Sokongan korang amat , amat , amatttttt dihargai .... ummmmuuuah!

Jumlah pengunjung setakat ini .

December 02, 2014

APA DAH JADI? BAB 12

     
            Pipi naik lenguh tersenyum. Ketiak berpeluh walaupun berada di dalam pejabat berhawa dingin. Inilah nasib orang baru. Dah macam minggu orientasi pula aku rasa. Habis semua department dibawanya aku. Macamlah aku boleh ingat semua nama-nama pekerja di sini.
            “Encik Johaimi, tempat awak di sini.”
            Nak tergelak aku dengar dia berbahasa formal. Cara dia menunjukkan tempat duduk aku pun dah macam pramugari yang beri arahan di dalam kapal terbang yang nak berlepas.
            “Err... Cik.. Puan...”
            Aduh! Lupa pula nama dia. Aku pandang dada sebelah kanan dan kiri. Tak ada pula nametag. Nak panggil apa ni?
            “Azilawaty... Cik.”
            Amboi! Bukan main manja lagi dia menyebut gelaran solo tu. Boleh tahan juga dia ni. Memang patutlah dia bertugas di bahagian admin. Cara dia menyambut kedatangan pekerja baru buat aku rasa tak sabar nak mulakan kerja. Kalaulah semua pekerja di sini seramah dan secantik dia, hari-hari kena buat overtime pun aku sanggup.
            “Cik Lawa...”
            Dia terkekek ketawa. Spontan bahu aku ditepuk lembut. Aku pun sama senyum. Kerja tak mula lagi, tapi aku dah jual minyak.
            “Pandainya dia bergurau. Panggil Azie ajelah.”
            Jelingan manjanya buat aku lupa sekejap pada Durani. Sekejap saja. Tak semudah ini nak melupakan buah hati pertama aku tu. Azie dan Durani memang jauh berbeza. Durani ayu dan sopan bertudung. Azie nampak elegan dengan gaya pakaian pejabat dan kasut tumit tingginya. Haruman minyak wangi Azie, orangnya belum muncul tapi baunya sudah sampai.
            “Okey Johaimi, ini senarai tugas dan internal policy. Buat sementara waktu ini, segala kerja-kerja awak akan dipantau oleh Yassin. Kalau ada apa-apa yang awak tak faham, boleh tanya dia.”
            Aku cuma mengangguk. Rasanya aku sudah berkenalan dengan Yassin tadi. Tapi macam ingat-ingat lupa muka Yassin tu. Tak apalah, kejap lagi pandailah aku mencari Yassin tu. Azie masih berdiri tegak di sisi meja. Aku pandang dia dan jongket kening.
            “Ada apa-apa lagi ke?” Aku tanya dia.
            “Buat masa ni tak ada. Tapi nanti lepas lunch Johaimi boleh pergi cari Yassin. Dia akan berikan kerja-kerja yang perlu Johaimi buat,” kata Azie.
            “Panggil Joe aje. Panjang sangat nak panggil Johaimi tu, kan?”
            “Hmm... ramah juga awak, ya. Dah ada girlfriend?”
            Pertanyaan Azie buat aku tergamam. Belum habis lagi ke sesi temuduga? Perlu jawab secara jujur atau berbohong? Eleh, kalau aku menipu pun, bukannya Azie tahu. Tapi kalau aku bagi jawapan yang betul pun bukannya Azie nak mengurat aku. Orang lawa macam dia mustahillah tak ada teman lelaki.
            “Kalau saya ada girlfriend, saya tak datang ke Penang ni...” Sudahnya aku memilih untuk memberi jawapan yang jujur. Ada senyuman yang tersungging di bibir Azie. Entah apalah yang  bermain di fikirannya sekarang.
            “Okeylah, saya nak sambung kerja. Awak bacalah dulu semua manual yang saya beri tadi. Kalau boleh, hafal password tu. Takut nanti tak lepas nak masuk office sendiri pula.”
