“Astaghfirullah
hal azim!!! Kau cari apa ni
Azraf Hamidi? Habis bersepah almari album ni kau selongkar.”
Aku
berhenti sekejap. Gatal pula
hidung bermain dengan habuk almari ni. Punyalah nak mencari gambar-gambar lama ketika waktu
belajar dulu sampai lupa nak tukar
baju. Sampai saja ke rumah, almari album itu yang aku kejar
dulu.
“Album-album masa orang belajar dulu
mak simpan kat mana?”
“Semua ada kat dalam almari tu.
Kau nak buat apa ni?”
Mak
turut sama bersila di sebelah aku. Album-album yang bersepah
di atas lantai dia
susun semula. Tapi tangan
mak tak selaju tangan aku. Setiap
kali satu ambil
diambil, pasti akan diselaknya terlebih
dahulu. Kemudian dia akan senyum
sendiri. Teringat kisah-kisah lama
agaknya. Huh! Suka hati dialah.
Baik aku sambung kerja aku.
“Dulu masa kecik, rambut kau bukan main lebat lagi Azraf. Cuba kau
tengok ni...” Mak hulur sekeping gambar
yang sudah kekuning-kuningan.
“Tak sangka pula bila
dah makin besar, kau buat padang golf kat atas kepala. Siap ada
spotlight pula tu. Hahahah!”
Mak gelak sampai tepuk-tepuk lantai. Tak cukup
dengan itu, kepala aku yang botak
licin itu diusap-usap dengan kedua-dua tangan. Kemudian bibir mak
mendarat di tengah-tengah kepala. Suka benar dia buat macam tu. Aku
ketawa juga walaupun ada sedikit
rasa bengang. Cuma mak saja yang
berpeluang buat macam tu. Cuba kalau
orang lain yang buat.Memang tersandar
ke dinding aku sepak nanti.
“Mak
ni...Ini spotlight cari makan
tau!”
“Eleh! Cari makan buat apa?
Kalau cari awek
barulah betul!”
Aku
terpempan sekejap. teringat semula
tujuan asal, aku sambung menyelongkar album-album lama. Mana pula aku simpan gambar awek berlesung pipit itu?
“Dah berapa tahun kau tinggalkan universiti Azraf?” Tiba-tiba mak bertanya.
“Lapan tahun...”
“Emm, budak-budak yang kau ajar
tiusyen masa tu
berapa umurnya?” Mak
bertanya lagi.
“Lima belas.
Semua budak-budak PMR.” Sekarang dipanggil PT3. Aku masih sibuk menyelak helaian-helaian
album. Nampaknya peluang untuk aku
jumpa balik gambar lama
dahulu agak tipis. Almari album
hampir kosong aku selongkar.
“Hmm, lima belas tambah lapan. Wah!
maknanya budak-budak tu sekarang dah jadi
anak dara sunti. Entah-entah ada
yang dah beranak-pinak. Alahai.. anak
aku juga yang sudahnya jadi bujang terlajak!” Mak gelak lagi.
Album di riba diselak lagi. Sekejap-sekejap terdengar dia
ketawa, kemudian dia mengeluh. Tak
lama selepas itu dia ketawa
lagi. gambar apa
yang melucukan sangat tu?
“Azraf, budak ni
yang cakap dada kau macam dada orang utan kan?”
Tercampak album-album di tangan. Aku
segera berpaling dan mengambil
album gambar di riba mak. Leganya! Akhirnya aku jumpa
juga album ini. Aku selak semula
dari depan. Aduh! Rasa macam nak menangis. Tekaan aku sangat tepat. Gadis yang datang ke pejabat aku
pagi tadi adalah adik kepada rakan sekuliah dulu.
Aku
bangun dan bawa album gambar itu
sekali. Terlupa pula mak sedang memerhatikan aku.
“Woi pakcik! Siapa nak kemas
semua ni?” Mak melaung kuat.
Aku dapatkan mak semula dan cepat-cepat masukkan semula
album-album gambar yang bersepah-sepah.
Aku tahu mak sedang hairan memerhatikan gelagat aku.
“Siap! Okey, orang nak masuk
bilik. Album ni orang nak.”
“Kau nak buat apa?”
