Mak masih meneliti senarai barang di tangan. Beginilah
keadaan dia semasa nak menghantar aku ke universiti dulu. Bukannya tak boleh
siapkan sendiri segala barang keperluan, tapi mak yang beria-ia nak menyiapkan
beg. Biarkanlah. Bila lagi aku nak bermanja dengan mak, kan?
“Abang, tak dengar ke mak tanya tu?” Zarith yang turut sibuk
membantu mak memancing perhatian aku.
“Kejap...”
Aku bangun dan masuk ke bilik. Mata terus terpandang ke
arah meja solek. Sebak terus menerjah hati. Aku terduduk lemah di atas katil.
Gambar Durani aku ambil. Lama ku tenung bibir manis Durani yang tersenyum
manja. Lepas ni tak mungkin aku akan lihat senyuman ini lagi. Berbalas tatap
pula dengan mata redup Durani. Ya Allah! Aku rindukan dia.
Gambar Durani aku kucup perlahan. Terpejam mata menahan
pilu. Memang aku lelaki. Buruk dipandang orang kalau aku menangis kerana
seorang wanita. Tapi aku manusia. Ada perasaan. Durani adalah cinta pertama.
Sudah seminggu peristiwa memalukan di rumah pak Zahar berlalu. Namun impaknya
masih terasa hingga sekarang. Ke mana-mana saja aku pergi pasti akan terdengar kata-kata
sinis bertanya mengenai majlis pertunangan Durani. Mujur iman masih kuat. Kalau
tidak rasanya pasti ramai yang hilang kepala dalam kampung ni aku kerjakan.
“Hek eleh! Geli
aje cium-cium gambar Kak Durani.”
Hish! Budak ni langsung tak bagi peluang aku nak melayan
emosi sekejaplah. Laju tangannya mengambil gambar Durani di tangan.
“Abang nak bawa gambar Kak Durani sekali ke?” tanya
Zarith.
“Kalaulah abang boleh bawa orangnya, kan?”
Terjuih bibir Zarith. Dia duduk bersila di atas katil.
Gambar Durani diserahkan semula. Aku tunduk, mengusap gambar yang tidak
bernyawa. Lengan terasa dipeluk. Aku toleh ke kanan. Durani sedang merebahkan
kepalanya ke bahu. Serta-merta senyum menguntum.
“Eh! Durani. Bila sayang sampai?”
Pertanyaan aku tidak berjawab. Tak apalah. Aku faham, dia
pun sedang bersedih. Perlahan-lahan, tangan memaut bahu Durani. Dia tidak
membantah. Tidak seperti selalu. Pantang tersentuh saja, pasti ditepisnya
tangan aku dengan kasar.
“Ikutkan hati, Joe nak bawa Dura lari dari sini. Kurang
ajar betul abah Dura tu!”
Aku meramas peha sendiri. Namun serentak dengan itu,
terasa tangan yang sedang memaut bahu Durani dikucup lembut. Eh, beraninya dia.
Dia tak pernah seberani ini.
“Sabarlah...mungkin ada hikmah di sebalik kejadian...”
Kening dengan spontannya berkerut. Telinga menangkap tawa
kecil seseorang. Makin lama semakin kuat.
“Zarith!” Tak semena-mena aku tolak dia sampai dia
tergolek dari katil. Tetapi Zarith masih ketawa, sampai terguling-guling di
lantai.
“Adoi!!! Abang ni dah parahlah.” Zarith menepuk-nepuk
lantai.
Aku kemam bibir. Dalam celik pun aku terbayangkan Durani.
Betullah kata Zarith agaknya, kan? Aku ni dah parah. Parah dan kalah dalam
usaha mengawal rasa kecewa, rindu dan
sedih. Ya Allah, aku tidak kuat. Sangat sukar untuk aku membuang Durani.
Wajahnya, tawanya dan segala kenangan bersamanya masih enggan keluar dari hati
aku.
