Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

April 28, 2015

Hey Mr. Spotlight BAB 3

“Astaghfirullah hal azim!!! Kau cari  apa  ni   Azraf  Hamidi? Habis  bersepah almari album ni kau selongkar.”
            Aku  berhenti  sekejap. Gatal pula hidung bermain dengan habuk  almari  ni. Punyalah nak mencari  gambar-gambar lama  ketika waktu  belajar dulu  sampai lupa  nak tukar  baju.  Sampai  saja ke rumah, almari album itu yang aku  kejar  dulu.
            “Album-album masa orang belajar  dulu  mak simpan kat mana?”
            “Semua ada kat dalam almari tu. Kau  nak buat  apa ni?”
            Mak  turut sama  bersila di  sebelah aku. Album-album yang bersepah di  atas lantai  dia  susun semula. Tapi  tangan mak  tak selaju tangan aku.  Setiap  kali  satu  ambil  diambil,  pasti  akan diselaknya  terlebih  dahulu. Kemudian  dia akan senyum sendiri. Teringat  kisah-kisah lama agaknya. Huh! Suka hati  dialah. Baik  aku sambung kerja aku.
            “Dulu  masa kecik, rambut  kau bukan main lebat lagi Azraf. Cuba kau tengok ni...” Mak hulur sekeping gambar  yang sudah kekuning-kuningan.
            “Tak sangka pula  bila  dah makin besar, kau buat padang golf kat atas kepala. Siap  ada  spotlight  pula tu. Hahahah!”
            Mak gelak  sampai tepuk-tepuk lantai.  Tak cukup  dengan itu, kepala aku yang botak  licin itu diusap-usap dengan kedua-dua tangan. Kemudian bibir  mak  mendarat di tengah-tengah kepala. Suka benar dia buat macam tu.  Aku  ketawa  juga walaupun ada  sedikit  rasa  bengang. Cuma mak saja yang berpeluang buat macam tu. Cuba kalau  orang lain yang buat.Memang tersandar  ke dinding  aku  sepak nanti.
            “Mak  ni...Ini spotlight cari  makan tau!”
            “Eleh! Cari makan buat apa? Kalau  cari  awek  barulah betul!”
            Aku  terpempan sekejap.  teringat  semula  tujuan asal, aku  sambung  menyelongkar album-album lama. Mana pula  aku simpan gambar  awek berlesung pipit itu?
            “Dah berapa  tahun kau tinggalkan universiti  Azraf?” Tiba-tiba mak bertanya.
            “Lapan tahun...”
            “Emm, budak-budak  yang kau ajar  tiusyen  masa  tu  berapa  umurnya?” Mak bertanya  lagi.
            “Lima  belas.  Semua  budak-budak  PMR.” Sekarang dipanggil  PT3. Aku masih sibuk menyelak helaian-helaian album. Nampaknya peluang untuk aku  jumpa  balik gambar  lama  dahulu agak tipis. Almari  album hampir  kosong aku selongkar.
            “Hmm, lima belas tambah lapan. Wah! maknanya budak-budak tu sekarang dah jadi  anak  dara sunti. Entah-entah  ada  yang dah beranak-pinak. Alahai.. anak  aku juga yang sudahnya jadi bujang terlajak!” Mak gelak lagi.
            Album di riba diselak  lagi. Sekejap-sekejap terdengar  dia  ketawa, kemudian dia mengeluh. Tak  lama selepas  itu dia ketawa lagi.  gambar  apa  yang melucukan sangat tu?
            “Azraf, budak  ni  yang cakap  dada  kau macam dada  orang utan kan?”
            Tercampak album-album di  tangan. Aku  segera  berpaling dan mengambil album gambar  di  riba mak. Leganya! Akhirnya  aku jumpa  juga album ini. Aku  selak semula dari  depan. Aduh! Rasa macam nak  menangis. Tekaan aku  sangat tepat. Gadis  yang datang ke pejabat  aku  pagi tadi  adalah adik  kepada rakan sekuliah dulu.
            Aku  bangun  dan bawa album gambar itu sekali. Terlupa pula  mak  sedang memerhatikan aku.
            “Woi pakcik! Siapa  nak kemas  semua  ni?” Mak melaung kuat. Aku  dapatkan mak  semula dan cepat-cepat masukkan semula album-album gambar  yang bersepah-sepah. Aku tahu mak sedang hairan memerhatikan gelagat aku.
            “Siap! Okey, orang nak masuk bilik.  Album ni  orang nak.”
            “Kau nak buat apa?”
            “Nak tunjuk kat budak yang cakap  dada orang macam orang utan tu.”
            Aku tinggalkan mak yang sedang terlopong di  situ dan terus masuk ke dalam bilik. Melantun badan aku ketika mendarat di  atas katil. Album yang aku  ambil  tadi aku selak lagi. Eee! Sukanya. Tak sangka.  Memang sangat tak  sangka  aku akan bertemu semula  dengan Budak  Lesung ni.
Tak banyak  beza pun wajah dia  lapan tahun dulu  dengan yang baru  aku  lihat  pagi  tadi. Cuma sekarang nampak lebih  cerah.  Ala..Itu  normal. Pasti  ada produk kecantikan yang dia  gunakan. Orang perempuan dan bahan-bahan kosmetik mana boleh berpisah. Tak kisahlah tu. Apa  yang aku perlu buat  sekarang adalah meyakinkan Raisya. Dia  perlu tengok  gambar-gambar  ni.
Alamak! Lupa pula nak ambil alamat rumah dia  di  pejabat tadi. Kalau tidak boleh aku  pusing-pusing mencari  rumah Raisya  lepas Maghrib nanti. Atau, dia masih tinggal di rumah  lama? Aku keluarkan handphone  dalam poket seluar.  Rasanya  Munirah boleh membantu dalam hal ni.
“Assalamualaikum  Encik  Azraf...” Suara  Munirah kedengaran.
“Waalaikumsalam. Err.. Munirah. Awak  ada  alamat  budak baru  yang nak mula  kerja  esok  tu tak?” Gemuruh punya pasal, habis tunggang langgang bahasa aku.
“Ada...”
Jawapan Munirah buat aku senyum lebar.
“Tapi kat office...
Senyum terus  hilang. Ada pula  sambungan jawapan Munirah ni. Kurang asam betul!
“Hmm, tak apalah. Bye.
Aku matikan talian. Mandi  dululah. Tak perlu tergesa-gesa. Besok pasti  Raisya akan datang sebab dia yang beria-ia nak  bekerja  di situ. Tahrim sudah kedengaran. Aku  cepat-cepat mandi  dan siap menyarung pakaian untuk mengerjakan solat Maghrib. Nak doa banyak-banyak untuk Raisya. Minta-minta  dia  boleh ingat kenangan-kenangan  lapan  tahun dulu.
“Azraf, besok  cawangan kita  kat  Senai dah mula beroperasi. Kau  pergi  sana ya?”
Itu  arahan atau  permintaan? Aku tengok  mak yang sedang mencedukkan lauk untuk abah. Macam mana nak minta mak tolong ni? Aku  tak nak ke  Senai. Melepaslah peluang nak jumpa  Raisya  nanti. Tapi apa alasan yang paling munasabah  aku nak bagi?
“Saya rasa, elok abang aje  yang jaga  branch kita kat Senai  tu. Budak botak  ni  bukannya  reti  nak bangun awal. Harapkan jam loceng aje yang besar  gedabak kat dalam bilik tu. Tapi  saya juga yang kena kejutkan dia bangun nanti. Cawangan  baru, kenalah jaga betul-betul. Kalau  dari  awal lagi  orang bawahan dah tahu  bos  suka  masuk lambat, mesti ada  yang jadi pengikut. Kalau tak percaya tengok ajelah nanti.”
Yeah! Supermom sudah beraksi. Aku  sembunyikan senyum. Takut kalau-kalau abah tak setuju  dengan cadangan mak. Tapi memang jarang abah tolak cadangan mak mentah-mentah. Tanpa sebarang kata, abah menadah tangan untuk  membaca doa makan. Sambil menunggu  abah membaca  doa, sempat lagi mak kenyit mata. Aku  tunjuk senyum senget. Faham dengan body  language mak. Dia pasti akan pujuk abah sampai berjaya.
“Hmm, kau jangan bangun lambat pula  bila  dah jaga cawangan kat  sini.  Abah tak  nak dengar  ada  customer complaint servis  kita lambat atau  kurang memuaskan. Kalau  ada yang merungut, abah hantar  kau  jaga  office   kat Senai.”
Yahuu!!! Macam nak lompat bintang rasanya. Aku pandang mak sambil  menaik-naikkan kening. Mak  memang Supermom aku. Sayang dia!



