Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 10, 2014

APA DAH JADI? BAB 15


        Mana Azie ni? Dah dekat sejam menunggu dalam kereta ni. Tak mungkin dia tertidur. Tadi dia yang suruh aku cepat bersiap. Punggung dah kebas, meter minyak makin lama makin turun. Dia masih tak muncul-muncul. Kawan-kawan yang sebilik dengan dia rasanya semua dah keluar. Hish! Ada juga aku pergi ketuk pintu bilik dia ni. Kalau tak pun aku hon. Eee... Takut kecoh pula nanti.
            Dah naik lenguh jari menekan nombor telefon Azie. Sudahnya aku keluar dari kereta. Tak boleh jadi ni. Mujurlah kereta dia. Kalau tidak memang dah lama aku tinggalkan dia sorang-sorang di sini. Aku dah rindu nak peluk mak ni. Aku pandang dulu pintu bilik Azie yang berada di tingkat atas. Cantik betul seni bina bilik-bilik di Eagle Ranch Resort ni. Rasa macam berada di dalam Pekan Koboi. Kalau dapat berbulan madu dengan orang tersayang di tempat begini tentu seronok.
            “Hai Joe!”
            Tersentak aku bila pintu bilik Azie tiba-tiba terbuka. Kurang asam! Tak sempat nak berangan barang sekejap. Azie melambai-lambai sambil tersengih-sengih. Cuma kepala dia saja yang terjengul di pintu.
            “Woi! Kau membuta eh? Telefon tak berjawab.Dah pukul berapa ni? Tadi kau yang suruh aku cepat.”
            Aku dah terjerit-jerit di bawah. Siap dengan bercekak pinggang. Tapi Azie cuma mengekek ketawa. Eee, ada juga yang kena baling dengan kasut ni nanti. Apalagi yang dia buat kat dalam bilik tu. Sesi kursus dah lama habis. Tak puas-puas lagi ke lima hari lima malam berkampung di sini?
            “Tolong angkatkan beg, boleh? Beratlah,” pinta Azie. Dia masih menyorok di balik pintu.
            “Kau campak ajelah beg tu dari atas. Yang kau menyorok macam orang tengah berbogel tu apa hal? Lepas tu nak suruh aku naik. Jangan cari pasal eh!”
            Muka Azie berubah masam. Aku tajamkan pandangan. Sejak dah declare kawan dengan dia, cara aku bercakap pun dah macam Azie tu Azlan. Ber ‘aku’ ‘kau’, cakap lepas dan bergurau pun kasar. Tengok pada luaran, Azie tu jenis yang tahan bergurau juga. Tapi tak tahulah kalau dia tersinggung. Lantak dialah. Yang penting aku memang tidak ada apa-apa perasaan dengan dia.
            “Aku tahulah aku ni bukan taste kau. Macam mana aku nak turun tangga dengan pakaian macam ni. Beg berat pula tu.”
            Azie menayangkan keseluruhan tubuhnya di depan pintu. Terlopong mulut aku sekejap. Sumpah, dia memang lawa. Lebih lawa dari Durani. Eh, tapi dari mana dia dapat baju kebaya pendek tu?
            “Mana kau curi baju tu?” Aku berseloroh sambil memanjat tangga ke bilik Azie.
            “Curi kepala hotak kau! Azlinda, peserta dari branch Melaka yang hadiahkan. Kebetulan pula aku nak ikut kau balik kampung, kan? So, kenalah pakai yang sopan-sopan sikit...”
            Azie mengunci pintu bilik. Ada sebuah lagi beg pakaian di tangan dia. Aku tak fahamlah dengan orang perempuan ni. Apa sajalah yang dia bawa. Dua beg pakaian, beg tangan lagi. Kenapa dia tak angkut saja almari baju di rumah tu? Bukan main berat lagi beg dia. Dia letak batu agaknya.
            “Kenduri kat rumah Durani tu besoklah. Hari ni pakai biasa-biasa pun dah okey...” Aku hidupkan semula enjin kereta. Dah ternampak-nampak bumbung rumah mak ni. Azie kelihatan agak payah nak duduk dengan selesa di dalam kereta. Mujur ada selendang yang dibuat penutup dada. Kalau tidak, rasanya mata ni mesti nak menjeling ke arah tempat-tempat tertentu di tubuh Azie.
            “Macam tak selesa aje. Tak sesak nafas ke kau pakai baju tu?” Aku tanya Azie ketika kereta bergerak keluar dari Eagle Ranch Resort. Tak sangka, seronok juga berkursus ni. Jumpa dan kenal kawan-kawan baru. Dan yang paling penting, dekat dengan kampung halaman.