            Azie melenggang perlahan meninggalkan aku. Untuk seketika aku tercangak-cangak memerhatikan keadaan sekeliling. Masing-masing tunduk mengadap komputer. Tiba-tiba teringat sesuatu.
            “Azie!”
            Beberapa orang rakan sekerja tertoleh. Terbantut kerja masing-masing apabila mendengar jeritan aku. Dalam keadaan serba-salah aku bangun dan angkat tangan separas dada, tanda minta  maaf. Kemudian aku dapatkan Azie yang sudah berdiri di pintu.
            “Kat atas meja tu ada nombor interkom saya dan yang lain-lain. So, next time jangan menjerit, ya. Takut ada pula yang tersalah kira duit nanti.”  Azie menegur bersama senyum manja.
            “Awak belum sampai kat meja lagi, kan? Kalau saya interkom pun mesti lambat awak nak angkat.” Aku pula keluarkan ayat bela diri.
            “Ada apa panggil saya ni? Nak ajak keluar lunch ke?”
            Amboi! Dia ni sengaja buka peluang untuk aku rupanya. Hmm.. sabar Johaimi. Ingat semula niat asal ke sini. Nak cari duit banyak-banyak dan ubah nasib keluarga, kan? Hati ni pun belum sembuh sepenuhnya. Relaks dulu, jangan gelojoh. Azie masih merenung aku. Hish! Makin lama tengok mata dia buat aku rasa lain macam pula.
            “Awak tahu tak, kat mana nak cari rumah sewa?”
            “Oh... Nak cari rumah sewa. Hmm...Jadi housemate saya ajelah. Nak?”
            Azie gelak tapi aku dah terkejut beruk. Biar betul dia ni. Aku pandang sekeliling. Risau juga aku kalau ada yang salah faham bila terdengar perbualan kami. Aku datang sini nak bekerja. Bukan nak cari penyakit. Tak pasal-pasal kahwin free pula nanti.
            “Sorry... saya gurau ajelah. Saya pun tinggal dengan family. Mujur tak ada bilik kosong. Kalau tidak, saya dah sewakan untuk awak.”
            “Awak janganlah rakus sangat Azie. Takut pula saya...” Aku urut dada. Makin kuat dia gelak. Serius, memang aku risau tengok cara dia bergurau. Tak ada segan silu langsung.
            Seorang lelaki berkaca mata muncul dari belakang Azie. Rasanya tadi Azie dah perkenalkan aku pada dia. Tapi dah lupa pula nama dia. Tawa Azie terus perlahan apabila lelaki itu berdiri di sebelahnya. Wajahnya masih seperti tadi. Senyum tak pernah lekang dibibir. Mujurlah gigi dia putih bersih. Jadi model iklan gigi pun sesuai juga dia ni.
            “Ha... panjang umur kau. Ni, Joe nak cari rumah sewa. Hari tu kau cakap tengah cari housemate, kan?”
            Selamba saja Azie menepuk bahu lelaki yang aku masih belum ingat namanya. Lelaki itu terangguk-angguk melihat aku. Aku buat senyum kambing. Macam mana nak mulakan perbualan ni? Nama dia pun aku tak ingat.
            “Kalau rumah kau dah penuh, kau tolonglah carikan rumah sewa untuk dia. Boleh kan, Yassin? Dia bukan kenal sesiapa pun kat sini.”
            Aku hela nafas lega bila Azie menyebut nama lelaki itu. Dia macam tahu saja yang aku ni memang tengah memikirkan nama mamat tinggi lampai itu. Azie tak lama di situ. Telefon bimbitnya berbunyi dan dia terus tinggalkan aku bersama Yassin. Sambil berjalan ke tempat aku semula, kami berbual.
            “Kau merokok tak?” tanya Yassin.
            “Tak...”
            “Minum?” Yassin menyoal lagi.
            “Minum?” Aku pandang Yassin. Dia angkat kedua-dua tangan dan sebut sekali perkataan ‘minum’. Oh, baru aku faham.
