pantas betul pergerakannya. Sepinggan nasi bersama  ayam goreng dan sos cili  sudah terhidang di depannya.
“Makan cepat. Waktu rehat kita  ni  singkat aje,” ujar  Ikhwan.
“Kat  sini  ada jual Nasi Ayam ke?” Wanda bertanya sambil  menguis-ngusi Nasi Ayam bersos cili  dengan sudu.
“Mestilah ada. Awak tak perasan ke  dalam menu?”
“Banyak  sangat menunya. Tak boleh nak ingat semua  dalam masa sehari.”
Ikhwan senyum. Aduh! Sampai ke jantung rasanya. Wanda tunduk untuk memulakan suapan. Kunyahannya  terlalu perlahan. Bukan kerana malu, tetapi  Nasi Ayam  itu  langsung tak kena dengan seleranya. Namun demi  menjaga hati  Ikhwan, dia memaksa tekaknya menelan. Sedap  tak sedap  belakang kira.
“Saya minta maaf ya sebab tengking-tengking awak tadi.”
Aduhai! Wanda sudah tidak  senang duduk. Bagai  ada irama  cinta yang  sedang berdendang di dalam hatinya di kala  itu. Belum pernah lagi  mana-mana lelaki  yang begitu  jujur  melafazkan maaf padanya sebelum ini.
“Kerja di bahagian kaunter  kena pantas. Kalau  awak  silap terima order, bahagian kitchen pun kena  juga.” Sambung Ikhwan lagi.
Wanda tidak  membidas.Kata-kata  Ikhwan bagaikan air batu  yang  masuk seketul-seketul  ke  dalam hatinya. Marah dan bengang  hilang serta-merta. Dia memberanikan diri  untuk melihat  Ikhwan. Rasanya inilah kali pertama  mereka  duduk dalam jarak  yang agak  dekat. Lelaki itu mempunyai sepasang mata sepet  yang  agak tajam. Walaupun mukanya nampak  garang, tapi  senyumannya  menjadi  pelengkap  ketampanan lelaki  itu.
“Wanda...” Panggilan Ikhwan mengembalikan Wanda ke alam nyata.
“Ya. Masa  rehat  kita dah tamat  ke?” Wanda  bertanya kerana dilihatnya  dulang Ikhwan  sudah kosong dan lelaki  itu  seperti sudah bersedia  untuk  beredar.
“Ada dua puluh minit  lagi. Awak  habiskan makanan tu  ya. Saya  nak  keluar  sekejap. Nah  tisu, ada  nasi  kat  tepi  bibir  tu.”
Spontan tangan Wanda  melekap di  bibir.  Tak ada pula  butiran nasi  yang dikatakan. Wanda mengambil tisu  yang ditinggalkan oleh Ikhwan. Ada sesautau yang tertulis  di  atas  tisu  itu.
017- 4320234  Waiting for your call :)
Yes! Yes! Yesss!!!”
Wanda melompat girang. Dikucupnya  berkali-kali  tisu  yang masih berada  di tangan. Dengan selambanya dia menari ‘tarian cucuk  langit.’ Dia lupa  diri sekejap.
“Oi! Menang loteri  ke?”
Wanda terpempan. Baru sedar di mana dia  berpijak. Muka  dah merah padam ditertawakan oleh kawan-kawan yang sedang menjamu  selera. Dia terus berlari ke  bilik air. Di  sana, tisu  pemberian Ikhwan  dikeluarkan semula bersama  telefon bimbit. Nombor  telefon Ikhwan didail. Bagai  nak meletup  jantungnya  tatkala  mendengar  nada deringan di dalam talian.
“Wanda  ya?”
Wanda memegang dada. Suara  Ikhwan dekat  sungguh dengan telinganya. Berpeluh mukanya  menahan gemuruh.
“Ya,” jawab Wanda antara  dengar dan tidak.
“Okey, nanti saya  simpan nombor  ni. Kerja elok-elok  lepas ni  ya. Kalau  ada  masalah, beritahu saya tau. Takecare...bye.”
