Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

August 03, 2022

 Acchhoooo!!!

Allah lamanya aku tinggalkan blog ni. Minta hampun dan maaf wahai rumah pertama ku. Sejak makin bertambah aplikasi di social media ni makin lupa daratan pula den. Hahah! Ini pun terbuka  balik blog ni sbb ternampak memori di FB. Memandangkan idea tengah takde nak menulis meh la aku merapu pula kat sini. Bacalah kalau korang larat. BTW terima kasih banyak2 pada yg masih mengikuti blog Makcik Debab ni. 

Macam2 cerita yng berlaku sjk aku tinggalkan blog ni. Nak cerita yang mana satu eh? 

Marilah aku ringkaskan serba sikit apa yang berlaku sepanjang tahun ni wokeyy

1) Berehat 3 thn.

Bulan 4 2019 aku diarahkan oleh Izma Abah untuk stop menulis. Sebab? Aku perlu berkampung di Spital seremban dan buat persediaan bersalin secara czer. Dekat sebulan juga aku berkampung kat HTJ. Lepas bersalin sibuk berpantang pula. Memang dh takde masa nak mengadap laptop. Tapi dalam pada tu sempat jugalah aku beranak lagi. Beranak BABY BUKU la weh!! 




                                          























  

Inilah Baby buku  dan ebook yang berjaya aku beranakkan dalam tempoh berehat sepanjang 3 tahun. Alhamdulillah. Inshaa Allah more to come. Harap2 Allah masih izinkan aku meminjamkan bakat menulis dan merapu ini buat sementara waktu.

Itu cerita baby buku dan ebook. Cerita yang seterusnya...

Tahun ni adalah tahun ujian yang paling besar buat aku dan family. Ketua keluarga kami telah pergi buat selama-lamanya. Izinkan aku menyorot kembali rentetan saat-saat terakhir pemergian ayahanda ku Baharuddin Bin Sudin Al fatihah.


Ayah memang ada semput. Namun kesihatannya makin merosot sejak awal ramadan. Paling aku tak boleh lupa kali terakhir 8/4/2022. Usai buka puasa aku vc mak. Aktiviti ni memang dh jadi rutin wajib setiap kali lps buka puasa. Tapi kali ni payah sangat mak nak jawab call. Tak puas hati aku vc pula adik bongsu yg tengah berpantang kat sana. Tak berjawab juga. Aku call satu-satunya adik lelaki aku, Am. Alhamdululillah dia jawab. Tapi dia tak bagi aku bercakap dgn ayah. 

Am: Ayah tak sihat. Dia kat dlm bilik.

Aku: Mak mana?"

Am: Mak temankan ayah. Dia pun penat tu. Jangan kacaulah. Biar diorg rehat.

Aku: Angah bukan nak suruh ayah ckp. Angah tahu diorg oenat. Bagi je phone tu kat mak. Biar mak ngn ayah dgr suara angah.

Dengan muka tak puas hati Am ketuk pintu bilik dan panggil mak. 

Mak:Ada apa? Mak nak rehat ni.

Am: Ni ha. Angah nak cakap juga.

Mak: Masuklah. Pintu tak kunci.

Am: Ni ha.. Angah nak cakap.

"Aku: Assalamualaikum. Ayah tak sihat ke mak?

Mak tak jawab. Dia cuma halakan kamera pada ayah. Masa tu aku tengok ayh duduk kat birai katil. Jelas kelihatan muka dia penat dan tercungap-cungap.

Aku: Ayah. mak. Happy Anniversary yang ke 44. Terima kasih sebab lahirkan Ma dan anak2 yang lain. Berikan kitorang didikan agama yang sempurna. Ma minta maaf sebab tak jadi anak yang baik. Sayang mak dan ayah dunia dan akhirat.

Masa ni aku tengok ayah dan mak berpandangan sesama sendiri. Diorng pun terlupa besok adalah anniversary diorng.

"Terima kasih. Ayah semputlah Ma. Takleh nak cakap." Ayah angkat tangan dan terbatuk-batuk

Itulah kali terakhir aku mendengar suara ayah. Selebihnya berbual ringkas aje dgn mak yg nampak keletihan.

Menjelang sahur.4.30 pagi, aku terima wasap drpd mak. Berderau darah tatkala melihat gbr ambulans terparkir di perkarangan rumah. Semua adik beradik balik ke bahau. Memandangkan masih dalam tempoh endemik memang sangat sukar aku dan adik beradik yg lain melihat keadaan ayah. Alhamdulillah Allah mengizinkan aku melihat ayah buat kali terakhir beberapa hari sebelum pemergian dia. Apa yang aku ingat ketika itu...

Aku" Assalamualaikum ayah. Ma dtg ni.

Aku tarik perlahan tangan ayh dan kucup tangan dia. Masa tu dia buka mata. 

"Ayah kenal tak anak mana satu ni? Kalau kenal kelip mata." Dia kelip-kelipkan nata.

"Ayah kena kuat tau. Akan kan James Bond. James Bond mana boleh kalah awal." Ayah senyum dlm kemengahan. Aku usap kepala dia. Cium pipi dia dan bisikkan kalimah Lailahaillallah di telinga dia. Dia pandang aku agak lama. Aku paksa diri untuk senyum. 

"Ma tahu ayah kuat.Ayah nak beraya dengan anak-anak kan? Semua dah ada kat rumah. Along, Am, Naza, Ain dan adik beradik ayah semua ada kat rumah." Ayah genggam, tangan aku. Mungkin itu respons dia mendengar apa yg aku cakap.

"Ayah. Cuba dengar ni. Ayah selalu suruh Ma hafal selawat tafrijiiyah, kan? Cuba ayah dengar, betul tak Ma baca?" Aku bisikkan selawat tu di telinga ayah sambil tangan menggenggam erat tangannya. Dapat aku rasakan genggaman yang agak kuat sebaik sahaja aku selesai membaca selawat itu. Dia senyum sambil kelip mata . Itulah senyuman terakhir ayah. Sebelum pergi sempat lagi aku cium kaki ayah. Tak boleh temankan ayah lama-lama sebab masa melawat dh tamat.

Ayah selalu ajarkan aku ayat-ayat pendinding dan zikir-zikir. Dalam banyak-banyak doa dan selawat,selawat tafrijiyah yg selalu ayah suruh aku hafal. Sebelum ni memang liat sangat aku nak hafal selawat ni. Tak tahulah samada kebetulan atau tidak. Beberapa hari sebelum pemergian ayah mudah pula aku mengingat selawat tu hinggakan jadi mainan di bibir.

19/4/2022 Hari Nuzul Al Quran. Ayah pergi buat selama-lamanya. 

Tiada lagi insan yang selalu menjadi pencetus idea setiap kali aku menulis cerita baru. Tiada lagi yang akan bertanya ."Kau tulis cerita apa sekarang Ma?"

Setiap kali aku bercerita apa yg aku tengah tulis dia akan beri beberapa idea, diselangi dengan flashback zmn2 ketika dia muda mudi dulu. Dalam sesi tu pasti akan terselit dialog-dialog loyar buruk dia. Semua tu aku takkan dapat lagi. Seorang kawan arwah pernah menawarkan diri untuk membantu sekiranya aku perlukan pertolongan dalam menyiapkan penulisan sekiranya berkaitan dengan hal-hal kepolisian. Tapi aku tolak dengan baik "Terima kasih pakcik. Tapi feelnya takkan sama. Sebab ayah mmg akan explain apa yang saya nak. Tapi gayanya, loyar buruknya, kata-kata nasihatnya semua takkan sama." 

Aku:Assalamualaikum Ayah.

Dia: Waalaikumussalam. What do you want?

"Aku: Sana hujan tak? Kat sini hujan lebat betul.

Dia:Kat sini bersalji.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ 

"Ayah dah makan ke?"

Dia: Dah, semalam.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ 

"Ayah buat apa tu?"

Dia: Buat bodoh je.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ 

"Ayah. Ma demam ni.."

Dia: Cuba angkat tangan tu bawa ke mulut. Boleh tak?"

Aku: Boleh.

Dia: Ha, tak demamlah tu. Mongak je kau ni.

