Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

March 26, 2015

Kumbang Di Taman Dia Bab 1


        Kipas siling yang berputar ligat  tidak mampu melelapkan mata  Ody. Walaupun keletihan dan hari  sudah semakin lewat, matanya  masih segar. Puas berkilas ke kiri dan kanan, sudahnya  Ody  bangun. Dia  duduk  di  birai  katil  smabil  membelek jemarinya yang masih merah. Buat kesekian kali,  airmatanya  gugur  lagi.
            “Abang, sebab  abanglah  Ody terpaksa tinggalkan keluarga. Ody  takkan lupakan kenangan pahit yang  abang tinggalkan buat  Ody  dan keluarga. Abang memang  jantan tak  guna!”
            Sambil  meramas kuat  pehanya  sendiri, Ody  menangis teresak-esak. Esakan yang semakin kuat  cuba ditahan tatkala  melihat  Najwa  yang berada  di sebelahnya  sudah terjaga. Cepat-cepat  dia  berbaring  semula  dan menekup  muka  dengan bantal. Bimbang akan dileteri  lagi  oleh Najwa. Telinganya  sudah kebas mendengar bebelan sepupunya  itu sewaktu  di dalam bas tadi.
            “Tak lemas ke  menangis macam tu?”
            Ody  tersentak. Ternyata helahnya tidak  berjaya. Terasa  bantalnya  ditarik, Ody  segera menekup mukanya dengan kedua belah tangan.
            “Sudah-sudahlah tu. Besok  kita nak pergi  temuduga. Kalau muka  sembab macam ni, takut  orang  nak ambil kau  bekerja  nanti. Kata nak  move on.  Tapi aku  tengok  dari  tadi  asyik menangis  aje. Tak penat ke? Buta mata  tu  nanti, terus jadi  ahli  muzik pulak!”
            Dalam sendu, Ody  menguntum senyum. Selimut yang menutup  tubuh dijadikan pengesat muka  yang basah dengan airmata. Najwa menepuk-nepuk perlahan peha Ody, cuba menyalurkan kekuatan. Ody  bangun dan menyertai  Najwa berlunjur  di  tepi  katil.
            “Kalau  aku  dapat jantan tu  memang separuh mati  aku kerjakan dia.” Ody  memukul bantal peluk.
            “Eleh! Boleh percaya ke? Entah-entah bila dah ada kat  depan mata  kau rayu  dia. Bukannya aku  tak  kenal  kau tu. Harap muka aje  garang. Tapi  hati  macam tisu.” Kepala Ody ditunjal perlahan.
            Najwa bangun.  Tingkap  hotel bajet  itu  dibuka luas. Ody  juga turut  menyertainya menyedut  angin malam. Melayan kesejukan di  malam hari  membuatkan hati  Ody  semakin sayu. Dia masih tidak mengerti, kenapa  dia  ditinggalkan gantung  tidak  bertali. Nasir bukan suami orang. Ody  memang sangat pasti  akan hal itu.
            “Sepatutnya  waktu-waktu  begini  aku  tengah honeymoon. Tidur berbantalkan lengan Abang Nasir. Berkongsi  selimut yang sama. Mandi  bersama. Dia  berus aku, aku  berus  dia...” Bibirnya menyungging  senyum, tetapi  matanya bergenang dengan airmata yang bakal melimpah bila-bila masa saja.
            “Eee, kau  tak payahlah ingat  lagi benda-benda tu  semua. Kalau  kau  nak, dengan aku  pun boleh buat  semua tu. Jom!” Najwa menarik tangan  Ody ke  bilik air.
            “Kau nak  buat  apa  ni?”
             Najwa tersenyum nakal. Sambil  memulas  kepala  paip, dipeluknya  Ody lalu  dibawanya ke  bawah pancuran.
            “Woi! Kau jangan buat  kerja gila malam-malam buta ni Najwa. Sejuklah!”
            “Sejuk? Tak apa...kejap  lagi kita  kongsi  satu  selimut. Aku  peluk kau, kau  peluk  aku. Eh, bukalah baju  ni.  Aku  nak  berus  belakang badan kau. Sorrylah tak ada  bath tub. Bajet  kita  tak banyak. Lain kali  kita sewa  hotel yang mahal. Boleh mandi  dalam bath tub.”
