Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

May 06, 2015

HEY MR.SPOTLIGHT! BAB 4


“Wanginya office. Cleaner dah sampai ke  Munirah?"
Dia tak  menjawab. Cuma ibu  jari kanannya ditunjukkan ke arah pantri. Aku menjongket kening, nak tahu  siapa  yang ada  di  sana. Tapi  Munirah membalas dengan mengangkat bahu. Hish! Berat  mulut  betullah dia  ni.
Aku letak briefcase di atas  meja Munirah.  Teragak-agak juga  aku  nak  ke pantri. Siapa pula yang rajin sangat mengemas pejabat aku pagi-pagi  ni? Aku  menyorok sikit  di  tepi pintu. Ada seorang gadis berbaju  kurung sedang membancuh air. Figure dari  belakang boleh tahan juga. Tapi  siapa ni?
"Ehem!" Aku  berdiri di tengah-tengah pintu  sambil  berpeluk tubuh. Muka  sengaja aku  garangkan sedikit. Bukan nak marah betul-betul. Cuma nak menakut-nakutkan saja.
Gadis itu  berpaling. Cara  dia menoleh dah macam ala-ala ratu cantik tahun 2016. Rambut yang melepasi  bahu dielus perlahan. Uik! Betul ke  apa  yang tengok  ni? Berbeza sangat  penampilannya dari semalam. Dia senyum. Okey, lesung pipit tu  memang trademark dia. Tak jadilah nak  marah. Tak  sampai  hati  sebenarnya nak buat-buat  garang.
"Good morning bos. I made  a cup  of  coffee for you.Let's  have a sip.
Amboi! Bukan main lagi dia. Aku  kemam bibir  kuat-kuat. Nak senyum sebenarnya tapi  sengaja aku  tahan. Dia tatang dulang berisi  satu mug yang masih berasap kemudian melintas  di depan aku.
"Nak letak kat mana ni?"
"Err, minum kat  sini  ajelah. Saya  tak suka minum kat  dalam bilik. Takut  tumpah, habis  fail-fail yang bersepah kat  atas meja tu  nanti."
Dia tenung aku, kemudian bagi  isyarat supaya ikut dia masuk  ke bilik. Aku  bukakan pintu  untuk  dia, tapi  aku  tak  ikut  dia  masuk  sekali. Ini bilik aku ke? Alahai! Siapa yang rajin sangat kemaskan bilik aku  ni?
"Mulai  hari  ni  saya akan kemas bilik Encik  Azraf dan seluruh pejabat. Tak kisahlah berapa  Encik  Azraf nak bayar  saya. Selain dari kemas  pejabat, saya akan bancuhkan minuman untuk  semua orang termasuk Encik...eh, kenapa  tercegat aje  kat luar  tu? Masuklah."
Dia  tarik kerusi di tempat aku dan mempersilakan aku duduk. Tapi kaki  aku  macam dah terpaku  di situ. Apa  yang perlu  aku  katakan pada  dia? Sabar Azraf. Mungkin dia  dah lupa, kau tak suka orang usik barang-barang kau. Aku  tarik nafas  dalam-dalam, cuba menghalau rasa marah.
"Encik Azraf..."
Aku buka  mata.
"Encik marah ke  saya kemas  bilik  ni?"
"Siapa  yang suruh awak buat  semua ni?"
"Alamak! Encik  tak suka ya. Tak apa, biar  saya sepahkan balik macam tadi. Maaflah...saya ingatkan nak buat kejutan macam dalam novel tu. I'm so sorry. Sorry tau. Lepas  ni  saya takkan sentuh apa-apa barang dalam..."
"Raisya..."
Dia pandang aku dengan muka  sedihnya. Kedua-dua tangan dia menarik cuping telinga  sendiri.  Alolo, comelnya dia  buat macam tu. Aku  berdeham beberapa  kali, cuba kembali  kepada  watak  bos. Tapi tak semena-mena Raisya menyelerakkan kembali surat-surat yang telah disusun di  dalam bekas. Fail-fail  di meja sisi dilambakkan semula di atas  meja kerja aku.
"Awak  buat apa ni?" Aku  masuk ke dalam dan terus tutup  pintu. Tak syoklah kalau  Munirah dan staf-staf  lain terdengar nanti.
Raisya menjauhkan diri  dari  meja yang sudah bersepah. Tangannya  kembali memegang cuping telinga.
"Saya mengaku saya memandai-mandai sendiri. Saya cuma nak tunjukkan kesungguhan saya. Serius  ni  Encik Azraf...saya nak kerja kat sini..."
"Kalau ya pun nak sangat kerja kat  sini tak payahlah sampai nak menangis. Saya tak pandai pujuk  perempuan menangis ni. Lainlah kalau awak tu buah hati saya."