            “Aku okey. Kau tu yang nampak macam orang semput, kenapa? Tak pernah tengok perempuan seksi ke? Selalunya aku pakai skirt pendek kau tak pandang pun aku macam tu.”
            “Perempuan pakai skirt aku dah biasa tengok. Tapi aku kalah betul kalau tengok perempuan pakai baju kurung, baju kebaya, tak kisahlah baju apa pun asalkan baju tradisional melayu. Menitik air liur aku beb!”
            Spontan Azie menepuk peha aku. Aku dah gelak melambak. Azie membetulkan selendang yang menutup dada. Mungkin masih ada rasa segan bila aku cakap macam tu. Hmm, ada lagi ciri-ciri ketimuran dia ni rupanya.
            “Jauh tak rumah mak kau dari sini?” tanya Azie.
            “Sejam lebih juga. Kalau kau nak tidur sekejap pun tak apa. Dah nak sampai nanti aku kejutkan.”
            “Tak mengantuk lagi. Cantik juga tempat kita berkursus kali ni, kan? Nanti aku nak suggestkan pada bos untuk buat Branch Family Day kat sini.”
            “Eleh, macamlah kat Penang tu tak ada tempat-tempat yang best.”
            “Memang banyak. Tapi kalau buat kat sini dekat sini dengan rumah mak mertua.”
            Terhenjut-henjut badan Azie. Beria-ia benar dia ketawa. Aku pandang dia bersama kerutan di dahi. Dia ni dah sawan ke? Asyik ketawa saja dari tadi. Sekejap-sekejap aku pandang jalanraya. Kemudian aku pandang dia semula. Ketawa dah berhenti, tapi mulutnya masih tersengih lebar.
            “Woi! Kau berangan apa ni? Kau jangan macam-macam Azie. Kita berlakon aje tau.”
            Sekali lagi aku mengingatkan dia. Bukan boleh percaya sangat dengan perempuan ni. Lebih-lebih lagi kalau dah jumpa dengan mak aku nanti. Buatnya dia bagi ayat-ayat power pada mak aku, dah berkenan pula hati orang tua tu. Mampuslah aku jawabnya. Memang buat masa ini aku tak ada apa-apa feel dengan Azie. Kalaulah kami memandu dengan kereta masing-masing, memang dah lama aku suruh dia balik ke Penang dulu.
            “Aku tahulah apa aku nak buat nanti. Jangan risau, aku bukan jenis mungkir janji. Tapi aku tak boleh jamin mak kau tak berkenan dengan aku nanti. Maklumlah, orang tua mana yang tak suka kalau tengok anak bujang dia bawa balik anak dara orang. Lawa pula tu. Dahlah lawa, berbudi bahasa, pandai masak...”
            “Bluwek!!!”
            Aku buat-buat loya. Sekali lagi dia ketawa berdekah-dekah. Aku pun senyum juga. Perasan lebih betul minah ni. Berkesan juga kursus Pengurusan Stress ni. Banyak benda-benda positif yang boleh aku praktikkan. Mungkin Azie sudah memanfaatkan segala ilmu yang diperolehi di sini. Melihat pada gayanya, dia dah boleh menerima persahabatan yang aku jalinkan.
            Harap-harap orang di kampung terpedaya dengan lakonan kami nanti. Bukan nak menipu, tapi cuma nak menutup mulut-mulut jahat yang sering mengutuk aku dan keluarga. Terutamanya abah Durani. Biar dia tahu, bukan anak dia seorang saja yang cantik. Buat Durani pula, kehadiran Azie nanti aku harapkan dapat membantu dia untuk melupakan aku. Itu dia. Habis, aku ni macam  mana?
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Pertama kali aku tengok Azie tersipu-sipu malu. Hujung selendang yang menutup dada dipintal perlahan. Teragak-agak dia bersalam dengan mak. Zarith menyeringai suka apabila pipinya dicuit Azie.
            “Patutlah tak sabar-sabar nak balik. Rupa-rupanya nak tayang buah hati baru. Emm.. not bad!”
            Azie pandang aku dengan mulut terlopong. Aku cuma jongket kening. Apa? Dia fikir mak aku tak pandai speaking ke? Zarith memimpin tangan Azie masuk ke rumah. Aku dan mak masih di halaman rumah. Aku punggah barang-barang yang aku bawakan untuk mak dan Zarith di  bonet kereta. Mak pun turut membantu. Mulut ni dah gatal nak bertanya pasal Durani sebenarnya. Tapi takut pula kalau-kalau angin mak berubah. Yalah, dia kan dah berpatah arang dengan keluarga Pak Zahar.