Bingit telinga aku mendengar tawa Zarith. Tak penat
agaknya dia ketawa. Aku keluar dari bilik bersama gambar Durani. Tapi langkah
terhenti pula di ruang tamu. Belum apa-apa lagi mak dah merenung tajam ke arah tangan.
Aku sorok gambar Durani di sebalik punggung.
“Mak belum buta lagi Mie...”
“Buat penghilang rindu aje mak.”
“Huh! Dia dah nak jadi bini orang Mie. Tak guna kau
berharap lagi.”
“Baru bertunang mak. Orang kahwin pun boleh cerai..”
“Kau jangan habiskan ayat tu. Mak cili mulut tu karang!”
Tepat telunjuk mak menuding aku. Matanya membuntang,
tanda tidak suka aku lepas cakap. Lama kami berlaga mata. Tapi aku yang
terlebih dahulu menyerah kalah. Tak sanggup nak bergaduh dengan mak. Aku nak
pergi jauh ni. Tak seronoklah kalau bermasam muka dengan mak.
“Lupakan dia Mie...”
Gambar Durani yang masih di belakang badan aku pegang
erat. Pedih hati mendengar permintaan mak.
“Mak faham, bukan
senang nak lupakan cinta pertama. Tapi jodoh kau dengan Durani tu tak panjang.
Tinggalkan semua kenangan pahit di sini. Mak nak kau jadi Johaimi yang kuat semangat
di tempat baru nanti. Di sana nanti berpuluh-puluh Durani kau akan jumpa.”
Tapi tetap tak sama dengan Durani Binti Azhar. Kata-kata
itu hanya mampu ku telan sendiri. Tak guna bertekak dengan mak. Aku mengerti,
dia juga sedang berkecil hati dengan keluarga Durani. Sudahnya gambar Durani
yang aku sorokkan tadi aku bawa semula ke dalam bilik. Tak apalah. Dalam handphone masih ada lagi gambar dia yang
aku simpan.
Hari ini aku ingin habiskan masa di rumah saja. Besok dah
nak bertolak ke Teluk Intan. Awal pagi dah kena bangun. Kerja-kerja di stesen
minyak sudah aku serahkan semula pada Abang Zali. Aku calonkan Mazli untuk
menggantikan tempat aku. Yalah, sampai bila nak mengharapkan hasil yang tak
seberapa dari gerai burger tu? Mujur Mazli menerima tawaran ini dengan senang
hati. Kalau tidak kasihan juga Abang Zali. Bukan senang nak mencari pengganti
yang sesuai. Mazli tu, walaupun tak sekolah tinggi tapi aku yakin dia boleh
diharapkan. Selama dia bekerja dengan aku di gerai burger pun dia tak pernah
beri masalah pada aku.
Terdengar bunyi kereta di luar rumah. Laju aku menjenguk
tingkap. Dalam kepala sudah terbayangkan seseorang. Tapi harapan hanya tinggal
harapan. Bukan seperti yang aku bayangkan.
“Abang Zali... Ingatkan siapa tadi..”
“Kau fikir Durani yang datang ya?”
Abang Zali tersengih melihat muka cemberut aku di sebalik
langsir. Dia tak datang seorang. Mazli pun ada. Tapi dia datang dengan motor.
Aku keluar dari bilik dan terus ke ruang tamu. Merek berdua tak perlu diajak
lagi. Beberapa hari kebelakangan ini, memang kerap mereka bertandang ke sini.
Menemankan aku menghabiskan hari-hari terakhir di kampung kononnya. Mak bingkas
bangun mencapai anak tudung sebaik saja melihat Mazli di tangga rumah. Dia
bangun dan terus ke dapur. Mak memang tak suka tetamunya berbual kosong. Paling
tidak pun mesti ada minuman yang dihidangkan.
“Dah siap berkemas ke?” tanya Abang Zali. Matanya terarah
ke beg pakaian yang masih belum berzip.
