"Selamat pagi doktor."
Dia pandang aku sampai terteleng kepalanya. Sebelum aku menghilang di dalam pantri, sengaja aku kenyit mata padanya. Ternganga mulut Dr.Zaiman. Pasti dia fikir aku ni dah buang tabiat. Biarkan dia. Selama ni dia kacau aku. Hari ni aku akan ganggu dia. Bukan nak menggatal tapi nak melihat sejauh mana kesungguhan dia untuk mengenali aku.
"Adui, sakitlah perut aku Akira. Dah macam budak nakal aku tengok kau hari ni." Rani ketawa berdekah-dekah. Aku pun turut menyertai Rani. \
Selepas semalaman berfikir, aku ambil keputusan untuk memberi peluang kedua untuk hati ini menerima kehadiran insan yang bernama lelaki. Dan hari ini, aku nekad untuk memberi jawapan yang Dr.Zaiman mahukan.
"Kau yakin dengan keputusan kau?" tanya Rani. Dua buah muk berisi Nescafe diletakkan di atas meja.
"Aku rasa tak salah untuk mencuba." Aku menjawab sambil menyisip sedikit Nescafe yang masih berasap.
"Tak takut pisang berbuah dua kali?"
Aku bersihkan kesan gincu yang melekat di muncung muk. "Dah banyak pokok pisang yang berbuah dua kali sekarang ni Rani. Kau tak baca suratkhabar ke?"
"Wah, dah pandai loyar buruk sekarang!" Rani melepuk tangan aku. Kami diam seketika. Menikmati aroma Nescafe yang memenuhi ruang pantri.
"Aku nak berkawan Rani. Aku ni manusia biasa, bukan malaikat. Naluri wanita, nak disayangi, nak orang ambil berat dan nak seseorang yang boleh berkongsi masalah. Tiga tahun, aku cuba lupakan Doktor Naufal. Aku redha sekarang. Aku dah tak nak ingat lagi cerita-cerita lama."
"Tapi kau punya taste ni memang doktor aje eh?"
Kali ini aku pula melepuk Rani. "Kebetulan ajelah! Bukannya aku memilih. Habis tu, hidup aku ni cuma rumah dan hospital. Kalau ditakdirkan aku berkawan dengan tukang kebun pun aku terimalah."
"Yelah, yelah. Aku tahu. Aku harap kau bahagia dengan pilihan kau kali ini. Minta-minta sampailah ke jinjang pelamin!" Rani ketawa kuat. Terjegil mata aku mendengar hilai tawa Rani. Perempuan ni kalau dapat ketawa memang tak ingat dunia.
Selesai berehat sebentar di pantri, kami kembali ke dalam wad. Aku tinjau bilik Dr.Zaiman sebelum meneruskan langkah ke kaunter. Dia tiada di situ. Tak mengapa, banyak masa lagi. Kalau hari ini dia minta nombor telefon, pasti akan aku berikan padanya. Mungkin nampak seperti aku yang beria-ia, tapi rasanya tak salah jika aku memulakan. Selagi ianya tak melanggar batas dan hukum-hukum agama.
"Akira, awak ada kerja tak sekarang?" Bidan Syarifah tiba-tiba muncul dari bilik rawatan.
"Tak buat apa-apa Kak Pah. Kenapa?" Aku tanya dia semula.
"Akira tolong Kak Pah tengokkan doktor-doktor pelatih kat dalam tu. Diorang minta nak buat persediaan untuk caeserean patient. Akak nak tengok pesakit di bilik belakang."
Laju aku mengangguk. Sebelum masuk ke bilik rawatan, mata melingas mencari Rani. Mungkin dia sudah memulakan pemeriksaan rutin. Selepas pintu bilik rawatan ditutup, orang pertama yang aku nampak adalah Dr.Zaiman.
"Rajinnya nak buat kerja hari ni? Bukan ke selalunya doktor-doktor ni pandai bagi arahan aje?" Sengaja aku perli ketiga-tiga orang doktor itu. Bukan untuk mendabik dada, tapi sebenarnya aku yang sedang gemuruh. Pandangan Dr.Zaiman buat aku rasa nak keluar semula dari bilik itu.
"Doktor Idzham dan pensyarah kami akan datang sekejap lagi. Kami nak Akira beritahu kami secara teori sahaja. Praktikalnya biar kami yang buat," kata Dr.Joanne.