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ 

"Ayah sakit ni ma. Doktor pun takleh tolong ayah."

Aku: Ayah sakit apa?

Dia: Kentut berdarah

~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ 

Ya ALLAH!! Sumpah aku rindukan senda gurau dia.Memang aku akui perangai loyar buruk aku menurun dari perangai dia. Dia seorang ayah yg cukup pandai menyembunyikan perasaan hatinya. Dulu masa aku beritahu nak jadi penulis, dia nampak acuh tak acuh. Tapi dia datang pada hari pelancaran novel pertama aku DIA AKU PUNYA. Dalam kereta senyap-senyap dia belek novel pertama tu. Sejak hari tu dia mula memberikan beberapa idea hinggalah aku berjaya print sendiri APA DAH JADI? Novel ni seratus-peratus kisah benar. Aku berjaya siapkan novel ni dengan bantuan ayah termasuklah idea covernya sekali. Tapi dia tak pernah baca keseluruhan cerita ni. Bila aku suruh baca, dia akan cakap,"Malaslah. Cerita kau bukannya best pun."

 Kalau orang lain dengar mesti akan kecil hati, kan? Aku tahu ayah cakap je macam tu. Tapi dalam diam dia akan srh mak yg baca dan jadi pengulas. Kemudian dia akan bagi lagi idea lain. Idea terakhir yang dia bagi adalah  ebook ANTARA KUMBANG DAN BUNGA. Semasa aku tulis cerita ni aku letak nama ATAN sebagai hero kedua. 

Mak:"Ma. Tak sedaplah nama hero tu. Tak de nama lain ke? Kenapa letak nama Atan?"

Ayah: Eleh! Macamlah nama awak tu sedap sgt. Atanlah ok. Dia kan Jebon.

Mak: Jebonlah sangat! Pagar pun dah tak ada."

Antara gurauan terakhir yang berlaku ketika aku sedang menyiapkan manuskrip ini. Tapi sayangnya ayah tak sempat melihat Ebook ini kerana Allah lebih sayangkan dia.

Sehingga kini setiap kali nak memulakan cerita baru, memang teringatkan ayah. Bukan senang. Sering juga berlaku delete taip delete taip dan akhirnya aku tenung aje skrin kosong. Susahnya nak dapat balik feel menulis sekarang.Tapi aku tetap akan terus menulis. "Tetapkan Niat kau setiap kali menulis. Jangan cari popular. Sebab benda tu akan hilang. Cari manfaat yang akan kau tinggalkan hasil dari penulisan kau tu."

Inshaa Allah. Ma akan sentiasa ingat pesanan tu. Semoga ayah tenang di sana dan ditempatkan bersama golongan orang-orang yang beriman. Ma sayang ayah sampai syurga. Al Fatihah


Gambar terakhir bersama arwah





January 26, 2019

NOVEL KE 12


Alhamdulillah. Setahun aku tunggu novel ni keluar. Kali ni tepat2 pada besday aku publisher keluarkan cover rasmi. Suka sangat!

Ni satu lagi genre santai dan komedi yang berjaya aku buat. Ada banyak pengajaran yang aku selitkan dalam cerita ni. Seperti sebelum2 ni, aku selalunya dapat ilham utk tajuk2 novel berdasarkan perkara yang berlaku di sekeliling aku. Macam tajuk Nasi Lemak Tepi Kubur tu aku dapat idea masa havoc kisah budak U jual nasi lemak. Highligt dalam Fb yang aku jumpa masa tu Nasi Lemak Anak Dara. So aku ubahlah sikit tajuk tu jadi lawak sikit. Ada yang pertikaikan tajuk tu macam cerita seram. Well, tak kenal maka tak cinta kannnnn. Dont judge the book bu its cover. Cewahhhh. Siapa dah baca buku tu mesti tau tu bukan buku seram. Tapi buku yang buat korang gelak guling2. Ada pembaca yang sampai terkoyak buku dek terlebih gelak korang tau tak? Hahah! Alhamdulillah. Sekurangnya berjaya juga aku buat pembaca tu senyum dan lupakan kejap stress dia.  Hey,Mr.Spotlight pula aku dapat tajuk tu melalui filem hindi. Masa tu aku tengah layan Mujse Dosti Karoge. Sekali terdengar si Kareena Kapoor duk cakap Hey, Mr.Amerika! kat Hrithik Roshan. Siapa yang rajin layan cerita tu mesti perasan dialog Kareena tu. So, aku ubahlah sikit ikut hero dalam cerita aku tu. Maka jadilah Hey,Mr.Spotlight. DIA CIKGU TADIKA. Macam mana aku dapat tajuk ni? Tahun lepas ada satu isu berkenaan sorang hamba Allah ni yang mengutuk Tadika Kemas. Kekononnya tadika Kemas ni tak bagus. Rentetan dari kisah tu terlintas pulak idea nak menulis kisah cikgu tadika. Kebetulan pula aku memang bekas guru tadika, so sikit sebanyak aku selitkan jugalah pengalaman2 sendiri kat dalam buku ni.

Ni kisah cikgu lelaki yang jadi guru tadika tau. Bukan menghina, bukan mengejek tapi aku nak ajak korang selami hati guru lelaki yang terpaksa melayan kerenah anak2 kecil. Comel ngat ngat!!! Hihihi.

Kalau korang berminat nak order buku ni, pi kat Fb saya wokeyyy. Free postage sehingga 31/1/2019. Untuk novel2 yang lain pun tengah offer sekarang. Korang boronglah keempat2 novel tu, bayar harga buku aje. Postage tak payah. Thanks for supporting. Harap2 akan ada lagi novel yang keluar lepas ni. Amin...

January 13, 2019

PROJEK PERTAMA 2019


Projek zine.

Projek ni sepatutnya dh setel tahun lepas. Tapi disebabkan aku mengalami alahan yang agak teruk dan kesihatan merudum secara mendadak, maka aku stopkan sekejap. Kesian kat followers yang dah bayar. Mana2 yang nak aku pulangkan semula duit diorang, sudah pun aku pulangkan. Yalah, aku taknaklah diorang fikir aku menipu pulak, kan? Bukan aku yang nak tangguhkan projek ni sesuka hati. Ada aral yang menghalang masa tu.

So, dengan bantuan dua orang rakan penulis yang rapat dengan aku, maka terhasillah projek kolaborasi zine ni. Aku bersyukur sangat2 sebab kak Dilla Ahmad dan Luvis Eija sudi nak bergabung tenaga untuk menjayakan usahasama ni. Mana tahu kalau2 projek pertama ni berjaya, mungkin ni stepping stone untuk kami bertiga melangkah lebih jauh selepas ini. Korang doakan yang baik2 utk kami ye lalinggg..

Cerita kat dalam zine ni lebih kurang macam cerpen. Kenapa zine, bukan novel? Mula2 zine lah dulu. nanti ada rezeki mungkin novel pula akan menyusul. Inshaa Allah.

Wokey!! Pada yang berminat nak memiliki kolaborasi zine ni, blh pi terjah FB aku dan PM kat sana ye.

Oh ya, ada satu lagi projek bakal menyusul. Projek apa? Tunggu entry yang akan datang wokeyyy. Tatataaa..

January 08, 2019

I am back!!!

Accchooommm!
Pergh!! Giler bersawang blog den! Hahahah!
4 tahun tak menjengah. Kalau ada hantu dah lama bersaka blog ni agaknya.. Hihihi..

Assalamualaikum lalingg..
Aku muncul lagi setelah 4 tahun ku isishkan blog ni. Maklumlah, buat-buat sibuk. Entah apa yang aku sibukkan, entahlah kan?
Alhamdulillah masih diberi peluang merapu kat satu-satunya blog yang pernah aku jadikan platform utama untuk mempromosikan novel-novel aku satu masa dulu. Jasamu  bloig tetap ku kenang walau dah 4 tahun tak jenguk kau. Heheh!

Wokey! Apa dah jadi dalam tempoh 4 tahun ni?
Macam-macam ada!!!!
Yang sedih, yang hepi, yang sadis, yang suam-suam kuku, yang tak happening, yang pening, semua ada. Kalau nak cite satu-satu mau jadi novel setebal 1000 pgs pulak nanti. So aku sorotilah mana-mana yangaku ingat ye. Harap korang tak bosanlah membacanya..

