Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 02, 2014

APA DAH JADI? BAB 14

     
              Tiga hari lagi, genaplah sebulan aku bekerja di sini. Dari kaunter ke front desk. Kemudian beralih pula ke bahagian current account. Setakat hari ni, aku masih kekal sebagai Current Account Officer. Seronok juga beralih-alih bidang kerja. Macam-macam benda aku belajar dan makin ramai rakan-rakan sepejabat yang aku kenal. Aku masih kekal sebagai penyewa bilik di rumah Yassin. Sekarang dah pandai bawa diri. Tak seperti awal-awal masuk ke rumah dia dahulu, macam rusa masuk kampung.
            Interkom di hujung meja berbunyi. Aku beri isyarat pada Kak Hanim yang berada di meja sebelah untuk melayan pelanggan yang seterusnya. Cuma kami berdua saja yang berada di situ. Yang lain-lain sudah keluar lunch.
            “Johaimi... masuk bilik saya kejap,” arah Encik Afiff, Branch Manager kami.
            Aku letak telefon. Bilik Encik Afiff yang berada dihujung pejabat aku pandang. Pintunya bertutup rapat. Kak Hanim kerling aku sekilas. Apahal pula Pengurus Cawangan nak jumpa aku ni? Janganlah dia cakap aku tak layak bekerja di sini. Setahu aku, sepanjang berada di bawah pengawasan Yassin tak pernah pula aku melakukan apa-apa kesilapan.
            “Kenapa?” tanya Kak Hanim.
            “Bos panggil.” Jawapan aku antara dengar dan tidak.
            “Habis tu kenapa tak pergi?” Kak Hanim menekan butang nombor di tepi skrin komputer. Angka giliran untuk pelanggan yang seterusnya tertera di monitor.
            “Saya ada buat salah ke kak?”
            Kak Hanim senyum senget. Diambil buku akaun yang dihulur oleh pelanggan yang baru saja duduk di depannya. Aku biarkan dia buat kerja sekejap. Telefon di meja berbunyi lagi. Aduh! Mesti Encik Afiff yang panggil aku.
            “Angkat ajelah telefon tu,” tegur Kak Hanim.
            Ketika gagang diangkat, Azie pula muncul di pintu masuk berdekatan kaunter Front Desk. Pasti dia dari tingkat atas. Aku pura-pura tunduk, konon tengah sibuk buat kerja. Minta-minta dia tak berhenti di depan meja aku. Doa termakbul. Azie bukan setakat tak berhenti menegur malah langsung tak pandang aku. Hmm, masih bengang sebab aku tak pergi ke surprised party dia agaknya. Lama juga dia ‘buat muka’ dengan aku. Bagus juga macam tu. Aman sikit rasanya. Kadang-kadang teringin juga nak berbual dengan dia. Tapi takut dia fikir aku nak mengurat dia pula. Dengan Azie ni bukannya boleh bagi peluang sikit. Nanti mulalah dia naik tocang.
            “Joe!”
            Eh, baru perasan aku biarkan Encik Afiff bercakap sorang-sorang di dalam talian.
            “Ya... ada kat sini Encik Ariff.” Aku cuba kawal gugup. Bukan takutkan Encik Afiff tapi terperanjat sebab kena sergah tadi.
            “Tengah attend customer ke?” tanya Encik Afiff.
            “Give me five minutes Encik Afiff. Nanti saya masuk.”
            Aku terus letak gagang telefon. Bos yang nak jumpa, tapi aku pula yang suruh dia tunggu. Bertuah punya pekerja, kan? Hati makin tak sedap bila ternampak Azie mengetuk pintu pejabat Encik Afiff. Dia pun dipanggil juga ke? Ketika dia membuka pintu, Azie menoleh ke arah aku. Melalui isyarat matanya saja, aku terus bangun dan melangkah laju ke pejabat Encik Afiff
            “Encik Afiff panggil awak juga ke?” Aku berbisik perlahan ketika sama-sama masuk ke bilik Encik Afiff.
            “Yalah. Apa? Awak ingat saya ni dah tak ada kerja lain ke nak masuk pejabat orang?”