Aku mengangguk faham. Aku mulakan dengan peralatan yang akan digunakan untuk shaving. Kemudian aku ajar mereka cara memasukkan CBD atau dalam bahasa biasanya, tiub kencing. Ketiga-tiganya terangguk-angguk. Entahkan faham entahkan tidak. Sepanjang memberi penerangan, aku tak berani memandang Dr.Zaiman.
Padan muka kau Akira! Tadi berani sangat kenyit-kenyit mata dengan dia. Ha, sekarang apa sudah jadi? Tahu pula kau malu!
"Okey, sekarang saya nak tengok doktor buat pula." Aku bagi ruang pada Dr.Joanne, Dr.Rozy dan Dr. Zaiman merapati katil.
"Kami akan buat di depan Doktor Idzham nanti," kata Dr.Zaiman.
"Saya rasa lebih baik doktor mulakan dengan shaving dulu. Sekurang-kurangnya kalau salah, saya boleh tolong." Aku beri cadangan sahaja. Terpulang pada mereka untuk ikut atau tidak.
Mereka bertiga berpandangan sesama sendiri. Tidak lama kemudian Dr.Joanne mengambil pisau cukur di dalam dulang yang beralas kain hijau. Perlahan-lahan baju yang menutup perut pesakit diselak. Aku nampak Dr.Joanne meneguk air liur. Sebelah tangannya memegang lembut perut pesakit. Sebelah tangan lagi sudah bersedia dengan pisau cukur. Tangannya kelihatan menggigil ketika mencecahkan pisau cukur ke perut yang berkilat itu.
"Adoi!!!"
Terpelanting pisau cukur di tangan Dr.Joanne. Kami berempat hairan melihat pesakit wanita yang ku panggil Kak Shikin ketawa terkekek-kekek. Aku kutip pisau cukur di atas lantai. Kak Shikin mengusap perutnya yang terdedah.
"Maaf, akak bergurau aje doktor," kata Kak Shikin selepas tawanya reda. Ketiga-tiga mereka menghela nafas lega.
"Kak Shikin ni, boleh lagi dia main-main ya." Aku tutup sebentar perutnya dengan selimut.
"Akira, akak rasa lebih baik Akira yang buat demo pada doktor-doktor ni. Akak takut sampai ke sudah tak siap bercukur perut akak ni."
Aku pandang mereka bertiga. Wajah masing-masing nampak bengang. Kalau pesakit sendiri sudah hilang keyakinan, susahlah nak cakap. Aku perasan isyarat mata Dr. Rozy membenarkan aku melakukan shaving. Kalau ikutkan, aku tak perlu menunggu kebenaran dari mereka. Cuma sebab aku menghormati profesion mereka, maka aku beri peluang pada mereka terlebih dahulu.
"Awak buatlah Akira. Kami belajar dengan awak," suruh Dr.Zaiman.
Pandangan kami bertaut. Terasa renjatan elektrik di dalam urat sarafku. Tapi dengan segera aku alihkan pandangan. Aku menyarung sarung tangan getah. Aku arahkan mereka bertiga merapati katil kembali.
"Kak Shikin baring diam-diam tau. Saya nak buat kerja ni." Aku beri ingatan pada pesakit yang peramah itu. Dia akan menjalani pembedahan dalam masa dua jam lagi.
Aku mulakan kerja-kerja mencukur. Untuk pertama kalinya aku rasa malu pula bila proses mencukur beralih ke bahagian bawah. Tapi cepat-cepat aku beristighfar. Ini adalah tuntutan kerja. Sambil bekerja, aku beri penerangan yang berkaitan dengan persiapan sebelum pesakit dibawa ke bilik bedah.
"Okey, siap. Sekarang siapa nak pasang CBD? Oh, sebelum tu. Boleh beritahu saya CBD tu apa?" Tak ubah seperti cikgu pula rasanya. Mereka bertiga diam seketika.
"Catheter Bladder Drainage," jawab Dr.Zaiman.
"Pandai! Sebab itulah saya sayang awak."
"Ha?" Ternganga mulut Dr.Zaiman memandang aku.
Alamak, terlepas cakap pula! Aku buat muka selamba walaupun muka dah panas membahang. Aku hulur CBD pada Dr.Zaiman yang masih memandang aku tanpa kerdipan.
"Saya nak doktor pasang CBD tu sekarang," arah aku.
Matanya masih belum beralih. Alahai, dia ni tak pandai nak mengawal keadaanlah!
"Man, cepatlah! Nanti Dr.Idzham masuk," sergah Dr.Joanne.
Aku senyum, akhirnya Dr.Zaiman membuka sarung CBD. Dia menoleh pada rakan sekerjanya yang berdua itu. Wajahnya seperti memohon pertolongan.