Terjerit-jerit  Ody cuba melepaskan diri. Tapi  sudah terlambat. Mereka  berdua sudah basah  kuyup  di bawah pancuran. Ketika tangan Najwa cuba membuka butang pijama Ody, dia  berlari  keluar. Hilang sedihnya  buat  seketika.
“Nak lari mana? Marilah sayang...” Najwa  tunjuk  muka gatal. Sengaja dia  buat aksi  nak mendukung Ody.
“Ya Allah  Ya  Tuhanku, hantu  apakah  yang telah  merasuk  sepupu  aku  ni?”
Najwa tergelak kuat  mendengar  kata-kata  Ody. Senang hatinya  melihat  Ody  sudah senyum kembali. Sebenarnya hati Najwa turut  pedih apabila  sepupunya  diperlakukan sebegitu  rupa. Tapi  apakan daya. Semuanya  sudah  berlaku. Hidup perlu  diteruskan. Dan dia  rasa sangat  bertanggungjawab untuk  membuat Ody  gembira kembali.
“Kau jangan sebut  pasal  hantu  malam-malam ni  Ody. Kita tak  biasa lagi  dengan tempat ni. Nanti tak pasal-pasal...”
Tok! Tok! Tok!
Lintang-pukang mereka  berdua melompat  ke atas katil. Tak peduli lagi  dengan baju mereka yang basah kuyup. Ketika pintu diketuk  buat  kali  kedua, mereka sudah berbungkus  di dalam selimut. Menggigil badan masing-masing. Kesejukan dan ketakutan sama banyak.
            “Siapa yang ketuk pintu  malam-malam buta  ni Najwa?”
            “Manalah aku  tahu. Itulah kau, pergi  sebut  pasal hantu  tadi  kenapa?”
            “Weh! Mana ada hantu. Ada orang ketuk pintu tu. Pergilah buka.”
            “Hish! Tak nak aku. Kalau  bukan orang macam mana?”
            Ketukan semakin kuat. Badan mereka  semakin menggigil, langsung tak  berani  untuk  turun dari katil. Pelbagai  benda negatif  yang mereka  fikirkan. Najwa  sudah mula  teresak-esak. Keseronokan yang baru  bermula terus  hilang serta-merta.
            “Jangan-jangan  ada orang nak merompak kita...” Najwa bersuara perlahan.
            Bam!
            Pintu  ditendang. Terdengar beberapa  derap  langkah masuk  ke dalam bilik. Najwa  dan Ody sudah keras  mematung. Baru  saja Ody  ingin mengintai, selimut  direntap  kasar. Najwa sudah meraung ketakutan. Leher Ody  dipeluk  kuat. Matanya terpejam  rapat, tak  berani  melihat  apa yang ada di depan mata  mereka sekarang.
            “Gari  mereka dan kumpulkan bersama yang lain.”
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~
            “Boleh saya  hantar awak berdua  balik  ke  hotel?”
            “Memang Encik kena hantar kami berdua ke sana. Pandai angkut, pandailah hantar  balik!”
            Najwa mencuit lengan Ody. Ody hanya  membalas dengan jelingan tajam. Pegawai  polis  yang menahan mereka  di  hotel bajet  tadi membuka pintu kereta di bahagian belakang. Belum sempat Ody  masuk ke perut kereta, Najwa dengan pantas menarik Ody  menjauhi  kereta pegawai  polis itu.
            “Boleh percaya  ke  dengan polis  tu? Aku  takut  kalau  dia melencong ke tempat lain aje,” bisik  Najwa. Sesekali  matanya  mengawasi  pergerakan pegawai  polis yang masih menunggu  di kereta.
            “Dia  nak melencong ke mana pulak? Kau jangan fikir yang bukan-bukan boleh tak  Najwa. Aku  dah mengantuk  ni.” Ody melepaskan pegangan tangan Najwa. Tanpa banyak bicara dia masuk ke dalam kereta. Najwa  tidak  masuk  sekali  bersamanya. Tetapi  gadis itu memilih untuk  duduk  di bahagian hadapan.
            “Tunggu  sekejap ya. Handphone saya tertinggal kat dalam pejabat.” Pegawai polis  tadi  masuk semula  ke dalam balai.
            “Amboi! Jadi  mem nampak,” perli Ody.