            Uik, agak kasar jawapan Azie. Dia terus menarik kerusi di hadapan meja Encik Afiff. Langsung tak pelawa aku duduk sekali. Sah, memang dia masih kecil hati dengan aku. Lantak dialah. Lebih bagus begitu dari dia menggedik dua puluh empat jam di depan aku. Azie menyilang kaki. Pergh!! Gebu giler kulit peha dia. Berkali-kali aku telan air liur. Risau juga nak duduk sebelah Azie. Mata aku ni macam dah tak boleh beralih pula dari peha dia.
            “Johaimi...”
            Encik Afiff berjaya mengalihkan tumpuan aku. Dia senyum nakal. Aku pun sengih sama. Apa boleh buat? Mata lelaki, kan? Dah dihidangkan dengan pemandangan yang menarik. Percuma pula tu. Apalagi? Menjamu matalah jawabnya.
            “Ada apa ya, Encik Afiff?” Aku mulakan perbualan. Kalau boleh nak selesaikan cepat urusan di dalam pejabat itu. Bimbang kalau-kalau mata ni merayap ke tempat lain pula. Dua lelaki dengan seorang wanita dalam bilik ni, macam-macam boleh terjadi.
            “Saya nak hantar awak berdua berkursus di Port Dickson.”
            “Port Dickson?”
            Aku dan Azie menyoal serentak bersama dua reaksi yang berbeza. Azie terkejut. Aku pula dah senyum lebar. Serta-merta terbayang wajah mak. Port Dickson dengan Felda Pasoh 3 tak jauh mana pun. Boleh aku balik ke kampung sekejap, jenguk mak dan Zarith nanti.
            “Amboi! Seronoknya dia. Kita pergi berkursuslah. Bukan makan angin,” tegur Azie. Wajahnya nampak kurang senang dengan reaksi yang aku tunjukkan.
            “Dah dekat dengan kampung saya tu. Berapa hari Encik Afiff? Bila nak pergi?” Aku menyoal lagi. Tak sabar nak sampaikan khabar gembira ini pada mak.
            “Nah, ambil sorang satu. Tarikh, tempat penginapan dan tempat berkursus semua tertulis kat dalam surat tu.”
            Surat bersampul putih yang dihulur Encik Afiff aku ambil. Azie lambat-lambat membuka surat itu. Dia seperti berat hati nak pergi. Suka hati dialah. Kalau Encik Afiff suruh aku pergi seorang pun aku tak kisah. Balik ke kampung sendiri. Siapa tak nak, kan?
            “Kenapa saya pula yang kena pergi? Saya kan dari bahagian admin?” Azie menyoal setelah sekian lama membisu.
            “Sebab kursus tu pun ada kena-mengena dengan kerja-kerja awak juga. Lagipun awak dah  lama tak jalan-jalan, kan? Kali terakhir awak pergi berkursus kat mana Azie?” tanya Encik Afiff.
            “Melaka,” jawab Azie sepatah. Dia mengeluh kasar. Aku dan Encik Ariff berpandangan. Pelik betul Azie ni. Orang dah bagi peluang bekerja sambil bercuti dia nak jual mahal pula.
            “Kenapa Azie? Selalunya awak tak kisah pun kalau dihantar berkursus.”
            “Dulu memang tak kisah Encik Afiff, sebab saya pergi dengan orang yang suka berkawan dengan saya. Tapi kali ni kena pergi dengan orang sombong! Ganti dengan orang lainlah.”
            Tak semena-mena aku gelak melambak. Encik Afiff pun turut sama ketawa berjemaah dengan aku. Muncung Azie semakin panjang. Ditepuknya meja sekuat hati. Aku dan Encik Afiff dipandangnya silih berganti. Muka dah merah padam. Rasanya kalau dia tunggu lama sikit di situ pasti ada babak hujan airmata sebentar lagi.
            “Mana pergi Azilawaty yang saya kenal tu?” Encik Afiff bertanya bersama sisa tawa yang masih ada.
            Aku tekup mulut. Cuba hentikan tawa sendiri walaupun hati masih berasa lucu dengan tingkah Azie. Azie tidak menjawab. Yang kedengaran cuma bunyi jemari runcingnya yang ditarik-tarik. Meletup-letup bunyi sendi-sendi jemari Azie. Beberapa ketika kemudian, suasana tenang kembali. Namun Encik Afiff masih tersenyum nakal merenung Azie yang masih cemberut.
            “Azie, jangan campurkan urusan personal dengan hal kerja. Saya hantar awak ke sana sebab awak berkelayakan. Johaimi pula masih baru. Dia perlukan lebih banyak pendedahan di sana nanti.”