Panggilan tamat. Untuk kesekian kalinya  Wanda terlompat-lompat keriangan. Tidak  pernah dia  segembira ini. Tiba-tiba dia  teringatkan Wahyuni. Senyum  lebar disertai  dengan ketawa  sinis tertera dibibir.
“Kak Yuni, nampaknya memang lama lagilah Wanda  kat sini. Kopaklah  beg duit Kak  Yuni  cukup bulan ni. Hahaha!!!”


Please...Don't be GELOJOH! BAB 1

                   
                          “Krew restoran? Kali ni  berapa lama pula?”
            Panjang muncung  Wanda mendengar sindiran mak. Tangan abahnya  digoncang-goncang, mohon pembelaan. Tapi  tiada  sebarang respons  positif  yang  diterimanya.
            “Kalau  setakat nak kerja dua tiga  hari lepas  tu  berhenti, lebih baik  kau  duduk  rumah aje. Atau habiskan belajar memandu yang dah  lama tertangguh  tu. Ada  juga faedahnya.” Mak  sudah mula  buka  mukaddimah ceramah percuma di pagi  hari.
            “Belajar, belajar, belajar. Otak  Wanda ni penatlah  mak. Tak habis-habis  belajar. Lesen memandu  tu  bila-bila boleh pergi. Wanda janji  kali  ni  Wanda  akan kerja  elok-elok. Kawan Wanda  pun kerja  juga di restoran tu. Bolehlah abah...Tolong hantar  Wanda  pergi  temuduga  kat  restoran tu  ya?”
            Abah  tak  menjawab. Suratkhabar  yang belum habis  dibaca dilipat  dua lalu  diletaknya  di atas  meja. Teh  susuyang  masih  panas  disisip  sedikit. Berkerut-kerut  keningnya  kening menelan minuman  kegemarannya  itu.
            “Siapa  buat  air?” tanya  abah.
            Mak menuding pada  Wanda.  Senyum  sudah terukir  di bibir  anak  manja itu. Sudah terngiang-ngiang di telinganya kata-kata  pujian dari abah. Yalah,  bukan selalu  dia membancuh  minuman untuk  abahnya. Kalau  bukan sebab nak memujuk, jangan haraplah dia  nak  ke  dapur. Piring  yang  mengalas  cawan abah suakan pada Wanda.
            “Rasa sendiri air  yang  Wanda  buat. Sedap  tak?” Abah menyuruh.
            Tanpa  ragu-ragu, cawan yang  masih  penuh berisi teh susu dihirup laju.
            Burrr!!!
            Mak dan abah bangun serentak, cuba mengelak semburan Wanda.
            “Sedap?” tanya abah sambil senyum senget.
            Sambil mengelap bibir yang basah, Wanda mengerling mak yang sudah ketawa terbahak-bahak. Abah hanya menggeleng berkali-kali.
            “Macam mana nak kerja di restoran macam ni? Bancuh air pun tak lepas!” Abah menempelak.
            “Ala... Wanda bukannya kerja kat warung tepi jalan. Itu restoran makanan segera. Siap dengan coffee maker dan pembancuh minuman lain. Abah, Wanda nak kerja juga kat situ. Hantar Wanda ya?” Sekali lagi dia memujuk.
            Pandangan sinis maknya langsung tidak dipedulikan. Dia yakin, dia mampu buktikan kali ini dia tidak main-main. Melihat rakan-rakan lain yang seronok mengumpul pendapatan sendiri membuatkan Wanda semakin teruja. Bukannya susah mana pun bekerja di restoran. Ambil pesanan, hantar makan dan hantar bil. Mudah sangat.
            “Okey, abah akan hantar. Pergi siap cepat.”
            “Yeah!!! Terima kasih abah.” Wanda melonjak riang. Pipi abahnya dikucup berkali-kali kemudian dia terus berlari ke bilik untuk bersiap.
