Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

November 22, 2014

APA DAH JADI? BAB 10

 
            “Mie...”
            Aku alihkan suratkhabar yang menghadang pandangan. Serta-merta aku betulkan duduk. Abang Zali sedang berdiri di sebelah mak. Aku lipat suratkhabar dan letak di atas meja kopi. Tak tahu nak buat apa, aku bersandar kembali di sofa. Nak senyum pun, macam tak boleh nak bergerak pula bibir ni.
            “Kau duduklah dulu Zali. Makcik nak pergi jemput Zarith.”
            Mak tinggalkan aku bersama Abang Zali. Abang Zali tak terus ke sofa. Dia menunggu sehingga motor mak hilang dari pandangan. Kemudian baru dia melabuhkan punggung di sebelah aku. Alamak! Dalam banyak-banyak kerusi, kenapa dia duduk di sini. Aku pandang dia sekilas sebelum melarikan mata ke arah televisyen yang terpasang. Entah apa rancangan yang sedang ditayangkan, aku pun tak tahu.
            “Berapa hari nak cuti ni?”
            Aku garu kepala yang tidak gatal tatkala mendengar soalan Abang Zali. Hari pertama aku ponteng kerja dengan alasan sakit kepala. Hari kedua alasannya motor pancit. Hari ini dah tak ada alasan yang munasabah dapat aku berikan. Tiba-tiba jadi malu pada diri sendiri. Frust punya pasal, kerja aku terabai. Mujur dapat bos macam Abang Zali. Kalau orang lain rasanya dah lama aku kena buang kerja. Tapi nak buat macam mana? Semangat aku hilang bersama cinta Durani. Habis dibawanya  segala kekuatan aku untuk  berdepan dengan orang-orang kampung. Malu beb! Bercinta bertahun-tahun. Tapi kesudahannya? Hampeh!!!
            “Malulah Joe kalau berkurung dalam rumah sebab perempuan...”
            Amboi! Ini perli ke bagi nasihat? Bahu aku ditepuk berkali-kali oleh Abang Zali. Lepas tepuk dia goncang-goncang pula. Aku senyum juga akhirnya. Tercuit dengan cara Abang Zali memancing perhatian aku.
            “Masin mulut mak saya bang...”
            “Kenapa? Dia guna lipstick  perisa garam ke?”
            Senyum makin lebar. Pandai pula dia buat loyar buruk. Mujur lebih tua dari aku. Kalau tidak memang dah lama dia makan siku. Aku tengah sedih, dia buat lawak budak sekolah pula.
            “Joe...orang tua ni, selalunya ada extra feeling tau. Dia boleh rasa kalau ada benda buruk nak jadi.”
            “Kalau macam tu Abang Zali pun dah termasuk dalam golongan tualah. Abang tahu apa yang akan terjadi pada saya. Sebab itulah abang bagi saya pinjam duit tu, kan?”
            “Siapa kata aku tua? Aku tolong kau ikhlaslah. Kalau aku tahu bapak Durani nak reject kau, aku dah rekomen kau dengan adik ipar aku. Dia lagi cun dari anak dara Pak Zahar tu.”
            Spontan dia menunjal kepala aku. Aku tunjuk sengih kambing. Terlepas cakap sebenarnya. Almaklumlah, hati tengah ‘bengkak’. Semua orang aku nak marah. Tak sepatutnya aku cakap begitu pada Abang Zali. Aku pasti, mak yang ceritakan kisah tragis aku pada dia. Mungkin mak juga yang panggil dia datang ke rumah menjenguk aku.
            Tiit!!!
            Motor posmen masuk ke perkarangan rumah. Aku bangun menuju ke pintu. Sebuah sampul surat berukuran kertas A4 dihulur. Laju aku menuruni tangga. Pasti surat penting sebab itu surat berdaftar. Aku masuk semula ke rumah bersama surat yang sudah aku tandatangan.
            “Surat apa tu? Macam surat urusan rasmi aje,” ujar Abang Zali.
            Aku jongket bahu. Perlahan-lahan aku buka sampul dan keluarkan isi perutnya. Mata menyorot setiap perkataan yang tertulis di kertas putih. Benar kata Abang Zali. Surat rasmi. Surat yang buat aku terduduk membungkam sekejap. Abang Zali ambil surat yang masih terpegang di tangan. Dia berdeham sebentar sebelum membaca surat itu. Dah macam pembaca berita pula gayanya.
            “Tuan...status permohonan jawatan Pegawai Eksekutif Bahagian Khidmat Pelanggan. Sukacita dimaklumkan permohonan tuan untuk jawatan ini telah diluluskan....”
            “Diluluskan?”
            Pembacaan terhenti. Mak meluru ke arah Abang Zali. Helmet di kepala pun belum sempat ditanggalkan. Surat ditangan Abang Zali diambil laju lalu dibacanya dengan nafas yang tercungap-cungap.
            “Alhamdulillah. Mak dah nampak posmen tu dari simpang masuk tadi. Mak dapat rasa hari ini pasti ada surat untuk kau Mie. Alhamdulillah... Akhirnya Allah makbulkan doa mak. Anak makcik dah dapat kerja Zali. Boleh duduk dalam pejabat besar. Pakai baju kemeja lengan panjang, bertali leher. Boleh pakai wangi-wangi. Tak berpanas. Ya Allah, syukur!”
            Mak nampak tak tentu arah. Sampaikan Abang  Zali pun dipeluknya juga. Dengan aku, jangan cakaplah. Habis seluruh muka kena cium. Zarith yang tak tahu apa-apa itu pun dipeluknya. Aku tak tahu apa yang aku rasakan  di  saat ini. Melihat airmata gembira mak buat aku rasa lega. Akhirnya  dapat  juga aku menyenangkan hatinya. Tapi dalam masa yang sama aku sedih. Sedih sebab tak dapat berkongsi berita gembira ini bersama Durani.