            “Yalah, you are the boss! Ada apa-apa lagi tak? Saya banyak kerja kat atas tu.” Azie dah bangun. Encik Afiff mendepang tangan tanda membenarkan dia keluar dari bilik itu.
            “Joe...” Encik Afiff memanggil sebelum sempat aku mengikut langkah Azie.
            Pintu aku tutup  kembali. Tak berniat pun nak duduk kembali di kerusi, aku tunggu saja arahan Encik Afiff di situ.
            “Semua urusan pendaftaran dan tempahan bilik hotel akan Azie uruskan nanti. Lepas kursus terus balik sini. Jangan bawa lari anak dara orang pula.”
            Sekali lagi kami gelak melambak. “Terima kasih Encik Afiff sebab hantar saya ke PD. Bolehlah saya balik jenguk mak dan adik saya sekejap.”
            “Dan... bawa balik calon menantu!”
            Terbeliak mata aku bila Encik Afiff cakap begitu. Adakah Azie yang dia maksudkan? Eeee...tak mungkin!
            “Saya dah ada calon Encik Afiff. Better than her...” Perlahan suara aku membuat kenyataan palsu. Biarlah. Aku tak mahu digosipkan dengan Azie. Sementelahan hati aku masih ada Durani. Walaupun.... Ah!!! Pedihnya  nak terima kenyataan yang aku dah solo sekarang.
            “Patutlah dah tak minat nak tengok orang lain. Tak apalah. Apa-apa pun, selamat berkursus dan bercuti.”
            Aku  keluar dari pejabat Encik Afiff dengan senang hati. Rupa-rupanya lebih senang berbohong dari mengungkap kata-kata jujur. Tak sabarnya nak balik kampung. Aku bulatkan tarikh di kalendar yang terletak di atas meja. Tiga hari lagi berangkatlah aku ke Port Dickson. Mak, Joe dah rindu gulai lemak cili api ni...
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Helo Johaimi... Awak dah bergerak ke?”
            “Belum lagi. Tayar kereta ni pancit pula. Tayar spare pun tak ada angin.”
            Panas telinga dengar tawa mengekek Azie di dalam talian. Kalau dia ada di depan aku sekarang memang aku plaster mulut dia yang selalu bergincu warna merah menyala tu. Orang tengah bengang, dia boleh gelak pula. Dah pukul lapan ni. Pukul berapa nak sampai ke PD ni? Kedai tayar pun belum ada yang buka masa ni.
            “Siapa ada kat rumah?” tanya Azie.
            “Semua dah pergi kerja. Rayqal membuta lagi, baru balik kerja pagi tadi.”
            “Okey, bye...”
            Azie terus matikan panggilan. Bengong ke apa perempuan ni? Telefon aku semata-mata nak tahu siapa ada di rumah? Jangan-jangan...
            Tiiinnn!!!
            Belum habis cakap, kereta Azie dah berada di depan pintu pagar. Dia keluar dan berpeluk tubuh di tepi kereta. Muka dia biasa-biasa saja. Aku campak spanar ke dalam bonet dan terus ke pagar. Azie senyum sikit bila aku bukakan pintu pagar kecil untuk dia.
            “Tak payah masuklah. Karang tak pasal-pasal kena ‘nikah free’. Jomlah. Lambat pula kita sampai PD nanti.” Azie dah buka semula pintu kereta.   
            “Kedai tayar belum buka lagi, macam mana nak tukar tayar? Atau, awak nak pinjamkan tayar ganti awak?”
            “Kalau saya bagi tayar ganti saya, jadi apa-apa hal kat tengah-tengah jalan nanti macam mana? Ambil ni...”
            Azie baling kunci kereta. Mujur sempat sambut. Dia terus beralih ke tempat sebelah pemandu. Eh, dia nak aku sekereta dengan dia ke? Adoi! Bahaya ni. Perjalanan makan masa berjam-jam. Boleh jamin ke takkan terjadi apa-apa kalau aku sekereta dengan Azie nanti?
            “Azie...” Aku panggil dia sebelum dia memboloskan diri ke dalam kereta.
            “Apa?”