Hey Mr.Spotlight! BAB 2

Munira  mengekori  aku  masuk ke dalam pejabat  sebaik.  Di tangannya  sudah tersedia  buku nota  dan beberapa  keping surat yang belum dibuka.
“Pukul sepuluh nanti  Encik  Azraf  ada  meeting  dengan pegawai  bomba dari cawangan Larkin.” Munirah membacakan jadual kerja  yang perlu aku  buat hari ini.
“Itu saja?”
“Ada satu  lagi. Ni, ada orang datang nak minta kerja. Orang tu pergi sarapan kejap. Nanti  dia  datang  balik.” Munira, setiausaha aku yang agak pendiam orangnya  menghulur sampul  surat berwarna  putih bersaiz  A4. 
“Uik, kita  ada  buat  iklan jawatan kosong ke?”
“Rasa-rasanya  tak ada. Tapi dia kata nak minta  kerja kat  sini.”
Amboi, beria-ia  benar orang tu  nak bekerja  di  sini.  Tapi mana ada  jawatan kosong buat  masa  ini. Kalau  nak digajikan sebagai pekerja  sementara pun masih belum ada  yang nak cuti  bersalin.  Rasa-rasanya  hujung  tahun nanti  akauntan aku yang bernama Alia  tu akan cuti  bersalin. Kalau dia  sanggup  tunggu, bolehlah gantikan Alia masa  tu  nanti.
            “Awak suruh dia  balik  ajelah.  Kalau  ada kekosongan nanti kita  akan panggil  dia.”
            Munira tak  cakap  banyak, terus  keluar. Senang bekerja  dengan orang yang tak banyak mulut  ni. Tahu-tahu  semua  kerja dah siap. Okey, mari kita  mulakan kerja.  Apa nak  buat  dulu  ni?
            Aku pandang tray tiga tingkat di  sudut meja. Ada beberapa  dokumen di  bahagian KIV, termasuklah sampul surat yang Munira beri  tadi.  Sampul surat itu  seolah-olah sedang memanggil aku  untuk membacanya.  Okey,  kita buka  sampul  surat  itu dulu.  Dokumen-dokumen yang lain aku akan baca selepas  meeting selesai  nanti.
            “Eh! Macam kenal...”
            Gambar  yang tersemat  di  sudut resume itu  aku  ambil. Butir diri yang tertulis  di  dada kertas  itu  aku  baca berkali-kali. Tak semena-mena dada  berdebar  kencang. Aku  pegang dada  sendiri seakan cuba memperlahankan rentaknya. Tak tahu  bagaimana nak aku  gambarkan apa yang aku rasa ketika ini.
            “Aku kenal  dia!”
            Kelam-kabut aku  keluar  dari bilik.  Dia  dah pergi ke? Alahai! Menyesal pula suruh dia  balik tadi. Tak  puas  hati, aku menjenguk ke luar pejabat. mana tahu  kalau-kalau  dia  masih  berada  di  sekitar  kawan ini.
            “Encik Azraf  cari siapa?” tanya Munira. Hairan agaknya  melihat  aku  aku terduduk di  sofa  tetamu.
            Aku  mengeluh keras sambil  meraup muka  berkali-kali. “Orang yang minta kerja tadi  dah balik ya?”
            “Belum, dia pergi toilet sekejap.”
            Aku terus  bangun dan membetulkan tali leher. Macam dah dapat kembali  semangat yang hilang tadi.  Okey Azraf, back to  the  character. Aku  kembali kepada  watak bos.
            “Kenapa  dia  tak  pergi  lagi? Saya  dah  suruh dia  balik, kan?” Sengaja gatal mulut bertanya. Padahal  dalam hati punyalah suka. Suka  sebab orang yang nak  minta kerja tu belum keluar  lagi dari pejabat ini.
            “Err...saya memang dah suruh dia  balik.  Tapi  dia  nak tunggu sampai  Encik  Azraf  keluar  dari  bilik. Dia  nak  pujuk Encik  Azraf supaya  terima  dia  bekerja di  sini.” Munirah bercakap  dengan suara perlahan. Sesekali dia  mengerling ke pintu tandas yang terletak bersebelahan dengan pantri.
            “Okey, kalau  macam tu  awak  suruh dia  jumpa  saya.  Saya tunggu kat dalam.”
            Lebar  langkah aku masuk semula  ke dalam pejabat. Cepat-cepat aku  duduk di  kerusi. Tetapi badan aku hadapkan ke  dinding. Sengaja nak  bagi  kejutan pada  dia. Pasti  dia pun terkejut  bila melihat aku  nanti.
            “Assalamualaikummm...”
            Aku tekup  mulut menahan gelak.  Dah macam nak masuk rumah orang pula  gaya  dia. Salam kedengaran lagi. Kali  ini  lebih kuat  disertai  dengan ketukan di  pintu.
            “Waalaikumsalam. Masuklah, pintu tak kunci...” Aku mengekek perlahan.  Dah macam makcik-makcik kepoh pula  rasanya. Aku kembali mendiamkan diri apabila mendengar  bunyi pintu ditutup. Pasti dia  sudah  berada di  depan meja aku  sekarang.
            “Selamat pagi Encik  Azraf. Boleh tak  saya  kerja  kat sini?”
            Adoi! Polosnya  budak  ni. Aku  belum  tanya  apa-apa, tapi dia dah menyoal  aku  dulu.  Pada mulanya aku  nak tunjuk lagak  sombong. Tapi  tak  sampai hati  pula nak main-mainkan dia. Sudahnya  aku  berpaling ke  depan.  Tak sabar  nak berikan dia  kejutan.
            “Jeng jeng jeng!!!”
            Aku mendepang tangan. Terlopong mulut gadis  itu melihat aku. Alamak! Kejutan tak menjadi  pula.  Malunya!
            “Err...Encik okey ke  tak  ni?” Dia mengundur satu trapak  ke  belakang.
            “Oo..Okey...saya okey. Awak Raisya  Azzahra kan?”
            “Ya, panggil  Raisya  aje.” Dia menghulur tangan. Hmm, dia memang masih seperti  dulu.  Main langgar saja  segala peraturan dalam bersosial.
            “Tak payahlah bersalam. Awak baru keluar dari  tandas tadi,kan?” Sengaja aku  bagi  alasan itu. Tak naklah jatuhkan air muka dia. Buatnya  dia meraung kat  sini  nanti satu kerja pula  aku nak memujuk.