            “Memang masin mulut mak kau Joe. Lepas ni aku kena buat temuduga terbukalah jawabnya. Mana pula aku nak cari pengganti kau ni?”
            Abang Zali senyum sambil menjongket kening. Riak mukanya nampak gembira. Tapi aku tahu dalam masa yang sama dia pun akan menghadapi masalah. Surat di tangan mak aku ambil dan perlahan-lahan tangannya aku pegang.
            “Mie tahu mak tengah happy. Tapi Mie belum bersedia nak keluar dari kampung ni. Mie belum bersedia lagi nak tinggalkan mak.”
            “Belum bersedia nak tinggalkan mak ke, Durani?”
            Pergh! Sentapnya bila mak sebut nama  ex-girlfriend aku tu. Ex? Aduh! Buruknya gelaran tu. Tak pernah terlintas dalam kepala Durani akan jadi ex-girlfriend aku sudahnya. Sebaknya dada. Aku peluk mak. Tak malu langsung dengan Abang Zali. Tiga hari aku menahan, akhirnya hari ini aku kalah. Aku menangis semahu-mahunya di bahu mak.
            “Eee, tak malunya! Dah besar-besar pun menangis,” perli Zarith.
            Aku tak peduli. Pelukan semakin erat bila mak usap perlahan belakang badan aku. Terasa tepukan lembut di bahu. Aku tahu itu tangan Abang Zali. Hening sekejap suasana di dalam rumah. Lama kemudian, mak lepaskan pelukan. Eh, mata dia pun berair? Ya Allah! Berdosanya aku buat mak menangis. Cepat-cepat aku cium tangan mak.
            “Dahlah tu. Penatlah buat drama airmata dengan kau ni.” Mak merentap perlahan tangannya. Sekali lagi surat bertukar tangan. Aku kembali duduk di sofa. Abang Zali pun ikut sama. Mak membaca sekali lagi isi kandungan surat. Jelas kelihatan dia menarik nafas dalam-dalam lalu dihembus perlahan.
            “Mak nak kau keluar dari kampung ni Mie. Dah sampai masanya kau ubah nasib keluarga kita.”
            “Apa bezanya kalau kerja kat sini mak? Gaji yang Abang Zali bagi sekarang ni lebih dari cukup untuk kita bertiga. Mak tunggu, hujung tahun ni inshaa Allah... merasalah mak naik kereta.” Aku cuba meyakinkan mak. Tapi wajah tua itu masih  keruh. Dikesatnya sisa airmata dengan hujung tudung.
            “Mak tak kisah dengan semua tu. Tapi kau perlu cari suasana baru.” Mak masih  berusaha memujuk
            “Mie boleh tukar tempat dengan Abang  Zali. Abang, apa kata kalau abang jaga stesen minyak kat sini. Saya pula handle stesen minyak yang lagi satu. Seminggu sekali saya boleh balik jenguk mak dan Zarith. Lagipun taklah jauh sangat.” Aku pandang Abang Zali, mohon sokongan. Tapi dia cuma diam. Matanya terarah pada mak. Ada dengusan kasar yang keluar dari mulutnya.
            “Tapi kerja yang kau dapat kat sana lebih sesuai dengan kelulusan yang kau ada. Pergilah Mie. Tak guna kau ingatkan Durani lagi. Buktikan pada abah dia kau mampu jadi lebih baik dari sekarang.”
            Aku bungkam. Modal apa lagi yang perlu aku gunakan untuk membantutkan hasrat mak. Hati masih berat nak meninggalkan segala kenangan yang ada di sini. Walaupun hati sangat terluka dengan perbuatan abah Durani, tapi masih ada secebis rasa sayang buat gadis itu. 6 tahun bukanlah satu tempoh yang sekejap. Sumpah! Aku masih sayangkan dia. Durani tak bersalah. Yang bersalah adalah Pak Zahar.
            “Assalamualaikum...”
            Ada orang beri salam di luar rumah. Masing-masing  berpandangan. Zarith terlebih dahulu meluru ke pintu.
            “Macam suara dia,” ujar mak perlahan.
            “Siapa mak?”
            Mak tak menjawab soalan aku. Dia bangun dan berlenggang ke pintu utama. Aku dan Abang Zali berpandangan. Bila aku menoleh kembali ke pintu, gaya mak sudah bertukar. Lengan baju disinsing  hingga ke siku. Dia mencekak pinggang. Uik, apsal dah macam gaya nak bergusti pula ni?
            “Balik! Aku tak nak tengok muka kau anak-beranak. Berambus aku kata!”
            Terbangun aku dan Abang Zali tatkala mendengar tempikan mak. Rasanya aku tahu siapa yang datang. Lambatlah berjalan, aku berlari menghampiri mak di pintu. Abang Zali cuma menjenguk di tingkap.
            “Dura...”
             Mak menjeling tajam pada aku. Serta-merta tangannya terhadang di jenang pintu. Uik! Dah macam babak dalam cerita Ibu Mertuaku pula.
            “Joe...Dura datang nak minta maaf. Sumpah! Dura tak tahu langsung rancangan abah.”
            Luluh hati melihat Durani terduduk di tangga. Kaki nak sangat melangkah keluar dan memeluk dia. Tapi mak dah macam kaki pukul. Sebelah tangan menghadang aku, sebelah lagi mencekak pinggang. Mak Durani pun ada. Sugul betul wajah masing-masing.
            “Jadi kau datang ni nak apa? Kalau setakat nak minta maaf, kami ni tak layak nak maafkan kau. Kami ni orang miskin. Nak beli kereta pun tak mampu. Orang macam kami ni jadi bahan cacian bapak kau aje. Betul tak Kak Intan? Laki kau ajelah orang yang paling bagus dalam kampung ni. Orang lain ni nampak buruk aje di mata dia.”