            Teragak-agak juga nak bertanya ni. Salah tanya nanti takut dia terasa hati pula. Tapi serius, memang aku keberatan nak sekereta dengan dia. Cadangnya lepas selesai kursus, aku nak balik ke Felda Pasoh 3 sekejap, nak menjenguk mak dan Zarith. Kalau aku tumpang kereta Azie, alamatnya tipislah peluang untuk aku balik ke kampung.
            “Awak takut buah hati awak marah ke? Eh, Johaimi. Saya ni bukan jenis perampaslah. Kita ni nak berjalan jauh. Awak mungkin dah biasa memandu lama-lama tapi saya tak. Kalau kita sekereta, sekurang-kurangnya boleh bergilir-gilir memandu nanti. Jangan risaulah. Saya dah tak ada nafsu nak goda awak.”
            Terlukis sedikit sengihan di mulut. Boleh percaya ke dengan kata-kata dia ni? Tapi ada betulnya cakap Azie. Sekurang-kurangnya ada juga teman berbual sepanjang perjalanan nanti. Sudahnya aku punggah beg pakaian aku masuk ke bonet kereta Azie. Bau wangi kereta Azie saja  dah buat aku rasa semacam. Johaimi, sila jangan fikir yang bukan-bukan.
            Aku beristighfar berkali-kali. Ya Allah, lindungilah perjalanan kami. Seiring bismillah, aku hidupkan enjin kereta Azie. Aku toleh pada dia sebentar. Dia nampak biasa-biasa saja. Tali pinggang keledar dikenakan. Mula-mula kekok juga memandu kereta orang lain. Azie masih berdiam diri ketika kami keluar dari Bandar Georgetown. Dia sibuk dengan gajet canggihnya. Huh! Melayan FB lah  tu.
            “Kereta awak ni tak ada radio ke?” Aku cuba ajak dia berbual. Kalau pun dia tak nak berbual dengan aku, sekurang-kurangnya dia boleh tolong hidupkan suis radio untuk aku.
            “Ada. Tapi saya tak berapa suka pasang radio ketika memandu, bingit.”Mulut Azie menjawab. Tapi mata masih di skrin telefon.
            “Saya tak boleh memandu dalam keadaan senyap ni. Kena pula awal-awal pagi macam ni. Mulalah mata ni nak layu.”
            Azie meletakkan handphone di riba. Dengan kasar dia menekan suis radio. Kemudian dia sambung melayan handphone. Ini yang aku kurang berkenan. Kot ya pun nak merajuk, agak-agaklah. Kalau aku tahu dia nak mogok bisu, tak ingin aku berkongsi kereta. Perjalanan masih jauh. Kalau terus-terusan begini, baik aku pandu kereta sendiri.
            Skreeetttt!!!
            “Hei! Kenapa ni?”
            Aku brek mendadak. Tercampak handphone Azie. Melingas mata dia memandang sekeliling sebelum tunduk mengambil handphone di kaki. Aku pandang cermin sisi sebelah kanan. Dah nekad ni. Aku nak buat pusingan U dan berpatah balik ke Georgetown. Biarlah lambat sampai ke PD, pandu kereta sendiri lebih baik.
            “Awak buat apa ni Johaimi?”Azie bertanya cemas.
            “Nak balik ambil kereta. Awak macam tak ikhlas tumpangkan saya.”
            Kedua-dua tangan dah bersedia untuk memulas stereng. Jangan main-main dengan aku. Buatlah perangai lagi. Dia fikir aku kebulur sangat ke nak sekereta dengan dia? Azie pegang lengan kiri. Aku rentap tangan sendiri. Dia pegang lagi. Aku tepis kasar. Baru terhegeh-hegeh nak memujuk. Sorry!!! Kau fikir aku budak-budak?
            “Janganlah macam ni Joe. Saya minta maaf...”
            Aku buat-buat tak dengar. Biar dia rasa serik sikit. Sejak mula-mula kenal asyik aku yang  jadi mangsa godaan dia. Kali ini biar dia tahu. Johaimi bukan jenis lembu dicucuk hidung tau!
            “Joe...Sorrylah Joe...”
            Suara Azie dah sengau. Aku pandang ke luar tingkap, tahan senyum. Terdengar pula esakan perlahan. Serta-merta aku menoleh. Hek eleh! Dah tak ada modal lain ke orang perempuan ni ha? Beberapa titis airmata membasahi peha Azie. Tak jadi aku buat pusingan U,  tapi aku berhentikan kereta di bahu jalan.
