Jumlah pengunjung setakat ini .

Google+ Followers

Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

May 27, 2015

HEY MR. SPOTLIGHT! BAB 11

Rasa berat hati  nak ke  pejabat hari  ini.  Bimbang kalau-kalau  Raisya  mengulangi  soalan semalam.  Minta-minta  dia  tak  ambil pusing  dengan apa  yang dia  dengar  malam tadi. Aku  kena lebih banyak  bersabar  dan lebih  berhati-hati  selepas  ini. Berdebar-debar pula nak masuk ke  pejabat. Keadaan pejabat yang tidak seperti hari-hari lain buat  hati makin tak selesa. Mana pergi  semua  orang? Rasanya  waktu  kerja  sudah hampir bermula. Munirah yang selalu  datang   awal pun tidak ada  di  tempatnya.
Penglihatan  terarah ke  pantri. Ada  bau makanan.  Besar  kemungkinan mereka  semua  di  situ. Sedang bersarapan agaknya. Tapi  takkanlah kesemuanya berkumpul  di  dalam pantri. Pelik betul  ni.
"Sedapnya.  Pandai kau masak."
Apa yang sedap  sangat tu? Siapa  yang masak? Kalau  ikut hidung  aku  ni, baunya macam pizza. Takkanlah makan pizza  sampai tak toleh kiri kanan?
"Ehem!" Sengaja  aku mengganggu. Semua  menoleh.  Baru aku  nampak  gerangan yang berjaya  menarik perhatian diaorang tadi.
"Makan apa  tu?"
"Makaroni  bakar," jawab Bahari, staff  yang selalu  tak  ada  di  dalam pejabat  sebab banyak buat  kerja di luar.
"Nak  rasa?" Raisya  menghulur  bekas  makanan.
Aku  menggeleng perlahan. Dah tinggal sepotong baru nak pelawa? Mana cukup! Tiba-tiba  rasa kecil hati  dengan Raisya. Sampai hati  dia tak tinggalkan makaroni  bakar  tu  untuk aku.
“Lain kali jangan biarkan pintu  pejabat  terbuka. Kalau  ya  pun nak  breakfast  berjemaah, keselamatan kena  jaga juga Dibuatnya  ada  yang pencuri  masuk nanti, macam mana?” Perasaan bengang  aku  luahkan melalui  bebelan.
“Ala, barang apalah yang berharga  sangat  dalam pejabat  ni?  Setakat  tabung-tabung pemadam api  tu pencuri  pun tak ingin nak  angkut. Buat berat  motor  aje...” Selamba saja  Raisya  membidas  kata-kata aku.
Tanpa  banyak cakap, aku  masuk  ke dalam pejabat. Briefcase  aku  campakkan  saja ke atas sofa. Punggung ku  henyak kasar di  kerusi dan terus  keluarkan handphone. Nak  buat  sesi  meluah perasaan pada mak.
"Mak..." Aku  ketuk-ketuk  meja sambil cuba menstabilkan perasaan sebal  yang tak mahu pergi.
"Ha.. ada apa? Kau  tertinggal barang ke?"
"Mana ada barang yang tertinggal. Orang nak cakap  hal lain ni..." Suara  dah sengau kat hidung.  Tak  tahulah kenapa  aku  sensitif  sangat  hari  ini.  Kerusi aku pusingkan mengadap  dinding. Bimbang juga kalau-kalau Raisya tiba-tiba menerjah masuk.
"Cakaplah cepat  apa  halnya? Puting nyonyot kau  tercicir  ke?"
"Mak!!!"
Mak gelak melambak  di  dalam talian.  Tapi  aku  dah panas telinga  di  sini.  Aku  serius  dia main-main pula.  Apa pun tawa mak tu  sedikit  sebanyak  sudah meredakan  sedikit  rajuk  yang menebal tadi.
"Apahal  ni  my  bucuk masam intan payung? Ada  customer  buat hal ke?" Mak  sudah kembali  waras.
"Bukan customer.  Raisya  tu..."
Aku  berhenti sekejap  dan pusingkan kerusi  ke  meja. Nak tengok kalau-kalau ada  yang sedang menelinga  perbualan kami  anak-beranak.  Aku  dengan  mak  memang macam ni. Kalau  orang tak tahu  pasti  fikir sedang menyangka  aku tengah dating dengan awek.
"Kenapa  dengan budak brutal tu? Dia  buli  anak aku ke?"