“Ada sikit-sikit lagi.” Aku jawab sambil memperlahankan
suara televisyen.
“Besok kau naik
bas pukul berapa?” Mazli menyertai perbualan.
“Dalam tiket, bas pukul lapan setengah. Aku keluar awal
sikit kot. Mak dengan Zarith pun nak ikut ke bus stand.”
Masing-masing diam bila mendengar jawapan aku. Mazli dan
Abang Zali berpandangan. Seperti ada sesuatu yang diaorang nak sampaikan pada
aku. Abang Zali terangguk-angguk. Dia letakkan kunci kereta di atas meja kopi.
Mazli menjongket kening. Amboi! Dah main bahasa-bahasa tubuh nampaknya mereka
berdua ni.
“Kau pakai dulu kereta aku tu Joe.”
Tepat tekaan aku, kan? Aku tak terus menjawab. Tak tahu
nak cakap apa lagi. Terlalu banyak
pertolongan yang Abang Zali hulurkan. Mula-mula duit, sekarang kereta pula. Dia
dah buat aku segan sendiri pula.
“Kalau bawa kereta senang sikit kau nak bergerak ke mana-mana
nanti. Sementara nak dapat rumah sewa, kau tidurlah dulu dalam kereta,” seloroh
Mazli.
Mulut ni teragak-agak nak senyum. Abang Zali dah gelak mengekek. Matanya mengarahkan
aku mengambil kunci kereta di atas meja. Tapi aku masih keberatan. Apa alasan
aku nak menolak pemberian dia kali ini?
“Mazli, kau tengok-tengokkan mak dan adik aku nanti, ya.”
Aku ubah topik perbualan. Mak pun baru muncul dari dapur. Aku bangun dan bantu
dia meletakkan dulang di atas meja.
“Kat kampung ni masih ramai lagi yang boleh tengok-tengokkan
mak. Kau tu, duduk kat tempat orang
nanti jangan lupa diri pula. Jangan sampai lupa jalan nak balik ke sini pula
nanti.”
Masing-masing memerhatikan mak menuang Teh O nipis ke
dalam cawan. Sayu pula rasa hati. Lepas ni semua kena buat sendiri. Dah tak
adalah Teh O suam setiap pagi, bebelan mak mengejutkan aku untuk solat Subuh
dan jeritan Zarith menggesa aku untuk menghantar dia ke sekolah.
“Mak, besok mak tak payah hantar Mie ke bus stand,
ya.”
“Kenapa?” Terhenti tangan mak menuang air.
Aku ambil kunci di atas meja lalu aku tayangkan pada mak.
Matanya terus terarah pada Abang Zali. Mak menggeleng perlahan. Dia selesaikan
kerja menuang air terlebih dahulu, kemudian dia duduk berhadapan aku dan Abang
Zali.
“Dah banyak sangat pertolongan kau ni Zali. Hari tu duit.
Ini, kereta pula...” Perlahan mak menutur kata.
“Daripada kereta tu tersadai aje kat dalam garaj tu
makcik, biarlah Johaimi guna. Lagipun senang nanti dia nak balik jenguk makcik.
Tak adalah alasan tak sempat beli tiket nak balik raya nanti.”
“Terima kasih bang. Saya tak tahu nak cakap apa lagi.”
Aku tepuk perlahan peha Abang Zali. Ketika dia menoleh, aku terus peluk dia.
Sayu, sebak, terharu dan gembira semua ada.
“Tak payah cakap apa-apa. Kau jaga aje kereta tu elok-elok.
Dah mampu beli sendiri nanti kau pulangkan balik. Betul tak Abang Zali.” Mazli
yang cuma jadi pemerhati sejak tadi menyampuk perbualan.
Abang Zali menepuk-nepuk perlahan belakang badan.