            “Kalau awak masih merajuk sebab saya tak pergi birthday party awak dulu, saya minta maaf. Saya memang tak suka keluar malam. Yang kedua, saya tak nak awak fikir saya syok kat awak. Saya anggap awak sebagai kawan sekerja saja. Saya tumpang kereta awak ni pun sebab tayar kereta saya pancit dan kebetulan kita kena pergi ke tempat yang sama. Tapi saya tak sukalah awak buat saya macam ni. Masing-masing dah besar, kan? So, please be profesional.”
            Azie mengesat pipi. Aku cuba tenangkan hati yang masih panas. Tak pandang pun dia. Kereta masih berada di bahu jalan. Masing-masing bungkam sekejap. Tiba-tiba Azie hulur tangan kanan.
            “Kita mula balik. Lupakan hal-hal yang dah jadi sebelum ni,” kata Azie.
            Boleh percaya ke cakap dia ni? Takut juga nak hulur tangan. Mana tahu kalau-kalau dipeluknya aku bila tangan dihulur nanti.
            “Cepatlah! Kita buat macam baru kenal. Hai, saya Azilawaty. Saya nak kawan dengan awak, boleh? Kawan saja. Buat masa ni, tak lebih dari itu.” Suara Azie sudah tak sengau lagi, Dia kelihatan bersungguh-sungguh. Aku sambut huluran tangannya dan menggoncang beberapa kali. Azie senyum lebar.
            “Kawan tak guna bahasa formal...” Giliran aku pula memperkenalkan diri.
            “Aku Joe. Kau nak kawan dengan aku? Bolehhh... Tapi kena janji tak boleh tangkap cintan. Buat masa inilah...”
            Azie pura-pura memuncungkan mulut. Tapi kemudian dia senyum dan mengangguk laju. Aku kembali memandu di jalanraya. Kali ni radio dah terpasang dan Azie pun dah tak senyap macam tadi. Dia pun sama menyanyi, mengikut alunan lagu di radio. Begini kan lebih selesa? Dah tak ada apa-apa yang berbuku di hati. Azie pun tak menggedik seperti di pejabat. Dia kelihatan lebih santai. Kalaulah dari dulu dia siuman begini rasanya ada potensi untuk dia menjadi pengganti Durani.
            “Azie, lepas kursus nanti aku nak balik jenguk mak aku sekejap. Kalau kau nak balik dulu, baliklah. Tapi aku tumpang barang-barang aku dalam kereta kau. Balik ke sana nanti aku ambillah.”
            “Habis tu, kau nak balik ke Penang dengan apa? Bas? Kapal terbang?” Suara Azie menyoal macam orang tak puas hati. Aku tarik nafas dulu sebelum menjawab soalan bertubi-tubi  dari Azie. Tapi nampaknya dia lebih pantas membuka mulut.
            “Kau takut mak kau berkenan dengan aku, ya?”
            “Tak adalah macam tu...”
            “Habis tu?”
            Aku garu kepala yang tidak gatal. Macam-mana aku nak terangkan pada dia pasal Durani? Otak mula ligat menyusun ayat yang sesuai. Tapi sekali lagi Azie mencantas fikiran aku.
            “Aku nak tanya sikit, boleh?”
            Aku pandang Azie sekejap. “Tak payah nak minta kebenaran bagailah. Kata tadi nak berkawan. Kalau berkawan mana ada peraturan-peraturan tertentu. Nak tanya apa?”
            Azie menepuk-nepuk perlahan peha sendiri. Nampak macam dia keberatan nak bertanya. “Kau dengan awek kat kampung tu sebenarnya on lagi ke tak?”
            Agak terperanjat juga dengan soalan Azie. Tapi aku buat muka selamba. “Nama dia Durani...”
            Bulat mulut Azie tatkala mendengar nama bekas kekasih aku tu. Perlukah aku ceritakan kisah cinta yang tak kesampaian aku pada Azie? Tapi sampai bila nak berahsia, kan? Lagipun kenapa pula aku nak berahsia dengan Azie. Dia bukan kekasih aku, kan?
            “Dia dah nak bertunang.” Aku mulakan mukadimah.
            “Dengan orang lain?” Azie meneka.
