Fatin senyum-senyum sendiri melihat rakan-rakan
sekolahnya terlentok lena di kerusi masing-masing. Perjalanan masih jauh. Fatin
tidak dapat melelapkan mata. Rasa terujanya menghalang rasa mengantuk yang mahu
bertandang. Fatin melihat sekali lagi senarai nama rakan-rakannya yang turut
serta dalam percutian ke Pulau Tioman. Senyumnya masih tidak lekang. Bangga
dengan diri sendiri. Akhirnya usahanya selama tiga bulan merancang percutian ke
Pulau Tioman berjaya direalisasikan.
“Harap semuanya berjalan lancar,” doa Fatin perlahan.
Dikerling
sahabat baiknya Ayu yang tersandar dengan mulut ternganga di sebelah. Di tangan
Ayu masih terpegang bungkusan makanan ringan. Di mana ada Ayu di situ ada
makanan. Ayu dan makanan memang tidak boleh dipisahkan. Kelajuan bas tiba-tiba
menjadi perlahan. Fatin menginjak punggung untuk melihat keadaan di depan. Matanya
masih belum dapat menangkap situasi sebenar yang berlaku. Tidak puas hati, Fatin
bangun dan pergi ke bahagian depan.
“Kenapa kita berhenti cikgu?”
Cikgu Shazatul, selaku guru penasihat Kelab Bahasa
Malaysia memandang Fatin. Mukanya nampak sembab. Nampak sangat baru bangun dari
tidur.
“Kita berhenti sekejap kat sini. Kalau ada yang nak buang
air atau nak makan, saya bagi masa sejam. Awak tolong maklumkan pada Lina.”
Arahan diterima dengan senang hati. Sebelum Fatin turun
dan keluar dari perut bas, Cikgu Shazatul memaklumkan tentang empat orang lagi
penumpang tambahan yang baru sahaja menyertai mereka.
“Cikgu Shahrul pun ikut?”
Ayu tiba-tiba mencelah. Cikgu Shazatul hanya mengangguk. Dia
maklum dengan kerenah pelajar-pelajar perempuannya. Cikgu Shahrul
merupakan salah seorang cikgu yang
menjadi perhatian mereka di sekolah. Selesai menulis, Fatin menarik tangan Ayu
untuk turun bersama.
“Aku nak pergi
tandas dululah Fatin. Nanti kita jumpa kat kedai makan.”
Ayu mengusap perut yang agak buncit. Gadis gempal itu
terus pergi meninggal Fatin dengan tugas yang masih belum selesai. Fatin pergi
mendapatkan Lina di dalam sebuah lagi bas yang turut berhenti di belakang bas
yang dia naiki. Arahan yang diberikan oleh Cikgu Shazatul tadi diulang semula
pada Lina, Naib Presiden Kelab Bahasa Malaysia. Kehadiran Cikgu Shahrul dan
rakan-rakannya juga dimaklumkan pada Lina.
“Aku dah tahu. Kereta dia ada kat belakang sejak dari sekolah tadi,” ujar Lina acuh tak acuh.
Fatin turun semula dari bas. Ditunggunya semua
rakan-rakan keluar dari perut bas, barulah Fatin menyusul. Dia berjalan
sendirian menyusuri gerai-gerai makanan dan minuman. Tidak ada satu pun yang
menarik perhatiannya. Leka dia memerhatikan menu yang tergantung di setiap
dinding gerai. Suasana yang agak bising dan panas membantutkan seleranya untuk
mengalas perut.
“Aduh, alamak! Habis basah baju aku. Macamana awak
jalan ni?”
Fatin terjerit apabila tubuhnya dilanggar oleh
seseorang. Tak cukup dengan itu, dia dihadiahkan dengan tumpahan air milo. Dia menyapu-nyapu baju yang basah.
“Maafkan saya, awak yang langgar saya dulu. Nah
ambil tisu ni.”
Lelaki yang menumpahkan air ke baju Fatin cuba
membela diri. Tangan Fatin masih lincah mengibas sisa air Milo yang tumpah di
baju. Tanpa memandang, Fatin mengambil tisu yang dihulur dan bergegas ke
tandas. Geram betul hatinya.
"Jalan tak pandang orang. Habis melekit badan
aku!"