            “Encik Azraf.  Boleh tak saya nak kerja  kat sini. Tak kisahlah kerja  apa pun. Jadi tukang angkat beg  Encik Azraf pun boleh. Saya...”
            “Eh kejap! Raisya, awak tak kenal saya  ke?”
            Dengan mulut  yang separuh ternganga sebab tak  sempat nak habiskan ayat  dia yang  tergantung tadi, Raisyua menggeleng perlahan.
            “Ini  sayalah, Azraf. Takkan tak kenal?”
            “Oo..okey...kenal.”
            “Yes!”  Akhirnya dia mengaku  juga.
            “Encik Azraf  ni bos  Syarikat  Pemadam Api Ghazali  Enterprise ni kan?”
            Aku tepuk  dahi. Bukan itu jawapan yang aku nak  dengar. Dia  ni memang betul-betul  tak kenal aku  atau sedang berlakon? Apa cara  nak bagi dia  ingat ni? Oh, ada!
            Aku longgarkan ikatan tali leher dan membuka dua butang baju  yang paling atas. Aku  selak baju  sehingga menampakkan dada yang berbulu halus. Aku  yakin, kalau  dia melihat parut di  dada  sebelah kiri ini  pasti dia  akan ingat siapa  aku.
            “Encik, ampun!!! Saya  minta ampun! Saya memang nak sangat kerja  kat  sini.  Tapi  bukan dengan cara begini. Tak apalah Encik. Saya balik  dulu.    Raisya menekup  muka dan berundur  setapak demi setapak ke  belakang. Alahai! Aku  bukannya  nak jadikan  dia anak ayam. Nampaknya dia  memang betul-betul  tak ingat aku siapa.
            “Nanti! Okey saya  minta  maaf. Saya salah orang.  Ingatkan awak ni kawan lama  saya.” Cepat-cepat aku  butang semula  baju yang terdedah.
            Raisya  tak jadi keluar. Tapi  dia masih berdiri di tepi  pintu. Wajahnya  masih cuak.  Aku duduk semula dan membaca kembali resume Raisya. Sambil membaca aku kerling-kerling juga dia  yang masih menjarakkan diri. Aku senyum sikit. Dia  balas  dengan anggukan. Aku  gamit dia  datang dekat.  Tak semena-mena dia buka  pintu bilik.
            “Nak ke mana  tu?” Aku  tanya  dia.
            “Saja aje buka pintu. Senang  nak lari  kalau jadi apa-apa.”
            Dia tunjuk sengih  kambing.  Aduh! Lesung pipitnya  masih jelas kelihatan seperti  dulu. Raisya, ini  Azraflah. Pelik  betul. Takkanlah dia  tak ingat  langsung?
            “Bila  saya boleh mula kerja?” Raisya mengingatkan aku  tujuan dia  ke  mari.
            “Hmm...betul ke  awak tak kisah buat kerja apa pun? kelulusan awak ni  boleh tahan  juga. Takkan saya nak bagi  awak kerja yang  tak setaraf dengan kelulusan?” Karakter  bos  sudah masuk  semula  ke  dalam diri.
            Raisya  menghampiri meja. “ Boleh duduk? tanya Raisya.
            Kurang asam sungguh budak  ni. Dah duduk baru bertanya. Aku  cuma menjongket kening sambil menahan hati untuk menatap wajah Raisya dengan lebih lama. Takut  dia  menggelabah lagi  seperti tadi.
            “Saya nak cari  pengalaman dulu. Tak kisahlah kalau  kena mula  dari  bawah sekali  pun. Kalau ikutkan memang boleh cari kerja  kat tempat yang lebih elok. Tapi  cuma  syarikat Encik Azraf aje yang paling  dekat dengan rumah. Sebab itu saya nak sangat kerja  kat sini.  Senang sikit  nak balik rumah waktu makan tengahari nanti.”
            Nyaris-nyaris  lagi  aku  tersedak  air  liur sendiri  mendengar penerangan Raisya. Itu saja  alasan dia? Tak  ada ke alasan yang lebih sesuai? Macamlah tak ada kedai makan. Dia  ni  memang suka  berjimat  atau pun kedekut? berapalah sangat  harga  makanan untuk dia  seorang?
            “Hmm, kalau  macam tu  esok awak datang lagi.  Hari  ni saya belum sediakan apa-apa kerja  lagi  untuk awak.”
            Raisya  bangun. Lebar  betul senyumnya. “Saya  dah boleh kerja  kat sini?”
            Aku  mengangguk sekali. “Welcome  to  Syarikat Pemadam Api  Ghazali  Enterprise.”
            Raisya  bersorak riang. Dengan selambanya dia menarik tangan kanan aku  dan digoncang kuat. Mak ai! Kenapa  agresif  sangat  dia  ni?
            “Terima kasih  Encik Azraf. Terima kasih banyak-banyak. besok  saya  datang lagi. Bye!”
            Raisya  menonong keluar. Eh, aku  belum habis  cakap  lagi.  “Raisya!”
            Dia menoleh. Sambil  menjongket bahu, tangan kanannya memintal  hujung rambutnya  yang bertocang. Aku hampiri Raisya  dan mengelilinginya  sebentar. Keadaannya aku  telek dari  atas  sampai  ke  bawah.
            “Besok  pakai  baju yang lebih  sesuai.  Skrit jeans  lusuh ni  kalau  digantikan dengan pakaian kasual  lebih cantik rasanya.”
            Aku menegurnya  dengan cara  yang paling berhemah. Dia  cuma tersengih menampakkan barisan gigi  yang tersusun rapi. Aduh! Sekali  lagi lesung pipit terserlah. Sah! Dia memang Raisya yang aku kenal dulu.  Tak  apa. Kau tak ingat aku ya. Nanti  aku  akan buat kau ingat kembali.
            “Okey bos! Saya balik dululah. Esok kita jumpa lagi. Bye!!!”
             Aku perhatikan dia berjalan ke  arah pintu. Memang masih macam dulu. Terkengkang-kengkang macam orang baru lepas  bersunat. Tiba-tiba  datang idea nakal nak menyakat dia.
            “Raisya!”
            Dia  menoleh.
            “Zip seluar  terbuka.”
            Kelam-kabut dia memandang ke bawah.  Aku  dah berdekah-dekah ketawa. Mana nak jumpa  zip seluarnya  kalau dia  pakai skirt?
            “Acah aje! Dah, pergi balik. Besok jumpa lagi.”