            Tercungap-cungap mak menghabiskan bebelannya. Tangan yang menghadang pintu sudah diturunkan. Aku pegang bahu mak, bantu dia untuk bertenang. Tapi mata masih tak lepas pada Durani yang masih tunduk dihujung kaki mak. Aku tahu dia bercakap benar. Dia memang tak tahu rancangan jahat abahnya.
            “Baliklah Dura. Susah nanti kalau abah Dura tahu. Kami ni masih boleh lagi terima kata-kata kesat dia. Tapi Joe tak boleh tahan kalau tengok Dura kena maki dengan abah nanti. Makcik Intan, bawalah Dura balik.”
            Dura mengangkat muka. Dia mengesat pipi yang basah dengan belakang tapak tangan. Perlahan-lahan dia bangun dan mengeluarkan sesuatu di dalam beg tangan. Bulat mata aku melihat sampul surat yang  Durani pegang. Itu sampul duit yang diberi oleh Abang Zali.
            “Dura nak pulangkan semula duit Joe...” Durani menghulur sampul duit itu pada mak.
            “Kami bukan keturunan buruk siku. Kau bagi kat bapak kau duit tu. Suruh dia tidur atas duit. Intan! Kak Sal dah anggap Durani ni macam anak sendiri. Aku ikhlas biarkan Johaimi berkawan dengan anak kau. Tapi begini cara kau balas keikhlasan kami? Semuanya sebab kerja anak aku tu tak sebagus anak kau, kan? Kau tengok ni...”
            Mak tolak aku ke tepi. Dia masuk semula ke dalam rumah dan mengambil surat tawaran yang baru aku dapat tadi. Aku menggeleng laju, tak mahu mak tunjukkan surat itu pada Durani. Tapi sia-sia saja. Mak turun mendapatkan Durani dan ibunya sambil menayang surat tawaran.
            “Ni...Allah sentiasa menolong orang yang teraniaya tau tak? Intan, kau cakap dengan laki kau, lepas ni dia takkan tengok anak aku dalam kampung ni lagi. Dia dah dapat kerja bagus! Tak lama lagi dapatlah aku pakai kereta. Bukan setakat kereta. Entah-entah dapat menantu, lebih lawa dari anak kau!”
            Seronoknya mak melepaskan geram. Kali ini aku pula yang terkelu. Durani mengambil surat di tangan mak. Jelas kelihatan tangannya menggeletar ketika membaca isi kandungan surat itu. Tapi kemudian dia senyum. Senyum yang bersulamkan  airmata.
            “Tahniah Joe... Dura bangga dengan Joe. Selamat bertugas di tempat baru ya, sayang...” ucap Durani penuh lirih
            “Terima kasih. Tapi semua tu dah tak ada maknanya Dura.” Bergetar suara aku membalas kata-kata Durani.
            “Jangan macam tu Joe. Apa jadi sekali pun Dura akan tetap sayangkan Joe...” Durani cuba meyakinkan aku. Dia cuba menapak satu anak tangga menghampiri aku. Tapi dengusan kasar mak mematikan langkahnya.
            “Huh! Sayang konon. Pergilah balik. Nanti datang pula bapak kau yang garang nak mampus tu. Cukup-cukuplah dia malukan kami tempoh hari. Muka ni, dah tak tahu nak letak kat  mana.”
            “Saya akan pergi makcik. Tapi duit ni saya tetap nak pulangkan. Duit ni bukan hak saya.”
            Durani meletakkan sampul duit di atas tangga, betul-betul di hujung kaki mak. Kemudian dia terus berlari masuk ke kereta. Ibunya pun tergesa-gesa mengikut Durani. Kami cuma mampu memandang hingga kereta Durani hilang dari pandangan. Aku tak mampu menghalang kerana tak mahu menyinggung hati mak. Zarith yang dari tadi cuma jadi ‘Pak Pacak’ mengambil sampul duit tadi.
            “Beratnya! Banyak ke duit dalam sampul ni?” Zarith nak membuka sampul duit itu. Tapi dengan pantas mak menegahnya.
            “Bagi sini.” Sampul duit diambil dari tangan Zarith. Mak masuk ke dalam rumah dan terus menuju ke Abang Zali yang berada di tepi tingkap. Ditariknya tangan bos aku tu lalu diletaknya sampul duit tadi di tapak tangan Abang Zali.
            “Makcik pulangkan balik duit kau. Dah tak ada sebab Johaimi nak pinjam duit ni lagi...”
            Mak terus berlalu. Dia dan Zarith ke dapur. Mungkin baru nak menyiapkan minuman untuk Abang Zali.
            “Joe...”
            Abang Zali menggamit aku.
            “Apa dia bang?”
            “Ambil duit ni. Gunakan untuk beli barang-barang nak ke Penang nanti.”
            “Tapi bang...”
            “Pergi aje Joe. Sebagai anak, dah jadi kewajipan kita untuk gembirakan hati dia. Buatlah sebelum terlambat. Jangan risau, bagi can lah aku nak menumpang kasih mak kau pulak. Aku janji akan tengok-tengokkan diaorang berdua bila kau tak ada nanti. Okeylah , aku balik dulu.”
            Abang Zali terus keluar, tinggalkan aku yang masih terpinga-pinga. Susahnya nak jumpa orang sebaik dia sekarang ni, kan?

APA DAH JADI? BAB 9


Baru saja buka pintu pejabat, telefon yang aku letak di dalam beg selepang berbunyi. Aku kenal nada dering itu. Durani call. Kelam-kabut aku tutup pintu pejabat dan seluk telefon di dalam beg. Sukanya hati sebab Durani tak lupa janjinya nak telefon aku pagi ini.
            “Assalamualaikum sayang...” Aku henyak punggung di kerusi. Fail-fail di atas meja aku tolak sikit ke tengah. Apa-apa hal layan Durani dulu. Kejap lagi baru aku tengok fail-fail tu.
            “Waalaikumsalam Joe. Dah masuk kerja?” Suara Durani kedengaran ceria. Lapang dada mendengar suara lunak dia. Aku pasti, abah dia tak ada bersama ketika ini.