Bebelnya sambil memandang ke arah cermin. Ada kesan
tompokan berwarna koko di bajunya yang berwarna kuning cair itu. Fatin mengetap
bibir. Dia melihat jam di tangan. Ada lagi 30 minit sebelum perjalanan diteruskan. Fatin keluar dari tandas dan
berkejar menuju ke bas. Malangnya pintu bas berkunci.
"Argh!"
Fatin menjerit geram. Dia sepaknya tayar bas tanda
protes. Tidak selesa berkeadaan begitu. Bukan saja melekit, lengkap dengan
haruman berbau milo.
“Makcik, kau pergi mana? Puas aku tunggu kau dari
tadi. Tak nak minum ke?”
Ayu menepuk bahu Fatin. Dia berpaling memandang Ayu
dengan wajah yang mencuka.
“Apsal baju kau basah ni? Kau mandi laut ke?” tanya
Ayu.
Sebotol air mineral dihulurkan pada Fatin.
“Ada mamat dah tumpahkan air kat baju aku. Aku ingat
nak ambil baju ganti. Tapi bas ni berkunci pulak, bengang betullah!” terang
Fatin. Suaranya kedengaran sengau di hidung
“Okey, kau tunggu sini kejap. Aku cuba cari pakcik
yang bawa bas ni.”
Ayu bergegas pergi. Selang beberapa minit kemudian,dia
datang semula dengan kunci bas. Fatin berlari semula ke tandas selepas baju
ganti berjaya diambil. Ketenteramannya terganggu lagi apabila telinganya
menangkap bunyi hon bas.
"Alamak! Janganlah tinggalkan aku.”
Fatin keluar dari tandas tanpa sempat melihat
cermin. Baju kotor yang baru diganti juga tidak sempat dilipat. Fatin berlari
sambil memeluk baju kotor.
“Ops, maaf.”
Fatin hanya angkat sebelah tangan tanda mohon maaf.
Dia berlaga bahu pula dengan seorang lelaki yang juga baru keluar dari tandas
sebelah. Lelaki itu hanya memandang Fatin yang sedang kalut mengejar bas.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Kelesuan berada terlalu lama di dalam bas terubat
apabila mereka tiba di Terminal Jeti Tanjung Gemuk. Keterujaan jelas terpancar
di wajah masing-masing. Angin yang berhembus lembut seakan mengalu-alukan kedatangan mereka. Bot yang teroleng-oleng
sudah bersedia untuk membawa mereka menikmati keindahan samudera menuju ke
Pulau Tioman. Fatin masih meneruskan tugasnya. Semua peserta rombongan
dipastikan telah selamat berada di dalam bot.
“Lina, kau dah periksa kawan-kawan yang berada dalam
senarai kau?”
Fatin bertanya ketika masing-masing sedang
mengenakan jaket keselamatan.
“Aku tengok macam dah ada semuanya.Tapi kalau kau
tak puas hati, kau periksalah sekali lagi.Aku tak boleh berdiri lama-lama dalam
bot ni. Peninglah. Nanti aku muntah.”
Fatin cuma tersenyum kelat mendengar jawapan Lina.
Tidak mahu mengeruhkan keadaan, Fatin berjalan hingga ke belakang bot sambil
matanya memerhati wajah seorang demi seorang.
“Adoi!”
Leka memerhatikan penumpang hingga Fatin tidak
perasan kakinya terpijak kaki seseorang.
Mangsa pijakan kakinya terjerit kecil. Dia tunduk menggosok hujung kaki yang
perit.
“Alamak! Maaf, saya tak sengaja.”
Fatin turut tunduk untuk melihat. Tapi dalam masa
yang sama lelaki itu menegakkan badan. Kepala mereka pula berhantukan sesama
sendiri.
“Adoi!”
Fatin pula menggosok dahinya yang sedikit merah. Bola
matanya mengecil menahan sakit.
“Fatin, awak tak apa-apa?”
Tangan Fatin terhenti, mulutnya sedikit ternganga.
“Laaa..Cikgu Shahrul. Maafkan saya cikgu.”
Sekali lagi Fatin mohon maaf. Tanpa Fatin sedari ada
seseorang yang sedang memerhatikannya.
“Awak tak mabuk ke berjalan-jalan dalam bot ni?”
tanya Cikgu Shahrul.
“Pening sikitlah cikgu. Saya nak pastikan
kawan-kawan yang lain ada dalam bot ni cikgu. Takut ada yang tertinggal
nanti,haru pulak.” seloroh Fatin.