Hey Mr.Spotlight! BAB 1


  Aku perhatikan mak yang sedang berbual  dengan jiran sebelah rumah. Huh! Tadi kata nak  menyapu halaman rumah. Menyapunya tak seberapa pun, sembang aje lebih. Alahai, aku  dah lambat ni. Nak panggil ke tak? Kalau  tak panggil kebulurlah aku  ke tempat  kerja nanti. Tapi takkan nak main panggil  aje? Kacau  daun pula  orang tua tu  nak bergosip.
            Aku masuk semula ke  ruang tamu, mencari sesuatu yang boleh dijadikan sebab untuk memanggil mak. Yes! Dah dapat. Aku seluk handphone  di dalam poket  seluar kemudian aku  dail  nombor  telefon rumah.  Beberapa saat  kemudian telefon rumah berdering nyaring.  Aku duduk di tempat yang agak tersorok sedikit  di  ruang tamu. Sengaja aku biarkan telefon itu  menjerit kuat.
            “Azraf! Kenapa tak tolong mak  angkat telefon tu?” Terkedek-kedek mak masuk  ke dalam rumah.  Aku cuma membalas jelingan mak dengan senyum sinis.
            “Helo  rumah Lady Diana . Nak bercakap  dengan siapa?”
            “Helo  Puan Diana, sila hantar  sarapan ke bilik 007 sekarang. Anak James Bond dah lapar  ni.”
            Mak pandang aku. Aku buat-buat main game di  handphone. Dia letak  telefon dan berjalan ke  ruang tamu. Siaplah kau  Azraf. Lady Diana dah datang bersama  tangan yang dicekak ke pinggang.  Elok saja dia  berdiri di depan aku, telinga sebelah kiri  terus  menjadi sasaran. Aku  dah gelak melambak.  Walaupun sakit, aku tahu  mak  bukannya marah betul-betul. Aku  ikut mak  ke  dapur bersama telinga yang masih dipiat.
            “Anak James Bond ya? Banyaklah kau punya James Bond. Mak nak mendapatkan berita terkini  dari jiran-jiran pun kau kacau ya? Tak bolehlah nak tengok mak kau ni senang sikit.” Piatan di telinga dilepaskan sebaik saja kami duduk di meja makan.
            “Kot ya pun nak mendapatkan berita terkini, kasi  setel dululah anak bujang mak yang seorang ni. Mak tak kesian ke tengok  orang breakfast  sorang-sorang?” Aku tunjuk muka kesian.
            Mak ketawa sambil mengusap kepala  aku. Suka sangat  tangannya landing  di situ. Diceduknya sedikit nasi goreng ke pinggan dan meletakkan dua  batang sosej  rebus di  sisi pinggan. Suapan pertama wajib dimulakan oleh mak. Memang dah jadi  tugas  rutin mak  setiap  pagi.  Aku  memang suka dimanjakan begitu. Sebab itulah aku tak  boleh bersarapan sorang-sorang kalau mak  tak  ada. Melainkan kalau terpaksa  bertugas di luar  daerah dan bermalam di  hotel, itu  sudah cerita lain.
            “Kepala tu dah togel habis  pun masih nak menempel  dengan mak.” Dia mengomel  sambil menyudu  suapan kedua ke mulut  sendiri.
            Telinga ni  dah kebal dengan rungutan mak. Biarlah mak nak cakap  apa pun.  Dia pun suka  sebenarnya  belai aku  macam tu.  Kami berdua memang tak boleh jauh.  Sebab itulah aku  ambil keputusan untuk belajar  di  dalam negara. Itu  pun di  dalam negeri  sendiri. Semua  tawaran belajar  di  luar  negara  aku  tolak mentah-mentah.  Tak sanggup  berjauhan dengan keluarga terutamanya  mak.
            “Tengahari  ni  orang balik makan tau.”
            Mak letak  sudu  di tepi  pinggan.  Dia bangun dan terus  ke peti  sejuk. Pintu peti  sejuk dibuka, dia  melihat barang-barang basah yang terdapat di dalam peti  sejuk.  Memandangkan mak dah bangun, terpaksalah aku  menyuap  sendiri  nasi goreng yang  tinggal separuh. Tak bestlah  kalau makan suap sendiri.  Feelnya  lain betul.  Sedap  lagi  kalau mak yang suap
            “Kau  nak  makan lauk apa? Abah nak makan Masak  Lemak Terung. Campur  dengan  ikn masin talang.” Mak  bercakap, tapi  dia membelakangkan aku.  Dia masih mengadap peti  sejuk. Belum jumpa  dengan bahan masakan yang sesuai  agaknya.
            “Abah tu  asyik  nak masakan bersantan aje. Semalam dah kari kepala ikan. Hari  ni masak lemak terung pula?” Aku  pun dah klon perangai  mak, suka membebel.
            “Dia  bos  besar, kan? Mak menurut perintah aje.  Tapi  semalam mak buat kari  mamak, mana ada  guna santan. Eh! Cepatlah cakap nak makan apa?”
            Pintu peti  sejuk ditutup  dan mak  duduk  semula  di  depan aku.  Mug yang berisi  air teh o  yang sudah tinggal  separuh dia  ambil. “Nak lagi tak?” tanya mak.  Belum bagi jawapan lagi  sudah kosong mug itu  dia kerjakan.  Huh! Baik tak  payah tanya!
            “Dah fikir  belum nak makan apa?” Mak mengulang soalan.
            “Emm, mak buat telur  rebus  masak sambal ajelah.”
            Mak menggendang meja  apabila mendengar  menu yang aku  bagi.Okey Azraf, siap sedia. Pasti ada benda yang nak  dia  bebelkan sebentar  nanti.
            “Tak  muak ke  makan lauk yang sama? Minggu ni  aje  selang sehari  kau minta telur  sambal.  Patutlah kentut busuk!”
            Aku gelak saja. Tak perlu  sebarang penjelasan. Biarlah cuma aku  saja yang tahu  kenapa  menu  itu sangat  melekat  di tekak  aku.  Bila  makan nasi  panas-panas  berlaukkan telur  rebus  masak sambal, serta-merta  aku akan bayangkan seseorang. Pertama kali  merasa air tangannya, hingga  sekarang buat aku teringat. Bagaimanalah rupa  dia  sekarang.  Sudah lapan tahun.  Kali terakhir  aku  melihat dia  ketika dia nak berangkat ke Pahang. Dia mendapat tawaran  untuk melanjutkan pelajaran di  sekolah berasrama  penuh  di  sana. Kalaulah terserempak sekarang, agak-agaknya  dia masih  ingat aku tak?