Alhamdulillah, dalam tempoh ini dahberbelas-belas novel yang berjaya aku hasilkan. Ada yang diterbitkan oleh publisher, ada yang aku terbitkan dalam bentuk ebook dan ada juga aku terbitkan secara ghostwriter. Macam2 genre juga aku cuba. Santai, komedi, romantik dan thriller. Cuma genre seram aje aku tak buat lagi. Bukan tak nak buat, tapi belum ada seru nak menulis genre camtu. Penakut pun ya jugak kot. Hahaha!!

Satu lagi kejayaan manis sejak aku bergelar penulis, novel berjaya diadaptasi.


Tak sangka novel yang aku tulis dalam keadaan yang paling santai ni berjaya diadaptasi. Masa tu Allah aje yang tahu betapa hepinya aku. Walaupun tak sepopular drama2 adaptasi yang lain tapi sudah cukup bagi aku satu kepuasan. Sekurang-kurangnya aku dah berjaya buktikan pada diri sendiri hanya dengan keberanian sahaja segala yang kita angankan akan menjadi kenyataan. Alhamdulillah.  Semuanya berkat dorongan dan doa semua orang yang aku ayang dan sayang aku. Ada ke yang sayang aku ni? Hahah!

Kalau 2015 merupakan tahun paling banyak novel aku keluar. Tahun 2018 mencatat rekod, langsung tak ada novel yang keluar. Aku sibuk dengan persiapan kenduri adik bongsu. Ada novel yang sedang ditulis tapi kebanyakannya hanya separuh jalan. Tanggungjawab dan komitmen lain  pun makin bertambah.  Tapi aktiviti menulis tetap akan aku teruskan.

2019...
Niat di hati nak menyambung semula manuskrip2 yang terbengkalai. Tetapi Allah sebaik-baik perancang, DIA bagi aku rehat lagi setahun. Sebab? Ada BABY lain yang lebih istimewa bakal keluar tahun ini.
Mungkin korang tahu IZMA QAHIERA wujud dari gabungan nama aku, suami dan anak3.  Kononnya dulu aku fikir mungkin rezeki aku setakat Izma Nurul Syafiqa, Izma Nurul Syaqira dan Izma Nor Syahir. Macam aku kata, rezeki Allah tak siapa yang mampu sangkal. Izma Bongsu bakal muncul tak lama lagi. Syukur sangat2. Ketika aku menulis cacatan ni Izma Bongsu  berumur 21 minggu dalam kandungan. Inshaa Allah satu hari nanti dia pun akan macam kakak2 dan abg dia, dapat baca catatan aku ni.
Buat anak2 ibu, terima kasih kerana menjadi pendorong untuk ibu teruskan perjuangan sebagai penulis. Saaaaayang korang sendat2!!!

Wokeyyy, aku stop dululah ye.. Nak sambung mengemas apa2 yang patut kat blog ni. Untuk korang yang terbaca blog ni, sudi2 lah tinggalkan komen sebagai bukti korang masih ingat kat aku. Hihi.. Kalau berminat nak lengkapkan koleksi Izma Qahiera, korang PM aku kat FB wokeyyy.  Tatataaaa...


November 06, 2015

ANAK ANGKAT PERTAMA (MININOVEL) SUDAH MUNCUL!!


     

      Dulu  tajuknya  HANYA  ANGKA. Disebabkan dah lama kena peram, jadi  saya  tukar tajuknya  untuk  lebih nampak  komersil.  Cewah! Komersillah sangat kan?

     Kenapa  mini  novel? Sebab saya  ni  memang gelojoh.  Nak  tunggu  novel keluar  memang lambat  lagi. Memandangkan dah terlampau  banyak  novel-novel  yang  lebih  best  dari  novel saya, maka saya  buat-buat  berani mengeluarkan satu  mini novel.  Manalah tau ada rezeki, pembaca  terbuka  hati  nak  beli  anak angkat  pertama  saya ni.

     Cerita  ni  mengisahkan apa?

     Ini  cerita  yang bertemakan kekeluargaan.  Biasalah, IZMA  QAHIERA memang suka tulis  cerita  yang macam ni. Bagi  saya family is everything. Kerana restu kedua-dua  orang tua  sayalah, diam tak diam tujuh  buah  hasil  merapu  saya  dah keluar  dalam tempoh  masa 2 tahun. Tiap-tiap  hari bila  bangun tidur  mesti  tampar  pipi  sendiri sebab memang tak sangka, dah tujuh? YES! Dah tujuh  Shima!!! Alhamdulillah...

   Okey back to  the  track...

   Ini  cerita tentang Izzah yang kahwin pada usia yang muda. Tapi  tumpuan cerita  ni  bukan pada  Izzah.  Tapi  pada mak  dan bapa  mertuanya. Tak sangka pula dalam diam Haji  Lajis  dah syok dengan mak  Izzah.

    Kalau  APA DAH JADI?  kisah Joe  bercinta  dengan wanita  yang sudah berusia, kali  ni  kisah orang tua  pulak bercinta. Berjaya  ke  tak  kisah ni  menambat tumpuan korang untuk  terus  baca  buku  ni  hingga  penamat? Jawapannya korang kenalah beli  dulu  dan lepas  tu feel free  to  komen.

    So, kalau  ada  yang berminat nak order  boleh PM saya  di  FB Izma Qahiera atau  boleh WhatsApp kat nombor  ni 011- 1546 7261.  Ada gift dan 'cop spesel' menanti  korang.



July 09, 2015

BABY KEENAM DAH NAK KELUAR!!!



Alhamdulillah.. akhirnya  baby ke 6 bakal  menemui  semua tak lama lagi. Mudah-mudahan percubaan pertama terbitkan buku  sendiri  membuahkan hasil.  

Terima kasih pada yang banyak bagi  sokongan  pada  saya selama ini. So, pada  yang berminat  nak dapatkan Abang Joe, boleh PM saya di FB atau  wasap  di  nombor  yang tertera di  dalam gambar. 

Buku ni  bukan LIMITED EDITION.  Tapi saya  PRINT  ON DEMAND. So saya  akan print  bila ada  order. Pengedar online juga dialu-alukan.  Diskaun menarik menanti anda!