Tangan yang memegang telinga terus terlepas. Wajah Raisya  merona merah. Dia  tunduk memandang lantai. Aku  datang dekat dan duduk di  bucu  meja. Dari atas  sampai ke bawah aku perhatikan. Sampai ke hujung kain baju kurungnya, aku ketawa perlahan. Raisya  tak  berani  angkat muka. Mungkin dia  fikir  aku  masih marah agaknya.
"Cantik baju  hari ni." Aku buat  suara tegas, Tapi  tangan menekup  mulut. Tak sabar  nak gelak  kuat-kuat  sebenarnya.
"Pinjam  baju  mak. Saya tak  ada  baju  kurung. Jeans banyaklah." Raisya  berkata jujur.
"Hmm, patutlah..."
Aku berjalan ke arah pintu. Tombol pintu aku pegang dan aku pulas  perlahan. Raisya  mendongak. Mukanya  kembali keruh. Ketika  aku menolak daun pintu, dia datang dekat dan terus  digoncang-goncangnya lengan aku.
"Encik Azfar...saya  nak  kerja kat  sini. Saya janji takkan usik  barang Encik Azfar. huuuuu..."
"Tolong keluar..." Aku cuba lepaskan pegangan tangannya.
"Tak nak! Saya nak  kerja kat sini. Ampun Encik... ampun!!!"
Alamak dia dah meraung. Aduh! Perangai  lama dia  dah makin terserlah. Cepat-cepat aku tutup pintu semula dan menyuruh Raisya  duduk  di  sofa.
"Awak ni emosional sangatlah. Saya belum habis cakap  lagi." Aku mundar-mandir  di  depan Raisya.
"Encik Azfar..."
"Diam!"
Terhenjut badan Raisya. Diam pun. Kalau lagi  sekali dia buka  mulut  memang aku sumbat mulut  dia.
"Saya nak  awak keluar dan ambil briefcase saya di  meja  Munirah." Aku  berikan arahan pertama.
"Itu  saja?" Dia  bertanya tapi  masih berganjak  dari situ.
"Hmm, saya  nak awak kemas semula  bilik  ni. Dah siap  kemas  nanti  saya nak awak balik  dan..."
"Ala..saya nak kerja sini!"
"Raisya  Azzahra!!!"
Spontan aku  terkam bahu dan badannya aku  tolak hingga dia tersandar  ke sofa. Terlopong mulut  Raisya  dengan tindakan mengejut  aku. Cepat-cepat aku  seluk  sapu tangan di  kocek baju dan aku sumbat ke  dalam mulutnya. Aku  pegang kedua-dua tangannya  dengan kuat kerana tak  mahu  dia  meronta-ronta.
"Padan muka! Mulut  awak  ni macam pop corn tau tak? Pot pet pot  pet! Now listen! Aku  genggam buku lima dan aku  tayang di depan muka  Raisya. Aku angkat jari kelingking dan  buat  seperti  sedang mengira.
"First, ambil  briefcase saya. Second, kemas  bilik  ni  semula. Third, pergi  balik dan tukar  baju  awak  ni. Awak ingat awak ni  masih student  lagi  ke? Saya tak  nak tengok baju kurung yang gedoboh dan kasut sukan ni. Macam ni  nak kerja dengan saya? Pergi balik. Pakai  ajelah apa-apa  yang awak rasa selesa. Faham?"
Raisya mengangguk laju. Tangannya terlepas dari  pegangan Azraf. Dia menarik keluar  sapu tangan yang menutup  mulutnya. Sebaik sahaja, sapu  tangan di buka, Raisya  terus berlari  keluar. Aku tahu  pasti dia  terperanjat diperlakukan. Tapi  aku  dah ketawa berdekah-dekah.
Eh, macam mana kalau  dia tak datang-datang lagi  selepas ni. Atau  dia  bawa abang dia untuk belasah aku. Seingat aku dia ni kaki  mengadu. Pantang silap  sikit mesti dia jadikan abang dia sebagai pelindung. Aku  meninjau ke tingkap. Dia  sedang memakai  topi keledar.
Sepantas mungkin aku berlari keluar. Hairan Munirah melihat  aku  kelam-kabut  macam tu. Tak kisahlah tu.  Apa  yang penting aku  tak boleh biarkan dia hilang lagi. Cukuplah lapan tahun. Puas  aku  ajar  hati  ni  untuk  berkawan dengan perempuan lain. Tapi citarasa  hati  ni  hanya  pada  Budak  Lesung.
Laju juga Raisya ni bawa  motor. Mentang-mentanglah badan tu kecil. Aku pula yang seriau tengok dia mencelah-celah di tepi kenderaan beroda empat. Sengaja aku jauhkan jarak. Takut dia  perasan yang aku  follow  dia balik ke rumah. Betullah dia cakap. Tak  jauh mana pun rumah dia dengan tempat  kerja. Memang sempat  sangat  kalau dia  balik makan tengahari.