Aku  senyum sikit. Protective sungguh mak  aku ni.  Takkanlah kena buli dengan Raisya  pun nak  mengadu  dengan mak. Hilanglah macho beb!
"Dia jamu  staff-staff  lain makaroni bakar. Tapi  tak simpankan sikit pun untuk orang.  Buruk  mentedarah betul masing-masing."
Aku tahu mak sedang menahan tawa  di  rumah.  Aku peduli  apa? Mak dah sedia maklum, aku  ni  kalau  pasal  makan memang nombor  satu. Setakat sepotong dua mana cukup. Lebih terkilan lagi bila bakal  tunang sendiri  yang buat. Tiba-tiba rasa menyesal pula  sebab terlampau berahsia  dengan dia.
"Ooo, jadi ni  kes makaroni  bakarlah ya? Tak apa. Biar super mom  yang kasi settle.  Dah, tak payah nak merajuk  sangatlah. Kau ni  mengalahkan perempuan datang bulan. Meroyan tak  tentu  pasal pula. Pergi  buat kerja macam biasa. Mak akan pastikan petang ni bila kau  balik kerja  makaroni dah siap  terhidang di  atas meja. Okey  tataa!!!"
Panggilan tamat. Aku  cium handphone yang sudah senyap. Sebab itulah aku sayang mak lebih sikit  dari  abah.  Dia  pasti akan usahakan segala  kehendak  aku sampai  berjaya. Selesai mengadu nasib dengan mak, barulah selesa nak buat  kerja.
Interkom yang menghubungkan aku  dengan tempat Munirah aku tekan. Seperti biasa, dia akan melaporkan segala aktiviti  yang perlu aku  lakukan hari ini. Aku  mendengar  sambil  menurunkan tandatangan di  atas  dokumen-dokumen yang telah diperiksa. Itulah tugas  aku setiap  pagi sebelum keluar melawat  projek-projek  baru. Elok  saja  urusan aku  dan Munirah selesai, Raisya masuk dengan muka  cemas.
"Encik  Azraf, nak tumpang duduk kat sini  kejap  boleh tak?"
Dia minta  izin, tapi  kaki  dah siap  bersila  di  atas  sofa. Mujur  dah nak jadi  bini. Kalau pekerja  biasa  memang dah lama  aku  halau dia keluar.
"Kenapa mendung aje  muka  tu. Dah habis  sebekas  makaroni bakar  pun masih masam lagi?" Dua  dalam satu, ambil berat dan perli  sekali. Sakit hati tau tak  dapat  rasa makaroni bakar.
"Ini bukan pasal  makaroni  Encik  Azraf. Tadi bakal  mak mertua  saya  call."
Uik, lajunya mak bertindak.  Mak  marah Raisya ke? Relaks dulu  Azraf. Jangan nampak  kalut  sangat. Biar Raisya  habiskan cerita  dulu. Gadis  itu nampak sangat gelisah. Kesian pula aku tengok.
"Hari ni birthday bakal tunang saya. Mak dia minta saya buatkan makanan istimewa untuk dia."
"Eh, dia jemput awak celebrate birthday anak dia sekali ke?"
Aduh! Kacau mak ni. Pecahlah tembelang nanti kalau dia ajak Raisya datang ke rumah. Permainan belum tamat lagi ni. Mak terlupa ke Raisya ni tak tahu siapa bakal tunang dia?
"Saya tak pergi ke sana. Tapi mak dia yang datang ambil makanan tu," ujar Raisya perlahan.
"Oh.." Lega hati mendengar penerangan Raisya. 
"Buat ajelah. Lagi pun awak memang pandai masak, kan? Apa masalahnya?" Sengaja aku menambahkan kerisauan Raisya.
"Memang boleh nak buat. Tapi kalau saya masak sedap-sedap, makin sukalah bakal mak mertua saya tu. Saya tak nak dia suka saya. Saya tak nak kahwin dengan anak dia. Kan saya dah cakap dengan Encik Azraf, saya dah ada pilihan sendiri."
Raisya mendengus kasar. Tapi aku dah tunjuk senyum senget. Macamlah besar sangat masalah dia tu. Dia termenung. Pasti ada idea nakal yang sedang dirancang. Aku masak sangat dengan perangai dia yang satu ni. Tak lama kemudian dia senyum.
"Yes! Dia nak merasa air tangan saya kan? Tunggulah petang nanti." Raisya bangun. Wajah yang mendung sudah bertukar ceria.
"Eh makcik! Awak nak buat apa?" Gatal pula mulut ni nak bertanya. Bukan apa. Nak juga buat persiapan.