April 23, 2015

E-BOOK SULUNG ~ APA DAH JADI?


                  Hai hai  hai!!!!!

                 Lamanya  tak merapu kat sini. Teaser-teaser pun dah lama  tak bertepek  kat sini  kan? Takpe, kali ni  bukan teaser. Tapi  saya  ada  baby  baru. Baby yang ni  spesel  sikit  sebab dia  tak  boleh dipegang tapi  boleh dilihat  dan dibaca.

              Alhamdulillah berkat  tunjuk  ajar  beberapa  orang  kawan dan abang Google, maka baby  ebook yang pertama telah berjaya saya hasilkan. Kenapa  tak keluarkan dalam versi cetak? Siapa kata tak  keluar? Inshaa Allah,  kalau  ada rezeki merasalah kita  semua  peluk Abang Joe  dalam versi  cetak.  Bila? Itu  saya tak berani  nak janji. Sama-samalah kita  doakan yang terbaik untuk  Abang  Joe  ya.

          Kalau ada  yang berminat  nak memiliki  Abang Joe  dalam versi 'tenung ' ni, bolehlah baca semua  maklumat yang tertera  kat  dalam gambar  tu. Senang, murah dan cepat. Harap sangat  korang dapat  sokong usaha  pertama saya  ni. Masih banyak lagi cerita-cerita  yang belum keluar  dan saya  memang sangat tak sabar  nak bagi  korang  baca cerita-cerita tu.  Cewah! Macamlah  best sangat  cerita-cerita tu  kan?

             Terima kasihlah pada  yang  dah beli. Mudah-mudahan  Allah membalas  segala  budi  baik  korang dengan anugerah  yang setimpal. Tanpa  korang, makcik montel  ni  mungkin masih berangan sorang2 aje  kat  rumah sambil gunting lada  kering untuk  buat  sambal  nasi  lemak. Hahahaha! Merapu  sudah!

        Oklah, sampai  sini dulu. Jangan lupa  untuk  miliki  Abang Joe  dalam versi  ebook ya. Tatataaaaaaa!!!!