            “Huh! Muka aje garang. Kena pujuk sikit dengan budak tu terus tumpul kuku,” gerutu mak.
            “Dia nak merasa. Biarkan dia. Kali ini abang berani cakap, paling lama pun seminggu.” Abah angkat tujuh jari, ditayangnya pada mak.
            “Masa tu nanti apa pula alasan yang dia nak bagi? Dapur terbakar?”
            Abah ketawa mendengar komentar mak. Sungguh pun terasa lucu dengan kata-kata itu, jauh di sudut hatinya sangat berharap agar Wanda dapat bertahan lama kali ini.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Wanda menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tercangak-cangak dia meninjau orang di sebelahnya mengisi borang jawatan kosong. Dah macam orang meniru dalam peperiksaan pula gayanya. Dia bukannya buta huruf. Tapi borang itu dalam Bahasa Inggeris. Memanglah dia lulusan kolej. Tapi bahasa kedua itu bukanlah bahasa kegemarannya.
            “Dah siap?”
            Wanda mendongak. Mulutnya sedikit terlopong melihat lelaki yang sedang berdiri di depannya. Lama dia merenung lelaki itu. Kalau sikunya tidak disinggung oleh orang sebelah, sudah pasti acara renung-merenung itu akan berlangsung dengan lebih lama. Sempat lagi Wanda menoleh ke kiri, melihat orang yang menyinggung tangannya.
            “Dia tanya, ada masalah ke nak isi borang tu?” tanya  gadis yang masih belum dikenali itu.
            “Eh, tak adalah. Err...tapi ada beberapa tempat yang masih kosong.” Sengaja dia memanjakan suara sambil menghulur kertas pada lelaki itu.
            Lelaki itu senyum sikit sebelum membaca borang yang diberikan oleh Wanda. Kesempatan itu diambil oleh Wanda untuk membaca tanda nama yang tersemat di dada kiri lelaki itu.
            “Ikhwan...”
            “Ya? Awak panggil saya?”
            Wanda menekup mulut. Tak sangka pula suaranya didengari oleh lelaki itu. Tidak berani dia mengangkat muka. Tetapi bibir sudah menguntum senyum. Entah kenapa, tiba-tiba bagai ada satu rasa di dalam hatinya ketika ini. Matanya ingin melihat sekali lagi lelaki itu tetapi hati melarang. Sudahnya Wanda cuma mampu menggoyang-goyangkan kaki buat penghilang rasa gemuruh.
            “Hmm, tempat ni tak boleh dibiarkan kosong. Soalan ni maksudnya berapa anggaran gaji yang awak nak. Yang ini pula boleh tak awak bekerja lebih masa.”
            Ikhwan meletakkan semula borang itu di depan Wanda. Sekali lagi gadis itu terlongo. Tak sangka agaknya lelaki itu akan membantunya untuk mengisi borang jawatan kosong itu.
            “Awak tenung apa lagi tu? Tulislah cepat.”
            Kelam-kabut Wanda mengambil pen di atas meja. Punyalah gemuruh sampaikan dia menulis dengan tangan kiri. Dia ketawa perlahan tatkala menyedari kekalutan sendiri. Nasibnya agak kurang baik. Pen tak sempat bertukar tangan. Sebaliknya terus terjatuh ke lantai. Wanda berdecap kuat. Entah kenapa tiba-tiba dia jadi cemerkap.
            “Tak apa biar saya ambilkan.”
            Ikhwan membongkok untuk mengambil pen yang terjatuh. Wanda mengetap bibir, menahan bengang. Dia tahu calon-calon pekerja yang turut sama menunggu di situ tidak senang dengan tingkahnya. Tapi dia buat muka selamba. Jauh di sudut hati terbit pula rasa bangga. Manakan tidak? Seorang lelaki tampan begitu bermurah hati untuk membantunya.
            “Dah siap nanti letakkan borang di kaunter,” arah Ikhwan. Dia terus pergi sebaik saja pen sudah berada di tangan Wanda.