            “Baru masuk office. Tadi buat kerja kat luar. Dura kat mana ni?”
            “Dah dalam perjalanan ke JB. Berhenti sekejap kat Pagoh. Joe dah breakfast?”
            “Dah... Dura dengan siapa tu?”
            “Dengan kawan. Dia tumpang kereta Dura. Kami bergilir-gilir pandu kereta.”
            “Lelaki ke perempuan?” Tak puas lagi aku menyoal dia.
            “Lelaki.”
            Aku ketap bibir. Durani terkekek ketawa di dalam talian. Kalau dia ada di depan mata sekarang memang dah aku cubit pipi gebu dia. Aku tahu dia cuma bergurau. Bibir hampir nak tersenyum, tapi  teringatkan mimpi di awal pagi tadi. Hati terus jadi kurang enak. Macam mana kalau betul-betul dia bersama cikgu lelaki? Aku bukannya nampak kalau dia menipu pun, kan?
            “Joe...”
            Aku tak menyahut. Masih bermain teka-teki dengan otak sendiri.
            “Joe!”
            “Ehem... ya... ya... Joe dengar ni.” Johaimi. Sila kawal emosi. Mimpi itu penyeri tidur. Tak mungkin Durani menipu. Kau kenal  dia, kan?
            “Joe percaya ke Dura ke JB dengan cikgu lelaki?” Masih ada sisa tawa Durani. Aku paksa diri untuk senyum walaupun dia tak nampak. Sedang cuba menyedapkan hati sendiri.
            “Kalau Dura tipu pun, manalah Joe tahu...”
            “Eleh, sajalah tu. Jangan nak cari pasal dengan Dura, ya. Dura dengan cikgu perempuanlah. Kami bertiga aje ni. Mana ada cikgu lelaki.”
            “Baguslah kalau macam tu.” Aku capai pen di atas meja lalu aku ketuk-ketuk perlahan. Tiba-tiba hilang modal nak berbual dengan Durani.
            “Kenapa ni Joe. Macam tak happy aje bila Dura call?” Durani keluarkan nada rajuk pula.
            “Pagi tadi Joe mimpi, Dura kahwin dengan orang lain.” Sengaja aku pancing mood Durani. Nak mengorek rahsia pun ya juga sebenarnya. Rahsia kenapa Pak Zahar terlalu mengawal pergerakan dia sekarang. Manalah tahu kalau-kalau mimpi aku tu benar.
            “Patutlah mood macam perempuan datang bulan. Mimpi ngeri rupanya. Handsome tak lelaki yang kahwin dengan Dura tu?” tanya Durani.
            “Kalau nak tengok handsome, Joe lagi handsome dan macho dari dia. Tapi yang buat Joe kalah dengan mamat tu, duit dia. Punyalah banyak duit dia sampai kenduri kat rumah Dura pun dia support.
            Dah macam anak kecil mengadu dengan mak sebab dibuli kawan pula rasanya aku ni. Habis semuanya aku ceritakan pada Durani. Tapi dia, aku dengar cuma tawa manjanya yang tak henti-henti. Kelakar ke cerita aku ni?
            “Kalau Joe nampak muka lelaki tu maknanya lelaki tu setan! Hahaha! Dahlah... Dura dah nak bergerak ni. Nanti dah sampai JB Dura call, ya.”
            “Dura...” Aku panggil cepat-cepat sebelum dia menamatkan panggilan.
            “Ya...”
            “Joe sayang Dura tau. Jaga diri baik-baik ya sayang. Jangan curang ya.”
            “Alolo... comelnya dia cakap macam tu. Baiklah sayangku Johaimi. Saya, Durani Binti Azhar berjanji akan menjaga kelakuan saya. Tidak curang, tidak bermain mata dan tidak mengurat mana-mana lelaki sepanjang saya berada di Johor Bahru. Tapi kalau ada yang main-main mata dan mengurat, itu  bukan salah saya tau. Nak buat macam mana? Girlfriend awak ni kan cun giler!
            Dia berjaya buat aku gelak melambak. Sekali datang dia punya sengal, hilang terus mood risau aku. Fail-fail di atas meja aku semak sebaik saja kami menamatkan perbualan. Tak sampai sepuluh minit menyemak fail akaun, Abang Zali mengetuk perlahan cermin yang menjadi dinding pejabat. Bos besar dah datang nak melawat cawangan nampaknya. Itulah rutin Abang Zali setiap pagi Isnin. Aku gamit dia masuk ke pejabat. Dalam masa yang sama aku bangun dan buka pintu.
            “Busy?” tanya Abang Zali.
            “Tak sangat. Periksa fail akaun dengan buku log aje.”
            Aku bagi dia duduk di tempat aku. Tempat duduk dia yang lama. Abang Zali cuma menyemak sekilas fail-fail yang belum habis aku periksa. Dia pandang aku dan fail-fail tadi ditutup perlahan.
            “Macam mana? Okey tak handle budak-budak ni?” tanya Abang  Zali.
            “Bolehlah.” Aku jawab pendek saja.
            Sebenarnya ada perkara lain yang aku nak bincangkan dengan Abang Zali. Tapi tak tahu macam mana nak mulakan. Aku rapatkan badan ke meja. Abang Zali masih tersandar di kerusi. Tapi matanya dah tertumpu pada aku.
            “Ada masalah lain ke?” Abang Zali yang buka mulut dulu.
            “Bukan masalah kerja bang.”
            Aku telan air liur dan membetulkan letak punggung. Tiba-tiba tak tahu macam mana nak susun ayat. Abang Zali memang sempoi orangnya. Tapi setakat hari ini, aku tak pernah lagi berbincang hal personal secara serius dengan dia. Abang  Zali jongket kening. Dia masih sabar menunggu aku bersuara. Aduh Johaimi! Kenapa tiba-tiba jadi pemalu ni?