"Adalah. Saya gerenti mak dia akan reject saya lepas ni. Kalau tidak jangan panggil saya Raisya Azzahra."
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
Sudah banyak air liur yang merembes. Nampak menyelerakan sungguh makaroni bakar yang dibuat oleh Raisya. Tapi apabila teringatkan kata-katanya di pejabat tadi, hati dah mula cuak. Apa yang dia letak di dalam makanan ni.
"Betul ke Raisya kata nak pedajalkan kau?" tanya mak. Dia juga sedang mengadap makanan yang sudah suam itu.
"Dia tak cakap nak pedajalkan orang. Dia cakap nak kenakan bakal tunang dia..."
Pek!
"Aduh! Apa main luku-luku kepala orang ni mak? Sakitlah!"
Aku gosok tempat mak ketuk tadi. Merah mata aku menahan sakit. Padan muka aku. Loyar buruklah lagi, kan?
"Bakal tunang dia siapa?" tanya mak.
"Azraf Hamidi." Aku menjawab. Tangan masih menggosok kepala.
"Siapa tu?" Mak tanya lagi.
"Oranglah! Apa mak ni? Anak sendiri pun dah tak kenal ke?"
Mak menyeringai suka. Lepas tu buat isyarat suruh aku tutup mulut. Kami sambung mengadap makaroni bakar yang masih belum berusik. Masing-masing dah terliur. Tapi masih belum berani menjamah. Tiba-tiba terdengar bunyi kereta memasuki halaman rumah. Abah dah balik.
"Bagus! Kusmal kita dah balik." Mak bertepuk tangan sambil menaik-naikkan keningnya.
"Kusmal?" Aku pandang mak, mohon penjelasan.
"Kusmal...tikus makmal..." Mak sengih nakal dengan mulutnya menjuih ke arah makaroni bakar di atas meja.
“Eee, janganlah mak.  Jadi  apa-apa nanti macam mana?” Aku  cuba menghalang idea  nakal  mak.
“Kalau  macam tu  kau  ajelah yang  makan.  Lagipun dia memang buatkan untuk  kau.”
Laju  pula  aku  menggeleng apabila  mendengar  cadangan mak. Tapi  dalam masa  yang sama tak  sampai  hati nak  jadikan abah  bahan eksperimen. Mak  menyambut  abah  di pintu.  Aku masih di  meja  makan melihat  makaroni  bakar  yang masih  belum berusik.
“Wah! Ada makaroni  bakarlah.  Rajinnya  mak  kau  hari  ni. Ada permintaan luar  biasa ke  sayang?” 
Sambil  mengusik  mak, tangan abah dah mengambil  sekeping makaroni  bakar yang  sudah siap  berpotong. Jantung aku  bagai  terhenti  sekejap. Melihat  abah  mengunyah  membuatkan  tekak  aku  makin kering. Janganlah  terjadi  apa-apa  yang tidak  diingini  nanti.
“Sedapnya.  Eh, marilah makan sekali.  Tengok aje  buat  apa?”
Abah ambil  lagi  sekeping makaroni  bakar. Aku pandang mak. Dia  bagi  isyarat  supaya aku  duduk  menyertai  abah  di  meja  makan. Dia  pun turut  duduk  di  sebelah abah.
“Bukan saya  yang buat  makaroni  ni...”
Terhenti  kunyahan abah  tatkala mendengar  pengakuan mak. Tetapi cebisan besar  yang belum sempat masuk  ke dalam  mulutnya  masih berada  di  tangan.
“Raisya yang buat. Anak  bujang awak  tu  yang  teringin  nak  makan.” Mak menyambung lagi.
“Oh...kalau  macam tu  kenapa  kau tak makan? Sedap  ni. Kau  jangan main-main Azraf. Penat-penat dia  buatkan untuk  kau  tapi  kau  tak  nak  rasa? Tak  sangkalah. Nampak  aje  brutal,  tapi pandai  masak.”
Abah menganga luas-luas dan cebisan makaroni  bakar  tadi  selamat  masuk  ke  dalam mulutnya. Mak  oi! Tak  tercekik  ke  makan sekali  banyak  macam tu?
Melihat  abah sudah mengambil kepingan yang ketiga, aku  sudah tidak  mampu  menahan selera  lagi. Mak  juga sudah  memulakan gigitan pertama. Terangguk-angguk kepala  mak, siap  dia  tunjuk ibu  jari  tanda  bagus. Tanpa  rasa  was-was aku  ambil  sekeping. Dua  kali  gigit  saja sekeping makaroni bakar  sudah selamat aku  telan. Memang sedap. Raisya tipu  rupanya.  Mungkin dia  tak  tergamak  untuk  mengotakan kata-katanya  tadi  agaknya.