            “Hai saya Dina.” Seorang gadis yang duduk di sebelah kanan menegur ramah.
            Wanda cuma senyum. Tak terlintas langsung di kepalanya untuk memperkenalkan diri sendiri. Tangannya masih lincah mengisi tempat-tempat kosong di dalam borang jawatan kosong. Usai siap, dia bangun dan terus meletakkan borang di kaunter seperti yang diarahkan oleh Ikhwan.
            “Kenapa tak kumpulkan sekali? Boleh hantar sama-sama,” tegur Dina.
            “Ops, maaf. Saya ingatkan awak semua dah hantar. Pergilah letak sekali kat kaunter tu,” jawab Wanda selamba. Dia mengambil tempat kembali di kerusi. Matanya hanya terarah di pintu, di mana Ikhwan masuk sebentar tadi. Dalam diam dia mengharapkan orang yang pertama dipanggil untuk ditemuduga adalah dirinya.
            “Wanda Asmalinda...”
            Terloncat Wanda dari tempat duduknya. Doanya telah dimakbulkan. Melalui pantulan bayang dari dinding bercermin, Wanda merapikan dirinya. Dia langsung tak kisah dirinya menjadi perhatian calon-calon pekerja yang lain. Pelembap bibir dioles laju. Sambil menyimpan kembali pelembap bibir ke dalam beg, dia berjalan laju ke pintu bilik pengurus operasi.
            “Ya Allah, minta-minta aku lulus temuduga ni. Amin.”
            Wanda meraup wajahnya berkali-kali sambil mengaminkan doa sendiri. Dihembusnya ke kiri dan kanan. Dah macam tok bomoh pula gayanya. Perlahan-lahan dia mengetuk pintu. Tanpa menunggu jawapan dari orang di sebelah dalam, tombol pintu dipulas.
            “Hai...” Wanda menegur ramah. Senyumnya hampir hilang. Ikhwan tidak ada di dalam bilik itu. Ke mana pula lelaki itu pergi?
            “Ya.. hai. Selamat petang, silakan duduk.” Seorang wanita Cina lengkap dengan blazer berwarna merah mempersilakan Wanda duduk dihadapannya.
            “Err.. boleh saya tanya? Tadi ada seorang lelaki masuk ke sini, kan?” Sambil bertanya, mata Wanda melingas melihat keadaan sekeliling.
            “Siapa?” tanya wanita itu. Dia juga turut memandang ke sekeliling bilik.
            “Ikh..Ikhwan,” jawab Wanda teragak-agak.
            “Oh, Ikhwan. Jangan risau pasal dia. Awak boleh jumpa dia bila-bila masa saja nanti kalau awak diterima bekerja di sini.” Wanita itu bersuara tegas.
            Wanda tersentap. Baru sedar tujuan asal dia ke sini. Dia membetulkan duduk dan mula memberi perhatian pada sesi temuduga. Dia betul-betul berharap akan diterima bekerja di sini. Bukan saja kerana dia ingin melihat Ikhwan. Tetapi dia ingin buktikan pada abah dan maknya, dia mampu berdiri di atas kaki sendiri.
            “Awak ada Diploma Perakaunan?”
            “Ya,” jawab Wanda.
            “Hmm, rasa-rasanya jawatan yang kami tawarkan ini tak sesuai dengan kelulusan awak. kami cuma mahu mencari kitchen crew sahaja.”
            “Jangan macam tu bos. Saya nak sangat kerja kat sini. Gaji rendah sikit pun tak apa.” Wanda sudah tidak keruan. Hancurlah harapannya untuk melihat Ikhwan. Dia bangun dan terus memegang tangan wanita Cina itu. Apa jadi sekali pun dia mesti berusaha untuk mendapatkan tempat di restoran itu.