April 03, 2015

Please...Don't be GELOJOH! BAB 3


                    Seminggu  kemudian...
            Wanda dan Dina memerhatikan Madam Jenny, pengurus  cawangan restoran makanan segera  itu  memeriksa  fail laporan kerja mereka berdua. Megan juga turut  berada  di situ. Serius  wajah kedua-duanya. Sesekali  ternampak  kerutan-kerutan di  dahi Jenny. Setelah hampir sepuluh minit  berdiri, barulah Madam Jenny  menyuruh  Wanda  dan Dina duduk. Megan keluar dari  bilik  itu  membawa fail Wanda  dan Dina.
            “Dina, seronok  tak  kerja di bahagian kaunter?”
            Dina memandang Wanda tatkala  mendengar  soalan yang  diajukan oleh Jenny.
            “Setakat hari  ini  masih okey  Madam.”
            Madam Jenny memandang Wanda. Gadis itu  menelan air liur beberapa  kali.  Melihat  wajah serius  Madam Jenny  membuatkan perut  Wanda  tiba-tiba memulas. Entah kenapa  dia dapat merasakan sesuatu yang kurang  baik akan menimpa dirinya  sebentar nanti.
            “Kamu  ada  masalah tak Wanda?”
            “Tak ada. Saya  baik aje  dengan semua  staff.” Laju  jawapan meluncur keluar  dari  mulutnya.
            “Bukan dengan staff lain. Saya  maksudkan dengan kerja-kerja  awak di  kaunter. Dah seminggu awak kat  situ. Hampir setiap  hari,  ada  saja  duit yang  short. Bila nak pandai  ni?”
            “Tapi  saya dah ganti  balik  duit  yang  short tu.” Wanda membela diri. Memang dia akui telah banyak  melakukan kesilapan terutamanya  ketika  memulangkan baki duit  kepada pelanggan. Ada pelanggan yang jujur, memulangkan semula duit yang terlebih tetapi  ramai  yang  terus  cabut.
Kitchen crew  juga banyak complaint  pasal  awak. Ikhwan kata banyak kali  awak  salah ambil  pesanan. Rugilah company  macam ni.” Madam Jenny menepuk peha sendiri. Jelas, dia  sangat tidak berpuas hati  dengan Wanda yang kuat melawan.
Wanda tersentak.  Tetapi  bukan kerana disergah  Madam Jenny. Tak sangka,  Ikhwan juga terlibat. Depan Wanda  bukan main baik. Biar berkali-kali  Wanda melakukan kesalahan, Ikhwan  cuma tersenyum  dan menggeleng-geleng. Paling tidak pun dia akan menegur  dengan intonasi  suara yang sangat  lembut. tergamak  dia menikam Wanda dari  belakang.
“Ikhwan cakap  saya tak pandai  kerja?”  Bergetar  suara  Wanda. Bergenang airmatanya  menahan sedih.
“Awak bukan tak pandai kerja. Tapi  awak  tak fokus  pada kerja  awak. Ini  baru  laporan dari  Supervisor dan Chief  Cook. Kalau  ada pelanggan  yang complaint  lepas ni  macam mana? Awak nak  kerja ke  tak?”
Kalau  boleh, sekarang juga dia  nak berhadapan dengan Ikhwan. Lelaki  itu  memang pelakon terbaik.  Timbul pula  rasa menyesal  di  hati  Wanda kerana berkenalan dengan lelaki  itu. Wanda  menarik nafas  dalam-dalam. Ditenungnya  Madam Jenny dengan pandangan yang tajam.
“Awak tak jawab soalan saya,” Jenny  mengingatkan Wanda.
“Nak.. saya nak kerja lagi kat sini. Please Madam. Saya  janji akan buat kerja elok-elok. Kalau  tidak...” Wanda memandang Dina. Tiba-tiba dia kehilangan kata. Apa  taruhan yang boleh ditawarkan pada  Madam Jenny? Cabaran Wahyuni  masih terngiang-ngiang di telinga. Apa  jadi  sekalipun dia  harus  bertahan lebih lama  di  sini.
“Kalau tidak, apa? Awak cuma ada  dua  pilihan.  Samada  tukar department atau berhenti  kerja.”
Terbangun Wanda mendengar  kata-kata  Madam Jenny. Wanita Cina itu  cuma menjongket kening. Wanda pasti  keputusan itu  adalah muktamad. Sambil  membetulkan topi  di  kepala, Wanda mendengus  nafas kasar.
“Bagi  saya masa sampai cukup  bulan. Kalau  Madam masih tak  puas hati dengan kerja  saya, saya  sendiri akan berhenti kerja.”
Wanda terus  keluar. Tak  sanggup  lagi dia  berlama-lamaan di  situ. Hatinya sakit. Tekadnya  untuk bekerja  di  situ sudah berubah sekarang. Ikhwan memang tidak boleh diharap. Kini  dia  bertahan hanya  untuk  menyahut  cabaran Wahyuni. Selepas  sebulan, tak  ingin dia menjejakkan kaki  ke  sini  lagi.
Wajah pertama yang tertangkap  di matanya sebaik sahaja  keluar  dari  pejabat Madam Jenny adalah Megan. Dia tahu, gadis yang berasal dari  Sabah itu  tidaklah segarang mana. Cuma mulutnya sahaja suka mengeluarkan ayat-ayat yang berbisa. Wanda  mendekati  Megan sambil  mengikat tali  apron di pinggang.
“Terima kasih,” ucap  Wanda.
“Ha?” Megan terlopong, tidak faham apa dengan apa yang Wanda  cuba sampaikan.
Tanpa  penjelasan, Wanda hadiahkan Megan dengan senyum sinis  dan terus  masuk ke kaunter. Dina yang sudah  lama berada di  situ  langsung tidak dipedulikannya. Ada satu  jam lagi  sebelum waktu perniagaan sebenar. Wanda ambil  kain basah yang telah diperah lalu membersihkan kaunter. Sambil  mengilatkan  skrin monitor dia  membaca satu-persatu  menu-menu yang tertulis. Terkumat-kamit mulutnya menyebeut nama-nama makanan  itu. Wajahnya masih masam mencuka.  Seorang pun tidak berani  menegurnya.
Perubahan mendadak Wanda disedari Ikhwan yang sedang sibuk melakukan persiapan-persiapan di dapur. Hairan dia  melihat tingkah gadis itu. Kebiasaannya pada  waktu-waktu  begini  Wanda akan mundar-mandir di dapur, cuba memancing perhatiannya. Tapi  tidak hari ini. Suara  manja gadis itu  belum didengari  hari  ini.
“Selamat  pagi,” ucap  Ikhwan.
Ucapan itu  secara  umum. Tapi matanya terarah pada Wanda yang sedang menuang  ais batu ke dalam bekas. Gadis itu  langsung tidak memandangnya.
“Pagi  Ikhwan,” jawab Dina.
Ikhwan bagi isyarat pada Dina supaya  beredar  sebentar  dari  situ. “Err... Wanda. Tolong  susunkan ayam-ayam ni,” suruh Ikhwan teragak-agak.
Tanpa  sebarang bunyi, Wanda berpaling.  Penyepit  makanan yang panjang Wanda  ambil  lalu  mula  menyusun ayam-ayam yang telah digoreng oleh Ikhwan di atas  para. Laju  dia  melakukan kerjanya. Tidak seperti  selalu. Susunan ayam-ayam goreng juga nampak lebih kemas  dan mengikut saiz.
“Senyap  aje  hari  ni.  Sakit mulut ke?” Ikhwan cuba berlawak. Tiada reaksi  dari  Wanda.
“Tak  sihat ke sayang?”
            Kerja  Wanda terhenti. Ikhwan ditenung tajam. “Mind your language!”
            Beberapa  orang rakan sekerja menoleh ke arah Wanda. Terkejut  Ikhwan mendengar  suara Wanda yang agak kuat. Bukan itu  yang dia harapkan dari gadis itu.  Mana pergi  Wanda yang manja, suka  mengeluh dan gedik itu? Oleh kerana tidak mahu mereka berdua  menjadi perhatian, Ikhwan segera  beredar  ke  dapur. Perubahan mendadak Wanda membuatkan Ikhwan tidak senang duduk. Apa  yang telah terjadi pada  gadis itu?