"Maaf puan, izinkan saya ya," ujar Dr.Zaiman.
Aku nampak Kak Shikin mengangguk. Kembang pula rasa hati. Ternyata dia tahu menjaga tatasusilanya ketika bekerja. Memang dah makin nak sayang dengan dia ni.
"Aduh, sakit!"
Aku pandang muka Kak Shikin. Mana tahu kalau dia main-main lagi. Tapi Kak Shikin mendesah lagi. Berkerut-kerut wajah wanita itu. Jelas ketara yang dia tidak selesa. Lengan Kak Shikin ku pegang lembut. Dia pandang aku dengan sepasang mata yang berair.
"Sakit," Kak Shikin merintih.
Aku pergi ke bahagian kaki Kak Shikin. Tak sampai hati melihat Kak Shikin menahan sakit.
"Doktor Zaiman." Aku panggil dia. Dr. Zaiman pandang aku. Keringatnya sudah bermanik-manik di dahi. Aku yakin ini adalah pengalaman pertamanya.
"Biar saya buat." Tanpa menanti persetujuannya, aku teruskan kerja-kerja Dr.Zaiman.
Sedang elok saja aku selesai memasang CBD, pintu bilik rawatan dibuka. Dr.Idzham masuk dengan dua orang yang tidak aku kenali. Aku pasti mereka adalah pensyarah-pensyarah doktor-doktor pelatih ini. Aku tunduk sedikit sebagai tanda hormat. Segera aku ke sinki untuk membersihkan tangan. Sambil menanggalkan sarung tangan getah, aku memasang telinga. Dr.Zaiman, Dr.Rozy dan Dr.Joanne sedang menerangkan keadaan Kak Shikin. Sesekali terdengar suara Kak Shikin menyertai perbualan. Selesai mengeringkan tangan, aku hampiri mereka. Aku berdiri di sebelah Kak Shikin. Dr.Zaiman nampak tenang menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh kedua-dua pensyarah tersebut. Begitu juga Dr.Rozy dan Dr.Joanne.
"Siapa yang pasang CBD?" tanya Dr.Idzham.
"Doktor Zaiman." Laju mulut aku menjawab.
Ketiga-tiga doktor itu kelihatan gamam. Dr.Idzham bertanya pula pada Kak Shikin untuk mengesahkan jawapan aku.
"Doktor yang paling tinggi tu. Doktor yang berdua lagi ni tadi cukur perut saya.Staff nurse ni cuma tukang ajar aje," jawab Kak Shikin.
Dr.Idzham seperti ingin menyoal lagi. Tapi tumpuannya terganggu apabila pintu bilik dibuka lagi. Bidan Syarifah masuk bersama beberapa orang jururawat pelatih.
"Maaf Doktor Idzham. Saya nak bawa pesakit ke OT."
Aku nampak riak kelegaan di wajah masing-masing. Dr.Idzham membawa tetamu-tetamunya keluar dari bilik rawatan diikuti oleh Dr.Rozy dan Dr.Joanne. Dr.Zaiman masih di situ, memerhatikan aku menggantikan pakaian Kak Shikin.
"Doktor buat apa lagi di sini? Kami nak salin baju pesakit ni," tegur Bidan Syarifah. Dr.Zaiman tersenyum sumbing. Sebelum dia keluar, dipanggilnya aku untuk keluar dari bilik itu bersamanya.
"Terima kasih sebab tolong kami tadi," ucap Dr.Zaiman.
"Terima kasih aje?" Aku beranikan diri untuk mengusik.
"Hmm, habis tu awak nak saya belanja makan atau pergi tengok wayang?"
"Tengok wayang," jawab aku dengan selambanya.
Dia nampak terkejut. Tapi aku tahu dia gembira dengan jawapan aku.
"Tapi kena minta izin mak saya dulu," sambung aku lagi.
"Boleh, petang nanti tunggu saya kat lobi. Saya hantar awak balik, lepas tu terus minta izin dengan mak awak."
Amboi, dia lagi laju menyusun rancangan. Dia berlari meninggalkan aku yang terkedu dan menuju ke biliknya. Sebelum masuk ke bilik, dia berhenti di depan pintu dan memandang aku. Tangan kanannya dilekapkan ke dada kemudian dilayangkan tangan itu seolah-olah sedang membaling sesuatu pada aku. Spontan aku menyambung balingannya lalu aku tekap pula tangan kananku ke dada. Dr.Zaiman melompat keriangan sejurus melihat reaksi aku.
Akira, betulkah apa yang kau buat ni?
No comments :
Post a Comment