Beruntungnya aku ada kawan-kawan yang banyak memberi sokongan ketika aku hampir
rebah. Walaupun hati masih belum terawat, aku tetap akan pergi. Pergi kerana
ingin menyempurnakan hajat mak. Dia ingin melihat aku jadi pegawai korporat, kan? Aku akan
tunaikan permintaannya. Aku juga tahu, dia ingin aku melupakan Durani. Ya
Allah, permintaan mak yang satu ini memang sangat payah untuk aku realisasikan.
Betulkah sudah tidak ada peluang untuk aku dan Durani dijodohkan semula?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~
“Banyaknya makanan mak bekalkan ni? Dah macam nak pergi
berkelah pula.”
Naik berpeluh ketiak menyusun barang-barang di dalam
bonet kereta. Perginya cuma seorang. Tapi barang-barang macam nak pindah satu
rumah. Siap dengan bantal, selimut dan toto.
Dapur masak dan tong gas kosong pun ada. Mujur tak muat katil bujang aku tu.
Kalau muat rasanya mesti disumbatnya sekali.
“Kau tu bukannya pandai masak. Lauk yang mak bagi tu
lauk-lauk kering aje. Sambal hitam, serunding daging dan ikan bilis goreng
berlada aje. Tahanlah untuk beberapa hari. Jangan membazir duit. Gunakan untuk
perkara-perkara yang perlu aje. Ingat, duit orang tu. Kita perlu bayar balik nanti.”
Mulut mak tak henti-henti mengingatkan aku tentang duit
Abang Zali. Dari pagi tadi, dia yang sibuk
keluar ke dalam menyiapkan sarapan, menggosok baju aku dan basuh kereta Abang
Zali. Puas ditegah, tapi mak aku ni bukannya jenis dengar cakap orang. Sudahnya
aku biarkan saja dia buat semua. Nanti
dah penat dia berhentilah.
“Pastikan tak ada barang-barang yang tinggal Mie. Jauh
nak berpatah balik nanti.”
“Rasanya tak ada yang tertinggal mak. Terlebih bawa
adalah rasanya...”
Mak buat-buat tak dengar saja. Tahu aku perli dia. Dia
pergi ke bonet. Puas hati dengan susunan barang di situ, ditutupnya bonet
kereta. Kemudian dia menjenguk tempat duduk belakang. Dikemaskan susun letak
bantal-bantal dan selimut di situ. Aku duduk di tangga menyarung kasut. Rasanya
sudah sampai masa untuk aku bergerak. Kalau tidak makin banyak barang yang mak
nak letak nanti.
“Duduk rumah, jaga mak tau. Belajar elok-elok. Cuti
sekolah nanti boleh datang Penang, kita pergi
jalan-jalan.” Aku titipkan pesan pada Zarith yang duduk di sebelah aku.
Dia cuma mengangguk perlahan. Muka dah muram. Adoi! Kejap lagi pasti ada babak
airmata. Tolonglah Zarith. Kalau boleh aku tak nak sesiapa pun menangis hari
ini.
“Itu aje? Tak ada pesanan terakhir untuk Kak Durani ke?”
Muka terus berbahang bila mendengar nama itu. Memang nak
marah. Tapi bila aku tengok wajah suram Zarith, apa yang mampu aku lakukan
adalah mengusap kepalanya.
“Sorrylah
Zarith, tak ada rezeki nak jadikan Kak Durani tu kakak ipar...”
Zarith peluk pinggang aku. Boleh dengar esakkan perlahannya.
Aku cuba tolak perlahan bahunya tapi dia mengeratkan lagi pelukan.
“Tak apa Abang Mie. Kat sana nanti cari kakak ipar yang
lebih baik dari Kak Durani. Nanti kita tayang pula pada Pak Zahar.” Zarith
memujuk. Aku senyum senget. Pandai pula dia menyejukkan hati aku.
“Sudah tu. Tak payah nak tangkap leleh sangatlah Zarith.