            Wanda selesai dengan kerjanya. Dia pergi ke kuanter semula  dan kembali  menghafal  menu-menu yang tertera  di  monitor. Dia nekad, hari ini dia akan pastikan tiada sebarang kesilapan  yang akan berlaku. Sambil  menghafal, sesekali dia  melirik  pada jam di tangan. Lagi  setengah jam pintu  restoran akan dibuka.
            “Kau okey tak ni  Wanda?” Dina menghampiri. Lengan Wanda  dipegang lembut. Rasanya  dia  tahu kenapa  gadis itu berubah tingkah.
            “Okey aje...” Wanda  menjawab malas. Perlahan-lahan dia menolak tangan Dina.
            “Tapi nampak macam tak okey ni. Kau bengang dengan hal tadi ya?”
            Wanda berpaling. Mata yang mula berbahang dikelip-kelipkan beberapa  kali. Akhirnya  ada juga yang faham perasaaannya ketika  itu. Wanda  tunduk. Berkali-kali  dia  menarik nafas, cuba  mengawal rasa  sebak  yang sudah mula menjengah. Dina menggosok-gosok belakang badan Wanda. Perbuatan itu  menyebabkan  mata Wanda semakin berpasir. Sebelum dia menangis  di situ, lebih baik  dia beredar.
            “Nak ke mana tu?” laung Dina.
            “Aku nak buang  air  sekejap. Kaunter  dah buka nanti  tak  boleh nak  bergerak ke mana-mana. Bukannya  boleh ditinggalkan sekejap  kaunter  tu. Takut  ada  orang mengadu  aku  curi tulang pula nanti!” Keras  suara  Wanda menjawab pertanyaan Dina.
             Sekali  lagi  Wanda  menarik perhatian kawan-kawannya. Sempat lagi dia  menjeling Megan yang sedang membuat  pemeriksaan akhir  di  dapur. Sengaja  dia menghentak kaki  kuat-kuat, mengekspresikan rasa  hatinya ketika  itu. Ikutkan hati  mahu  saja dipijak-pijaknya  muka  Megan. Muka  sombong, berlagak dan susah nak  senyum.
             Wanda mengunci  diri di dalam tandas. Melihat diri  sendiri di  dalam cermin. Dia melawan tenungan mata sendiri.  Turun naik dadanya  menahan amarah . Airmata yang puas  diempang akhirnya  mengalir  laju, diselangi dengan esakan yang perlahan.  Wanda  menekup mulut, cuba mengawal suara. Malulah dia kalau  diketahui  oleh rakan-rakan yang lain.
            “Don’t  give up  Wanda!” Dia meniup  semangat untuk  diri sendiri. Tiga minggu  tidak lama. Sekurang-kurangnya dia dapat buktikan pada Wahyuni yang dia boleh bekerja lebih lama dari jangkaan  kakak sulungnya itu.
            Puas  menangis, Wanda basuh muka. Tak peduli dengan mukanya yang masih basah dan matanya yang bengkak dia terus keluar dari situ.
            “Wanda.”
            Tangannya  tiba-tiba ditarik.  Terdorong badannya  mengikut  Ikhwan ke sudut bilik  sejuk beku.
            “Apa ni? Lepaslah!” Wanda meronta. Pegangan Ikhwan semakin kemas.
            “Saya jerit  nanti,” ugut  Wanda.
            “Saya minta maaf...”
            “Lepas!”
            “Kalau awak jerit, nama awak juga yang naik  nanti. Ini  kawasan kerja saya.” Ikhwan pula mengugutnya.
            “Bagus! Ini perangai  sebenar awak rupanya. Macam duit  syiling. Depan saya bukan main baik.  Sampai  hati  awak bagi laporan negatif pasal saya pada  Madam. Kalau  tak suka  saya bekerja  kat sini  cakap  terus-terang. Saya boleh kerja kat  tempat lain.” Sambil membebel, Wanda masih berusaha melepaskan tangannya.
            “Ada sebabnya  saya buat macam tu. Dengar..”
            “Ikhwan! Fries dah siap  ke belum?” Megan menjerit di luar  bilik sejuk  beku.
            Dengan sekuat  tenaga Wanda merentap  tangannya  dari pegangan Ikhwan.  Dia  berjaya dan terus  keluar dari  situ.  Mujur  Megan tidak menunggu di luar  bilik. Kalau  tidak pasti  kecoh satu  restoran. Tapi Wanda bertembung juga dengan supervisor yang cengeng  itu  ketika  dia masuk ke  kaunter.
            “Ingat, hari ini  jangan ada  duit yang short lagi. Kalau tidak...”
            “Aku tahu  apa  yang aku buat. Tak payah nak cakap berulang-kali. Jangan berlagak  sangat dengan jawatan yang tak seberapa tu. Pangkat kau tu  cuma bernilai  di dalam restoran ni aje. Kalau kau  berjalan-jalan kat  luar  dengan baju  biasa, rasa-rasanya baju  yang aku pakai  lebih mahal dari  kau. Tepilah!”
            Sengaja  Wanda melanggar bahu Megan. Dengan wajah yang merah padam, Wanda membetulkan topi  di  kepala. Kemudian diambilnya  gelas minuman dan meletakkan beberapa  ketul ais. Mesin minuman berkarbonat  ditekan. Dengan  laju  Wanda menyedut minuman itu. Tak  peduli dengan pandangan rakan-rakan lain. Hari ini dia  nekad. Jangan ada  sesiapa pun yang cuba cari  pasal dengan dia. Cakap  Madam Jenny saja akan diguna pakai hari ini.
            “Boleh ke kau handle kaunter dalam keadaan macam ni? Aku risaulah Wanda.” Dina cuba jadi pendamai.
            “Apsal  pulak  tak  boleh? Sebab kau tengok  muka  aku  macam orang baru  menangis? Atau  kau takut aku  curi  duit dalam cash machine kau untuk cover   cash machine  aku  yang bakal  short nanti?” Wanda tunjuk  senyum sinis.  Dina  terdiam. Mungkin itu  langkah yang terbaik untuk menyejukkan hati  Wanda.
            Waktu perniagaan bermula.  Pelanggan mula  masuk. Karakter Wanda  berubah serta-merta. Sehabis  lebar dia melemparkan senyuman pada pelanggan-pelanggan yang berurusan di kaunternya.
            “ One piece of Double Chicken Burger Without Cheese!” Wanda menjerit kuat. Semua  yang berada di  bahagian dapur menoleh padanya. Wanda  senyum.  Sekarang baru mereka tahu  betapa kuatnya  suara  Wanda.
            “Five minutes!” Ikhwan menyambut  laungan Wanda.
             Tiada respons dari  Wanda. Tangannya lincah menyiapkan makanan yang dipesan oleh pelanggan. Usai pelanggan membayar harga makanan, Wanda meletakkan tag bernombor di dalam dulang.
            “Encik duduk  dulu. Lima minit  lagi  burger  Encik siap,” ucap Wanda lembut. Senyum tidak  dilupakan. Pelanggan itu  cuma mengangguk dan berlalu pergi sambil menatang dulang yang penuh dengan makanan.
            Wanda menarik  nafas  puas hati. Dikerlingnya Dina di kaunter  sebelah. Gadis itu  menaikkan ibu  jari  tanda  bagus. Wanda mencebik.  ‘Baru sekarang nak bagi  moral support?  Pigidah!’ Wanda mengomel  di dalam hati.
            Pelanggan semakin ramai.  Wanda masih seperti  tadi. Suaranya antara yang paling kuat hari  ni. Megan langsung tak  berani  masuk ke kaunter. Dia cuma memantau  dari jauh. Mungkin kerana hari  ini dia  melihat keyakinan  Wanda agak  berlebihan dari hari biasa.
            “Ikhwan!” Wanda memanggil dari depan kabinet makanan.
            “Yes darling?”
            “Darling kepala hotak kau! Burger tadi  dah siap  ke belum? Kau cakap tadi  lima minit  kan?” Wanda bercekak pinggang.