            “Kau nak pinjam duit ke?”
            Terjegil sikit mata aku. Pandai betul Abang  Zahar membaca fikiran aku. Kepala macam nak mengangguk, tapi rasa macam terkejang sekejap. Malunya! Durani, Joe sanggup tanggung rasa malu ini untuk awak tau. Harap-harap Abang Zali akan luluskan ‘personal loan’ aku.
            “Boleh ke bang?” Akhirnya keluar juga soalan dari mulut aku.
            “Tengok dulu berapa amaunnya...”
            Kaki dah bergoyang-goyang di bawah meja. Bimbang juga nak sebut amaun yang aku nak pinjam. Takut kalau Abang Zali terperanjat, mahu terbang meja ni nanti. Tapi dari tadi aku tengok muka dia tenang saja. Atau, dia memang tak ada masalah nak pinjamkan aku duit? Yalah, dia dah ada dua buah stesen minyak. Setakat dua puluh ribu tu celah gigi dia saja agaknya.
            “Berapa kau nak?”
            Abang Zali pula rapatkan badannya ke meja. Mulut ni masih berat nak bercakap. Sekali lagi keningnya terjongket. Perlahan-lahan aku angkat dua jari kanan. Muka ni tak tahu nak cakap dah rupa apa. Panas, kembang, berpeluh, semua ada. Abang Zali bersandar semula di kerusi sebaik saja melihat dua batang jari yang aku tunjukkan pada dia. Makin serius aku pula raut wajahnya. Alamak! Banyak sangat ke aku minta?
            “Dua ribu?” tanya Abang Zali.
            “Dua puluh ribu...” Walaupun perlahan, aku yakin Abang  Zali dapat mendengar dengan jelas.
            “Hmm... Banyak juga tu.”
            Aku pun turut sama tersandar di kerusi. Lemah segala sendi bila dengar dia cakap macam tu. Ringan saja tangan ni nak tampar mulut sendiri. Kenapalah aku tak minta separuh saja tadi? Johaimi, kenapalah lembap sangat otak kau ni?
            “Kalau tak boleh tak apalah bang.”
            “Kau nak pakai bila?”
            Abang Zali bangun. Eh, dia ni dah habis berbincang ke? Pening betullah melayan orang macam ni. Dia bagi ke tidak aku pinjam duit dia ni? Aku bangun sekali, ikut dia keluar dari pejabat. Semasa beriringan jalan, dia paut bahu aku.
            “Hari Jumaat ni kau ikut aku pergi bank. Kita pergi lepas solat Jumaat.”
            Langkah terhenti. Adakah itu jawapan bagi permohonan pinjaman aku tadi? Semudah itu? Abang Zali tepuk bahu aku berkali-kali sebelum menolak pintu kaca kedai serbaneka. Berlari-lari anak aku mengejar dia hingga ke kenderaan pacuan empat roda yang dibawa.
            “Abang!” Aku melaung bila melihat dia dah masuk ke dalam kenderaan. Larian semakin laju bila dia dah hidupkan enjin kereta. Hish! Dia ni macam lipas kudunglah.
            “Abang tak kisah ke saya pinjam banyak tu?” Aku tahan pintu dari tertutup. Abang Zali ambil cermin mata gelap di atas dashboard. Sambil diletaknya  cermin mata di atas hidung, dia senyum.
            “Abang dah kenal kau sejak dari kecik lagi. Arwah ayah kau tu banyak tolong abang dulu. Kalau abang tak tolong kau sekarang, bila lagi kan?”
            Macam ada air sejuk yang menyiram kepala. Satu kelegaan yang tak dapat aku gambarkan dengan kata-kata. Spontan aku peluk Abang Zali. Tak cukup dengan peluk. Aku goncang-goncang tangannya. Kemudian aku peluk dia untuk kesekian kali. Ya Allah, kau berikan aku pertolongan di saat aku benar-benar memerlukan. Alhamdulillah... syukur. Durani, permintaan abah Dura sudah tertunai. Hari bahagia kita pasti akan tiba. Tunggu Joe sayang.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Kau dah beritahu Durani ke Mie?”
            “Belum lagi mak. Mie tunggu duit tu dah ada depan mata baru Mie beritahu dia.”
            Terangguk-angguk mak mendengar jawapan aku. Zarith yang sedang menonton dipandang sebentar. Wajah mak nampak lega. Aku tahu dia pun tertekan kebelakangan ini. Tapi sekarang bolehlah dia tidur lena. Siapa sangka, Abang Zali yang bukan siapa-siapa pun dengan kami sudi membantu di saat kami benar-benar memerlukan. Kalau nak harapkan aku seorang, memang berjanggutlah jawabnya Durani menunggu. Sekarang Pak Zahar sudah tidak ada alasan lagi untuk reject aku.
            “Berapa Zali potong gaji kau untuk bayar balik hutang tu nanti Mie?” Mak menyambung perbualan.
            “Mie belum sempat berbincang lagi perkara tu dengan Abang Zali mak.”
            Hanya itu saja yang mampu aku jawab. Lega betul hati aku sekarang. Dah terbayang pelamin indah, khemah-khemah tetamu yang cantik berhias bunga-bungaan segar. ‘Pelamin dalam taman’, itu  tema yang Durani mahukan. Aku senyum lebar. Lambatnya nak tunggu hari Jumaat. Dapat saja duit tu nanti aku akan bawa mak ke rumah Pak Zahar. Tak payahlah nak bertunang bagai. Nikah terus, senang tak serabut lagi kepala aku.
            “Nasib baiklah ada Zali. Tak sangka pula dia nak tolong kita kan Mie...”
            “Hmm...dia kata arwah ayah banyak tolong dia. Ini kira balas budilah kata orang.”