Selesai memeriksa penumpang, Fatin kembali ke tempat
duduk.
“Berapa umur budak tu Shahrul?”
“Sembilan belas.”
Cikgu Shahrul menjawab pertanyaan Kamal, salah
seorang rakannya yang turut serta dalam rombongan itu.
“Kenapa kau tanya? Jangan berani-berani cuba Kamal.
Budak tu ada ada tali pinggang hitam tau.” Cikgu Shahrul mengingatkan.
“Eleh, baru tali pinggang hitam. Aku tali pinggang
kulit tak bising pun!”
Seloroh Kamal disambut hilai tawa Cikgu Shahrul dan seorang lagi
rakan mereka, Hairi. Kamal masih memandang
ke arah Fatin yang berada di dalam bot. Tangan kanannya yang menyeluk
poket seluar seakan sedang menggenggam sesuatu. Bergerak-gerak rahangnya melihat
susuk tubuh Fatin yang berayun-ayun mengikut pergerakan bot yang membelah
ombak.
“Selamat datang ke Pulau Tioman!” ucap seorang
lelaki yang bertindak sebagai pemandu pelancong.
Empat puluh lima minit membelah ombak, akhirnya
destinasi yang dituju telah pun berada di depan mata. Pasir yang memutih dengan
ribuan anak-anak ikan berenang riang di dalam air laut yang jernih membuat
masing-masing seperti tidak sabar untuk meneruskan program hari itu.
“Ketua kumpulan yang
saya lantik kat sekolah tadi boleh
datang ambil kunci bilik masing-masing.” Fatin memberi arahan.
Gugusan kunci yang diperolehi dari pengurus resort diberikan pada setiap ketua
kumpulan yang telah dilantik.
“Fatin, aku nak tukar ahli kumpulanlah. Aku tak nak
sebilik dengan Ayu. Badan dia berbaulah, aku tak tahan.” Lina berbisik pada
Fatin.
Berkerut dahi Fatin melihat Lina. Sampai hati Lina
mengutuk kawan baiknya tanpa perasaan bersalah. Ayu yang sedang berbual dengan
Cikgu Shahrul dipandang sekilas.
“Kau nak tukar dengan siapa? Kat sekolah tadi kau dah setuju nak satu kumpulan dengan
aku.” ujar Fatin. Pening dia melayan
karenah Lina.
Lina tarik muka masam. Belum sempat dia membidas
kata-kata Fatin, Cikgu Shazatul datang menghampiri mereka.
“Fatin, pastikan bilik awak dekat dengan bilik guru-guru
ya. Senang nanti kalau ada apa-apa hal.”
Fatin mengangguk faham. Sekali Lina cuba untuk buka
mulut, tapi Ayu pula datang sambil tersengih-sengih.
“Fatin, kau tak payah tukar bilikdengan siapa-siapa
lagi tau. Bilik kita tengah-tengah. Sebelah bilik Cikgu Shazatul, sebelah lagi
Cikgu Shahrul.”
Ayu menyeringai keseronokan.
“Betul ke bilik kita tengah-tengah Ayu? Kalau macam
tu Fatin, lupakan ajelah apa yang aku cakap tadi.”
Kunci di tangan Ayu terus direntap oleh Lina. Fatin
dan Ayu berpandangan.Tanpa banyak soal, mereka mengangkat bagasi masing-masing
menuju ke bilik.
“Boleh saya tolong?”
Fatin dan Ayu menoleh serentak. Shahrul dan
Kamal berjalan menyaingi mereka. Ayu
memperlahankan langkah. Dia cuba jalan beriringan dengan Hairi yang berada di
belakang. Fatin cuma tersenyum dan menggeleng. Dia melajukan langkah,tidak
selesa diapit oleh dua lelaki itu.
"Apa program kita lepas ni Fatin?"
Shahrul bertanya. Mereka sudah berada di hadapan
pintu bilik masing-masing.
"Lepas ni kita siap-siap untuk makan malam.
Nanti lepas makan saya akan maklumkan lagi aktiviti-aktiviti seterusnya."
Shahrul dan rakan-rakannya mengangguk faham. Sebagai
penumpang tambahan, mereka hanya mengikut sahaja. Mereka sudah berjaya
memboloskan diri ke dalam bilik masing-masing. Fatin terus merebahkan diri di
atas katil. Terasa lenguh segala sendi-sendi tulangnya.