            “Haramlah. Pegang pun tak pernah tau.” Aku buat-buat suara keras. Bengang juga bila disoal begitu. Muka aku ni ada nampak macam kaki botol ke? Yassin duduk di hujung meja. Manual-manual yang Azie berikan tadi dia belek sepintas lalu.
            “Memang ada satu bilik kosong kat rumah aku. Tapi mahal sikitlah dari bilik-bilik yang lain. Sebab bilik itu aje yang ada bilik air, master bedroom,” ujar Yassin.
            “Eh, tak apa. Asalkan ada tempat aku nak tidur, cukuplah. Berapa depositnya? Aku bayar sekali dengan lima bulan sewa.”
            Sementara duit tengah ada, rasanya tak salah kalau aku bayar lebih sikit untuk bilik sewa. Sekurang-kurangnya kalau tiba waktu-waktu terdesak nanti, tak adalah tertangguh sewa bilik itu.
            “Petang nanti ikut aku balik rumah. Sekarang kerja dululah. Kejap lagi aku bagi senarai kerja yang kau perlu buat. Biasa-biasakan dengan keadaan sekeliling dulu. Nanti bila dah sibuk, nak bertegur sapa pun dah susah.”
            Yassin beredar dari situ selepas berbual-bual sekejap dengan aku. Dia cuma bertanya serba-sedikit tentang latar belakang keluarga dan sejarah pekerjaan. Boleh tahan ramah juga Yassin ni. Hampir separuh hari berada di tempat baru, dah semakin kurang kekok. Tak susah sangat kerja yang aku kena buat. Biasalah, kerja di institusi kewangan. Bermain dengan angka memang kegemaran aku.
            Ketika waktu makan tengahari aku checkout dari Hotel Mingood. Ada untungnya juga Abang Zali pinjamkan aku kereta. Taklah susah aku nak mengangkut beg ke hulu ke hilir. Waktu lunch hampir berakhir ketika aku masuk semula ke pejabat. Azie dah menunggu di meja kerja ketika itu.
            “Baru ingat nak belanja awak lunch. Tapi awak dah hilang dulu...”
            “Seganlah nak makan dengan orang lawa. Macam tak sepadan aje.”
            Saja nak cuba main ayat. Ada rona merah di wajah Azie. Suka dipuji rupanya anak dara ni. Lumrah wanita, kan? Pelik betul. Takkanlah orang secantik dia tak ada teman lelaki. Dah buta ke lelaki-lelaki di Georgetown ni? Aku yang tak sampai sehari di sini pun, nyaris-nyaris terpukau dengan wajah dan senyuman menggoda Azie.
            “Lepas ni awak duduk di kaunter, ya.” Azie menunjukkan aku arah ke kaunter.
            “Kena buat kerja di situ ke?” Aku bertanya untuk kepastian.
            “Buat masa ni, awak duduk kat situ dulu. Kalau prestasi awak okey, mungkin akan ditukarkan ke tempat lain pula. Tapi awak masih di bawah pengawasan Yassin. Ada apa-apa hal yang awak tak tahu, awak boleh tanya dia.”
            Selepas mendengar ulasan panjang lebar dari Azie, aku beralih ke kaunter pula. Memang kebetulan nasib menyebelahi aku agaknya. Aku berkenalan dengan Rahim, teman serumah yang sama menyewa dengan Yassin. Makin mudahlah aku nak ke tempat kerja nanti. Boleh berkongsi kereta. Melihat pada gaya Rahim, dia pun jenis yang tidak berkira. Rajin betul dia membantu dan menunjukkan kerja-kerja di kaunter. Sedar tak sedar, dah habis waktu pejabat rupanya. Tak sangka, hari pertama bekerja di sini adalah hari yang menyeronokkan rupanya. Semasa bersiap-siap nak meninggalkan pejabat, Yassin muncul sekali lagi.
            “Rahim, kau balik dengan Joe. Tunjukkan bilik dia. Aku ada kerja sikit, lambat balik.”