May 27, 2015

HEY MR. SPOTLIGHT BAB 12

Dah tiga hari aku tak nampak Raisya. Bohonglah kalau aku tak rindu. Padanlah dengan muka  aku. Kalau dah tahu  tak  boleh tenang bila tak  tengok  muka  Raisya  tu, kenapa luluskan cuti  dia? Sekarang apa  dah jadi?Nak pergi kerja pun rasa malas sangat. Jarang aku lewat ke tempat kerja. Tapi kebelakangan ini, dah nak dekat waktu makan tengahari baru aku masuk.Kadang-kadang lepas waktu makan baru aku keluar dari rumah.
Hati  bagai  digaru-garu untuk menelefon dia.  Tapi  aku  takut  dia akan bersoal-jawab. Sudah dua  kali  aku  terperangkap  dengan perbuatan sendiri. Tak mungkin Raisya  tak syak  apa-apa. Tapi  sejak  hari  terakhir  kami  bertembung di  rumah mak, aku  perasan topik  itu  langsung tidak  disentuh. Adakah  dia benar-benar tidak  mengesyaki  apa-apa  atau dia memang  langsung  tak perasan akulah  lelaki  yang bakal  menjadi  imamnya  nanti?
"Kau tak sihat ke Azraf?" Mak bertanya ketika dia masuk ke bilik untuk mengutip kain kotor.
Aku tak menjawab. Selimut yang membalut tubuh aku tolak ke bawah. Aku memangku kepala sambil berlenging di atas katil. Mak datang dekat. Belakang tapak tangannya mendarat di dahi. Tak puas hati, dia memeriksa aku. Gayanya dah macam doktor kanak-kanak. Siap suruh aku buka mulut.
"Hahhh!!!" Aku buka mulut serentak dengan hembusan nafas.
"Pergh! Bau macam taik lembu kering. Kurang asam punya botak!" Mak tekup bantal ke muka. Mula-mula aku meronta. Tetapi tekupan mak semakin kuat. Beberapa ketika kemudian aku mendiamkan diri. Tangan terdepang di atas katil. Perlahan-lahan mak mengalihkan bantal yang menutup muka aku. Aku tayang mata buntang siap dengan pakej lidah terjelir.
"Alahai Azraf...mak minta ampun! Tak ada niat nak bunuh anak sendiri. Abang! Tolong saya bang!!! Anak kita bang!!! Huwaaaa..."
Mak menggoyang-goyangkan badan aku. Dia melompat naik ke atas katil dan terus memangku kepala. Eleh, berlakon aje lebih tu. Aku tahu dia sedang memancing perhatian abah di luar untuk menyertai kami. Raungannya semakin kuat. Aku masih seperti tadi. Dah macam orang kena sawan. Mata sedikit terbuka untuk melihat aksi plastik mak. Tak lama kemudian abah masuk.
"Apahal terjerit-jerit ni?" Agak keras suara abah bertanya.
"Abang... tolong panggil ambulans.Anak kita kena sawan. Huwaaa!!!"
Sambil menangis, tangannya menampar-nampar pipi aku. Sakitlah! Mak memang suka mengambil kesempatan. Tunggulah bila ada peluang nanti aku akan kenakan dia lagi.
"Cuba tarik bulu hidung dia. Kalau tak sedar juga baru kita panggil ambulans," arah abah.
Nak tergelak aku mendengar kata-kata abah. Mak dah bersedia untuk melaksanakan perintah abah. Bersungguh-sungguh benar nampaknya mak. Tak semena-mena tawa yang puas aku tahan terlambak juga. Tak boleh nak bayangkan kalau mak betul-betul mencabut bulu hidung aku. Sakit siot!!!
"Apalah abah ni. Bulu hidung orang pula yang dia suruh tarik."
Mak pun dah terbahak-bahak ketawa. Abah cuma menggeleng. Nasiblah abah, dapat isteri dan anak yang sama-sama sengal. Kalau dah datang 'angin bengong' kami berdua, abah yang serius itu pun kami pedajalkan.
"Kau tak pergi kerja ke Azraf?" Abah bertanya apabila tawa kami berdua dah mula reda.
"Orang nak cuti hari ni boleh tak abah? Kerja kat pejabat pun dah tak banyak. Orang penatlah..." Aku tunjuk muka kesian. Bahu mak aku jadikan tempat untuk memangku muka.
"Eleh, budak botak ni bukannya penat mana pun bang. Dia jadi lesu sebab budak Raisya tu kan tengah bercuti. Itu pasallah basau semacam aje dia ni." Seperti biasa, hobi mak kalau sedang membebel. Pasti kepala aku digosok-gosoknya.
"Huh! Sendiri yang cari penyakit. Nak berahsia sangat. Apa salahnya kalau Raisya tahu kau tu bakal suami dia?" Abah dah nak beredar dari situ. Tapi sempat lagi dia berhenti di depan pintu, nak mendengar jawapan yang sekian lama dia nantikan.
"Hish! Eloklah kalau dia tak tahu. Dulu saya bertunang dengan awak pun kita tak pernah jumpa. Masa nak nikah barulah saya dapat tengok muka bakal suami. Mujur handsome. Kalau tidak kesian anak saya terpaksa mewarisi kehodohan abah dia. Hahaha!"
Abah turut sama ketawa. Telinganya sudah lali dengan sindiran mak. Dia tahu mak bukan bersungguh pun. Cara mak bergurau dah memang begitu. Tahan telinga sajalah.
Handphone berbunyi sebaik sahaja abah keluar dari bilik. Mak lebih pantas mengambil handphone aku di atas meja lampu. Berkerut keningnya membaca nama yang tertera di skrin.
"Batu Lesung? Siapa ni Azraf?"
Aku terus terjun dari katil dan merampas telefon di tangan mak. "Raisya!" Aku menjerit keriangan.
"Batu Lesung kau panggil budak tu. Kenapa..."
Aku senyum lebar sambil menekan-nekan pipi sebelah kiri. Lama mak perhatikan perbuatan aku.
"Hish! Lambatlah mak ni. Lesung pipit dialah..."
"Ooo...cakaplah dimple! Barulah mak faham. Eh, buka loud speaker. Mak nak dengar juga."
Aku ikutkan saja kehendak mak. Tapi aku bagi isyarat supaya mak zip mulut. Sebaik saja terdengar suara Raisya memberi salam, aku terus duduk di birai katil. Mak pun turut serta.
"Encik Azraf, Encik sayang saya tak?"
Uik! Soalan apa tu?
Mak menyenggol bahu  aku  dengan kuat. Eh, dia  pula yang beria-ia  nak dengar  jawapan aku. Bergerak-gerak halkum mendengar  soalan Raisya. Nak jawab betul-betul  atau  masih nak  meneruskan lakonan?
“Awak okey ke tak  ni  Raisya? Tak malu  ke  tanya  soalan macam ni?”
Hati mula  memainkan rentak gendang. Muka  rasa berbahang. Mahu  saja  aku  menyuruh  mak  keluar. Malu pula bila  hal  peribadi   didengari. Tapi tak sampai hati  nak buat  begitu.
“Encik Azraf...”
“Ya  saya  masih mendengar.” Bergetar suara  menyahut  panggilan Raisya.
“Jawablah soalan saya  tadi.”
Sekali  lagi  bahu  disenggol. Aku  menggeleng perlahan. Dah parah budak ni. Kalau betul sayang aku, cakaplah terus  terang. Kepala  yang tidak berambut  aku  garu.  Apa yang patut aku  buat  sekarang?
“Raisya...” Aku panggil  dengan nada  memujuk.
“Dah ada  jawapannya  Encik Azraf?” Laju  Raisya  bertanya.
“Ehem... dah.”
Terjongket kening mak. Aku raup  muka  berkali-kali sebelum aku hadiahkan mak  dengan senyum kelat.
“Jadi  jawapannya? Ya  atau  tidak?” Raisya  masih menunggu  jawapan.
“Dua-dua pun tak.”
“Apa ni Encik Azraf? Jawablah betul-betul. Saya tengah susah hati  ni. Minggu  depan hari  pertunangan saya. Tapi  sampai  sekarang saya masih tak tahu  lagi  siapa  lelaki  tu. Saya perlukan jawapan Encik Azraf supaya senang saya  buat  keputusan  nanti.”
Terbangun aku  dari  katil. Apa  maksud Raisya? Penting sangatkah jawapan aku  sehingga  mampu  mempengaruhi  keputusan dia. Laju kaki  mundar-mandir  di  hadapan mak.  Tak  aku  pedulikan mak  yang  menggapai-gapai  menyuruh aku  duduk  semula  di  sebelahnya. Pening betul  aku  dengan perangai  Raisya.
“Okey, sekarang biar  saya  yang tanya  awak. Kenapa  awak  tanya  soalan tu?” Dengan beraninya  aku  cabar keberanian Raisya. Gerenti  dia  akan tamatkan panggilan selepas ini.
“Saya tanya  macam tu  sebab saya nak Encik Azraf  berlakon jadi  teman lelaki  saya. Kalau  Encik  Azraf  memang tak  ada  perasaan pada  saya susahlah  nak  menjiwai  watak  nanti.  Tapi  kalau  Encik  Azraf  ada  sikit perasaan aje  pun pada  saya  itu  dah cukup  membantu.”
Hampir  terlepas  telefon di tangan. Tekaan aku  ternyata  melencong jauh. Mak terlopong di  atas  katil.  Pasti  dia pun tidak menjangkakan begitu  jauhnya  perancangan Raisya untuk menggagalkan majlis pertunangannya nanti.
“Gilalah awak ni. Saya tak mahu bersekongkol dengan niat  buruk awak  tu. Terima  ajelah pilihan keluarga  awak  tu.  Apa  yang susah sangat?”
Tiba-tiba aku  naik  angin. Cuba  bayangkan kalau  bukan aku  yang bakal jadi tunang dia? Makan hatilah jawabnya  nanti. Kenapa  tinggi sangat  ego  kau  Raisya? Takkan kurang pun perasaan aku  ni  kalau kau  berterus-terang. Salah ke kalau  perempuan  yang meluahkan dulu rasa hati?