“Nak tunjuk kat budak yang
cakap dada orang macam orang utan tu.”
Aku tinggalkan mak yang sedang
terlopong di situ dan terus masuk ke
dalam bilik. Melantun badan aku ketika mendarat di atas katil. Album yang aku ambil
tadi aku selak lagi. Eee! Sukanya. Tak sangka. Memang sangat tak sangka
aku akan bertemu semula dengan
Budak Lesung ni.
Tak
banyak beza pun wajah dia lapan tahun dulu dengan yang baru aku
lihat pagi tadi. Cuma sekarang nampak lebih cerah.
Ala..Itu normal. Pasti ada produk kecantikan yang dia gunakan. Orang perempuan dan bahan-bahan
kosmetik mana boleh berpisah. Tak kisahlah tu. Apa yang aku perlu buat sekarang adalah meyakinkan Raisya. Dia perlu tengok
gambar-gambar ni.
Alamak!
Lupa pula nak ambil alamat rumah dia
di pejabat tadi. Kalau tidak
boleh aku pusing-pusing mencari rumah Raisya
lepas Maghrib nanti. Atau, dia masih tinggal di rumah lama? Aku keluarkan handphone dalam poket
seluar. Rasanya Munirah boleh membantu dalam hal ni.
“Assalamualaikum Encik
Azraf...” Suara Munirah
kedengaran.
“Waalaikumsalam.
Err.. Munirah. Awak ada alamat
budak baru yang nak mula kerja
esok tu tak?” Gemuruh punya
pasal, habis tunggang langgang bahasa aku.
“Ada...”
Jawapan
Munirah buat aku senyum lebar.
“Tapi
kat office...”
Senyum
terus hilang. Ada pula sambungan jawapan Munirah ni. Kurang asam
betul!
“Hmm,
tak apalah. Bye.”
Aku
matikan talian. Mandi dululah. Tak perlu
tergesa-gesa. Besok pasti Raisya akan
datang sebab dia yang beria-ia nak
bekerja di situ. Tahrim sudah
kedengaran. Aku cepat-cepat mandi dan siap menyarung pakaian untuk mengerjakan
solat Maghrib. Nak doa banyak-banyak untuk Raisya. Minta-minta dia
boleh ingat kenangan-kenangan
lapan tahun dulu.
“Azraf,
besok cawangan kita kat
Senai dah mula beroperasi. Kau
pergi sana ya?”
Itu arahan atau
permintaan? Aku tengok mak yang
sedang mencedukkan lauk untuk abah. Macam mana nak minta mak tolong ni?
Aku tak nak ke Senai. Melepaslah peluang nak jumpa Raisya
nanti. Tapi apa alasan yang paling munasabah aku nak bagi?
“Saya
rasa, elok abang aje yang jaga branch
kita kat Senai tu. Budak botak ni
bukannya reti nak bangun awal. Harapkan jam loceng aje yang
besar gedabak kat dalam bilik tu. Tapi saya juga yang kena kejutkan dia bangun
nanti. Cawangan baru, kenalah jaga
betul-betul. Kalau dari awal lagi
orang bawahan dah tahu bos suka
masuk lambat, mesti ada yang jadi
pengikut. Kalau tak percaya tengok ajelah nanti.”
Yeah!
Supermom sudah beraksi. Aku sembunyikan senyum. Takut kalau-kalau abah
tak setuju dengan cadangan mak. Tapi
memang jarang abah tolak cadangan mak mentah-mentah. Tanpa sebarang kata, abah
menadah tangan untuk membaca doa makan. Sambil
menunggu abah membaca doa, sempat lagi mak kenyit mata. Aku tunjuk senyum senget. Faham dengan body
language mak. Dia pasti akan pujuk abah sampai berjaya.
“Hmm,
kau jangan bangun lambat pula bila dah jaga cawangan kat sini.
Abah tak nak dengar ada customer complaint servis kita lambat atau kurang memuaskan. Kalau ada yang merungut, abah hantar kau
jaga office kat Senai.”
Yahuu!!!
Macam nak lompat bintang rasanya. Aku pandang mak sambil menaik-naikkan kening. Mak memang Supermom
aku. Sayang dia!
No comments :
Post a Comment