“Malam ni lepas makan, aktiviti bebas. Korang ada
program lain tak?”
Fatin bertanya pada Ayu dan Lina. Manalah tahu kalau-kalau mereka ada rancangan lain. Malam ini adalah peluang
mereka untuk memulihkan tenaga selepas seharian di dalam bas.
“Aku nak tidur awal malam ni. Penat duduk dalam bas
tadi pun tak hilang lagi.” kata Ayu sambil mencapai tuala dan menuju ke bilik
air.
"Huh! Kau
ni kalau tak makan, mesti nak membuta.
Tak ada lah kerja lain.”
Gerutu Lina.
Dia juga sudah berbaring-baring malas di sebelah Fatin.
“Aku tengok keadaan dulu. Kalau tak penat aku rasa
macam nak jalan-jalan aje kat tepi pantai. Kau ada rancangan lain ke Fatin?”
tanya Lina .
“Belum lagi. Tengoklah
malam nanti. Aku nak lelap sekejap. Nanti kalau dah selesai mandi kejutkan aku,
ya." pinta Fatin.
Dia sudah terpejam, ingin menghilangkan rasa pening
yang masih bersisa. Lina mendengus halus, tidak puas hati dengan jawapan Fatin.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Enak betul menikmati air batu campur selepas makan. Hidangan
yang disediakan oleh pihak resort amat menyelerakan. Fatin tersenyum
puas hati. Dia memerhatikan keadaan sekeliling restoran yang hampir dipenuhi
dengan rakan-rakan sekolahnya.
“Percubaan satu, dua, tiga…testing one..two….three…”
Suara
petugas di restoran itu memancing
tumpuan. Semua mata terarah ke pentas utama.
“Selamat datang ke Pulau Tioman. Harap anda puas
hati dengan hidangan makan malam anda.
Jika ada sesiapa yang berminat untuk berkaraoke
dipersilakan ke pentas. Jangan risau. Segala – galanya adalah percuma!”
Mereka bersorak riang. Ada yang bertepuk tangan.
“Fatin, pergilah. Kau kan suka nyanyi.”
Lina cuba
menyogok Fatin ke pentas untuk berkaraoke.
“Ish, malulah. Tunggulah dulu.”
Fatin jual
mahal. Dia masih menyuap ABC ke mulut.
“Ayu, jom nyanyi nak? Suka-suka aje. Kita balunlah
lagu apa pun.”
Lina menarik tangan Ayu. Fatin tersenyum melihat
Lina dan Ayu yang sudah pun berada di tepi pentas utama. Mereka sibuk
menyelak album CD. Tercari-cari lagu yang sesuai. Fatin cuma menjadi pemerhati
dari jauh.
“Assalamualaikum ...”
Fatin menoleh ke arah suara garau yang memberi
salam. Hampir tersembur ABC yang baru disuap. Kamal tersenyum lebar. Fatin
mengamati wajah Kamal. Dia teringatkan sesuatu.
Dia ke yang langgar aku kat Air Hitam tadi?
Fatin berkata-kata di dalam hati.
"Janganlah tenung saya macam tu.”
Kamal tersengih sambil menghulurkan sesuatu yang
sudah puas dicari Fatin sejak sampai di
pulau ini petang tadi.
“Ni jam tangan awak kan? Awak tercicir masa kita ‘accident’ di depan tandas kat Air Hitam
petang tadi.”
Fatin masih terkesima. Sejak petang tadi dia memang
sudah melihat Kamal. Tetapi malam ini baru dia perasaan, itulah lelaki yang
mengotorkan bajunya di Air Hitam. Tanpa dipelawa, Kamal menarik kerusi di
sebelah Fatin. Fatin cuma memerhatikan gerak geri Kamal. Dia masih belum mampu
berkata-kata. Mengingatkan insiden yang telah berlaku antara mereka berdua
membuatkan Fatin tidak senang duduk. Sememangnya dia tidak ambil tahu tentang
kewujudan kawan-kawan Cikgu Shahrul.
"Kenapa pandang aje jam tangan tu? Nak saya
pakaikan ke?" tanya Kamal.
Dia menahan rasa lucu apabila melihat Fatin kelam
kabut mencapai jam tangan di atas meja. Dia tahu gadis itu tidak selesa. Fatin
terburu-buru mengenakan jam tangannya semula dan menolak kerusi untuk bangun.