Mak menarik tangan, memaksa aku  duduk  di  sebelah dia. Turun naik  dada aku  menahan geram. Ikutkan hati mahu saja aku  bocorkan rahsia  sendiri. Raisya, kenapalah kau merumitkan lagi  keadaan?
“Bagi   Encik  Azraf  mungkin tak  susah sebab Encik  Azraf  boleh kahwin empat. Saya ni  perempuan. Saya  tak mahu  jadi  isteri  derhaka. Sebab itulah saya  nak  gagalkan majlis  ni  sebelum terlambat. Saya dah ada  pilihan sendiri. Berapa kali  saya  nak  ulang?”
Agak nyaring suara  Raisya  di  dalam talian. Aku  tahu dia  sedang tertekan. Pasti  dia  sedang berusaha sedaya-upaya  mempertahankan egonya. Peha sendiri  kuramas  kuat. Tolonglah Raisya. Cakaplah kau  sayang aku. Aku  janji pasti  semua lakonan ini  akan aku  hentikan selepas itu.
“Okey, saya  tanya  untuk kali  terakhir. Encik  Azraf  sayang saya  tak?”
Badan aku  tegak  kembali  tatkala  mendengar  soalan Raisya. Aku  tarik nafas  dalam-dalam.  Hati  sudah nekad  untuk  memberikan jawapan pada Raisya.
“Saya akan beri  jawapannya pada hari  pertunangan awak nanti. Masa  tu  nanti  saya  nak  awak  buat  keputusan di depan semua  orang. Nak terima  lelaki pilihan keluarga  awak  atau sebaliknya. Bye!”
Perbualan tamat. Kasar  dengusan nafas yang keluar  dari  hidung dan mulut  aku. Aku  kerling kalendar besar  yang terlekat  di  dinding  bilik.  Lambatnya  nak tunggu minggu  depan.  Kalau  boleh hari  ini  juga  aku  nak  jumpa  Raisya  dan beritahu  akulah  bakal  tunang dia. Permainan  yang ku  atur  sendiri  nampaknya  seperti  kurang menjadi.  Ternyata ego  Raisya  lebih  tinggi  dari  aku.  Tapi tak semudah itu  aku  mengaku  kalah. Sebelum tiba  harinya aku  perlu buat sesuatu.
Aku  tinggalkan katil  dan terus  capai  tuala. “Mak  tolong  siapkan baju  orang boleh tak?”
“Nak  pergi  kerja  ke?” Mak bertanya dan sudah bersedia  di  tepi  pintu  almari.
Aku  cuma  mengangguk  dan terus  masuk  ke  kamar  mandi. Kepala  paip  aku  pulas  habis. Menderu-deru  air  hujan tiruan keluar, kasar-kasar   jatuh di atas  kepala. Dingin air yang  menyentuh  kulit   belum mampu  menyejukkan hati  aku  yang sedang membara  dengan perangai  Raisya.
Satu  jam kemudiannya  aku  sudah  berada  di  pejabat. Mood  masih belum stabil. Sapaan Munirah langsung aku tak hiraukan. Surat-surat  di  dalam tray  aku ambil. Mana  pula  pisau  pembuka  surat ni? Laci  meja aku  buka  satu-persatu. Siapa  pula  yang ambil  benda  tu? Aku  beralih dari  tempat  duduk. Baru  perasan pisau  pembuka  surat  itu  terjatuh di  bawah  meja.  Terpaksa  pula  aku  menyangkung  dan masuk ke  bawah  meja.
Uik, kaki  siapa  pula  ni.  Aku berdiam diri  sekejap  di  bawah meja, mengawasi  kaki  yang sedang melangkah masuk  ke dalam bilik. Kaki  perempuan. Tak mungkin kaki  Munirah  sebab seingat  aku Munirah  tak  pernah  tak pakai  stokin. Dalam pejabat  ni  cuma  ada tiga orang  pekerja wanita. Tak mungkin Alia. Wanita kacukan Cina dan Melayu  itu memakai  gelang kaki.  Jangan-jangan ini  kaki...
“Raisya... adoi!”
Aduh sakitnya kepala aku. Macam mana boleh terlupa  yang aku  masih di bawah meja? Tangan menggosok laju  kepala  yang masih perit. Aku  keluar dari bawah meja dan terus  membelakangkan Raisya. Hidung dah tercium bau minuman kegemaran.  Bagus  betullah dia  ni. Ini  belum lagi  jadi  isteri.  Kalau  dah  jadi  isteri  aku  nanti, mata  belum  buka  lagi  sarapan pagi  dah siap terhidang agaknya.
“Buat apa  kat bawah meja tu? Nak menyorok  dari  saya  ke?” Raisya  menegur.
Serta-merta  aku  berpaling. Berkerut  kening melihat  Raisya menyua mug ke  mulut sendiri.  Eh, itu  bukan  untuk  aku  ke? Makin berkerut  apabila  dengan selambanya  Raisya  duduk  di  depan meja. Tak  ada  sekelumit  senyum pun yang terhias  di  wajahnya  hari  ini.
“Saya nak  bagi  ni.” Dia meletakkan sekeping sampul  surat   di atas  meja.
“Encik  Azraf bacalah dulu.  Saya buatkan air  sekejap.  Maaflah  sebab guna  mug  Encik  Azraf  tanpa  kebenaran. Ingatkan Encik  Azraf  tak masuk office.” sambung Raisya  lagi.
Dia  terus  keluar  tanpa  sempat  aku  buka  mulut. Tiga hari  tak nampak  batang hidung, hari ni muncul  saja terus hulur surat berhenti.  Tangan memegang sampul surat yang dia  letak tadi. Hati dah mula  rasa kurang enak. Melihat  pada air  muka Raisya  yang agak keruh, rasa-rasanya aku tahu  isi kandungan surat  yang diberi  tadi. Aku  tunggu  Raisya  masuk semula  nanti. Surat  itu  aku  akan baca  di depan dia.
Tak lama kemudian Raisya  tiba. Belum sempat  dia  meletakkan dulang, mata sudah menangkap  beg tangan yang tersangkut  di  bahunya.
“Nak pergi  mana ni?” Laju  aku  bertanya.
“Baliklah. Tapi  sebelum tu saya nak  kemas  barang-barang saya  sekejap.” Tenang sungguh Raisya  menjawab. Sedangkan aku  ni dah macam nak putus  urat merih menahan  geram.
“Mana boleh berhenti  macam tu  aje.  Awak  ni  melampau  betullah. Jangan buat  tempat  ni  macam abang  awak  yang punya!”
Terhenjut  bahu  Raisya di saat  aku  mengherdik. Sekali-sekala  kena tunjuk  garang sikit  dengan  Budak  Lesung  ni.  Memang  aku  sayang dia. Tapi  ini  tempat kerja. Kenalah profesional  sikit.
“Saya  tak  nak  terima surat  ni. Awak  pergi  letak balik beg tangan ni  dan buat  kerja  macam biasa. Kalau nak berhenti  juga bagi  saya  notis  sebulan. Memang tempat ni  nampak macam pejabat cabuk. Tapi  kami  ada  etika  kerja. Jangan semberono  aje, faham?” Sekali  lagi  dia  terpaksa  menadah tengkingan aku. Surat yang dia  beri  tadi  aku  renyuk-renyukkan  dan terus  buang ke  dalam tong sampah.
Raisya terduduk. Matanya  berair. Bibirnya kelihatan menggeletar.  Aku  cuba sedaya-upaya  untuk  tidak  terlalu  cepat   lembut  hati. Butang baju  di  bahagian lengan  aku  buka. Laju  aku  menyinsing lengan baju  hingga  ke  paras siku.  Namun mata masih mengawasi  tingkah Raisya  yang masih bungkam.
“Saya  nak  balik.”
Tak  berkerdip  mata aku  merenung dia.  Degilnya  budak ni.
“Waktu bekerja belum habis  lagi.” Aku melarang dengan suara  keras.
“Saya  dah tak  nak kerja  kat sini  lagi.” Raisya  bersuara  lirih. Airmata  yang ditahan mengalir  perlahan di  pipi.
“Kalau  dah tak  kerja  kat  sini  kenapa  menangis pulak? Ada orang suruh awak  berhenti  kerja ke?” Kedua-dua  tangan aku hentak  ke meja. Sengaja  nak  bagi  dia  gugup. Mana tahu  dengan cara itu  dia  akan luahkan apa  yang terbuku  di hatinya selama ini.
“Tak  ada  sesiapa pun yang paksa  saya  tinggalkan tempat  ni. Saya  rasa  tak  guna lagi  saya  berada  di  sini. Encik  Azraf... Encik  Azraf...” Suaranya  tersekat. Takut-takut  saja dia  memandang aku.
“Awak ada masalah ke  dengan saya? Awak  marah sebab saya  tak  nak tolong gagalkan majlis  pertunangan awak  nanti? Hei! Kalau  itulah sebabnya  yang buat awak  rasa  dah tak  betah bekerja  di  sini  lagi, awak boleh keluar  sekarang.”
Tak semena-mena  aku  berjalan laju  ke pintu. Daun pintu   aku  buka  luas  dan menanti  Raisya  keluar  dari  situ. Dia juga tak  mahu kalah. Sempat lagi  dia  menolak kerusi dengan kasar  sebelum menghampiri  aku.
“Encik Azraf  ni  bodoh tau tak? Kepala  licin Encik  Azraf ni sama licinnya  dengan otak  Encik  Azraf! Zero! Saya dah bagi  macam-macam  hint, tapi Encik  Azraf tetap  tak  perasan.” Raisya  mendengus kasar dan terus keluar.
“Hei! Jangan kaitkan kepala  saya  dengan semua  ni  ya. Awak  tu  yang  tak  reti  menggunakan peluang yang ada. Bukan salah kepala  sayalah!”  Geramnya aku! Ikutkan hati  mahu  saja  aku  menarik  hujung tocang Raisya.
“Yalah! Kalau  saya  mengaku saya  sayang Encik  Azraf sekali  pun, semuanya sudah terlambat. Lupakan ajelah. Selamat tinggal.”
Uik! Aku tak  salah dengar ke? Dia dah buat pengakuan. Yes! Helah sudah berjaya. Raisya, masih  belum terlambat  sayang.  Segalanya  baru  saja  bermula.