            Lama mak pandang aku. Seperti dia tergamam mendengar kata-kata aku tadi. Terhenti tangannya melipat kain. Beberapa ketika kemudian barulah dia tunduk menyambung kerja. Ada sekelumit senyum yang terukir. Pasti mak sedang memikirkan sesuatu.
            “Tak besar mana pun pertolongan ayah kau dulu. Apa yang dibalas sekarang pun dah lebih dari cukup.” Perlahan saja mak menutur kata.
            Tak tahu pula selama ni ayah pernah berkawan dengan Abang Zali. Arwah ayah yang aku kenal adalah orang yang pendiam. Dia tak ramai kawan. Hidupnya cuma di rumah dan tempat kerja. Tapi kalau ikutkan, di tempat kerja pun dia kurang bergaul. Dia seorang posmen. Lama mana sangatlah dia berada di pejabat. Pagi, ambil surat di pejabat dan terus buat penghantaran sampai ke petang.
            “Zali tu dulu, selalu pergi sekolah dengan ayah kau. Setiap pagi ayah kau tumpangkan dia ke sekolah. Masa tu kau masih dalam buaian lagi. Sekolah pula jauh. Zali tu mana ada orang lain. Mak ayah dah meninggal dalam kemalangan. Nak harapkan nenek dia. Manalah nak larat orang tua nak hantar dia ke sekolah. Dah alang-alang ayah kau memang lalu depan sekolah setiap pagi, dia tumpangkan Zali tu. Mak rasa itu aje yang ayah kau buat.”
            Patutlah sejak aku kecil, Abang Zali tu selalu bertandang ke rumah. Dia memang rapat dengan ayah. Alhamdulillah. Kiranya Abang Zali ni bukanlah golongan yang tak mengenang budi. Dapatlah juga aku menumpang senang. Inshaa Allah, aku takkan sia-siakan peluang yang dah terbuka di depan mata.
            Terdengar bunyi motor di luar rumah. Pak Zahar! Spontan aku dan mak bangun. Dia datang seorang. Aku buka pintu rumah lebih luas. Mak memasukkan semula kain-kain yang belum selesai dilipat ke dalam bakul.
            “Assalamualaikum Pak Zahar.” Aku beri salam dulu. Terus hulur tangan. Pak Zahar sambut dengan kasar. Muka dia, macam selalulah. Macam cuka tumpah.
            “Waalaikumsalam. Eh, aku nak tanya ni. Macam mana dengan hantaran Durani? Dah mula mengumpul ke?”
            Pak Zahar bertanya sambil mata dia pandang atas bawah. Sinis betul cara dia senyum. Sabar Johaimi. Bakal bapa mertua kau tu.
            “Naiklah dulu Bang Zahar...” Mak menyertai aku di kaki tangga.
            “Eh, tak payahlah. Aku tak boleh lama ni. Saja datang nak  bertanya. Maklumlah...”
            Pak Zahar berhenti sekejap menarik nafas. Dia nyalakan api rokok. Huh! Berlagak betul gayanya. Mak tekup hidung. Dia memang tak suka bau rokok. Arwah ayah dulu pun selalu kena bebel dengan mak kalau dia merokok. Aku pernah kena bantai sampai lembik sebab curi-curi merokok. Memang pantang besar mak kalau orang merokok depan dia.
            “Dah berapa banyak kau kumpul sekarang?” tanya Pak Zahar.
            “Apa yang tergesa-gesa sangat ni Bang Zahar? Hari tu kata boleh tunggu.” Mak dah mula berang. Suara dia kedengaran keras. Aku usap perlahan lengan mak, minta dia bertenang. Mak tepis tangan aku. Dia mengadap Pak Zahar yang baru saja melabuhkan punggung di mata tangga. Marah punya pasal, sanggup dia menyedut asap rokok yang berkepul-kepul keluar dari hembusan mulut Pak Zahar.
            “Aku cuma bertanya. Kalau dah mula mengumpul, baguslah. Tapi aku nak ingatkan anak kau. Anak dara aku bukan barang. Lama-lama ‘disimpan’, takut tak laku pula nanti.”
            Pak Zahar menghembus kuat asap rokok ke arah mak. Aduh! Tangan aku dah ringan ni. Durani, kenapa kurang ajar sangat abah awak ni?
            “Cakap tu biar berlapik sikit Bang Zahar. Jangan samakan anak-anak dengan benda-benda tak elok.” Mak beri amaran. Aku masih jadi pemerhati walaupun hati dah mula rasa kurang enak. Pak Zahar ni datang nak cari pasal ke?
            “Siapa pula yang samakan  Durani tu dengan barang? Aku cuma nak ingatkan aje. Kalau lambat sangat nanti, jangan salahkan aku kalau ada orang lain yang dapat dia dulu...”
            “Mana boleh macam tu Pak Zahar. Pakcik dah janji nak bagi saya masa.”
            Akhirnya aku menyampuk. Kesabaran dah makin tergugat. Makin mengecut pula aku tengok abah Durani ni. Mahu saja aku ‘tuam’ muka dia dengan buku lima.
            “Memanglah aku cakap macam tu dengan kau. Tapi kalau dah ada orang ‘minta’? Orang tu pula menepati citarasa aku. Bodohlah kalau aku tolak, kan?”
            Rokok yang masih berasap disedut dalam-dalam. Mak berdiri di sebelah aku. Mungkin dah tak sanggup menelan asap beracun yang dihembus oleh Pak Zahar. Dipegangnya lengan aku. Agak mencengkam juga pegangannya. Fahamlah aku yang dia juga sedang menahan lahar kemarahan dari meletus.
            “Macam ini ajelah. Pak Zahar baliklah dulu. Inshaa Allah, hujung minggu ni saya datang ke rumah Pak Zahar dengan mak.”
            Aku halau dia dengan bahasa yang paling  lembut. Dalam hati berharap sangat dia beredar cepat. Aku takut kalau-kalau ada yang pecah muka aku kerjakan nanti. Kesabaran dah makin nipis ni.