            “Kalau bos nak, saya boleh isi semula borang tu. Nanti saya letak kelulusan saya setakat SPM saja. Tolonglah bos. Saya nak sangat kerja kat sini. Saya orang susah. Bapak saya tak berapa sihat. Kerja cuci pinggan tak apa. Bos...”
            “Okey, okey. Duduk dulu, jangan ini macam...” Terkeluar loghat Cina wanita itu. Risau pula dia melihat tingkah laku Wanda.
            Sekali lagi borang permohonan Wanda dibaca. Sesekali dia mengerling Wanda yang sedang mengesat airmata. Dia kurang pasti samada tangisan itu adalah yang benar atau pun lakonan. Lama dia berfikir, akhirnya satu keputusan sudah dibuat.
            “Buat masa ini memang belum ada jawatan yang sesuai dengan awak.”
            “Bos..”
            “Dengar saya cakap dulu.”
            Wanda diam. Sengaja dia buat ‘muka kesian’, cuba memancing simpati bakal bosnya itu.
            “Awak datang saja besok, pukul sembilan pagi. Nanti kita tengok kerja apa yang sesuai untuk awak.”
            Wanda bersorak riang. Wajah yang teduh tadi sudah bertukar ceria. Termakbul doanya untuk melihat Ikhwan lagi selepas ini. Dia bangun dan terus digoncangnya tangan kanan wanita Cina itu.
            “Thank you. Thank you so much. Saya janji akan kerja elok-elok. Besok pukul sembilan saya datang.”
            Wanda menonong ke pintu. Berita gembira itu harus disampaikan segera kepada abah.
            “Wanda.” Wanita Cina itu memanggil.
            “Ya bos?” Pintu sudah separuh terbuka. Lebar senyum Wanda menanti arahan.
            “Besok pakai seluar hitam, kasut hitam...”
            “Okey! All in black, kan? See you tomorrow bos!”
            Wanda keluar. Ikutkan hatinya mahu saja dia terus mencari Ikhwan. Wajah lelaki itu seperti sudah melekat di dalam hatinya. Tetapi kerana memikirkan abah dan mak yang sedang menunggu di dalam kereta, niat itu ditunda. Besok masih ada untuk dia melihat wajah pujaan hatinya itu.
            “Macam mana? Dapat kerja tak?” Soalan pertama yang keluar dari mulut abah sebaik saja Wanda masuk ke dalam kereta.
            “Tengok oranglah. Ini Wanda tau.” Dadanya ditepuk-tepuk. Mak menjuih bibir mendengar nada riak Wanda.
            “Jom kita pergi kedai baju. Wanda kena pakai baju hitam, seluar hitam dan kasut hitam esok. Pukul sembilan pagi dah kena ada kat sini.”
            Mak dan abah berpandangan. Terjongket kening abah mengerling Wanda yang sedang keriangan di tempat duduk belakang. Tak pernah dia melihat Wanda sebegitu. Ambil keputusan SPM pun tak seriang ini walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang. Bukan main bernyanyi-nyanyi lagi dia.
            “Senangnya hati. Seronok ke dapat kerja kat situ?” Mak cuba mengorek rahsia.
            “Seronok tu tak tahulah lagi sebab belum mula kerja. Tapi Wanda tahu pasti Wanda akan selesa bekerja kat situ. Bos dia baik. Pekerja-pekerja yang lain pun okey. Yang penting, dapat jumpa Ikhwan hari-hari. Ops!’
            Wanda menekup mulut. Spontan mak dan abah menoleh ke belakang. Wanda tunjuk sengih kambing.
            “Kau nak kerja ke nak menggatal?”
            Hambik! Kan dah kena dengan mak.
            “Nak kerjalah. Ala, Wanda cuma suka tengok muka dia aje. Cepatlah abah. Kita pergi cari baju dan barang-barang lain.” Wanda berusaha mengubah topik.
            Kereta mula bergerak. Wanda bersandar tenang di belakang. Senyum Ikhwan terbayang kembali di ruang mata. Alahai, lambatnya nak tunggu besok.
           
           
            

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.