Mie, mak rasa baik kau gerak sekarang. Hari masih redup ni. Kalau sampai awal
kat sana, bolehlah berehat lama sikit kat hotel. Besok dah nak lapor diri,
kan?”
Aku cuma mengangguk, menjawab soalan mak. Zarith sudah
melepaskan pelukan. Laju tangannya mengeringkan pipi yang basah. Sebelum aku
bangun, dia peluk aku sekali lagi. Pipi aku dicium kiri dan kanan. Alahai adik
aku ni. Tak habis sedih lagi ke?
“Jaga perangai elok-elok tau. Awak tu dah nak jadi anak
dara.” Aku cubit perlahan pipi Zarith.
Ada senyum di sebalik airmata yang masih mengalir.
Aku hampiri mak. Dia mengesat peluh di dahi dengan hujung
baju kurungnya. Eleh! Berlakon juga tu. Macamlah aku tak tahu dia pun nak
menangis juga. Ketika aku hulur tangan nak bersalam, dia terus peluk aku.
Lepukkan mak di belakang badan lebih kuat dari biasa. Seperti Zarith juga,
habis pipi aku diciumnya berulang kali.
“Jangan pandu kereta laju-laju. Kalau penat berhenti
dulu. Dah sampai Teluk Intan nanti jangan lupa telefon mak. Jangan duduk kat
hotel yang mahal-mahal pula Mie. Jimat-jimat sikit duit yang ada tu....”
“Mak... Mie dah naik hafal semua pesanan-pesanan mak.
Jomlah ikut Mie.”
Aku buat-buat tarik tangan mak, nak masukkan dia ke dalam
kereta. Terjerit-jerit mak menghalang aku. Zarith mengekek ketawa melihat mak
meronta minta dilepaskan. Aku pun gelak juga. Mujur mak. Kalau bini aku yang
membebel macam tu memang aku gigit mulut dia laju-laju.
Aku masuk dalam
kereta dan hidupkan enjin. Mak mengurut dada yang mengah.Sisa tawa masih
berbaki. Mereka berdua berdiri di sisi kereta. Suis penghawa dingin aku putar,
cermin pandang belakang aku laraskan dan tali pinggang keledar aku kenakan. Aku
sudah bersedia untuk memulakan perjalanan.
“Mie gerak dulu mak. Zarith, kalau ada apa-apa hal nanti call abang tau.”
Zarith mengangguk. Dia peluk lengan kurus mak. Ada
genangan air di matanya. Sebelum dia ‘hujan’ lagi, lepas baik aku pergi.
“Assalamualaikum...”
Sejurus memberi salam, kereta bergerak perlahan keluar
dari perkarangan rumah. Melalui cermin pandang belakang, boleh nampak mak dan
Zarith sedang melambai. Selamat tinggal mak. Abang pergi dulu Zarith. Semoga
pemergian aku kali ini dapat mengubah nasib keluarga aku satu hari nanti.
Telefon berbunyi sebaik saja aku keluar menuju ke jalan
besar. Untuk keselamatan, aku berhentikan dulu kereta di bahu jalan. Lupa nak
pasang handsfree sebenarnya. Enjin
kereta terus aku matikan tatkala melihat nama pemanggil yang tertera di skrin.
Aku pandang sekeliling. Entah apa yang aku cari, aku sendiri pun tak tahu. Tapi
yang pastinya aku gugup sekejap untuk menjawab panggilan telefon.
Tiga kali telefon berbunyi, akhirnya dengan satu helaaan
yang berat aku sentuh gambar gagang yang berwarna hijau. Ketika telefon melekap
di telinga, aku tak terus bercakap. Sengaja beri peluang orang di dalam talian
memulakan perbualan.
“Joe...”