            Yassin masuk semula ke pejabatnya sebaik saja menitip pesan. Rupa-rupanya Rahim berkongsi kereta dengan Yassin. Mereka bergilir-gilir. Dalam kepala dah mula terbayang. Berapa ramai yang tinggal serumah dengan Yassin? Kalau empat orang dan semuanya ada kenderaan, bermakna pekerjaan masing-masing bukanlah calang-calang. Hati kembang sedikit. Berbeza betul kawan-kawan aku di sini dengan kawan-kawan aku di kampung. Kalau di kampung, aku dan kawan-kawan cuma merempit saja. Di sini, dah naik taraf drift pula.
            Lima belas minit memandu akhirnya kereta membelok masuk ke kawasan perumahan mewah. Huish! Yassin dan Rahim tinggal di sini ke?
            “Jalan terus,” arah Rahim.
            “Jalan terus?” Aku pandang Rahim sekejap. Biar betul dia ni. Jalan terus tu jalan mati. Tak mungkin rumah yang besar bergenaung tu?
            “Kau parking kat sebelah Harrier tu.” Sekali lagi Rahim memberi arahan.
            “Mesti mahal sewa kat sini...” Terkeluar juga suara aku. Macam tak tertelan air liur melihat persekitaran rumah. Tak macam rumah bujang. Lebih layak dipanggil rumah berkeluarga sebenarnya.
            Rahim terus buka pintu belakang dan tolong keluarkan bantal-bantal dan selimut. Segan pula aku. Aku ikut dia masuk ke dalam dahulu. Apa-apa hal pun, nak tengok bilik. Mana tahu kalau-kalau tak berkenan bolehlah tumpang satu malam, lepas tu cari rumah lain pula. Rasanya aku tak mampu nak menyewa bilik di sini. Melihat pintu masuknya pun dah buat aku seram sejuk. Kayu jati!
            “Ni bilik kau.”
            Aku bantu Rahim buka pintu. Wah! Jauh bezanya dengan bilik tidur aku di kampung. Kalau mak tengok bilik ini, pasti mulutnya pun akan terlopong seperti aku sekarang.
            “Eh, nanti kejap Rahim.”
            Aku hadang Rahim dari meletak bantal-bantal aku di atas katil kelamin yang siap bercadar. Dia pandang aku dengan dahi berkerut. Dalam keadaan serba-salah, aku ambil bantal-bantal dan selimut yang dia pegang.
            “Kau tak salah bilik ke? Macam mahal sangat aje sewa bilik ni. Esok kau temankan aku cari bilik sewa lain boleh tak? Aku rasa macam tak mampu nak bayar sewa bilik ni.”
            Rahim ketawa. Dia tolak aku ke tepi dan ambil semula bantal-bantal aku. Kemudian dia letakkan di atas katil. Rahim menghenyak punggung melepaskan lelah di birai katil.
            “Bilik ini aje yang kosong dalam rumah ni. Pasal sewanya, kau jangan risaulah. Gerenti kau mampu bayar. Kau kemaslah dulu barang-barang kau. Kawan-kawan yang lain belum balik lagi.” Rahim mengelap peluh di dahi. Aku masih memerhatikan keadaan sekeliling bilik.
            Mata terus terarah ke bilik mandi. Baru teringat aku belum solat Asar. Rahim dah bangun untuk keluar dari bilik.
            “Mana arah kiblat, Rahim?”
            Terhenti langkah Rahim. Dia nampak serba tak kena. Dia mendongak ke siling bilik. Kemudian dia tunjuk sengih kambing. Apa kena pula dengan dia ni?
            “Kiblat? Err... rasanya sebelah sini kot.” Rahim menunjuk ke arah penjuru bilik.
            “Tegak ke serong?” Aku minta kepastian Rahim. Tapi dia cuma menggaru-garu kepala di muka pintu.
            “Kau tak ada kompas ke?” Rahim menyoal perlahan.