“Dia dah lulus ujian kedua  Azraf. Pandai  masak. Lepas  ni  bolehlah  mak  bersenang-lenang. Nak makan  apa, mak  order  aje  nanti.”
Mak  mengekek   gelak. Abah juga turut  serta. Ewah-ewah! Suka  hati  diaorang aje  nak  buli  isteri aku  ya?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Mak nampak penat pagi  ni. Tak sampai  hati  pula  nak  paksa  dia  temankan aku  bersarapan.  Abah  pun tak ke  pejabat hari  ni. Satu rumah dah berbau minyak  angin. Geram pula  aku  dengan Raisya. Aku fikir  dia main-main. Rupa-rupanya  dia memang dah bertekad  tak  mahu jadi  menantu di  rumah ni.
            “Abah dah okey mak?”
            Mak  cuma mengangguk. Hot bag   yang sentiasa  berada  di  tangannya  sejak malam tadi  dia  letak di  atas  kepala. Bawah matanya  kelihatan lebam.  Sahlah memang mak kurang tidur.
            “Dia tengah tidur  tu. Sakitnya  sikit aje. Manjanya  yang lebih,” ujar  mak.
            Aku  senyum sikit. Tahu  mak  sengaja cakap  begitu  untuk  menyedapkan hati  aku. Menyesal  pula suruh abah makan makaroni  bakar  tu  semalam. Tapi yang peliknya  aku pun makan juga  semalam. Itu pun selepas  aku  tengok dah setengah bekas  makaroni  bakar  tu masuk  ke  dalam perut abah. Tak  ada masalah pula. Atau, ada  benda  lain yang abah makan kat luar?
            “Semalam mak makan tak makaroni bakar tu?” Aku  mula menjalankan siasatan. Memang pelik. Kalau betul air tangan Raisya menjadi penyebab abah sakit  perut, kenapa  aku dan mak  tak terjebak  sama?
            “Kan kita berdua  yang habiskan makaroni  bakar tu. Lupa ke?”
            “Tapi  kenapa  kita berdua  tak  sakit  perut  pulak? Mak tak pelik ke?”
            Hot bag    di  atas  kepala mak ambil. Dia  menggaru pipi, kemudian digosok-gosoknya hidung  berkali-kali.  Uik, kenapa  tiba-tiba mak menggelisah ni.
            “Abah kau tu  bukannya  sakit  perut. Tapi...” Mak mengerling ke ruang tamu.  Abah sedang berehat di sana.  Mak mendekatkan mulutnya  ke  telinga aku. Amboi! Dah macam ahli mesyuarat  tingkap  pula  rasanya.
            “Dia  tak boleh makan cendawan. Angin pasang,” bisik mak.
            Terlopong mulut aku  mendengarnya. Tak tahu  pula aku selama ini  abah ada penyakit itu. Dan aku  pun tak tahu  cendawan tu adalah pantang besar  bagi pesakit angin pasang. Ini bermakna bukan salah Raisya yang menyebabkan abah sakit hari  ni. Mustahil dia tahu abah ada  penyakit angin pasang.
            “Assalamualaikum...”
            Terdengar  suara  perempuan  di luar. Aku  pandang mak dan dia pandang aku  balik.
            “Pagi-pagi  buta  dah datang bawa ‘ketupat’  kat rumah orang.” Aku  mendengus  kasar. Kadang-kadang aku  kurang berkenan  dengan perangai  jiran-jiran di taman perumahan ini. Nak bergosip  tak tentu  masa.
            “Eh, kawan-kawan mak tak mainlah jaja  gosip   dari rumah ke rumah ni. Kitaorang main Skype, Whatsapp, Telegram..baru  advance!”
             Mak tinggalkan aku  di  situ dan berlari  ke  ruang tamu.  Siapalah yang datang tu? Pinggan dan cawan yang telah aku  gunakan aku  bawa ke sinki.  Span di dalam mangkuk  bersabun aku ambil dan mula menyabun pinggan dan cawan. Ketika  aku  membilas  cawan, mak  menyerbu masuk ke dapur.  Mukanya nampak cemas.
            “Azraf, pergi  menyorok cepat. Raisya ada  kat luar.”