“Assalamualaikum.” Sengaja aku tekankan suara. Nak perli
dia pun ya juga. Suara Durani perlahan saja menjawab salam. Aku amati suara
latar di dalam talian. Agak senyap. Dia ada di rumah ke? Boleh pula dia
menggunakan telefon. Setahu aku, sejak abah dia memutuskan hubungan aku dan dia, telefon adalah
satu-satunya gajet yang dirampas.
“Joe dah ke Penang hari ni ya?” tanya Durani.
“Dah tahu buat apa tanya?” Suara masih keras. Menahan
sebak sebenarnya.
“Sampai hati Joe tak tunggu Dura. Dura ada buatkan kuih
sikit untuk Joe. Boleh buat bekal dalam perjalanan.”
“Dah tak ada sebab Joe nak tunggu lagi. Nanti tak
pasal-pasal kena perhambat dengan abah Dura. Bagilah ajelah kuih tu kat mak Joe.
Biar dia wakilkan Joe untuk makan kuih tu.”
“Dura dah pergi tadi, tapi...”
Aku ketap bibir mendengar suara sayu Durani. Dapat aku
bayangkan reaksi mak. Tak mungkin dia akan menerima sebarang pemberian daripada
Durani lagi. Hati mak lebih hancur dari hati aku. Mak dah cakap, sampai mati
pun dia takkan lupakan perbuatan abah Durani.
“Joe... Maafkan Dura.”
“Tak mahu cakap lagi perkara tu. Ketentuan Allah tu dah
termaktub. Kita bukan ditakdirkan bersama. Mulai hari ini Dura mesti lupakan
Joe. Tukar wajah buah hati dalam kepala
tu. Dulu wajah Joe, kan? Sekarang ni bayangkan wajah bakal suami pilihan
ABAH Dura.”
Aku tekan perkataan abah, sengaja nak berkias dengan
Durani bahawa aku ni bukanlah calon pilihan abahnya.
“Dura tak boleh. Dalam hati Dura cuma ada Joe. Dura tak
nak kahwin dengan Jalil.”
“Oh, nama dia Jalil? Hmm...”
Tangan meramas stereng dengan kuat. Pedih betul rasa hati
bila mendengar Durani menyebut nama lelaki lain. Kalau dulu, pantang dia
menyebut mana-mana nama kawan lelaki, mulalah aku tarik muka empat belas. Tapi sekarang,
dah tak ada sebab untuk aku cemburukan dia.
“Dura masih sayangkan Joe...”
Aku meraup muka. Suara lirih Durani buat aku sebak.
Telinga menangkap esakan halus di dalam talian. Aduh! Ini yang aku lemah. Aku
memang tak boleh dengar dia menangis. Terus longgar sendi-sendi badan. Ya
Allah! Kuatkan semangat ini.
“Dura...” Bergetar suara aku memanggil dia. Esakan
semakin kuat. Mata aku sendiri pun dah makin kabur. Aku tekan kelopak mata,
cuba menahan airmata dari keluar.
“Maafkan Dura. Sumpah! Dura tak tahu semua rancangan
abah. Dia boleh paksa Dura kahwin dengan Jalil. Tapi hati Dura tetap untuk Joe.
Sampai bila-bila pun Dura takkan lupakan Joe.”
Kalau dia ada di depan aku sekarang, memang aku peluk
dia. Hampir setengah jam aku habiskan di bahu jalan mendengar tangisan Durani.
Tak tahu dengan cara apa lagi untuk memujuk dia. Yalah, hati aku pun terguris
juga. Kerana perbuatan abah dialah , hari ni aku keluar dari kampung.
“Dura... Joe kena gerak sekarang.” Akhirnya aku bersuara.
Tangisan Durani juga sudah reda.
“Dura nak jumpa Joe. Please...”
Aku pandang jam di tangan. Otak mula ligat berfikir.
Tiba-tiba aku terpandang botol air di tempat duduk sebelah penumpang.
Serta-merta terbayang wajah mak. Dia yang meletakkan botol air itu di situ.