            Oh, rasanya aku faham kenapa dia bertingkah begitu. Mungkin inilah kesan jauh dari pemerhatian keluarga. Suruhan tuhan dipandang ringan. Aku cuba menjadi positif. Mungkin bilik Rahim  berlainan dengan bilik aku. Sebab itulah dia tak tahu di mana arah kiblat.
            “Kat sini ada masjid? Surau ke?”
            “Ada. Kau keluar dari jalan yang kita masuk tadi, belok kiri. Kau keluar balik ke jalan besar, jalan terus dalam lima ratus meter. Kalau tak silap aku, ada masjid kat sebelah kanan.”
            Aku cuba mengingati arah yang ditunjukkan oleh Rahim. Dia terus keluar dari bilik sebaik saja menjawab soalan aku. Tak apa, pergi masjid dan bertanya orang-orang di sana lebih afdal rasanya. Aku keluar semula dari bilik dan punggah barang-barang di dalam bonet. Aku cuma ambil beg pakaian dan makanan-makanan yang mak bekalkan. Perlu segera kerjakan solat Asar. Kalau boleh aku nak duduk di masjid hingga tiba waktu solat Maghrib. Waktu Asar pun dah tak panjang.
            “Orang baru ke?”
            Uik, macam mana aku tak perasan ada orang di ruang tamu? Aku mengangguk perlahan dan dekati lelaki itu. Sembab mukanya. Nampak sangat baru bangun tidur. Dia yang terlebih dahulu menghulur tangan.
            “Rayqal,” ujar lelaki itu sepatah.
            “Joe.” Aku cuma sebut nama ringkas saja.
            “Sama tempat kerja dengan Rahim ke?” Rayqal bertanya. Dia menggosok mata dan menguap lebar. Masih ada sisa mengantuk agaknya.
            “Ha’ah. Sekali dengan Yassin. Kau kerja bank juga ke?” Aku cuba beramah mesra sebentar. Walhal dalam kepala mengira waktu Asar yang hampir ke penghujung.
            “Taklah. Tak kuasa aku nak main dengan duit ni. Pening kepala aku tengok nombor tiap-tiap hari.”
            Aku kerling jam. Tak boleh jadi. Kena solat Asar dulu. Lain kali sajalah aku berbual-bual dengan Rayqal.
            “Nak ke mana ni? Gelisah semacam aje?” Reyqal perasan rupanya. Dia juga menoleh ke arah jam dinding. Tak semena-mena dia terloncat bangun.
            “Aduh! Dah dekat pukul tujuh. Kau dengar tak bunyi alarm tadi?” Rayqal pandang aku dengan wajah cemberut. Laju aku menggeleng. Takut pula dipersalahkan.
            Rayqal kelihatan tergesa-gesa beredar dari ruang tamu. Dia melangkah dua mata tangga, mendaki tingkat atas. Kelam-kabut benar gayanya. Aku pun tak tunggu lama di situ. Masuk bilik, keluarkan baju bersih dari beg pakaian dan terus ke bilik mandi. Perasaan teruja melihat bilik mandi yang serba mewah terpaksa aku lupakan seketika. Aku bersihkan badan selaju mungkin dan terus bersiap dengan baju melayu dan berkain pelikat.
            “Nak pergi masjid ke?”
            Rayqal menegur ketika kami bertembung di pintu utama. Oh, dia ni polis rupanya. Segak pula bila dia dah berpakaian seragam. Ikutkan hati, nak saja aku tumpang Rayqal ke masjid. Tapi macam mana pula aku nak balik nanti?
            “Aku tak pasti arah kiblat kat dalam bilik tu. Tu yang nak pergi masjid...”
            Rayqal bagi isyarat untuk ikut dia masuk semula ke dalam rumah. Dia buka pintu bilik aku dan tunjukkan arah kiblat.
            “Jangan alim waktu baru sampai aje. Kat mana pun kita pergi, tiang agama ni wajib kita jaga. Jangan culture shocked sangat. Apa pun yang kita buat mestilah bersederhana.”