"Nak pergi mana?" tanya Kamal kehairanan.
Fatin memberanikan diri untuk melihat wajah Kamal
melalui kesamaran lampu restoran.Tapi hanya sekilas. Matanya tidak mampu
melawan tenungan Kamal .
"Saya nak pergi jumpa Cikgu Shazatul. Terima
kasih sebab pulangkan jam tangan saya dan maaf sebab terlanggar awak
tadi." ucap Fatin laju.
Kaki Fatin pantas melangkah menuju ke meja Cikgu
Shazatul. Dia rasa lebih selamat berada di situ. Peluh dingin memercik di
mukanya apabila dia melihat Kamal masih merenungnya dari jauh.
"Are you
okay Fatin?"
Cikgu
Shazatul kehairanan. Fatin seolah-olah cuba bersembunyi. Dia duduk agak rapat
dengan Cikgu Shazatul.
"Saya okey cikgu."
Fatin
tersenyum kelat. Jantungnya masih berdegup kencang. Fatin mengalihkan
pandangannya ke pentas utama. Ayu dan Lina masih sibuk menyelak album CD. Setelah
beberapa ketika, Fatin menoleh ke belakang. Kamal sudah tidak kelihatan. Fatin
menarik nafas lega. Dia mula menumpukan perhatian ke pentas utama.
“Selamat malam semua, kami ingin menyampaikan sebuah
lagu dari kumpulan Feminin yang berjudul ‘Hanya Sekali’. Tapi sebelum tu, kami
ingin menjemput sorang lagi kawan kami untuk menyanyi bersama. Dipersilakan
Fatin Syuhada untuk naik ke pentas!”
“Uhuk..uhuk..”
Fatin tersedak. Matanya tepat merenung Ayu yang
ketawa keriangan di atas pentas. Lina melambai-lambai tangan, mengajak Fatin ke
pentas.
Gila betullah budak berdua ni!
Fatin mengomel sendiri. Tepukan sudah bergema di
seluruh restoran terapung itu. Fatin masih tidak menunjukkan tanda-tanda untuk
bangun. Sungguh, dia sangat malu ketika itu. Bibirnya diketap erat.
"Come on
Fatin. Sportinglah sikit".
Suara Cikgu
Shazatul kedengaran agak jelas di tepi cuping telinga Fatin. Dia menepuk- nepuk
lembut lengan Fatin. Dengan berat hati Fatin pun melangkah perlahan ke pentas. Ayu
menarik tangan Fatin dan menyerahkan mikrofon pada gadis itu. Fatin memaksa
diri untuk tersenyum. Apabila muzik mula berkumandang, semua yang ada di
restoran itu memberi tepukan semangat buat mereka.
Tepukan bergema lagi di seluruh restoran itu sebaik
sahaja mereka selesai mendendangkan lagu. Fatin, Ayu dan Lina tersenyum. Mereka
turun dari pentas dan kembali semula ke tempat duduk.
"Kau berdua ni memang suka mengenakan aku
ya."
Fatin sambil mencubit lengan Ayu.
“Aw! Apa cubit-cubit ni."
Ayu terjerit sambil menggosok-gosok lengannya yang
pedih.
“Eh Fatin, apa abang Kamal buat dengan kau tadi? Aku
nampak kau macam takut aje tengok dia.”
Pertanyaan Ayu membuatkan Fatin tersentak. Rupa-
rupanya Ayu sudah melihat
segala-galanya.
"Dia pulangkan jam aku.” jawab Fatin acuh tak acuh.
“Pulangkan jam kau? Macam mana jam kau boleh ada kat
dia.”
Lina pula bertanya.Wajahnya nampak kurang senang. Dia
mengerlingjam tangan yang melilit tangan rakannya yang tinggi lampai itu.
“Tercicir tadi.”
“Tercicir? Macam mana boleh tercicir?
Lina masih tidak puas menyoal Fatin. Fatin mula
rimas dengan perangai Lina.
“Manalah aku perasan Lina, benda nak tercicir. Kalau
kau nak tahu sangat kau tanyalah sendiri kat kawan Cikgu Shahrul tu.”
Suara Fatin sudah meninggi. Dia menarik tangan Ayu
untuk meninggalkan Lina.