Kalau dia tahu aku masih berhubung dengan anak Pak Zahar ni, pasti dia
mengamuk.
“Joe dah lambat ni. Takut lewat pula sampai ke Penang.”
“Sekejap aje...”
“Kalau dah jumpa Dura, mana boleh sekejap. Joe nak pergi
jauh ni. Bukan pergi dengan rela hati tau. Joe terpaksa pergi sebab frust dengan perbuatan abah Dura. Joe
takut bila jumpa Dura nanti, lain pula jadinya...”
Durani tertawa kecil. Tapi aku tidak. Memang aku serius
dengan apa yang aku lafazkan.
“Nak jadi apa? Takkanlah Joe nak buat tak senonoh pada
Dura.”
“Tak, Joe takkan buat macam tu. Tapi Joe akan bawa Dura
lari dengan Joe. Alang-alang dah malu, biar dua-dua keluarga tanggung sama-sama.
Lagipun Dura memang sayang Joe, kan?”
“Joe!” Kuat betul jeritan Durani di dalam talian.
“Kenapa? Tak berani ke nak lari dengan Joe? Tadi cakap
sayang sangat, kan? Nak jumpa, marilah. Joe tunggu kat simpang ni. Jangan lupa
bawa kain baju sekali.”
Makin bersemangat pula aku mempengaruhi Durani. Dah nekad
ni. Kalau dia betul-betul datang memang aku bawa dia ke Penang. Tapi aku dah
kenal dia sangat-sangat. Tak mungkin Durani seberani itu.
“Joe...”
“Ya sayang? Tak berani, kan? Okey, kalau macam tu Joe
kena gerak dululah. Selamat berbahagia dengan Jalil. Bye...”
Aku terus matikan talian. Tak perlu menunggu lagi.
Selamat tinggal Durani
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
~ ~ ~
Hampir enam jam mengharung perjalanan ke utara, akhirnya
aku sampai juga di bandar Georgetown. Mujurlah ada aplikasi canggih. Kalau
tidak, rasanya matahari dah tenggelam pun belum tentu sampai lagi ke sini.
Pandai betul orang yang mencipta aplikasi Wayz
ni. Semua jalan dan tempat dapat dicari.
Apa-apa hal kena cari hotel dulu.
Badan dah melekit, pinggang dah lenguh. Kalau dapat lelapkan mata sekejap pun bagus juga. Sekali
lagi gajet canggih yang sama lebar dan panjang tapak tangan itu aku gunakan.
Sekali Google saja, tersenarai
nama-nama hotel yang terdapat di sini. Pilih saja, nak yang murah atau yang
mahal. Aku pilih hotel yang paling dekat dengan tempat aku melapor diri esok.
Senang sikit, tak payah nak tergesa-gesa keluar awal pagi. Lagi pun aku bukannya
biasa sangat dengan tempat ni.
“Pergh!!! Sedapnya mengeliat...”
Bahagianya dapat merebahkan badan.
Urusan check in di Hotel Mingood tak
mengambil masa yang lama pun. Apa-apa hal kena telefon mak. Aku pasti dia
sedang menunggu panggilan aku ketika ini.
“Assalamualaikum Mie. Dah sampai
ke?”
“Waalaikumsalam. Baru aje check in mak.” Aku menjawab sambil
menguap lebar.
“Dah jumpa ke tempat kau nak lapor
diri besok?” Mak menyoal lagi.
“Dah...Dekat dengan hotel ni aje.
Besok lepas lapor diri Mie nak cari rumah sewa pula.” Aku panjangkan jawapan.
Sebenarnya mata ni dah makin berat. Kalau aku tak mandi sekarang, rasanya memang terlelap sambil berbual dengan
mak nanti.
“Pagi tadi tak lama lepas kau
bertolak, Dura datang rumah.”