            Aku tepuk-tepuk bahu Rayqal. Ada juga pengganti mak aku di sini. Sudahnya aku solat di rumah saja. Mujur ada Rayqal. Maknanya lepas ni ada jugalah kawan untuk aku ke masjid nanti. Hmmm... Mak, Mie dah rindu mak ni.
~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~ ~
            “Pintu bilik diketuk ketika aku baru selesai mengerjakan solat Maghrib. Tuan rumah merangkap rakan sekerja, Yassin sedang tercegat di pintu.        
            “Dah makan?” tanya Yassin.
            Aku geleng. Yassin tolak pintu bilik aku lebih luas. Dia terus masuk dan berbaring di katil. Eh, suka-suka dia pula melingkar di situ. Hmm, sabar Johaimi. Ini kan rumah dia.
            “Siaplah. Kita keluar makan,” ajak Yassin.
            “Eh, tak apalah. Mak aku ada bekalkan serunding. Dapur kat mana? Aku nak masak nasi.” Aku tunjukkan pada Yassin bekas serunding di atas meja. Sebenarnya aku malas nak keluar. Sisa-sisa penat memandu jarak jauh masih ada. Kalau boleh nak tidur awal malam ini.
            “Aku belum beli barang-barang dapur,” kata Yassin.
            “Tak apa, mak aku ada bekalkan beras.”
            Yassin terbangun. Dia jongket kening dan buat muka terperanjat. Tak lama selepas itu dia ketawa kuat. Aku tahu, pasti dia gelakkan aku sebab bawa bekal makanan dan barang-barang dapur.
            “Untungnya jadi anak mak ni...”
            Aku tak tahu samada dia perli atau puji. Lantak dialah. Janji aku kenyang malam ni. Makan nasi panas-panas dengan serunding dan telur goreng pun sedap juga. Tak semena-mena terliur pula rasanya. Aku betulkan ikatan kain pelikat.
            “Nak ke mana?” Yassin membantutkan langkah aku untuk keluar dari bilik.
            “Ada barang-barang lagi kat dalam kereta. Aku tumpang dapur kau, boleh?”
            “Apa pulak nak tumpang? Guna ajelah dapur tu. Jangan sampai meletup sudahlah. Tapi jangan lupa bersihkan semula. Aku tak suka tengok dapur bersepah. Satu lagi, aku nak cakap sikit pasal sewa...”
            Tak jadi aku nak keluar. Aku henyak punggung di hujung katil. Yassin membetulkan sila. Baru aku perasan, dia masih berpakaian kerja. Baru balik agaknya.
            “Berapa sewa bilik ni sebulan Yassin?” Aku yang terlebih dahulu bertanya. Lambat sangat nak tunggu dia bercakap.
            “Rahim tak cerita apa-apa dengan kau?” Dia tak menjawab soalan, tapi dia pula yang menyoal.
            “Cerita apa?” Aku soal dia balik.
            Yassin keluar dari bilik. Aku ikut dia. Langkahnya terus ke dapur. Ada bau masakan di sana. Dia ni, cerita tak habis lagi. Tadi kata nak cakap pasal sewa bilik. Rahim sedang menggoreng nuget ketika kami berdua masuk ke dapur. Sekali lagi aku terpegun. Dapur rumah mak aku pun tak sampai separuh daripada dapur rumah ini. Peti sejuknya lebih tinggi dari aku. Punyalah besar, boleh muat badan aku.
            “Him, apsal kau tak cakap dengan dia pasal sewa?” Yassin menyoal Rahim.
            “Eh, kau kan tuan rumah. Kau cerita sendirilah, takkan aku pulak.” Rahim menarik kerusi tanpa penyandar di bahagian dapur kering. Binaan dapur kering itu bagaikan sebuah kaunter bar. Dicapainya sebiji gelas berkaki yang tergantung di kabinet. Jus limau yang sudah tersedia di situ dituang perlahan. Aku dan Yassin ikut duduk di situ.