            “Bukan mem besarlah. Bahayalah kalau  dua-dua  duduk  kat  belakang. Kalau dia cuba melencong ke  tempat lain karang, kau  gigit telinga dia dari  belakang. Aku pula tumbuk  muka  dia  dari depan.” Bersungguh-sungguh Najwa mengatur  rancangan.
            Ody  sudah tidak kuasa melayan. Badannya  sangat  lesu. Apa yang dia mahukan ketika ini  adalah tidur. Kepalanya juga sudah mula  pening-pening lalat. Malang sungguh nasibnya  kebelakangan ini. Sudahlah baru  ditinggalkan suami. Tak pasal-pasal hari ini dia  dan Najwa tertangkap sekali  di dalam operasi  membanteras pelacuran di  hotel  bajet itu. Mujurlah nasib menyebelahi  mereka. Kalau  tidak, pasti  mereka  akan bermalam di dalam lokap.
            “Apa nama pegawai  polis  tu Ody?”
            “Entah.”
            “Kau  rasa-rasa umur dia berapa?” Najwa masih bertanya.
            “Manalah aku  tahu. Bukan aku  yang beranakkan dia,” jawab Ody acuh tak  acuh. Matanya  sudah hampir  terlelap.
            “Kalau  tengok  pada gaya dia kan, kau  rasa-rasa dia  dah kahwin ke  belum?”
            “Belum.” Tiba-tiba pegawai polis  tadi membuka pintu  kereta dan terus  menghidupkan enjin.
            Najwa membetulkan duduk. Lima minit perjalanan, tak ada seorang pun yang mahu  memulakan perbualan. Ody  sudah beberapa kali menguap. Najwa memeluk tubuh. Baju  tidur  yang basah lencun sebentar  tadi  sudah kering sendiri  di tubuh mereka.
            “Kalau  awak  berdua dapat  kerja kat sini, awak nak tinggal kat mana? Takkan nak terus  tinggal kat hotel  tu  sampai awak dapat cari  rumah sewa? Banyaknya  duit.  Awak  ada share ke dengan hotel tu?” Akhirnya  pegawai  polis  itu  bersuara.
            Najwa  mengerling Ody yang duduk di  belakang. Ody  masih seperti tadi,malas  nak melayan pegawai polis  itu  berbual. Tak  cukup lagi  ke  sesi soal siasat di  balai polis  tadi? Suka  hati  dialah nak tinggal  berapa lama pun di hotel itu. Duit bukan masalah bagi  dia. Kalau  tak cukup, maklumkan saja pada abahnya.  Dia mencari  kerja  di  sini pun semata-mata  ingin melupakan Nasir. Kalau  tak  berjaya dalam temuduga esok, tak menjadi  ralat langsung bagi Ody.
            Melihat  Ody  dan Najwa  seperti tidak berminat untuk  berbual,akhirnya pegawai polis itu  turut senyap. Hanya  suara  radio  yang menemani  kesunyian di dalam kereta. Lima belas minit kemudian, mereka tiba  di  destinasi. Tanpa ucapan terima kasih, Ody  terus keluar dari kereta. Tidak  perlu ucapan terima kasih kerana bukan dia  yang ingin menumpang. Pegawai itu  dan anak-anak buahnya  yang ‘mengangkut’  mereka dengan black maria  semasa serbuan tadi.
            “Ini  kad saya. Kalau  ada  apa-apa hal, boleh hubungi saya.” Kad  dihulur  pada  Najwa. Ody sudah menonong pergi. Matanya bagai  sudah tidak mahu  terbuka lagi.
            “Cepatlah Najwa! Aku dah mengantuk ni.”
            Najwa cuma sempat mengangguk. Bimbang ditinggalkan berseorangan di situ. Ketika mendaki  tangga ke  bilik, Ody  mengambil kad  nama di  tangan Najwa. Tak semena-mena mulutnya  mencebik sebaik sahaja  membaca barisan-barisan  huruf  yang tertera di kad itu.
            “Pangkat  dah best.  Tapi nama tak komersial  langsung!” Selamba saja Ody mengutuk.
            Najwa merampas  kembali kad nama di  tangan Ody. “Pergh!!! Ketua Detektif  tu!!!”
            “Huh! Nama dia  tak bestlah. Cuba kau  baca,apa namanya  tu?” Ody menjuih bibir  sekali  lagi.
            “Atan...”