            “Dah siap, tengah bungkus.” Ikhwan menjawab perlahan. Terkejut betul dia. Tak sangka  Wanda yang lemah lembut akan berubah sebegitu rupa. Besar sangat ke kesalahannya?
            “Apsal  lembap  sangat ni? Popcorn nugget kat dalam tray ni dah nak habis. Kenapa tak ada orang yang top-up?Sos  whipped potato tu  dah sejuk. Budak-budak kau  tak buat  kerja ke? Megan, dari kau duduk aje  kat  situ  jadi patung bernyawa baik  kau tolong-tolong sikit budak-budak dapur ni. Jangan pandai nak cari  kesalahan orang aje!”
            Wanda kembali ke kaunter. Puas hatinya dapat  menghamburkan kemarahan pada  Ikhwan dan Megan. Cukup  pandai  dia  mengawal  emosinya ketika  meladeni  pelanggan. Senyumnya  nampak  manis  sekali. Tetapi tatkala  dia berpaling  untuk  menyiapkan pesanan, wajahnya  berubah menjadi  masam-semasamnya.
            Tak  ada sesiapa pun yang berani  berbual-bual  dengan Wanda ketika  waktu  rehat. Dia  pun seperti tidak kisah dibiarkan keseorangan. Topi yang menutup  kepala sepanjang bertugas  tadi  dilempar ke meja. Minuman bergas  di dalam gelas disedut kasar. Sudah tiga gelas  air  berkarbonat  itu  masuk  ke dalam perutnya. Wanda  tidak peduli. Marah punya  pasal dia  abaikan kesihatan perutnya.
            Sorry, tak dapat  rehat  bersama hari  ini. Saya  ada  hal. Be cool okay. Miss you  so  much.
            Terjuih mulut  Wanda  membaca mesej yang baru  diterima daripada  Ikhwan. Usaha  lelaki  itu  untuk  memujuknya  menggunakan ayuat-ayat  cinta  ternyata  tidak membuahkan hasil. Wanda matikan telefon. Dia  tidak  mahu  sebarang gangguan. Anginnya masih sama sehinggalah waktu  kerjanya bermula semula. Tapi dia sudah tidak terjerit-jerit seperti  sebelumnya. Tidak perlu  lagi  berbuat  demikian kerana  Madam Jenny  sudah masuk ke  pejabat. Takkanlah dia nak tunjuk  perangai  di depan ketuanya. Menempah  bala  namanya tu.
            “Sss...aduh!” Wanda memegang perut.
            “Kenapa?” tanya Dina.
            Wanda tunduk. Dia tahu gastriknya  sedang menyerang. Nafas  ditarik dalam-dalam untuk  meredakan sebu  di  perut. Mujur tidak  ramai  pelanggan ketika itu  dan waktu  kerjanya juga  sudah hampir  tamat.
            “Argh!!!”
            Wanda  mencangkung pula.  Berpeluh-peluh mukanya menahan sakit. Dina  menggamit Megan yang sedari  tadi cuma memandang saja dari  ruang dapur. Dengan bantuan beberapa orang rakan yang lain, Wanda  dipapah keluar  dari kaunter.
            “Gastrik ke?” Ikhwan muncul. Di tangannya  sudah tersedia  sebotol  minyak  angin lalu dihulur  pada  Wanda. Yang lain-lain mula beredar melihat kehadiran Ikhwan di  situ.
            “Ada bawa ubat tak?” tanya Ikhwan. Kerisauan jelas  terpancar di  wajahnya.
            “Kat  rumah,” balas  Wanda.
            “Jom saya  hantar  awak  balik.”
            “Waktu  kerja belum habis.” Wanda mengingatkan.
            “Tak apa.  Nanti  saya suruh Megan adjust.
            Ikhwan bangun dia  sudah bersedia untuk memapah Wanda  keluar dari situ. Tapi  Wanda  menolak  tangan Ikhwan yang sudah melingkar  di  pinggangnya  dengan kasar. Satu  jelingan tajam dihadiahkan kepada lelaki  itu.
            “Saya belum nazak lagi. Tak payah nak berbaik-baik  dengan saya.  Abah saya datang jemput  saya  kejap lagi.” Wanda masih berdegil.
            “Please sayang. Simpan marah awak tu untuk hari ini. Besok-besok boleh sambung marah saya balik. Abah awak  selalu  datang lambat. Bukannya  saya tak tahu. Marilah...”
            Wanda  cuba berkeras. Tetapi  perutnya  yang semakin tidak  mahu  bekerjasama  menyebabkan Wanda terpaksa beralah dengan pujukan Ikhwan. Wajahnya semakin pucat  ketika mereka sudah bersedia untuk  bergerak  pulang.
            “Kita pergi  klinik  nak? Muka  awak pucat betul  ni.”
            “Tak  payah.  Ubat  saya ada kat rumah. Lagipun saya  ada alahan. Cuma family   saya saja yang tahu  tentang itu.”
            Ikhwan terdiam. Mati  akalnya untuk  memujuk Wanda. Mereka bungkam ketika  di dalam perjalanan. Dalam kesakitan, Wanda masih mampu  menunjukkan arah untuk balik ke rumah. Beberapa  kali  dia menekup  mulut untuk menahan isi perut  yang  ingin keluar. Namun ketika mereka betul-betul  sudah berhenti  di depan pintu  pagar, Wanda sudah tidak mampu  bertahan. Elok saja pintu  kereta  dibuka, dia  terus  berlari  ke longkang untuk mengeluarkan bahan-bahan yang sedang menggodak  perutnya.
            “Dah tahu ada gastrik, awak pergi  minum air  bergas tu  kenapa? Tengok, siapa  yang susah sekarang?” Ikhwan membebel. Tangannya  sudah mengusap-usap  lembut  belakang Wanda. Tak  ada  niat  lain, dia cuma ingin membantu  gadis  itu  melegakan tekaknya.
            “Kau  berdua buat apa ni?”
            Terloncat Ikhwan beberapa  tapak  ke belakang. Wanda  berdiri  tegak, Tapi  cuma sekejap. Dia kembali tunduk dan muntah lagi.  Wajah garang abah tidak berjaya  menakutkannya  ketika itu.
            “Wanda kena gastrik pakcik,” ujar Ikhwan  agak  perlahan.  Menggigil lututnya  melihat  wajah abah yang menyinga. Bapa  mana yang tidak melenting apabila  melihat  anak  daranya  disentuh oleh lelaki  yang bukan mahramnya, kan? Dia pula mengambil alih tempat  Ikhwan mengusap  belakang  Wanda.
            “Tak makan ke  kat tempat kerja tadi? Sibuk  sangat sampai  tak  sempat nak makan?” Abah mengerling Ikhwan. Dia  memerli lelaki  itu  sebenarnya.
            “Maaf, saya  tak sempat  nak  minta izin pakcik untuk bawa Wanda balik.  Dia minum air bergas  tadi...”
            Abah mengemam bibir. Wanda sudah tidak pedulikan perbualan antara  kedua-dua lelaki  itu. Mak  yang baru sahaja  keluar memapah  Wanda masuk  ke  dalam rumah. Ikhwan yang berada  di  situ  langsung tidak dipedulikannya. Lelaki itu  cuma mampu memandang  Wanda hilang di  balik pintu  utama.
            “Err.. saya balik dulu  pakcik.”  Ikhwan menghulur  tangan. Wajah  abah  sudah  tidak sekeruh tadi. Huluran tangan disambut.
            “Terima  kasih. Tak nak masuk dulu.” Abah berbasa-basi.
            “Tak apalah.  Pakcik uruskan Wanda dulu.” Ikhwan menolak dengan sopan.
            Ikutkan hatinya  memang mahu  melihat  lagi  keadaan Wanda.  Seharian gadis itu  mogok  suara dengannya. Semuanya  itu  berpunca dari  perbuatannya juga. Namun Ikhwan punya alasan tersendiri  kenapa  dia  berbuat demikian. Ada  kesempatan nanti, dia  akan beri  penjelasan pada  gadis  itu. 

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.