Uik! Macam ada spring dalam badan,
aku terus terbangun dari katil. Mata celik serta-merta. Hebat betul aura tenaga
Durani. Aku kemaskan lekapan telefon di telinga. Tak sabar nak dengar mak bercerita. Walhal aku dah tahu
ceritanya dalam versi Durani.
“Dia kata nak jumpa kau. Dia ada
kirimkan kuih. Untuk mak pun ada. Tapi...”
“Mak buang ke kuih yang Dura bagi
tu?” Laju aku memotong cakap mak.
“Mak ni seteruk itu ke? Mak memang
menyampah dengan bapak dia. Tapi kalau dia datang bawa rezeki, takkanlah mak
nak menolak.”
Lega hati mendengarnya. Aku duduk
semula di birai katil. Teringat segala perbualan bersama Durani pagi tadi.
Beruntunglah Jalil dapat isteri yang pandai memasak seperti Durani. Siapa Jalil
tu ya? Huh! Meluat pula rasa bila mendengar Durani menyebut nama jantan itu.
Penangguk di air keruh!
“Susahlah Mie nak lupakan dia
mak...”
“Mula-mula memanglah. Lama-lama
nanti, bila dah sibuk dengan kerja kau lupalah kat dia tu...”
“Dia ada call Mie tadi. Merayu-rayu
minta maaf. Ikutkan hati Mie nak bawa aje dia lari. Nikah kat Thailand. Biar
terlopong mulut Pak Zahar tu...”
“Yalah tu. Kalau terlopong. Dibuatnya
dia penggal kepala mak ni sebab geram dengan kau, apa macam? Bercakap jangan
main ikut sedap mulut aje boleh tak?”
Aku terkekek ketawa mendengar
bebelan mak. Kalau aku ada di depan dia sekarang memang confirm kena sekeh. Butang
baju kemeja t-shirt aku buka satu-persatu. Rasanya elok kalau aku bersihkan
badan dahulu. Perut pun dah lapar. Lauk yang mak bekalkan untuk aku tadi ada aku bawa sekali ke bilik.
“Mie nak mandi ni mak. Nanti besok
Mie call lagi, ya. Kirim salam Zarith.”
“Hmm.. yalah. Berehatlah. Jaga diri
baik-baik.”
Aku terus ke bilik mandi sebaik saja
mak menamatkan perbualan. Buka paip di bathtub
dan letak syampu. Bukan selalu dapat masuk hotel. Alang-alang dah dapat peluang
ni, rugilah kalau tak berendam. Baru
separuh penuh, aku dah masuk ke dalam bathtub.
Fuh! Leganya. Alangkah seronoknya kalau ada yang memicit-micitkan bahu di waktu
ini. Bathtub ni pun besar. Muat untuk
dua orang.
Kepala aku sandarkan di hujung bathtub. Wajah Durani datang bertandang.
Indahnya andai dapat bersama dengan dia di saat ini. Dia belai aku, aku belai
dia. Sama-sama bersabun, main simbah-simbah. Kedudukan kepala aku rendahkan,
betul-betul di bawah kepala paip. Mata terpejam rapat, nak sambung berangan
lagi. Senyum Durani masih menghiasi ruang mata.
Tangan mengusap buih sabun di badan.
Membayangkan tangan lembut Durani sedang memanjakan aku. Bila tangannya sampai
di dada, aku pegang tangannya dan aku kucup lembut. Jemari Durani merayau ke
pipi, hidung dan telinga. Aku gigit bibir sendiri apabila tangannya mengusap
perlahan rambutku yang basah. Aku pegang tangannya yang sedang meramas rambut.
Jemari kami sama-sama menari di kepala ku. Semakin lama semakin...
“Awww!!! Panas!!!!”
Tercampak kepala paip shower yang bergetah panjang ke lantai.
Serta-merta aku bangun dan melompat
keluar dari bathtub. Nasib baik tak
melecur kepala aku. Sambil memulas kepala paip air panas, aku senyum sendiri.
Berangan lagi Johaimi!!!