            Pak Zahar bangun. Dia pandang aku sambil menjentik rokok yang sudah tinggal puntung. Kakinya menenyeh rokok di tanah, tapi matanya masih merenung aku dan mak silih berganti. Perlahan-lahan Pak Zahar menaikkan tongkat motornya. Enjin motor dihidupkan sebelum dia menunggang di atas motor yang sudah usang tempat duduknya.
            “Pastikan kau tak datang dengan tangan kosong hujung minggu ni Mie. Kalau tak aku takkan benarkan kau berkawan lagi dengan Durani. Dah lama sangat aku ‘hulur tali’. Selama ni aku perhatikan aje kau berkawan dengan anak aku tu. Waktu berkawan, aku tak kisah kau nak kerja apa pun. Tapi sekarang anak aku tu dah jadi cikgu. Kerja dengan kerajaan pulak tu. Kau? Setakat bekerja kat stesen minyak tu, tak ada bezanya kau dengan budak-budak Bangla tu.”
            Laju aje kaki aku ni nak menerpa Pak Zahar. Tapi mak lebih pantas memeluk lengan aku. Rahang atas dan bawah bertaup  rapat. Menggigil badan aku menahan geram. Orang tua ni betul-betul mencabar kesabaran aku. Tanpa salam, Pak Zahar memulas pedal minyak dan keluar dari halaman rumah.
            “Sabar Mie...”
            Itu saja yang mampu mak keluarkan dari mulutnya sebab aku tahu dia sendiri pun sedang mengawal marah. Buku lima ku genggam kemas. Kau tunggulah Pak Zahar. Akan aku lambakkan dua puluh ribu tu di depan mata kau nanti.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~  ~ ~
            Perkara yang paling aku menyampah, kalau panggilan tak berjawab. Dah naik kebas jari menekan skrin, Durani masih tak membalas mesej pesanan ringkas atau menghubungi aku semula. Hari ni adalah hari terakhir dia berkursus. Hari ini jugalah aku akan ke rumahnya. Tapi sebelum itu, aku perlu tahu di mana dia berada sekarang. Dan dia perlu tahu tujuan aku ke rumahnya hari ini.
            “Dapat call dia Mie?”
            Aku cuma menggeleng. Mak dah lama bersiap. Buah tangan yang nak dibawa ke rumah Durani juga sudah diletakkan ke dalam bakul motor.
            “Betul ke dia balik dari JB hari ni?” Sekali lagi mak bertanya.
            “Ya. Durani ni suka buat Mie risau tau. Dari semalam Mie tak dapat call dia...”
            “Dahlah  tu... Jangan fikir yang bukan-bukan. Entah kot telefon dia rosak ke...”
            Mak dah turun ke tanah. Aku masih berat hati nak keluar dari rumah. Aku belum maklumkan pada Durani mengenai hal yang bakal berlaku hari ini. Sampul surat berisi dua puluh ribu ringgit aku masukkan ke dalam beg selepang. Abang Zali benar-benar menunaikan janjinya untuk membantu aku. Bukan setakat bantu, dia langsung tak menetapkan tempoh untuk aku bayar balik duit yang aku pinjam. Ada duit nanti baru bayar, itu saja katanya. Memang senang betul berurusan dengan Abang Zali. Kalaulah Pak Zahar pun senang diuruskan begitu...
            “Mie... Jomlah. Dah nak masuk Asar ni. Cepat kita pergi, cepat kita balik. Mak malas nak berlama-lama kat sana nanti.”
            Aku nak membantah, masih berhajat nak menunggu Durani. Tapi bila melihat wajah keruh mak, aku batalkan saja niat itu. Tak apalah. Nanti pasti Pak Zahar akan beritahu Durani juga.
            “Zarith, jangan merayau tau. Abang dengan mak pergi sekejap aje.” Aku titipkan pesan pada Zarith yang sedang menyiapkan kerja sekolah.
            “Okay. Kirim salam Kak Dura tau,” pesan Durani.
            Aku usap kepalanya perlahan dan segera menutup pintu rumah. Sebaik saja enjin motor di hidupkan, mak membonceng di belakang. Dalam perjalanan ke rumah Durani, aku masih berteka-teki mengenai keghaiban Durani yang mendadak. Sebenarnya kali terakhir aku berbual dengannya dua hari lepas, ada sedikit perbalahan yang berlaku. Tapi bagi aku itu cuma perkara lumrah pasangan bercinta. Tak tahulah kalau Durani masih memanjangkan rajuknya hingga ke hari ini.
            Semuanya gara-gara dia mendesak supaya aku mencari kerja yang lebih baik dari sekarang. Aku pun hairan, apa yang tak eloknya dengan pekerjaan yang aku lakukan sekarang? Dia nak tengok aku bertali leher, berkemeja kemas dan bekerja di pejabat berhawa dingin. Eleh! Di stesen minyak tu pun ada aircond juga. Malu agaknya dia melihat aku duduk bersebelahan budak-budak Bangla. Tak berbaloi langsung kalau pakai tali leher dan duduk di pejabat eksklusif, tapi gajinya ciput! Aku selesa dengan kerja yang aku buat sekarang. Gaji yang aku dapat pun dah lebih kurang sama dengan gaji orang kerja kerajaan, malah lebih lagi.
            “Oi budak bertuah! Nak ke mana ni?” Mak tepuk bahu aku. Ya Allah! Terlangsung pula dari pintu pagar rumah Durani. Boleh pula aku berangan sambil bawa motor.
            Dahi berkerut seribu ketika membuat pusing U. Hati terus berdetak kencang. Berkali-kali aku menggonyoh mata. Enjin motor aku matikan segera sebaik saja masuk ke perkarangan rumah Durani. Aku biarkan motor bergerak perlahan tanpa enjin dihidupkan.
            “Pak Zahar jemput saudara-mara dia sekali ke untuk sambut kita mak?”
            “Manalah mak tahu.”