            “Lawa budak tu. Besok bolehlah bawa sekali ke rumah Durani.”
            “Hmm.. seganlah mak.”
            Sengaja buat jual mahal sikit. Nak tengok reaksi mak. Seperti yang aku jangka, bulat mata mak merenung aku. Tangannya sudah naik ke pinggang. Wajah inilah yang sangat-sangat aku rindukan. Walaupun nampak garang, tapi aku tetap suka nak menyakat mak.
            “Kau segan ke, atau masih ada hati lagi dengan budak Dura tu?” tanya mak dengan jelingan sinis.
            “Kalau Mie tak jawab pun, Mie rasa mak tahu jawapannya, kan?”
            “Huh! Azie tu lagi lawa dari Durani.”
            “Lawa aje tak cukup mak. Hati ni...”
            “Habis tu, kenapa kau bawa Azie tu ke sini? Kau jangan macam-macam Mie. Mak tak suka kau main-mainkan perasaan orang. Biar orang buat kita. Kalau kita berbalas-balas, sampai bila nak selesai masalah?”
            Aku biarkan mak memanjat anak tangga. Aku perhatikan dia dari belakang. Wajar tak kalau aku beritahu mak, aku dan Azie cuma berlakon. Eee... ada potensi kena pelangkung nanti.
            “Kitaorang baru berkawanlah mak. Belum sampai ke tahap serius lagi.” Akhirnya aku pilih jawapan selamat. Mak mengerling. Masuk saja ke dalam rumah, dia terus ke bilik Zarith. Nak menjenguk Azie agaknya.
            Aku masuk ke bilik yang dah sebulan aku tinggalkan. Tak ada perubahan. Cuma, gambar Durani sudah tidak ada di atas meja. Aku tarik laci, tak jumpa. Angkat semua bantal yang tersusun rapi di atas katil. Gambar Durani tidak ada di situ. Terpandang pula bakul sampah di belakang pintu bilik.
            “Eh, sampai hati mak letak gambar Durani kat sini...”
            Aku ambil bingkai gambar yang sudah terbelah dua cerminnya. Dapat aku bayangkan perasaan mak ketika melemparkan bingkai gambar itu ke dalam tong sampah. Aku usap perlahan gambar Durani yang sudah berubah warna. Ya Allah, besok dia akan jadi milik orang lain. Sanggupkah aku melihat dia bersanding di pelaminan nanti?
            “Abang Mie...”
            Cepat-cepat aku sorok gambar Durani di belakang badan. Tapi kemudiannya menarik nafas lega apabila melihat Zarith meluru masuk dan menghenyak punggung di atas katil.
            “Pagi tadi ramai orang kat rumah Kak Durani. Diaorang rewang kat sana...” Zarith bersuara perlahan. Terus aku mengemaskan sila. Adik aku ni memang layak jadi penyiasat persendirian gamaknya, kan?
            “Kak Durani ada?” Aku mulakan penyiasatan.
            “Ada. Tangan dia kan....cantik! Ada inai dengan corak-corak lawa. Pelamin dia macam dalam taman. Banyak bunga!”
            Terkemam bibir aku. Pelamin dalam taman? Itu tema perkahwinan yang selalu kami angankan dulu. Hati tiba-tiba rasa sebal. Tak nak kahwin dengan Jalil konon! Tapi pelamin bertema bagai. Huh! Menyampahnya aku.
            “Dahlah Zarith. Abang nak mandi kejap.” Aku nak bangun. Dah malas nak dengar cerita Durani, Tapi Zarith lebih pantas menarik tangan hingga aku terduduk semula di atas katil.
            “Adik belum habis ceritalah!”
            “Nak cerita apa lagi?” Aku bertanya acuh tak acuh.
            “Mak kena perli dengan Pak Zahar. Dia kata mak masih teringin nak jadi berbesen dengan dia...”
            “Besanlah! Bukan besen!” Spontan aku tunjal dahi Zarith. Dia mengekek gelak. Tapi aku tidak.
            Kurang ajar betullah Pak Zahar ni. Kau tunggulah besok.Aku akan pastikan kau anak-beranak terjojol biji mata bila tengok Azie nanti. Aku melompat turun dari katil dan terus keluar dari bilik. Langkah terhenti ketika berada di pintu. Mak dan Azie sedang tercegat di situ. Mak tertunduk memandang lantai. Azie pula tenung aku tanpa kerdipan. Diaorang dah terdengar ke perbualan aku dan Durani tadi?