HEY MR. SPOTLIGHT! BAB 11

Rasa berat hati  nak ke  pejabat hari  ini.  Bimbang kalau-kalau  Raisya  mengulangi  soalan semalam.  Minta-minta  dia  tak  ambil pusing  dengan apa  yang dia  dengar  malam tadi. Aku  kena lebih banyak  bersabar  dan lebih  berhati-hati  selepas  ini. Berdebar-debar pula nak masuk ke  pejabat. Keadaan pejabat yang tidak seperti hari-hari lain buat  hati makin tak selesa. Mana pergi  semua  orang? Rasanya  waktu  kerja  sudah hampir bermula. Munirah yang selalu  datang   awal pun tidak ada  di  tempatnya.
Penglihatan  terarah ke  pantri. Ada  bau makanan.  Besar  kemungkinan mereka  semua  di  situ. Sedang bersarapan agaknya. Tapi  takkanlah kesemuanya berkumpul  di  dalam pantri. Pelik betul  ni.
"Sedapnya.  Pandai kau masak."
Apa yang sedap  sangat tu? Siapa  yang masak? Kalau  ikut hidung  aku  ni, baunya macam pizza. Takkanlah makan pizza  sampai tak toleh kiri kanan?
"Ehem!" Sengaja  aku mengganggu. Semua  menoleh.  Baru aku  nampak  gerangan yang berjaya  menarik perhatian diaorang tadi.
"Makan apa  tu?"
"Makaroni  bakar," jawab Bahari, staff  yang selalu  tak  ada  di  dalam pejabat  sebab banyak buat  kerja di luar.
"Nak  rasa?" Raisya  menghulur  bekas  makanan.
Aku  menggeleng perlahan. Dah tinggal sepotong baru nak pelawa? Mana cukup! Tiba-tiba  rasa kecil hati  dengan Raisya. Sampai hati  dia tak tinggalkan makaroni  bakar  tu  untuk aku.
“Lain kali jangan biarkan pintu  pejabat  terbuka. Kalau  ya  pun nak  breakfast  berjemaah, keselamatan kena  jaga juga Dibuatnya  ada  yang pencuri  masuk nanti, macam mana?” Perasaan bengang  aku  luahkan melalui  bebelan.
“Ala, barang apalah yang berharga  sangat  dalam pejabat  ni?  Setakat  tabung-tabung pemadam api  tu pencuri  pun tak ingin nak  angkut. Buat berat  motor  aje...” Selamba saja  Raisya  membidas  kata-kata aku.
Tanpa  banyak cakap, aku  masuk  ke dalam pejabat. Briefcase  aku  campakkan  saja ke atas sofa. Punggung ku  henyak kasar di  kerusi dan terus  keluarkan handphone. Nak  buat  sesi  meluah perasaan pada mak.
"Mak..." Aku  ketuk-ketuk  meja sambil cuba menstabilkan perasaan sebal  yang tak mahu pergi.
"Ha.. ada apa? Kau  tertinggal barang ke?"
"Mana ada barang yang tertinggal. Orang nak cakap  hal lain ni..." Suara  dah sengau kat hidung.  Tak  tahulah kenapa  aku  sensitif  sangat  hari  ini.  Kerusi aku pusingkan mengadap  dinding. Bimbang juga kalau-kalau Raisya tiba-tiba menerjah masuk.
"Cakaplah cepat  apa  halnya? Puting nyonyot kau  tercicir  ke?"
"Mak!!!"
Mak gelak melambak  di  dalam talian.  Tapi  aku  dah panas telinga  di  sini.  Aku  serius  dia main-main pula.  Apa pun tawa mak tu  sedikit  sebanyak  sudah meredakan  sedikit  rajuk  yang menebal tadi.
"Apahal  ni  my  bucuk masam intan payung? Ada  customer  buat hal ke?" Mak  sudah kembali  waras.
"Bukan customer.  Raisya  tu..."
Aku  berhenti sekejap  dan pusingkan kerusi  ke  meja. Nak tengok kalau-kalau ada  yang sedang menelinga  perbualan kami  anak-beranak.  Aku  dengan  mak  memang macam ni. Kalau  orang tak tahu  pasti  fikir sedang menyangka  aku tengah dating dengan awek.
"Kenapa  dengan budak brutal tu? Dia  buli  anak aku ke?"
Aku  senyum sikit. Protective sungguh mak  aku ni.  Takkanlah kena buli dengan Raisya  pun nak  mengadu  dengan mak. Hilanglah macho beb!
"Dia jamu  staff-staff  lain makaroni bakar. Tapi  tak simpankan sikit pun untuk orang.  Buruk  mentedarah betul masing-masing."
Aku tahu mak sedang menahan tawa  di  rumah.  Aku peduli  apa? Mak dah sedia maklum, aku  ni  kalau  pasal  makan memang nombor  satu. Setakat sepotong dua mana cukup. Lebih terkilan lagi bila bakal  tunang sendiri  yang buat. Tiba-tiba rasa menyesal pula  sebab terlampau berahsia  dengan dia.
"Ooo, jadi ni  kes makaroni  bakarlah ya? Tak apa. Biar super mom  yang kasi settle.  Dah, tak payah nak merajuk  sangatlah. Kau ni  mengalahkan perempuan datang bulan. Meroyan tak  tentu  pasal pula. Pergi  buat kerja macam biasa. Mak akan pastikan petang ni bila kau  balik kerja  makaroni dah siap  terhidang di  atas meja. Okey  tataa!!!"
Panggilan tamat. Aku  cium handphone yang sudah senyap. Sebab itulah aku sayang mak lebih sikit  dari  abah.  Dia  pasti akan usahakan segala  kehendak  aku sampai  berjaya. Selesai mengadu nasib dengan mak, barulah selesa nak buat  kerja.
Interkom yang menghubungkan aku  dengan tempat Munirah aku tekan. Seperti biasa, dia akan melaporkan segala aktiviti  yang perlu aku  lakukan hari ini. Aku  mendengar  sambil  menurunkan tandatangan di  atas  dokumen-dokumen yang telah diperiksa. Itulah tugas  aku setiap  pagi sebelum keluar melawat  projek-projek  baru. Elok  saja  urusan aku  dan Munirah selesai, Raisya masuk dengan muka  cemas.
"Encik  Azraf, nak tumpang duduk kat sini  kejap  boleh tak?"
Dia minta  izin, tapi  kaki  dah siap  bersila  di  atas  sofa. Mujur  dah nak jadi  bini. Kalau pekerja  biasa  memang dah lama  aku  halau dia keluar.
"Kenapa mendung aje  muka  tu. Dah habis  sebekas  makaroni bakar  pun masih masam lagi?" Dua  dalam satu, ambil berat dan perli  sekali. Sakit hati tau tak  dapat  rasa makaroni bakar.
"Ini bukan pasal  makaroni  Encik  Azraf. Tadi bakal  mak mertua  saya  call."
Uik, lajunya mak bertindak.  Mak  marah Raisya ke? Relaks dulu  Azraf. Jangan nampak  kalut  sangat. Biar Raisya  habiskan cerita  dulu. Gadis  itu nampak sangat gelisah. Kesian pula aku tengok.
"Hari ni birthday bakal tunang saya. Mak dia minta saya buatkan makanan istimewa untuk dia."
"Eh, dia jemput awak celebrate birthday anak dia sekali ke?"
Aduh! Kacau mak ni. Pecahlah tembelang nanti kalau dia ajak Raisya datang ke rumah. Permainan belum tamat lagi ni. Mak terlupa ke Raisya ni tak tahu siapa bakal tunang dia?