March 23, 2015

Kumbang Di Taman Dia PROLOG


        Ody melihat wajahnya di cermin. Sayang rasanya ingin mencuci mekap yang merias wajah. Hatinya sangat puas dengan hasil sentuhan jurumekap yang ditempah oleh sepupunya. Pada mulanya dia kurang yakin dengan sentuhan anak muda itu. Yalah, umur baru setahun jagung tapi sudah memiliki butik pengantin sendiri. Memang sukar untuk meraih kepercayaan Ody, seorang perfectionist.
            Bermula dengan majlis nikah hingga ke majlis persandingan, tak putus-putus dia mendapat pujian dan ucapan tahniah. Hati mana yang tidak kembang bila dipuji cantik. Ditambah pula dengan pasangannya yang tampan. Walaupun baru beberapa bulan Ody mengenali Nasir, namun dia yakin lelaki itu mampu membahagiakannya. Sepanjang tempoh perkenalan, Nasir berjaya menawan hati bapa Ody. Pak Zamil, lelaki yang terlalu cerewet dalam soal memilih menantu. Bagi Pak Zamil, Ody ibarat puteri terpilih. Segala-galanya haruslah yang terbaik, sesuai dengan kedudukannya sebagai pengurus estet ladang sawit terbesar di semenanjung tanahair
            “Ody, boleh aku masuk?”
            Ketukan di pintu berserta dengan suara Najwa, sepupu Ody yang paling rapat berjaya mengalihkan perhatian Ody. Dia bingkas bangun, Pintu bilik dibuka sedikit, meninjau gerangan yang berada di luar. Najwa juga turut meninjau. Bimbang kalau-kalau menganggu pasangan pengantin baru.
            “Ya Allah! Kau tak cuci mekap lagi?” tanya  Najwa dengan mata terbeliak.
            “Sayang nak cuci. Cantik sangat!” Ody tergelak manja. Tangan Najwa ditarik masuk ke dalam bilik. Mereka berdua duduk di birai katil.
            “Mana boleh tak cuci mekap tu. Nanti muka tumbuh jerawat. Kau tu memang dah lawa. Tak mekap pun tetap nampak  cantik.”
            Kembang hati Ody dipuji Najwa. Dia bangun dan laci meja solek dibuka. Bungkusan kapas dan sebotol bahan penanggal mekap dikeluarkan. Kedua-duanya dihulur pada Najwa. Ody menadah muka, menunggu Najwa untuk membersihkan mekapnya.
            “Kau ni manja betullah. Tak pandai nak buat sendiri ya?”
 Mulut Najwa merungut, tapi penutup botol itu sudah dibukanya. Mana boleh dia menolak permintaan sepupunya. Inilah saat-saat manis yang perlu mereka habiskan bersama sebelum Ody melayari alam rumahtangga. Entah bilalah lagi mereka akan mendapat peluang sebegini.
“Nasir mana?Aku tak nampak pun dari tadi,” tanya Najwa. Kapas basah sudah ditenyeh ke muka Ody.
“Ada kat luar tu. Takkanlah dua puluh empat jam nak berkepit aje dengan aku? Pandai-pandailah bawa diri, kan?” Ody ketawa dengan kata-kata sendiri.
“Melampaulah kalau nak berkepit dua puluh empat jam. Tapi memang aku tak nampak dia sejak majlis selesai tadi. Aku ingatkan dia berehat di sini dengan kau.”
