Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

April 03, 2015

Please...Don't be GELOJOH! BAB 1

                   
                          “Krew restoran? Kali ni  berapa lama pula?”
            Panjang muncung  Wanda mendengar sindiran mak. Tangan abahnya  digoncang-goncang, mohon pembelaan. Tapi  tiada  sebarang respons  positif  yang  diterimanya.
            “Kalau  setakat nak kerja dua tiga  hari lepas  tu  berhenti, lebih baik  kau  duduk  rumah aje. Atau habiskan belajar memandu yang dah  lama tertangguh  tu. Ada  juga faedahnya.” Mak  sudah mula  buka  mukaddimah ceramah percuma di pagi  hari.
            “Belajar, belajar, belajar. Otak  Wanda ni penatlah  mak. Tak habis-habis  belajar. Lesen memandu  tu  bila-bila boleh pergi. Wanda janji  kali  ni  Wanda  akan kerja  elok-elok. Kawan Wanda  pun kerja  juga di restoran tu. Bolehlah abah...Tolong hantar  Wanda  pergi  temuduga  kat  restoran tu  ya?”
            Abah  tak  menjawab. Suratkhabar  yang belum habis  dibaca dilipat  dua lalu  diletaknya  di atas  meja. Teh  susuyang  masih  panas  disisip  sedikit. Berkerut-kerut  keningnya  kening menelan minuman  kegemarannya  itu.
            “Siapa  buat  air?” tanya  abah.
            Mak menuding pada  Wanda.  Senyum  sudah terukir  di bibir  anak  manja itu. Sudah terngiang-ngiang di telinganya kata-kata  pujian dari abah. Yalah,  bukan selalu  dia membancuh  minuman untuk  abahnya. Kalau  bukan sebab nak memujuk, jangan haraplah dia  nak  ke  dapur. Piring  yang  mengalas  cawan abah suakan pada Wanda.
            “Rasa sendiri air  yang  Wanda  buat. Sedap  tak?” Abah menyuruh.
            Tanpa  ragu-ragu, cawan yang  masih  penuh berisi teh susu dihirup laju.
            Burrr!!!
            Mak dan abah bangun serentak, cuba mengelak semburan Wanda.
            “Sedap?” tanya abah sambil senyum senget.
            Sambil mengelap bibir yang basah, Wanda mengerling mak yang sudah ketawa terbahak-bahak. Abah hanya menggeleng berkali-kali.
            “Macam mana nak kerja di restoran macam ni? Bancuh air pun tak lepas!” Abah menempelak.
            “Ala... Wanda bukannya kerja kat warung tepi jalan. Itu restoran makanan segera. Siap dengan coffee maker dan pembancuh minuman lain. Abah, Wanda nak kerja juga kat situ. Hantar Wanda ya?” Sekali lagi dia memujuk.
            Pandangan sinis maknya langsung tidak dipedulikan. Dia yakin, dia mampu buktikan kali ini dia tidak main-main. Melihat rakan-rakan lain yang seronok mengumpul pendapatan sendiri membuatkan Wanda semakin teruja. Bukannya susah mana pun bekerja di restoran. Ambil pesanan, hantar makan dan hantar bil. Mudah sangat.
            “Okey, abah akan hantar. Pergi siap cepat.”
            “Yeah!!! Terima kasih abah.” Wanda melonjak riang. Pipi abahnya dikucup berkali-kali kemudian dia terus berlari ke bilik untuk bersiap.
            “Huh! Muka aje garang. Kena pujuk sikit dengan budak tu terus tumpul kuku,” gerutu mak.
            “Dia nak merasa. Biarkan dia. Kali ini abang berani cakap, paling lama pun seminggu.” Abah angkat tujuh jari, ditayangnya pada mak.
            “Masa tu nanti apa pula alasan yang dia nak bagi? Dapur terbakar?”
            Abah ketawa mendengar komentar mak. Sungguh pun terasa lucu dengan kata-kata itu, jauh di sudut hatinya sangat berharap agar Wanda dapat bertahan lama kali ini.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Wanda menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Tercangak-cangak dia meninjau orang di sebelahnya mengisi borang jawatan kosong. Dah macam orang meniru dalam peperiksaan pula gayanya. Dia bukannya buta huruf. Tapi borang itu dalam Bahasa Inggeris. Memanglah dia lulusan kolej. Tapi bahasa kedua itu bukanlah bahasa kegemarannya.
            “Dah siap?”
            Wanda mendongak. Mulutnya sedikit terlopong melihat lelaki yang sedang berdiri di depannya. Lama dia merenung lelaki itu. Kalau sikunya tidak disinggung oleh orang sebelah, sudah pasti acara renung-merenung itu akan berlangsung dengan lebih lama. Sempat lagi Wanda menoleh ke kiri, melihat orang yang menyinggung tangannya.
            “Dia tanya, ada masalah ke nak isi borang tu?” tanya  gadis yang masih belum dikenali itu.