~
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Tangan Fatin ligat menulis sesuatu. Dia mencatatkan
aktiviti yang telah mereka jalankan pada malam itu. Lina sudah lama melelapkan
mata. Hanya dia dan Ayu sahaja yang masih belum tidur. Ayu membuka pintu bilik.
Dia memerhatikan keadaan di luar chalet yang berangin.
"Fatin, jom lepak kat luar kejap nak?"
Ajak Ayu. Dia sudah menyarung selipar.
"Dah malam ni, kau nak ke mana pulak?"
tanya Fatin. Dia membetulkan duduknya di hujung katil.
"Alah, bukannya nak jalan-jalan. Kita duduk kat
beranda ni aje. Ambil angin malam." balas Ayu. Dia masuk semula ke dalam
bilik dan menarik tangan Fatin. Kemudian dia menutup pintu bilik
perlahan-lahan. Tidak mahu mengejutkan Lina yang sedang lena. Mereka berdua
duduk di atas kerusi rotan. Disimbahi cahaya malap lampu beranda. Suasana sepi
seketika. Masing-masing sedang melayan perasaan sendiri.
"Eh! Kau dengar tak?"
Fatin bertanya sambil memasang telinga .
"Dengar apa? Kau jangan main - main Fatin. Dah malam ni. Suara Ayu seolah berbisik. Wajahnya kelihatan risau.
Fatin sudah mula bangun. Ayu menuruti Fatin. Tangannya memegang tangan Fatin. Dia
kelihatan takut.
"Ish, kau ni kenapa? Cuba dengar betul -betul. Macam
bunyi gitar dan suara orang menyanyi kan?"
Fatin
memandang Ayu dalam kesamaran cahaya. Dia memasang telinga.
"Jom kita jalan-jalan kat tepi pantai nak?
"
Fatin menarik keras tangan Ayu. Dia ingin mencari tuan punya suara itu.
"Eh, tak naklah Fatin. Entah-entah..."
Ayu tidak berani
menghabiskan ayatnya.
"Kau tak
nak pergi sudah. Aku pergi sorang."
Balas Fatin yang sudah turun ke tanah.Laju saja
langkahnya menuju ke pantai. Ayu mengejar Fatin. Risau pula dibiarkan rakannya
berseorangan. Mereka sudah hampir ke arah suara itu. Tapi tiba-tiba suara itu
hilang. Ayu dan Fatin berdiri tegak.Fatin memandang sekeliling yang agak gelap.
Cuma kelihatan samar-samar cahaya dari lampu-lampu beranda di deretan bilik di
sepanjang pantai .
"Tak tidur lagi?"
"Makkk!"
Fatin dan Ayu berpelukan. Wajah kedua-duanya pucat
lesi. Pelukan terlerai apabila orang yang menegur tadi mereka kenali. Ayu
mengurut dada. Fatin menyapu wajahnya. Jantungnya bagai terhenti sebentar.
"Aduh, abang Kamal ni. Nasib baik kitaorang tak pengsan tau."
Ayu membebel sambil memandang Fatin yang tersenyum
tawar.
“Awak berdua tu yang keluar merayau malam-malam ni
kenapa? Bahaya tau."
Kamal mengingatkan. Di lehernya tergantung sebuah
gitar tong. Kini barulah Fatin tahu tuan punya suara yang dicari sebentar
tadi.Ayu juga baru perasan benda yang tergantung di leher Kamal. Tiba - tiba
terlintas fikiran nakalnya.
"Fatin ni, dia tengah cari suara Putera Duyung
yang main gitar tadi. "
Ayu bersuara
sambil menolak lembut bahu Fatin. Kamal tersengih. Dia memandang Fatin yang
sudah memalingkan muka.
"Jom masuk tidur Ayu."
Fatin menarik tangan Ayu. Ayu menurut dalam paksa. Tapi
sempat lagi dia mengusik Fatin.
"Good
night abang Kamal. Puteri Duyung nak
beradu. Ayu nak balik temankan dia tidur. See
you tomorrow. Kirim salam kat abang Hairi ya."
Sempat juga Ayu berkirim salam. Kamal ketawa kuat
sambil melambai-lambaikan tangannya.
"Good
night my little mermaid. Have a nice dream."
Suara Kamal
kedengaran sayup-sayup tapi masih jelas kedengaran di telinga Fatin. Dia
mengetap bibir.