            Terlepas  cawan di tangan.  Mujur cawan Melamine. Kalau  tidak  memang dah berderai  jadi  seribu  di  atas lantai. Aku  tarik mak keluar melalui pintu  belakang. Kami  berselindung di  sebalik penyidai kain.
            “Kenapa  dia  datang?” Aku  bertanya dengan nada  berbisik. Kepala dah mula  berpeluh ni.  Dah terbayang wajah menyinga Raisya  kalau rahsia terbongkar  nanti.
            “Malam tadi  dia  telefon mak. Dia tanya  sedap  tak  makaroni  bakar  yang dia  buat tu. Sedap  tak makaroni  dia?” Sempat lagi  mak menyoal aku.
            Aku  angguk  laju. “Tapi  pedas  sikit  sebab banyak sangat letak  chili powder   dengan pepper.” Boleh pula aku  beri komen pada  waktu-waktu kecemasan ini.
            Ha!!! Macam tu lah mak cakap kat dia. Tapi mak ada tambah  sikit. Mak cakap lain kali jangan letak cendawan sebab abah kau tak boleh makan.”
            “Habis tu, mak cakap kat dia ke  abah kena angin pasang?”
            Aku tepuk dahi  bila  mak mengangguk sambil menggigit  hujung kuku. Eee! Kenapalah mak ni  lurus  sangat? Mesti  Raisya datang pagi ni sebab nak melawat  abah. Rasa  bersalah agaknya.
            “Pergilah menyorok. Atau  kau duduk  aje kat sini. Jangan keluar  selagi  dia belum balik tau.”
            Mak nak beredar  dari situ tapi  aku  cepat-cepat menahan. Orang tua ni  kalau tengah cemas memang tak boleh berfikir  secara rasional agaknya. Aku memang boleh menyorok di  sini. Tapi kereta kat depan tu nak sorok kat mana? Dah tak sempat  nak disorokkan pun sebab Raisya sudah berada  di  dalam rumah.
            “Dia datang sorang ke?”
            “Tak, mak  dia pun ada sekali.”
            Aku mengangguk sambil  memikirkan jalan untuk  mengelak dari  bertembung dengan Raisya. Aku belum bersedia  nak  membocorkan rahsia  sendiri.  Hanya dengan cara  ini  saja  aku  boleh tengok  perangai  sebenar Raisya. Betul ke  dia  benar-benar  ada hati  dengan aku.
            “Eh, makcik buat  apa  kat  sini?”
            Erkkk!!!
            Aku dan mak  keras sekejap  di situ.  Raisya  juga  seakan kejang di tepi pintu. Habislah! Rahsia  dah bocor.
            “Err... eh Botak! Nanti kau  sembur  sekali kat  bilik stor tu ya. Longkang kat belakang rumah ni  pun kau sembur  sekali.”
            Mak membelakangkan Raisya  dan kenyit mata  pada  aku. Okey, aku  ikut  saja rentak mak. Pasti dia  ada  akal lain untuk menyelamatkan keadaan.
            “Encik...Encik  Azraf buat apa  kat sini?” Raisya  bertanya  perlahan.  Dia  masih dalam keadaan terkejut.
            “Eh, Raisya  kenal  adik Botak ni? Dia ni  dari  syarikat fogging.   Makcik  yang panggil dia datang, nak suruh dia  sembur  nyamuk kat dalam bilik stor  tu. Musim hujan ni  banyak  nyamuk. Kenapa  sampai ke dapur  cari makcik ni?” Mak  menarik tangan Raisya   masuk  semula ke dalam dapur.
            Kaki Raisya  melangkah, tetapi matanya masih tak lepas  memandang aku. Naik kejang perut aku  menahan gelak. Mak  ni  pun satu. Macam mana boleh tersasar  ke  syarikat fogging  pula? Dia  lupa ke aku  kerja apa?
            “Makcik...saya balik office  dulu. Sekarang tak sesuai untuk  buat fogging. Dalam pukul tujuh petang nanti  saya datang balik.  Waktu tu  baru sesuai  untuk buat fogging.
            Dengan hanya berselipar  Jepun, aku  melangkah laju  ke  kereta. Mujur  semuanya  dah siap aku simpan di  dalam poket seluar.  Cuma briefcase saja yang tak dapat aku ambil di dalam bilik. Sambil  menghidupkan enjin kereta, mata  mengawasi  keadaan di  dalam rumah.  Tiba-tiba pandangan terhenti  di  salah sebuah tingkap  di ruang tamu. Alamak! Raisya ada  di  situ. Jangan  tunggu  lagi Azraf. Lari!


Post a Comment

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.