            “Eh, tak adalah. Err...tapi ada beberapa tempat yang masih kosong.” Sengaja dia memanjakan suara sambil menghulur kertas pada lelaki itu.
            Lelaki itu senyum sikit sebelum membaca borang yang diberikan oleh Wanda. Kesempatan itu diambil oleh Wanda untuk membaca tanda nama yang tersemat di dada kiri lelaki itu.
            “Ikhwan...”
            “Ya? Awak panggil saya?”
            Wanda menekup mulut. Tak sangka pula suaranya didengari oleh lelaki itu. Tidak berani dia mengangkat muka. Tetapi bibir sudah menguntum senyum. Entah kenapa, tiba-tiba bagai ada satu rasa di dalam hatinya ketika ini. Matanya ingin melihat sekali lagi lelaki itu tetapi hati melarang. Sudahnya Wanda cuma mampu menggoyang-goyangkan kaki buat penghilang rasa gemuruh.
            “Hmm, tempat ni tak boleh dibiarkan kosong. Soalan ni maksudnya berapa anggaran gaji yang awak nak. Yang ini pula boleh tak awak bekerja lebih masa.”
            Ikhwan meletakkan semula borang itu di depan Wanda. Sekali lagi gadis itu terlongo. Tak sangka agaknya lelaki itu akan membantunya untuk mengisi borang jawatan kosong itu.
            “Awak tenung apa lagi tu? Tulislah cepat.”
            Kelam-kabut Wanda mengambil pen di atas meja. Punyalah gemuruh sampaikan dia menulis dengan tangan kiri. Dia ketawa perlahan tatkala menyedari kekalutan sendiri. Nasibnya agak kurang baik. Pen tak sempat bertukar tangan. Sebaliknya terus terjatuh ke lantai. Wanda berdecap kuat. Entah kenapa tiba-tiba dia jadi cemerkap.
            “Tak apa biar saya ambilkan.”
            Ikhwan membongkok untuk mengambil pen yang terjatuh. Wanda mengetap bibir, menahan bengang. Dia tahu calon-calon pekerja yang turut sama menunggu di situ tidak senang dengan tingkahnya. Tapi dia buat muka selamba. Jauh di sudut hati terbit pula rasa bangga. Manakan tidak? Seorang lelaki tampan begitu bermurah hati untuk membantunya.
            “Dah siap nanti letakkan borang di kaunter,” arah Ikhwan. Dia terus pergi sebaik saja pen sudah berada di tangan Wanda.
            “Hai saya Dina.” Seorang gadis yang duduk di sebelah kanan menegur ramah.
            Wanda cuma senyum. Tak terlintas langsung di kepalanya untuk memperkenalkan diri sendiri. Tangannya masih lincah mengisi tempat-tempat kosong di dalam borang jawatan kosong. Usai siap, dia bangun dan terus meletakkan borang di kaunter seperti yang diarahkan oleh Ikhwan.
            “Kenapa tak kumpulkan sekali? Boleh hantar sama-sama,” tegur Dina.
            “Ops, maaf. Saya ingatkan awak semua dah hantar. Pergilah letak sekali kat kaunter tu,” jawab Wanda selamba. Dia mengambil tempat kembali di kerusi. Matanya hanya terarah di pintu, di mana Ikhwan masuk sebentar tadi. Dalam diam dia mengharapkan orang yang pertama dipanggil untuk ditemuduga adalah dirinya.
            “Wanda Asmalinda...”
            Terloncat Wanda dari tempat duduknya. Doanya telah dimakbulkan. Melalui pantulan bayang dari dinding bercermin, Wanda merapikan dirinya. Dia langsung tak kisah dirinya menjadi perhatian calon-calon pekerja yang lain. Pelembap bibir dioles laju. Sambil menyimpan kembali pelembap bibir ke dalam beg, dia berjalan laju ke pintu bilik pengurus operasi.
            “Ya Allah, minta-minta aku lulus temuduga ni. Amin.”
            Wanda meraup wajahnya berkali-kali sambil mengaminkan doa sendiri. Dihembusnya ke kiri dan kanan. Dah macam tok bomoh pula gayanya. Perlahan-lahan dia mengetuk pintu. Tanpa menunggu jawapan dari orang di sebelah dalam, tombol pintu dipulas.
            “Hai...” Wanda menegur ramah. Senyumnya hampir hilang. Ikhwan tidak ada di dalam bilik itu. Ke mana pula lelaki itu pergi?
            “Ya.. hai. Selamat petang, silakan duduk.” Seorang wanita Cina lengkap dengan blazer berwarna merah mempersilakan Wanda duduk dihadapannya.
            “Err.. boleh saya tanya? Tadi ada seorang lelaki masuk ke sini, kan?” Sambil bertanya, mata Wanda melingas melihat keadaan sekeliling.
            “Siapa?” tanya wanita itu. Dia juga turut memandang ke sekeliling bilik.
            “Ikh..Ikhwan,” jawab Wanda teragak-agak.
            “Oh, Ikhwan. Jangan risau pasal dia. Awak boleh jumpa dia bila-bila masa saja nanti kalau awak diterima bekerja di sini.” Wanita itu bersuara tegas.