"Saya tak pergi ke sana. Tapi mak dia yang datang ambil makanan tu," ujar Raisya perlahan.
"Oh.." Lega hati mendengar penerangan Raisya. 
"Buat ajelah. Lagi pun awak memang pandai masak, kan? Apa masalahnya?" Sengaja aku menambahkan kerisauan Raisya.
"Memang boleh nak buat. Tapi kalau saya masak sedap-sedap, makin sukalah bakal mak mertua saya tu. Saya tak nak dia suka saya. Saya tak nak kahwin dengan anak dia. Kan saya dah cakap dengan Encik Azraf, saya dah ada pilihan sendiri."
Raisya mendengus kasar. Tapi aku dah tunjuk senyum senget. Macamlah besar sangat masalah dia tu. Dia termenung. Pasti ada idea nakal yang sedang dirancang. Aku masak sangat dengan perangai dia yang satu ni. Tak lama kemudian dia senyum.
"Yes! Dia nak merasa air tangan saya kan? Tunggulah petang nanti." Raisya bangun. Wajah yang mendung sudah bertukar ceria.
"Eh makcik! Awak nak buat apa?" Gatal pula mulut ni nak bertanya. Bukan apa. Nak juga buat persiapan.
"Adalah. Saya gerenti mak dia akan reject saya lepas ni. Kalau tidak jangan panggil saya Raisya Azzahra."
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Sudah banyak air liur yang merembes. Nampak menyelerakan sungguh makaroni bakar yang dibuat oleh Raisya. Tapi apabila teringatkan kata-katanya di pejabat tadi, hati dah mula cuak. Apa yang dia letak di dalam makanan ni.
"Betul ke Raisya kata nak pedajalkan kau?" tanya mak. Dia juga sedang mengadap makanan yang sudah suam itu.
"Dia tak cakap nak pedajalkan orang. Dia cakap nak kenakan bakal tunang dia..."
Pek!
"Aduh! Apa main luku-luku kepala orang ni mak? Sakitlah!"
Aku gosok tempat mak ketuk tadi. Merah mata aku menahan sakit. Padan muka aku. Loyar buruklah lagi, kan?
"Bakal tunang dia siapa?" tanya mak.
"Azraf Hamidi." Aku menjawab. Tangan masih menggosok kepala.
"Siapa tu?" Mak tanya lagi.
"Oranglah! Apa mak ni? Anak sendiri pun dah tak kenal ke?"
Mak menyeringai suka. Lepas tu buat isyarat suruh aku tutup mulut. Kami sambung mengadap makaroni bakar yang masih belum berusik. Masing-masing dah terliur. Tapi masih belum berani menjamah. Tiba-tiba terdengar bunyi kereta memasuki halaman rumah. Abah dah balik.
"Bagus! Kusmal kita dah balik." Mak bertepuk tangan sambil menaik-naikkan keningnya.
"Kusmal?" Aku pandang mak, mohon penjelasan.
"Kusmal...tikus makmal..." Mak sengih nakal dengan mulutnya menjuih ke arah makaroni bakar di atas meja.
“Eee, janganlah mak.  Jadi  apa-apa nanti macam mana?” Aku  cuba menghalang idea  nakal  mak.
“Kalau  macam tu  kau  ajelah yang  makan.  Lagipun dia memang buatkan untuk  kau.”
Laju  pula  aku  menggeleng apabila  mendengar  cadangan mak. Tapi  dalam masa  yang sama tak  sampai  hati nak  jadikan abah  bahan eksperimen. Mak  menyambut  abah  di pintu.  Aku masih di  meja  makan melihat  makaroni  bakar  yang masih  belum berusik.
“Wah! Ada makaroni  bakarlah.  Rajinnya  mak  kau  hari  ni. Ada permintaan luar  biasa ke  sayang?” 
Sambil  mengusik  mak, tangan abah dah mengambil  sekeping makaroni  bakar yang  sudah siap  berpotong. Jantung aku  bagai  terhenti  sekejap. Melihat  abah  mengunyah  membuatkan  tekak  aku  makin kering. Janganlah  terjadi  apa-apa  yang tidak  diingini  nanti.
“Sedapnya.  Eh, marilah makan sekali.  Tengok aje  buat  apa?”
Abah ambil  lagi  sekeping makaroni  bakar. Aku pandang mak. Dia  bagi  isyarat  supaya aku  duduk  menyertai  abah  di  meja  makan. Dia  pun turut  duduk  di  sebelah abah.
“Bukan saya  yang buat  makaroni  ni...”
Terhenti  kunyahan abah  tatkala mendengar  pengakuan mak. Tetapi cebisan besar  yang belum sempat masuk  ke dalam  mulutnya  masih berada  di  tangan.
“Raisya yang buat. Anak  bujang awak  tu  yang  teringin  nak  makan.” Mak menyambung lagi.
“Oh...kalau  macam tu  kenapa  kau tak makan? Sedap  ni. Kau  jangan main-main Azraf. Penat-penat dia  buatkan untuk  kau  tapi  kau  tak  nak  rasa? Tak  sangkalah. Nampak  aje  brutal,  tapi pandai  masak.”
Abah menganga luas-luas dan cebisan makaroni  bakar  tadi  selamat  masuk  ke  dalam mulutnya. Mak  oi! Tak  tercekik  ke  makan sekali  banyak  macam tu?
Melihat  abah sudah mengambil kepingan yang ketiga, aku  sudah tidak  mampu  menahan selera  lagi. Mak  juga sudah  memulakan gigitan pertama. Terangguk-angguk kepala  mak, siap  dia  tunjuk ibu  jari  tanda  bagus. Tanpa  rasa  was-was aku  ambil  sekeping. Dua  kali  gigit  saja sekeping makaroni bakar  sudah selamat aku  telan. Memang sedap. Raisya tipu  rupanya.  Mungkin dia  tak  tergamak  untuk  mengotakan kata-katanya  tadi  agaknya.
“Dia dah lulus ujian kedua  Azraf. Pandai  masak. Lepas  ni  bolehlah  mak  bersenang-lenang. Nak makan  apa, mak  order  aje  nanti.”
Mak  mengekek   gelak. Abah juga turut  serta. Ewah-ewah! Suka  hati  diaorang aje  nak  buli  isteri aku  ya?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Mak nampak penat pagi  ni. Tak sampai  hati  pula  nak  paksa  dia  temankan aku  bersarapan.  Abah  pun tak ke  pejabat hari  ni. Satu rumah dah berbau minyak  angin. Geram pula  aku  dengan Raisya. Aku fikir  dia main-main. Rupa-rupanya  dia memang dah bertekad  tak  mahu jadi  menantu di  rumah ni.
            “Abah dah okey mak?”
            Mak  cuma mengangguk. Hot bag   yang sentiasa  berada  di  tangannya  sejak malam tadi  dia  letak di  atas  kepala. Bawah matanya  kelihatan lebam.  Sahlah memang mak kurang tidur.
            “Dia tengah tidur  tu. Sakitnya  sikit aje. Manjanya  yang lebih,” ujar  mak.
            Aku  senyum sikit. Tahu  mak  sengaja cakap  begitu  untuk  menyedapkan hati  aku. Menyesal  pula suruh abah makan makaroni  bakar  tu  semalam. Tapi yang peliknya  aku pun makan juga  semalam. Itu pun selepas  aku  tengok dah setengah bekas  makaroni  bakar  tu masuk  ke  dalam perut abah. Tak  ada masalah pula. Atau, ada  benda  lain yang abah makan kat luar?