            Aku pegang bahu mak. Dia palingkan wajah ke arah lain. Fahamlah aku yang dia sedang menyembunyikan rasa sedihnya. Hati makin pegal. Mak ni pun satu. Dah tahu mulut Pak Zahar tu macam longkang, dia pergi juga ke rumah Durani tu buat apa?
            “Joe...besok Azie nak ikut makcik pergi kenduri tu, boleh?”
            Azie kenyit mata. Aku tengok mak perlahan-lahan menoleh ke arah kami. Matanya kelihatan bercahaya walaupun ada takungan air di situ. Tangan kanannya menepuk bahu aku, tangan yang sebelah lagi mengusap pipi Azie.
            “Jom, esok pakai cantik-cantik. Mak nak tayang kat orang kampung bakal menantu dari utara ni. Biar terlopong mulut si Zahar tu. Menantu aku lagi lawa dari anak dia tau!”
            Mak peluk Azie sambil menepuk-nepuk belakang badan gadis itu. Dari belakang, Azie tunjuk isyarat bagus pada aku. Zarith menggoncang lengan aku. Dia nampak keliru. Tapi aku dah melebarkan senyum sampai ke telinga. Nampaknya rancangan aku bakal terlaksana esok. Durani, Pak Zahar...Bersedialah untuk gigit jari pula.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            Dah pukul tiga pagi. Tapi mata ni payah benar nak lelap. Dari pakai singlet, aku buka dan campak ke bawah. Kain pelikat aku selak sampai ke peha. Nak kata cuaca panas, tak pula. Nyamuk pun tak bernyanyi di telinga. Takkanlah badan aku ni dah tak selesa berbaring di katil sendiri? Aku bangun, tepuk-tepuk bantal dan letak kepala semula. Tangan menjangkau handphone yang berada di meja kecil sebelah katil. Mata mengecil menahan silau lampu handphone.
            “Hmm, mungkin sebab dia aku tak boleh tidur...”
            Wajah Durani yang jadi penghias skrin aku usap perlahan. Hati agak tenang bila dapat buat macam tu. Aku letak handphone di dada. Semakin tenang. Tapi tiba-tiba aku sedar sesuatu. Dia dah nak nikah esok!
            Handphone di dada aku pegang semula dan semua gambar Durani yang aku simpan di dalam handphone aku delete. Aku dah nekad. Aku nak delete dia dari ruang ingatan ni. Tapi mampu ke aku buat macam tu? Badan makin panas pula rasanya. Sudahnya aku terjun dari katil, keluar dari bilik dan terus ke dapur.
            Ketika buka peti sejuk, baru perasan lampu bilik air menyala. Hmm, mungkin mak sengaja tutup lampu tu. Ketika baru nak menggogok air, hidung terhidu sesuatu. Dari mana pula datangnya bau rokok ni? Perlahan-lahan aku bangun, mencari punca bau. Eh, dari dalam bilik air. Siapa pula yang merokok dalam rumah ni. Tak mungkin mak. Zarith? Hish! Minta simpang. Tapi, takkanlah Azie?
            Aku berdiri betul-betul di depan pintu bilik air. Nak tengok siapa yang kurang ajar sangat merokok di dalam rumah aku ni? Kalau Zarith, memang aku kerjakan dia cukup-cukup. Tak lama kemudian, terdengar bunyi air disimbah. Boleh dengar orang yang berada di dalam bilik air sedang berkumur-kumur. Beberapa saat kemudian, pintu bilik air terbuka.
            “Makkk!!!!”
            “Shhh! Diamlah! Aku ni...”
            Aku tepuk dahi Azie. Terus dia terdiam. Dia mengurut dada berkali-kali. Spontan dia memukul-mukul dada aku berulang kali.
            “Nasib baik aku tak mampus tau! Aku ingatkan hantu tadi, tercegat tegak depan pintu.” Azie mengomel dengan suara perlahan.
            Aku masih mematung di situ. Sedang mengawal rasa terperanjat. Terperanjat sebab tak sangka Azie merokok dan terperanjat kerana mata sedang dijamu dengan pemandangan yang menggetar jiwa. Selalunya aku cuma mampu melihat di televisyen atau filem-filem barat, wanita berpakaian tidur yang jarang. Tapi kini, mata ni dah macam scanner. Berkali-kali aku telan air liur. Duhai iman... bertabahlah kau.