Sampai di sebuah taman perumahan, Raisya berhenti  di kedai  runcit.  Tak lama kemudian dia  keluar dengan sebuah plastik  sederhana besar. Tak pasti pula aku barang apa  yang dia  beli. Sambung ikut dia lagi hinggalah dia  berhenti di sebuah rumah yang bercat warna kuning air. Tapi dia  tak  terus  masuk ke dalam  rumah. Selepas  menongkat motor, dia pergi  ke seberang sana. Ada sebuah rumah kecil di situ.
Helmet masih di kepala, Raisya  menyangkung di depan pondok kecil  itu. Pintu  pondok dibuka, keluarlah beberapa ekor  kucing pelbagai warna. Raisya  menggigit  hujung plastik yang dibeli tadi kemudian menuang isi   plastik  itu  ke dalam sebuah bekas. Oh, dia beli makanan kucing rupanya tadi.
Melihat perlakuan Raisya, spontan saja  tangan kanan meraba dada  di sebelah kiri. Teringat parut yang berbekas di  situ. Kenangan yang tak  mungkin aku lupakan selagi  otak ni  masih boleh berfikir  dengan waras.
Tok! Tok! Tok!
Tingkap  kereta diketuk. Seorang lelaki yang berpakaian sukan tanpa lengan sedang merenung dengan seribu  kerutan di  dahi. Wajahnya nampak tak puas hati. Tapi  aku  tak  takut pun. Aku  matikan enjin dan keluar  dari  kereta.
"Apsal kau ikut adik  aku? Kau nak culik dia ya?"
Hek eleh mamat ni. Apa dia  fikir  badan dia  berketak-ketak aku takut ke? Sekali aku  tarik  bulu  ketiak  yang tak  bercukur tu  nanti  baru dia tahu. Handsome sangat  ke  muka aku sampai  dia tak perasan  kawan lama dia ni?
"Adik abang tu lawalah. Nak pinang  buat bini  boleh tak?" Sengaja aku  menyakat. Aku berdiri jauh sikit. Risau juga sebenarnya. Kalau dihayunnya  buku lima   tu nanti, tak  pasal-pasal ke hospital pula perginya.
"Baik kau berambus  kalau nak hidup  lama."
"Kau Hazri kan?"
"Macam mana kau tahu nama aku?"
Aku garu kulit kepala yang sudah berpeluh. Senyum sinis aku  hadiahkan pada dia. Adik-beradik ni memang ada penyakit  susah nak cam orang agaknya.
"Nak tanya sikitlah. Mak kau masih pandai buat serawa  durian tak? Aku dah lama tak  makan. Kalau minta dia buatkan sikit untuk aku, boleh tak?"
Hazri pandang aku dari bawah ke atas.Lama dia  perhatikan kepala aku yang berkilat ni. Aku ambil sapu tangan dan lap  kepala  yang berpeluh. Ketika  aku menyimpan semula  sapu tangan dikocek seluar, Hazri sudah ketawa terbahak-bahak.
"Kau pernah jadi cikgu tiusyen adik  aku kan? Siapa nama kau eh? Ala..." Hazri menepuk-nepuk dahi sendiri. Cuba nak ingat semula  nama aku.
"Azraf..." Aku  tolong dia. Lambat sangat nak tunggu memori lamanya  timbul semula.
"Ha!!!! Ya betul.. Azraf. Ya Allah! Tak sangka  boleh jumpa  kau kat sini."
Adegan peluk-memeluk pun berlaku.  Bermula sesi mengimbau kenangan lama di situ. Sambil recall semula kisah-kisah lama, aku curi-curi  pandang Raisya yang masih leka  melayan kucing-kucingnya. Tak nak ke Hazri jemput  aku  ke  rumah? Aku  dah penat berdiri ni.
"Eh, kau belum jawab soalan tadi. Kenapa kau  ikut adik aku?"
"Saja...Aku  nak tahu dia  tinggal kat mana. Tak  salah rasanya kalau majikan ambil tahu  pasal pekerja, kan?"
"Uik! Dia  bekerja kat tempat kau  ke? Patutlah..."
Hazri gelak. Matanya tak  lepas  melihat  kepala aku. Puas gelak  dia tepuk-tepuk bahu aku. Tak apa, bagi  dia gelak dulu. Kejap lagi  baru tanya.
"Aduhai...Raisya...Raisya..." Hazri menghabiskan sisa  tawa.
"Kenapa?" Dah tak sabar nak tahu  apa yang membuatkan Hazri ketawa sampai  tak  cukup  nafas.
"Patutlah Raisya minta  aku  duit pagi  tadi. Katanya  balik  nanti  nak  cari  cermin mata  hitam kat  pasar  malam. Tak  tahan bekerja kat  tempat silau!"





No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.