            Wajah Najwa direnung. Tapi gadis itu sedang tekun menghilangkan kesan solekkan di muka Ody. Dia melelapkan mata. Tak ada apa yang perlu dia risaukan. Dia pasti suaminya itu berada di luar. Mungkin sedang berbual-bual atau sedang membantu penduduk-penduduk estet membersihkan dewan yang telah digunakan untuk melangsungkan majlis bersejarah mereka.
~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Ody, kenapa tak tidur lagi ni?” Najwa menegur tatkala melihat Ody sedang berteleku sendirian di bawah khemah.
            “Abang Nasir... kau ada nampak dia tak?”
            Terjongket kening Najwa dengan pertanyaan Ody. Sudah tengah malam begini, tetamu-tetamu juga sudah pulang. Tak mungkin Nasir masih belum masuk ke bilik? Laju matanya melingas melihat keadaan sekeliling rumah yang gelap. Takkanlah Nasir nak main nyorok-nyorok pula dengan Ody.
            “Kau dah cuba call dia?” tanya Najwa. Bahu Ody digenggam perlahan, cuma meredakan ketegangan sepupunya itu.
            “Dah, tapi tak berjawab. Aku risaulah Najwa. Beg bajunya dah tak ada kat dalam bilik...”
            Ody mengesat pipinya yang sudah basah. Rasa bimbangnya tidak dapat dibendung lagi. Apa yang harus dikhabarkan pada ayahnya nanti? Pelukan erat Najwa tidak mampu menenangkan hatinya. Dia mati akal,tak tahu bagaimana ingin menjejak Nasir.
            “Kau ada bergaduh dengan dia ke?” Najwa cuba bersoal-siasat.
            “Mana ada. Elok aje berbual dengan aku masa makan malam tadi. Kau pun nampak tadi, kan?”
            “Dia keluar ambil angin kot...” Najwa membuat andaian.
            “Ambil angin apanya lewat malam macam ni Najwa? Dah pukul dua pagi ni.”
            “Rodiah!”
            Tergamam Najwa dan Ody. Tangan Najwa Ody pegang erat tatkala melihat ayahnya sudah tegak berdiri di belakang mereka. Wajah tua itu kelihatan sedang menahan marah. Tangan kanan Pak Zamil kelihatan menggigil. Dadanya berombak-ombak.
            “Ayah dah cakap dulu. Jangan berkawan dengan orang sebarangan. Sekarang kau tengok, apa dah jadi?”
            Memetir suara ayah Ody. Dalam kebingungan, Ody mengambil telefon bimbit yang dihulur oleh Pak Zamil. Terlopong mulutnya tatkala membaca bait-bait perkataan yang tertulis. Dipandangnya wajah Pak Zamil dan Najwa silih berganti.
            “Apa salah aku Najwa? Kenapa tergamak Abang Nasir buat aku macam ni? Apa salah aku?” Ody sudah meraung. Dia terjelepuk ke tanah. Najwa mengambil telefon di tangan Ody. Reaksinya hampir sama dengan Ody sebentar tadi.
            Maaf, saya tak mampu menjaga anak pakcik buat masa ini. Selamat tinggal.~ Nasir

March 01, 2015

Giliran Baby Ke 5 pula!!!!!


                   Dari  DEMI KASIH KITA, tajuknya  ditukar  ke  ANTIDOT  HATI. Tak kisahlah kan asalkan jalan ceritanya  tetap  sama. Macam bulan jatuh ke riba. Langsung tak terlintas dalam kepala  akan dapat baby  kembar yang sangat  istimewa ini. Soi,pada  kengkawan yang berminat  nak peluk Dr.Zaiman, meh Pm saya  laju2 kat  FB ya.

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.