            Kami berbisik sesama sendiri. Mak tercangak-cangak, mencari kelibat manusia yang dia kenal. Aku pula pasang telinga. Manalah tahu dapat mendengar apa-apa yang dibualkan oleh orang-orang di dalam rumah.
            “Jomlah naik Mie,” ajak mak. Dia sudah menanggalkan sandal. Kakinya baru menapak mata tangga pertama. Tapi dengan pantas aku tarik tangan mak. Dia turun semula ke tanah.
            “Mie  tak sedap hatilah  mak. Cuba mak tengok kat  garaj  kereta tu. Kereta Durani ada dalam garaj. Maknanya dia dah sampai lebih awal. Tapi kenapa dia tak beritahu Mie?”
            Mak cuma menoleh sekejap. Dia tarik pula tangan aku yang masih memegang tangannya untuk mendaki anak tangga. Semakin kaki mendekati  pintu, telinga dah menangkap suara orang sedang  berbual-bual. Tapi biji butir perbualan tidak dapat aku pastikan.
            “Assalamualaikum...” Mak memberi salam.
            Semua yang berada di dalam rumah menoleh ke arah kami. Senyap sunyi ruang tamu rumah Durani. Pegangan tangan mak terlepas. Kami berdua pegun di muka pintu. Saat ini, aku sangat pasti mata mak sedang terarah ke tempat yang sama seperti yang sedang aku lihat sekarang. Tepak sirih di tengah-tengah rumah bersama kotak cincin berbaldu merah yang terletak cantik di atas dulang tembaga berjaya membuat lutut aku menggigil. Aku pegang jenang pintu, menyokong badan yang semakin lemah.
            “Apa semua ni Pak Zahar?” Suara ni antara dengar dan tidak. Mak Durani bangun. Dia menghampiri mak. Huluran tangannya tidak bersambut.
            “Kenapa kau buat anak aku macam ni?” Mak bertanya keras.
            Mak Durani menoleh pada suaminya. Pak Zahar nampak tenang. Dia kerling aku dengan pandangan sinis. Tetamu-tetamunya masih memerhatikan kami berdua. Saat ini aku mencari Durani. Di mana dia? Adakah dia juga terlibat dalam ‘drama’ arahan abahnya ini?
            “Pat pat siku lipat. Siapa cepat dia dapat.”
            Aku ketap bibir mendengar pantun dua kerat Pak Zahar. Tapak kaki terasa kebas. Makin kuat pegangan tangan aku di jenang pintu.
            “Banyaklah kau punya siku lipat! Hei Abang Zahar! Keturunan aku tak pernah dilayan sebangsat ini tau. Syukurlah, Allah dah tunjuk perangai buruk kau sebelum kita berbesan. Kau memang manusia kepala ular. Kalau tak suka, kenapa tak berterus-terang? Kau ingat anak aku  ni apa?”
            “Salbiah...kau tak payah nak meroyan sangatlah. Aku dah beritahu awal-awal. Anak aku tu bukan barang yang boleh disimpan. Aku dah bagi anak kau peluang, tapi ada orang yang lebih  cepat dan yang pentingnya... lebih berkelayakan dari dia. Aku nak beri yang terbaik pada Durani. Jadi...” Pak Zahar menjongket bahu. Dicapainya kotak cincin yang berada di atas dulang tembaga. Sebentuk cincin dikeluarkan dari kotak itu.
            “Cincin ni saja, harganya dah dekat dua puluh ribu...” Pak Zahar pandang aku. Diletaknya semula kotak itu ke dulang.
            “Kau terlambat sikit aje Mie. Kami baru aje habis berbincang. Dua bulan dari sekarang, Durani dan anak kawan lama aku ni akan bertunang. Bertunang pun tak lama. Siang bertunang, malam lepas Isyak aku akan nikahkan diaorang.”
            Terlepas pegangan tangan di jenang pintu. Mata  panas, menahan takungan airmata yang semakin penuh. Sebelum aku meraung di situ, ada baiknya aku beredar. Mak dah terjerit-jerit memarahi Pak Zahar. Durani langsung tak kelihatan. Tapi  sebelum aku pergi, aku perlu lakukan sesuatu.
            “Pak Zahar letak syarat... dua puluh ribu untuk dapatkan Durani. Saya dah kotakan janji saya. Nah...”
            Aku keluarkan sampul surat yang tersimpan duit yang dipinjamkan oleh Abang Zali, lalu ku hulur kepada mak Durani. Orang tua itu kelihatan serba salah. Dipandangnya Pak Zahar, mohon pertolongan.
            “Kau boleh simpan balik duit kau tu. Apa yang aku dapat ni dah lebih dari cukup. Kau gunalah duit tu, belikan mak kau kereta. Kesian dia... dari muda sampai dah berkedut, naik motor aje.”
            Tiba-tiba mak merampas sampul surat di tangan aku. Dalam sekelip mata, dilemparnya sampul itu ke arah Pak Zahar. Bertaburan duit di hadapan orang tua itu. Dia kelihatan gamam. Tetamu-tetamunya juga nampak kurang selesa.
            “Aku lebih rela jadi orang miskin dari jadi orang munafik. Kau tidurlah dengan duit-duit  tu. Harap-harap anak kau bahagia dengan jodoh yang kau carikan untuk dia. Ingat! Aku takkan benarkan anak aku jejak rumah kau ni lagi. Durani budak baik. Aku berkenan sangat dengan perangai dia. Tapi kita tak layak berbesan. Sebab perangai kau lebih jijik dari peminta sedekah. Mie... jom balik.”
            Airmata gugur juga di saat mak menarik tangan aku keluar dari rumah Durani. Beginikah berakhirnya kisah cinta aku dan dia? Mimpi buruk sudah menjadi kenyataan. Pak Zahar, terima kasih sebab telah menaikkan taraf aku lebih mulia dari kau.


.

.
.

.

.

.

.

.

.
.