            Aku angguk sekali. Satu keluhan berat terkeluar dari mulut. Kalau boleh aku tak mahu Azie bertanya lagi. Tapi nanti dah tak ada modal nak berbual pula. Kalau macam tu, lebih baik aku yang korek rahsia peribadi dia pula.
            “Boyfriend kau kat mana sekarang?” Aku terus ke soalan pokok. Mustahillah dia tak pernah ada teman lelaki, kan?
            “Di alam barzakh,” jawab Azie dengan tenang.
            “Hish! Kau ni, tak baiklah cakap macam tu.” Tiba-tiba rasa seram pula bila Azie beri jawapan begitu. Tapi aku tengok Azie tak senyum. Dia meraup wajah berkali-kali.
            “Dia meninggal dalam kemalangan jalanraya semasa kami sama-sama belajar di oversea dulu.”
            Uik, betul-betul kisah benar ke ni? Muka Azie berubah sedih. Aduh! Dah tersalah tanya soalanlah. Gatal betullah mulut aku ni. Macam-mana nak minta maaf ni? Takkan aku nak pegang tangan dia pula. Adoi Johaimi! Kau ni sengaja cari pasallah!
            “Kau belajar kat seberang laut rupanya...” Aku alihkan sedikit topik perbualan.
            “Hokaido.”
            “Pergh!!! Jepun tu. Patutlah kulit kau putih melepak. Hari-hari main salji eh?”
            Azie ketawa perlahan. Berjaya pun aku tukar mood dia. Tak apalah. Cukuplah setakat itu saja aku tahu sejarah percintaan dia. Sekarang baru aku faham, Azie nampak agak daring mungkin disebabkan oleh pergaulan bebas semasa di luar negara dulu. Eh, tak patutlah aku tuduh dia begitu. Mungkin ada sebab-sebab lain yang membuatkan Azie ‘terlebih ramah.’ Atau memang perwatakannya begitu. Hmm.. biarlah dia. Asalkan dia bahagia, sudah.
            “Joe... telefon kau.” Azie mengambil beg selepang yang aku letakkan di tempat duduk belakang. Tanpa disuruh, dia keluarkan telefon yang masih berbunyi.
            “Durani...”
            “Hah?”
            Azie menayangkan skrin telefon yang tertera nama Durani. Kemudian dia hulur earphone pada aku. Tapi aku masih mengemaskan pegangan kedua-dua tangan di stereng kereta. Kenapa dia call ?
            “Tak nak jawab ke?” tanya Azie.
            Aku pandang telefon, kemudian pandang Azie. Sudahnya Azie menekan bahagian berwarna hijau di skrin dan membuka loud speaker. Aku tak pula berusaha untuk menghalang perbuatan Azie. Entah kenapa aku rasa tindakan Azie itu adalah satu tindakan yang betul. Terdengar suara Durani memberi salam.
            “Waalaikumsalam.... Awak nak cakap dengan Johaimi ke? Dia tengah memandu. Boleh tak awak call balik dalam masa setengah jam?”
            Aku menelinga saja Azie bercakap. Hati bagai digeletek untuk mengetahui asbab Durani menelefon aku hari ni. Tak semena-mena aku teringat sesuatu. Ahad ni dia akan bertunang dengan Jalil! Ya Allah, seperti dirancang-rancang pula. Patutlah mak beria-ia nak aku balik ke kampung hujung bulan ni. Dan kebetulan pula aku dihantar berkursus di PD.
            “Bagi  sini...” Telefon yang berada di tangan Azie aku ambil. Cepat-cepat aku lekapkan pula di telinga sendiri.
            “Helo Dura...”
            “Siapa perempuan tu?”
            “Awek baru...”
            Aku kenyit mata pada Azie. Mula-mula matanya terbeliak. Tapi kemudian dia menyeringai suka. Mujur dia faham yang aku sengaja menipu Durani.
            “Joe tak pandai menipu. Dura tahu, itu kawan sekerja Joe.” Ada tawa kecil di hujung kata-kata Durani. Hati tiba-tiba jadi panas. Dia call aku semata-mata nak cakap aku ni penipu ke?
            “Apahal telefon ni? Jalil tak marah ke?” Sengaja aku cari sebab untuk sakitkan hati Durani.
            “Sudahlah Joe. Dura tahu, Joe sengaja nak sakitkan hati Dura. Joe... hujung minggu ni Dura akan bertunang dengan Jalil...”