            “Semalam mak makan tak makaroni bakar tu?” Aku  mula menjalankan siasatan. Memang pelik. Kalau betul air tangan Raisya menjadi penyebab abah sakit  perut, kenapa  aku dan mak  tak terjebak  sama?
            “Kan kita berdua  yang habiskan makaroni  bakar tu. Lupa ke?”
            “Tapi  kenapa  kita berdua  tak  sakit  perut  pulak? Mak tak pelik ke?”
            Hot bag    di  atas  kepala mak ambil. Dia  menggaru pipi, kemudian digosok-gosoknya hidung  berkali-kali.  Uik, kenapa  tiba-tiba mak menggelisah ni.
            “Abah kau tu  bukannya  sakit  perut. Tapi...” Mak mengerling ke ruang tamu.  Abah sedang berehat di sana.  Mak mendekatkan mulutnya  ke  telinga aku. Amboi! Dah macam ahli mesyuarat  tingkap  pula  rasanya.
            “Dia  tak boleh makan cendawan. Angin pasang,” bisik mak.
            Terlopong mulut aku  mendengarnya. Tak tahu  pula aku selama ini  abah ada penyakit itu. Dan aku  pun tak tahu  cendawan tu adalah pantang besar  bagi pesakit angin pasang. Ini bermakna bukan salah Raisya yang menyebabkan abah sakit hari  ni. Mustahil dia tahu abah ada  penyakit angin pasang.
            “Assalamualaikum...”
            Terdengar  suara  perempuan  di luar. Aku  pandang mak dan dia pandang aku  balik.
            “Pagi-pagi  buta  dah datang bawa ‘ketupat’  kat rumah orang.” Aku  mendengus  kasar. Kadang-kadang aku  kurang berkenan  dengan perangai  jiran-jiran di taman perumahan ini. Nak bergosip  tak tentu  masa.
            “Eh, kawan-kawan mak tak mainlah jaja  gosip   dari rumah ke rumah ni. Kitaorang main Skype, Whatsapp, Telegram..baru  advance!”
             Mak tinggalkan aku  di  situ dan berlari  ke  ruang tamu.  Siapalah yang datang tu? Pinggan dan cawan yang telah aku  gunakan aku  bawa ke sinki.  Span di dalam mangkuk  bersabun aku ambil dan mula menyabun pinggan dan cawan. Ketika  aku  membilas  cawan, mak  menyerbu masuk ke dapur.  Mukanya nampak cemas.
            “Azraf, pergi  menyorok cepat. Raisya ada  kat luar.”
            Terlepas  cawan di tangan.  Mujur cawan Melamine. Kalau  tidak  memang dah berderai  jadi  seribu  di  atas lantai. Aku  tarik mak keluar melalui pintu  belakang. Kami  berselindung di  sebalik penyidai kain.
            “Kenapa  dia  datang?” Aku  bertanya dengan nada  berbisik. Kepala dah mula  berpeluh ni.  Dah terbayang wajah menyinga Raisya  kalau rahsia terbongkar  nanti.
            “Malam tadi  dia  telefon mak. Dia tanya  sedap  tak  makaroni  bakar  yang dia  buat tu. Sedap  tak makaroni  dia?” Sempat lagi  mak menyoal aku.
            Aku  angguk  laju. “Tapi  pedas  sikit  sebab banyak sangat letak  chili powder   dengan pepper.” Boleh pula aku  beri komen pada  waktu-waktu kecemasan ini.
            Ha!!! Macam tu lah mak cakap kat dia. Tapi mak ada tambah  sikit. Mak cakap lain kali jangan letak cendawan sebab abah kau tak boleh makan.”
            “Habis tu, mak cakap kat dia ke  abah kena angin pasang?”
            Aku tepuk dahi  bila  mak mengangguk sambil menggigit  hujung kuku. Eee! Kenapalah mak ni  lurus  sangat? Mesti  Raisya datang pagi ni sebab nak melawat  abah. Rasa  bersalah agaknya.
            “Pergilah menyorok. Atau  kau duduk  aje kat sini. Jangan keluar  selagi  dia belum balik tau.”
            Mak nak beredar  dari situ tapi  aku  cepat-cepat menahan. Orang tua ni  kalau tengah cemas memang tak boleh berfikir  secara rasional agaknya. Aku memang boleh menyorok di  sini. Tapi kereta kat depan tu nak sorok kat mana? Dah tak sempat  nak disorokkan pun sebab Raisya sudah berada  di  dalam rumah.
            “Dia datang sorang ke?”
            “Tak, mak  dia pun ada sekali.”
            Aku mengangguk sambil  memikirkan jalan untuk  mengelak dari  bertembung dengan Raisya. Aku belum bersedia  nak  membocorkan rahsia  sendiri.  Hanya dengan cara  ini  saja  aku  boleh tengok  perangai  sebenar Raisya. Betul ke  dia  benar-benar  ada hati  dengan aku.
            “Eh, makcik buat  apa  kat  sini?”
            Erkkk!!!
            Aku dan mak  keras sekejap  di situ.  Raisya  juga  seakan kejang di tepi pintu. Habislah! Rahsia  dah bocor.
            “Err... eh Botak! Nanti kau  sembur  sekali kat  bilik stor tu ya. Longkang kat belakang rumah ni  pun kau sembur  sekali.”
            Mak membelakangkan Raisya  dan kenyit mata  pada  aku. Okey, aku  ikut  saja rentak mak. Pasti dia  ada  akal lain untuk menyelamatkan keadaan.
            “Encik...Encik  Azraf buat apa  kat sini?” Raisya  bertanya  perlahan.  Dia  masih dalam keadaan terkejut.
            “Eh, Raisya  kenal  adik Botak ni? Dia ni  dari  syarikat fogging.   Makcik  yang panggil dia datang, nak suruh dia  sembur  nyamuk kat dalam bilik stor  tu. Musim hujan ni  banyak  nyamuk. Kenapa  sampai ke dapur  cari makcik ni?” Mak  menarik tangan Raisya   masuk  semula ke dalam dapur.
            Kaki Raisya  melangkah, tetapi matanya masih tak lepas  memandang aku. Naik kejang perut aku  menahan gelak. Mak  ni  pun satu. Macam mana boleh tersasar  ke  syarikat fogging  pula? Dia  lupa ke aku  kerja apa?
            “Makcik...saya balik office  dulu. Sekarang tak sesuai untuk  buat fogging. Dalam pukul tujuh petang nanti  saya datang balik.  Waktu tu  baru sesuai  untuk buat fogging.
            Dengan hanya berselipar  Jepun, aku  melangkah laju  ke  kereta. Mujur  semuanya  dah siap aku simpan di  dalam poket seluar.  Cuma briefcase saja yang tak dapat aku ambil di dalam bilik. Sambil  menghidupkan enjin kereta, mata  mengawasi  keadaan di  dalam rumah.  Tiba-tiba pandangan terhenti  di  salah sebuah tingkap  di ruang tamu. Alamak! Raisya ada  di  situ. Jangan  tunggu  lagi Azraf. Lari!


.

.
.

.

.

.

.

.

.
.