            “Sejak bila pandai merokok ni? Kalau mak aku nampak, bernanah telinga kau kena hamput tau tak?”
            Aku bebelkan Azie dengan suara perlahan. Dia keluar dari bilik air dan terus ke meja makan. Takut pula mak terjaga. Kuat juga Azie menjerit tadi. Aku gamit dia ikut aku ke anjung rumah. Jauh sikit dari bilik mak. Mujur cahaya bulan agak terang, tak payah guna lampu. Dan tak adalah mata aku ni asyik nak meliar aje.
            “Sejak bila merokok ni?” Aku  ulang soalan tadi.
            “Sebelum kenal kau lagi. Sorrylah, aku dah terbiasa. Kalau tak boleh tidur atau masuk bilik air, mesti nak merokok. Kau nak?” Azie hulur kotak rokok. Aku menggeleng laju.
            “Mak aku tak suka orang merokok.”
            “Maknanya awal-awal lagi aku dah terkeluar dari senarai calon-calon menantu mak kau...” Azie menekup mulut, mengawal tawa.
            Aku tenung dia. Walaupun keadaan sekeliling agak samar-samar tapi aku yakin dia boleh nampak wajah kurang senang aku. Sedikit demi sedikit tawa Azie mengendur. Dia mengeluh perlahan. Sebatang rokok cuba dikeluarkan. Tapi aku dengan pantas merampas kotak rokok di tangan Azie.
            “Mak aku...”
            “Oops! Sorry, aku lupa.” Azie ambil semula kotak rokok di tangan aku dan diselitnya di gulungan seluar tidurnya di bahagian pinggang. Sekali lagi aku dijamu dengan kulit perut Azie yang putih melepak. Ya Allah! Selambanya minah ni. Cepat-cepat aku berpaling ke arah lain. Dalam hati dah beristighfar banyak-banyak.
            “Merokok aje boleh buat aku hilang stress. Dulu aku tak merokok. Tapi sejak boyfriend aku meninggal, rokok ni lah teman sejati aku.”
            “Banyak cara lain lagi untuk hilangkan stress. Kenapa pilih benda yang merosakkan diri sendiri?”
            Azie tertunduk. Ketika dia pandang aku semula, matanya dah berair. Okey Johaimi, sila sediakan telinga untuk sesi luahan rasa.
            “Kalau aku cerita pun, kau tetap akan cakap aku pilih jalan yang salah dengan merokok. Tapi kau tau tak? Bila merokok ni, kepala ni rasa ringan aje. Penat bekerja pun tak terasa. Yang paling penting, aku boleh lupakan sekejap rindu aku ni pada Dino.”
            Azie berhenti sekejap. Dia menyeluk sesuatu di lipatan seluar tidur. Aku membuntang mata. Kalau dia keluarkan kotak rokok tadi memang confirm dia makan pelempang percuma nanti. Tapi sangkaan tersasar jauh. Dia hulur sekeping chewing gum. Oh, begini cara dia menghilangkan bau rokok rupanya. Kami senyap sekejap, mengunyah chewing gum sambil melihat bulan bercahaya penuh di balik daun-daun kelapa yang tinggi menjulang.
            “Kalau boleh, berhentilah. Tak baik untuk kesihatan.” Aku bagi nasihat percuma.
            “Aku akan berhenti merokok bila ada lelaki yang sudi terima dan bimbing aku dengan ikhlas. Setakat hari ni, tak ada lagi yang sebaik Dino. Tapi hari tu macam ada..”
            “Siapa?”
            “Kau. Tapi rupa-rupa aku syok sendiri.” Azie gelak. Aku cuma tersengih. Lain benar cara Azie berbual sejak kami declare berkawan. Dia lebih berterus-terang. Bagus juga macam ni. Sekurang-kurangnya aku tak perlu menanggung rasa bersalah. Aku dah cakap, aku tak ada feel langsung dengan dia. Buat masa sekaranglah. Masa akan datang tak tahu lagi.
            Azie bangun dan membuang sisa chewing gum di tingkap. Bahu aku ditepuk perlahan. “Dah mengantuk ni, Aku masuk dululah. Besok nak menyamar jadi bakal menantu, muka kena  berseri-seri. Tak cukup tidur nanti bawah mata gelap.”
            Azie terus melangkah ke bilik Zarith. Aku masih tercegat di tepi tingkap. Melihat lenggang-lenggok Azie dengan seribu satu rasa. Kasihan pula aku tengok dia. Tapi nak buat macam mana? Hati aku perlukan masa untuk sembuh.

No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.