            “Oh, baguslah. Tahniah. Bila majlis besar-besarannya?” Lemah rasa segala saraf. Kini memang hampir pasti yang aku akan kehilangan Durani. Sekali lagi aku hentikan kereta di bahu jalan. Aku tunduk, cuba menahan sebak. Azie mencuit lengan. Bimbang agaknya tengok aku berkeadaan begitu.
            “Bertunang pagi, lepas Asar nanti nikah.”
            Terjatuh telefon dari lekapan. Kelam-kabut aku ambil telefon itu dan letak semula di telinga. Sebelah tangan menghentak stereng. Sekarang hati ini memang benar-benar sakit. Pak Zahar, kau memang zalim! Sampai hati kau putuskan hubungan aku dan Durani dengan cara begini.
            “Joe, Dura tak nak kahwin dengan Jalil. Tolong bawa Dura lari dari sini  Joe... please!”
            “Wooo! Joe tak nak cari pasal lagi dengan abah Dura. Cukup-cukuplah kami sekeluarga dihina dulu. Dia dah berkenan dengan Jalil tu, kan? Dura ikut ajelah cakap abah tu. Inshaa Allah. Manalah tahu kalau-kalau akan jatuh cinta dengan Jalil lepas kahwin nanti.”
            “Tapi Dura cuma nak Joe!”
            “Tak boleh! Dura faham tak? TAK BOLEH!!!”
            “Kenapa? Joe dah tak sayang Dura, ya?”
            Mata terpejam. Tak sedar airmata meleleh. Aku kalah dengan suara lirih Durani. Kalau aku tak fikirkan maruah mak dan Zarith, memang akan aku bawa Durani jauh dari abahnya. Tapi aku tak berdaya. Restu keluarga adalah yang paling penting bagi aku.
            “Joe dah ada orang lain. Dura kena lupakan Joe. Kita memang tak layak untuk hidup bersama...” Aku pandang Azie, mohon pengertian. Harap sangat dia faham yang aku terpaksa berbohong untuk meyakinkan Durani.
            “Joe tipu. Kalau betul...”
            Durani belum habis bercakap, Azie sudah merampas telefon di tangan. Aku tergamam dengan tindakan spontan Azie. Dia bagi isyarat, untuk bercakap dengan Dura. Aku cuma mampu memandang.
            “Durani... Dengar sini. Saya Azie, kawan merangkap teman wanita Johaimi. Saya dah tahu semua sejarah cinta kalian berdua. So,let gone be bygone. Dia dah ada hidup baru sekarang. He’s happy with me...”
            “Tipu! Berapa dia bayar awak untuk berlakon jadi teman wanita dia? Bagi saya cakap dengan Joe.”
            Aku boleh dengar jeritan Durani di dalam talian. Telefon di tangan Azie cuba ku ambil. Tapi Azie memegang telefon aku dengan kemas.
            “Untuk jadi teman wanita dia, tak perlu dibayar dengan wang ringgit. Cukup dengan keikhlasan. Eh, saya dengar awak dah nak kahwin nanti, ya? Saya nak ikut Johaimi balik ke kampung dan tengok awak bersanding, boleh tak? Lagi pun mak Joe nak jumpa saya. Almaklumlah...bakal menantu...”
            Aku tekup mulut. Bengong betullah Azie ni. Tapi aku angkat ibu jari tanda setuju dengan  lakonannya. Tak lama kemudian dia hulur telefon pada aku. Terhenjut-henjut badannya ketawa.
            “Dia dah letak!”
            Aku tumpang gelak sama walaupun jauh di sudut hati masih ingin cuba menagih kasih Durani. Ketika memandu semula, ada sesuatu yang terlintas di kepala. Rasanya ada satu cara untuk meyakinkan Durani yang aku memang sudah melupakan dia. Azie...ya, cuma dia saja yang  boleh membantu aku sekarang.
            “Azie, boleh tak...”
            “Kau nak aku berlakon jadi awek kau kat kampung nanti, kan?”
            Dia lebih pantas membaca kotak fikiran aku. Tak sangka, Azie yang gedik dan sentiasa buat aku meluat dengan perangainya dulu kini kelihatan lebih matang. Tapi, harap-harap lakonan ini tidak menjadi kenyataan. Aku masih belum bersedia untuk menerima sesiapa sebagai pengganti Durani.
            

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.