            Wanda tersentap. Baru sedar tujuan asal dia ke sini. Dia membetulkan duduk dan mula memberi perhatian pada sesi temuduga. Dia betul-betul berharap akan diterima bekerja di sini. Bukan saja kerana dia ingin melihat Ikhwan. Tetapi dia ingin buktikan pada abah dan maknya, dia mampu berdiri di atas kaki sendiri.
            “Awak ada Diploma Perakaunan?”
            “Ya,” jawab Wanda.
            “Hmm, rasa-rasanya jawatan yang kami tawarkan ini tak sesuai dengan kelulusan awak. kami cuma mahu mencari kitchen crew sahaja.”
            “Jangan macam tu bos. Saya nak sangat kerja kat sini. Gaji rendah sikit pun tak apa.” Wanda sudah tidak keruan. Hancurlah harapannya untuk melihat Ikhwan. Dia bangun dan terus memegang tangan wanita Cina itu. Apa jadi sekali pun dia mesti berusaha untuk mendapatkan tempat di restoran itu.
            “Kalau bos nak, saya boleh isi semula borang tu. Nanti saya letak kelulusan saya setakat SPM saja. Tolonglah bos. Saya nak sangat kerja kat sini. Saya orang susah. Bapak saya tak berapa sihat. Kerja cuci pinggan tak apa. Bos...”
            “Okey, okey. Duduk dulu, jangan ini macam...” Terkeluar loghat Cina wanita itu. Risau pula dia melihat tingkah laku Wanda.
            Sekali lagi borang permohonan Wanda dibaca. Sesekali dia mengerling Wanda yang sedang mengesat airmata. Dia kurang pasti samada tangisan itu adalah yang benar atau pun lakonan. Lama dia berfikir, akhirnya satu keputusan sudah dibuat.
            “Buat masa ini memang belum ada jawatan yang sesuai dengan awak.”
            “Bos..”
            “Dengar saya cakap dulu.”
            Wanda diam. Sengaja dia buat ‘muka kesian’, cuba memancing simpati bakal bosnya itu.
            “Awak datang saja besok, pukul sembilan pagi. Nanti kita tengok kerja apa yang sesuai untuk awak.”
            Wanda bersorak riang. Wajah yang teduh tadi sudah bertukar ceria. Termakbul doanya untuk melihat Ikhwan lagi selepas ini. Dia bangun dan terus digoncangnya tangan kanan wanita Cina itu.
            “Thank you. Thank you so much. Saya janji akan kerja elok-elok. Besok pukul sembilan saya datang.”
            Wanda menonong ke pintu. Berita gembira itu harus disampaikan segera kepada abah.
            “Wanda.” Wanita Cina itu memanggil.
            “Ya bos?” Pintu sudah separuh terbuka. Lebar senyum Wanda menanti arahan.
            “Besok pakai seluar hitam, kasut hitam...”
            “Okey! All in black, kan? See you tomorrow bos!”
            Wanda keluar. Ikutkan hatinya mahu saja dia terus mencari Ikhwan. Wajah lelaki itu seperti sudah melekat di dalam hatinya. Tetapi kerana memikirkan abah dan mak yang sedang menunggu di dalam kereta, niat itu ditunda. Besok masih ada untuk dia melihat wajah pujaan hatinya itu.
            “Macam mana? Dapat kerja tak?” Soalan pertama yang keluar dari mulut abah sebaik saja Wanda masuk ke dalam kereta.
            “Tengok oranglah. Ini Wanda tau.” Dadanya ditepuk-tepuk. Mak menjuih bibir mendengar nada riak Wanda.
            “Jom kita pergi kedai baju. Wanda kena pakai baju hitam, seluar hitam dan kasut hitam esok. Pukul sembilan pagi dah kena ada kat sini.”
            Mak dan abah berpandangan. Terjongket kening abah mengerling Wanda yang sedang keriangan di tempat duduk belakang. Tak pernah dia melihat Wanda sebegitu. Ambil keputusan SPM pun tak seriang ini walaupun dia mendapat keputusan yang cemerlang. Bukan main bernyanyi-nyanyi lagi dia.
            “Senangnya hati. Seronok ke dapat kerja kat situ?” Mak cuba mengorek rahsia.
            “Seronok tu tak tahulah lagi sebab belum mula kerja. Tapi Wanda tahu pasti Wanda akan selesa bekerja kat situ. Bos dia baik. Pekerja-pekerja yang lain pun okey. Yang penting, dapat jumpa Ikhwan hari-hari. Ops!’
            Wanda menekup mulut. Spontan mak dan abah menoleh ke belakang. Wanda tunjuk sengih kambing.
            “Kau nak kerja ke nak menggatal?”
            Hambik! Kan dah kena dengan mak.
            “Nak kerjalah. Ala, Wanda cuma suka tengok muka dia aje. Cepatlah abah. Kita pergi cari baju dan barang-barang lain.” Wanda berusaha mengubah topik.
            Kereta mula bergerak. Wanda bersandar tenang di belakang. Senyum Ikhwan terbayang kembali di ruang mata. Alahai, lambatnya nak tunggu besok.
           
           
            

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.