            “Kau bayar ajelah berapa yang kau mampu...” Acuh tak acuh saja Yassin bercakap.
            “Eh, kenapa macam tu pulak? Aku tanya dia.
            Ada juga tuan rumah macam ni? Rahim tersengih tengok aku dah terkejut beruk. Yassin hulur gelas dan tuangkan jus limau untuk aku. Serba-salah pula aku nak meletakkan harga. Kalau ikut kemampuan, aku bayar saja seratus sebulan. Tapi macam tak setimpal pula dengan segala kemudahan yang terdapat di dalam bilik itu. Aircond, water heater, katil besar, televisyen dan macam-macam lagi. Hish! Memang tak patutlah kalau aku bayar seratus.
            “Kau bayar berapa Rahim?” Aku jadikan Rahim bahan rujukan.
            Rahim angkat tiga jari. Tiga ribu? Mak oi! Memang luar dari kemampuan akulah jawabnya. Aku teguk air limau di dalam gelas. Rahim bangun dan menuang kepingan-kepingan nuget yang sudah ditos ke dalam pinggan. Dia duduk kembali di sebelah Yassin
            “Dia bayar tiga ratus aje. Ni rumah keluarga aku. Mak dan ayah dah berhijrah ke Australia. Aku malas nak ikut. So, diaorang serahkan rumah ni pada aku untuk dijaga. Aku cari kawan-kawan serumah untuk temankan aku aje. Lagi pun takkan nak biarkan bilik-bilik dalam rumah ni kosong. Lama-lama nanti jadi rumah hantu pulak.”
            “Hmm... yang duduk dalam rumah  ni pun dah macam hantu.” Rahim pula menyampuk.
            “Yang hantu tu kau!” Yassin menolak bahu Rahim perlahan.
            Terlambak hilai tawa mereka berdua. Aku ikut senyum. Kepala cuba menangkap maksud kata-kata Rahim. Ya Allah, janganlah dijadikan rumah ni sarang maksiat. Tadi aku dah nampak contoh yang tidak baik dari Rahim. Minta-minta Yassin selaku tuan rumah tidak teruk perangainya. Tapi sejak aku berada di dapur tadi, tak ada pula aku nampak benda-benda yang haram.
            “Kalau aku bayar tiga ratus juga, boleh ke?” Teragak-agak aku meletakkan harga. Kalau dia tak bersetuju, terpaksalah aku cari bilik lain. Hanya itu saja yang aku mampu setakat ini.
            “Bolehlah tu. Tapi aku nak beritahu awal-awal. Bil api dan air rumah ni kita bergilir-gilir bayar. Bulan lepas Rayqal bayar. Bulan ni Rahim. So, bulan depan giliran kau pula. Bilik masing-masing ada TV, kan? Kalau kau nak guna Astro, bil bayar sendiri.”
            Yassin kembali serius. Aku  mengangguk tanda faham. Syarat-syaratnya mudah saja. Yassin menghabiskan sisa air limau di dalam gelas dan terus ke sinki. Gelas yang sudah dibasuh,  dia lap dengan kain kering dan digantung semula.Rahim sudah meninggalkan kami berdua di situ. Dibawanya sekali piring nuget yang dihidang tadi. Ceh! Kurang asam. Tak sempat aku nak ambil barang seketul.
            “Satu lagi. Jangan bawa betina masuk dalam rumah. Aku tak suka masuk campur lifestyle korang. Tapi, kalau nak buat jahat, buat kat luar. Dalam rumah aku, jangan.”
            Okey, aku faham sekarang. Sekarang bolehlah aku tarik nafas lega. Johaimi, kau dah dapat kerja yang baik, tempat tinggal yang selesa dan rakan-rakan serumah yang outstanding. Lepas ni kau cuma perlu fokus pada kerja dan kumpul harta banyak-banyak. Buktikan pada abah Durani, kau pun boleh jadi orang senang.
            Tapi, masih berbaloikah semua ini? Bukankah Durani akan menjadi milik orang?


No comments :

.

.
.

.

.

.

.

.

.
.